Isnin, 15 Mac 2010

Cinta Di Rembang Plae du del'Fermite

(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Dakwah terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan telah diantologikan dalam antologi Pencarian)

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

TIDAK mudah melupakan. Rembang ahad. Pekarangan La Grande Mosquee. Sendalu dingin mengisar Plae du Puits del’ Fermite. Di atas taburan dedaun kering tinggalan musim rontok. Alda, gadis ayu solehah asal Strasbourg. Dari mulut Djelloul, dia antara muslimah mangsa Islamophobia, tersingkir dari sekolah di Creil kerana enggan tanggal tudung.
Aku mendekati, melunas cabaran Gayet, lalu gelincir buar simpati. Pertemuan demi pertemuan telah mengundang pula renjana kasih di hati. Dan cinta antara kami telah erat bersemi kini. Sudah murup di dasar nubari, wasilah suami isteri akan direalisasi sebaik pengajianku tamat nanti.
“Semalam, Alda datang dalam mimpi!” Suaraku bening dalam hubub silir sejuk Dover.
“He..he.. itu rindu namanya!” Djelloul miang mengernyeh.
“Benar kata kamu!” Loghat Inggeris pekat Perancis Gayet menokok galak. Rakan sekuliah dari Lyon itu melewah kerisinnya.
“Heii, jangan melalut kawan!”
“Rasanya wajar! Bukan satu perkara luar biasa. Realitinya sudah seminggu kita meninggalkan Paris, wisata menghabisi cuti semester!” Djelloul bersahaja.
Aku tersenyum iya, mengangguk nipis, mahu bersuara namun Djelloul dan Gayet sudah bangun. “Teruskan mimpi!” Keduanya selajur mencerlus menjauh tanpa berpaling, menyusur bibir alun masin - English Channel yang beriak tenang. Aku masih mendepani pusat Dover, kota pelabuhan berperi, berkisah, kebanggaan warga wilayah Kent - dua kurun lampau gagah menghalang soldadu Napoleon. Ilam-ilam Calais dari situ. Ada gerbak wajah Alda dalam wayu, di segenap pojok Dover, bergentayangan.
“Jangan begitu berani, sayang!”
“Keberanian bertempat, Alda! Aku sekadar mahu membetulkan persepsi prejudis media dan mereka yang gemar menggambarkan Islam melampau, radikal dan fundamentalis!”
“Berani kamu?”
“Soalan itu juga?”
“Ini Paris, Zed! Bukan Kuala Lumpur!”
“Remaja Islam milik semangat kental pemuda Asyhabul Kahfi tidak gelentar meredah zaman! Tidak kecut gelogok Decius, sayang!”
“Kamu harus sedar, Zed! Islamophobia tidak lagi berlegar dalam asas-asas Islam tapi sudah bersifat global, menular hebat dalam kawah politik dan kebudayaan.” Jelas figura ayu Alda sebal pudar.
“Bukan aku, Alda! Mereka… mereka itu yang harus disedarkan. Minda mereka perlu dijurus akuan Fred Halliday, Islam and Myth of Confrontion. Islam bukan agama penganjur keganasan. Itu propaganda cupar!”
“Itu juga gizi sajian Kristian Eropah sejak Perang Salib, Zed! Sarinya sudah sebati dalam darah daging, lebih-lebih lagi selepas Revolusi Iran 1979. Kebangkitan terbesar umat Islam mutakhir itu satu kegerunan lalu dieksploitasi Barat, melabelkan Islam penganjur pembunuhan, keganasan dan kekejaman!”
“Bagiku, Islamophobia is as old as Islam; it began with Quraish! Lenyap fahaman komunisme Soviet Union pada 1989 akhir Perang Dingin semakin memarak ketakutan kepada Islam. Ingat kata-kata Margaret Thatcher: ‘Selepas Perang Dingin, komunisme akan diganti oleh musuhnya iaitu Islam’. Kemudian, Nation of Islam pimpinan Elijah Muhammad dengan laungan slogannya; ‘Orang kulit putih itu iblis dan sumber kejahatan,’ tambah buar memurupkan. Jadi sangga pencegat hipotesis Barat; Islam itu pengganas, agama radikal, terkebelakang, tidak menghargai hak asasi manusia dan tiada langsung toleran.”
“Ho….ho…ho…! Mimpi sungguh!” sergah Djelloul, lakaran perbincangan dengan Alda di laman ingatan yang gelisar gesit temperas. Terpisat-pisat menerima crepesuzette huluran Gayet, nyaris mencium pipi.
“Lupakan dulu Alda, Zed! Cuba kamu lihat gelandang itu!” Tuding Djelloul jitu. Seorang lelaki renta, berkot sebam cepuah, celana sontot compang, pinggir perumahan kumuh, warawiri lalu menggerumuk tepian tong sampah. Merenung jihat hidup.
“Siapa dia? Kenapa dengan dia?”
“Jawapan kedua tidak perlu. Jawapan pertama: dia orang Britain!” Ada gemercikan sinis pada senyum Gayet.
“Lihat pula si agam, tampan dan bergaya itu!” Djelloul menyambung, menjuih bibir panjang menunak seorang lelaki elit, keluar penuh ciri trampil dari mobil coupe sport mewah. Pegunku cepat terpantul pada jenama Audi TT. Dari sekumin pengetahuan, enjin mobil itu menjana 180 bhp, tork terbaik - 235 Nm pada 1,950 hingga 5,000 rpm. Maha sporty. Bertagal mata kejur pada tempat duduk, paduan alcantra dan kulit murni, sehingga jadi kelinglungan kala ditembi suara jantan Gayet.
“Mahu tahu siapa dia?”
“Ini Dover, wilayah Kent, tentulah orang Britain!” aku semacam pasti.
“Kamu perlu digugah dari mimpi, Zed!”
“Hei, apa maksud kamu hah?” aku terlunga dengan ungkapan Djelloul.
“Lihat realiti Dover depan mata! Visi Napoleon mahu menakluk tanah Queen Elizeberth ini telah tercapai selepas dua kurun! Itu realitinya!”
Aku bingkas cepat. Serasa ada warita fenomena hidup warga Dover yang kontras, ala semi filosofikal mahu disemai Djelloul ke dalam benak. Nampak bersahaja. Barangkali benar. Aku masih diselimut gebar kekelalenan kendati mata silau ditayang nama-nama besar konglomerat Perancis menyarat menguasai juzuk Dover - Suez Lyonnaise des Eaux, Vivendi, Societe Industrielle de Transport Automobiles, Compagnie Generale Enterprise Automobile dan pelbagai lagi sekutunya.
“Dulu kita berbangga menguasai Calais tapi kini sebaliknya!” Gayet tersenyum dalam sinis, mengocah riak kecil pelabuhan Dover jadi lebar.
Ungkapan itu persis pernah menerobos menggegar kuping. Aku cuba menguak lawang memori yang miang ditutup figura ayu Alda. Sukar. Mesiu kasih gadis itu nyalar menewaskan. Mata biru galaknya. Ulas bibir merahnya. Alis pantisnya. Lebih-lebih gelicau tawa manjanya. Mengirap segala realiti. Kotak mindaku diborgol sarat urna renjana cinta asyik kami. Alda bagai menggamit-gamit dengan cinta di rembang Plae du Puits del’ Fermite. Senyumku gesit murup.
“Huh, mimpi lagi!”
Telunjuk gabai Djelloul menonyoh iga lekas menempiar figura Alda dari benak. Kemamar lagi. Nano. Kerenyehku jadi pelitup malu.
“Hambur sebal Paul Watkins itu barangkali refleksi warga seluruh Britain!”Djelloul menyambung.
“Ya…ya…!” ingatanku tiba-tiba mencuar dan bertunas pulih.
“Ya ya apa kawan?”
“Paul Watkins pemimpin Majlis Perbandaran Dover!”cerlusan lancar pasti di hujung anggukan Gayet. “Menyalahkan Konservatif dan Margaret Thatcher pencetus tender terbuka antarabangsa. Err…hasilnya, Dover terkulai didominasi tentera baru Napoleon - ahli perniagaan Perancis. Bukan begitu?”
Djelloul dan Gayet melebar sengih. Syarikat Perancis pengendali pungutan sarap kumuh, mengambil alih syarikat urus pelbagai hal majlis tempatan Dover. Buruh warga Britain - pecacai cuci jalan, taman, jamban, bangunan - semuanya - dibayar gaji oleh syarikat Perancis. Lagi, Perancis pemilik firma bekalan air, elektrik, mesin dan tempat letak kereta, penyelenggaraan tanah, lebuh raya, perkhidmatan kereta api. Lagi? Segalanya. Total. Penguasaan Paris total terhadap London. Itu realitinya.
“Ho… ho…ho…! Bijak… bijak…! Patutlah bersungguh benar ajak aku ke sini. Hmmm…Dover - tanah England, ironisnya dominasi Perancis! Retorik apa ini hah?”
“Tiada retorik, Zed! Tanya siapa saja warga Perancis…siapa yang mahu ditewaskan dalam apa juga bidang!” Angkuh Djelloul terpersil buar.
“Siapa ya?”
“Britain dan Jerman!” Gayet tersahut garang.
“Apa juga bidang? Hei… bagaimana dengan bidang menegakkan kebenaran Islam di mata masyarakat dan dunia sebelah sini khususnya, hah? Apa kamu mahu agama suci kamu terus ditewaskan oleh propaganda dusta musuh-musuh Allah?” Diam dan masing-masing mencerlung tunak wajahku yang keras. “Kamu terlalu asyik barangkali!”
“Maksud kamu?” jegil Djelloul bulat.
“Asyik dengan kebanggaan dan megah dominasi Perancis di Dover!”
“Salah?”
“Semangat juang Napoleon dalam diri kamu cukup dipuji tapi serasa lebih melangit lagi pujian jika diganti dengan semangat juang Muhammad Al-Fateh!”
“Wah.. wah…! Punya potensi bakal imam La Granda Mosquee de Paris! Mana mahu dibuang Alda ya?”
Gerahku menakah mencuar dengan sinis Gayet. Gesit menjerau wajah. Djelloul terkesan. “Siapa kami, Zed? Remaja hingusan yang masih teraba-raba arah!” Lunak suaranya mengundang ceria.
“Betul!” Kurenung figura resah Djelloul. “Tapi kamu remaja hebat sehebat Alda sanggup mempertaruhkan masa depan semata-mata tidak mahu buka jilbab. Ciri-ciri hebat itu sudah serlah. Kamu tidak kenal bintang merlip Britney Spears, No Mercy, 911 atau 98 Degree. Apa lagi dibuai senandung Crazy, Baby One More Time atau juga Swear It Again atau If I Let You Go dari Westline. Kamu buta Hollywood, buta Titanic, Sixth Sense, Girl Interrupted. Jauh sekali mengarak sohor Tom Cruise, Gwyneth Paltrow, Leonardo de Caprio mahupun Angeline Jolie. Dan aku memilih kamu sebagai teman akrab kerana kefasihan kamu menyebut nama-nama besar ahli fikir Islam - Ibnu Tufail, al-Farabi, Ibnu Sina, al-Khindi, Ibnu Haitham, al-Biruni, Ibnu Khaldun, al-Khawarizmi, Ibnu Rusyd Ibnu Bajja, Ibnu Masarrah juga Ibnu Miskawayh al-Razi. Mengkagumi pemikiran pemikir itu mencerna falsafah, metafizik, matematik, politik, etik, fizik, psikologi, geografi, perubatan, kimia, optik, astronomi dan muzik. Kamu sendiri Gayet, penyanjung Ibnu Sina, bukan? Dan kamu pula Djelloul…masih basah aku pada awal perkenalan dulu. Begitu petah dan bangga kamu mengungkap kisah Ibnu Rusyd; cendekia Paris sibuk mendalami De Intellectu et Intelligibili galak merujuk tokoh itu segalak merujuk Aristotle, Sigervan Brabant dan Boethius jadi kemurkaan gereja kerana didorong pemikiran Ibnu Rusyd itu, sumber ilham Christopter Colombus mendepani prahara Atlantik dan lagi peri kamu; pencetus kesedaran Dubois di Perancis, Ockham di England mempelopor gerakan feminisme dan aku sendiri sejak di bangku sekolah menengah lagi sudah mengulum erat kajian Bertrand Russell. Katanya, pengaruh Ibnu Rusyd di Eropah terlalu teguh, tidak cuma golongan skolastik, melebar juga di kalangan a large body of improfessional free-thinkers yang menafikan immotality. Mereka digelar pengikut Ibnu Rusyd, lebih hebat ahli Mazhab Franciscan, tak ketinggalan ahli-ahli falsafah profesional Universiti Paris sendiri…”
“Cukup Zed! Cukup!” Tangan Gayet terangkat, seolah-olah mengaku kalah.
“Oppp! Lupa pula dengan kamu Gayet!” aku belum puas namun sukar membendung geli dengan telatahnya. “Err, mahu aku berkisah panjang tentang kamu? Ibnu Sina kamu?”
Berkerut dahi Gayet. Hela nafas rengsa dan panjang. Tersenyum lega kala Djelloul merangkul pundakku. Gerbak Christian Lacroix menjerba deria bau. Huh, macam perempuan! Kami belayar menyusuri pinggir bangunan batu diseli marmar dan kaca, sungguh kontras. Stesen kereta api Dover Priory, mendepani pondok menunggu bas milik JC Decaux. Sebuah restoran kalut melayan pengunjung. Disambut riang Ricky Martin dengan Livin La Vidaloca kami ke pojok liku mengadap jalan besar.
“Islam kita sekadar berbeza mazhab, antara Maliki dan Syafie. Itu saja. Tapi tegak kukuh pada tunjang yang sama. Ingat itu!” Lamb cutlets provencale dan duck a l’ orange dalam pesanan, aku menyisih rasa jelak menunggu lebih-lebih lagi sepasang remaja ala gipsi galak benar melontar kerling curiga. Apa aku ini alien? Melayu itu alien? Huh…
“Jadi, apa mahu kamu Zed?”
“Kita perlu jadi satu, Gayet! Satu dalam jihad membetulkan anggapan buruk mereka terhadap Islam!”
“Aku bimbang…”
“Kebimbangan kamu atas dasar apa, Djelloul?”
“Sekian lama kami menerima layanan paling buruk di Perancis. Kebijaksanaan politik Perancis kurang bersahabat dengan kami, aktif mengganggu setiap gerakan yang mengarah kepada perkembangan Islam. Pembatalan kemenangan Front Islamic Salvation, menangkap dan memenjara tokoh FIS di Algeria itu bukti nyata, Zed! Terroris, militan, fundamentalis terus jadi label sinonim mutlak kami!”
“Aku lebih arif itu, Djelloul! Allah In The West; Islamic Movements In America And Europe bakal jadi sumber rujukan disertasi aku. Sebal…kenapa mereka masih ketegar menafikan kenyataan Gilles Kepel itu; sarjana Barat pengupas kebenaran, penafsir tepat, pemikir intelektual mereka sendiri. Memang tepat tukasan Elijah Muhammad; mereka itu iblis laknat!”
Gelak bingar pecah menggelecak dari dua lanang gendut seiras berkumis tebal sisi kanan. Garau dalam menokok meat in veal a l’ oscar dan tournedo l’ elegance dari pelayan. Konconya tersenyum semacam dibuat-buat. Mengundang rimas. Buru-buru kami melangsai sajian.
Sebelum menyisih tanganku cepat mencapai paket cherries jubilee, sayang…bersaki lebih separuh. Tidak terlalu lama untuk menghimpun busa-busa rindu di alun tenang English Channel. Membukit setiba di Calais dan sikit-sikit reban mendampingi Paris. Rembang Plae du Puits del’ Fermite terus mengusai segalanya dengan penantian Alda di wajah lunak La Grande Mosquee.
“Sayang apa khabar ya sejak perpisahan ini?”
“Mentari Paris memercik miang rindu membahang, Zed! Namun, rembang Plae du Puits del’ Fermite jadi penyejuk. Syukur, damaiku terkurung di rumah pengaduan La Grande Mosquee!”
“Kamu mengadu kepada-Nya?”
“Hmmm…mana lagi tempat mengadu paling agung, Zed! ‘Siapa yang cinta kerana Allah, benci kerana Allah, memberi kerana Allah dan mencegah kerana Allah maka sesungguhnya dia telah mencapai darjat iman yang akmal!”
“Itu… itu riwayat Abu Daud dari sabda Junjungan, bukan?”
“Tetap abadi dalam diri, tidak sekali-kali aku mahu sisihkan itu dari hati!”
“Alda, kamu gadis solehahku! Ikhlasmu pasti diredhai. Aku yakin, usaha murnimu bersama muslimah yang lain untuk merealisasikan sebuah sekolah agama di sini akan diberkati. Generasi muda akan terdidik dengan keindahan dan kebenaran Islam. Pastinya proses integrasi dan asimilasi kalangan ummah tidak terbelenggu lagi. Kamu tokoh agamanya. Dan… dan… zuriat kita tentunya akan mengusung usia jadi remaja putera dan puteri di sini tanpa rasa curiga…”
“Melangit benar impianmu sayang!”
“Setara impian jihadku sendiri, Alda! Kepulesan tidur mereka akan kugugah dengan risalah kebenaran, keindahan, kemurnian, keadilan, kesederhanaan dan segalanya tentang Islam. Bongkah Islamophobia mereka akan diluluh leburkan! Insya-Allah akan direalisasikan menjelang akhir disertasi!”
“Djelloul dan Gayet gandingmu?”
“Aku lebih suka bersendiri, Alda! Dan lagi…jihad Islam tidak memerlukan jiwa dan hati kerdil, bimbang dan takut menggelugut. Realiti Perang Uhud didokong remaja pemberani; bukan pengecut, kelesa dan mandom!”
“Suara kamu beriak sebal, sayang? Apa kamu kecewa dengan mereka?”
“Kamus mindaku tidak ada abjad itu, Alda! Aku tidak kenal erti kecewa selagi kamu setia di sisi!”
“Ya, aku akan setia di sisimu, Zed! Aku akan menjadi Ummu Salim atau Aisyah dalam jihad Uhudmu! Jihadku di sisimu…”
“Hei… hei… itu bukan tugas kamu sayang…”
“Kenapa? Kenapa tidak boleh bersama membantumu dalam jihad itu? Errr…mahu aku singkap laman At-Taubah: 71* depanmu?”
Dia nisa pemberani. Besar cekal jiwa Islamnya dan julai musim rontok bersaksi rembang Plae du Puits del’ Fermite, dalam bahang getir disertasi, kami bersatu dalam merealisasikan jihad itu. Bumi Paris dijujuh risalah kebenaran, keindahan, keadilan, kesederhanaan, kelembutan dan segalanya sabit Islam. Bagai digusar jerkah langkisau, suasana karar jadi cabuh.
Media-media propaganda tersentak menggelinyau lalu melontar latah prejudis: Waspada: Gerakan Terroris Sudah Menunjuk Taring, Pelampau Agama Di Sebalik Risalah Hipokrit, Bendung Fundamentalis Itu, Kerajaan Digesa Bertindak Tegas Sebelum Terlambat dan… dan…
Onggok-onggok sinis dan curiga bertebaran di mana-mana. Bahang Islamophobia mulai murup, melengas dan memijar. Pesawat-pesawat peninjau diarah terbang rendah, menerjunkan unit pencari yang pintar, menyelusup berselerak dengan deria bau yang cekap.
Hei, sudah aku bisikkan pada nisa solehahku. Ini remaja Islam tidak gelentar ugutan Decius. Gelogok buruan tidak pernah memudarkan api jihad. Terus murup subur malah suar melangit. Bongkah cekal ini waris mujahid kurasani. Waja diri seteguh Bilal. Keberanian itu penentu luhur polos jiwa jihadku.
Biar darah kucur, daging diseligi terkucar, tulang kucel lunyai, merunduk sujud kepada mereka tidak sekali. Jika masyi’ atullah dan fitratullah mahukan aku kecundang, aku mahu kecundang sebagai syuhada. Namun, cekalku luluh, kentalku luruh dengan libasan pedang air mata seorang nisa.
“Sayang…bersembunyi bukan bermakna takut atau gentar. Akui hakikat tindakan remaja Asyhabul Kahfi dalam jiwamu. Bersembunyi untuk jiwa dan jasad berpadu satu menyerah jitu kepada Yang Maha Tahu. Dia tempat mengadu…”
“Maksudmu, bersembunyi di La Grande Mosquee?”
“Mana lagi tempat yang paling agung untuk mengadu, sayang!”
“Hmmm… bersembunyi ya? Tidak…tidak, Alda! Dari bersembunyi, lebih baik aku pulang ke tanah kelahiranku!”
“Kenapa? Kenapa harus pulang?”
“Di sana lebih damai. Aku tidak suka bersembunyi dan aku juga tidak sanggup tidur kejur selama lebih 150 tahun dan lagi…belum pasti kala jagaku Decius telah diganti oleh Maharaja Thedosis II!”
“Benar… benar juga katamu! Errr… aku sendiri tidak pasti Decius akan diganti oleh Maharaja Thedosis II!”
“Terima kasih, sayang!”
“Tapi dengan satu janji ye… err… tidak melupakannnnn…”
“Cinta kita di rembang Plae du Puits del’ Fermite!”
Kepulangan atau pelarian! Pulang atau melarikan diri dari kancah cabuh! Sasap susup dalam rusuh dan kelut sari benak. Yang serlah, Lapangan Terbang Antarabangsa Charles de Gaulle; lawang kehilangan, watas perpisahan, tetap tiris dijujuh permata bening dari kelopak Alda. Gerutup geru pesawat tidak berupaya menghalang sendu jelu meluah buar mengiringi atur langkahku meninggalkan tanah Paris. Meninggalkan catatan renjana cinta di rembang Plae du Puits del’ Fermite.
Kepulangan atau pelarian ini kembali merengkuh menyusur akar permatang malinja di bendang sesapan dengan bahang rindu yang amat menggelecak. Alda terus miang bergayutan pada julai-julai kuning padi, menyerap memaung gemuyu manis pinggiran daik. Cabuh jiwa menggelentar pelosok nubari, nyalar saja memurup bayangan kenangan bersama.
“Aku yakin, Alda! Peradaban mereka sudah menabrak jalan buntu dan sekarang rusuh di lawang kehancuran!”Wayu kering menggelongsor kudup honeysuckle dari tangkai menyarat wajah Plae du Puits del’ Fermite, kala detik kian jauh ke laman rembang.
“Aku juga yakin itu, Zed! Promesses de I’ Islam benar, tidak pernah berdusta. Realiti sosial mereka jauh dari kehendak-Nya. Akhlak busuk, bejat dan jelek sekali!”
“Imperialisme rakus dan angkuh mereka bukti nyata, Alda! Ungkapan Rudyard Kipling dalam puisi the whites man burden menyelak pekong hakikat itu sehingga tega biadap dan kasar ke atas bangsa, budaya dan agama orang lain. Konon merekalah bertanggungjawab mentamadunkan semua manusia. Falsafah utilitarianisme mereka melampau sungguh!!”
Bahang mentari pijar ditingkah cicip jerijit menyergap jantung rastali melerai mimpi, menonyoh diri keluar dari buana ilusi, hakikat nusa sendiri. Aku harus bingkas sebagai seorang lelaki, sengoti menyekang larut hati, menyisih segala janji yang nyalar merasuk mendewa hari.
Berminggu-minggu dicuba namun gagal. Renjana cinta kami amat nakal menjenguk dari riak tenang air perigi, tergantung di jenang pintu hari, mekar menguntum di celah waktu dan senyum manis Alda bertenggek di rangginya yang mengelopak seri. Mengyongyatkan kolek yang ingin mendampar diri di pantai tenang.
“Sudah… sudahlah, Zed! Apa nak jadi kalau terus-terusan begini!” Ibu mithali tunggal yang jenuh menggugah nyedar mimpi menghulur sekeping surat udara, gesit menyuar bara rindu mengapung ceria diri.

Sayang,
Payah sekali mencari aksara memulakan bingkisan ini, Zed! Ilhamku jelu tergantung di bingkai langking malam, nyalar lenyap di celah renjisan ilam bulan. Serasa kamu amat jauh bersama lelahku dikitar silir.
Zed, Paris terus cabuh sejak kehilanganmu. Rawanku tercampak tambah memudar wajah rembang Plae du Puits del’ Fermite di mana aku nyalar mencari-carimu di situ. Galak benar waktu menipuku dengan layar-layar palsunya dan sewaktu lilauku terpelanting oleh jerba sedar realiti kehilanganmu, aku mengadu lagi di La Grande Mosquee. Jujuh air mata ini sukar diempang. Percayalah sayang… aku redha takdir ini!
Rengsa pundakku, leweh dihenyak beban hidup yang sungguh tidak keruan ini, Zed! Gelisarku terus rusuh. Semakin membuar kerana tiada tempat rujukan. Namun aku gembira kerana kamu masih dipelihara-Nya. Realiti - sebaik pesawatmu meninggalkan Charles de Gaulle, tertukik bahang heboh Djelloul dan Gayet bakal diseret dan sehingga berita ini ditulis, nasib mereka belum lagi diketahui. Aku sendiri tidak tahu ke mana mereka menghilang untuk mengemis titre de voyage. Jelu sungguh mengenangkan, mereka tidak langsung terlibat dalam jihad kita.
Sungguh, memang sukar mahu membetulkan hati iblis-iblis itu, Zed! Minda intelek mereka sudah tertutup rapat terhadap kebenaran dan keindahan Islam. Kita telah gagal menyedarkan mereka dari dark age**. Benar katamu dulu, fikiran mereka masih terborgol kejur dalam kegelapan zaman itu. Pintu-pintu untuk mengeluarkan mereka dari gelintin bolong itu telah ditutup rapat oleh para panglima iblis laknatullah
Namun percayalah, sayang! Suar turus jihad ini tidak pernah rebah dengan gelogok mereka. Pedang malam kita pasti akan merealisasikannya. Sayang, semalam, air mataku tumpah lagi di Plae du Puits del’ Fermite kala menyusur rembang silam cinta kita. Putera dan puteri kita tiada di situ. Pedih mahu dibayangkan kerana kamu sendiri telah di persona-non-grata.

Rujukan:

(1) *At-Taubah: 71 bermaksud, ‘Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong kepada yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah.’

(2) ** dark age - Satu zaman yang telah melanda Eropah sebelum tiba zaman Renaissance. Ketika ini masyarakat Eropah menghadapi kemunduran intelek dan kelembapan ilmu pengetahuan. Menurut Encyclopedia Americana, masanya dalam tempoh 1000 tahun, yang bermula antara zaman kejatuhan Kerajaan Roman dan berakhir dengan kebangkitan intelektual pada kurun ke 15 Masehi.
Selain dari itu, bermaksud tiada prospek yang jelas bagi masyarakat Eropah. Situasi ini wujud kerana tindakan dan cengkaman kuat pihak berkuasa agama; Gereja Kristian yang sangat berpengaruh. Gereja serta para paderi mengongkong pemikiran masyarakat dan juga politik. Mereka berpendapat, hanya gereja sahaja yang berkelayakan untuk menentukan kehidupan, pemikiran, politik dan ilmu pengetahuan.
Akibatnya, kaum cerdik pandai atau cendekiawan yang terdiri dari ahli-ahli sains berasa tertekan dan dikontrol. Pemikiran mereka ditolak total. Sesiapa yang mengeluarkan teori bertentangan dengan pandangan gereja akan ditangkap dan diseksa malah ada yang dibunuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA