Ahad, 14 Mac 2010

Teori Politik Islam

Artikel ini telah tersiar dalam laman sesawang Yayasan Dakwah Islamiah Islam (YADIM) pada 26 April 2007

SMAHADZIR

DI ANTARA fenomena yang disedari oleh sebahagian pengkaji teori-teori politik secara umum ialah adanya hubungan yang erat antara timbulnya pemikiran-pemikiran politik dengan perkembangan peristiwa-peristiwa sejarah. Jika fenomena itu benar bagi suatu jenis atau mazhab pemikiran tertentu, dalam apa pun bidang pemikiran, perkara itu bagi pertumbuhan dan perkembangan teori-teori politik Islam amatlah jelas benarnya. Teori-teori ini - terutama pada fasa-fasa pertumbuhan dan perkembangan pertamanya – berkait rapat dengan peristiwa-peristiwa sejarah Islam.

Perkara tersebut sering diberi perhatian seolah-olah kedua-duanya adalah seperti dua sisi daripada satu mata wang. Atau dua bahagian yang saling melengkapi antara satu sama lain. Sifat hubungan di antara kedua-duanya berubah-ubah: kadangkala pemikiran-pemikiran itu jelas menjadi penggerak terjadinya berbagai-bagai kejadian, dan kadang-kadang pula kejadian-kejadian itu menjadi pendorong yang melahirkan pelbagai pendapat.

Kadangkala suatu teori hanyalah ‘bias’ daripada kejadian yang berlangsung pada masa lalu. Atau suatu kesimpulan yang dihasilkan melalui perenungan terhadap suatu pendapat yang telah diperakui pada masa sebelumnya. Atau juga hubungan itu dalam bentuk yang lain.

Oleh kerana adanya hubungan antara dua aspek atau sisi ini, sisi teoritis dan realistik, maka jelaslah kedua-dua perkara itu tidak dapat difahami dengan jelas tanpa kewujudan aspek yang lain. Kaedah terbaik untuk mempelajari teori-teori ini adalah dengan mengkajinya di samping mengambil kira realiti-realiti sejarah yang berkaitan dengannya. Secara berurutan, sesuai dengan fasa-fasa perkembangan sejarahnya - yang sekali gus merupakan tuntutan alamiah dan logiknya sehingga dapat difahami hakikat hubungan yang mengkaitkan antara dua aspek atau sisi, dapat pula memperjelaskan pendapat-pendapat, dan berupayat menunjukkan bumi yang menjadi tempat muncul dan berkembangnya pemikiran-pemikiran sehingga mencapai kematangannya. Inilah kaedah yang akan digunakan dalam menganalisis hakikat tersebut.

ERA KENABIAN

Era ini merupakan era pertama dalam sejarah Islam, iaitu dimulai semenjak Rasulullah s.a.w mula berdakwah mengajak manusia menyembah Allah s.w.t. sehingga kewafatan baginda. Era ini dinamakan sebagai era ‘kenabian’ atau ‘wahyu’ kerana era tersebut memiliki sifat tertentu yang membezakannya daripada era-era yang lain. Ia merupakan era ideal di mana Islam dengan ‘keidealannya’ wujud dengan sempurna.

Era ini terbahagi kepada dua zaman atau fasau, yang kedua-duanya dipisahkan oleh hijrah. Kedua-dua fasa itu tidak memiliki perbezaan antara satu sama lain, seperti yang didakwa oleh beberapa orang orientalis. Bahkan fasa yang pertama merupakan fasa yang menjadi titik tolak bagi fasa kedua. Pada fasa pertama, embrio ‘masyarakat Islam’ mulai tumbuh, dan telah ditetapkan kaedah-kaedah asas Islam secara umum. Kemudian pada fasa kedua ‘masyarakat Islam’ itu berjaya dibentuk, dan kaedah-kaedah yang sebelumnya bersifat umum telah disempurnakan secara lengkap. Syariat Islam disempurnakan dengan mendeklarasikan prinsip-prinsip baru, dan dimulakan dengan pengaplikasian dan pelaksanaan prinsip-prinsip tersebut secara menyeluruh.

Maka muncullah Islam dalam bentuk sosial secara integral dan aktif, yang semuanya menuju ke arah tujuan atau matlamat yang satu. Sejarah, dalam sudut pandangan politik, lebih terpusat pada fasa kedua dibandingkan dengan fasa pertama kerana ketika itu jemaah atau umat Islam telah mencari kejatian dirinya, dan telah hidup dalam era kebebasan dan merdeka. Ia juga telah meraih ‘kedaulatan’nya, secara lengkap.

Fasa ini memiliki pengaruh yang besar dalam menentukan arah peristiwa-peristiwa sejarah selanjutnya, dan sebagai titik tolak yang diikuti oleh generasi-generasi berikutnya sepanjang sejarah. Sedangkan dari segi pemikiran teoritis, pengaruhnya terbatas pada kenyataannya sebagai ‘roh umum’ yang terus memberikan ilham terhadap pemikiran ini, memberikan contoh atau teladan ideal yang menjadi rujukan pemikiran-pemikiran itu, meskipun pemikiran-pemikiran tersebut berbeza antara satu sama lain, dan memberikan titik pertemuan bagi pendapat-pendapat dan mazhab-mazhab yang berbeza.

Selain itu, ia tidak memiliki hubungan dengan tumbuhnya pendapat-pendapat baharu yang memiliki kekhususan tersendiri, terutama jika objek dan subjek kajiannya adalah analisis terhadap sistem umum yang menjadi platform kenegaraan umat, atau tentang hubungan-hubungan yang terdapat di dalamnya, atau analisis terhadap salah satu sifatnya. Ataupun dengan kata lain, analisis terhadap masalah-masalah yang dinamakan sebagai ‘politik.’

Pendapat-pendapat bersifat peribadi itu tidak muncul dalam satu atmosfera. Bagaimanapun, pendapat-pendapat itu muncul seiring dengan terjadinya perbezaan pendapat dan kecenderungan tertentu. Apa yang mendorong timbulnya pendapat-pendapat itu juga ialah terdapatnya perasaan kurang sempurna yang berlingkar di tengah-tengah masyarakat, dan keinginan untuk memperbetulkan sistem atau perilaku-perilaku yang sedang berlangsung. Sedangkan jika suatu sistem telah sempurna, yang mencerminkan prinsip-prinsip agung yang dipersetujui oleh seluruh anggota jemaah (umat), dan adanya persatuan yang wujud di antara individu-individu, kemudian mereka ‘menyibukkan’ diri untuk berbicara dan berdebat tentang agenda-agenda yang besar, maka tidak diperlukan sama sekali tumbuhnya pendapat-pendapat individu atau munculnya ‘teori-teori.’

Demikianlah, era Rasulullah s.a.w. mencerminkan era persatuan, usaha dan pengembangan jati diri umat, menampilkan ‘roh’ yang mewarnai kehidupan politik, dan mewujudkan sosok masyarakat yang ideal untuk diteladani dan ditiru oleh generasi-generasi yang akan datang. Bagaimanapun, ‘pemikiran teoritis’ ketika itu belum terserlah. Perkara ini tentu amat logik dengan situasi yang ada. Apa yang jelas, belum ada keperluan terhadap perkara tersebut.

Bagaimanapun, belum lagi era tersebut berakhir, sudah timbul faktor-faktor fundamental yang mendorong timbulnya pemikiran ini, dan membentuk ‘teori-teori politik’ secara lengkap. Di antara faktor-faktor yang terpenting itu ialah seperti yang berikut:

1. Sifat sistem sosial yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w.
2. Pengakuan terhadapn prinsip kebebasan berfikir untuk setiap individu.
3. Penyerahan kuasa kepada umat atau anggota masyarakat untuk melengkapkan sistem ini, seperti kaedah pengurusan, dan penentuan beberapa dari segi format dan pelaksanaannya.

ISLAM DAN POLITIK

Sistem yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w dan golongan mukminin yang hidup bersama baginda di Madinah - jika dilihat dari segi amali dan diukur dengan pelbagai teori politik pada era moden - tidak disangsikan lagi bahawa sistem itu adalah sistem politik ‘par excellence’. Dalam waktu yang sama, dapat dikatakan bahawa sistem itu adalah sistem ‘keagamaan’, jika dilihat daripada tujuan-tujuannya, motivasinya, dan fundamental maknawi tempat sistem itu berpijak atau bertapak. Oleh hal yang demikian itu, suatu sistem berupaya mendukung dua ‘perwatakan’ itu sekali gus.

Hakikat Islam yang sempurna merangkumi urusan-urusan material dan rohani, dan mengurus perilaku erbuatan manusia dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Bahkan falsafah umumnya merangkumi kedua-dua perkara tersebut, dan tidak membezakan di antara kedua-duanya, kecuali dari segi perbezaan pandangan. Sedangkan kedua-dua perkara itu sendiri berpadu dalam kesatuan yang tunggal secara ‘solid’; saling beriringan dan tidak mungkin terpisah antara satu sama lain.

Fakta tentang sifat Islam ini amat jelas, sehingga tidak memerlukan banyak dalil atau alasan untuk menyerlahkan bukti-buktinya. Perkara itu telah disokong oleh fakta-fakta sejarah, dan menjadi keyakinan kaum Muslimin sepanjang sejarah yang telah dilalui. Bagaimanapun, terdapat sebahagian umat Islam sendiri yang mendakwa diri mereka sebagai ‘kalangan pembaharu’, dengan terang-terangan mengingkari fakta ini.

Mereka mendakwa bahawa Islam hanyalah sekadar ‘dakwah agama’: maksud mereka, Islam sekadar keyakinan atau hubungan rohani antara individu dengan Pencipta-nya, dan tidak mempunyai hubung kaitnya dengan urusan-urusan yang kita namakan sebagai urusan material dalam kehidupan di dunia ini. Di antara urusan-urusan ini ialah masalah-masalah peperangan dan harta, dan yang paling utama ialah masalah politik. Di antara kata-kata mereka itu ialah ‘agama adalah satu perkara, dan politik adalah perkara lain.’

Di antara pendapat para orientalis itu adalah seperti yang berikut:

1. Dr. V. Fitzgerald berkata: ‘Islam bukanlah semata-mata agama (a religion), tetapi ia a merupakan sebuah sistem politik (a political system). Meskipun pada dekad-dekad terakhir terdapat beberapa kalangan daripada umat Islam yang mendakwa diri mereka sebagai kalangan ‘modenis’ yang berusaha memisahkan kedua-dua sisi itu, namun seluruh gugusan pemikiran Islam dibina di atas fundamental; bahawa kedua-dua sisi itu saling berkaitan dan bergantungan di antara satu sama lain, yang tidak dapat dipisahkan.’

2. Prof. C. A. Nallino berkata: ‘Muhammad telah membina membangunkan dalam waktu yang sama: agama (a religion) dan negara (a state). Dan batas-batas wilayah negara yang baginda bina itu terus terjaga sepanjang hayat baginda.’

3. Dr. Schacht berkata: ‘Islam lebih daripada sekadar agama: ia juga mencerminkan teori-teori perundangan dan politik. Dalam ungkapan yang lebih sederhana, ia merupakan sistem peradaban yang lengkap, yang mencakupi agama dan negara secara beriringan.’

4. Prof. R. Strothmann berkata: ‘Islam adalah suatu fenomena agama dan politik kerana pengasasnya adalah seorang Nabi, yang juga seorang ahli politiks yang bijaksana, atau negarawan.’

5. Prof D. B. Macdonald berkata: ‘Di sini (di Madinah) dibina negara Islam yang pertama, dan diletakkan prinsip-prinsip utama undang-undang Islam.’
6. Sir. T. Arnold berkata: ‘Muhammad adalah Nabi, dan pada waktu yang sama adalah seorang ketua agama dan ketua negara.’

7. Prof. Gibb berkata: ‘Dengan demikian, jelaslah bahawa Islam bukanlah sekadar kepercayaan agama individual, namun ia memungkinkan tertegaknya suatu ‘bangunan masyarakat’ yang bebas dan merdeka. Ia mempunyai kaedah tersendiri dalam sistem pemerintahan, perundangan, dan institusi.’

BUKTI SEJARAH

Semua pendapat tersebut diperkuatkan oleh fakta-fakta sejarah. Di antara fakta sejarah yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun ialah setelah munculnya dakwah Islam, kemudian terbina ‘bangunan masyarakat’ baru yang mempunyai identiti ‘kebebasan’ yang membezakannya daripada masyarakat lain - memperakui undang-undang yang satu, menjalankan kehidupan yang sesuai dengan sistem yang satu, menuju ke arah tujuan yang sama, dan di antara individu-individu masyarakat yang baru itu terdapat ikatan bangsa dan kaum, bahasa, dan agama yang kuat, serta adanya rasa persaudaraan yang erat.

‘Bangunan masyarakat’ yang memiliki semua unsur itulah yang dinamakan sebagai ‘bangunan masyarakat politik’ atau dinamakan sebagai ‘negara.’

Di antara fakta-fakta sejarah yang tidak diperdebatkan secara meluas ialah ‘bangunan masyarakat politik’ ini atau ‘negara’, telah memulakan kehidupan aktifnya, dan mula menjalankan tugas-tugasnya, dan merubah prinsip-prinsip teoritis yang menuju ke arah amali. Setelah sempurna kebebasan dan kedaulatannya, dan dimasukkan unsur-unsur baru dan adanya penduduk, iaitu setelah Perjanjian Aqabah I dan II, yang dilakukan antara Rasulullah s.a.w dengan utusan dari Madinah, yang kemudiannya dilanjutkan dengan peristiwa hijrah. Kedua-dua ‘bai’at’ ini tidak diragu dan dinafikan oleh sesiapa pun bahawa ia merupakan suatu titik transformasi di dalam Islam.

Dan peristiwa hijrah hanyalah salah satu hasil yang dimunculkan daripada kedua-dua peristiwa ‘bai’at’ itu. Pandangan yang tepat terhadap kedua-dua ‘bai’at’ tersebut ialah dengan melihat dan menelitinya sebagai batu asas pertama bagi tertegaknya ‘bangunan negara Islam.’ Kedua-dua peristiwa ‘bai’at’ itu mirip dengan kontrak-kontrak sosial yang dideskripsikan secara teoritis oleh sebahagian pengkaji politik pada era moden dan menganggapnya sebagai landasan bagi tertegaknya negara-negara dan pemerintahan.

Bagaimanapun, bezanya, ‘kontrak sosial’ yang dibicarakan oleh Roussou dan seumpamanya hanyalah semata-mata ilusi dan imaginasi, manakala kontrak sosial yang berlakui di dalam sejarah Islam itu berlangsung dua kali secara realistik di Aqabah. Dan di atas kontrak sosial itulah negara Islam berdiri dengan megah. Ia merupakan suatuh kontrak sejarah. Ini merupakan suatu fakta yang diketahui oleh semua orang. Pada ‘kontrak sejarah’ itulah bertemunya antara keinginan-keinginan manusiawi yang merdeka dengan pemikiran-pemikiran yang matang, dengan tujuan untuk menyemarakkan risalah yang mulia.

Oleh hal yang demikian itu, negara Islam lahir dalam keadaan yang amat jelas. Dan pembentukannya terjadi dalam tatapan ‘mata sejarah’ yang jernih kerana tidak ada satu tindakan yang dikatakan sebagai tindakan politik atau kenegaraan, kecuali dilakukan oleh negara Islam yang baru tumbuh ini – mempersiapkan diri untuk mewujudkan keadilan, menyusun kekuatan pertahanan, mengadakan kemudahan-kemudahan pendidikan, penyeragaman pengurusan harta, mengikat perjanjian atau menghantar utusan-utusan ke luar negeri.

Ini merupakan fakta sejarah yang ketiga. Adalah mustahil bagi seseorang untuk mengingkarinya. Daripada ketiga-tiga fakta ini, maka terserlahlah keagungan sejarah Islam yang yang dapat digunakan sebagai bukti, di samping pendapat kalangan orientalis yang telah dipaparkan sebelum ini – di atas sifatnya sebagai sistem politik Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA