Isnin, 15 Mac 2010

Di Lembah Menam Chao Praya

(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Nona terbitan Karangkraf Sdn Bhd dan telah diantologikan dalam antologi Gadis Dari Betawi)

SMAHADZIR 

MALAM cantik. Tenang dan harmoni. Menam Chao-Praya yang berliku-liku, beralun lunak di hadapanku namun semakin kabur dibajui wajah yang kian kelam. Suasananya mulai temaram, berbalam-balam dan suram tetapi tetap setia menghembuskan bayu nyaman yang segar ke persekitarannya.

Di sisiku sekarang berdiri Surantani, seorang gadis ranvong, anak mak cik Surapon bergaun nipis beropol, terkedik-kedik hujung bawahnya diraba angin malam yang miang menderu dari tengah sungai. Kedinginannya membuatkan aku berasa amat segar sekali.

Melemparkan pandangan ke arah sungai, kami bagaikan menyesali kehilangan panorama indah semula jadi Menam Chao-Praya, meski terusik oleh sinar neon yang bergemercikan dan bergemerlapan. Sesekali memantulkan kilauan riak airnya mengapungi keindahan suasana. Dusit Thani di kejauhan seolah-olah menggamit kemesraan dan kerinduan yang sekian lama berputik.

Lidah kelu kala bila mata bertentangan, sambil menghirup bayu malam yang segar, aku dan Surantani terpegun seketika, menyisih lelah selepas seharian melewati yojana perjalanan berliku-liku dari Narathiwat ke Kota Venice Timur, sebuah metropolitan sibuk Negara Gajah Putih ini.

Buat pertama kali sejak lebih kurang enam bulan yang lalu aku menemui Surantani di Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok. Dia dan ibunya menyambut kedatanganku di situ. Mak cik Surapon begitu gembira sekali dengan ketibaan anak saudara tirinya dari Johor ini. Maklumlah, pertalian antara kami begitu akrab cuma masa dan keadaan saja yang telah memisahkan.

Aku merenung gadis sunti di sebelahnya dan serta merta si gadis tertunduk malu. Namun begitu jari jemari kami gesit berpautan. Kemesraan begitu pantas mengisi ruang. Kami bagaikan sudah lama berkenalan. Sedikit bergemirap di puncak rasa. Dada menggerutup dengan debaran menggunung.

Aku seolah-olah dapat mentafsirkan renungan mata gadis itu, sewaktu mata kami bertentangan buat kali pertama.

Aduh! Kenapa jari jemariku jadi gementar tidak keruan? Tiba-tiba saja aku berasa amat malu dengan mak cik Surapon yang sekilas melihat drama kemesraan itu.
Namun, dia berpura-pura tidak terkesan dan membiarkan kami berpautan tangan. Memang sudah ada hasrat yang suci di hatinya untuk direalisasikan untuk hidup masa depan kami berdua.

Surantani, melalui surat-suratnya lewat bulan-bulan yang lalu, mendesak aku datang menemui keluarganya, keluargaku juga. “Kami semua rindukan kedatangan abang!” Dia menulis. “Keluarga kita di sini ingin mengenali abang secara lebih dekat lagi, terutama adik-adik saudara tiri abang di sini. Apatah lagi Suratani sendiri. Kami ingin menghu-bungkan kembali tali persaudaraan yang sekian lama terpisah oleh masa dan keadaan. Kami harap, jarak perjalanan tidak lagi jadi penghalang. Adat budaya tidak lagi sebagai alasan pemisah hubungan kekeluargaan kita!”

Demikianlah kata Surantani di dalam surat-suratnya itu. Bait-bait perkataan itu tetap aku ingat dan kusimpan di kotak memori sehingga kini.

Sesungguhnya, pada saat itu, aku juga amat merinduinya. Aku sendiri tidak pasti, apakah rindu itu terlukis untuk seorang kekasih atau terhadap adik dan keluarga? Entah! Tetapi hakikatnya begitulah! Realitinya, aku sentiasa saja digamit keresahan dan kerinduan yang tiba-tiba saja bertandang ke sanubari bila terkenangkan Surantani.

Sewaktu aku di kelilingi keluarga di Narathiwat ini, Surantani seolah-olah penterjemah perhubungan kami. Cerita lamanya tidak begitu sukar untuk disingkapkan. Pertalian darah antara aku dan Surantani memang amat nyata dan rapat.

Ayah aku pernah beristeri di sini. Kakak kedua mak cik Surapon menjadi pilihan hatinya. Mereka telah dikurniakan tiga orang anak, dua orang perempuan dan seorang lelaki. Khabarnya sudah menetap di kota Bangkok dan Chiengmai. Ini bermakna aku mempunyai adik beradik di sini, sebelah Surantani. Kalau mahu diikut turutan keluarga, Surantani adalah adik sepupu tiriku.

Begitulah hubungan antara aku dan Surantani. Dan, inilah kali kedua, selepas enam bulan kemudiannya, aku datang lagi menemui Surantani di Narathiwat ini. Kedatanganku kali ini bersama sekeping hati rindu yang lebih memuncak buat seorang gadis ranvong!

Kekasihku?

Entahlah... masih terlalu awal untuk dibuat sebarang hipotisis. Pastinya, Surantani pun begitu juga. Dalam lembaran-lembarannya lewat bulan-bulan terdahulu, banyak benar membariskan aksara kerinduan. Setiap baris tulisan-tulisannya itu terselit rayuan agar aku segera datang menemuinya.

Mak cik Surapon memang memahami dan seolah-olah dapat menyelami isi hati kami berdua. Dia sendiri pernah melalui zaman muda yang bergelodak dengan api cinta. Sewaktu aku melahirkan keinginan untuk melawat lebih jauh ke daerah lain di Thailand ini, dia meminta supaya Surantani menemaniku. Walaupun ahli-ahli keluarga yang lain saling pandang memandang bagaikan tidak percaya, tetapi akhirnya mereka mengerti dan mengizinkan juga.

“Pergilah! Kamu tak usah bimbang apa-apa. Mak cik dan seluruh ahli keluarga kita di sini mengizinkan kamu pergi bersama Surantani!” ujar mak cik Surapon.

Aku mengangguk dan tersenyum senang.

“Jaga dia baik-baik. Dia adikmu!” ujar mak cik Surapon lagi.

Aku senyum dan mengangguk lagi, faham makna yang tersirat. Anggukanku adalah sebuah jaminan bahawa aku akan menjaga Surantani seperti yang diharapkan.
Selepas bersalaman dengan semua ahli keluarga, kami pun segera berangkat. Kami menyewa sebuah jip, menghala ke utara, ke daerah subur perkampungan petani menuju lembah Menam Chao-Praya.

Malangnya, dalam perjalanan, Suran-tani tidak dapat menahan dirinya. Mungkin kerana tidak berapa biasa mengharungi perjalanan begitu. Kepalanya sering saja pening dan kemudiannya meminta pemandu jp memberhentikan kenderannya kerana muntah. Surantani kemabukan akibat olak alek jip yang merempuh jalan berliku-liku menuju ke destinasi impian kami.

Setelah beberapa termuntah, akhirnya Sutantani terbaring lesu di pangkuanku. Pemandu jip tidak mencurigai apa-apa kerana mungkin dia menyangka Surantani itu isteriku. Atau mungkin juga itu bukan urusannya untuk diambil tahu kerana tugasnya sekadar sebagai pemandu yang segala bayaran upah sudah dilunaskan sejak di Narathiwat lagi.

Mulanya aku agak tergamam tetapi spontan pula tangnku memicit-micit lembut bahu dan leher Surantani, seolah-olah sepasang suami isteri walau pun jari jemariku begitu bergetar sekali dan olak dada yang amat menggerutup.

Pemandu jip langsung tidak mempedulikan kami lagi. Sewaktu Surantani terkulai di pangkuanku, kurenung wajahnya dengan penuh kasih sayang. Dia umpama sehelai kanvas putih yang boleh dilakarkan warna-warna kesukaanku.

Hmmm… inilah waktunya untukku membalas dendam yang diwarisi oleh ibuku yang telah dipisahkan cintanya - terhadap kesepian dan kerinduan seorang anak yang tidak pernah mengenal bapanya.

Bisikan syaitan gesit menerpa dari pelbagai sudut. Lantas naluriku tercampak ke pergunungan nafsu yang mencuar. Aku cuba mengawalnya, menghalangnya tetapi ia datang bagaikan mendung pekat di pundak langit yang menanti detik terbaik untuk memburaikan titis airnya ke jagat raya.

Ayahku seorang ahli perniagaan kecil yang gigih, cekal lagi kuat berusaha. Bertubuh kecil tetapi bersemangat waja. Pada awal-awal tahun 1950-an, dia sanggup merentas sempadan, meredah halangan dan rintangan demi cintanya terhadap perniagaan dan pengembaraan mencari rezeki sesuap nasi untuk keluarga. Lantas dia begitu tega meninggalkan desa kelahiran dan keluarga.

Di Narathiwat, ayahku telah jatuh cinta dengan seorang gadis primadona. Betapa buat kali pertama dia terpikat tatkala menemui gadis itu bersama teman-teman di atas pentas menora sedang menari lemah gemalai di alun irama ranvong di bawah sinaran neon berwarna warni.

Dari bawah pentas, dia melihat kecantikan dan tingkah laku seorang gadis ayu yang sedang meliuk lentuklan tubuh dibuai tarian ranvong itu dengan hati yang amat bergejolak. Gadis itu rupanya telah menjentik kekosongan sekeping hati yang sudah berpunya, sedang dia dia tidak langsung menyedari bahawa ada sepasang mata galak yang asyik merenung tubuhnya yang lemah gemalai itu.

Bila hati sudah digoda nafsu, lalu ayahku pun ingin bermukim di situ, dengan membina sebuah keluarga di atas landasan kejujuran. Maka terciptalah sebuah perkahwinan yang telah direstui keluarga sebelah pihak si gadis.

Tetapi, kemesraan yang terjalin tidak dapat berpanjangan. Ayahku terpaksa pulang semula ke Johor. Ayah rindukan isterinya yang sudah lama ditinggalkan, yang sedang sarat mengandung. Lantas ayah pun pulang.

Sebulan kemudian, ayah kembali semula ke Narathiwat dan meninggalkan pula isteri pertamanya di Johor. Ayah sengaja membiarkan isteri yang setiap detik ditemani kerinduan itu memandam rasa dan menjeruk hati.

Lama ayah terpendam di Narathiwat. Khabarnya, berbelas-belas tahun ayah tidak pulang ke Johor selepas itu. Isteri pertama yang ditinggalkan itu sering menunggu kepulangan suami tercinta.

Apabila matahari condong dan angin petang galak bermain, dia duduk memerhatikan kapal-kapal dagang yang singgah di dermaga Pantai Mersing. Isteri itu dipanahi busar kerinduan yang parah. Dia duduk di bawah sepohon semarak api rendang, merenung sayu ke dada laut yang beralun tenang.

Namun, bayu petang dan alun laut hanya mampu menolak bilah-bilah waktu yang menghampakan. Segalanya kosong dan amat menjelirkan. Sehingga dia melahirkan aku, ibu tidak juga dapat menatap wajah suami tersayang.

Alangkah terseksanya batin ibu kala itu. Air mata bukan lagi penawarnya. Berbelas tahun jiwanya terseksa parah. Fikirannya berkelana hampa. Walaupun kasih sayang dan cintanya tercurah kepada seorang anak, namun dia mahu cinta dan kasih sayang itu sama-sama dimesrai.

“Ini anak kita, bang! Zuriat kita ber-sama!” bisik ibu. “Anak yang lahir dari kemesraan, kesatuan kasih sayang dan penyerahan cinta yang total. Ikhlas dan sukar dimengertikan nilainya!”

Namun, pupukan cinta dan kasih sayang yang menguntum mekar di kalbu ibu, bukanlah selamanya murup menggerbak dibelai embun pagi. Ia menguncup jua apabila kemarau gersang menyapa kasar.

Apabila sinar mentari mula meninggi, kebekuan setia ibu mulai mencair. Isteri mana yang dapat bertahan dengan kesetiaan melulu, kalau kesetiaan itu hanya berada di sebelah pihak sahaja? Suami yang dinanti, entah di mana. Ibu ditandangi cemburu setiap detik lebih-lebih lagi kala mengingatkan seorang lelaki yang bernama suami.

Sampai bilakah ibu harus bersabar. Akhirnya, ibu tidak terdaya lagi menahan dan menentang arus kesepian dan kesunyian. Cinta dan kasih sayang yang sudah disemai terhadap ayah menjadi sirna. Rindunya menjadi syak wasangka. Dan apabila musim berlalu, terlalu jauh meninggalkan kepedihan yang amat menghenyak, lantas ibu mengambilkeputusan untuk memisahkan dirinya dengan ayah. Ibu ke pejabat khadi memohon fasakh.

Takdir Tuhan itu tidak terduga oleh hamba-Nya yang lemah dan naif ini. Dalam waktu yang sama, ayah yang sentiasa menyebut-nyebut nama isterinya, tidak tertahan lagi diamuk kerinduan.

Kerinduan itu tidak mengenali halangan demi cinta dan kasih sayangnya yang marak menyala itu, lalu dia kembali meredah rintangan, meneyberangi halangan, mengharungi perbatasan dua negara.

Kemudian, dari utara, ayah menyusur langkah ke selatan mendapatkan isteri pertamanya yang tercinta. Tetapi sebaik sahaj kakinya menjejak kampung halaman, berita yang cagun di telinganya amat menyayat dan mengharukan hati. Haknya sudah tiada lagi di situ. Seorang pemuda tampan tempatan lagi tegap pagan tubuh badan sudah menggantikan tempatnya di sisi ibu secara sah dan direstui semua sanak saudara dan ahli keluarga.

“Kami semua menyangkan kau sudah mati, Halim! Hampir 20 tahun kau tak menjenguk kampung halaman dan anak isteri,”

“Perniagaan saya mengalami kemerosotan dan saya tak mampu pulang ke mari!”

“Habis, ke mana kau selama hampir 20 tahun itu?”

“Saya di Narathiwat!”

“Seorang?”

“Tidak! Saya sudah berkahwin dengan seorang gadis di sana dan kami sudah pun mempunyai tiga orang anak!”

“Pulanglah kau ke sana semula. Hak kau sudah tiada di sini!”

Hati ayah digelumangi kehancuran yang parah. Khabarnya, dia terlalu hampa dan kecewa. Lalu dia bertekad tidak mahu pulang ke mandala Siam itu lagi. Sekali gus tidak mahu lagi meneruskan perjalanannya untuk berpatah pulang walaupun hatinya digamit kerinduan terhadap isteri dan anak-anaknya di sana. Hanya kesabaran dan pasrah kepada suratan sahaja yang mengiringi perjalanan hidup ayah. Dia terpaksa menelan segala kepahitan, kekecewaan dan kehancuran di tanah kelahirannya sendiri.

Itu kisah yang aku tahu dari mulut ibu. Selepas itu, ibu tidak lagi bersua denan ayah sehingga sekarang. Namun begitu, ada berita mengatakan ayahku telah meninggal dunia di Indonesia. Entahlah, aku sendiri kurang jelas dengan berita tersebut.
Aku mengamati wajah Surantani yang masih lena di atas ribaanku. Begitu mesra dia merebahkan kepalanya sedang jip terus meluncur tanpa peduli apa yang berlaku di perutnya. Kala itu Surantani bagai kanak-kanak kecil yang sedang bermanja dengan ibu kandung sendiri. Wajah gadis itu sedikit lesi kerana kemabukan. Memang Surantani terlalu manja. Barangkali juga terlalu mengharap.
Mengingatkan kisah silam ibu yang lara memilukan dan menyelami rasa hati seorang anak yang ditinggalkan tanpa kasih sayang dan kecanduan ditimang ayah, aku sememangnya memendam dendam untuk menuntut bela.

Ya, nasib malang ibuku, derita hati aku sebagai anaknya, mesti dibalas dengan sebuah pembelaan! Satu kebetulan, dalam mencari keluarga yang terpisah jauh, terselit sebuah dendam yang berbau nafsu. Hmmm, Surantani tentunya mangsa terbaik dalam misi dendamku ini!

Kendati begitu, selepas aku merenung wajah lembut ayu Surantani yang masih lena di atas ribaanku, aku tiba-tiba disergap rasa kasihan yang amat sangat. Gadis ini bukan saja kekasihku tetapi dia juga adikku, anak mak cik Surapon, adik ipar ayahku sendiri. Surantani tidak seharusnya membayar segala dosa yang ditinggalkan oleh ayahku. Dia tidak bersalah. Bukan dia yang harus menjadi mangsa dendam yang tidak berpenghujung ini!

Sewaktu kami tiba di Prachuap, udaranya yang dingin seolah-olah menyapa kehadiran kami. Selepas aku mandi, aku mencapai setin coke dan terus duduk di samping Surantani smbil menonton tayangan video di kaca tv. Filem Franch Kisses begitu mempersonakan. Keindahan Paris musim dingin begitu memikat perasaan. Kala itu Surantani sudah berhias cantik dengan pijama nipis. Kami bercadang tidak mahu ke mana lagi. Seluruh tubuh masih keletihan.

Bukankah sewaktu berdua-duaan begini ada orang ketiga yang hadir?

Ya, ada syaitan yang hadir antara kami berdua. Syaitan laknat itu telah meresap ke dalam tubuh dan naluriku. Syaitan itu juga yang telah mencuarkan rasa dendam menggelecak terhadap kehancuran heti dan hidup aku dan ibuku. Aku seolah-olah terdorong oleh hasutannya yang terkutuk itu.

“Suran!” bisikku perlahan dan mendatar.

“Ada apa bang?” Surantani merenung mataku lama-lama. Ada getar di bibirnya seakan mahu satu kepastian dariku.

Aku menarik nafas panjang tanpa bersuara apa-apa.

“Ada apa bang?” Surantani bertanya lagi.

“Errr, tak ada apa-apa!” ujarku seraya memainkan jari jdan dia tidak pula membantah. Namun kurasakan ada gelora yang menggunung di dadanya. Ada debar yang bergelombang di jantungnya dan dalam kedinginan pantai percutian itu kami dilambung ombak resah, bagaikan mahu terhanyut ke satu arus yang sungguh bergelora.

Tiba-tiba aku tersedar dari keasyikan yang melampau. Astaghfirullah… Tercetus kalimah itu di bibir secara spontan. Syaitan-syaitan yang sedang bergayut di kantung nafsuku gesit tempiar, bercempera lari dari ruang naluri.

Aku bingkas bangun lalu meninggalkan Surantani keseorangan di ruang rehat. Aku termeung di balkoni seraya melemparkan busar mata ke panorama malam yang mendamaikan. Resort sewaan kami berhadapan dengan pantai. Lautan yang bergemercikan sisik-sisik emas kala ditaburi sinar bulan sungguh mempersonakan. Aku melihat ke langit, ada kerlipan kejora gemilang di sana. Aku melihat segala-galanya demi mengusir bisikan dan hasutan syaitan yang berpanjangan.

“Dia adikku… ada darah kekeluargaan yang mengalir darah tubuh kami ber-dua!” bisik hatiku sayu.

Ayahku merentas sempadan, mengharung perbatasan dua negara demi cinta sucinya terhadap isterinya di Narathiwat. Apakah cinta semurni itu akan kuhancur leburkan dan Surantani menjadi penjelas segala dendamku yang tidak beradap ini? Ya Allah, tunjukkanlah aku jalan yang Engkau redhai…

Aku juga menderita. Aku ditinggalkan tanpa sempat melihat renungan mata seorang lelaki yang bernama ayah. Aku tidak pernah dijamah dengan belaian manja dan peluk cium ayah. Aku tidak pernah ditimang oleh seorang ayah seperti kanak-kanak kecil yang lain. Sedang ibuku lebih menderita, lebih terseksa, hidup tidak pernah mendapat nafkah zahir dan batin sekian lama. Sesungguhnya, ibuku telah menjadi mangsa godaan, mangsa nafsu seorang perempuan ranvong dan perempuan itu adalah ibu saudaramu sendiri, Surantani, fikirku.

Lalu syaitan yang tadinya entah di mana, tiba-tiba menyerbu lagi berasak-asak menyelusup ke dalam hatiku. Syaitan-syaitan laknat itu kembali menghasut, menghela-hela aku supaya memusnahkan mahkota suci dan maruah berharga milik Surantani. Syaitan itu mendesak aku memburaikan segala amanah mak cik Surapon.

Ya, inilah peluang yang terbaik yang tak mungkin datang lagi. Dalam kesempatan ini memang Surantani yang paling baik dan sudah terdedah di depan mataku ketika ini. Peluang memang nyata terserlah, dan gadis di hadapanku sekarang seolah-olah sudah bersedia untuk menjadi penebus segala dosa yang dilakukan oleh ibu saudaranya itu.

“Jangan Shakir? Jangan hampiri zina. Zina itu dosa yang amat besar di sisi Tuhan!”

Tiba-tiba aku tersentak besar. Ada satu suara di dalam batinku yang menghalang. Ia menjerit dan membentak-bentak. Aku terkedu terpinga-pinga.

“Jangan… jangan kau lakukan semua itu, Shakir! Fikirkan, apakah yang akan terjadi selepas ini? Selepas dua atau tiga puluh nanti. Atau selewat-lewatnya empat puluh tahun akan datang. Ingat, zuriat yang mungkin lahir dari rahim Surantani itu nanti akan mencari ayahnya. Tentunya dia juga akan berdendam seperti dendam yang ada di dalam diri kau sekarang!”

Aku termenung dan terjeda.

Memang benar segala bisikan itu, fikirku. Sempadan bukan lagi penghalang. Jarak antara dua negara begitu dekat. Tidak lagi seperti dulu. Dan aku tidak sedar entah bila Surantani sudah tercegat di sisiku, menyisih segala lamunan yang menghantui benak. Aku renung wajahnya. Dia senyum.

“Cantik malam ni!” ujarku.

“Tapi, terlalu kelam!” balasnya bagai-kan terselit retorik yang sukar untuk dime-ngertikan.

“Bulan dan bintang tak cukup untuk mencerahkan?” soalku.

“Jalan di hadapan seolah-olah terlalu kabur dan tak mungkin kita mampu tiba di destinasi!”

Aku terkesip-kesip. “Apa maksud sebenar Suran berkata begitu?”

Dia diam.

“Suran!”

Dia diam juga.

Aku mengalihkan semula pandangan ke laut lepas.

“Bang!” Tiba-tiba suara Surantani menjelma semula.

“Ada apa?”

“Mak mengharapkan tali ikatan kita ini disimpulkan mati. Emak mahu hubungan persaudaraan kita dijalin lebih akrab dalam sebuah perkahwinan. Justeru itu abang harus menunaikan hasrat yang murni itu. Kita harus melaksanakannya mengikut kehendak agama kita yang suci lagi murni!” ujar Surantani terus terang.

Lidahku kelu seketika. Surantani juga begitu. Kami membisu. Ketika itu kulihat wajahnya agak pudar seolah-olah kekuatan dirinya menjadi lesu selepas mencerluskan kata-kata penuh pengharapan dan pengertian itu. Beberapa lama dia tunduk.

Bagiku, Surantani umpama seorang duta kecil yang bakal merapatkan ikatan perhubungan kekeluargaan antara kami. Dialah penjejak cinta mencari kasih yang hilang sekian lama.

“Bagaimana bang?” Surantani bersuara juga beberapa jenak kemudian.

“Bagaimana apa?” aku pura-pura tidak mengeti.

“Hasrat murni emak itu?”

“Hmm… bagaimana kalau abang menolak?” aku sekadar menduga reaksinya se-raya memurupkan senyum teramat nipis. Aku ingin menyelami lubuk hati nurani gadis itu. Aku mahu lihat raut wajahnya, apakah ada bayang-bayang kesal, sedih atau hampa yang terpahat di situ.

Benar telahanku. Surantani diam. Wajahnya diarak mendung yang pekat. Bibirnya terkumat kamit. Hanya sinar matanya saja yang memancarkan renungan pilu menunak anak mataku seolah-olah mahu melahirkan makna yang tersirat. Aku amat memahami isi hatinya kala itu.

“Jadi, Suran mahu abang merealisa-sikan segala hasrat murni mak cik Surapon itu?” aku bertanya.

Dia diam.

“Macam marah saja?”

Dia diam juga. Bungkam. Aku turut diam membungkam. Aku cuba untuk bersuara tetapi ternyata amat payah. Persoalan ini terlalu sukar hendak dijawab lebih-lebih dala keadaan seperti ini.

Namun begitu, kemesraan tetap subur. Kami sama-sama berpautan tangan, membahagiakan rindu yang tertagih juga meleraikan gumpalan kasih yang membeku.

“Siapalah Suran ini untuk marahkan abang. Segalanya terletak di tangan abang sendiri!” Dia bersuara bagaikan merajuk. Perlahan dan mendatar lalu melemparkan pandangan sayu ke luar balkoni seraya mengesat lembut bibirnya yang basah.

Aku tersenyum lalu di dalam kedinginan malam yang menghembuskan kedamaian itu aku mencium tangannya bagaikan memberi kata peretujuan. Surantani tersenyum lalu melentukkan bahunya ke dadaku.

Tentunya gadis itu sudah mengerti dan aku harus membisikkan jawapan pasti yang dipinta tetapi lidahku bagaikan terpotong pendek. Bibirku bagaikan terkancing rapat. Jawapan itu tidak juga berjaya dicerluskan. Kami hanya sanggup berpandangan sesama sendiri dengan renungan sayu namun terukir juga senyuman mesra penuh pengertian.

Aku yakin, walaupun jawapan itu tidak diluahkan secara jelas dan nyata tetapi Surantani sudah menyedarinya. Sesungguhnya jawapan itu sudah tersemai subur dalam hatiku. Kami berdua rela disatukan dalam sebuah ikatan yang sah berlandaskan kehendak agama yang murni demi tali kekeluargaan yang terputus sekian lama. Lalu kami tersipu-sipu malu.

Realitinya, jawapan yang penuh debar itu tetap menjadi rahsia diri kami berdua lantas kami menghanyutkan perjalanan malam itu dalam kerinduan yang terlunas.
Malam terus merangkak dalam kedamaiannya. Pagi muda terus menebarkan bayangan malam yang beransur nipis. Kesunyian dan kesepian waktu mengapungi suasana. Dua buah bilik sewaan kami yang letaknya sebelah menyebelah bagaikan menjadi saksi betapa bahagianya perasaan dibuai mimpi indah hari mendatang. Lebih kurang jam lapan pagi, Surantani mengetuk pintu bilikku.

“Bang, hari dah tinggi!” laungnya. “Sarapan dah Suran sediakan di ruang rehat!”
Aku bergegas bangun dan terus mandi. Selepas siap berpakaian cantik, aku segera ke ruang tamu untuk menikmati sarapan yang disediakan oleh gadis itu.

Pantai percutian yang menggamit ketenangan, menerima atur langkah kami dalam menjalinkan kemesraan lebih mendalam sebaik selesai bersarapan.

Betapa dapat kurasakan kemesraan itu sudah terpancang tegak dalam sanubari Surantani. Dari senyumannya, aku tahu dia memang pasti bahawa akulah yang bakal menjadi penyimpul ikatan persaudaraan yang sekian lama terpisah itu. Gerak gerinya yang riang, ketetahnya yang galak metah, raut wajahnya yang ceria menggoda, seolah-olah tidak terlukis secebis kecurigaan pun. Kepastian yang diminta dan kejujuran yang diharapkan telah melenyapkan sempadan pemisah selama ini.

“Abang seorang lelaki yang jujur!” ujar Surantani sewaktu kami di gigi alun melihat camar berterbangan.

“Maksud Suran?”

“Abang memegang amanah emak dan seluruh keluarga dengan kukuh!”

“Kita ini beragama Islam, Suran! Ada batas-batas tertentu yang wajib kita akur!”

“Terima kasih, bang!”

“Kita bukan remaja hingusan yang tidak tahu adat budaya, pantang larang agama, suruhan dan tegahan Tuhan. Kita adalah remaja yang terdidik dengan kehendak agama. Tindak tanduk kita tidak pernah terlandai walau diancam dugaan dek desakan syaitan yang meraja!”

Surantani tersenyum lebar.

Dalam kesyahduan dibelai bayu laut yang dingin segar, tiba-tiba aku seolah-olah tersungkur di bawah payung harapan. Aku sedar, mencantumkan ikatan siraturrahim adalah sesuatu yang terpuji, menjadi sunatullah bawaan Junjungan.
Kesedaran bahawa aku dan Surantani adalah sepasang teruna remaja, adik dan abang juga kekasih yang bebas dengan kemesraan yang teguh, penghubung dua keluarga yang terpisah dan kamilah juga yang diharapkan menjadi landasan peneguh cinta di antara dua negara yang ayahku telah asaskan dulu.

Kalaulah itu yang menjadi harapan mak cik Surapon, barangkali sebab itulah dia membenarkan Surantani menemaniku walau-pun itu telah melanggar adat dan budaya Islam yang mereka pertahankan selam ini. Syukur, aku telah berjaya menjaga Surantani. Maruahnya terjulang tinggi di mercu amanah yang aku sendiri bangunkan.

Empat hari empat malam aku bersama Surantani di resot percutian di Prachuap itu. Seolah-olah sebuah musim yang terlalu singkat. Amanah yang aku sendiri bangunkan. Empat hari empat malam aku bersama Surantani di resot percutian di Prachuap itu. Seolah-olah sebuah musim yang terlalu singkat. Perbualan kami hanya berkisar pada suasana hidup masa depan, perancanan hari muka juga menyuburkan bisikan kalbu yang paling syahdu. Namun begitu, ianya telah meninggalkan noktah pengharapan yang unggul.

Apakah harapan itu akan menjadi kenyataan dan terbangun indah di pergunungan satu simpulan kukuh di celah-celah keluarga yang sekian lama terpisah itu? Sesungguhnya aku masih belum pasti lagi. Kendati begitu, cinta Surantani adalah sebuah kenyataan yang agung. Andai aku hampakannya saat ini, barangkali tali persaudaraan yang baru dipertemukan ini akan menjadi renggang semula. Malah, mungkin juga akan terputus terus.

Atau setidak-tidaknya, respon cinta Surantani akan kering seperti bumi diserap kemarau panjang. Malah, dia mungkin merana setidak-tidaknya dalam waktu yang pendek. Sesungguhnya, Surantani telah meronakan cinta di hatinya dengan begitu ceria sekali.

Bagiku, aku memang tidak berdaya untuk menaburi titik-titik bolong lantas memunaskan sebuah harapan yang tinggi menggunung. Harapan Surantani. Harapan mak cik Surapon. Harapan seluruh keluargaku di Narathiwat ini.
Ya, sesungguhnya, itulah Surantani. Itulah aku. Kami seolah-olah tidak rela di-pisahkan lagi.

Lantaran itu, sewaktu di Lapangan Terbang Bangkok, ketika aku mahu berangkat pulang ke Johor, Surantani seolah-olah agak keberatan membenarkan aku melangkah masuk ke ruang balai berlepas. Semahunya dia mengharapkan aku mengiringinya kembali ke Narathiwat untuk merealisasikan segala janji dan memetarai sebuah cinta sejati.

“Sabarlah, Suran! Abang pulang tak akan lama. Abang berjanji akan datang lagi ke Narathiwat untuk menunaikan semua janji yang sudah kita putuskan bersama!” aku separuh memujuk.

“Jangan sekadar janji di bibir semata, bang!” pesannya bernada sayu.

“Percayalah Suran! Janji ini akan direalitikan!”

Barulah dia mahu tersenyum dan dengan rela melambai-lambai kesayuan.

“Suran… izinkan abang pulang dulu!” aku mencium tangannya. “Insya-Allah, jika diizinkan Tuhan, kita akan berjumpa lagi. Abang pasti, lebih erat dari pertemuan ini!”

Dia sekadar merenungku dengan sayu.

Aku tahu dia terlalu kecewa kerana kepulanganku. Dia kehampaan dengan keputusanku menangguhkan ikatan pertunangan kami seperti yang sudah dirancangkan oleh mak cik Surapon di Narathiwat.

Dapat kurasakan degup jantungnya yang menggelodar. Dapat kudengar debar hatinya yang menggerutup sehingga wajahnya benar-benar berubah. Dia lebih pucat daripada kemabukan dek olak alek jip di jalan raya berliku. Sewaktu aku menyusup gumpalan awan di perut MAS ke Johor dan Surantani dibuai gegar bingar bunyi keretapi mejunu ke Narathiwat, tiba-tiba saja aku disergap kerinduan yang mengamuk dan diburu keresahan yang memanjang.

Aku tidak pasti, apakah kerinduan dan keresahan itu untuk Surantani. Atau kerinduan itu satu keresahan dan keresahan itu satu kerinduan. Entahlah!
Yang aku pasti, di rumah, tunanganku sedang menanti kepulanganku!

Aku jadi semakin keliru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA