Ahad, 14 Mac 2010

Gangsterisme Di Kalangan Remaja

Artikel ini telah tersiar dalam laman sesawang Yayasan Dakwah Islamiah Islam (YADIM) pada 07 November 2006

Oleh SMAHADZIR

Sedih rasanya apabila kita melihat anak kita berubah daripada seorang yang penyayang, tekun dan taat kepada seorang yang suka menyakiti, suka membuli, bising, biadap, agresif, kasar dan tidak mengambil berat tentang orang lain. Kita tidak dapat membayangkan ini berlaku. Biasanya, anak lelaki lebih mudah terpengaruh dengan gejala-gejala sosial. Secara teknikalnya, sesiapa sahaja, tidak kira jantina, mempunyai risiko untuk terpengaruh memasuki kumpulan gangster atau samseng. Sebaik sahaja anda sedar yang anak anda telah terpengaruh dengan kumpulan samseng, adalah sangat penting bagi anda menghentikannya dengan segera.

Ada satu kes di mana seorang bapa dari Seremban telah menelefon polis dan menyuruh mereka menangkap anaknya. Hanya itulah sahaja yang dia tahu lakukan. Walaupun mendapat bantahan daripada isterinya, dia tahu itu adalah cara terbaik untuk mengawal kelakuan anaknya. Dia tahu bahawa dia dan isterinya tidak lagi mampu mengawal anak kesayangan mereka itu. Kita hanya boleh membayangkan keperitannya dan diharap bahawa kita tidak akan ‘berpeluang’ mengalami perkara yang sama.

Biasanya terdapat beberapa tanda penglibatan dalam kumpulan samseng. Sesetengah daripadanya adalah jelas dan ada di antaranya yang memerlukan anda menyoalsiasat dan menyiasat, sebagai seorang ibu bapa yang prihatin. Perkara yang terpenting ialah untuk membuat sesuatu mengenainya dan bukannya tidak menghiraukannya. Sesetengah ibu bapa memilih untuk tidak mengendahkannya kerana ia di luar kawalan mereka dan tidak tahu apa yang boleh mereka lakukan atau tidak lagi mahu terlibat dalam kehidupan anak mereka. Dalam erti kata lain, mereka telah berputus asa.

• Jangan Putus Asa

Amat penting bagi anda untuk tidak berputus asa terhadap anak anda. Hakikatnya, andalah satu-satunya harapan mereka. Dampingilah mereka, mereka memerlukan anda seperti ketika mereka masih bayi. Mereka memerlukan kasih sayang, perhatian dan didikan yang berbeza kali ini. Anak anda mungkin tidak akan memberikan kesemua tanda-tanda amaran di hadapan anda, tetapi perhatikan mereka dari jauh dan tangkaplah isyarat ini. Ada di antaranya memerlukan anda dalam kerja-kerja penyiasatan dan ini mungkin melanggar hak peribadi mereka. Bagaimanapun, anda tetap juga perlu lakukan.

TANDA-TANDA

Setiap kumpulan samseng mempunyai simbol dan ikonnya sendiri. Tidak kira sama ada mereka masih baru atau tidak penting dalam dunia gangsterisme ini, mereka mempunyai logo, tanda atau isyarat mereka sendiri. Jika anak anda mula melambai kepada kawannya dengan cara tertentu, berhati-hatilah. Tetapi jangan pula tersilap sangka kerana kadangkala ia hanyalah sesuatu yang ditiru dari video muzik, filem, dan sebagainya.

Contohnya, jika anak anda mula membuat isyarat seperti dalam cerita ‘Star Trek’, ini tidak bermakna dia terlibat dalam kumpulan samseng. Anda tidak perlu tahu kesemua isyarat tangan yang digunakan dalam dunia mafia, tetapi apabila anda terlihat sesuatu, periksalah dengan kawan-kawan anda dan kemudian tunggu isyarat-isyarat seterusnya.

• Ponteng Sekolah

Ponteng sekolah mungkin bukanlah salah satu daripada tanda-tanda yang paling penting, tetapi jika anak anda ponteng sekolah tanpa pengetahuan anda, anda perlu mengambil tahu tentangnya. Minta anak anda memberikan penjelasan. Jika penjelasannya tidak memuaskan, carilah butir-butir terperinci dan tanda-tanda yang lain.

• Ganas

Jika anak anda mempamerkan minat yang mendadak terhadap cerita-cerita berunsur ganas dan dia bukan sahaja menontonnya, tetapi menontonnya berulang kali seperti dia sedang cuba menghafal setiap dialog dan setiap aksi, maka tentu ada sesuatu yang tidak kena. Jika dia menontonnya seperti biasa, lupakan saja. Gabungkan minatnya menonton filem itu berulang kali dengan kelakuan ganas yang mendadak yang tidak pernah dilakukannya, maka ada sesuatu yang perlu anda bimbangkan. Lebih penting lagi, jangan ragu-ragu untuk mengambil mana-mana senjata berbahaya yang anda jumpa tersorok di biliknya serta merta. Jika dia perlu melindungi dirinya, anda harus bercakap dengan dia mengenainya dan tidak hanya membiarkannya. Jangan elakkan konfrantasi, ia mungkin melibatkan nyawa!

• Berahsia

Ini agak sukar untuk dikesan jika anda dan anak anda tidak mempunyai perhubungan yang rapat sebelum ini, tetapi jika anda mula menyoalsiasat dan dia mula membenci anda kerana itu, maka tentu ada sesuatu yang tidak kena.

KENAPA DAN MENGAPA

Kajian telah menunjukkan bahawa sebab utama anak-anak remaja memasuki kumpulan samseng pada hari ini adalah untuk mendapatkan wang dengan mudah, mendapatkan dadah dan juga untuk perlindungan. Sesetengah anak-anak remaja dibuli dan dipaksa masuk. Jika mereka penakut, pemalu dan mudah dibuli, rakan-rakannya yang lain mungkin mengugut mereka, ‘Jika awak tidak masuk kumpulan kami, awak akan kena!’

Tetapi jika anda bersama-sama kami, kami akan melindungi anda dan selain daripada itu kami akan menjadikan anda kaya dan ditakuti!’

• Sayangi Anak Anda

Hanya kerana dia tersilap langkah, jangan biarkan dia bersendirian atau membiarkan dia sesat jalan. Dia akan terlibat dengan lebih mendalam dengan gejala sosial ini. Pandulah dia, pimpin dan sayangilah dia kembali ke pangkal jalan. Jika anda mempunyai anak yang menghantar dadah untuk satu kumpulan, dan kemudian anda membandingkannya dengan anak kawan anda yang menjadi doktor; anda akan tertanya-tanya apakah silap anda. Jangan. Anda mengikut naluri anda dan anda tidak salah, kecuali jika anda sering mengabaikan anak anda.

• Keyakinan Diri

Lengkapkanlah anak anda dengan sesuatu yang tidak boleh ditukar ganti seperti keyakinan diri, sejak mereka kecil lagi. Telah dibuktikan bahawa kanak-kanak yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi kurang terdorong untuk terlibat dalam aktiviti samseng.

• Kasih Ibu Bapa

Kasih ibu bapa, daripada awal lagi, adalah sangat penting dalam membentuk masa hadapan anak anda. Jika mereka kurang kasih sayang daripada keluarga, dia akan cuba mencarinya di tempat lain. Begitu jugalah, jika mereka kurang mendapat wang, mereka akan mencarinya di tempat lain. Pastikan anda sentiasa prihatin dan mengawasi siapa kawan-kawan anak anda dan tahu di mana mereka berada setiap masa. Jika anak anda mempunyai telefon bimbit, periksalah jika dia menutup suisnya setiap masa (supaya anda tidak boleh menefonnya).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA