Isnin, 15 Mac 2010

Senyuman Di Sebalik Ilalang

(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Sinar Rohani terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan telah diantologikan dalam Perjuangan Yang Belum Selesai)

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

SENJA yang indah telah lama berlalu disusul gelap merayap. Gelap yang selalu mengingatkan aku pada seseorang yang pergi secara diam-diam kala gerimis turun pada suatu malam. Gerimis yang menyerupai jarum-jarum tajam berdenting di atas genting bagai petikan gitar seorang musafir di hamparan padang luas menyuguhkan kesunyian dan kekosongan. Membuatkan perasaanku meroyak, ngilu dan perih, seperti ada luka lama yang kembali menganga, menjemput resah segenap kenangan.
Ketika malam bergetar di tangan kanak-kanak pulang mengaji, membawa obor, mendakap kitab suci, berceloteh riang sembari sesekali mencuri pandang di antara semak ilalang, pokok-pokok tua dan temaram cahaya bulan. Tetapi arghh... betapa cepat semua itu berlalu. Betapa cepat waktu melesat. Membuatkan hidup menjadi terasa singkat seperti gesitnya kapal terbang.
Dan malam itu, mungkin empat tahun berlalu, untuk kesekian kalinya aku mimpi bertemu seorang gadis cantik yang senang menyembunyikan senyum di sebalik jilbab putihnya. Berjalan malu-malu menyibak rumput ilalang seperti menahan banyak keinginan dan harapan.
Betapa sudah lama aku mendambakan dirinya menjadi pendamping hidupku, membina keluarga sakinah, melahirkan anak-anak soleh-solehah. Aku kemudian kerap mengingau, memanggil-manggil namanya, meski ketika terjaga yang kutemui hanya kesunyian belaka. Tanganku menggapai-gapai ruang hampa. Sementara tubuhku seolah-olah terhempas jauh ke angkasa.
Lalu, aku termenung sendiri membuka jendela menyaksikan malam: bintang, bulan dan angin yang bisu. Dan begitulah, malam kembali mengalirkan kesunyian panjang seperti lorong penjara bawah tanah. Membuat diriku perlahan-lahan hanyut dalam keasingan purba yang terasa kian jauh tidak terjamah. Sejauh mata memandang hanya kegelapan dan kesunyian. Hingga dunia di mataku mendadak menjadi hitam, pekat, seperti malam yang tua dan rapuh.
Ya, di bilik itu, aku selalu dicengkam mimpi-mimpi menakutkan pada seorang gadis yang sangat kudambakan. Seorang gadis yang secara diam-diam telah pergi pada suatu malam menorehkan kesedihan. Terlalu banyak kesedihan di hatiku hingga aku tidak yakin apakah kesedihan perlu dinamakan?
Dan, malam itu, entah untuk ke berapa kalinya, aku kembali bermimpi bertemu gadis cantik itu. Dia, gadis cantik yang senang menyembunyikan senyum di sebalik jilbab putihnya. Berjalan malu-malu mendakap kitab suci, seperti mendakap rindu dalam hati. Tetapi arghh... dia terasa begitu jauh untuk mampu kurengkuh.
“Fatimah, untuk apa kamu mesti pergi ke Kuala Lumpur?”
“Mak Cik Ijah yang menyuruhku. Katanya ada pekerjaan buatku.”
“Masih belum cukupkah setiap pagi dan petang kamu mengajar kanak-kanak mengaji di surau dan madrasah?”
“Aku ingin bekerja. Aku ingin tahu tentang kehidupan di Kuala Lumpur.”
“Tetapi bagaimana dengan kanak-kanak? Siapa nanti yang akan mengajar mereka mengaji?”
“Aku sudah berjanji dengan Mak Cik Ijah. Aku harus berangkat ke Kuala Lumpur. Aku tidak mungkin membatalkan keputusan ini.”
“Apakah kamu juga tega meninggalkan diriku?”
“Aku akan selalu menulis surat untukmu.”
“Surat?”
“Ya. Aku akan selalu mengutusimu. Kamu tidak perlu bimbangkan diriku. Aku akan menjaga diriku di sana nanti.”
“Aku tidak terlalu bimbangkan dirimu. Aku cuma bimbangkan kanak-kanak yang mengaji di surau dan madrasah? Kamu tergamak meninggalkan mereka?”
“Suatu ketika nanti aku akan kembali kepada mereka...”
“Bila?”
“Entahlah...”
Ya, ya, sejak itu hampir setiap malam aku selalu bermimpi bertemu dengan gadis cantik itu. Seorang gadis cantik bersahaja yang senang menyembunyikan senyum di sebalik jilbab putihnya. Lebih-lebih lagi ketika hari-hari terus berlalu dan berlalu menyuguhkan rentetan kesunyian di hadapanku.
Aku kembali seperti memasuki lorong panjang dan kelam. Di sana aku mencium keasingan demi keasingan. Membuatkan aku merasa takut setiap kali malam menjelma. Malam yang selalu melemparkan aku pada kenangan masa silam yang tidak berkesudahan.
“Kami tidak mahu mengaji lagi kalau bukan ustazah Fatimah yang mengajar!”
“Ya. Kami hanya mahu dengan ustazah Fatimah?”
“Kenapa?”
“Ustaz tidak sepandai ustazah Fatimah.”
“Tetapi bukankah ustazah Fatimah ada di Kuala Lumpur?”
“Jadi, kami tidak mahu mengaji lagi.”
“Jangan begitu, mahu jadi apa kamu semua nanti?”
“Ah, takkan boleh bodoh! Kami hanya mahu diajar ustazah Fatimah.”
“Bila lagi kamu semua nak belajar mengaji kalau tidak sekarang?”
“Tetapi kami ingin ustazah Fatimah yang mengajar. Bukan ustaz!”
“Besok ustazah Fatimah akan datang ke sini. Sekarang kita belajar mengaji lagi. Ayuh!”
“Bohong! Kelmarin ustaz juga kata begitu, tetapi ternyata ustazah Fatimah tidak datang. Ustaz bohong!”
Kepalaku tiba-tiba berdengung dan berputar seperti ada baling-baling kipas angin yang perlahan-lahan cagun. Tubuhku kemudian terhempas pada sebuah ketinggian. Melayang-layang mengharungi kekelaman malam. Bumi semakin jauh kutinggalkan. Jauh sekali.
Dan, begitulah, surau dan madrasah sepi. Anak-anak mengaji di hadapan layar televisyen. Menghitung iklan dan lagu. Menghafal sinetron dan filem yang tidak bosan-bosan menawarkan kemewahan kebejatan. Juga kekerasaan dan pembohongan.
Ya, ya, kemewahan kebejatan dan kekerasan telah menjadi serentet narasi yang tidak rampung-rampung dibacakan. Terus dirakam dan tumbuh membiak subur di kepala kanak-kanak, seperti jamur pada musim hujan.
Empat tahun berlalu. Kini aku termangu di beranda surau. Menatap malam yang kian pekat, tua dan rapuh. Di langit kulihat sebuah bintang melayang tenang, cahayanya berkerlip sebentar. Ketika itulah hatiku terbetik memanggil nama seseorang. Tetapi sepi. Bahkan desah angin pun tidak terdengar. Lalu, kuputuskan untuk pulang.
Keesokan hari aku kembali ke surau. Ada banyak kenangan yang luruh di sana. Tentang suara kanak-kanak mengaji, senja, dan seraut wajah di sebalik ilalang. Ya, ya, kini aku telah duduk di beranda surau menunggu senja yang sebentar lagi bakal turun mengepakkan sayap keemasannya sambil membayangkan seorang gadis cantik yang senang menyembunyikan senyum di sebalik kerudung putihnya, ketika tiba-tiba di hadapanku benar-benar berdiri seorang gadis cantik memakai t-shirt dan seluar jeans ketat. Rambutnya dibiarkan terurai panjang, sebahagian dicat merah. Mungkin aku lupa. Tetapi, ah, tidak. Tidak! Senyum gadis itu masih mampu kuingat.
“Bila kamu pulang, Fatimah?”
“Kelmarin. Dua hari yang lalu.”
“Syukurlah. Bagaimana khabarmu?”
“Seperti yang kamu lihat. Aku baik-baik saja...” Ada senyum tipis merekah di bibir Fatimah yang merah. Tetapi tiba-tiba aku seperti berhadapan dengan orang asing.
“Kudengar sekarang sudah tidak ada lagi kanak-kanak yang mengaji di surau dan madrasah. Kenapa?”
“Sejak kamu ke Kuala Lumpur, mereka tidak mahu mengaji lagi.”
“Tetapi bukankah kamu mampu mengajar mereka?”
“Kanak-kanak hanya ingin kamu yang mengajar. Mereka sangat menyayangi kamu, Fatimah.”
“Tapi, sayang sekali. Aku hanya punya waktu beberapa hari di sini. Lusa aku harus kembali ke Kuala Lumpur. Aku tidak mungkin dapat meninggalkan pekerjaanku. Oh ya, ini ada cenderamata buatmu, kain pelikat, kopiah dan sejadah. Terimalah...”
“Terima kasih, Fatimah. Berikan saja pada orang lain. Mungkin ada yang lebih memerlukan...”
“Kalau begitu aku pulang dulu. Hari sudah mulai gelap. Bapa dan ibuku tentu bimbang menungguku.”
“Bila kamu akan kembali dan menetap di kampung ini lagi, Fatimah?”
“Entahlah...”
Senja benar-benar telah turun bersama cahaya keemasan. Sebentar lagi malam akan tiba. Malam yang selalu menorehkan kesedihan dan keperihan. Membuatkan aku selalu merasa gamang dan asing. Hingga kadang-kadang aku sering tidak yakin dengan apa yang aku jalani.
Termasuk pertemuan dengan Fatimah tadi. Apakah semua itu sebuah mimpi? Tetapi arghh... tidak. Tidak! Kali ini aku tidak tidur dan bermimpi. Samar-samar aku masih dapat melihat kelebat bayangan belakang Fatimah berjalan tergesa-gesa kian menjauh. Menjauh dan hilang di selekoh jalan.
Aku ingin mengejar Fatimah. Ada sesuatu yang ingin kusampaikan padanya. Tetapi sayang, sebentar lagi waktu Maghrib tiba. Aku harus mengumandangkan azan. Aku berharap Fatimah akan datang ke surau, setidak-tidaknya untuk kali ini saja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA