Isnin, 15 Mac 2010

Mawar Kota London

(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Nona terbitan Karangkraf Sdn Bhd dan telah diantologikan dalam antologi Di Sebalik Merah Mentari)

SMAHADZIR 

SEJAK tadi jambangan mawar sudah terletak di atas meja itu. Warnanya indah garang - merah terang. Namun dia sedikit kesal. Kenapa warna merah begitu yang dipilih? Kenapa tidak putih atau ungu atau jerau mahupun kuning lembut yang warnanya menjadi idaman. Boleh saja bunga matahari, honeysuckle, canation, daffodils, lilac, daisy, tulip atau bunga dahlia yang lembut dan comel menawan.
Juga yang dia kesalkan: detik silam sudah berlalu jauh meninggalkan, kenapa masih lagi mengenangkan? Bagaimana Tengku Daniel tahu dia berada di perut London ini? Soalan-soalan itu cagun berlegar-legar di ruang benak.

Keindahan kelopak mawar merah terbawa dan acap mengirap hingga ke bilik seminar. Maheran resah. Penceramah kali ini telah membincangkan, Tainted Truth: The Manipulation of Fact in America, karangan Cynthia Crossen yang amat provocative. Seorang peserta telah memulakan sesi soal jawab dengan mendakwa ‘zaman ini manusia gilakan data. Terlalu obses masyarakat moden terhadapnya sehingga data nyalar diterima sebagai benar. Mereka terlupa, sebahagian besar data yang dikemukakan sebenarnya dibuat oleh agensi yang dibayar pihak yang berkepentingan. Kajian atau tinjauan berbayar sebenarnya tidak lebih sekadar maklumat yang korup.

Ada seorang peserta pula bangun dan menukas, ‘banyak maklumat dan data yang dikemukakan atas nama polls, tinjauan umum, soal selidik, entah apa lagi, sebenarnya satu pembohongan. Walaupun kajian ini menggunakan sains objektif sebagai topeng tetapi sebenar ia mengutamakan matlamat penajanya’.
Katanya lagi, ‘hasilnya memang tidak boleh dipercayai. Bagi yang innumerates, angka nyalar mengelirukan. Sebab itu penaja kajian dan tinjauan ini mengeksploit kejahilan manusia untuk matlamat mereka. Angka kelihatan dramatik malah menakutkan tetapi sebenarnya telah digilap’.

Seorang lagi peserta gesit menyampuk. “Walau apa pun nama diberikan: informercial, infotainment, factoid, advertorial atau docudrama, ia sebenarnya gabungan fakta dan khayalan.” Dia memberi contoh, negara maju seperti Amerika Syarikat telah menggunakan kajian ini untuk kepentingan pelbagai pihak. Pengkritik amalan merokok berjaya dibisukan kerana maklumat syarikat rokok sebenarnya tidak berbahaya. Pelobi bagi pihak persatuan pemilik senapang di AS menggunakan hasil kajian umum untuk membuktikan bahawa memiliki senjata api ada sebahagian daripada hak asasi manusia yang harus dihormati.

Tatkala suara demi suara cagun terluah, fikiran Maheran masih terpaku kepada jambangan mawar merah dan pengirimnya.

“Apa pendapat tuan penceramah?” satu soalan lagi tiba-tiba tercerlus. Ingatan Maheran terhadap jambangan mawar merah itu gesit bebar.

Ya, apakah yang harus diucapkan oleh Dr. Helmert, penceramah itu? Syarikat raksasa yang mengeluarkan lampin budak akan mengeluarkan kajian mengenai perlunya lampin moden keluaran mereka. Pihak tentera memutarbelitkan angka untuk tujuan morale. Golongan homoseks, lesbian, feminis, pro-pengguguran dan anti-pengguguran akan menggunakan data yang mereka perolehi untuk tujuan dan kepentingan gerakan mereka.

“Hasil tinjauan umum sudah mengambil alih tanggungjawab para doktor dan ahli farmasi, polls mulai menggantikan peguam di mahkamah dan pelobi sudah bertindak sebagai anggota perwakilan di Dewan Senat,” Dr. Helmert bersuara seraya menyeluruhi para peserta di hadapannya.

Menurutnya, bagi melaksanakan agenda peribadi, cara yang paling berkesan ialah membeli dan menjual maklumat. Semakin banyak kajian dan tinjauan ini dibuat bukan menguntungkan pengguna atau umum, sebaliknya tambah mengelirukan. Nombor boleh berbohong, berbohong dengan cara yang berkesan sekali.

Pengakhir seminar, Dr. Helmert mengajak para peserta membayangkan politik AS tanpa kajian dan tinjauan ini. Tegasnya, tidak hairanlah Bill Clinton memerlukan Dick Morris yang pakar memanipulasi maklumat dan data untuk menyenangkan presidennya.

Seminar berjalan lancar, hebat, selama lebih dari dua jam setengah dan akhirnya tamat. Maheran tidak terus keluar. Bertagal dia terpaku kejur di bilik seminar dengan pelbagai perasaan membuncah kelut di cepu kepala. Fikirannya kacau dan bergerawan. Warna garang mawar merah, wajah Tengku Daniel dan kenangan lama kala di universiti dulu mulai bergentayangan dan mengirap mesra. Kenapa sekarang cagun lagi dalam waktu dia sudah melupakan?

Maheran terhenyak di bilik penginapan dengan perasaan yang racau dan kelut itu masih belum reda malah semakin menggelodar membengkak. Garang mawar merah tanpa senyum, bagaikan seorang hakim, angkuh, megah di atas meja. Seolah-olah merenung tunak, menyoal, menjawab, menghukum dan menjelaskan makna kisah lama dalam pantulan resah.

Sungguh Maheran resah.

Ungkapan yang dikulum kemas sejak lama, meluah keluar tanpa suara. Hanya dalam keluhan maha berat. Menyapa dan berbicara dengan mawar merah itu. Nama Tengku Daniel terpampang pada kelopaknya, pada kad, pada segala, persis seorang insan yang terlalu lama terborgol dan akhirnya mengisytiharkan dengan langsing akan cagunnya. Betapa indah sebuah nama yang ingin disirnakan, terlalu lama terpahat dalam arca kehidupan. Wajah itu mengirap dan menyapa, tersenyum, mengusik, ketawa, serius, sedih atau memberi cerlungan redup yang maha aneh, yang hanya dia saja dapat berbuat demikian.

Maheran dilambung ombak gelora silam. Dia lemas terkapai dalam arus kenangan. Berpintal-pintal. Kolam rasanya baru mulai tenang, kenapa dikocaki alunnya dengan mawar merah ini?

Telefon di meja sisi melengking tiba-tiba. Gagang gesit dicapai lalu ditekapkan ke copeng telinga, “Hello!”

“Hello, itu Maheran?”

“Ya, cakap! Siapa di sana?”

“Aku… Armiya! Armiya Sanders, ingat lagi?”

“Hai, mana tahu aku di London ni?”

“Dari Tengku Daniel!”

Maheran tergamam jola, Kejur. Nama itu lagi.

Armiya Sanders, teman lama sewaktu di universiti dulu. Sudah punya tiga anak, berkahwin dengan atase Malaysia di London. Dia mula berkisah dengan suara yang sesekali pelat garau namun manja. Mengucapkan Welcome to London dan entah keberapa kali menjemput Maheran ke rumah.

Maheran terhibur pada telatah dan kemanjaan Armiya Sanders. Pada suaranya yang masih belum berubah walau lama tidak berjumpa. Atau pada suara si kecil yang riuh rendah, yang sesekali cagun bergerapak dalam gagang telefon, yang menjadi lambang pada sebuah kehidupan bahagia? Mereka berbicara panjang tentang itu dan ini, juga tentang Tengku Daniel.

“Okeylah, aku akan datang!” Begitu yang dijanjikan kepada Armiya Sanders.

Betapa bahagianya anak gadis corporate warrior itu, fikirnya. Memang Armiya Sanders patur bahagia, seolah-olah kebahagiaan yang dikecap dari tempayan yang berisi air madu melimpah ruah. Datuk Ikram, atase punya kewibawaan, mandiri sebagai suami dan tiga orang anak, suami penyayang, anak-anak yang comel dan nakal metah, hidup pula di Kota London sudah cukup untuk menjadi sumber kebahagiaan dan nyanyian hidup.

Dan dia?

Diakah seorang penggubah lagu atau komposer yang terlalu meminta daripada hidup ini lantas tidak dapat merealisasikan simfoni yang diimpikan? Begitu?
Mawar merah terang yang geradang warnanya itu dibawa keluar dari bilik. Menuruni tangga hotel penginapan dan terus mendapatkan tube untuk ke Knightsbridge. Merentasi Trafalgar Square, dia terbayangkan Tengku Daniel di sisi dan mereka berjalan berpimpinan tangan. Fikiran Maheran terus sesak lebih-lebih lagi tatkala merenung mawar merah di ribaan.

Mawar merah?

Apa yang dimaksudkan dengan menghantar jambangan mawar merah ini? Lam-bang tahun-tahun yang sudah berlalu atau lambang cinta yang sudah sirna tuntas? Dapatkah geradang warnanya ini menyerikan kembali hari-hari lara yang sudah sepi, luka dan pilu?

Kenapa baru hari ini mahu berbicara melalui mawar merah yang bisu ini setelah sekian lama menyepi? Akukah orangnya yang tahu menghargai indahnya warna mawar ini? Berbondong soalan terpacul, bagai berperang sesamanya. Sedang tube terus bergerak gesit seolah-olah mahu meninggalkan segala keresahan dan persoalan di dada Maheran.

Suara lunak Celine Dion dari corong radio menyisih sapaan wayu dingin yang menjerba dari luar. Maheran agak terhibur, sejenak dia terlupakan jambangan mawar merah di atas ribaan. Betapa terasa ritma dan lirik lagu itu begitu mengusik nubari. Lunak mengelus dengan sentuhan seni di hati persis tali temali pada sebuah sitar yang dipetikkan perlahan, menggetarkan irama kepedihan. Engkaukah sebuah lagu dari dekad silam, yang indah tetapi memilukan?

Knightsbridge. Dari jauh sudah dapat dilihat kemewahannya. Hebat bagaikan bernyawa. Megah dengan Harrods, gedung terkemuka, tersohor di dunia. Menyusun kaki ke perutnya, perasaan didakap mesra keindahan seni reka bentuk Edward. Benar kata Armiya Sanders, di sini dunia fesyen yang mempersonakan. Segalanya mengagumkan.

“Kau dah gila, Mar!” suara tengku Daniel bagaikan terdengar, seolah di sisi. Tetapi di sisi hanyalah jambangan mawar merah.

“Jangan terlalu radikal, Mar!” suara itu meletus di pekarangan kampus universiti. Angin musim panas dekad 70-an yang himpang berbahang pada pagi itu bagaikan mahu berhenti kerananya. Wajah yang selalu tenang kini menjadi sedikit jerau, mata yang nyalar redup manja begitu tajam mencerlung menikam wajah Maheran.

Maheran bungkam.

“Jangan ikut telatah radikal Amran, Mar!” ujarnya lagi setelah Maheran bertagal membungkam. “Buat apa bersusah payah mencetuskan konfrantasi berlanjutan. Kau sendiri tahu, itu mustahil. Mustahil mereka mahu mendengar suara persatuan pelajar radikal seperti ini,” Tengku Daniel melontar geram. Entah kali yang ke berapa mereka bertelagah kerana penglibatan Maheran dalam gerakan pelajar yang diangap radikal itu.

“Masih ada lagi rakyat kita yang hidup di bawah paras kemiskinan setelah lama negara mencapai kemerdekaan. Kau mahu berpeluk tubuh? Aku mahasiswa berjiwa rakyat, Daniel! Kau tak pernah merasai keperitan hidup begitu kerana kemewahan dan darjat ningrat kau!”

“Itu bukan soalnya, Mar! Aku tak mahu cari beban. Kau ingat boleh menangani semua masalah secara radikal?” gerahnya melonjak beberapa takah.

Maheran jadi khali. Kenapa Tengku Daniel begitu menghalang? Bimbang terhadap masa depanku? Bukankah kita pernah sama-sama bergiat cergas dalam gerakan pelajar pada awal-awal penubuhannya dulu? Cuma Tengku Daniel yang telah menyisihkan diri serta memulakan corak perjuangan yang berbeza. Alasannya hanya kerana tidak mahu dituduh radikal.

“Aku tak rasa ini satu beban, Daniel! Ini idealisme. Kami berhak menyuarakan penderitaan rakyat!”

“Huh, idealisme melulu!” tukasannya bagaikan satu cemuhan jengkel.

Maheran mencerlung tunak figura segak Tengku Daniel, tidak terduga kata-kata begitu yang terpacul. Apakah dia betul-betul bimbangkan masa depanku? Seorang mahasiswa yang menjadi harapan seluruh keluarga untuk mencorak sebuah kehidupan gemilang selepas bergelar graduan? Tambahan, ke mana saja sering bersama Azman, selaku teraju dan perancang segala tindakan persatuan pelajar.
Sedang antara aku dan Tengku Daniel bagaikan asing walau acap kali berpapasan di ruang kampus. Barangkali juga dia tidak percaya bahawa perhubungan boleh terjalin antara seorang perempuan dan lelaki tanpa disarati unsur nafsu dan cinta! Pun dia kurang yakin bahawa tugas berpersatuan boleh membuat seseorang beramah mesra dengan semua orang tetapi mengkhususkan keistimewaan atau rasa cinta hanya untuk seorang! Atau, barangkali juga cara bertindak dan tumpuanku sekarang sudah jauh menyimpang dari landasan perjuangan dan dirinya!

“Kau yakin perjuangan kau akan berjaya merealisasikan segala? Hei Mar, jangan buang masa sia-sia. Masa depan kau lebih penting!”

“Tidak sekali-kali aku mahu mengubah idealisme keranamu, Daniel! Aku mesti jujur pada diri sendiri!”

“Apa kata kau? Jujur pada diri sendiri?” Tengku Daniel ketawa berpinak-pinak. Sinis sekali ke pendengaran Maheran. Apakah itu satu cabaran?

Maheran terdiam lagi. Dia yakin, dia telah berlaku jujur pada dirinya sendiri selama ini. Jujur terhadap apa yang dinamakan perjuangan. Jujur terhadap Tengku Daniel juga. Sayangnya, tafsiran kejujuran itu dihurai berbeza oleh lelaki ningrat itu.
Betapa dekad-dekad itu dibahangi semangat dan idealisme. Hebat, kacau dan panas. Itulah detik-detik genting, getir, yang menuntut Maheran supaya banyak menyoal dan cuba mencari penilaian baru terhadap erti kemiskinan rakyat dan mahasiswa sepertinya di menara gading.

Aku yakin, aku bukan subversive atau radikal atau hanya menyuarakan semangat antiborjuis dan proproletariat kalut. Kami melancarkan penentangan bukan kerana benci atau dengan subversive dan radikalnya ingin merosakkan keharmonian negara. Suara kami adalah suara-suara kesedaran, mahasiswa yang prihatin. Namun suara yang sedemikian hebat dan lantang tidak membawa sebarang erti. Benar katamu Daniel, perjuangan kami sia-sia.

Daniel, engkaukah yang tidak pernah mahu memahami proses kesedaran sosial yang sedang kualami atau akukah yang terlalu jahil tentang cara dan dasar perjuanganmu? Apakah ini yang dikatakan konflik idealisme dan peribadi antara kita? Atau suasana sekitarkah yang semakin menggentingkan perkara-perkara yang sememangnya sensitif begini? Atau mungkin seperti pergerakan tube ini, akan berhenti apabila tiba ke destinasinya?

“Tengku Daniel sudah menetap di London dengan isterinya, seorang wanita Inggeris! Dia kecewa dengan kau, Mar!” beritahu Armiya Sanders sewaktu Maheran melabuhkan punggung di sofa kulit.

“Aku doakan semoga dia bahagia!”

“Kau kecewa?”

Maheran menggeleng nipis.

“Habis, kenapa sampai sekarang belum kahwin?”

“Sukar untuk mencari seorang lelaki yang memahami jiwaku. Aku tak berdaya memaksa mereka!”

“Aku faham, Mar! Tapi, Tengku Daniel yang pernah berjuang bersama dulu pun tak mampu memahami kau?”

Maheran mengeluh berat dan panjang. “Barangkali, sebagai seorang ningrat, dia inginkan seorang wanita typical dan submissive yang boleh akur pada segala kehendaknya. Sikap tu tak ada padaku, Miya!”

Armiya Sanders terdiam.

“Dia kirimkan aku mawar merah!”

“Aku tahu. Biarlah aku berterus terang, Mar! Beberapa hari lalu, dia ada hubungi aku dan bertanyakan hal kau. Dia tak bahagia dengan isterinya!”

Maheran terjeda dan terlunga.

“Berita terbaru, dia dah berpisah dengan isterinya tu!”

Suasana khali setagal. Dada Maheran gesit jelu. Perkahwinan yang dicipta tidak semestinya terukir dengan warna bahagia. Begitu juga dengan perjuangan. Tidak seharusnya gusar jika berakhir dengan kekecewaan.

“Aku rasa, kau tak berlaku adil pada diri kau sendiri, Mar!”

“Apa maksud kau, Miya?”

"Ingatan kau pada Tengku Daniel begitu teguh, seolah kecintaan kau pada lelaki lain tertutup lenyap. Kau tak benarkan lelaki lain mencintai kau semata-mata kerana mereka bukan Tengku Daniel. Apa guna diingat lagi kisah lama yang lara, Mar?”

“Cinta bukan sekadar untuk mengisi ruang kesepian, Miya! Lagipun, aku bahagia dengan corak hidupku sekarang!” Terasa dadanya lega tatkala meluahkan ungkapan itu. Armiya Sanders terdiam dan akur.

Menyusur di Sloane Square dan tenggelam di telan Peter Jones sebelum pulang, Maheran terlayang lagi. Daniel, terlalu banyak keindahan yang kau ciptakan untukku. Bagaimana itu semua dapatku sirnakan terus dari murup dalam diri. Segala yang kita angankan telah lenyap, tuntas dimamah zaman. Aku kini bahagia, Daniel! Bahagia dengan kerjayaku, penglibatan, kegemaran dan bahagia dalam kebahagiaan rakan-rakan seperjuangan yang lain.

Aku tidak seradikal dulu lagi. Aku sedar, dunia tidak akan berubah dengan hanya adanya seorang manusia seperti aku. Tetapi, idealisme melulu yang pernah kau katakan dulu, tidak pernah melenyap dalam proses kematangan ini. Segala yang aku doakan untuk diri telah berjaya dicapai kecuali sebuah impian cerlang - hidup bersamamu!

Daniel, aku kini bergiat cergas dalam beberapa persatuan, terutamanya persatuan yang berusaha meningkatkan taraf pemikiran, kehidupan dan kebajikan manusia sejagat. Jambangan mawar merah ini kenapa diberikan padaku?

Seorang gelandangan yang menyapa sambil menadah tangan dari dalam gebar kumal, ditinggalkan jambangan mawar merah yang sudah pudar warna itu. Mungkin ia dapat menyerikan kehidupan sesak manusia itu di tengah perut metropolis megah ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA