SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM
Orang Melayu menjadikan alam sekitar sebagai panduan dalam membentuk budaya mereka yang meliputi segala aspek kehidupan seperti sosial, ekonomi, kesenian, agama dan kepercayaan. Hubungan orang Melayu dengan alam sekitar amat berkait rapat sehingga dapat dilihat jelas dalam budaya dan sastera lisan mereka.
Pokok Hari
‘Berpokok’ bermaksud berasal, bermula, berasas, berdasar, berpangkal, berlantaran, bersebab. Ungkapan ‘pokok hari’ bermaksud tahu membaca atau meramal cuaca pada hari itu. Masyarakat Melayu yang mesra alam ini memang pandai melihat pokok hari.
Pokok hari dapat dilihat pada waktu pagi, ketika sinar matahari mulai memancar. Melalui pengamatan darjah kepanasan terik matahari, rasa bahang dan perubahan awan, orang Melayu sudah dapat membaca pokok hari bahawa hujan akan turun pada waktu petang atau malam.
Sebagai contoh, sekiranya panas Matahari begitu menyengat bagai menggigit kulit, dikatakan hujan lebat akan turun pada waktu petang. Sekiranya awan kelabu berarak pada waktu petang, dikatakan akan turun hujan pada waktu malam.
Manakala jika tiada bintang kelihatan di langit pada waktu malam, dikatakan hujan akan turun awal pagi. Itulah yang dinamakan pokok hari, untuk menilik perubahan cuaca samada hujan atau panas.
Tanda Pada Awan
• Jika pagi hari berkabus tebal, musim itu adalah musim terang dan udara amat panas.
• Jika melihat awan tipis dan mudah ditiup angin, menandakan tidak akan turun hujan pada hari itu.
• Jika awan di bahagian bawah berwarna merah muda, akan berlaku hujan angin.
• Jika terlihat banyak sekali awan yang berwarna biru muda atau biru susu, akan turun hujan yang lama.
• Jika pada pagi hari awan kelihatan merah, akan turun hujan nanti.
• Jika awan berwarna putih susu, angin dan hujan akan datang bergantian.
• Jika siang hari panas dan matahari ditutupi awan, akan turun hujan yang lebat pada petang hari.
• Jika udara panas dan awan nampak bergerak ke kanan dan ke kiri, akan ada petir yang menyambar.
• Jika siang hari ada awan merah, akan berlaku angin kencang atau ribut.
• Jika pada pagi hari ada awan yang hujungnya berwarna merah, maka pada petang hari akan turun hujan lebat disertai angin kencang.
• Jika awan kelihatan mendung bergumpal-gumpal di kaki langit, akan berlaku hujan ribut.
• Jika matahari terbenam dan ada awan merah, maka pada pagi berikutnya menunjukkan udara akan terasa amat panas dan cuaca cerah.
• Jika terlihat awan menuju ke arah barat laut atau barat daya, hari terang dan tidak akan berlaku hujan.
Tanda Pada Teja
Teja bermaksud cahaya di langit. Teja juga boleh dikatakan awan merah atau kekuning-kuningan yang kelihatan di kaki langit sebelah barat ketika matahari masuk. ‘Teja keluang’ bermaksud cahaya terang yang nampak di langit setelah hujan ribut. ‘Teja Membangun’ atau ‘Teja Membatang’ bermaksud teja yang tegak lurus melintang di langit. Menurut bijak pandai orang Melayu dahulu, teja di langit dapat memberi makna pada kehidupan manusia.
• Jika hujung cahaya teja sampai ke sesebuah desa, ertinya desa itu akan menjadi kosong tak berpenghuni.
• Jika hujung cahaya teja sampai ke sesebuah masjid, ertinya akan berlaku banyak kematian.
• Jika kelihatan Teja Membatang, ertinya ada raja atau pembesar meninggal dunia.
Kesimpulan
Alam sekitar adalah bahan untuk manusia bertafakur yang membawa kepada pengertian dan kefahaman sebenarnya tentang Tuhan dan kehidupan. Alam sekitar adalah alam semesta yang merupakan ciptaan Allah yang menunjukkan Asma’ dan sifat-sifat Allah yang begitu sempurna. Memahami pokok hari hanyalah untuk meramal cuaca supaya dapat memudahkan pekerjaan masyarakat.
Dari Lensa Ego dan Kaca Cermin
9 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan