Selasa, 25 September 2012


Merungkai Minda Socrates

SMAHADZIR

BILLBOARD bertulis – ‘Dr. Ad Hoogendijk (Mempratikkan Firasat), sila berjumpa waktu pejabat, sudah lama terpasang di jalan Brugakker, Zest, Netherland.’ Dan kalau anda berjalan di sekitar Jerman Barat banyak juga terpandang papan tanda yang serupa.

Raja yang menemuI jalan firasat atau falsafah ini hidup dalam kurun ke 16. Sealiran fahaman dengan ahli fikir Aristotle, guru Ploto. Ploto meninggal tahun 2,300 lampau, seorang perisau yang cemerlang dan murung, juga seorang ahli falsafah. Mengkaji permasalahan tingkah-laku, kegiatan politik dan menganalisa logik akal. “Cara terbaik menuju keagongan adalah bergaul dengan orang-orang besar,” nasihatnya. Sejarah biodata Socrates tidak banyak tersingkap. Tetapi fahamannya banyak ditarik dan digunakan oleh sebahagian doktor moden seperti Dr. Ad Hoogendijk.

Socrates Hidup dalam kurun 469 - 396 Sebelum Masehi. Seorang tukang batu di sebuah kota yang penuh dengan pemborong yang sering menggunakan satah condong merungkit batu-bata. Terkenal sebagai ahli firasat yang tidak henti-henti mencari kebenaran yang hakiki. Tugas falsafah bukan hanya menjawab pertanyaan-pertanyaan yang timbul di dalam kehidupan melainkan mempersoalkan jawaban-jawaban yang diberikan. Berfilsafat merupakan cara berfikir yang radikal, menyeluruh dan mendasar terangnya. Sikap Socrates yang suka bertanya dan mencari jawapan yang memuaskan hatinya menyebabkan beliau dikenali dengan pepatah: I think, therefore I am yang bermaksud: ‘Saya berfikir, oleh itu saya wujud.’

Kenapa firasat ala Socrates yang menyangkut soal cinta, kesepian, pengangguran, rasa takut, bahkan juga tentang mati dan hakikat manusia masih boleh digunakan?

Dr. Ad Hoogendijk berkata, “Firasat berbeza dari doktor yang memberi ubat-ubatan. Kita menjadi seperti pengacara dan mencari resolusi yang canggih. Pelanggan kita yang terdiri dari pesakit diajak berdiskusi sebagai rakan sedarjat dan bertukar-tukar fikiran mengenai macam-macam masalah,” terang Dr. Ad Hoogendijk lagi. Kadang-kadang “Eppur si mouve” (dia bergerak, sama saja) dengan perawatan biasa terang Dr. Ad Hoogendijk lagi.

“Paling tidak, ada 20 perbezaan antara firasat dengan doktor psikologi,” katanya. Di tempat rawatannya, pelanggan diperlakukan sebagai tetamu, bukan pesakit. “Tetamu saya adalah seorang yang bergelut dengan masalah yang menyita penghidupannya seperti jatuh muflis, ditipu rakan kongsi, putus cinta, hidup murung dan sebagainya. Masalah berpolitik, bersosial dan pembunuhan. Ini semua menyangkut masalah rohani dan jasmani. Debat dengan seorang ahli fisiologi setidak-tidaknya dapat menjernihkan dunianya secara keseluruhan dan menajamkan minda pemikirannya,” ujar Dr. Ad Hoogendijk.

“Kita mencari akal sihat yang menyangkut soal abstrak dan ini menjadikan skop firasat terlalu luas jangkauannya. Misalnya seorang pesakit datang membicarakan tentang masalah hidup. Mula-mula kami membincangkan tentang langkah yang mesti diambil waktu itu hinggalah diskusi kami berkembang tentang permasalah akhlak manusia dan peranan perkerjaan dalam penghidupan. Untuk menjawab segala permasalahan itu ilmu pengetahuan (epistemologi) mesti ada dan kamilah orangnya. Kesimpulannya (inferens) semua permasalahan dibincangkan dan diperhalusi.”

“Di Barat sekarang terlalu ramai yang goyah imannya,” kata Dr. Ad Hoogendijk lagi seperti lagak Socrates mengusap-usap janggut jarangnya. “Jadi kami tidak risau langsung tentang pelanggan. Setiap hari bermacam ragam pesakit mengetUk cermin pejabat kami,” tokok beliau lagi.

Manakala di Eropah nampaknya perniagaan ala firasat kian berkembang. Consultant ini walau mirip firasat tetapi tidak melulu berupa nasihat dan teori atau hanya menggariskan beberapa panduan. Banyak bentuk lain dipratikkan. Firasat telah berkembang, ilmu ini bukan tinggal di menara gading lagi, kata Dr. Ad Hoogendijk sambil menggerakkan kacamatanya yang setebal bontok botol coco-cola itu.

Pada zaman Yunani, Socrates pada kebiasaan berdialong dengan orang ramai di pasar-pasar atau di majlis-majlis keramaian. Beliau juga banyak menghabiskan masanya berdialog dan berdebat di dewan perhimpunan. Kadang-kadang dialognya tidak mengira tempat sama ada di spa permandian, di pekan-pekan atau di tempat memecah batu. Socrates sentiasa mencari resepi baru dalam hakikat hidup.

Memecahkan masalah yang menjadi persoalan teman-temannya. “Hidup yang tidak diperiksa adalah hidup yang sia-sia,” nasihatnya. Manusia berfikir jika dia sedang menghadapi masalah. Masalah pada hakikatnya merupakan sebuah pertanyaan yang mengundang jawaban. Sebuah pertanyaan mempunyai peluang besar untuk dijawab dengan tepat. “Gunung itu...” katanya pada seorang teman. “kalau dicangkul setiap hari akan hilang jua...”

Misalnya seperti contoh celawak (cerita lawak), suatu ketika seorang penternak ikan air tawar datang kepadanya mengemukakan pelbagai masalah yang memagarinya. “Ikan keli aku,” kata penternak itu sambil menggaru kepala botaknya, “mudah betul mati...” Penternak itu mempunyai dua buah kolam ikan dan menternak pelbagai jenis ikan termasuk ikan keli Yunani. Tetapi ikan keli sangat sensitif pada cahaya dan petir kilat. Bila terkena pancarannya, ikan ini akan terperanjat dan buntang lalu mati. Jumlah ikan ini kian berkurangan keluh perternak itu.

“Buatkan jaring dari besi dan cuba tutupkan keseluruhan kolam itu,” nasihat Socrates. “Tidak boleh,” kata perternak itu, “Ikan keli akan melompat, muncung dan kepalanya akan terkena dawai itu dan akan mati juga akhirnya. Jikalau air surut ikan keli itu akan kepanasan dan mencucukkan dirinya ke dalam tanah, sukar bagi kita mencarinya dan kesudahannya ikan itu akan mati, kita rugi lagi...”

Mereka berdua terus berbincang dan mencari fikiran baru. Pelbagai idea dilontarkan. Socrates terus mengerakkan mindanya. “Mengapa tidak ditanam pokok rampai bagi menutup sedikit ikan itu?” ujar Socrates. Penternak itu melangu. “Betul juga...”

Socrates tidak puas hati dengan idea barunya. Besok pagi sebelum burung murai bertutur di kota Athens, Socrates bergegas ke tempat kolam ternakan ikan. Tujuannya ialah mengenali lebih dekat lagi permasalahan sahabatnya itu. Pendapat tanpa kaji selidik tidak lunas jawabannya, fikir Socrates. Tanpa mengira tempat Socrates terus berfikir dan cuba menyelesaikan masalah itu hingga ke akar umbi. Firasat dan falsafah terus berkembang.

Beliau dihukum bunuh dengan dipaksa meminum racun berpunca daripada dakwaan mempersoalkan kewujudan dewa-dewi yang menjadi asas kepercayaan masyarakat Athens ketika itu.

* Istiah falsafah menurut Dewan Bahasa Pustaka (DBP): Suatu cara berfikir yang radikal dan menyeluruh, suatu cara berfikir yang mengupas sesuatu sedalam-dalamnya. Tugas falsafah yang sebenarnya bukanlah menjawab pertanyaan kita tetapi mempersoalkan jawaban yang diberikan.

Memilih Pemimpin

SMAHADZIR

MEMILIH calon pemimpin yang layak dan baik adalah satu perkara yang tidak boleh ditolak. Setiap insan pastinya inginkan yang terbaik untuk dirinya, keluarganya, masyarakatnya dan negaranya. Maka pemimpin juga mestilah yang terbaik atau afdhal walaupun ia hanya untuk sebuah persatuan.

Di antara dua calon yang bertanding mesti salah seorang daripadanya lebih afdhal daripada yang seorang lagi menurut pandangan pengundi. Calon A lebih afdhal daripada calon B kerana akademiknya bagus menurut penyokong calon A. Menurut penyokong calon B pula, calonnya lebih baik daripada calon A kerana dia pandai mengawal mesyuarat. Jadi kedua-duanya lebih layak dan lebih baik menurut penyokong masing-masing, dan lawannya adalah mafdhul. Maka afdhal dalam situasi ini adalah nisbi, ia tidak tetap.

Perbincangan tentang pemimpin afdhal dan mafdhul ini telah berlaku sejak zaman sahabat terutamanya dalam membincangkan tertib afdhal para Khulafa’ Rasyidun. Dr. Muhammad ‘Imarah dalam bukunya al-Islam wa Falsafatu al-Hukm menyatakan: Ia bersempena dengan dakwaan golongan Syi’ah yang menuduh para sahabat menafikan Ali daripada kepimpinan yang menurut mereka dia lebih afdhal daripada yang lain, maka berlakulah perbincangan tentang afdhal dan susunan tertibnya dalam kalangan sahabat, begitu juga keharusan pemimpin mafdhul ketika wujudnya yang lebih afdhal. (Dr. Muhammad ‘Imarah, al-Islam wa Falsafatu al-Hukm).

Apabila kita merujuk Al-Quran, afdhal atau lebih baik boleh berlaku di antara seseorang dengan seorang lain, seorang nabi lebih afdhal daripada bukan nabi, bahkan sesama para nabi pun sebahagiannya lebih afdhal berbanding sebahagian yang lain dengan kelebihan yang Allah s.w.t berikan. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 253 bermaksud: Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya, dan ditinggikannya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan. Dan Kami berikan Nabi Isa Ibni Maryam beberapa keterangan kebenaran, serta Kami kuatkan dia dengan Roh al-Qudus (Jibril).’

Allah s.w.t juga maha berkuasa untuk melebihkan satu umat ke atas yang lain. Manusia itu sendiri lebih afdhal daripada makhluk yang lain sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Israa’ ayat 70 bermaksud: Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah berikan mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada perkara yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.’

Afdhal berlaku dengan kelebihan tertentu, lawannya adalah mafdhul iaitu yang tiada kelebihan tersebut. Maka pemimpin mafdhul yang kita bincangkan adalah berkaitan dengan pemilihannya ketika wujud pemimpin yang lebih afdhal. Imam al-Haramain al-Juwaini (478H) menegaskan bahawa maksud afdhal di sini bukannya yang lebih tinggi kedudukannya di sisi Allah atau lebih taqarrub kepada Allah s.w.t, katanya: Bercakap tentang al-fadhil dan al-mafdhul bukannya yang lebih tinggi darjatnya dan lebih dekat taqarrub kepada Allah dalam amalannya. Boleh jadi seorang wali Allah yang menjadi tonggak dan rujukan seluruh alam yang jika dia bersumpah dengan nama Allah pasti akan terjadi, tetapi pada zamannya terdapat seorang yang lebih sesuai dan layak daripadanya untuk menguruskan urusan umat Islam.’ (al-Juwaini, al-Ghiyathi)

Kepimpinan berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran tidak semua orang sesuai dan layak untuk memikulnya. Ia juga melibatkan ketajaman pemikiran dan keluasan pandangan. Manusia itu sendiri kemampuannya berbeza-beza di antara satu sama lain. Belum tentu seorang pensyarah lebih afdhal menjadi pemimpin masyarakat berbanding anak-anak muridnya. Dan belum pasti seorang yang cemerlang akademiknya lebih afdhal untuk menjadi ketua bagi persatuan mahasiswa atau mahasiswi. Begitu juga tidak semestinya orang yang berjubah dan bergelar ustaz itu lebih afdhal menjadi pemimpin berbanding orang yang tidak berjubah dan bergelar ustaz. Terdapat manusia yang cerdik otaknya tetapi lemah jasadnya. Tidak kurang yang kelihatan gagah badannya tetapi tewas dengan harta dan rasuah.

Dalam soal kepimpinan, yang kita maksudkan dengan afdhal dan mafdhul ialah keupayaan dan kesesuaian seseorang dalam memikul tanggungjawab. ‘Adhuddin al-Iji (756H) menyatakan ada kemungkinan pemimpin mafdhul lebih sesuai dengan jawatan kepimpinan berbanding afdhal, al-Iji menegaskan:‘Yang diambil kira dalam sesuatu wilayah (kekuasaan) ialah mengetahui kebaikan dan keburukan, serta kekuatan untuk memikulnya. Boleh jadi seorang yang mafdhul daripada aspek ilmu dan amalnya, dia lebih bijak dan lebih kuat menanggung beban dalam aspek kepimpinan.’ (al-Iji, al-Mawaqif)

Oleh sebab itu para ulama Ilmu al-Kalam telah berbeza pendapat dalam menentukan keafdhalan para sahabat. Sebahagian mereka menyatakan semua Khulafa’ Rasyidun adalah afdhal, sebahagian mereka pula menyebut Abu Bakar As-Siddik yang paling afdhal selepas Rasulullah s.a.w. Perselisihan juga berlaku dalam menentukan tertib afdhal selepas Umar al-Khattab sama ada Sayidina Utman atau Sayidina Ali. Walau apa pun perselisihan mereka tentang tertib afdhal para sahabat, kita perlu terima bahawa generasi sahabat adalah lebih afdhal daripada umat Islam seluruhnya. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w: Janganlah kamu mencerca para sahabatku. Jika seseorang daripada kamu menginfakkan emas seperti Gunung Uhud sekalipun nescaya tidak akan sama dengan segenggam tangan mereka dan tidak separuhnya.’ (Riwayat Muslim)

Hukum harus melantik pemimpin mafdhul adalah kerana maslahat dan keperluan. Al-Tabari (310H) menyatakan bahawa mereka juga bersandarkan kepada kisah Rasulullah s.a.w. melantik ‘Amru bin al-‘As sebagai panglima peperangan Dzat al-Salasil sedangkan Saiyidina Abu Bakar dan Saiyidina Umar wujud pada ketika itu, yang membawa kepada masuk Islam kaumnya Bani ‘Azrah. Rasulullah s.a.w juga melantik Usamah bin Zaid sebagai panglima perang sedangkan ayahnya masih wujud dan lebih afdhal ketika itu.

Kesimpulannya, harus melantik pemimpin mafdhul ketika wujudnya yang afdhal dengan sebab maslahat dan hajat. Namun jika tiada hajat dan maslahat maka pemimpin yang afdhal lebih utama.





Pertemuan Yang Singkat
(Sempena pertemuan dengan sahabat-sahabat – Hasnan, Zamri Hassan, Norasri, Zamri Ghaffar, Jamil, Abang Nordin, Md Desa suami isteri, Norhana di Baling – 16 September 2012)

Pertemuan yang singkat ini mengingatkan aku, 
pada sebatang mengkirai di hujung padang SMSAH, 
kurus tinggi dan mencanak ke angkasa menampan angin,

ketika ribut besar galak melanda lalu pohon sekitarnya bergoyang kasar, 
pohon mengkirai tetap tegak sabar membelai mesra, 
sinar mentari pagi yang datang menyapa.

Demikianlah sahabat-sahabat itu kurus seperti sebatang mengkirai,
bertahun bermain di tengah padang
tenang dalam senyuman yang agung 
dengan sopan menolak segala prahara 
jiwa mereka didewasakan oleh pengalaman, 
tidak semua orang mencapai kekuatan demikian, 
ketabahan yang unik, mempesonakan,
jangan sedih melihat derita pahitnya, 
yang mahu menjadi manusia berjaya tidak lagi derita terpenjara 
menerima nasihat supaya tabah dan berani, 
dan tahu melenyapkan erti seribu sengsara,
kini mengkirai itu tidak lagi melidi meninggi,
namun gagah berdiri di arena tersendiri.

Pertemuan yang singkat ini merakam sendu dalam aksara asing,
yang hadir dalam setiap aliran kata,
sekali lepas, disapu angin bebas dalam catatan kenangan sementara,
berhembus di lelangit petang bersama sekelebat khayal mengitari ruang hafal, lalu menghantar memori yang direbahkan pawana perbukitan,
mengirimkan pesan semalam pada selimut hari,
bercekokol dalam keabadian reranting sejarah,
dan kita tidak pernah merasai kehadirannya,
melainkan selepas kehilangannya,
kewujudannya di samping kita umpama angin berhembus,
terus dibiarkan berhembus tanpa sedar,
sehingga apabila ia diceritakan semula,
itulah kenangan silam yang pernah terukir antara kita,
mesra dan penuh pesona.

Alangkah sunyi dunia kita tanpa sahabat dan kenangan,
kini kita asyik berfikir tentang sejuta mimpi yang tumbuh rendang,
kita himpunkan angannya menjadi mentari cemerlang,
kita sulam sejuta jiwa yang bergetar dalam riak rasa berbeza,
menjadi sebuah lagu rindu, lirik persahabatan, rentak fikir bersama,
inilah muzik satu hati sejiwa,
berlagu senada menari langkah sekata,
dalam usia senja yang merangkak tiba.

Dalam pertemuan yang singkat ini kita hulurkan jemari hati,
menghantar pesan seloka, mengirim diksi dari masa silam,
mentera dari rumpun kenangan,
air mawar dari sumur persahabatan,
satukan menjadi jamu cinta, 
kita santap dalam usia senja,
di anjung pelbagai bahagia dan derita,
duduk-duduk berlamalah di sini sembari bersembang kisah riang,
menganyam citra pelangi di wajah kita,
kelak kita menjadi lebih faham bahawa persahabatan itu indah,
sebelum kita dijemput ke dunia azali.

SMAHADZIR
19 Sept 2012
BANTING














Puisi Untuk Cikgu
(Buat cikgu yang selalu di hati – Cikgu Mehat, Cikgu Lah n Cikgu Zaid)

Cikgu,
setelah lama kita tidak berjumpa,
serasa ada rindu kasih yang melayang memujuk rasa hiba,
kerana di raut wajahmu ada sebongkah keikhlasan yang semarak lebar,
jiwa murni, terpancar warna-warna mutiara sarat kemuliaan,
budi yang diapungkan di dulang ilmu serasa meresap ke kalbu,
kini di wajah kedutmu berlepa harga budi dan hikmah,
mendidik kami menjadi insan berilmu dan bermaruah,
bertemu kembali denganmu cikgu dalam waktu yang menjengah senja,
kami ingin bersujud di kakimu memohon restu dan keberkatan,
halalkan ilmu yang dicurahkan,
izinkan kami menebarkan bibit yang kau cambahkan,
menjadi ladang subur menghijau penghias warna alam,
dengan generasi yang dadanya sarat ketakwaan.

Cikgu,
dapat kami rasakan betapa ikhlasnya tunjuk ajar,
api dari lilin yang bercahaya untuk kami sebelum jadi dewasa,
cikgu pernah menjadi bapa dan sahabat juga pemimpin kala kami merempat,
cikgulah penyalur nasihat dan doa keramat,
sehingga kami dapat berburu di padang datar,
walau dalam gelap gelemat,
ilmu dari cikgu menjadi penyuluh seribu hikmat.

Cikgu,
kini kami sudah mampu berdiri sambil mencapai awan yang bersinar,
di celahan mentari yang bahangnya tidak lagi menggaring tubuh,
tapi usapannya amat dingin hingga mencokot tulang temulang,
kami kukuh bersila di anjung mahligai indah,
berteraskan ilmu santunan jiwa hadiah bermakna dari cikgu,
yang kami anyamkan selembar demi selembar,
dan kami jadikan gebar kala buntu di hujung lorong,
jamung yang cikgu hulurkan tetap bernyala,
memberi cahaya tanpa pernah reda.

Cikgu,
dalam solat penuh kusyuk kami panjatkan doa ke hadrat Ilahi,
redhailah hidupmu, berkatilah budimu, tetapkanlah imanmu,
harumnya jasamu menggerbak hingga ke hujung usia,
moga cikgu dipelihara Azzawajalla sepanjang masa.

SMAHADZIR
18 September 2012





LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA