Isnin, 15 Mac 2010

Bahasa Penjulang Darjat

(Cerpen ini telah disiapkan dalam majalah Pelita Bahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka)

SMAHADZIR

NAMANYA pendek saja: Rahmad. Rahmad berusia lima puluh dua tahun. Sudah hampir lima tahun dia mengajar di sebuah sekolah swasta. Dia mengajar hanya sekali sahaja setiap minggu. Hari Isnin hingga Jumaat dia bekerja sebagai pengarang di sebuah syarikat penerbitan surat khabar. Dia menjadi guru Bahasa Melayu lantaran pengetua sekolah tempat dia mengajar adalah sahabatnya sejak kecil. Nama pengetua sekolah itu, Shahanon Ahmad. Perawakan Cikgu Shahanon Ahmad kecil, namun semangatnya mengubah keadaan sangat tinggi. Dia ingin para pelajar yang belajar di sekolahnya dapat menggunakan Bahasa Melayu secara baik dan betul.
Sesungguhnya bukan hanya itu keinginan Cikgu Shahanon Ahmad. Cikgu Shahanon Ahmad ingin menjadikan Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran yang berpengaruh. Selama ini, menurut anggapannya, Bahasa Melayu terpuruk menjadi mata pelajaran kelas kedua. “Untuk apa saya belajar bahasa Melayu cikgu, jika seharian saya menggunakan bahasa itu,” demikian alasan para pelajar yang kurang ghairah mengikuti kelas Bahasa Melayu. Untuk mencapai keinginannya itulah Cikgu Shahanon Ahmad mendapatkan khidmat Rahmad, lima tahun lalu.
“Hello, Rahmad?”
“Ya, Non! Hai, apa halnya kamu telefon aku ni?”
“Begini, Mad. Aku ingin kamu bantu aku.”
“Bantu apa, Non?”
“Aku ingin kamu mengajar di sekolah aku.”
“Mengajar? Subjek apa? Kamu ni mimpi ye, Non?”
“Tak, aku tak mimpi, Mad. Kamu yang tepat untuk aku minta bantuan mengajar di sekolah aku. Bahasa Melayu kamu hebat dan aku yakin kamu mampu merealisasikan segala harapan aku,”
Mulanya Rahmad agak keberatan menerima tawaran Cikgu Shahanon Ahmad. Rahmad sangat memahami hasrat sahabat lamanya itu. Namun, menjadikan mata pelajaran Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran yang berpengaruh adalah sesuatu yang berada di luar pemikirannya ketika itu.
Permintaan bantuan rakan lamanya itu lantas mengganggu kehidupan seharian Rahmad. Dia merasa tidak mampu mengajar kerana seumur hidup dia tidak pernah mengajar di dalam kelas. Namun, perlahan-lahan ketidakmampuan itu dikalahkan oleh kemahuan kuatnya untuk membantu Cikgu Shahanon Ahmad: menjadikan Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran yang berpengaruh.

* * *

Pagi hening. Namun suasana dalam kelas begitu bingar dengan suara para pelajar pelbagai bangsa sesuai dengan kemajmukan rakyat di negara ini. Ada Melayu, Cina, India dan juga lain-lain bangsa. Tetapi yang ramainya pelajar berbangsa Melayu. Kebanyakannya datang dari keluarga kaya.
            Sejak awal pagi lagi Rahmad sudah datang ke sekolah itu. Begitu teruja dia hendak berhadapan dengan para pelajar. Tepat jam 8.30 pagi, Rahmad sudah berada di sebuah kelas yang riuh-rendah. Dengan penuh semangat, dia mengucapkan salam dan selamat pagi kepada para pelajar. Kemudian dia memperkenalkan dirinya:
“Saya adalah guru Bahasa Melayu kamu yang baru. Nama saya, Rahmad. Saya tidak akan mengajar teori Bahasa Melayu. Saya ingin kamu boleh menggunakan kemampuan berbahasa Melayu kamu untuk memajukan diri. Saya akan memberi contoh tentang apa yang saya maksudkan.”
Meskipun kelas masih riuh, Rahmad tetap meneruskan pengajaran pertamanya. Di papan tulis yang kusam, dia tulis namanya besar-besar: RAHMAD. “Saya lahir di Kampung Belimbing Kuning, di sebuah negeri di utara Semenanjung. Saya ketika ini membawa Kamus Bahasa Melayu Edisi Kelima.” Sambil melirik daftar nama murid yang tersusun menurut abjad, dia menyebut satu nama, ‘Mila Armida’. “Tolong kamu maju ke hadapan.” Kelas kembali riuh. Jeritan-jeritan ‘huuu’ memenuhi ruangan kelas.
“Mila Armida, kamu pernah melihat kamus ini?”
“Belum cikgu.”
“Tak apa. Cuba kamu cari makna kata ‘rahmat’ di dalam kamus ini.”
Kerana belum pernah melihat, lebih-lebih lagi menyentuh dan membuka kamus, Mila Armida menjadi salah tingkah. Dia sama sekali belum pernah diberitahu bagaimana menggunakan kamus untuk mencari makna sesuatu perkataan. Cara membuka lembaran kamus pun bagaikan membuka buku komik atau novel kesukaannya.
Rahmad, yang seharian akrab dengan kamus bahasa, lantas membantu Mila Armida. “Mila Armida, kamu lihat di setiap hujung atas halaman kiri dan kanan kamus. Di situ tercetak satu kata yang menjadi kata penunjuk. Kata ‘rahmat’ berada di urutan abjad ‘r.’ Bukalah kamus dengan menggunakan hujung jari kedua-dua tangan kamu. Ingat, hanya hujung lembaran yang kamu buka. Cuba kamu praktikkan.”
Kerana belum terlatih, Mila Armida agak kekok mempraktikkan saranan Rahmad. Selang beberapa ketika kemudian. “Cikgu, yang saya jumpa pun... hanya kata ‘rahang’, dan setelah saya selak lembarannya, saya jumpa kata ‘rahap.’ Tak ada kata ‘rahmat’, cikgu?” ujar Mila Armida yang jelas kebingungan.
“Baik, kamu sudah sampai di tempat yang kamu tuju. Setelah kamu melihat kata ‘rahap’, kata apa yang kelihatan sejajar dengannya?”
“Kata ‘raja’, cikgu!”
Kelas sudah tidak lagi riuh-rendah, jelas hening memperhati dan menantikan detik-detik pencarian Mila Armida.
Sejurus kemudian Rahmad menulis di papan hijau kata ‘rahap’ di hujung kiri dan kata ‘raja’ di hujung kanan. Sambil melirik daftar nama murid, Rahmad berkata, “Helmi Aiman, cuba kamu bantu Mila Armida untuk mencari kata ‘rahmat’.”
 Helmi Aiman yang mengikuti secara cermat sejak awal, kemudian berkata, “Kata ‘rahmat’ pasti ada di antara ‘rahap’ dan ‘raja’, cikgu! Ini ada kata rahib... rahman... rahmat, selepas itu baru kata raib... rais... raja.”
 “Apa erti ‘rahmat’, Helmi Aiman?”
 “Rahmat itu termasuk kata benda, cikgu! Ada tanda ‘n’ (noun) di hujung kata selepas ‘rahmat.’ Ada dua jenis makna, cikgu! Makna pertama, ‘belas kasih’; makna kedua, ‘kurnia (Allah)’ atau ‘berkah’ (Allah).”
“Bagus! Inilah makna yang dirumuskan oleh sebuah kamus,” ujar Rahmad. “Menurut orang tua saya, nama yang saya sandang memang mengacu ke makna umum tersebut. Saya lahir selepas orang tua saya menanti cukup lama kelahiran anak pertamanya. Bayangkan, lima belas tahun selepas kedua-dua orang tua saya menikah, barulah saya lahir sebagai anak sulung. Ikhtiar dan penantian kedua-dua orang tua saya, akhirnya menjadi satu kurnia yang tidak ternilai harganya. Untuk mensyukuri kurnia itu, orang tua saya memberi nama anak sulungnya, Rahmad.”
“Ada apa pada nama, cikgu?” Tiba-tiba Milan Effendey yang duduk di hujung kelas melontarkan pertanyaan kepada Rahmad. Semua pelajar diam sembari menunak mata pandang ke arah Milan Effendey.
Sebagai seorang Muslim kita mesti percaya kepada hari kebangkitan, perlu mengakui bahawa nama yang digunakan di dunia akan kekal digunakan di akhirat,” jawab Rahmad. “Dalam bahasa al-Quran, nama adalah terjemahan bagi perkataan al-ism yang berasal daripada akar kata al-wasm yang bermaksud tanda. Maksudnya, dengan nama akan dapat diketahui dan dikenali seseorang dan menjadi tanda baginya. Ada pendapat yang mengatakan ia berasal daripada perkataan al-sumuw yang bermaksud tinggi. Sekali gus memberi makna bahawa nama adalah gambaran ketinggian dan keluhuran tuan yang ampunya.”
“Tapi nama bukan faktor penentu menyebabkan seorang itu menjadi baik, cikgu! Ia hanya langkah pertama dan permulaan yang semestinya disusuli dengan didikan yang sebaiknya,” balas Haikal Darnish, yakin.
“Betul kata kamu, Haikal Darnish!” balas Rahmad. “Agama Islam menganjurkan pemilihan nama yang elok, ia lambang identiti seseorang kerana nama itulah ia dikenali sepanjang hayat dan menjadi sebutan sampai ke hari akhirat.
“Apa yang dimaksudkan nama yang elok dan indah, cikgu?” tanya Mila Armida ingin tahu.
 “Nama yang sedap disebut, mempunyai makna dan maksud yang baik, terhindar daripada makna dan sifat yang dilarang oleh agama atau sekurang-kurangnya nama-nama asing dan mengelirukan,” jawab Rahmad. “Nama itu lebih kepada aspek maknawi, namun pengaruhnya terhadap luaran juga besar. Jika tidak masakan ada orang yang sanggup menjaga dan mempertahankan namanya lebih daripada menjaga harta.”
“Betul, cikgu!” tiba-tiba suara David Murugan pula menjelma dari satu sudut. Dia adalah satu-satunya pelajar keturunan India di kelas itu.
“Kenapa kamu kata betul, David Murugan?” tanya Rahmad.
Dalam tradisi masyarakat saya, nama yang akan diberi kepada bayi itu biasanya dipilih dengan teliti setelah dirujuk kepada takwim Hindu dan menentukan bintang hari kelahirannya,” jawab David Murugan. “Bagi kami orang India,  nama juga memberi kesan psikologi kepada pemiliknya.”
“Terima kasih, David Murugan,” ujar Rahmad. “Hakikatnya, nama mendapat perhatian yang cukup besar kerana ia adalah identiti diri dan panggilan untuk saling memahami dalam berkomunikasi dengan orang lain.”
David Murugan tersenyum bangga dengan kata-kata Rahmad.
“Dalam agama Islam, syarak menegah menamakan seseorang dengan nama yang dilarang seperti yang khusus bagi Allah atau sembahan-sembahan lain,” ujar Rahmad lagi. “Begitu juga nama mereka yang melambangkan kekufuran dan yang terkenal dengan kejahatan. Nama-nama yang memberikan maksud yang tidak baik dan nama-nama yang tidak beridentitikan Islam juga dilarang.”
“Tetapi kenapa nama cikgu Rahmad bukan ‘Rahmat’?” tanya pula Haikal Darnish, yang duduk paling depan. “Dalam kamus, ‘rahmad’ tak ada makna apa-apa,”
“Orang tua saya tak sekolah,” jawab Rahmad bersahaja. “Mereka juga belum mengenali ejaan yang benar, sebagaimana kamu sekarang sudah dapat merujuk kepada kamus bahasa. Zaman dulu mana ada kamus macam sekarang ni. Jadi, mereka menamakan saya berdasarkan pendengaran mereka. Inilah yang ingin saya sampaikan kepada kamu semua. Selain ada makna yang dirumuskan oleh kamus-kamus bahasa, ternyata ada makna yang boleh dihayati oleh seseorang.”
“Makna yang dihayati, cikgu? Apakah ini makna lain yang berbeza dengan makna yang diberikan oleh sesebuah kamus?” tanya Haikal Darnish lagi.
“Betul, Haikal Darnish!” jawab Rahmad. “Sesungguhnya, kedua-dua jenis makna ini sama. Hanya, makna kedua, makna yang dihayati, biasanya berkaitan dengan kehidupan yang luas. Makna ini lebih dalam dan kaya. ‘Rahmad’ adalah kurnia (Allah) yang boleh wujud dalam bentuk kehidupan baru yang membahagiakan. Menurut cerita saudara-saudara kandung orang tua saya, kehidupan orang tua saya, selepas saya lahir, begitu bahagia. Saya, ‘Rahmad’, ternyata membawa kebahagiaan kepada mereka.”
Tidak terasa, waktu sudah mendekati penghujung pada hari itu. Penjelasan Rahmad tentang makna sebuah nama yang hanya terdiri dari beberapa huruf, ternyata memberikan kesan yang mendalam di jiwa para pelajar. Pelajar-pelajar yang masih berusia remaja itu, kemudian cuba memahami diri masing-masing melalui nama yang disandang mereka.
“Adakah nama saya ada makna, cikgu? Nama saya Aidan?”
“Aidan bermakna ‘pemuda yang bersemangat’,” jawab Rahmad sembari tersenyum.
Aidan tersengih bangga.
“Allah telah meninggikan darjat manusia atas makhluk lain ciptaan-Nya,” ujar Rahmad lagi. “Manusia lebih tinggi dari makhluk lain kerana manusia diajar nama-nama oleh Penciptanya. Hanya manusia yang memiliki bahasa. Sesiapapun yang boleh menggunakan bahasanya untuk mencari ilmu, nescaya darjatnya akan naik lebih tinggi. Meskipun kelak kamu menjadi orang yang berjaya, berpangkat, dan kaya-raya, ingatlah tentang bahasa yang kamu gunakan. Apabila bahasa yang kamu gunakan berantakan dan kasar, nescaya kejayaan, pangkat, dan kekayaan kamu tidak dapat menolong kamu untuk menjulang darjat yang tinggi. Bahasa menentukan siapa diri kamu.”
Sejak hari itu para pelajar berasa seronok belajar dan berbahasa Melayu kerana sesungguhnya mereka telah sedar bahawa bahasa penjulang darjat seseorang manusia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA