Isnin, 15 Mac 2010

Gayat YB Seman

(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Dewan Masyarakat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan telah diantologikan dalam Jihad)

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

SEJAK terpilih menjadi Wakil Rakyat, YB Seman merasa gayat. Selalu takut jatuh dari kedudukannya. Bahkan sering ketakutan terhadap bayangannya sendiri. Pernah, ketika pulang dari suatu majlis bersama isterinya, tiba-tiba dia menggigil ketakutan kerana melihat bayangnya di permukaan daun pintu rumahnya. Ketika itu dia hendak masuk rumah, dan tiba-tiba di hadapannya, di permukaan daun pintu itu, muncul bayang yang besar dan hitam. YB Seman lupa bahawa bayangan tubuhnya itu muncul kerana suluhan lampu penerang di pagar hadapan.
“Awak ini kenapa, bang?! Melihat bayang sendiri pun seperti melihat hantu?!” gerutu isterinya sambil tersenyum geli.
YB Seman bersunggut-sungut.
“Awak mungkin sakit, bang! Sebaiknya besok pagi awak jumpa doktor!” ujar isterinya setelah masuk bilik tidur.
“Tubuh awak tu memang segar bugar, bang! Tetapi jiwa abang, siapa tahu kurang sihat?!”
YB Seman tersinggung. Wajahnya mendadak merah padam. “Jadi awak sangka jiwa aku ni sakit? Awak sangka aku dah gila?!”
Isterinya tidak menjawab. Tidak baik bertengkar dengan suami ketika menjelang tidur. YB Seman benar-benar marah. Kalau yang menuduh jiwanya kurang sihat itu bukan isterinya, pasti dia sudah melayangkan pelempang keras.
“Maafkan saya kalau kata-kata saya tadi menyakitkan hati, bang!” ujar isterinya dengan suara lembut.
YB Seman diam.
“Tetapi saya sangat cemas melihat abang sering saja ketakutan tanpa sebab yang jelas! Sebelum parah, sebaiknya abang segera pergi jumpa doktor! Awak seorang pemimpin, bang! Tak baik bagi seorang pemimpin membiarkan dirinya tak normal! Maaf, bang! Sikap penakut abang tu rasanya memang sudah tak wajar!”
YB Seman mendesah panjang. Rasa kantuk sudah menyerangnya. Dia tidak berghairah melayani ocehan isterinya. Segera dia memejamkan mata. Tetapi dia sukar tidur. Fikirannya berkecamuk. Dia sedar, sejak menjadi Wakil Rakyat, memang dia bersikap penakut. Penyebabnya tidak jelas. Dia cuma mampu mengagak saja, sikap penakutnya itu kerana ada kebimbangan yang berlebihan. Dia selalu bimbang kalau tiba-tiba warga daerah bertunjuk perasaan memaksanya letak jawatan. Dia sangat bimbang kalau nasibnya sebagai Wakil Rakyat sama seperti John Howard. Perdana Menteri Australia itu dipaksa letak jawatan oleh masyarakat kerana dinilai tidak berkelibar jadi pemimpin.
“Aku sangat bimbang kehilangan kuasa, kerana dulu untuk meraihnya aku harus mengeluarkan banyak tenaga dan wang ringgit!” gumamnya.
Lalu dia bergumam lagi. “Selain itu, kehilangan kuasa kerana terpaksa tentu sangat menyakitkan dan memalukan! Aku tak mahu terlalu cepat menjadi bekas Wakil Rakyat, sebelum masa jawatanku berakhir secara resmi!”
Isterinya sudah pulas di sampingnya. Bahkan, suara dengkuran isterinya mulai terdengar. YB Seman merasa terlalu sukar untuk tidur. Matanya terbuka lagi. Fikirannya terus berkecamuk. Banyak hal tiba-tiba seperti menari-nari dalam benaknya. Ramai orang yang dulu dianggapnya sebagai rakan baik, kini seperti membencinya. Mereka sering melontarkan kritikan keras kepadanya. Di antara mereka bahkan ada yang suka menghinanya di hadapan umum.
Dia teringat kejadian menyakitkan di warung kopi Wak Bosman, pada suatu petang. Ketika itu dia sedang menikmati secawan kopi dan sepotong pisang goreng. Tiba-tiba Pin Bodo, kaki bodek dalam partinya, melontarkan kata-kata pedas kepadanya. “Kalau YB tak mampu adakan padang bola untuk bermain di hadapan taman perumahan kami pada tahun ini juga, sebaiknya letak jawatan saja! Masih ramai orang yang lebih mampu jadi Wakil Rakyat!”
Sejak saat itu dia jadi sangat membenci Pin Bodo. Tetapi dia juga selalu takut kepada bekas ketua pemuda ‘tong kosong’ itu. Dia menyangka, Pin Bodo sudah mengincar jawatan Wakil Rakyat. Maka sejak itu dia selalu berusaha untuk tidak bertemu dengan Pin Bodo. Bahkan jika dia hendak masuk warung kopi Wak Bosman, sedangkan di dalam warung kopi itu ada Pin Bodo, dia terus mengurungkan niatnya.
YB Seman makin sering ketakutan, kerana orang yang suka berkata pedas seperti Pin Bodo makin ramai jumlahnya. Bahkan beberapa orang rakan dekatnya, yang seharusnya menghormatinya, tiba-tiba sering bersuara menyakitkan. Misalnya, Ramli yang mempersoalkan projek-projek yang dilaksanakan. “Kami dengar YB paksa setiap kontraktor bagi duit pada YB. YB kata, duit itu untuk parti. Tak kan peruntukan yang kerajaan bagi untuk YB setiap tahun tak cukup sampai nak ambil duit para kontraktor? Kontraktor pun nak bela anak bini juga...”
Persoalan yang dikemukakan oleh Ramli itu jelas sangat menyakitkan. Sebab memang benar YB ada minta dari setiap kontraktor. YB Seman telah membohongi masyarakat bahawa wang yang diminta dari para kontraktor itu adalah untuk parti sedangkan untuk tujuan peribadi.
“Rasanya ramai orang sudah membenciku, kerana aku menjadi Wakil Rakyat. Di antara orang ramai yang membenciku, mungkin rakan-rakan dekatku sendiri, yang selalu menginginkan peletakkan jawatanku!” gumannya lagi. Lalu dia dilanda ketakutan lagi, sehingga kening dan tengkuknya berkeringat sejuk.
Isterinya tiba-tiba terjaga dari tidur. Lalu melihatnya dengan hiba. “Laaa, belum tidur lagi, bang? Masih marahkan saya ke? Tadi saya kan dah minta maaf?”
YB Seman cuma terkebil-kebil. Matanya masih tajam, meski agak letih, menatap langit-langit bilik. Begitulah, dia sering tidak mampu tidur, kerana sepanjang malam terus menerus merisaukan nasibnya sebagai Wakil Rakyat.
Pagi itu YB Seman hendak berangkat ke dewan orang ramai. Tetapi dia mendadak menggigil ketakutan melihat banyak batu sebesar telur itik berserakan di hadapan pintu pagar rumahnya.
Isterinya hairan melihatnya pucat dan sedang duduk lemas di kerusi anjung. “Awak sakit ke, bang? Sebaiknya segera ke klinik! Ayuh kita berjumpa dengan doktor! Wajah abang nampak semakin pucat!”
YB Seman mendesah panjang. Degup jantungnya bergerapak hebat. Dia menyangka akan ada bahaya besar bakal menimpanya. Entah bahaya macam apa. Mungkin ramai orang akan datang berbondong-bondong ke rumahnya dengan wajah yang marah. Batu-batu yang berserakan di pintu pagar itu pasti dimaksudkan sebagai peringatan keras baginya. Batu-batu itu dianggapnya sebagai pengganas yang tidak boleh dianggap remeh.
Dia teringat kejadian yang pernah menimpa seorang bekas Wakil Rakyat. Dulu, di hadapan rumah bekas Wakil Rakyat itu, tiba-tiba ada banyak batu berserakan, dan esoknya, ternyata ramai orang marah dan mengamuk. Mereka menuntut reformasi, alias harus ada pergantian Wakil Rakyat, supaya tidak ada pilih kasih dalam pemberian kontrak, tidak ada potongan 10% dari para kontraktor yang berjaya dapat kerja, dan macam-macam lagi.
“Tak usah pergi ke dewan orang ramai, bang! Awak tu sakit! Ayuh ke klinik saja!” desak isterinya lagi dengan wajah yang cemas.
Tetapi YB Seman tetap tidak mahu ke klinik. Dan dia juga tidak jadi berangkat ke dewan orang ramai. Segera dia masuk ke dalam rumah dan kemudian tidur di biliknya. Tetapi dia tidak berjaya melelapkan matanya. Dia merasa kedudukannya sebagai Wakil Rakyat sudah terancam.
Isterinya tetap mendesaknya supaya segera pergi ke klinik. “Kalau awak tak mahu pergi ke klinik, biar doktornya datang ke mari, bang! Yang penting awak harus segera diperiksa oleh doktor!”
YB Seman tidak menanggapi omelan isterinya. Lalu isterinya segera ke rumah Doktor Haji Leman. Tidak lama kemudian isterinya pulang bersama Doktor Haji Leman. Ketika Doktor Haji Leman masuk ke ruang tamu, dia pura-pura tidur. Matanya dipejamkan rapat-rapat.
“Bang! Bangun! Doktor Haji Leman dah sampai!” kata isterinya sambil menarik-narik lengannya.
YB Seman pun bangkit dari katil dan segera melangkah menemui Doktor Haji Leman di ruang tamu.
“Sakit apa, YB?” taya Doktor Haji Leman.
YB Seman hanya mendesah panjang.
Isterinya menjawab pertanyaan Doktor Haji Leman dengan lugas: “Dah lama dia sering tak boleh tidur, dan sering ketakutan tanpa sebab yang jelas, tuan! Itulah penyakit yang dideriti suami saya! Tolong beri ubat yang terbaik, tuan!”
Doktor Haji Leman tersenyum. Dan setelah berdehem dua kali, segera memberi nasihat. “YB mungkin terlalu letih! Perlu berehat! Biasanya, seorang pemimpin memang sukar tidur, dan sering ketakutan tanpa sebab yang jelas, kerana terlalu banyak berfikir! Jadi, ubatnya cuma satu, segera berehat saja! Tak usah nak fikirkan lagi soal jawatan Wakil Rakyat tu!”
YB Seman bersungut-sungut. Dia curiga, Doktor Haji Leman juga termasuk orang yang ingin mengambilalih jawatannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA