Ahad, 14 Mac 2010

Kosmologi Dalam Al-Quran

Artikel ini telah tersiar dalam laman sesawang Yayasan Dakwah Islamiah Islam (YADIM) pada 29 Oktober 2007

Oleh SMAHADZIR

SUDAH banyak kitab yang ditulis ulama masyhur untuk mentafsir ayat-ayat suci Al-Quran - yang merupakan garis-garis besar ajaran Islam itu - dengan menggunakan ayat-ayat lain di dalam kitab suci tersebut, sebagai bandingan, dan Sunnah Rasulullah sebagai penjelasan. Bagaimanapun, di dalam Al-Quran sendiri, ciptaan Allah bagi seluruh jagat raya ini, secara jelas disebutkan sebagai ‘ayat-ayat Allah’, misalnya di dalam surah Ali Imran, yang bermaksud: ‘Sesungguhnya dalam ciptaan langit dan bumi, serta silih bergantinya malam dan siang, terdapat ayat-ayat Allah bagi orang-orang yang berakal (dapat berfikir).’

Berdasarkan hakikat tersebut, tidaklah menghairankan apabila ketetapan dalam pentafsiran ayat-ayat Al-Quran yang berisi konsep-konsep ‘kauniyah’ begitu beragam, bergantung kepada pengetahuan ‘mufassir’ tentang alam semesta itu sendiri. Untuk memberikan contoh yang nyata, kita boleh menelaah ayat-ayat yang berikut:

1. ‘Dan tidakkah orang-orang kafir itu mengetahui bahawa agama ‘sama’, (1) dan ‘ardh’ (2) itu dahulu sesuatu yang padu, kemudian kami pisahkan kedua-duanya.’ (Al-Anbiya: 30)
2. ‘Dan ‘sama’ itu kami bina dengan kekuatan dan sesungguhnya Kami yang meluaskannya.’ (Al-Dzariyat: 47)

Seseorang yang hidup dalam abad ke-9 akan mengatakan bahawa kata ‘sama’ bererti langit; pengertiannya ialah langit itu merupakan bola raksasa yang berputar mengelilingi sumbunya. Dan pada dindingnya kelihatan bintang-bintang yang bergemerlapan pada malam hari. Bola ini dikatakan memayungi seluruh ruang alam dan segala yang berada di dalamnya. Seseorang itu berasa yakin bahawa persepsinya mengenai langit itulah yang sesuai dengan apa yang mampu diamatinya setiap hari, bila-bila masa pun jua. Bintang-bintang kelihatan tidak berubah kedudukannya di antara satu sama lain, dan seluruh langit itu berputar-putar dalam satu hari (siang dan malam).

Apakah yang dapat kita harapkan daripada seseorang jika dia diminta memberikan pentafsiran (bukan sekadar salinan kata-kata) ayat-ayat tersebut? Tentu saja kita akan memberikan interpretasi yang sesuai dengan persepsi kita tentang langit, serta ‘ardh’, iaitu bumi yang mendatar, yang dilingkari oleh bola langit. Dan mungkin kita akan mengatakan bahawa ayat 30 surah al-Anbiya itu melukiskan peristiwa ketika Tuhan menyatakan langit menjadi bola, setelah sedemikian lama terhampar di permukaan bumi seperti tirai yang belum dipasang.

Langit yang berbentuk bola dengan jari-jari tertentu bukanlah menggambarkan langit yang bertambah luas. Lebih-lebih lagi jikau ia melingkupi seluruh ruang kosmos beserta isinya; tidak ada lagi sesuatu yang lebih besar daripadanya. Pada dasarnya, sesuatu konsep mengenai alam semesta yang benar dapat digunakan untuk menerangkan semua peristiwa yang dilukiskan menerusi ayat-ayat di dalam kitab suci; ia harus sesuai dengan konsep-konsep kosmologi di dalam Al-Quran.

Allah s.w.t berfirman di dalam ayat 190 dan 191 Surah Ali Imran yang bermaksud, ‘Sesungguhnya dalam penciptaan ‘sama’ dan ‘ardh’, serta silih bergantinya siang dan malam, terdapat ayat-ayat bagi orang-orang yang berakal (dapat berfikir). Yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk, atau dalam keadaan berbaring, dan memikirkan tentang penciptaan ‘sama’ dan ‘ardh’, wahai Tuhan kami, tiadalah Engkau ciptakan ini dengan sia-sia; Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada seksa azab neraka.’

Dengan diikutinya perintah dan petunjuk ini, maka muncullah di dalam lingkungan umat Islam suatu kegiatan pengamatan yang disertai dengan pengukuran, sehingga ilmu tidak lagi bersifat kontemplatif belaka, seperti yang berkembang dalam lingkungan masyarakat Yunani, tetapi mempunyai ciri empiris sehingga tersusunlah asas-asas sains. Penerapan metode ilmiah ini, yang terdiri di atas pengukuran yang teliti pada pemerhatian dan penggunaan pertimbangan akal yang rasional, telah mengubah astrologi menjadi astronomi. Oleh kerana telah menjadi kebiasaan para pakar menulis daripada hasil penelitian atau kajian orang lain, maka tersusunlah himpunan rasional kolektif insani yang kita kenal sebagai sains. Jelaslah di sini bahawa sains adalah hasil persepakatan di antara para pakar.

Allah s.w.t berfirman menerusi ayat 3, 4, dan 5 surah al-Alaq yang bermaksud, ‘Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang mengajar dengan kalam. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.’

Persoalan tentang ‘bagaimana’ dan ‘mengapa’, yang berkaitan dengan proses-proses alamiah di langit itu, menyebabkan timbulnya cabang baru dalam bidang sains yang dinamakan astrofizik yang seiring dengan astronomi ,membentuk konsep-konsep kosmologi.

Meskipun ilmu pengetahuan keislaman ini muncul daripada pelaksanaan salah satu perintah agama, maka perlu kita tanyakan apakah benar konsep kosmologi yang berkembang dalam sains itu sejajar dengan apa yang terdapat di dalam Al-Quran. Ini kerana obor pengembangan ilmu telah mula berpindah tangan daripada umat Islam kepada para cendekiawan bukan Islam sejak pertengahan abad ke-13 sehingga abad ke-17. Sejak itu sains berkembang dalam kerangka acuan budaya, mental, dan spiritual yang bukan Islam, dan yang memiliki nilai-nilai tidak Islamik.

Elok kita kaji sambil menelusuri perkembangan ilmu tentang alam sejak akhir abad ke-19 hingga akhir abad ke-20, ketika perkembangannya begitu pantas, jauh melampaui kepesatannya dalam abad-abad sebelumnya, sejajar dengan kecanggihan mekanisme yang digunakan dalam kajian dan ilmu matematik. Kita akan menemukan bahawa pada tahap-tahap tertentu, perkembangan ilmu itu kelihatan tidak sesuai dengan ajaran agama kita, sedangkan dalam fasa-fasa lain menghasilkan kesimpulan yang sehaluan dengannya.

Seseorang yang hidup pada akhir abad ke-19, yang telah mengetahui melalui kegiatan sainsnya, bahawa bintang-bintang di langit jaraknya dari bumi tidak sama. Dia akan mengatakan, langit adalah ruang jagat raya yang di dalamnya terdapat bintang-bintang, terdapat juga bintang-bintang berkembar dan kelompok-kelompok bintang dalam galaksi yang disebut sebagai Bimasakti. Oleh sebab konsep kosmologi pada waktu itu berasal daripada Newton, dia akan mengatakan juga bahawa bola besar yang menerangi seluruh ruang kosmos itu tidak wujud kerana dia beranggapan ruang jagat ini terlalu besar atau luas dan tidak ada batasannya.

Sudah tentu konsep kosmologi sains abad yang lalu ini tidak sesuai dengan konsep Al-Quran kerana tidak sejajar dengan peristiwa yang digambarkan menerusi ayat 30 surah al-Anbiya dan ayat 47 surah al-Dzariyat. Lebih daripada itu, konsep tersebut bertentangan dengan ajaran agama kita kerana alam semesta yang tidak terbatas dan tidak terhingga besarnya ini hakikatnya tidak berawal dan tidak berakhir. Kita akan melihat sepanjang pertumbuhan sains selanjutnya bahawa idea-idea seperti ini yang mengandungi konsep tentang alam yang langgeng, ada sejak dulu dan akan ada seterusnya, selalu timbul tenggelam. Oleh hal yang demikian itu, dianjurkan agar umat Islam yang ingin mengejar ketinggalan mereka dalam sains dan teknologi akhir-akhir ini bersiap sedia mengadakan langkah-langkah pengamanan dengan ‘mengIslamkan’ sains, sehingga sains kembali dapat berkembang dalam kerangka sistem nilai yang Islamik.

Daripada huraian di atas, jelas bahawa konsep kosmologi sains pada abad ke-19 gagal dihuraikan menyeluruh dan sama sekali tidak mampu menerangkan apa yang terkandung di dalam dua ayat tersebut di atas. Ia hanya merupakan sebahagian sahaja daripada ayat-ayat Al-Quran yang berisi konsep-konsep kosmologi. Kita juga dapat mengemukakan beberapa ayat lainnya seperti yang berikut:

1. Dalam pada itu Dia mengarah pada penciptaan ‘sama’, dan dia penuh ‘dukhon’, lalu Dia berkata kepadanya dan kepada ‘ardh’, ‘Datanglah kalian mematuhi-Ku dengan suka atau terpaksa; keduanya menjawab: kami datang dengan taat.’ (Al-Fushshilat: 11)
2. Maka Dia menjadikannya tujuh ‘sama’ dalam dua hari, dan Dia mewahyukan kepada setiap ‘sama’ peraturannya sendiri; dan Kami hiasi langit dunia dengan pelita-pelita, dan Kami memeliharanya; demikianlah ketentuan Yang Maha Agung lagi Maha Mengetahui.’ ((Al-Fushshilat: 12)
3. Hanya Allah yang telah menciptakan tujuh sama’ dan ardh seperti itu pula. (Al-Thalaq: 12)
4. Hanya Allah yang menciptakan ‘sama’ dan ‘ardh’ dan apa yang ada di antara kedua-duanya dalam enam hari, dan pada waktu itu pula bersemayam di arasy-Nya. (al-Sajdah: 4)
5. Dan Dialah yang telah menciptakan ‘sama’ dan ‘ardh’ dalam enam hari, adapun arasy-Nya telah tegak pada ‘ma’ untuk menguji siapakah di antara kalian yang lebih baik amalnya. (Hud: 7)
6. Sesungguhnya Allah menahan ‘sama’ dan ‘ardh’ supaya tidak lenyap, dan sungguh jika kedua-duanya akan lenyap dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menahan kedua-duanya itu melainkan Allah; Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyayang dan Maha Pengampun. (Al-Fathir: 41)
7. Pada hari Kami gulung ‘sama’ seperti menggulung kertas; sebagaimana Kami telah mulakan awal penciptaan, begitulah Kami akan mengembalikannya; itulah janji yang akan kami tepati; sesungguhnya Kamilah yang akan melaksanakannya. (Al--Anbiya: 104)

Kita gali pula pengertian yang terdapat dalam ayat tersebut. Kita telah melihat daripada contoh-contoh yang diberikan, bahawa dengan tinggalan ilmu pengetahuan abad ke-19 sahaja seseorang tidak mungkin memahaminya; meski dia seorang pakar yang terkenal sekalipun kerana konsepnya tentang alam semesta memang silap hingga tidak sesuai dengan apa yang ada di dalam Al-Quran. Apa yang akan dikatakan oleh seorang pakar kosmologi atau seorang pakar fizik abad ke-20, jika dia ditanya tentang konsep kosmologi sains mutakhir yang dihasilkan daripada penelitian para pakar? Secara kasar, jawapannya lebih kurang seperti yang berikut:

Konsep mengenai alam semesta ini sebenarnya mulai mengalami perubahan sejak tahun 1929 ketika Hubble melihat dan yakin bahawa galaksi-galaksi di sekitar Bimasakti menjauhi kita dengan kelajuan yang setanding dengan jarak dari bumi sehingga dalam sains terdapat istilah ‘alam yang mengembang’ (expanding universe). Hal ini mengingatkan orang pada pacuan kuda; kuda yang paling laju akan berlari paling depan. Kerana kelajuan dan jarak masing-masing galaksi dari bumi diketahui, tidak sukar untukmenghitung bila mereka itu mulai berlari.

Pada tahun 1952, Gamow berkesimpulan bahawa galaksi-galaksi di seluruh jagat raya yang cacahnya kira-kira 100 bilion dan masing-masing rata-rata berisi 100 bilion bintang itu pada mulanya berada di suatu tempat bersama-sama dengan bumi, sekitar 15 bilion tahun yang lalu. Materi yang sedemikian banyaknya itu terkumpul seperti suatu gumpalan yang terdiri dari neutron; sebab elektron-elektron yang berasal dari masing-masing atom telah menyatu dengan protonnya dan membentuk neutron sehingga tidak ada gaya tolak elektrik antara masing-masing elektron dan antara masing-masing proton.

Gumpalan ini berada dalam ruang alam dan tanpa diketahui sebab musababnya meledak dengan sangat dahsyat sehingga terhamburlah materi itu ke seluruh ruang jagat raya; peristiwa inilah yang kemudian terkenal sebagai ‘dentuman besar’ atau big bang. Sudah tentu gumpalan sebesar itu tidak pernah bergelimpangan di ruang kosmos; sebab gaya graviti gumpalan itu akan begitu besar sehingga dia akan teremas menjadi sangat kecil. Lebih kecil dari bintang pulsar yang jari-jarinya hanya sebesar 2 hingga 3 kilometer dan massanya kira-kira 2 hingga 3 kali massa sang suria, dan bahkan lebih kecil dari lubang hitam (black hole) yang massanya jauh melebihi pulsar dan jari-jarinya menyusut mendekati ukuran titik.

Gambarkan saja dalam angan-angan, berapa besar kepadatan materi dalam titik yang ‘volume’nya sifar itu jika seluruh massa 100 bilion kali 100 bilion bintang sebesar matahari dipaksakan masuk ke dalamnya! Inilah yang biasa disebut sebagai singulariti. Jadi konsep dentuman besar terpaksa dibetulkan iaitu bahawa kewujudan alam semesta ini dimulai oleh ledakan maha dahsyat ketika tercipta ruang-waktu dan tenaga yang keluar dari singulariti dengan suhu yang tidak terkirakan tingginya.

Para pakar sains berpendapat bahawa alam semesta tercipta dari ketiadaan sebagai goncangan vakum yang membuatnya mengandungi energi yang sangat tinggi dalam singulariti yang tekanannya menjadi negatif. Vakum yang mempunyai kandungan energi yang luar biasa besarnya serta tekanan graviti yang negatif ini menimbulkan suatu dorongan eksplosif keluar dari singulariti.

Tatkala alam mendingin, kerana pengembangannya, sehingga suhunya merendah melewati 1,000 milion darjah, pada umur 10-35 sekon, terjadilah gejala ‘lewat dingin’. Pada saat pengembunan tersentak, keluarlah energi yang memanaskan kosmos kembali menjadi 1,000 milion darjah, dan keseluruhan kosmos terdorong membesar dengan kecepatan luar biasa selama waktu 10-32 sekon. Pengembangan yang luar biasa cepatnya ini menimbulkan kesan-kesan alam kita digelembungkan dengan tiupan dahsyat sehingga ia dikenal sebagai gejala inflasi.

Selama proses inflasi ini, ada kemungkinan bahawa tidak hanya satu alam saja yang muncul, tetapi beberapa alam. Berapa? Duakah? Tigakah? Atau berapa sebenarnya? Sesungguhnya para ilmuwan tidak tahu. Dan masing-masing alam mampu mempunyai hukum-hukumnya yang tersendiri; tidak perlu aturannya sama dengan apa yang ada di alam kita ini. Kerana materialisasi daripada energi yang tersedia, yang berakibat terhentinya inflasi, tidak terjadi secara serentak, maka di lokasi-lokasi tertentu terdapat konsentrasi materi yang merupakan benih galaksi-galaksi yang tersebar di seluruh kosmos.

Jenis materi apa yang muncul pertama sekali di alam ini tidak seorang pun tahu; namun tatkala umur alam mendekati 1/100 sekon, isinya terdiri atas radiasi dan partikel-partikel sub-nuklier. Pada ketika itu suhu kosmos adalah sekitar 100 billion darjah dan campuran partikel dan radiasi yang sangat rapat tetapi bersuhu sangat tinggi itu lebih menyerupai zat alir daripada zat padat sehingga para ilmuwan memberikan nama ‘sop kosmos’ kepadanya. Antara umur satu sekon dan tiga minit terjadi proses yang dinamakan nukleosintesis; dalam period ini atom-atom ringan terbentuk sebagai hasil reaksi fusi-nuklier. Hanya setelah umur alam mencapai 700,000 tahun, elektron-elektron masuk dalam orbit mereka sekitar inti dan membentuk atom sambil melepaskan radiasi; pada ketika itu seluruh langit bercahaya terang benderang dan hingga kini ‘cahaya’ ini masih dapat diobservasi sebagai radiasi gelombang mikro.

Menurut perhitungan pengkaji, alam semesta mempunyai dimensi 10; iaitu empat (4) buah dimensi ruang-waktu yang kita hayati, dan enam (6) lainnya yang tidak kita sedari, kerana ‘tergulung’ dengan jari-jari 10-32 sentimeter yang bermanifestasi sebagai muatan elektrik dan muatan nuklear. Dimensi yang kita hayati adalah dimensi yang katakan saja, ‘terbentang’ dan wujud sebagai ruang-waktu. Kalau semua yang telah dirintis secara matematik ini mendapat pembuktian dari eksprimen atau observasi di alam luas, maka ada kemungkinan bahawa alam yang kita huni ini mempunyai kembaran (shadow world) yang sebenarnya berada di sekeliling kita, tetapi tidak dapat kita lihat; dia hanya dapat kita hubungi melalui medan gaya graviti sedangkan hukum alamnya tidak perlu sama dengan yang berlaku di dunia ini.

Begitulah kira-kira huraian pakar fizik tersebut. Sudah tentu apa yang dikatakan itu adalah hasil mutakhir kegiatan penelitian dan saling kaji antara para pakar dan merupakan konsensus. Selama perjalanan mencari kebenaran itu, sebenarnya sains telah mengalami penyelewengan-penyelewengan yang akhirnya terbongkar kesalahannya, kerana tidak sepadan dengan realiti, dan perlu mendapat pembetulan. Akan diperturunkan beberapa yang relevan sahaja, sebagai contoh.

Pertama:

Ketika persamaan matematik Einstein, yang dirumuskan untuk melukiskan alam semesta, Friedman menyatakan bahawa dia memberi gambaran kosmos yang mengembang, dia segera diubah oleh si perumus agar sesuai dengan konsep kosmologi pada waktu itu, iaitu kosmos yang statik. Tetapi langkah pembetulan itu mendapat tamparan, kerana Hubble mengobservasi justeru jagat raya ini mengembang. Einstein mengalah dan kembali ke rumusan awalnya yang menggambarkan alam yang tidak statik, tetapi mengembang.

Kedua:

Ketika gagasan Gamow tentang dentuman besar yang menjurus kepada konsep alam semesta yang mula dikumandangkan oleh beberapa orang pakar kosmologi yang dipelopori Hoyle mengajukan tandingan yang dikenali sebagai kosmos yang mantap (steady state universe) yang menyatakan bahawa alam semesta wujud sejak dulu sampai sekarang dan hingga akhir nanti tanpa awal dan tanpa akhir. Namun terungkapnya kewujudan gelombang mikro yang mendatangi bumi dari segala penjuru alam secara seragam, oleh Wilson dan Penzias pada tahun 1964, telah mendorong para pakar mengakuinya sebagai kilatan dalam alam semesta yang tersisa dari peristiwa dentuman besar. Dengan demikian, konsep yang awal lebih dikukuhkan.

Ketiga:

Ketika dentuman besar tidak dapat disangkal, beberapa ilmuwan cuba mengembalikan keabadian kosmos dengan mengatakan bahawa alam semesta ini berkembang-kempis (oscillating universe). Namun, Weinberg menunjukkan kepalsuannya. Sebab alam yang berkelakuan seperti itu, meledak dan masuk kembali tidak henti-hentinya tidak berawal dan tidak berakhir, entropinya besarnya tidak terhingga; suatu asumsi yang konsekuensinya tidak disokong oleh kenyataan.

Bagaimana para pakar fizik dan pakar kosmologi dapat mengatakan semuanya itu tanpa melihat sendiri kejadiannya? Sebenarnya mereka melihat dua gejala, iaitu pengembangan alam semesta dan radiasi gelombang mikro, yang mereka pergunakan untuk menelusuri kembali peristiwa yang terjadi sekitar 15 billion tahun lalu, seperti lagaknya pasukan penyiasat yang ingin memecahkan sebuah misteri dengan menggunakan sekelumit abu rokok dan pecahan-pecahan gelas yang berserakan di sekitar tempat kejadian.

Kalau para penyiasat itu hanya memakai penalaran logik saja, maka para pakar, di samping menggunakan pertimbangan-pertimbangan rasional, harus melandasinya juga dengan pengetahuan sunnatullah, segenap peraturan Allah s.w.t yang mengendalikan tingkah laku alam, yang dalam ayat 23 surah al-Fath dinyatakan memiliki stabiliti, sebagai sunnatullah yang berlaku sejak dulu, sekali-kali kamu tidak akan menemukan perubahan pada sunnatullah itu.

Apakah para pakar fizik dan pakar kosmologi mengetahui nasib alam itu pada akhirnya? Ada dua pandangan yang dianut dalam sains iaitu:

1. Alam semesta ini ‘terbuka,’ sehingga dia akan berkembang selamanya.
2. Jagat raya ini ‘tertutup,’ sehingga pada suatu ketika pengembangannya akan berhenti dan alam kembali mengecil untuk akhirnya seluruhnya mencebur kembali dalam singulariti, tempat dia keluar dulu kala. Bila? Mereka tidak tahu. Sebab mereka tidak mempunyai maklumat berapa sebenarnya massa yang terkandung dalam alam ini; sebahagian massa itu bercahaya, sebahagian gelap, sedangkan sebahagian lagi dibawa oleh zarah-zarah yang disebut neutrino.

Pandangan yang pertama diasaskan pada kenyataan bahawa massa seluruh alam ini tidak cukup besar untuk menarik kembali semua galaksi yang bertebaran, kerana bintang-bintang yang bercahaya dan materi antara bintang, yang terobservasi pengaruhnya, hanya dapat menyajikan sekitar 20 peratus saja dari gaya yang diperlukan, iaitu yang dinamakan gaya kritis. Sedangkan pandangan yang kedua mendasari pernyataannya dengan adanya neutrino- neutrino yang mereka percayai membawa sebahagian besar dari massa alam ini sehingga seperti jumlah keseluruhan kekuatan gaya kritis itu akan menjadi berlebihan.

Sekarang marilah kita gali konsep-konsep kosmologi di dalam Al-Quran. Kita tafsir ayat-ayat yang telah dicantumkan di atas di antara sedemikian banyak ayat yang mengandungi konsep-konsep tersebut, seperti yang berikut:

1. Dan tidakkah orang yang kafir itu mengetahui bahawa ruang waktu dan energi-materi itu dulu sesuatu yang padu (dalam singulariti), kemudian kami pisahkan keduanya itu. (surah al-Anbiya’: 30)
2. Dan ruang waktu itu Kami bangun dengan kekuatan (ketika dentuman besar dan inflasi melandanya sehingga beberapa dari dimensinya menjadi terbentang) dan sesungguhnya Kamilah yang meluaskannya (sebagai kosmos yang berkembang). (surah al-Dzariyat: 47)
3. Dalam pada itu Dia mengarah pada penciptaan ruang waktu dan dia penuh ‘embunan’ (dari materialisasi energi), lalu Dia berkata kepadanya dan kepada materi: Datanglah kalian mematuhi (peraturan)-Ku dengan suka atau terpaksa; keduanya menjawab: Kami datang dengan kepatuhan. (surah Fushshilat: 11)
4. Maka dia menjadikannya tujuh ruang waktu (alam semesta) dalam dua hari, dan Dia mewahyukan kepada tiap alam itu peraturan (hukum alam)-nya masing-masing; dan kami hiasi ruang waktu (alam) dunia dengan pelita-pelita, dan Kami memeliharanya; demikianlah ketentuan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui. (surah Fushshilat: 12)
5. Allah-lah yang menciptakan tujuh ruang waktu (alam semesta), dan materinya seperti itu juga. (surah al-Thalaq: 12)
6. Allah-lah yang menciptakan ruang-waktu dan materi dan apa yang ada di antara keduanya dalam enam hari, dan pada ketika itu juga menegakkan pemerintahan-Nya (yang seluruh perangkat peraturannya ditaati oleh segenap makhluk-Nya dengan suka hati). (surah al-Sajadah: 4)
7. Dan Dia-lah yang telah menciptakan ruang-waktu dan materi dalam enam hari, sedang pemerintahan-Nya telah tegak pada fasa zat alir (iaitu sop-kosmos) untuk menguji siapakah di antara kalian yang lebih baik amalannya. (surah Hud: 7)
8. Sesungguhnya Allah menahan ruang waktu (alam semesta) dan materi di dalamnya agar jangan lenyap (sebagai jagat raya yang terbuka), dan sungguh jika keduanya akan lenyap tiada siapa pun yang dapat menahan keduanya selain Allah; sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun dan Maha Pengampun. (surah al-Fathir: 41)
9. Pada hari Kami gulung ruang waktu (alam semesta) laksana menggulung lembaran tulis; sebagaimana Kami telah mulai awal penciptaan, begitulah Kami akan mengembalikannya; itulah janji yang akan kami tepati; sesungguhnya Kamilah yang akan melaksanakannya. (surah al-Anbiya’: 104).

Demikian konsep-konsep kosmologi yang dapat digali daripada Al-Quran. Mengatakan bahawa apa yang telah penulis lakukan ini sebagai usaha menarik-narik Al-Quran agar sejajar atau sesuai dengan sains, hasil karya fikir manusia, adalah suatu tuduhan yang tidak berasas. Apa yang telah kita lakukan di sini bukanlah pembenaran (justification) sains dengan Al-Quran; kerana ada beberapa konsep sains yang telah kita tolak, kerana tidak sesuai dengan Al-Quran.

Dan tidak pula kita menarik Al-Quran agar sesuai dengan sains. Pegangan kita adalah kebenaran kitab suci umat Islam, dan apa yang bertentangan dengannya telah kita tolak. Dan bukankah Allah s.w.t sendiri yang mengungkapkan adanya gejala pengembangan kosmos dan radiasi gelombang mikro kepada para ilmuwan, untuk membimbing mereka dari kesesatan dalam memahami ciptaan-Nya, hingga para ilmuwan yang setia kepada tradisi umat Islam, yang salaf, memeriksa ruang waktu (alam semesta) serta materi di dalamnya sesuai dengan perintah-Nya dalam surah Yunus ayat 101 itu mendapatkan petunjuk ke arah yang benar seperti tercatat dalam surah Al-Fushshilat, ayat 53 yang bermaksud: ‘Akan Kami perlihatkan kepada mereka ayat-ayat Kami di segenap penjuru dan dalam diri mereka sendiri sehingga jelaslah bagi mereka itu bahawa dia (Al-Quran) adalah yang benar.’

Dalam huraian awal, kita telah mengakui mengatakan bahawa penggalian konsep-konsep kosmologi di dalam Al-Quran merupakan pekerjaan yang tidak kunjung henti. Memang begitulah, kerana sains akan terus berkembang dan akan senantiasa menemukan hal-hal yang baru yang mampu lebih melengkapi pengetahuan manusia hingga lebih memahami ayat-ayat Allah s.w.t.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA