Isnin, 15 Mac 2010

Sebuah Dongeng Hakikat

SMAHADZIR 

EMPAT tahun lalu, anak saya lahir pada waktu subuh hari Jumaat. Proses kelahirannya normal. Seperti kelahiran anak anda semua. Dia menangis kuat. Membiru muka. Dari jarak 235 kilometer, dia berbisik: Abah, saya melihat matahari yang redup. Saya melihat manusia memakan manusia. Saya melihat karbon dioksida mendesak oksigen yang membuatkan manusia dan kambing kering bagai padang pasir.

Tambahnya, abah apakah saya harus belajar dari semua itu? Jika benar, saya ingin pulang ke rahim ibu. Saya tidak mahu masuk ke sawang labah-labah ini. Saya ingin membangunkan sebuah negara di syurga. Para malaikat setiap ketika akan menyanyikan tembang kemerdekaan.

Sayangnya, setelah empat tahun, anak saya tidak dapat menolak hidup di negara ini. Janji manis setelah Saddam tumbang, terus ditekuninya sebagai gambar-gambar robot dan kapal terbang. Ya, dia harus mengalami pembesaran, pelebaran, dan kematian.

Anak saya mandi. Telanjang. Dia kencing. Air seninya mengalir, membentuk peta di kamar mandi. Ada ribuan gajah bergerak di peta tersebut.

Kaki-kaki gajah itu menghentam tanah. Retak. Roboh pohonan. Gunung-gunung gemetar. Tikus-tikus lari ketakutan seperti mesin pencuci tua. Sapi-lembu menjelma menjadi lonte. Singa dan harimau menjadi kucing, dan sembunyi di rumah-rumah para pemilik kilang. Semuanya sepi bagai kandang ayam yang meledak. Para gajah telah bangkit. Mereka ingin menindas manusia. Aksi balas dendam.

Setelah puas menghancurkan manusia di Afghanistan, mereka mengadakan kongres di Rumah Putih. Mereka menyusun rancangan menyerang Syria dan menghancurkan ratusan instalasi nuklear serta kilang-kilang makanan segera.
Tiba-tiba, seekor gajah kecil, nampak lemah, dan kulitnya berwarna coklat muda, memperingatkan teman-temannya, “Saya setuju dengan rancangan ini. Tapi saya minta kita jangan menggunakan senjata api. Jika menggunakan senjata api, ertinya kita sama dengan manusia.”

Semua gajah setuju. Mereka tidak memakai senjata api. Mereka hanya mengandalkan terhadap orang awam, tubuh dan kekebalan kulit. Layaknya ribuan Samson membunuh ribuan tentera Mesir.

Sayangnya, ketika gajah-gajah itu baru menginjakan kakinya ke kota New York, anak saya menarik tangan saya. Hujan belum turun. Anak saya lelaki. Wajahnya hampir 100 peratus mirip ibunya. Hidungnya rendah, dan berkulit hitam. Sebagai lelaki, apakah dia boleh menindas perempuan, tanya isteri saya. Sukar juga menjawabnya. Sistem sosial dan politik yang ada ketika ini memungkinkan lelaki menindas perempuan.

Mengeksploitasi perempuan seperti sabun mandi. “Bergantung juga... Bergantung juga kepada mahunya Tuhan,” jawab saya sebagai lelaki tradisional. Isteri saya tidak puas. Dia berhenti memasak, dan dibiarkannya anak saya telanjang. Matanya melotot. Ujarnya, lelaki harus setara dengan lelaki.

Kesalahan sejarah, sejak anak-anak pembiasan gender itu sudah dibangunkan. Saya bingung. Anak saya kembali masuk ke kamar mandi.

Lantas, inikan kehendak sistem yang ada? Tidak mampu! Tidak mampu. Sistem ini harus diubah. “Saya percaya, kesedaran feudal ini akan musnah. Saya percaya,” katanya, terus menggoreng ikan tamban kering yang saya beli kelmarin.

Anak saya masuk ke kolam mandi. Isteri saya menjerit. Saya masuk ke bilik mandi. Dunia ternyata bukan hanya kerja dan memantau perilaku.

* * *

Anak saya melukis rumah. Katanya, saya akan membuka sebuah kedai. Saya akan membahagikan makanan kepada setiap orang yang datang. Tanpa perlu bayar. Percuma. Dari mana makanan itu? Ramai orang yang akan menyumbang, katanya lagi.

Tidak ada jalan yang pasti. Saya menjerit. Saya ingin menjadi seorang ibu! Melahirkan ratusan anak yang kemudian menaiki kapal terbang yang melintas di atas rumah kami. Saya tahu, dan saya mohon Tuhan, jangan biarkan anak saya melompat dari tingkat 78 di sebuah bangunan di kota Tokyo.

Saya masuk ke rumah dan membakar kertas tisu. 

Abu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA