Khamis, 28 Julai 2011

Ketibaan Ramadhan dan Kenaikan Harga Gula

SMAHADZIR


SELAMAT berpuasa kepada semua muslimin dan muslimat! Dengan datangnya bulan Ramadhan ini maka kuranglah kita makan. Sesungguhnya bulan Ramadhan boleh mengurangkan serangan pelbagai penyakit berbahaya seperti jantung, stroke, obesiti, darah tinggi dan sebagainya. Begitulah antara kebaikan yang boleh dipetik dari bulan Ramadhan.


Sekarang ini harga barangan dapur begitu tinggi. Bagi sesetengah orang, isu kenaikan harga barangan ini tidak begitu dipedulikan sangat kerana barangan yang harganya naik tersebut boleh gantikan dengan alternatif lain. Contohnya, kalau tak mahu menggunakan lebuhraya, boleh gunakan jalan kampung yang tak perlu bayar tol. Kalau tak mahu makan ‘cucoq kodok’ yang dibuat dari tepung, boleh makan ubi kayu rebus.


Baru-baru ini harga gula naik lagi, jadi RM2.30 sekilogram. Kenaikan ini tentunya disambut gembira oleh ‘pelabur politik’ yang sentiasa mencari modal untuk menghentam kerajaan. Mereka peduli apa dengan alasan yang diberi. Bagi mereka, alasan itu hanya ‘gula-gula’ menyedapkan hati. Mereka sinis dengan alasan bahawa harga di Malaysia masih rendah berbanding Indonesia RM3.80 sekilogram, Singapura RM3.61, Thailand RM2.31 dan Filipina RM4.50. Mereka tidak peduli bahawa kerajaan masih menanggung subsidi RM283.4 juta setahun walaupun kenaikan itu menjimatkan RM116.6 juta. Subsidi ini pula dinikmati oleh semua orang tak kira fahaman politik. Begitu juga dengan berjuta pendatang asing sama ada secara izin atau tanpa izin - dari ASEAN, Asia atau Afrika turut menikmati subsidi ini.


Kadang-kadang kita seperti diperbodohkan oleh golongan tertentu. Kononnya harga barang naik disebabkan oleh kerajaan yang memerintah. Tidak terfikirkan oleh kita betapa apabila sesuatu penawaran lebih tinggi dari penghasilan maka harga akan mencanak naik. Tidak terfikirkan oleh kita betapa lahan penghasilan produk sudah semakin berkurangan sedangkan permintaan semakin tinggi dengan bertambahnya populasi dari hari ke hari. Kalau kita lihat negara kita sendiri sudah cukup untuk kita rasional dalam berfikir. Sekitar tahun 70-an dulu, rakyat Malaysia sekitar 14 juta saja tapi sekarang dah hampir 24 juta. Kalau tahun 70-an dulu harga tepung hanya 20 sen sekilo tapi sekarang dah jadi RM1.40 sekilo. Kalau tahun 70-an dulu banyak sawah padi yang terbentang di depan mata kita tapi sekarang di atas sawah padi tersebut dah berdiri rumah-rumah kediaman. Begitu juga dengan ladang getah dan kelapa sawit. Kalau dulu boleh dilihat sepanjang jalan tapi kini sudah diganti dengan rumah-rumah kediaman manusia. Ini bermakna lahan penghasilan produk makanan telah berkurangan sedangkan permintaan terhadap produk tersebut semakin bertambah. Logiklah harga produk tersebut akan melambung kerana kadar permintaan yang terlalu tinggi.


Kita harus sedar bahawa tiba suatu ketika soal kediaman harus diutamakan kepada penduduk kerana mereka memerlukan tempat tinggal. Makanan akan dicari selepas tempat tinggal diperolehi. Begitulah tabiat manusia, di mana-mana saja. Tidak dinafikan semakin ‘tua’ dunia ini semakin tinggi kos kehidupan. Jarang sekali harga barang turun. Kebelakangan ini hujan pula dah jarang turun. Disangka panas hingga ke petang rupanya hingga ke tengah malam. Ditambah pula dengan suhu panas politik ciptaan manusia yang rakuskan kuasa dan kedudukan sehingga sanggup melakukan apa sahaja asalkan matlamat dan cita-cita mereka tercapai.


Suatu ketika dulu penulis pernah menulis mengenai harga ‘racun pembawa penyakit diabetes’. Ia mengenai kenaikan harga gula dan rokok. Kalau kita masih ingat, sekitar Januari 2010, harga sekotak rokok 20 batang ialah RM6.40 manakala harga gula naik 20 sen menjadi RM1.65 sekilogram. Itu harga pada Januari 2010. Kini sekotak rokok 20 batang mencecah RM10 hingga RM10.70. Rokok dan gula adalah ‘adik beradik kembar’ yang menyumbang kepada pelbagai penyakit kronik. Mungkin ada yang marah-marah jika kita diminta bersyukur dengan kenaikan harga ini kerana ada hikmahnya.


Pelbagai cara sudah dilakukan khususnya oleh Kementerian Kesihatan untuk mendidik rakyat supaya menjauhi tabiat merokok dan mengurangkan penggunaan gula. Kempen yang dianjurkan termasuk mempamerkan iklan ‘Tak Nak’ yang merujuk kepada katakan tidak kepada rokok. Mungkin orang lebih gemar melihat iklan ‘Hapuskan ISA’ daripada menghayati kata-kata yang dipamerkan oleh Kementerian Kesihatan. Kadangkala manusia lebih suka kepada keuntungan jangka pendek daripada jangka panjang. Bagi mereka, yang utama ialah mengurangkan harga gula sementara soal kos kesihatan di tempat kedua. Mereka lupa bahawa kos mengubat penyakit akibat gula dan rokok lebih tinggi daripada harga sekilogram gula atau sekotak rokok.


Ramai yang tidak sedar pelbagai bahan kimia dan toksik yang ada pada rokok akan bertukar menjadi ‘racun’. Kajian menunjukkan bahawa dalam rokok ada gas beracun pada ekzos kereta, racun rumpai, peluntur cat, pembersih lantai, racun semut putih, gas beracun, minyak pemetik api, minyak roket, racun gegat, sebatian organik yang mudah terbakar, bahan bateri kereta, racun serangga dan macam-macam lagi. Begitu juga dengan pelbagai penyakit yang disebabkan oleh rokok. Semua orang tahu mengenainya tetapi tidak ramai yang peduli. Lihatlah sejauh mana kesannya amaran imej ngeri pada kotak rokok. Banyak larangan merokok wujud di sana sini tetapi adakah perokok peduli?


Apabila pemimpin yang menjadi idola bercakap mengenai rokok, mungkin ramai yang tidak ambil pusing. Contohnya kuliah Jumaat oleh Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat. Mana satu yang menarik perhatian sama ada kenyataan berkaitan perokok atau pelaku video seks? Kata Nik Aziz seperti dilaporkan oleh sebuah akhbar: “Orang yang terbabit dalam komplot video berkenaan akan teruk nanti, selagi tak jilat kaki Anwar atas dunia ni, tak boleh masuk syurga dan ini sudah sah (tak masuk syurga). Hanya Allah saja yang dapat mengampunkan dosa mereka.”


(Nota: Diharapkan kenyataan ini tidak terpakai kepada kes video seks sahaja tetapi kes lain yang pernah mendapat perhatian orang PAS. Begitu juga dengan tuduhan terhadap pemimpin BN termasuk Dr. Mahathir Mohamad pada masa lalu).


Perokok tentunya tidak tertarik dengan kenyataan Nik Aziz mengenai umat Islam yang cuba menonjolkan keislaman melalui jubah dan ketayap tetapi menghisap rokok adalah lebih hina daripada lembu. Contohnya, lembu yang berak di tengah jalan tidak boleh diambil tindakan undang-undang kerana tidak mempunyai otak dan fikiran. Tetapi manusia yang mempunyai otak sanggup melakukan perbuatan yang menyalahi agama dan kesihatan, apatah lagi dalam keadaan berpakaian melambangkan Islam (kopiah atau berjubah). Maka mereka yang melakukan perbuatan (merokok) itu dianggap lebih hina daripada lembu.


Setakat ini, undang-undang berkaitan larangan merokok sekadar hiasan. Lebih mendukacitakan, papan kenyataan berkaitan larangan merokok pun dirosakkan. Kata orang mencegah lebih baik daripada mengubati. Sama seperti kesan merokok, gula juga membawa pelbagai penyakit. Ada yang kata lebih 60 dan ada yang percaya lebih 136 jenis penyakit.


Semua orang sedar penyakit angkara gula tetapi sekali lagi lebih ramai yang lupa penyakit ketika memesan teh tarik atau minuman bergula yang lain. Biar berapa harganya, teh tarik terus jadi pilihan. Ketika ini lebih ramai yang ‘bising’ mendengar harga gula naik kerana mereka bimbang minuman dan makanan juga melambung harganya. Justeru eloklah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan lebih tegas.


Diharapkan, menteri berkenaan, Ismail Sabri Yaakob bertegas dengan kenyataannya bahawa peniaga yang didapati menaikkan harga minuman dan makanan berikutan kenaikan harga gula akan berhadapan hukuman keras termasuk penjara seperti diperuntukkan di bawah Akta Kawalan dan Anti Pencatutan 2010. Akhirnya, bagi orang Islam, renungilah firman Allah s.w.t ini yang bermaksud: “Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan.” (Surah al-Baqarah 2:195).


Selamat menyambut Ramadhan!

Orang Munafik Ada Di Mana-mana

SMAHADZIR

Benarlah kata George Santanaya bahawa orang yang lupa sejarah akan mengulangi sejarah. Sebenarnya kita bukan lupa sejarah tetapi kita tidak pernah ambil iktibar dari sejarah. Kita belajar sejarah tetapi kita tidak pernah jadikan sejarah sebagai landasan untuk kita meneruskan perjuangan hidup. Kadang-kadang pula kita sengaja melupakan sejarah kerana ada sesuatu yang kita kejar. Lantaran itu, kata-kata George Santanaya itu wajarlah kita renung semula dan membuka minda kita untuk berfikir secara rasional.

Kita kembali sejenak kepada sejarah Islam silam. Perang Uhud adalah di antara peperangan yang masyhur dalam sejarah Islam. Ia berlaku selepas Perang Badar yang mencatatkan kemenangan pertama tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w. Jika Perang Badar masyhur kerana 313 orang tentera Islam berjaya menewaskan tentera musyrikin yang berjumlah lebih 1,000 orang, Perang Uhud diingati kerana kekalahan yang menyebabkan ramai pengikut Rasulullah s.a.w mati syahid termasuk bapa saudara baginda sendiri iaitu Saidina Hamzah bin Abdul Muttalib.


Menurut catatan sejarah, ada dua faktor utama yang menyebabkan kekalahan dalam Perang Uhud. Pertama, kira-kira 300 orang kaum munafik yang diketuai Abdullah bin Ubai telah berpaling pada saat-saat akhir, meninggalkan Rasulullah s.a.w bersama kira-kira 700 tentera Islam untuk menentang tentera musyrikin yang jauh lebih ramai.


Faktor kedua, kira-kira 50 orang pemanah yang Rasulullah s.a.w perintahkan supaya tidak meningalkan kubu di lereng bukit, telah melanggar arahan kerana mengejar harta yang ditinggalkan oleh tentera musyrikin di medan pertempuran. Tanpa pasukan pemanah Islam berada di tempat yang strategik di lereng bukit, tentera musyrikin yang sedang melarikan diri berpeluang mengumpul semula kekuatan dan melakukan serangan balas yang memberikan mereka kemenangan.


Perang Uhud memberikan pengajaran yang besar bagi memelihara kekuatan umat Islam. Mesejnya amat jelas iaitu, jangan percaya kepada puak munafik dan taatlah kepada perintah ketua atau pemerintah. Sesungguhnya orang munafik lebih berbahaya daripada orang-orang kafir yang memusuhi Islam kerana mereka pandai berpura-pura melindungi kemunafikan mereka. Pada zaman Rasulullah s.a.w, mereka turut membina sebuah masjid dengan tujuan untuk memecahbelahkan umat Islam.


“Dan (di antara orang-orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudaratan (pada orang-orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah belah antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya bersumpah: “Kami tidak menghendaki selain kebaikan.” Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya).” – (surah At-Taubah 9: 107)


Senang cakap, mereka ini ibarat pepatah Melayu ‘gunting dalam lipatan.’ Tidak mudah untuk mengenali mereka kerana pakaian dan cara hidup mereka zahirnya juga sama seperti lain-lain orang Islam. Malah ada yang kelihatan lebih warak dari segi pakaian dan perbuatan. Bagaimanapun mereka ini hanya dapat menyembunyikan diri daripada mata kasar kebanyakan orang. Mereka tidak dapat menyembunyikan diri daripada pandangan mata hati orang-orang beriman, jauh sekali daripada pengetahuan Allah s.w.t.


Orang-orang munafik ini asalnya adalah orang-orang beriman, tetapi disebabkan mereka lebih taat kepada hawa nafsu daripada tunduk kepada Allah, akhirnya mereka menjadi kafir dan munafik. Mereka ini amat susah untuk kembali ke pangkal jalan kerana Allah telah menutup hati mereka. Berapa banyak sekalipun nasihat dan teguran diberikan, mereka tidak akan berubah. “Yang demikian itu adalah kerana bahawa sesungguhnya mereka telah beriman, kemudian menjadi kafir (lagi) lalu hati mereka dikunci mati; kerana itu mereka tidak dapat mengerti.” – (surah Al-Munafikun 63:3)


Kepada umat Islam yang mengaku beriman, berwaspadalah dalam mengharungi kehidupan dunia. Janganlah kita diperangkap oleh godaan nafsu dan hasutan syaitan. Segalanya bermula daripada nafsu. Ingatlah bahawa ibu bapa manusia, Nabi Adam dan Hawa telah terkeluar daripada syurga kerana runtunan hawa nafsu dan hasutan Iblis (penghulu syaitan). Peringatan mengenai bahaya nafsu ini dinyatakan berulang-ulang dalam Al-Quran. Antaranya: “Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?” – (surah Al-Jaatsiyah 45: 23)


Sebab itulah Rasulullah s.a.w pernah mengingatkan para sahabat baginda bahawa jihad yang lebih besar selepas berperang membela agama ialah jihad melawan hawa nafsu. Orang-orang munafik ini telah menjadikan nafsu mereka sebagai tuhan kerana mereka membelakangi Al-Quran dan sunah Rasulullah dalam pendirian dan tindak-tanduk mereka. Lantaran itu Allah s.w.t telah menutup rapat hati mereka daripada menerima kebenaran-Nya. Tertutup hati sekalipun pada zahirnya mereka memakai serban, ketayap, selalu bersolat jemaah di masjid, malah ada yang kadangkala berdiri di atas mimbar membaca khutbah Jumaat.


Malangnya, ramai umat Islam yang lemah imannya mudah mempercayai mereka. Sebabnya, mereka ini mempunyai penampilan atau keterampilan yang memikat, selain pandai berkata-kata. “Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka (keterampilan luaran) menjadikan kamu kagum. Dan jika mereka berkata kamu mendengarkan perkataan mereka. Mereka adalah seakan-akan kayu yang tersandar (tidak kuat dan bersandar kepada kekuatan orang lain). Mereka mengira bahawa tiap-tiap teriakan yang keras ditujukan kepada mereka (mereka cepat melatah). Mereka itulah musuh (yang sebenarnya), maka waspadalah terhadap mereka; semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka sampai dipalingkan (daripada kebenaran)?” – (surah Al-Munafikun 63:4)


Jika anda masih sukar untuk mengenali sipakah orang munafik yang akan terus berada di kalangan umat Islam sejak zaman Rasulullah s.a.w hingga ke akhir zaman, renungilah hadis yang masyhur ini.


Dari Abdullah bin Amru, Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Ada empat sifat yang bila dimiliki maka pemiliknya adalah munafik tulen. Dan barang siapa yang memiliki salah satu di antara empat tersebut, itu bererti ia telah menyimpan satu tabiat munafik sampai ia tinggalkan. Apabila berbicara ia berbohong, apabila bersepakat ia berkhianat, apabila berjanji ia mengingkari dan apabila bertelingkah ia berbuat curang.” (Sahih Muslim)


Berbahaya sungguh orang munafik ini. Jika orang kafir memusuhi Islam, memang mudah kita mengenali mereka dan berwaspada. Tetapi tipu muslihat puak munafik sangat licik sebagaimana yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w.


Sebenarnya, pada hari ini umat Islam di Malaysia juga sedang berhadapan dengan puak munafik. Malah mereka ini tanpa segan silu menyokong puak kafir yang memusuhi Islam secara terbuka, sebagaimana yang akhirnya berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. Mereka begitu berani kerana mereka mendapat sokongan daripada sebilangan umat Islam sendiri. Apakah mereka yang menyokong ini sudah Allah tutup hati mereka?


Jika Allah sudah menutup hati mereka, tiada siapa lagi yang boleh menolong. Namun kita masih berpeluang memberikan nasihat dan teguran kepada kalangan yang baru berjinak-jinak dengan puak munafik ini. Jika mereka saudara-mara atau handai-taulan kita, sayangilah mereka. Nasihatilah mereka sebelum hati mereka terbenam ke lubuk kemunafikan dan tidak boleh diselamatkan lagi.


Dan kepada mereka yang beriman kepada Allah dan Rasulullah, marilah kita perangi puak munafik ini dengan menjauhkan diri daripada mereka. Jika mereka cuba melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan undang-undang negara, tentanglah mereka dengan cara terbaik yang dibenarkan oleh syariat dan undang-undang negara. Dan desaklah pihak berkuasa dan pemerintah supaya mengambil tindakan yang keras mengikut undang-undang terhadap mereka. Kita wajib melindungi negara yang dicintai daripada kerosakan dan kemusnahan angkara puak kafir dan munafik.

Apabila Manusia Lebih Jahat Dari Syaitan

Sungguh aneh sifat makhluk yang bernama manusia ini. Dia sanggup memperorakkan-porandakan sebuah negara tanpa mempedulikan bangsanya akan hancur atau lebur dek angkara perbuatannya. Dia sanggup membunuh bangsanya sendiri yang seagama dan sefahaman asalkan cita-citanya tercapai. Dia sanggup menghalang orang lain yang sebangsa dan yang segama dengannya melakukan ibadah di masjid lantaran tidak separti dengannya. Dan dia sanggup buat apa saja demi melonjakkan hasratnya untuk berkuasa tanpa mempedulikan masyarakat yang ada di sekelilingnya. Itu baru melibatkan soal pentadbiran di mandala yang kecil seperti taman perumahan, kampung dan mukim. Belum lagi kita bercakap soal pentadbiran negeri dan negara.

Saya sering tertanya-tanya bagaimana seorang manusia yang cukup sifatnya, matang akalnya, dan sihat tubuh badannya mampu bertindak seumpama lebih hina dari haiwan membunuh ribuan nyawa tanpa sekelumit perasaan belas kasihan. Bayangkan apakah perasaan seorang pemimpin yang mengarahkan pembunuhan ribuan manusia semata-mata kerana wujudnya perasaan benci dan dendam. Apakah mereka ini seolah-olah tidak ada perasaan, tidak ada belas kasihan atau sifat pemaaf, sesuatu yang dianugerahkan Tuhan bagi melengkapkan kewujudan manusia. Di manakah kewarasan mereka ini yang sanggup memilih bertindak di luar batasan kemanusiaan dan membunuh mereka yang tidak berdosa. Lebih menyedihkan semua ini dilakukan atas alasan dan perspektif yang terlalu sempit.

Malangnya kerana kuasa dan dendam semua pembunuhan itu ‘dihalalkan’ tanpa mengira umur dan jantina. Melihat kepada situasi ini, beberapa nama ‘besar’ seperti Adolf Hitler, Pol Pot, Joseph Stalin serta Slobodan Milosevic, Radovan Karadzic dan Ratko Mladic yang bertanggungjawab menyembelih umat Islam di Bosnia akan terus dikenang kerana berkongsi satu perkara. Mereka ini seperti hilang akal melakukan kekejaman di luar batasan kemanusiaan.

Mereka ini berkongsi ‘populariti’ sebagai manusia terkejam dalam sejarah moden manusia bukan terhadap orang lain tetapi di kalangan rakyat mereka sendiri. Lebih menyedihkan askar-askar mereka ini pernah berjiran malah menjadi rakan rapat kepada mangsa kekejaman sebelum berubah menjadi perogol dan pembunuh yang kemudian mengkambus mayat mereka tanpa sebarang rasa bersalah.


Perkhabaran terbaru tentang penangkapan bekas jeneral Bosnia-Serb, Ratko Mladic, setelah melarikan diri sejak sekian lama atas dakwaan pembunuhan beramai-ramai semasa perang Serbia-Bosnia disambut dengan penuh kesyukuran oleh kaum keluarga yang terselamat. Mladic, yang menjadi komander tentera Bosnia-Serb semasa perang Bosnia 1992-95, didakwa oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa pada 1995 kerana melakukan pembunuhan beramai-ramai lebih 8,000 umat Islam di Srebrenica dan melakukan pengepungan selama 48 bulan ke atas Sarajevo. Dia telah ditahan di Kampung Lazarevo, berhampiran bandar Zrenjanin kira-kira 100 kilometer dari ibu negara Belgrade pada 25 Mei lepas.


Mladic juga perlu dipersalahkan bersama Radovan Karadzic dan bekas Presiden Slobodan Milosevic kerana mengorbankan lebih 100,000 nyawa dan menjadikan sekitar 1.8 juta penduduk sebagai pelarian di seluruh dunia. Bagaimanapun adalah sangat dikesalkan Mladic dilihat langsung tidak menyesal, sedih atau malu dengan apa yang telah dilakukan. Malah dia dengan selamba menyatakan seluruh dunia mengenali siapa dirinya dan berbangga dengan apa yang dilakukan.


‘Saya ialah Ratko Mladic. Saya mempertahankan bangsa saya, negara saya dan kini mempertahankan diri saya. Saya mahu hidup untuk melihat diri saya bebas.’ Malah dia dilaporkan sempat berkata, rakyat Serbia patut menanggung sama kesalahan Perang Balkan itu kerana menyokong Milosevic. Milosevic bagaimanapun meninggal dunia akibat serangan jantung beberapa tahun lalu ketika dalam perbicaraan di The Hague.


Dunia juga pasti tidak akan melupakan bagaimana seorang pemimpin yang dilihat bijak dan pernah melanjutkan pelajaran ke Perancis iaitu Saloth Sar atau Pol Pot yang akhirnya turut berperangai binatang dengan membunuh lebih dua juta penduduk Kemboja. Malang bagi rakyatnya yang sememangnya hidup dalam kemiskinan terpaksa jatuh lebih melarat kerana dipaksa berundur ke belakang kerana penduduk telah dipaksa berpindah ke luar bandar untuk bercucuk tanam. Ketika itu wang tidak ada nilainya lagi. Makanan dan pelajaran digerakkan secara berkelompok. Pihak yang menunjukkan penentangan akan dibunuh secara kejam. Kemunduran telah mencetuskan krisis kebuluran, namun mereka enggan menerima bantuan asing.


Bersandarkan kepada pegangan komunis, tidak ada sebarang amalan dan pegangan agama dibenarkan dan orang Islam di negara itu merupakan antara pihak yang paling teruk menerima kesannya dengan masjid dan Al-Quran dibakar. Namun kekejamannya berakhir setelah askar Vietnam berjaya memasuki Kemboja pada 1978 dan Pol Pot melarikan diri ke Thailand. Beliau menghabiskan 20 tahun tinggal di kem dalam hutan di sempadan Thailand-Kemboja sebelum meninggal dunia pada 1998. Namun tidak ada yang boleh melupakan kekejaman Pol Pot yang hanya memerintah selama tiga tahun tetapi bernafsu buas seperti binatang walaupun mereka yang dibunuh itu adalah terdiri dari bangsanya sendiri.


Satu lagi nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi pastinya akan membuatkan kita sedar kesan apabila seorang pemimpin yang salah diberi peluang untuk berkuasa. Adolf Hitler walaupun mencatat sejarahnya yang tersendiri terutama dalam pembunuhan yang dikenali sebagai holocaust terhadap kaum Yahudi, namun beliau juga dianggap sebagai seorang yang terlalu fanatik dengan peperangan dan kuasa serta terlalu mengagungkan bangsanya, yang turut menjadi antara punca kekalahannya.


Walaupun pada peringkat awal beliau diangkat sebagai hero dan nasionalis namun akibat kegilaan dan obsesi yang melampaui batas untuk kuasa membuatkan jutaan bangsa Yahudi dibunuh secara kejam serta jutaan lagi mati akibat peperangan. Kini walaupun beliau sudah lama mati kerana membunuh diri bersama isterinya Ava Braum setelah kalah dalam Perang Dunia Kedua namun dunia akan tetap memandang serong terhadapnya kerana kekejaman yang berlaku ketika zamannya.


Begitu juga dengan seorang lagi pemimpin yang dianggap agung di Rusia, Joseph Stalin yang terkenal kerana membawa perubahan daripada ekonomi pertanian pembangunan industri dalam konteks komunisme. Namun akibat yang terpaksa ditanggung rakyat adalah terlalu ketara sehingga mengakibatkan kebuluran yang maha dahsyat. Dianggarkan antara empat hingga 10 juta orang terbunuh sepanjang pemerintahannya tidak termasuk mereka yang terkorban kerana kebuluran.


Dikatakan seramai enam hingga lapan juta lagi rakyatnya mati kerana kebuluran teruk yang berlaku pada 1932 - 1933. Jutaan mereka yang tidak sehaluan dengan Stalin telah dikerah dalam kem tahanan dan dibuang ke daerah pedalaman Rusia. Beliau juga seperti pemerintah sebelumnya, Lenin percaya bahawa agama adalah satu halangan dalam membentuk sebuah negara komunis yang ideal dan bertanggungjawab membunuh ratusan ribu pengikut, paderi, imam dan mempromosi amalan atheism. Dianggarkan seramai lebih 20 juta orang mati ketika era kekejaman Lenin sahaja.


Dalam era moden sekarang pembunuhan sebegini telah dilakukan secara terancang dan tidak dilihat sebagai kekejaman melalui peperangan yang dilakukan oleh pihak yang mendakwa diri sebagai polis dunia. Inilah yang dilakukan oleh pemimpin seperti George W. Bush yang bertanggungjawab membunuh ribuan rakyat Iraq dan Afghanistan namun terlepas kerana ia ‘dihalalkan’ dari sebarang hukuman.


Malah orang seperti Osama Ladin yang sekurang-kurangnya mempunyai pegangan perjuangan tersendiri dilihat sebagai pengganas yang melampau dan dilabel setaraf dengan Stalin dan Hitler tetapi tidak kepada orang seperti Bush. Melihat kepada kekejaman yang dilakukan adalah sangat menyedihkan kerana yang melakukan segala kerosakan ini terdiri dari pemimpin yang sepatutnya membawa kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat. Yang menjadi mangsa adalah rakyat yang tidak berdosa dan terpaksa dikorbankan tanpa sebarang nilai hanya kerana kegilaan kepada kuasa dan takhta sang pemimpin yang hilang kewarasannya.

Sejarah Dakwah Rasulullah Menggabungkan Politik Dan Rahmat Serta Dorongan, Bukan Dengan Kekerasan Dan Tipu Daya

SMAHADZIR

Dunia moden adalah dunia informasi dan hubungan. Dewasa ini, informasi memainkan peranan yang signifikan dalam perang antara ideologi. Ribuan stesen dan pemancar radio serta televisyen, puluhan satelit parabola, studio raksasa pembuatan filem dan muzik, ratusan situs internet dan ribuan buku serta majalah merupakan sarana perang antara ideologi.

Dakwah bermakna menyampaikan sesuatu. Di istilahkan bahawa dakwah memiliki makna usaha terencana untuk mempengaruhi ideologi atau perilaku seseorang bagi menjamin wujudnya tujuan yang diprogramkan sebelumnya. Setiap aliran dan ideologi memiliki pesan kepada masyarakat dan mengajak mereka untuk menerimanya. Dalam hal ini ditempuh berbagai kaedah yang sesuai dengan misi utama mereka untuk menjayakan tujuan tersebut.

Sejarah dakwah memiliki usia yang panjang, sepanjang usia kehidupan manusia di atas muka bumi ini. Dakwah juga menjadi program dan misi utama para nabi dalam menyampaikan risalah Ilahi. Dakwah dan misi para nabi memiliki keistimewaan tersendiri. Memahami aspek dakwah para nabi sangat bermanfaat bagi kita semua.

Allah s.w.t dalam surah an-Nahl ayat 36 berfirman, “Dan sungguhnya Kami telah mengutuskan rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): “Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut itu,” maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul).”

Semua Nabi mulai dari Nabi Adam hingga Nabi Muhammad s.a.w diutuskan oleh Allah s.w.t untuk membimbing umat manusia agar menyembah Tuhan Yang Esa serta membawa mereka dari kegelapan kepada cahaya Ilahi. Dakwah para nabi bukan sesuatu yang ringan. Dalam perjalanannya ternyata mereka menemui banyak hambatan dan rintangan. Para nabi juga memiliki kaedah berbeza dengan yang lain ketika menyampaikan ajaran Ilahi. Hal ini disebabkan setiap nabi diturunkan pada waktu yang berbeza dan umat yang berbeza pula. Dakwah dalam pandangan agama wujud dengan semangat religius dan memiliki tujuan untuk membimbing manusia. Menurut Islam, dakwah memiliki esensi pendidikan dan proses membantu manusia untuk mencapai darjat yang tinggi tidak seperti alat-alat propaganda Barat yang menyesatkan manusia.

Oleh kerana itu, dakwah dalam pandangan Islam senantiasa dibarengi dengan sejumlah masalah, seperti nasihat untuk bertakwa dan membersihkan diri, belajar dan beramal baik serta mencegah kemungkaran. Tidak hanya itu, dakwah dalam Islam biasanya dibarengi dengan nasihat-nasihat untuk berbuat baik. Tentunya dakwah seperti ini boleh direalisasikan jika sumbernya berasal dari pemberi petunjuk itu sendiri yakni Allah s.w.t.

Maknanya, pembawa pesan dan mubalig telah mencapai tahap kesempurnaan manusia sehingga memungkinkannya menyampikan pesan Ilahi kepada manusia tanpa menambah atau menguranginya. Dengan kata lain, pembawa pesan harus merupakan orang yang amanat dan jujur.

Allah s.w.t menyebut bahawa dakwah dan seruan para nabi sebagai sumber kehidupan manusia. Dalam surah al-Anfal ayat 24, Allah berfirman, “Hai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasulullah s.a.w apabila Rasulullah s.a.w menyeru kamu kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepada kamu, ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepada-Nyalah kamu akan dikumpulkan.” Menurut Al-Quran, memberi petunjuk seorang manusia sama halnya dengan menghidupkan orang tersebut.

Ketika Rasulullah s.a.w menerangkan kepentingan dakwah kepada Saidina Ali, baginda telah bersabda, “Wahai Ali! Jika Allah s.w.t melalui dirimu memberi hidayah kepada seseorang maka hal itu lebih mulia dari sinar matahari.” (Majma al-Bayan, 1, hal, 807). Matahari adalah sumber kehidupan dan Rasulullah dalam hal ini memberikan perumpamaan yang indah, dakwah dan memberi petunjuk kepada manusia lebih mulia dari matahari yang menyinari alam semesta.

Seperti yang diakui oleh majoriti ahli sejarah, pengutusan Rasulullah di Semenanjung Arab merupakan kejadian spektakuler dan berpengaruh besar, kerana setelah baginda diutuskan, bangsa Arab yang jahiliyah berubah menjadi bangsa yang mulia. Sewajarnya Rasulullah s.a.w dapat kita jadikan simbol mubalig yang berjaya. Dengan seorang diri baginda berjaya menyelamatkan umat yang jahil dan menyeret mereka dari kegelapan menuju cahaya kebenaran.

Rasulullah s.a.w memiliki tugas yang sangat berat kerana berhadapan dengan sebuah masyarakat yang rosak dan bobrok. Apa yang diucapkan oleh Saidina Ali dan terhimpun dalam Nahjul Balaghah menunjukkan bahawa betapa berat dakwah Rasulullah s.a.w. Saidina Ali berkata, “Allah s.w.t mengutuskan Nabi Muhammad sebagai pemberi ingat dan pembawa wahyu Ilahi serta Kitab Suci Al-Quran. Dan kalian, wahai kaum Arab, hidup bergelumang dengan kesesatan dan menempati daerah yang paling buruk. Kalian hidup di antara bebatuan dan ular. Kalian minum air yang keruh dan kotor serta memakan makanan yang menjijikkan seperti kadal. Tidak hanya itu, kalian juga suka berperang dan menumpahkan darah sesama manusia sehingga meretakkan ikatan kekeluargaan. Patung dan berhala berdiri megah di tengah-tengah kalian dan perbuatan dosa tidak pernah kalian hindari.” (Nahjul Balaghah, khutbah ke 26)

Sewaktu Rasulullah s.a.w diutuskan, pemikiran masyarakat Arab yang berkaitan dengan Tuhan dan Hari Kiamat dipenuhi oleh mitos. Tidak terdapat tanda-tanda pemikiran yang membangun di tengah mereka dan kebanyakan mereka buta huruf. Perempuan tidak mendapat tempat sama sekali di mata masyarakat Arab ketika itu. Oleh kerana itu, tidak segan-segan mereka menguburkan hidup-hidup anak perempuan yang baru dilahirkan. Sebenarnya apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w sehingga baginda dapat melalui jalan yang sangat sukar ini untuk menawan hati-hati yang keras bangsa Arab dalam tempoh yang relatif singkat?

Sebelum penulis menjelaskan metodologi dakwah Rasulullah s.a.w, perlu bagi kita mengetahui hal-hal penting dalam dakwah baginda. Pertama adalah pesan yang disampaikan oleh baginda. Jika kandungan pesan Rasulullah sa.w tidak memiliki kekhususan ini meski keadaan membantu, tetap saja ajakan baginda akan gagal. Rasulullah s.a.w menjelaskan ajaran dan pesan baginda dengan argumen yang rasional. Hal ini dibantu oleh pesan Ilahi yang keseluruhannya sangat rasional dan menghapus kegelapan dari setiap benak manusia.

Seruan Rasulullah s.a.w berasaskan rasional dan oleh kerana itu tidak ada akal sihat yang menolak ajakan baginda, kecuali mereka yang bodoh dan keras kepala. Di aspek lain, pesan Rasulullah s.a.w yang mampu dibuktikan kebenarannya dengan sendirinya membuka peluang diterima ajakan baginda oleh masyarakat. Allah s.w.t dalam surah Yusuf ayat 108 berfirman, “Katakanlah: Inilah jalan (agama)-Ku, Aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata, Maha Suci Allah, dan Aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik.”

Ayat ini menyebutkan bahawa penerimaan agama bukan didasari atas taklid membabi buta dan Rasulullah s.a.w dengan jelas mengajak manusia menyembah Allah s.w.t. Keistimewaan lain dakwah Rasulullah s.a.w adalah keselarasannya dengan nilai-nilai moral. Nabi s.a.w sangat menekankan berbagai masalah seperti keadilan, persahabatan, kasih sayang dan pengorbanan. Rasulullah s.a.w dalam dakwah baginda senantiasa memperingatkan manusia untuk menjauhi kezaliman, bohong, iri hati dan permusuhan. Baginda menyedarkan fitrah manusia yang sebelumnya dilapisi debu kebodohan dan mitos.

Masyarakat dan pendengar yang menjadi sasaran dakwah Rasulullah s.a.w tidak asing dengan apa yang baginda sampaikan. Hal ini bermakna terdapat keselarasan antara pesan agama dan keperluan fitrah manusia. Satu lagi, Rasulullah s.a.w mengetahui dengan jelas keadaan masyarakatnya dan nilai serta keyakinan mereka. Dari sini, baginda mampu membuka peluang bagi ajaran yang akan disampaikan nanti. Dengan demikian, kita saksikan, kaedah baginda sewaktu berdakwah memiliki beragam cara, bergantung kepada audiens yang dihadapinya. Misalnya, ketika menghadapi Ahlul Kitab, baginda sangat menekankan hal-hal kolektif yang terdapat di antara agama samawi dan sewaktu menghadapi kaum kafir baginda menekankan mereka untuk berfikir dan merenungkan ayat-ayat Tuhan.

Daya tarik Rasulullah s.a.w boleh ditemui pada ajaran yang baginda bawa seperti beriman kepada Tuhan dan Hari Akhirat, petunjuk kepada manusia untuk memahami hidup sejati di dunia dan akhirat, menegakkan keadilan serta menyelesaikan friksi dan permusuhan antara golongan, membanteras kezaliman dan kefasadan serta diskriminasi.

Sebelumnya telah penulis sebutkan kepentingan tablig dan dakwah dalam Islam dan telah penulis paparkan pula sejumlah keutamaan pesan yang baginda sampaikan. Di antara aspek menonjol dari pesan yang baginda sampaikan adalah rasional dan kesesuaiannya dengan fitrah manusia. Hal ini juga menjadi faktor kejayaan dakwah Rasulullah s.a.w. Aspek lain adalah pemahaman baginda dalam soal audiens dan lapangan membantu dalam menyampaikan ajaran Ilahi kepada masyarakat serta menambah pengaruhnya pada hati manusia yang berakal.

Allah s.w.t dalam surah an-Nahl ayat 125 menjelaskan metodologi umum dakwah Rasulullah s.a.w. Allah s.w.t berfirman, “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Hikmah, akal dan ideologi menjadi sasaran dalam berdakwah, kerana langkah pertama mengajak seseorang untuk menerima kebenaran adalah menggunakan argumentasi yang benar bagi membangunkan akal yang sedang terlelap. Langkah kedua adalah memanfaatkan nasihat bagi membangkitkan sensitiviti dan perasaan manusia. Nasihat dan peringatan lebih condong ke arah perasaan serta menenangkan kalbu setiap manusia. Dalam ayat ini, Allah s.w.t mensyaratkan nasihat dengan kebaikan, ertinya nasihat itu sendiri harus memuatkan kebaikan supaya dapat berpengaruh pada manusia.

Peringatan dan nasihat akan berpengaruh tatkala tidak dibarengi dengan kekerasan, pemaksaan, sombong dan menghina lawan bicara serta tidak menimbulkan rasa antipati. Langkah ketiga dalam menyebarkan ajaran Ilahi adalah berdebat dengan sopan. Metod ini khusus sewaktu menghadapi orang yang penuh dengan pemikiran keliru dan hanya dengan debat kita dapat menguras informasi keliru dari benak orang tersebut bagi mempersiapkannya menerima kebenaran. Tentu saja debat akan berguna dan menghasilkan ketika dilandasi kebenaran, keadilan dan kosong dari rasa ingin unggul dari orang lain. Rasulullah s.a.w menyebarkan ajaran Ilahi dengan berlandaskan pada prinsip-prinsip tersebut.

Metod dakwah Nabi Muhammad s.a.w dapat kita cermati dalam dua perkara. Pertama akhlak individu dan sosial baginda serta kedua adalah kaedah yang baginda pilih. Namun di sini peranan akhlak baginda paling menonjol dalam menopang kejayaan baginda dalam menyebarkan ajaran Islam. Allah s.w.t sendiri dalam Al-Quran menyebutkan bahawa Rasulullah s.a.w sebagai teladan akhlak mulia. Ertinya Rasulullah s.a.w dijadikan Allah sebagai model praktis ajaran Islam. Hati Rasulullah dipenuhi keimanan dan keyakinan. Baginda tergolong orang yang paling taat terhadap ajaran Ilahi. Karakteristik baginda ini menumbuhkan kepercayaan umat dan membuktikan bahawa menjalankan ajaran Islam bukan perkara yang sukar.

Akhlak mulia dan sikap penuh kasih sayang Rasulullah s.a.w termasuk faktor berpengaruh dalam dakwah baginda. Baginda menyampaikan pesan Ilahi dengan lembut dan sabar. Oleh kerana itu, baginda mendapat sambutan luas dari masyarakat. Ketika berpesan kepada Muadz bin Jabal yang dikirimkan ke Yaman untuk menyebarkan ajaran Islam, baginda bersabda, “Berilah khabar gembira kepada rakyat dan jangan membuat mereka menjauhi dirimu, berilah kemudahan kepada masyarakat dan jangan mempersulitkan mereka.”

Kesederhanaan hidup Nabi Muhammad s.a.w, satu lagi faktor kecintaan masyarakat kepada baginda. Hal ini membuatkan dakwah baginda semakin mudah. Dalam kehidupannya, baginda lebih memilih kehidupan yang sederhana dan menjauhi kemewahan. Bahkan sewaktu Islam berjaya tersebar ke penjuru dunia dan baginda mendirikan pemerintahan Islam di Madinah, kehidupan baginda tidak berubah. Sebagai seorang pemimpin, baginda tidak ingin bermewah-mewahan dan lebih memilih dekat dengan kehidupan orang-orang miskin. Dalam hal makanan, pakaian dan keperluan hidup lainnya, baginda senantiasa memperhatikan keseimbangan dan menempatkan dirinya setara dengan masyarakat, bahkan lebih rendah dari masyarakat umumnya.

Berwajah ramah dan murah senyum serta selalu menjaga sopan santun sewaktu berinteraksi dengan masyarakat yang dimiliki baginda sangat terkenal di kalangan umat. Dalam menyebarkan ajaran Ilahi, baginda sangat berlapang dada. Kadang-kadang kesabaran dan sikap memaafkan baginda membuatkan orang kafir rela memeluk Islam. Kelembutan dan kesabaran termasuk prinsip utama dakwah dan sejarah kehidupan baginda.

Rasulullah s.a.w dengan perintah Allah s.w.t, memulai dakwahnya secara rahsia dan hanya disampaikan di kalangan keluarga serta sahabat. Keluarga dan sahabat dapat menjadi pelindung baginda dalam berdakwah, khususnya dalam masyarakat yang menganut sistem kesukuan seperti masyarakat Arab. Allah s.w.t dalam surah as-Syu'ara ayat 214 dan 215 memerintahkan nabi untuk tawaduk. “Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat, dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, iaitu orang-orang yang beriman.”

Tidak syak lagi, menjahui sifat egois dan keras kepala termasuk kaedah terpenting dakwah. Ketika berdakwah secara rahsia, baginda mendapat dua orang penolong iaitu Saidina Ali dan Khadijah. Setelah berdakwah secara sembunyi-sembunyi selama tiga tahun, baginda mulai melakukan dakwah secara terbuka dan terang-terangan. Hal ini menunjukkan bahawa baginda dalam berdakwah menerapkan kaedah bertahap dan merupakan satu strategi baginda ketika menyebarkan Islam.

Ketika berdakwah secara terang-terangan, baginda giat melakukan pendekatan kepada individu mahupun kelompok. Setiap terbuka sebuah kesempatan untuk mengislamkan seseorang atau kelompok, baginda tidak membiarkannya berlalu begitu saja. Ketika masih berdakwah di Mekkah, baginda juga kerap mengadakan pertemuan dengan para pelancong, jemaah haji, pedagang dan tokoh berpengaruh. Selama masa dakwah terbuka, baginda juga aktif berkunjung ke berbagai kabilah dan mengajak mereka memeluk Islam. Dakwah baginda sewaktu berkunjung ke kabilah adalah mengajak mereka menyembah Tuhan Yang Esa dan mengimani kenabian baginda.

Nabi Muhammad s.a.w dalam dakwah tersebut menekankan kesamaan ajaran yang dibawanya dengan para nabi terdahulu. Ahlul Kitab banyak terdapat di Semenanjung Arab, khususnya di Madinah. Mengajak ulama dan pemimpin Ahlul Kitab untuk memeluk Islam dapat menarik pengikutnya untuk menerima Islam pula.

Hijrah merupakan strategi dan kaedah lain dakwah Nabi Muhammad s.a.w. Sewaktu tindakan kekerasan dan penyiksaan kaum Quraisy Mekkah kian meningkat, baginda mengirim sekelompok umat Islam dengan dipimpin oleh Jaafar bin Abi Thalib ke Habasyah.

Sewaktu berdialog dengan Raja Habasyah, Jaafar lebih banyak membicarakan sisi persamaan antara Islam dan Kristian. Beliau juga membacakan ayat-ayat suci Al-Quran tentang Maryam, ibu Nabi Isa a.s. Dengan demikian, Jaafar berhasil menarik simpati raja terhadap Islam. Hijrahnya Nabi Muhammad s.a.w ke Madinah dari Mekkah merupakan satu strategi untuk menyebarkan Islam di Semenanjung Arab.

Metod dakwah lain Nabi Muhammad s.a.w adalah mengirim utusan dan mubalig ke sejumlah negara. Sewaktu melepaskan mereka, baginda menekankan untuk menjaga nilai-nilai moral dan menghormati manusia. Sejumlah mubalig yang dikirim baginda berjaya menyebarkan agama Islam dan sebahagian lain masuk ke dalam makar musuh. Baginda juga menulis surat kepada sejumlah pemimpin negara termasuk Raja Mesir, Romawi dan Iran. Ini juga termasuk kaedah dakwah baginda yang boleh kita saksikan dalam sejarah perjalanan hidup baginda.

Isi surat baginda kepada pemimpin negara lain menunjukkan kedaulatan dan kekuatan Islam. Di sisi lain, surat tersebut tidak terkesan arogan. Teks surat itu menunjukkan iktikad baik baginda dan simpati baginda serta tekad kuat untuk menunjukkan jalan yang benar. Sejarah dakwah baginda menunjukkan bahawa penyebaran ajaran Ilahi harus menggabungkan antara politik dan rahmat serta dorongan, bukannya dengan kekerasan dan tipu daya.

Selasa, 19 Julai 2011

Bandung Kota Berbelanja Orang Malaysia

SMAHADZIR

USAH berkecil hati jika jurupandu pelancong di Bandung, Indonesia, berulang kali melabelkan ‘gila membeli’ atau ‘kaki shopping’ khusus bagi pelancong dari Malaysia. Jolokan itu mungkin kedengaran agak lucu dan sedikit sinis, tetapi inilah hakikat kota yang sudah sinonim gelaran syurga beli-belah. Namun, aktiviti beli-belah itu itu bukanlah satu-satunya terapi di Bandung yang berkeluasan 3,600 kilometer persegi dan merangkumi 26 kota yang dihuni lebih 42 juta penduduk itu.

Masih banyak lagi tarikan yang juga terapi minda, jiwa dan mata kepada pelancong yang berkunjung ke kawasan tanah tinggi ini. Bak kata pepatah, tak kenal maka tan cinta, itulah yang selayaknya merujuk tarikan lain kota Bandung. Pertamanya, apa kata kita selami dulu keindahan bahasanya. ‘Hatur Nuhun’ atau apa khabar adalah ucapan mesra dalam bahasa Sunda yang sering menyapa pengunjung. Sebagai jawapan balas, katakan saja ‘Rampes’ atau baik. Demikianlah sedikit ilmu bahasa diajar jurupandu pelancong kami, Encik Budi Triono Assor, kepada penulis yang menyertai rombongan pengkaji budaya ke Bandung suatu ketika dulu.

Para pemandu beca sedang menanti pelanggan

Tarikan utama Bandung adalah kewujudan gedung beli-belah yang lebih popular dipanggil Factory Outlet atau F.O yang tumbuh seperti cendawan lepas hujan. Malah kewujudannya itu ada kena mengena tabiat beli-belah sakan orang kita selain pengunjung tempatan serta dari negara lain. Gedung yang menawarkan pakaian berjenama terkenal ternyata umpan paling berkesan. Entah bagaimana lambakan material berjenama dan berkualiti ini boleh tersadai di Bandung yang turut dikenali Kota Parijs Van Java ini.

Walaupun pakaian yang dijual sudah tidak mengikut musim atau tidak mengikut gred kualiti tertentu namun kecacatannya sangat minimum dan dijual dengan harga amat berpatutan. Selera untuk membeli tambah terbuka dengan bentuk seni bina premis era ‘Parijs Van Java’ yang masih mengekalkan elemen Belanda dan seni ukir Sunda selain reka letak laman dengan air pancut dan memberikan suasana aman dan damai walaupun agak bersesak-sesak terutama di hujung minggu.

Bahagian depan Hotel Bandung Arion Swiss-Belhen

Dari Rumah Mode, Heritage, Summit, dan puluhan lagi F.O, adalah lebih bijak untuk meninjau dulu harga sebelum membeli. Jika anda mencari kain denim, destinasi tujuan haruslah ke Jalan Cihampelas atau digelar ‘The Street of 1001 Jeans’. Usaha ini pasti lebih mudah selepas Penerbangan Malaysia (MAS) memperkenalkan penerbangan terus ke Bandung dari Kuala Lumpur yang dilengkapi pula penerbangan servis penuhnya. Selain pakaian berjenama, pengunjung pasti mencari telekung sulam, kain ela, kain sarung, batik, barangan kulit, beg tangan dan pelbagai produk lain di Pasar Baru yang terletak di Jalan Otto Iskandardinata. Kompleks beli belah lapan tingkat ini tidak banyak berbeza dengan suasana di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan. Lebih melucukan, anda tidak berasa kekok, malah seperti di tanah air sendiri selepas berlaga bahu bukan dengan warga tempatan sebaliknya orang Shah Alam, Pulau Pinang, Ipoh, Melaka. Pendek kata, memang sesak dengan orang kita saja.

Pengangkutan awam yang terdapat di Bandung

Bagi penggemar budaya, satu-satunya pusat sehenti kesenian dan budaya Sunda di Kota Bandung adalah di Saung Angklung Udjo (SAU). Di sini, jiwa mudah serap dengan rentak akar budaya yang kaya dengan alunan semula jadi alam. Terletak di Jalan Padasuka 118, Bandung Jawa Barat, SAU diasaskan Udjo Ngalagena pada 1966 bersama isterinya Uum Sumiati, pusat kesenian ini bergerak sebagai studio kesenian serta gelanggang bagi mengenengahkan kekayaan seni budaya Sunda kepada pelancong asing dan juga tempatan. Pengunjung bukan saja disajikan dengan persembahan seperti Kawitan, Tarian tradisional Sunda, pertunjukan wayang kulit dan patung, malah berpeluang merasai sendiri pengalaman bermain angklung lagak seorang profesional hanya dalam masa lima minit saja. Lebih bertuah lagi sama-sama diajak menari bersama artis Angklung muda seawal usia lima hingga 20-an.

Gadis penyambut tetamu di Hotel Bandung Arion Swiss-Belhen

Jangan lupa singgah di gunung berapi aktif, Tangkuban Parahu, yang mempunyai ketinggian 2.084 meter dan kali terakhir meletus pada 1910. Gunung Tangkuban Parahu (perahu tertangkup) ini termasuk gunung api aktif dan diawasi Direktorat Vulkanologi Indonesia. Beberapa kawahnya jelas menunjukkan tanda aktif gunung ini. Di antara tanda gunung berapi ini adalah munculnya gas belerang dan sumber mata air panas di kaki gunungnya di antaranya adalah di kawasan Ciater, Subang. Gunung berapi ini dikaitkan dengan mitos unik mengenai Sangkuriang yang menyintai ibunya sendiri Dayang Sumbi.

Iklan sebuah filem yang mendapat sambutan hebat di Bandung

Di sinilah terletaknya Sari Ater Hot Spring Resort lokasi istirehat paling sesuai melepas lelah selepas penat membeli-belah. Manjakan diri dengan bertukar angin ke kawasan pergunungan yang lebih dingin dan menenangkan. Kolam air panas semula jadi Ciater, Subang Jawa Barat menanti kehadiran anda. Lokasi paling sesuai buat pasangan mempelai untuk berbulan madu dingin dan jauh dari hiruk pikuk dan kesesakan kota.

Hala arah ke Jakarta dan Bandung

Garut yang juga kawasan tanah tinggi kegemaran penjajah Belanda lain pula tarikannya, selain dodol dan batiknya yang unik pelancong boleh membeli hasil kraftangan dari akar wangi selain menyaksikan pertandingan laga kambing gurun sebagai tarikan budaya di situ. Di sini ada Candi Cangkuang abad ke-8 yang dibina bersebelahan dengan makam tokoh agama, Arif Muhammad. Uniknya, selain dibina bersebelahan, Candi dan makam yang terletak di tengah Kampung Pulo, hanya ada enam rumah dan satu masjid di pulau berkenaan.

Macetnya kota Bandung

Sabtu, 2 Julai 2011

Memaksa Pemikiran Masyarakat Adalah Perbuatan Firaun

Setiap kali tiba hari Jumaat akan berkumandanglah perkataan “negara berkebajikan” diucapkan oleh khatib pembaca khutbah terutamanya di negeri Selangor. Untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa “negara berkebajikan” ini ada dalam Al-Quran dan menjadi tuntutan agama Islam, inilah kaedah terbaik digunakan iaitu menyebarkannya melalui khutbah Jumaat. Hakikat ini samalah seperti “perjuangan menubuhkan negara Islam” suatu ketika dulu di mana khutbah Jumaat digunakan.


Tetapi setelah “istilah negara Islam” tidak ada dalam Al-Quran disebut oleh seorang pemimpin Islam dalam sebuah muktamar agung baru-baru ini dan “negara berkebajikan” pula yang diperjuangankan, maka sibuklah teks khutbah Jumaat menyelitkan perkataan “negara berkebajikan” untuk diperdengarkan ke telinga para jemaah. Para jemaah yang suka menggunakan akal untuk berfikir akan dapat menterjemahkan maksud sebenarnya yang tersirat terhadap muslihat ini. Ternyata pemikiran masyarakat Islam telah diprogramkan agar mengikut telunjuk segelintir pemimpin yang gila kuasa, yang cuba memaksakan dan menyeragamkan pemikiran manusia.


Memaksakan dan menyeragamkan pemikiran manusia seperti ini adalah satu jenayah kemanusiaan yang amat besar. Akibat daripada penyeragaman ini akal fikiran manusia menjadi tumpul. Masyarakat tidak berani berfikir dengan mandiri. Masyarakat menjadi tidak kreatif dan tidak produktif. Jadi yang perlu dipertanggungjawabkan adalah orang yang memaksakan penyeragaman tersebut. Ini kerana pihak terbabit telah menyalahgunakan kuasa yang dipercayakan kepadanya untuk kepentingan peribadi. Kuasa yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan masyarakat digunakan untuk memaksakan dan menyeragamkan pemikiran masyarakat. Kuasa yang sepatutnya dapat mensejahterakan dan memartabatkan masyarakat menjadi alat untuk melumpuhkan dan membodohkan akal mereka.

Pembodohan dan pelumpuhan akal atau pemikiran masyarakat seperti ini samalah dengan apa yang telah dilakukan oleh Fir’aun seperti yang digambarkan dalam Al-Quran, dilakukan dengan cara menanamkan rasa takut atau the culture of fear dalam diri masyarakat. Mereka dihina dan dipaksa tunduk kerana mereka dikatakan tidak memiliki pilihan lain. Untuk memastikan masyarakatnya tunduk, Fir’aun telah memastikan masyarakatnya kekal dalam kebodohan. Ini digambarkan dalam Al-Quran: ‘Maka Firaun mempengaruhi kaumnya (dengan perkataan itu) lalu mereka patuh kepadanya. Kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik.’ (Al-Zukhruf, 43:54).

Fir’aun juga mengatakan dengan angkuh: ‘Aku tidak mengemukakan kepadamu, melainkan apa yang aku pandang baik; dan aku tiada menunjukkan kepadamu selain jalan yang benar.’ (Mukmin, 40:29). Begitulah tipikalnya pemaksaan pemikiran yang telah dilakukan oleh pemimpin sebuah parti politik yang kononnya memperjuangankan negara Islam yang kini telah bersekongkol dengan juak-juak “penentang penubuhan negara Islam” dengan slogan ‘langkah mayat aku dulu sebelum tubuh negara Islam’ yang absolutis dan menindas ini.

Umat Islam hari ini sering dihadapkan dengan paradox. Mereka digesa untuk cemerlang dan maju tetapi mereka tidak digalakkan untuk berfikiran cerdas. Pemikiran cerdas yang saya maksudkan di sini sama dengan penekanan yang dilakukan oleh Ibnu Khaldun dan Malik Bennabi apabila mereka bercakap tentang pemikiran saintifik dan kekuatan pemikiran atau idée force. Orang yang berfikiran cerdas adalah orang yang kritis, terbuka dan bijaksana. Bangsa yang berfikiran cerdas adalah bangsa yang tidak ekstrim dalam pemikiran tertentu, tidak mengambil tindakan melulu, tidak fanatik dan taksub, tidak salah memilih pemimpin, tidak mudah diadudomba dan dipecahbelahkan, tidak mudah dibeli dengan dunia untuk menjual agama.

Untuk pengetahuan para pembaca, istilah Inggeris “negara berkebajikan” menurut ahli sejarah tersohor British, Asa Briggs telah diperkenalkan oleh Archbishop (Ketua Paderi) bernama William Temple semasa Perang Dunia Kedua. Semasa diperkenalkan, pendekatan itu bertentangan dengan konsep Jerman Nazi yang memperkenalkan “negara berperang” atau warfare state. Namun konsep asal negara berkebajikan itu mula diperkenalkan oleh ahli-ahli akademik Sozialpolitiker (Ahli Politik Sosial) Jerman sekitar 1870. Ia kemudian dilaksanakan di bawah dasar pembaharuan Perdana Menteri Pertama Jerman, Otto von Bismarck dikenali sebagai “Negara Sosial”.


Beberapa buah negara Barat kemudian mengikutinya. Itali memperkenalkan Negara Sosial atau Stato Sociale; pada tahun 1936 Sweden Folkhemmet (terjemahan langsung: rumah orang-orang tua). Di Sepanyol ia dikenali sebagai estado del bienestar atau “negara yang sejahtera”. Negara berkebajikan menurut prinsip Barat, yang mahu dibawa oleh sebuah pakatan politik di negara Malaysia sehingga sebuah parti yang kononnya memperjuangan Islam sanggup menggugurkan konsep Negara Islam, adalah berasaskan kepada prinsip iaitu peluang yang saksama, pembahagian kekayaan yang sama-rata dan tanggungjawab semua membantu yang susah.


Namun jika dikaji secara halus ia adalah konsep Malaysian Malaysia yang pernah diangkat oleh pemimpin PAP Singapura, Lee Kuan Yew - sehinggalah ia mendapat hak kemerdekaan memerintah negara pulau itu - hasil tekanannya yang mahu melaksanakan dasar itu ke atas Tanah Melayu. Kini Malaysian Malaysia, satu konsep yang mahu mengetepikan hak keistimewaan satu bangsa lain dan hak-haknya sedang dijana secara sistematik oleh sebuah parti serpihan PAP di Malaysia dan dibantu pula oleh oleh sebuah parti politik yang kononnya memperjuangkan Islam.


Negara berkebajikan, yang tiada pun diambil daripada rukun pembinaan negara Islam, akan diperkenalkan sekiranya Malaysia ini diambilalih oleh mereka kelak. Jika dilaksanakan nanti, ia bukan lagi merupakan dasar ekonomi yang membantu kaum-kaum yang susah dan menyeimbangkan kesejahteraan antara kaum seperti yang dilaksanakan dengan jayanya di negara ini. Penulis amat bimbang, konsep negara berkebajikan yang mahu dibawa oleh pakatan politik ini akan mengakibatkan perpecahan sosial yang lebih hebat. Jurang kecelaruan sosial akan melebar. Sekarang pun kita sudah dapat melihat gelagat pakatan politik ini dalam mengambil kesempatan atas isu-isu yang mereka anggap “boleh memberi peluang politik” seperti isu biasiswa dan sebagainya. Ahli-Ahli Parlimen mereka diseru supaya terus-menerus membangkitkan isu meritokrasi - dalam usaha mengapi-apikan kaum tertentu supaya membenci kerajaan dan bangsa-bangsa tertentu.


Apakah mereka menganggap murid-murid sesuatu kaum itu tidak bijak dan lemah sehinggakan semua biasiswa harus diberi kepada satu kaum lain yang bijak? Contohnya, jika diikut secara merit: Apakah mereka sanggup melihat murid-murid yang satu itu tidak boleh memperoleh walau satu biasiswa sekalipun kerana kaum yang satu lagi itu semuanya dianggap lebih layak mengikut acuan meritokrasi? Jika itulah caranya, maka berperanglah negara ini.


Ternyata, niat mereka sebenarnya bukan ke arah perpaduan rakyat, tetapi memperjuangkan semata-mata untuk sesuatu bangsa - dengan akhirnya penulis bimbang ia akan mengetepikan satu kaum, bangsa dan etnik yang lain. Jika itulah yang mereka perjuangkan, maka percayalah... itulah yang akan diterapkan dalam konsep negara berkebajikan tersebut kelak.


Malaysia bukan seperti Britain, Jerman, Itali, Sweden atau negara-negara Arab mahupun Brunei yang melaksanakan konsep negara berkebajikan. Di negara itu, mereka hanya mempunyai satu kaum asas yang besar berbanding dengan negara kita Malaysia. Malaysia mempunyai tiga kaum yang besar, dengan satu kaum asas yang tidak begitu besar dan sering dipertikaikan kedudukannya. Di negara-negara Barat, kaum asas mereka ialah berkulit putih, manakala yang lain-lain merupakan kaum pendatang, ataupun imigran dari negara-negara lain atau negara yang pernah dijajah oleh kaum asas itu. Maka itu pembahagian kebajikan tersebut lebih mudah dilaksanakan tanpa ada rasa marah kerana kebanyakan yang menerimanya adalah kaum asas yang majoriti.


Apa yang mahu kita lihat di negara ini ialah dasar kerajaan yang pragmatik dan berkesan. Dan terbukti dasar kerajaan Malaysia yang dilaksanakan sejak kemerdekaan telah berjaya membawa kesejahteraan kepada kita semua. Perkhidmatan kesihatan awam yang merupakan antara prinsip utama dalam negara berkebajikan, telah pun diamalkan di negara ini sejak dulu lagi. Rakyat Malaysia menikmati kemudahan itu secara percuma dengan pendaftaran hanya RM1. Begitu juga dengan pendidikan dan lain-lain. Cubalah pergi ke negara-negara lain, malah ke negara jiran ASEAN sekali pun, perkhidmatan kesihatan dan pelajaran Malaysia adalah yang terbaik. Apa yang diharapkan kerajaan dapat menambah baik lagi perkhidmatan dan mutunya supaya rakyat dapat menikmati faedah yang lebih besar. Penulis berharap Kementerian Kebajikan Masyarakat dapat diwujudkan semula, supaya kita semua sedar mengenai kewujudan dan fungsinya.


Moto 1Malaysia iaitu “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” sebenarnya merupakan satu tamparan kepada pakatan pembangkang, terutamanya dalam soal berkebajikan. Malah konsep 1Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga cukup memeritkan pihak pembangkang. Kata-kata Najib: “Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” membuktikan bahawa gagasan 1Malaysia lebih hebat dan murni daripada konsep berbaur cauvanis seperti Malaysian Malaysia.


Yang peliknya bagi pakatan pembangkang sendiri, walaupun mereka telah memerintah empat negeri - Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan - namun bayang model negeri berkebajikan itu pun tidak nampak? Apa yang ada Selangor hanya memberi beberapa baldi air percuma, yang kemudian mendatangkan pula masalah kewangan kepada negeri itu. Serta menziarahi orang mati dan memberi sedikit sumbangan. Pulau Pinang, negeri yang mahu melaksanakan konsep “Negara Berkebajikan” sendiri gagal melaksanakan kebajikan kepada rakyatnya. Semakin marak kemarahan orang ramai di negeri itu terhadap pentadbiran kerajaan, terutamanya membabitkan penjaja-penjaja kecil yang diketepikan. Sebaliknya dasar pecah dan perintah sedang diamalkan di negeri itu. Kondo-kondo mewah banyak dibina untuk faedah beberapa golongan masyarakat tertentu, menggantikan kampung-kampung miskin yang diroboh untuk didirikan dengan pembangunan mewah. Rumah-rumah awam juga gagal didirikan. Kedah dan Kelantan, yang diperintah oleh kononnya sebuah Parti Islam pun tidak nampak apa-apa yang berlaku - konsep negara Islam pun sudah digugurkan, dan slogan negeri kebajikan pula hanyalah kata-kata manis dalam khutbah setiap Jumaat.


Negara berkebajikan yang dilaksanakan di Barat sendiri pun kini dikritik hebat kerana telah mengakibatkan rakyatnya malas dan enggan bekerja, kerana mengharapkan bantuan kebajikan daripada kerajaan. Di Britain ia sudah dibahas hebat ekoran masalah kemalasan bekerja kerana mengharapkan elaun-elaun pengangguran dan pelbagai benefit yang disediakan oleh kerajaan. Golongan pekerja dan peniaga pula sebaliknya berang kerana cukai yang tinggi dikenakan ke atas mereka untuk membiayai kebajikan rakyat yang tidak bekerja itu. Malah harga minyak di sana pun tidak disubsidi oleh kerajaan, seperti yang dinikmati oleh rakyat Malaysia kini. Harga semasa petrol di UK ialah RM6.70 seliter.


Kesimpulannya, apa yang cuba diperkenalkan oleh pakatan politik ini, sehingga sebuah parti yang kononnya memperjuangkan Islam sanggup mengorbankan perjuangan Islamnya, hanyalah semata-mata satu pendekatan gimik popular. Namun secara halus ia sebenarnya adalah konsep perjuangan lama Lee Kuan Yew, iaitu Malaysian Malaysia. Malangnya, orang Melayu terpaksa mengikut telunjuk bagi menyelamatkan tengkuk seorang pemimpin dan parti yang kononnya memperjuangkan Islam rela dicucuk hidung kerana mengidam ke Putrajaya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA