Jumaat, 18 Oktober 2013

Pelan Persaraan Sekarang Atau Kemudian

SMAHADZIR
 
SECARA umumnya, umur persaraan di Malaysia ialah 55 tahun. Namun begitu, ada juga yang memilih untuk terus bekerja selepas itu dan ada juga yang memilih untuk bersara lebih awal. Umur bersara inilah yang akan menentukan jumlah tahun yang bakal kita tempuhi tanpa bekerja sehingga hujung hayat kita.
 
Kita mempunyai pilihan untuk merancang persaraan sekarang atau kemudian. Menurut Robert T Kiyosaki dalam bukunya yang berjudul Retire Young, Retire Rich, salah satu kelebihan bersara awal ialah kita mempunyai masa untuk menjana kekayaan. Selepas bersara adalah masa kita melabur dan membina perniagaan. Ini adalah contoh mereka yang merancang persaraan dengan baik. Namun demikian, sekiranya kita tidak merancang persaraan dengan baik, kita mungkin perlu bekerja semula selepas bersara. Mungkin juga kita tidak mampu menanggung kos perubatan yang semakin meningkat atau lebih teruk jika kita terpaksa berhutang untuk teruskan kehidupan seharian.
 
Menurut Tan Sri Abdul Halim Ali, mantan Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), 72% pencarum KWSP menghabiskan wang simpanan mereka dalam masa tiga tahun sahaja. Jadi, kita tidak boleh bergantung hanya kepada wang KWSP sahaja apabila bersara nanti. Kita perlu mengurus dan merancang kewangan kita sendiri dengan baik.
 
Merancang Persaraan Lebih Awal
 
Sebenarnya, adalah lebih baik kita merancang persaraan kita lebih awal. Bagaimanapun, adalah baik untuk memupuk tabiat menyimpan pada usia muda. Bahkan menabung patut menjadi amalan hidup kita. Apabila kita bersara, adalah bijak untuk tidak hanya mengharapkan simpanan KWSP kerana kemungkinan simpanan kita itu tidak mencukupi untuk menampung kehidupan yang selesa ketika persaraan.
 
Mengikut kaji selidik yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2010, secara purata, tahap celik wang rakyat Malaysia yang menghampiri umur persaraan adalah jauh lebih rendah, manakala sikap terhadap pengurusan kewangan juga didapati kurang memberangsangkan, berbanding bagi rakyat Malaysia daripada kumpulan umur lain.
 
Pada usia yang tua, kesihatan amat penting. Kos perubatan merupakan perbelanjaan utama yang boleh mengikis wang persaraan kita. Menurut Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), salah satu sebab utama orang gagal dalam menguruskan kredit mereka ialah kerana kos perubatan yang tinggi. Walaupun mungkin kita mempunyai insurans perubatan dan hayat yang boleh melindungi sebarang penyakit kritikal dan kecacatan, namun ia tidak meliputi sebarang proses dan preskripsi yang kita perlukan seperti penyakit kurang serius contohnya selesema atau demam, dan juga penyakit masyarakat moden seperti darah tinggi dan kencing manis.
 
Kadangkala insurans hanya melindungi sesetengah penyakit sahaja. Dengan kos perubatan yang semakin meningkat dan gaya hidup yang kurang sihat, persiapan yang mencukupi amat perlu bagi memastikan seseorang dapat hidup dengan sejahtera. Selain KWSP, ada sesetengah dari kita juga mempunyai pelan pencen. Memang benar pencen dapat menampung keperluan harian, tetapi mungkin tidak mencukupi untuk memenuhi kemahuan setelah bersara, seperti melancong atau membeli sesuatu yang diingini.
 
Daripada kajian Nielsen menunjukkan 77% rakyat Malaysia memilih melancong sebagai aktiviti utama mereka selepas bersara. Pelan persaraan yang berkesan dapat menolong mereka untuk bersara dengan hati yang senang dan bebas daripada masalah kewangan.
 
Sesungguhnya, dengan merancang kewangan, kita berupaya mengelakkan perbelanjaan berlebihan, hutang tidak terurus, kebankrapan atau kebergantungan kepada orang lain. Kita juga dapat mengeratkan lagi hubungan peribadi dengan orang sekeliling kita, seperti keluarga, kawan-kawan dan rakan sekerja kerana kita gembira dengan kehidupan kita dan tidak perlu pinjam-meminjam wang untuk memenuhi keperluan atau mengharapkan sumbangan daripada orang lain.
 
Selain itu, kita juga akan bebas daripada kebimbangan kewangan kerana kita telah merancang bagi masa depan, menjangka perbelanjaan dan mencapai matlamat peribadi hidup dan mampu menjadi lebih efektif untuk mendapatkan, menggunakan dan melindungi sumber kewangan kita sepanjang hayat, bukan bagi diri kita malah bagi mereka yang tersayang. Dengan erti kata lain, apabila kita mempunyai pelan kewangan peribadi yang terurus, kita lebih arif tentang keperluan masa depan dan sumber yang sedia ada. Kita juga mendapat ketenangan kerana mampu mengawal segalanya.
 
Merancang kewangan adalah satu proses di mana seseorang individu merancang masa hadapan dalam memenuhi matlamat peribadi dan kewangan melalui pembangunan dan perlaksanaan perancangan kewangan yang menyeluruh. Secara praktikal, perancangan kewangan adalah segala yang berkaitan dengan mengurus kedudukan ekonomi atau kewangan seseorang individu dengan mengambil kira perkara-perkara yang ingin dilakukan seperti berkahwin, membeli aset seperti kereta atau rumah, merancang untuk mendapatkan anak serta perancangan pendidikan anak. Melalui perancangan kewangan, kita dapat mengenal pasti cara-cara membuat belanjawan, menabung dan membelanjakan wang dalam suatu tempoh masa yang tertentu. Selain itu juga, ia adalah panduan untuk membantu kita mencapai sesuatu matlamat pada masa hadapan.
 
Amat penting bagi setiap individu untuk membuat perancangan kewangan secepat mungkin terutama bagi mereka yang mula memasuki alam pekerjaan. Jika yang sudah lama bekerja, tetapi masih lagi belum membuat sebarang perancangan, masih lagi belum terlambat. Tidak kira di titik mana kita berada tetap tidak terlewat untuk membuat sebarang perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik. Merancang perbelanjaan dengan bijak dapat menyelamatkan kita daripada mengalami krisis kewangan. Tanpa perancangan yang rapi, banyak perkara yang tidak dapat kita melakukannya dengan baik.
 
Asas Perancangan Persaraan
 
Dalam membuat perancangan persaraan, kita perlu tahu kedudukan kita sekarang, yakni:
 
  1. Berapa banyak simpanan dan aset yang kita ada sekarang?
  2. Berapakah pendapatan bulanan kita?
  3. Berapa peratus pendapatan diagihkan kepada KWSP dan lain-lain pelan persaraan?
  4. Berapa banyak pulangan yang dikehendaki daripada pelaburan kita?
  5. Berapa tahun kita boleh menjana pendapatan sebelum bersara
 
Selepas menganalisis aset (harta) dan liabiliti (tanggungan) semasa, anggarkan keperluan perbelanjaan dan selaraskannya untuk menangani sebarang inflasi. Kemudian, barulah kita buat keputusan bila kita ingin bersara sama ada pada umur 45, 55, 60 atau 65 tahun.
 
Kos Kesihatan Ketika Hari Tua
 
Kita juga perlu membuat kiraan pendapatan ketika persaraan mengikut gaya hidup yang diinginkan. Perancangan persaraan perlu merangkumi pengurangan hutang, bajet, mempelbagaikan pelaburan dan pengekalan kesihatan melalui diet dan bersenam.
 
Persoalan mengenai kesihatan adalah penting semasa hari tua. Kos kesihatan menjadi perbelanjaan besar yang boleh menghakis simpanan persaraan kita. Walaupun kita mempunyai insurans perubatan dan insurans hayat yang meliputi penyakit kritikal, ini mungkin tidak meliputi prosedur dan preskripsi yang kita perlukan. Kadang-kadang sesetengah penyakit hanya dilindungi secara separuh atau tidak langsung dilindungi di bawah manfaat insurans. Oleh itu, perancangan persaraan yang lengkap harus dilakukan untuk mengekalkan gaya hidup yang sihat.
 
Garis Masa Persaraan
 
KWSP adalah wang untuk hari tua kita. Namun, disebabkan kesan inflasi, wang dalam simpanan KWSP mungkin tidak mencukupi bagi persaraan kita. Kita perlu membuka akaun simpanan di bank dan membuat tabungan persaraan peribadi sekurang-kurangnya 10 peratus daripada pendapatan boleh guna pada setiap bulan.
 
Untuk setiap peningkatan umur, tambahlah tabungan dalam tabung persaraan peribadi dalam peratusan tertentu daripada pendapatan kita setiap tahun. Kita juga perlu mengenal pasti dan masukkan sebahagian daripada setiap kenaikan atau bonus tahunan kita ke dalam tabung persaraan. Pastikan kita mengambil kira tabungan yang perlu dibuat dalam bajet bulanan bagi tujuan persaraan. Apabila kita membuat simpanan untuk persaraan, kaji portfolio pelaburan untuk memastikan wang kita bertambah mengikut rancangan persaraan.
 
Persaraan Memerlukan Perancangan
 
Perjalanan menempuh persaraan memerlukan perancangan, apa yang kita lakukan mempunyai dua pilihan sama ada hidup dengan cara yang positif atau sebaliknya. Menurut teori psikologi Dr. Norman Vincent Peale, pakar pemikiran positif yang terkenal, ‘Tugas utama manusia bukanlah menanggung kehidupan tetapi menguasai kehidupan.’ Ada persamaan orientasi pemikiran antara beliau dengan seorang sahabat Rasulullah SAW, Abdullah bin Mas’ud, apabila beliau berkata: ’Belum pernah aku menyesal, melainkan penyesalanku ketika matahari terbenam, semakin singkat umurku sedangkan amalanku tidak bertambah.’
 
Peribadi seperti ini tidak akan menyerah dengan kehidupan yang dijalani bahkan ia berusaha untuk menguasai kehidupan dengan bersemangat. Orang beriman sentiasa prihatin dengan masa yang berlalu tanpa kerja yang berfaedah untuk dunia dan akhiratnya. Kerana mereka sedar bahawa dunia ini tempat untuk berjuang, lebih cepat kita bertindak, lebih pantas kita bersedia. Jangan bertangguh dan menunggu sehingga hendak bersara baru hendak merancang. Jadi, marilah kita mulakan perancangan persaraan kita dari sekarang.
 
Persaraan yang dilalui tanpa melengkapkan diri dengan persediaan yang sewajarnya boleh menyukarkan, lantas membuatkan ada segelintir pesara yang terpaksa bergantung harap kepada anak-anak dewasa.
 
Amat penting bagi kita merancang persaraan sekarang seandainya kita mahu hidup selesa dan teguh kewangan pada tahun-tahun keemasan. Perancangan persaraan melibatkan beberapa langkah mudah yang boleh kita lakukan sendiri dan ia termasuklah menentukan berapa banyak wang yang kita perlukan sewaktu persaraan, berapa banyak wang yang kita miliki sekarang serta apa yang boleh kita lakukan untuk membetulkan keadaan.
 
Wang Yang Diperlukan Dalam Persaraan
 
Berapa banyak wang yang diperlukan dalam persaraan memerlukan pemikiran dan perancangan yang bersungguh-sungguh memandangkan jumlah wang yang kita perlukan semasa persaraan mempunyai hubung kait dengan gaya hidup yang kita inginkan. Misalnya, kita merancang untuk berpindah ke sebuah rumah yang lebih kecil di sebuah kawasan pinggir bandar, justeru kos hidup mungkin lebih rendah berbanding tinggal di sebuah rumah besar di kawasan bandar. Sebaliknya, kita mungkin memerlukan wang yang lebih jika merancang untuk memulakan satu hobi yang mahal atau ingin melancong mengelilingi dunia.
 
Sebelum memenuhi hajat itu, kita harus lihat perbelanjaan semasa dan menganggarkan bagaimana ia mungkin berubah semasa persaraan. Umpamanya, kita boleh mengurangkan kos pengangkutan dan perbelanjaan hiburan tetapi kita mungkin perlu meningkatkan perbelanjaan perubatan kerana kemungkinan untuk kita jatuh sakit meningkat dengan peningkatan usia
 
Secara alternatif, kita boleh membuat andaian bahawa kita hanya memerlukan 70% hingga 80% daripada perbelanjaan semasa ketika persaraan. Misalnya, katakan gaji terakhir kita ialah RM66,000 setahun. Kita hanya memerlukan kira-kira RM52,800 daripada pendapatan tahunan setelah bersara (80% x RM66,000).
 
Berapa Lama Wang Itu Diperlukan
 
Ya, berapa lamakah wang itu diperlukan? Jawapannya ada kaitan langsung dengan jangkaan hayat kita. Perangkaan bulan Disember 2007 Jabatan Perangkaan mencatatkan purata jangka hayat bagi lelaki ialah 72 tahun dan 76 tahun bagi wanita. Bagaimanapun, jika sekarang kita menikmati kualiti hidup yang tinggi dan kesihatan yang bagus, usia kita boleh menjangkau sehingga 80 tahun. Jadi, jika kita bersara pada usia 56, kita memerlukan sekurang-kurangnya 24 tahun pendapatan persaraan.
 
Faktor Inflasi
 
Ancaman paling besar dalam memenuhi keperluan kewangan semasa persaraan adalah inflasi. Inflasi ialah peningkatan kos hidup yang diterjemahkan sebagai peratus kenaikan harga berbanding tahun sebelumnya.
Kita mungkin tidak memberi tumpuan kepada inflasi ketika kita bekerja kerana pendapatan kita cenderung meningkat seiring dengannya. Bagaimanapun, apabila kita berhenti kerja, pendapatan kita lebih kurang dan tetap, dan ini membuatkan inflasi muncul sebagai masalah besar. Seperti contoh terdahulu, kita perlu mempunyai pendapatan tahunan sebanyak RM52,800 selepas bersara. Bagaimanapun, ekoran inflasi, jumlah itu perlu dinaikkan bagi membolehkan kita mengekalkan gaya hidup kita. Oleh itu, pendapatan persaraan sebanyak RM52,800, katakan 5% daripada purata kadar inflasi untuk 25 tahun akan menjadi:
 
Pendapatan persaraan:
 
= RM52,800 x Faktor nilai faedah masa depan (25 tahun, 5%)
= RM52,800 x 3.386
= RM178,781.
 
Jumlah Dana Yang Diperlukan
 
Kini kita tahu bahawa inflasi boleh menjejaskan pendapatan semasa persaraan, langkah seterusnya ialah untuk mengetahui jumlah dana yang boleh bertahan sehingga 24 tahun. Andaikan bahawa purata kadar pulangan ke atas pelaburan untuk 25 tahun akan datang ialah 8%. Memandangkan kadar inflasi ialah 5%, maka kadar sebenar pulangan ke atas pelaburan ialah 3%.
 
Jumlah dana yang diperlukan ialah:
 
= RM178,781 x Faktor anuiti nilai faedah masa kini (25 tahun, 3%)
= RM178,781 x 17,413
= RM3,113,114.
 
Kes A
 
Zairul seorang jurutera berumur 25 tahun. Disebabkan oleh pendedahan awal berkenaan pengurusan kewangan daripada ibubapanya, Zairul telah mula merancang persaraan walaupun baru dua tahun bekerja. Meletakkan matlamat untuk bersara ketika berumur 40 tahun, Zairul inginkan pendapatan sebanyak RM10,000 sebulan apabila bersara nanti untuk menanggung kehidupannya sekeluarga. Zairul menjangkakan umurnya akan mencecah 80 tahun.
 
Mari kita bantu Zairul Fitri mengira dana yang diperlukan untuk bersara pada umur 40 tahun.
 
Pendapatan Bulanan (PB): RM 10,000
Umur Semasa (US): 25 tahun
Umur Persaraan (UP): 40 tahun
Umur Kematian (UK): 80 tahun
Dana Persaraan (PF) = (UK – UP) x 12 x PB
= (80 – 40) x 12 x 10,000
= RM 4.8 Juta
 
Sekiranya Zairul berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM 4.8 juta dalam masa 15 tahun bekerja (40 - 25 = 15 tahun), dia sudah boleh berhenti kerja dan mempunyai cukup dana untuk hidup selama 40 tahun. Pengiraan mudah ini hanyalah anggaran untuk memudahkan kefahaman kita. Walau bagaimanapun, ianya kurang tepat kerana tidak mengambil kira faktor-faktor lain seperti inflasi dan sebagainya.
 
Aset Yang Ada Sewaktu Bersara
 
Berapakah aset yang kita perlu ada sewaktu persaraan? Jawapannya agak rumit kerana kita perlu tahu nilai setiap pelaburan masa depan, termasuk KWSP, nilai tunai insurans, pelaburan dalam syarikat yang melabur dan membayar dividen dan hartanah. Bagi memudahkan pengiraan, katakan kita telah mengumpulkan sejumlah RM1 juta sewaktu bersara. Ternyata, dengan hanya RM1 juta dalam tangan, ia adalah tidak mencukupi bagi jumlah dana yang diperlukan yakni RM3,113,114. Kita kekurangan RM2,113,114.
 
Memandangkan kita kekurangan RM2,113,114, cara terbaik untuk mengatasinya ialah dengan menabung secukup wang setiap tahun. Persoalannya, berapa banyak simpanan yang mencukupi untuk memenuhi kekurangan itu.
 
Jumlah simpanan:
 
= RM2,113,114 x Faktor anuiti nilai faedah masa depan (25 tahun, 8%)
= RM2,113,114 x 73.106
= RM28,905
 
Berdasarkan butiran ini, jumlah simpanan yang kita perlukan ialah RM28,905 setahun atau RM2,409 sebulan.
 
Langkah Seterusnya
 
Bagi rancangan persaraan, kita dinasihatkan memilih pelaburan jangka panjang seperti saham, bon dan mutual funds memandangkan pelaburan jenis ini menghasilkan pulangan yang tinggi berbanding bentuk pelaburan lain umpamanya faedah daripada akaun simpanan atau deposit tetap. Melabur dalam saham memberikan kita status pemilik dalam sesebuah syarikat yang kita melabur. Jika syarikat itu berjaya, kita seharusnya boleh menjana wang dengan menjual balik saham-saham itu. Kita juga mungkin boleh meraih keuntungan daripada dividen yang dikeluarkan oleh syarikat itu secara tetap.
 
Bon pula sebenarnya adalah pinjaman kepada perniagaan dan kerajaan yang dipegang untuk sesuatu masa. Lazimnya ia lebih selamat untuk melabur dalam bon dan sesetengahnya disokong oleh kerajaan. Manakala mutual funds pula adalah wang yang ditabung bersama oleh pelabur. Wang itu kemudiannya dilaburkan dalam beberapa syarikat, yang dengan demikian ia dapat meminimumkan risiko.
 
Melalui kepelbagaian ini, kerugian sesebuah syarikat boleh diserap oleh keuntungan syarikat lain. Nyata sekali, kita perlu memikirkan satu perancangan kewangan yang lengkap untuk persaraan kita dengan mengambil kira aset, hutang, perbelanjaan, tabungan, matlamat kewangan kita. Seandainya kita buntu untuk melakukannya, dapatkan bantuan perancang kewangan yang berkelayakan. Tetapi, jika kita memilih untuk melakukan sendiri, sebuah perisian kewangan yang ada di pasaran boleh membantu kita.
 
Dengan perisian itu, kita boleh melihat graf malah pelbagai saranan mengenai jenis pelaburan boleh kita pertimbangkan. Malah lebih menarik, kita boleh mencuba butiran yang ada untuk mengetahui sejauh manakah kukuhnya kewangan kita berada dalam keadaan berbeza. Pokok pangkalnya, lagi awal kita merancang persaraan kita, lagi cerah masa depan persaraan kita.
 
Faktor Sampingan
 
Semasa menyediakan matlamat dan rancangan kewangan, kita perlu menimbangkan impak daripada faktor sampingan seperti cukai dan kadar faedah bagi pilihan kewangan kita. Tambahan pula, perubahan sampingan dalam persekitaran dan keadaan lain boleh merubah perancangan kewangan kita walaupun matlamat peribadi kita tidak berubah. Secara umumnya, dua faktor sampingan utama yang berkaitan dengan perancangan kewangan peribadi adalah polisi kerajaan (cukai, pengeluaran dan peraturan) dan situasi ekonomi umum (kitaran perniagaan, inflasi dan kadar faedah).
 
Menyedari pentingnya perancangan kewangan, kita hendaklah sentiasa berhati-hati dalam perbelanjaan. Setiap individu perlu merancang kewangan agar tidak terjerumus dengan hutang. Ini melibatkan jaminan masa depan kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku sama ada baik atau buruk, kedua-duanya memerlukan aktiviti pengaliran wang keluar masuk. Sedarlah bahawa setiap perubahan dan tindakan bermula daripada kita sendiri.
 
Kesimpulan
 
Hakikatnya, menempuh alam persaraan memerlukan perancangan yang rapi dan teliti sejak dari kita mula bekerja lagi. Jangan bertangguh dan menunggu sehingga hendak bersara baru hendak merancang. Merancanglah dari awal bekerja. Kita harus mempunyai strategi untuk mengharungi kehidupan hari-hari mendatang terutama sewaktu persaraan.

Jaminan Sumber Tenaga Di Malaysia Untuk Masa Depan

SMAHADZIR

TENAGA merupakan elemen penting dalam memacu perkembangan ekonomi sesebuah negara. Tenaga juga bukan sahaja diperlukan untuk tumbesaran dan pergerakan malah ia meliputi segenap aspek kehidupan manusia termasuk aplikasi sistem yang canggih, perindustrian, pengangkutan, pertanian, pencahayaan dan sebagainya.

Sukar dibayangkan sekiranya negara kita tidak mempunyai bekalan tenaga elektrik atau kehabisan bekalan gas, diesel atau petrol. Mungkin sukar untuk kita ke sesuatu tempat tanpa kenderaan. Suri rumah atau pengusaha restoran mungkin tidak dapat menyediakan juadah kerana ketiadaan gas memasak. Jalan raya juga mungkin kacau-bilau akibat lampu isyarat yang tidak berfungsi. Lampu jalan yang tidak berfungsi menambah lagi kegelapan malam. Mereka yang bekerja di bangunan tinggi juga tentu kepenatan menaiki tangga akibat lif yang tidak berfungsi lantaran ketiadaan elektrik. Justeru, tanpa tenaga, tidak dapat dibayangkan bagaimana kehidupan di dunia kini.

Sumber Tenaga Semula Jadi

Malaysia dikurniakan sumber-sumber tenaga semula jadi seperti minyak dan gas asli, tetapi tidak terkecuali daripada berhadapan dengan situasi kepupusan sekiranya sumber-sumber tersebut tidak diuruskan dengan baik. Sumber-sumber semula jadi tersebut dijangkakan semakin menyusut dan peningkatan kebergantungan kepadanya secara berterusan memerlukan negara mengimportnya dari luar negara.

Kebanyakan sumber penjanaan elektrik di Malaysia berasaskan kepada sumber-sumber bahan api fosil. Contohnya di Sabah, penjanaan elektrik menggunakan 50.1% bahan api gas, 40.5% berasaskan diesel dan medium fuel oil, 6.5% daripada sumber hidro dan selebihnya dari sumber tenaga boleh diperbaharui. Kebergantungan yang besar kepada bahan api fosil dengan sumbernya diimport akan memberikan satu cabaran kepada jaminan keselamatan tenaga. Oleh itu, langkah-langkah yang sewajarnya telah dirangka dalam memastikan negara dapat menghadapi pasaran tenaga yang semakin kompetitif pada masa hadapan dengan memastikan energy security yang sentiasa berterusan.

Di samping energy security yang merupakan agenda utama Kerajaan dalam memastikan pembekalan elektrik negara yang mapan, aspek alam sekitar juga telah diberi penekanan yang serius. Sektor industri dan penjanaan elektrik mewakili sekitar dua pertiga daripada global energy-related carbon dioxide (CO2) emission dan memainkan peranan penting dalam menangani isu perubahan iklim ekoran daripada fenomena pemanasan global. Fenomena ini adalah satu keadaan di mana alam sekitar mengalami peningkatan suhu yang tinggi berbanding dengan suhu normal. Peningkatan suhu ini kemudiannya boleh menyebabkan berlakunya pelbagai kesan buruk seperti banjir, kemarau, krisis makanan dan sebagainya.

Keprihatinan Dan Keseriusan Kerajaan

Keprihatinan dan keseriusan Kerajaan dalam membantu menangani fenomena tersebut telah dizahirkan melalui komitmen yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri pada United Nations Climate Change Conference 2009 (COP15) di Copenhagen, Denmark. Malaysia komited secara sukarela untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) - emission intensity of GDP sehingga 40% menjelang tahun 2020 berbanding tahap pada tahun 2005.

Pelbagai dasar telah digubal oleh Kerajaan dalam memastikan kemapanan sektor pembekalan elektrik negara termasuklah di Sabah dan Sarawak. Antara aspek penting yang dititikberatkan adalah kecekapan tenaga yang mana telah ditekankan sejak pengenalan Dasar Tenaga Negara 1979 lagi. Dasar ini telah menggariskan tiga objektif utama yang mana salah satu daripadanya adalah untuk mempromosikan penggunaan tenaga dengan cekap serta mengelakkan pembaziran dan penggunaan tenaga yang tidak produktif. Objektif dasar ini bertujuan untuk membantu usaha ke arah memastikan sumber-sumber tenaga dipelihara dan diuruskan dengan baik untuk kemapanan masa hadapan. Secara tidak langsung, ia akan dapat membantu memastikan jaminan energy security yang berterusan di Malaysia serta menyumbang kepada usaha menangani fenomena pemanasan global.

Pelbagai Inisiatif Dan Langkah

Kerajaan juga telah memperkenalkan pelbagai inisiatif dan langkah untuk menggalakkan lagi penggunaan tenaga secara cekap di sektor industri, bangunan, domestik dan sebagainya. Sebagai contoh, insentif fiskal bagi menggalakkan amalan kecekapan tenaga telah mula diperkenalkan sejak tahun 2001 lagi dan disemak dari tahun ke tahun bagi memastikan ianya lebih menarik.

Di bawah insentif fiskal tersebut, pihak yang membekalkan dan menggunakan perkhidmatan kecekapan tenaga serta mematuhi kriteria-kriteria kelayakan yang ditetapkan akan dapat menikmati pengecualian Duti Import dan Cukai Jualan, Pioneer Status (PS) dan Investment Tax Allowance (ITA). Peluang sebegini seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin oleh semua pihak terutamanya pihak industri kerana ia dapat membantu mengurangkan kos operasi. Pengurangan kos operasi sedemikian, kemudiannya akan dapat meningkatkan lagi daya saing oleh industri terlibat dalam pasaran yang kian kompetitif kini.

Pelan Induk Kecekapan Tenaga Negara

Dalam pada itu, Kerajaan juga telah menggubal Pelan Induk Kecekapan Tenaga Negara. Pelan induk ini menjadi pemangkin kepada penggunaan tenaga dengan cekap di Malaysia, dan menghasilkan impak yang lebih besar. Beberapa inisiatif kecekapan tenaga telah dikenal pasti dan digariskan di bawah pelan induk ini yang merangkumi sektor industri, bangunan, komersial dan domestik. Pelan induk tersebut juga telah dinilai oleh pakar-pakar kecekapan tenaga daripada negara-negara Asia Pacific Economic Cooperation (APEC) dan pandangan yang positif telah diterima daripada mereka. Dengan adanya pelan induk tersebut, pelaksanaan kecekapan tenaga di Malaysia dapat ditingkatkan dan ditambah baik ke arah membantu penggunaan dan pengurusan sumber tenaga secara cekap dan mapan setanding dengan negara-negara maju seperti Jepun, Korea Selatan dan sebagainya.

Dalam usaha Kerajaan untuk memastikan penggunaan peralatan elektrik cekap tenaga dengan lebih meluas, Peraturan-Peraturan Pembekalan Elektrik 1994 telah disemak semula untuk menguatkuasakan penggunaan peralatan elektrik cekap tenaga di Malaysia. Antara aspek pelaksanaan yang dirancang untuk dimulakan adalah menghentikan penggunaan lampu pijar yang tidak cekap tenaga secara berperingkat-peringkat di negara ini untuk tempoh sehingga Disember 2013.

Selain daripada Malaysia, langkah yang sama turut dilaksanakan oleh beberapa negara lain dan pelaksanaannya akan dapat mencegah negara kita dijadikan sebagai lokasi bagi lambakan lampu pijar kelak. Di samping itu, penggunaan lampu yang lebih cekap tenaga bagi menggantikan lampu pijar juga dijangkakan dapat mengurangkan penggunaan tenaga elektrik di Malaysia sebanyak 1074 gigaWatt-jam setahun iaitu bersamaan dengan penjimatan 1% keperluan bekalan elektrik negara. Ia juga akan dapat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 732,000 tan karbon dioksida setahun.

Penggunaan lampu kebiasaannya akan menyumbang kepada 10% atau kurang bagi keseluruhan jumlah bil elektrik. Kos ini boleh dikurangkan dengan penggunaan lampu cekap tenaga dan dianggarkan pengguna-pengguna akan dapat menjimatkan sebanyak RM336 juta setahun dalam penggunaan elektrik negara. Terdapat beberapa jenis lampu cekap tenaga yang boleh digunakan, antaranya ialah lampu Compact Flourescent Light (CFL), lampu flourescent tube T5, lampu Light Emitting Diode (LED) dan sebagainya. Lampu Compact Flourescent Light (CFL) umpamanya, menggunakan hanya 20% tenaga elektrik bagi menghasilkan pencahayaan yang sepadan. Selain itu, jangka hayatnya juga adalah lapan kali lebih lama daripada lampu mentol biasa.

Sistem Penarafan

Selain daripada penggunaan lampu, kecekapan peralatan elektrik lain yang digunakan di rumah seperti peti sejuk, penyaman udara, televisyen, kipas, mesin basuh, pemanas air dan sebagainya juga boleh membantu penjimatan dalam bil elektrik bulanan. Pihak Suruhanjaya Tenaga telah membangunkan sistem penarafan atau rating system untuk peralatan elektrik di Malaysia bagi membantu pengguna membuat pemilihan peralatan elektrik yang sesuai di rumah. Di bawah sistem pelabelan ini, sesuatu peralatan elektrik akan diuji berpandukan Minimum Energy Performance Standard (MEPS) untuk menentukan penggunaan elektriknya sebelum ia dikategorikan sebagai peralatan elektrik bertaraf 1, 2, 3, 4 atau 5 bintang. Sehingga kini, empat peralatan elektrik yang biasa digunakan di rumah telah dilabelkan iaitu peti sejuk, penyaman udara, televisyen dan kipas.

Aspek kecekapan tenaga turut didokong dalam National Key Economic Areas (NKEA) melalui Entry Point Project 9 (EPP9) iaitu meningkatkan kecekapan tenaga. Di bawah EPP9 tersebut, strategi untuk meningkatkan kecekapan tenaga telah dilaksanakan yang antaranya melibatkan pelaksanaan Program Sustainability Achieved Via Energy Efficiency atau dikenali sebagai Program SAVE. Program SAVE ini telah dilancarkan pada 7 Julai 2011 merupakan satu program khas kerajaan dengan mensasarkan penjimatan tenaga bagi tempoh jangka masa singkat dan panjang. Pada peringkat awal, program SAVE telah melibatkan pelaksanaan inisiatif new appliances yang memperkenalkan prinsip pemberian rebat kepada pengguna untuk pembelian peralatan elektrik cekap tenaga bertaraf lima bintang iaitu peti sejuk dan penghawa dingin bagi sektor domestik serta chillers untuk sektor komersial.

Sumber Tenaga Diperbaharui

Sesungguhnya, Malaysia telah menjalankan pelbagai usaha untuk mencari dan menjana tenaga diperbaharui sebagai bekalan tenaga untuk masa depan khususnya untuk kehidupan sejahtera generasi akan datang. Antara usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan ialah dengan menubuhkan Pusat Tenaga Malaysia (PTM) pada 1998 untuk mengkoordinasi dan mengurus program kajian dan pembangunan mengenai tenaga dan mempromosikan penggunaan tenaga diperbaharui di Malaysia.

Tidak dapat dinafikan, Malaysia bergantung kepada tenaga untuk pembangunan dan perkembangan ekonominya. Walaupun Malaysia mengeluarkan petroleum sendiri untuk kegunaan tempatan tetapi dalam jangka masa panjang, bahan mentah di perut bumi ini akan kehabisan. Justeru kerajaan telah membangunkan sendiri tenaga yang diperbaharui untuk memastikan bekalan tenaga ini dapat dipertahankan dan seterusnya negara dapat terus membangunkan ekonominya.

Tenaga diperbaharui berbeza dengan bahan api fosil kerana bekalan tenaga ini akan kekal untuk selama-lamanya. Umumnya, tenaga diperbaharui boleh dijana daripada beberapa sumber seperti tenaga geoterma, tenaga ombak, tenaga suria, tenaga hidro, tenaga nuklear, tenaga angin, tenaga biogas, tenaga biomass dan tenaga biojisim.

Tenaga suria diperolehi melalui pancaran cahaya matahari. Malaysia berpotensi untuk projek menjana tenaga suria kerana menerima pancaran cahaya matahari selama enam jam sehari dan tenaga ini adalah percuma serta menyeluruh. Tenaga suria banyak digunakan di kawasan pedalaman untuk mendapatkan bekalan elektrik dengan menggunakan panel Solar PV. Penduduk di kawasan pedalaman Sarawak dapat menikmati bekalan elektrik dengan adanya kemudahan solar. Selain itu, tenaga suria ini juga membekalkan tenaga untuk alat perhubungan telefon awam seperti di Pulau Aman dan kawasan pedalaman Sawarak. Tenaga ini juga digunakan dalam bidang pertanian iaitu untuk mengasingkan kepingan getah. Di kawasan bandar, penggunaan alat pemanas solar popular di rumah serta di hotel. Di Malaysia, projek menjana tenaga suria telah dibina di Teluk Apan di Pulau Langkawi dan Kampung Hulu Tembeling di Pahang.

Selain tenaga suria, tenaga hidro juga adalah tenaga yang amat penting sebagai salah satu sumber tenaga diperbaharui. Tenaga hidro digunakan sebagai bekalan air, kawalan banjir, pengairan dan tujuan rekreasi. Malaysia adalah negara yang berpotensi untuk menjana tenaga hidro. Melalui tenaga hidro inilah terjadinya hidroelektrik. Bekalan elektrik di negara banyak bergantung kepada tenaga hidro. Antara tempat penjanaan kuasa hidroelektrik ialah di Empangan Chenderoh dan Empangan Bakun. Kuasa hidroelektrik ini sesuai digunakan kerana mudah diperbaharui, tidak habis, murah dan bersih serta tidak mencemarkan alam sekitar.

Selain tenaga suria, ombak juga merupakan salah satu sumber tenaga alternatif yang boleh dibangunkan untuk penjanaan tenaga elektrik. Kita bersyukur kerana hampir keseluruhan negeri di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak dikelilingi oleh laut. Negara maju seperti Portugal telah lama memajukan tenaga ombak untuk bekalan elektrik mereka. Tenaga ombak boleh digunakan untuk penduduk-penduduk yang tinggal di pesisir pantai dan juga untuk operasi pelabuhan-pelabuhan di dalam negara.

Tenaga geoterma pula dihasilkan oleh aktiviti magma dalam perut bumi. Jika tenaga ombak terhasil daripada peredaran bumi yang menghasilkan air pasang surut, tenaga nuklear pula dihasilkan daripada pembelahan nukleus unsur-unsur tidak stabil bahan radioaktif. Ada ura-ura mengatakan bahawa Malaysia juga berhasrat untuk memajukan tenaga nuklear untuk penjanaan tenaga elektrik. Sehingga kini ia masih di peringkat perbincangan dan keputusannya belum diumumkan lagi oleh kerajaan. Banyak isu keselamatan dan pandangan pakar perlu diambil kira sebelum memutuskan untuk menggunakan tenaga nuklear sebagai sumber penjanaan elektrik. Namun begitu teknologi sinaran nuklear telah banyak dimajukan untuk kegunaan dalam bidang perubatan dan pertanian yang sedang giat dijalankan oleh Agensi Nuklear Malaysia.

Manakala tenaga biomass diperolehi daripada hampas kelapa sawit. Sisa pertanian itu menghasilkan biogas seperti metana sebagai bahan pembakar untuk tujuan memasak. Tenaga ini sesuai digunakan kerana terdapat banyak ladang kelapa sawit di Malaysia dan menghasilkan 8.5 juta tan sisa buangan buah kelapa sawit yang dapat menghasilkan dua juta tan minyak (metana). Secara tidak langsung, ia telah menyumbangkan enam peratus keperluan bekalan tenaga negara. Penggunaan tenaga biomass ini semakin meluas digunakan di seluruh negara kerana ia menjimatkan sumber tenaga dan murah.

Malaysia juga mengambil inisiatif dalam mempelbagaikan sumber tenaga dengan menggunakan tenaga angin sebagai sumber tenaga diperbaharui. Angin telah digunakan sebagai sumber kuasa berjuta-juta tahun dulu. Kincir angin telah dibina di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak pada Rancangan Malaysia Keenam (1991-1995). Kincir angin ini telah membekalkan kapasiti 150 kiloWatt (KW).

Satu lagi sumber tenaga yang diperbaharui ialah tenaga biogas dan tenaga biojisim. Tenaga suria hidrokarbon yang boleh diperbaharui disimpan dalam bentuk biojisim dan juga biogas. Biojisim yang terdapat dalam tumbuhan dianggap sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui kerana tumbuhan boleh ditanam berulangkali. Biogas pula terhasil daripada bahan organik yang ditindakbalaskan oleh mikroorganisma tanpa kehadiran oksigen atau udara yang menghasilkan gas metana dan karbon dioksida. Gas metana merupakan bahan bakar paling baik dan tidak mencemarkan alam, tetapi sekiranya dilepaskan ke udara boleh mengakibatkan kesan rumah hijau.

Sementara biodiesel adalah sejenis bahan api yang boleh diperbaharui sama ada dalam bentuk cecair atau gas yang diperolehi dari biomass (bakteria, tumbuhan atau haiwan). Paling utama, ia boleh diperbaharui dan diperolehi dengan cepat, tidak seperti bahan api fosil, yang juga datang dari bahan biologi, tetapi mengambil berjuta-juta tahun untuk membentuk. Biodiesel terutamanya merujuk kepada bahan api diesel yang berasaskan minyak tumbuhan atau lemak haiwan. Biodiesel biasanya dihasilkan melalui tindak balas kimia lipid dan dihasilkan dari minyak tumbuhan atau lemak haiwan, Biodiesel boleh digunakan sendirian, atau dicampur dengan petrodiesel. Ini dapat mengurangkan kegunaan bahan api fosil yang semakin berkurangan. Biodiesel bertujuan untuk digunakan dalam enjin diesel piawaian dan dengan itu berbeza dari minyak sayuran langsung yang digunakan sebagai bahan api enjin diesel diubah suai.

Kesimpulan

Tenaga adalah istilah yang sedang hangat dibicarakan pada masa kini iaitu selepas internet, bioteknologi dan nanoteknologi. Bak kata Geoffrey Carr, seorang kolumnis majalah The Economist ‘masa hadapan bergantung kepada kuasa dan tenaga’. Tenaga sangat diperlukan dalam semua aktiviti manusia. Oleh yang demikian tenaga amat diperlukan terutama dalam proses pembangunan sesebuah negara. Lebih pesat pembangunan yang dijalankan, lebih banyak tenaga yang perlu dihasilkan untuk memenuhi pembangunan tersebut.

Masa hadapan dalam menghadapi krisis tenaga kesan dari kenaikan harga minyak dan kos penggunaan tenaga elektrik yang tinggi ialah penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui. Negara kita Malaysia telah pun bergerak ke hadapan dengan pelbagai usaha ke arah penggunaan tenaga boleh diperbaharui demi kelangsungan pembangunan negara dan juga kesejahteraan hidup generasi yang akan datang. Kerajaan juga telah melaksanakan satu sistem pengurusan sumber yang berkesan bagi menjamin bekalan dan penggunaan tenaga berterusan bagi kegunaan manusia pada masa depan.

Sebenarnya penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui bukanlah perkara baharu di negara kita. Pada tahun 1992, Profesor Dr Baharuddin Yatim dari Universiti Kebangsaan Malaysia, telah menganggarkan bahawa hampir 12 peratus dari jumlah tenaga yang digunakan adalah berpunca daripada sumber tenaga yang boleh diperbaharui terutamanya biojisim. Sebahagian besar penggunaan biojisim adalah dalam industri kelapa sawit. Contohnya, loji biojisim yang dibina oleh Felda Holding Berhad pada tahun 2006, berupaya menjana tenaga elektrik sebanyak 7.2 megawatt daripada sumber tandan kosong kelapa sawit.

Malaysia sebenarnya mempunyai kemampuan dari segi sumber dan modal insan untuk membangunkan tenaga alternatif bagi menggantikan sumber yang sedia ada. Dengan memanfaatkan peluang dan kekuatan yang dimiliki melalui penumpuan terhadap tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga angin, solar, hidro, nuklear dan juga biojisim, kita mampu menjadi contoh kepada negara lain dalam menghadapi krisis tenaga yang semakin meruncing.

Malaysia merupakan negara yang kaya dengan kepelbagaian sumber asli, yang menjadi asas penting dalam penghasilan tenaga. Selaras dengan matlamat Dasar Tenaga Negara untuk membekalkan Malaysia dengan tenaga yang mencukupi, terjamin dan murah, kerajaan telah bergerak pantas dalam usaha menangani fenomena kenaikan harga bahan api dan krisis tenaga yang berterusan dengan melihat potensi tenaga alternatif.


Jaminan Bekalan Air Dalam Pembangunan Negara

SMAHADZIR

AIR adalah agenda terpenting, khususnya di negara kita. Malaysia yang kaya dengan sumber air dapat memenuhi kehendak dan permintaan rakyat bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti kehidupan harian. Walau bagaimanapun, akibat proses globalisasi yang membawa kepada kemajuan negara telah menyebabkan masalah pencemaran alam sekitar yang berleluasa, sehingga merosakkan sistem sungai yang membekalkan sumber air mentah kepada pengguna.

Meskipun sumber air tidak pupus, tetapi air yang boleh digunakan oleh manusia dengan selamat semakin berkurangan. Begitu juga untuk pembangunan. Apabila tiada bekalan air yang bersih tentu saja banyak kilang dan bangunan kediaman tidak dapat dibina. Secara tidak langsung para pelabur akan beralih arah ke tempat lain. Ini akan menyebabkan proses pembangunan terbantut dan negara akan kehilangan wang yang banyak.

Sumbangan besar air terhadap produktiviti ekonomi, kehidupan harian dan pembangunan negara jarang dihargai walaupun semua itu bergantung sepenuhnya kepada bekalan dan kualiti air. Dengan pertambahan penduduk serta kegiatan ekonomi, negara menghadapi masalah kekurangan bekalan air. Permintaan bekalan air semakin pesat bertambah sejak 10 tahun lalu dengan kadar 70-80% diperlukan untuk penyaliran, 20% untuk perindustrian dan sekitar 6% untuk kegunaan domestik. Satu pengurusan menyeluruh bagi air sebagai satu sumber terhad dan terancam dan persepaduan di antara rancangan sektor air dengan program dalam rangka dasar sosial dan ekonomi nasional amat penting terutamanya dalam abad ini.

Perkara ini telah menjadi agenda utama kerajaan negara kita. Justeru Dasar Sumber Air Negara (DSAN) bagi tempoh 2010 hingga 2050 dalam menentukan hala tuju masa depan sektor sumber air berdasarkan kajian semula sumber air negara telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dasar Sumber Air Negara penting ke arah merintis proses memastikan bekalan air yang terjamin pada era pembangunan ekonomi negara, khususnya sektor pertanian dan perindustrian, pertumbuhan perbandaran dan pertambahan penduduk yang pesat.

Perlunya Sumber Air Yang Mencukupi

DSAN menetapkan prinsip asas sumber air negara yang menyentuh isu air untuk makanan dan pembangunan luar bandar dengan jelas. Prinsip itu menekankan perlunya sumber air yang mencukupi untuk jaminan bekalan makanan selain membantu menaik taraf pembangunan di kawasan luar bandar. Lantaran itu pelbagai langkah strategik untuk mengenal pasti dan menambah sumber air negara telah diwujudkan, termasuk sumber air bawah tanah yang dikenal pasti berpotensi menjadi sumber alternatif menampung permintaan air di negara ini.

Laporan awal oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mendapati isi padu air tanah yang tersimpan di Malaysia dianggarkan berjumlah 5,000 bilion meter padu yang mempunyai nilai komersial sebanyak RM7.5 trilion. Sehubungan itu, kajian serta pembangunan sistematik dan menyeluruh terhadap sumber air bawah tanah, selaras dengan kaedah pengurusan air bersepadu, dapat dipertingkatkan bagi membantu merealisasikan jaminan bekalan air seterusnya jaminan bekalan makanan di negara ini pada masa depan.

Namun begitu, krisis bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dijangka berlaku pada tahun 2014, dikhuatiri akan memberi kesan kepada projek-projek pembangunan negara pada masa akan datang. Akibatnya ia akan memberi masalah kepada negara daripada segi perkembangan ekonomi dan kemajuan. Kendatipun kerajaan Persekutuan telah meluluskan pelaksanaan projek-projek mitigasi bagi meminimumkan kesan krisis itu, ia masih tidak mampu menyelesaikan sepenuhnya masalah bekalan air yang dijangka berlaku.

Laporan terkini SPAN memaklumkan rezab kapasiti bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya telah mengalami penurunan ketara kepada 1.43% berbanding 3.4% pada Disember 2011. Jika tidak diatasi segera, para pengguna akan mengalami gangguan bekalan air yang lebih kerap khususnya pengguna-pengguna di kawasan selatan Selangor.

Kenal Pasti Sumber Berpotensi Bekalan Air Tawar

Penilaian terhadap sumber air yang sedia ada juga adalah amat penting bagi meneruskan kelangsungan kehidupan manusia dan pembangunan negara. Penilaian sumber air termasuklah mengenal pasti sumber berpotensi bagi bekalan air tawar, yang merangkumi penerusan kerja mengenal pasti sumber, pergantungan dan kualiti sumber air serta aktiviti manusia yang memberi kesan kepada sumber air itu sendiri. Penilaian begini merupakan asas praktikal bagi pemuliharaan berterusan dan satu keperluan permulaan bagi penilaian kemungkinan untuk pembangunan.

Walau bagaimanapun pada masa di mana maklumat mengenai sumber air yang lebih jitu dan boleh dipercayai amat diperlukan, keprihatinan terhadap kekurangan khidmat hidrologi dan badan lain yang berkaitan semakin meningkat terutamanya maklumat mengenai kualiti air dan air bawah tanah.

Objektif menilai sumber air adalah untuk memastikan kuantiti dan kualiti sumber air yang mencukupi, menganggarkan jumlah kuantiti sumber air yang masih ada dan potensi bekalan pada masa hadapan, menentukan status kualiti masa kini, meramalkan persaingan antara permintaan dan bekalan serta untuk mengadakan pangkalan data saintifik bagi penggunaan sumber air secara rasional.

Pengurusan Sumber Yang Menyeluruh

Sesungguhnya, pembangunan jangka panjang bagi air memerlukan pengurusan sumber yang menyeluruh. Masalah besar yang memberi kesan terhadap kualiti air timbul mengikut kepentingan bagi keadaan yang berbeza iaitu dari kumbahan domestik yang tidak terolah dengan sempurna, pelepasan effluen dari industri yang tidak dikawal, kehilangan dan kerosakan kawasan tadahan, penempatan kawasan perindustrian yang tidak dibuat dengan betul, kehilangan hutan, pertanian pindah yang tidak terkawal dan amalan pertanian yang buruk. Ini menyebabkan nutrien dan racun serangga melarut resap. Ekosistem akuatik terganggu dan sumber kehidupan air terancam. Di dalam keadaan tertentu, ekosistem akuatik juga mendapat kesan dari projek pembangunan pertanian sumber air seperti empangan, lencongan sungai, skim pemasangan dan penyaliran air. 

Meskipun begitu, tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah ini tidak harus dipikul oleh satu pihak sahaja malah masyarakat Malaysia juga harus bekerjasama dengan pihak kerajaan terutamanya dari segi sikap masyarakat yang tidak menjaga kebersihan sungai, supaya program pemulihan dan pengurusan sungai dapat dilakukan berterusan bagi menjamin kesempurnaan ke atas bekalan air dan persekitarannya.

Kesimpulan

Dengan kesedaran bahawa air merupakan sumber yang sangat penting untuk pembangunan negara, maka wajar bagi kita mengambil inisiatif yang perlu bagi menangani sebarang permasalahan pencemaran sumber air yang dihadapi. Salah satu daripada strategi penting bagi memastikan sumber air dijaga oleh semua pihak ialah dengan meningkatkan kesedaran dan kecintaan masyarakat terhadap alam sekitar.

Masyarakat harus sedar bahawa pembangunan negara akan terhalang andaikata tiada jaminan bekalan air dapat diberikan. Persaingan guna air juga semakin meningkat dengan sektor ekonomi dan industri lain di samping berhadapan dengan impak daripada perubahan iklim yang akan mengakibatkan kemarau dan banjir. Oleh itu, sama-samalah kita bekerjasama agar sumber bekalan air bersih dapat disalurkan kepada semua sektor agar proses pembangunan negara dapat berjalan dengan lancar.

Memperkukuhkan Perlindungan Dan Pengupayaan Pengguna

SMAHADZIR
 
DI NEGARA kita Malaysia, pelbagai undang-undang dan akta telah diwujudkan oleh kerajaan dalam usaha untuk memperkukuhkan perlindungan dan pengupayaan pengguna. Gerakan-gerakan kepenggunaan juga memainkan peranan yang aktif menyedarkan masyarakat tentang hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengguna. Malah pengguna sering disedarkan tentang hak-hak mereka agar mereka tidak mudah ditipu dan dieksploitasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan berkepentingan sendiri.
 
Sesungguhnya, perlindungan dan pengupayaan serta hak-hak pengguna perlulah dilihat secara menyeluruh iaitu yang meliputi dasar yang menjadi amalan kerajaan berhubung dengan kepenggunaan. Undang-undang telah digubal untuk memperkukuhkan perlindungan dan pengupayaan, melindungi hak-hak juga kepentingan pengguna, pendidikan dan kesedaran kepenggunaan di kalangan pengguna serta penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan dengan hak-hak dan kepentingan pengguna. Tanpa adanya semua unsur utama tersebut maka matlamat memperkukuhkan perlindungan dan pengupayaan pengguna, akan sukar dicapai.
 
Harus diingat bahawa pengguna ialah individu yang menggunakan barang, perkhidmatan atau sumber alam semula jadi untuk memenuhi keperluan dan kehendak masing-masing. Walaupun pengguna mempunyai hak-hak tertentu, namun hak-hak berkenaan bukanlah diperolehi secara automatik. Ramai pengguna mempunyai pengetahuan yang dangkal tentang hak mereka. Pengguna harus sedar bahawa mereka mempunyai hak-hak tertentu dan seterusnya berusaha bagi mendapatkan hak-hak mereka.
 
Jika pengguna ingin mendapat hak-hak tersebut, mereka harus mengetahui apakah hak-hak itu, menuntut hak-hak tersebut daripada pihak yang wajar memberikannya dan memainkan tanggungjawab dan peranan mereka dan berusaha mendapatkan hak-hak tersebut. Oleh itu pengguna yang bijak haruslah bertanggungjawab sebagai pengguna dan juga menuntut apa yang sepatutnya mereka berhak mendapatkannya.
 
Lapan Hak Asasi Pengguna
 
Pada masa ini, lapan hak asasi pengguna telah diterima secara sejagat. Dalam tahun 1962, J.F. Kennedy, Presiden Amerika Syarikat pada masa itu, telah mengisytiharkan empat hak asasi pengguna iaitu hak untuk mendapat keselamatan, hak untuk mendapat maklumat, hak untuk membuat pilihan dan hak untuk menyuarakan pendapat. Kemudian, Consumers International menambah empat lagi hak asasi pengguna iaitu hak untuk mendapat keperluan asas, hak untuk mendapat gantirugi, hak untuk mendapat pendidikan pengguna dan hak untuk mendapat alam sekitar yang sihat dan selamat.
 
Pengguna berhak untuk mendapatkan keperluan asas bagi menjamin kehidupan yang memuaskan dalam zaman moden ini. Keperluan asas ini termasukalah makanan, pakaian, perlindungan, perubatan, pendidikan, dan pengangkutan. Sebagai contoh, kualiti pakaian yang dibeli haruslah berpadanan dengan harganya, makanan yang dibeli pula haruslah mempunyai kuantiti, timbangan dan khasiat yang mencukupi seperti yang tertulis pada label barangan. Tiada siapa yang berhak melarang pengguna daripada mendapat mana-mana keperluan di atas.
 
Pengguna berhak mendapat jaminan barang yang dibeli dan digunakan adalah selamat dan tidak mendatangkan kesan yang boleh membahayakan kehidupan dan kesihatan. Di samping itu barangan tersebut haruslah mempunyai ciri-ciri keselamatan dan bebas daripada bahan racun yang memudaratkan kesihatan. Pengeluar hendaklah memberikan penerangan yang tepat dan perlu diikuti oleh pengguna semasa menggunakan sesuatu barang. Contohnya, barang seperti topi keledar, tali pinggang keselamatan dan alatan elektrik haruslah menepati mutu piawai yang ditetapkan oleh pihak SIRIM dan selamat digunakan. Barang yang boleh membahayakan nyawa seperti racun serangga, bahan kimia dan ubat-ubatan pula, perlu dilabelkan dengan simbol amaran bahaya.
 
Pengguna juga berhak untuk mendapat maklumat yang mencukupi dan tepat tentang sesuatu barang atau perkhidmatan yang dibeli supaya mereka dapat membuat keputusan yang bijak. Apabila membeli barang, pengguna harus membaca label pada barang tersebut seperti tarikh luput, isi kandungan, berat, logo halal, dan lain-lain lagi. Maklumat boleh juga diperolehi melalui pengiklanan dan pengguna harus meniliti iklan agar tidak tertipu. Ini memudahkan pengguna memilih semasa membuat keputusan pembelian. Pengguna haruslah dilindungi daripada maklumat palsu dalam pengiklanan, pelabelan, dan amalan lain.
 
Kebebasan Untuk Memilih
 
Selain itu setiap pengguna juga perlu diberi kebebasan untuk memilih untuk memiliki dan menentukan barang yang diperlukan berasaskan maklumat yang diperoleh, keperluan, cita rasa, dan kemampuan mereka. Pengguna mesti diberi maklumat yang mencukupi dan tepat untuk memudahkannya membuat keputusan untuk memilih. Pengguna juga berhak membuat perbandingan terhadap barang yang hendak dibeli dari segi kualiti, harga, dan isi kandungannya. Hak memilih menjadikan pengguna lebih rasional dalam membeli barangan. Jangan membuat pilihan dengan terburu-buru dan pengeluar tidak berhak untuk memaksa pengguna membuat pilihan atau membuat pilihan untuk pengguna.
 
Pengguna juga mempunyai hak untuk menuntut ganti rugi daripada penjual apabila barang atau perkhidmatan yang dibeli tidak menepati sukatan atau kuantiti yang dinyatakan, mengandungi bahan yang membahayakan kesihatan, tidak mempunyai mutu seperti yang diiklankan, melebihi tarikh luput guna atau berada dalam keadaan yang tidak memuaskan dan berlaku kemalangan atau kecederaan akibat maklumat yang salah tentang sesuatu barang yang digunakan. Sebagai contoh, pengguna berhak menuntut pampasan atas kerugian yang dibelanjakan jika terguna barangan yang membahayakan kesihatan seperti pampasan atas bil perubatan yang telah dibelanjakan kerana termakan makanan yang beracun. Antara undang-undang yang memberi hak kepada pengguna untuk menuntut ganti rugi ialah Akta Jualan Barang-barang 1957, Akta Kontrak 1974 dan Akta Insurans 1963 (pindaan 1983).
 
Pengguna juga berhak untuk menyuarakan pendapat tentang hal-hal yang berhubung dengan kepentingan mereka. Mereka boleh menyuarakan pendapat secara individu atau melalui perwakilan. Ini bagi memastikan kepentingan pengguna mendapat pertimbangan yang sewajarnya dalam penggubalan dasar kerajaan dan dasar perniagaan yang diwujudkan oleh pihak swasta. Contohnya, pengguna dapat menyuarakan pendapat berkaitan hal tentang kenaikan tambang bas sekolah. Persatuan pengguna boleh mewakili pengguna menyuarakan serta menuntut kepentingan mereka.
 
Pendidikan Kepenggunaan
 
Selain itu, pengguna juga berhak mendapat pendidikan kepenggunaan secara berterusan untuk menjadi pengguna yang bermaklumat sepanjang hayat. Pendidikan kepenggunaan membolehkan pengguna menjadi rasional dan bijak dalam pemilihan atau pembelian sesuatu barang. Pendidikan kepenggunaan boleh diperoleh melalui penubuhan persatuan pengguna di sekolah, ceramah, pameran, seminar, bengkel, media massa, dan bahan bacaan seperti risalah. Persatuan Pengguna dan Majlis Pengguna memainkan peranan penting dalam menyebarkan pengetahuan kepenggunaan melalui media massa. Pengguna perlu mendapatkan pendidikan kepenggunaan supaya tahu akan hak dan tanggungjawab masing-masing agar tidak ditipu oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.
 
Selain barangan yang dibeli, pengguna juga menggunakan sumber alam sekitar seperti udara, air, cahaya matahari, dan tanah. Sumber alam dikenali sebagai alam sekitar dan orang yang menggunakan sumber alam sekitar dipanggil pengguna. Sebagai seorang pengguna, kita berhak hidup dan bekerja dalam alam sekitar yang bersih dan sihat serta bebas daripada sebarang keadaan yang berbahaya. Hak ini diperjuangkan oleh pengguna kerana kadar pencemaran kian meningkat dan terdapat sumber alam semula jadi yang semakin pupus atau dimusnahkan. Alam sekitar yang bersih dan selamat haruslah bebas daripada pencemaran alam seperti udara dan air yang kotor, bau yang tidak menyenangkan, dan bunyi bising.
 
Tahap Kesedaran Kepenggunaan
 
Profil Pengguna oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tahun 2011 mendapati hanya 58 peratus, pengguna Malaysia yang mempunyai tahap kesedaran kepenggunaan yang tinggi. Menurut Bahagian Gerakan Kepenggunaan KPDNKK, kadar itu masih rendah walaupun masyarakat pengguna semakin sedar tentang hak asasi seperti hak mendapatkan ganti rugi dan hak membuat pilihan. Masih ramai lagi pengguna yang tidak menukar pemahaman itu ke dalam bentuk tindakan. Ini kerana tahap kesedaran masyarakat berkait rapat dengan tahap pendidikan, pekerjaan selain informasi untuk mendapat maklumat yang terbatas serta penumpuan bagi memenuhi keperluan asas seperti makan, minum dan tempat tinggal.
 
Masih ramai dalam kalangan pengguna tidak mengetahui hak mereka terutama dalam skop yang lebih besar seperti mendapatkan alam sekitar yang sihat, hak untuk mendapat pendidikan pengguna, hak mendapatkan keselamatan serta hak mendapatkan maklumat. Sebagai contoh, mereka mengetahui tentang masalah alam sekitar tetapi mereka tidak menitikberatkan alam sekitar dalam kehidupan seharian sedangkan mereka mempunyai hak untuk mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat. Hasil kajian menunjukkan hanya 40 peratus pengguna yang menyedari tentang perkara itu.
 
Pengguna juga masih lagi kurang mengetahui hak mereka untuk mendapatkan keselamatan yang boleh melindungi pengguna daripada barang, proses pengeluaran dan perkhidmatan yang boleh membahayakan kesihatan dan kehidupan mereka termasuk perlindungan daripada penipuan, fitnah dan lain-lain. Kajian itu juga mendapati pengguna berpendapatan dan pendidikan rendah memerlukan lebih perlindungan berbanding golongan berpelajaran dan berpendapatan tinggi yang mana mereka dapat melindungi diri sendiri.
 
Golongan berpendapatan rendah biasanya lebih tertumpu kepada kehidupan seharian, tumpuan untuk mendapatkan keperluan asas selain kurang berbelanja. Golongan ini hanya akan bertindak sekiranya keupayaan mereka untuk mendapatkan keperluan asas terjejas seperti peningkatan harga keperluan asas ataupun apabila punca pendapatan mereka terjejas.
 
Memelihara Dan Melindungi Hak Pengguna
 
Rakyat di negara ini mestilah memahami bahawa kedudukan mereka sebagai pengguna dilindungi oleh pelbagai akta awam dan akta berkaitan ‘perlindungan pengguna’. Konsep ‘perlindungan pengguna’ itu sendiri adalah berkaitan dengan kuasa perundangan bagi memelihara dan melindungi hak pengguna daripada dieksploitasi, ditipu, ditindas dan diperdaya oleh pengeluar (industri), syarikat perdagangan, pembekal dan peniaga.
 
Pelbagai undang-undang telah diwujudkan bagi memperkukuhkan perlindungan dan pengupayaan pengguna. Sesungguhnya, tujuan undang-undang berkaitan perlindungan dan pengupayaan pengguna itu diwujudkan untuk menjamin keselamatan pengguna, kesihatan pengguna, kepentingan ekonomi pengguna, maklumat peribadi pengguna serta ganti rugi pengguna. Semua tujuan tersebut selari dengan Fasal 1 berkaitan perlindungan pengguna di bawah Garis Panduan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang merangkumi tujuh perkara utama, iaitu keselamatan fizikal (Fasal 9-12), kepentingan ekonomi pengguna (Fasal 13-23), keselamatan dan kualiti barang pengguna (Fasal 24-26), kemudahan untuk perkhidmatan dan barang perlu (Fasal 27), hak pengguna mendapat tebus rugi (Fasal 28-30), penyelidikan dan maklumat (Fasal 31-37) dan perkara berkaitan bidang tertentu seperti makanan, air dan farmaseutikal (Fasal 38-42).
 
Antara beberapa contoh akta bagi memperkukuhkan perlindungan dan pengupayaan pengguna di negara ini adalah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dan Akta Lembaga Padi dan Beras Negara 1994 yang bertujuan memastikan harga padi berpatutan dan stabil bagi petani dan pengguna. Akta Makanan 1983 bertujuan mengawal penjualan makanan supaya tidak mengancam pengguna. Akta Kawalan Bekalan 1961 (pindaan 1990) pula bertujuan mengawal bekalan barang-barang kawalan bagi memastikan bekalan mencukupi serta mengambil tindakan terhadap perbuatan menyorok atau enggan menjual barang kawalan kepada pengguna.
 
Untuk mengawal penipuan dalam timbangan maka diwujudkan Akta Timbang dan Sukat 1972 yang bertujuan memastikan alat timbang adalah tepat serta menggunakan unit sukatan berdasarkan kepada sistem unit antarabangsa. Para pendeposit wang di bank-bank di negara ini dilindungi oleh Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 serta Akta Perbankan Islam. Akta-akta terbabit bertujuan mengawal selia institusi yang menjalankan perniagaan bank dan syarikat-syarikat kewangan serta memberi perlindungan kepada pendeposit serta pengguna perkhidmatan perbankan dan kewangan lain.
 
Akta Insurans 1996 dan Akta Takaful 1984 pula bertujuan mengawal selia industri insurans untuk memberi perlindungan ‘pemunya’ dasar insurans. Sementara itu, Akta Sewa Beli 1967 bertujuan mengawal perniagaan sewa beli dengan menggariskan hak pengguna yang dilindungi akta. Dalam soal berkaitan pembelian rumah, pengguna dilindungi oleh Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 yang bertujuan mengawal industri perumahan di negara ini. Akta ini memberi kuasa kepada Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) yang mengadakan prosiding bagi tuntutan pembeli rumah ke atas pemaju yang melanggar kontrak.
 
Selain aspek perundangan, kerajaan turut menggubal beberapa dasar dan institusi perlindungan pengguna. Antaranya Dasar Pengguna Negara (DPN) yang diluluskan Kabinet pada Mei 2002 bertujuan mewujudkan keseimbangan hak dan tanggungjawab tiga pihak iaitu pengguna, peniaga termasuk pembekal dan pengilang dan kerajaan. Sejak diwujudkan, DPN berjaya memperkukuh perlindungan pengguna di negara ini.
 
Selain itu, Rukuniaga Malaysia (RM) dan Kod Etika Amalan Perniagaan (KEAP) turut diperkenalkan oleh Majlis Penasihat Perlindungan Pengguna Kebangsaan (MPPPK) untuk membina tanggungjawab moral dan sosial peniaga terhadap pengguna di negara ini. KEAP dirangka pada 1982, manakala RM pula pada 2002.
 
Untuk menyelesaikan sebarang pertikaian antara pengguna dan pengeluar atau peniaga maka Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) ditubuhkan Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan mula dikuatkuasakan pada November 1999. TTPM merupakan sebuah badan bebas bertujuan mendengar dan mengadili tuntutan pengguna dan had pampasan ganti rugi yang dibenarkan oleh tribunal berkenaan adalah tidak melebihi RM25,000.
 
Selain tribunal pengguna, kerajaan juga mewujudkan Biro Perantaraan Kewangan (BPK), Biro Pengantaraan Perbankan (BPP) dan Biro Pengantaraan Insurans (BPI). BPK ditubuhkan pada Januari 2005 bertujuan menyelaraskan BPP dan BPI serta memastikan pertikaian yang dihadapi oleh pengguna dan institusi insurans/takaful dan kewangan (perbankan) diselesaikan secara berkesan dan cepat.
 
Peranan Aktif Gerakan Kepenggunaan
 
Apa pun, perlindungan pengguna di negara ini akan menjadi lebih berkesan sekiranya gerakan kepenggunaannya memainkan peranan aktif menyedarkan rakyat tentang hak dan tanggungjawab mereka selaku pengguna. Kewujudan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) pada Jun 1973 menjadikan gerakan kepenggunaan di negara ini lebih dinamik dan terarah. Dalam memperkukuhkan perlindungan dan pengupayaan pengguna, FOMCA berperanan memayungi kebanyakan persatuan pengguna serta mengatur pelbagai perancangan dan aktiviti kepenggunaan di negara ini. Antaranya, menyedarkan pengguna terhadap kuasa dan tanggungjawab mereka, membantu menegakkan hak pengguna, mengesan pelbagai penyelewengan pengeluar dan peniaga serta menjadi pendorong kepada penggubalan akta-akta berkaitan perlindungan pengguna.
 
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) juga adalah di antara persatuan pengguna yang memainkan peranan cukup berkesan dalam memperkukuhkan perlindungan dan pengupayaan pengguna serta memberi pendidikan kepenggunaan kepada pengguna di negara ini.
 
Pihak KPDNKK juga sentiasa berusaha meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai hak mereka sebagai pengguna antaranya melalui Persatuan Pengguna Daerah yang kini ditempatkan di 132 daerah seluruh Malaysia. Ia menjadi pemimpin pendapat atau penghubung utama yang mampu bertindak menggerakkan aktiviti kepenggunaan selain bertindak sebagai tempat rujukan pengguna selamat. Selain itu beberapa undang-undang atau akta yang melindungi pengguna turut dipinda antaranya Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang dipinda pada tahun lepas, bertujuan melindungi pengguna daripada amalam perniagaan yang tidak beretika berhubung urusan jual beli antara peniaga dan pengguna.
 
Begitu juga, Akta Perihal Dagangan 1972 yang bertujuan melarang penggunaan perihal, penyataan dan petunjuk palsu atau yang menggelirukan berhubung dengan barang, perkhidmatan, tempat tinggal, kemudahan dan harga barang. Pindaan akta ini diluluskan dengan menambah gores dan menang, iklan yang mengelirukan dan penjualan produk palsu sebagai kesalahan dan boleh dikenakan tindakan. Akta lain yang melindungi pengguna ialah Akta Jualan Langsung 1993, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Sewa Beli 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga 1946.
 
Sekiranya tidak didedahkan masalah kepenggunaan yang berlaku, maka pengguna akan terus menghadapi masalah itu dari semasa ke semasa kerana wujudnya pelbagai taktik dan tipu helah dalam perniagaan, pemasaran produk dan perkhidmatan yang tidak bermutu dan berkualiti, penipuan tanda halal, pemalsuan maklumat yang memberi kesan buruk terhadap keseimbangan hubungan ekonomi antara peniaga dan pengguna. Dengan adanya pengetahuan dan pendidikan kepenggunaan, pengguna akan menjadi lebih berhati-hati dalam urus niaga yang dijalankan serta pengguna juga boleh melindungi diri sendiri daripada terpedaya dan ditipu oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.
 
Kumpulan sasaran kini lebih ditumpukan kepada kumpulan pengguna baru yang terdiri daripada pelajar sekolah dan pelajar Institut Pengajian Tinggi serta golongan belia dan wanita. Belia sebagai pelapis pemimpin masa hadapan dan wanita dianggap tonggak utama keluarga yang memastikan keselamatan dan kesihatan keluarga terjamin.
 
Kesimpulan
 
Kesimpulan, dalam hasrat memperkukuhkan perlindungan dan pengupayaan pengguna di negara ini, ia membabitkan kerangka perundangan, institusi perlindungan pengguna dan peranan NGO. Aspek yang perlu juga diperkukuhkan adalah menyemarakkan pendidikan kepenggunaan. Malah, peniaga dan pengeluar juga perlu dididik secara berterusan supaya mereka benar-benar mengikuti Garis Panduan Rukunniaga Malaysia serta mengamalkan Kod Etika Amalan Perniagaan. FOMCA, CAP dan PPIM boleh mengadakan siri-siri dialog, seminar atau penerangan dengan pihak pengeluar, peniaga dan pembekal mengenai tanggungjawab mereka melindungi pengguna.
 
Pengguna juga mesti mempunyai kesedaran untuk mengkritik sekiranya berlaku penyelewengan, sanggup bertindak sekiranya hak mereka tidak dilayan, pengguna mesti menjaga etika supaya perbuatan mereka tidak menimbulkan kesulitan kepada orang lain atau alam sekitar. Mereka juga perlu bersatu padu menyuarakan pendapat agar kepentingan mereka tidak mudah digugat. Hakikatnya setiap pengguna perlu menyedari tanggungjawab mereka terlebih dahulu bagi memastikan hak pengguna dapat diamalkan. Diharapkan menjelang 2020, pengguna Malaysia akan mampu melaksanakan perlindungan kendiri dan peniaga akan menjalankan kawal selia kendiri dalam menjalankan tangungjawab dan hak mereka.

PENIPUAN PELABURAN


SMAHADZIR

MUTAKHIR ini kebiasaannya pengguna yang menjadi mangsa akan ditawarkan pelaburan dalam skim yang memberikan pulangan lumayan dan jaminan tinggi seperti pelaburan emas, pelaburan wang dan pelaburan berbentuk sijil dividen. Pada mulanya, syarikat-syarikat ini dapat memberi pulangan dalam bentuk wang atau dividen kepada pelanggannya tetapi lama-kelamaan mereka tidak mampu untuk membuat pembayaran kepada semua yang terlibat (skim piramid). Maka berlakulah penipuan pelaburan kepada pelanggan.

Syarikat-syarikat pelaburan ini melakukan kesalahan kerana mengambil deposit wang tunai tanpa mempunyai lesen yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia. Ada antara syarikat-syarikat ini yang sedang disiasat, manakala ada pula yang telah diambil tindakan oleh Bank Negara Malaysia, yang mana aset-aset syarikat dan akaun-akaun bank dibekukan kerana menjalankan skim pelaburan tanpa lesen.

Pengguna diingatkan supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran-tawaran yang tidak munasabah daripada mana-mana syarikat, hanya kerana ingin cepat mendapat keuntungan. Pengguna perlu membuat semakan atau rujukan dengan pihak Bank Negara Malaysia terlebih dahulu sebelum melibatkan diri dengan mana-mana skim pelaburan untuk menentukan sama ada syarikat-syarikat terlibat mempunyai lesen yang sah atau tidak.

Menurut statistik, seramai 57,766 orang telah menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam Skim Kepentingan dan Skim Kutu bagi tempoh 2010 hingga Oktober 2012. Dalam tempoh itu juga, sebanyak 66 kes yang ada kaitan dengan skim cepat kaya telah diambil tindakan undang-undang. Tindakan tersebut dibuat di bawah Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993, Akta Syarikat Malaysia 1965 dan Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971. Antara punca orang ramai mudah terlibat dalam skim cepat kaya ialah sikap tamak kerana dijanjikan pulangan yang lumayan dalam masa yang singkat. Selain itu, pengaruh daripada kawan-kawan, rakan sekerja dan saudara-mara serta kemudahan mendapatkan pinjaman peribadi daripada institusi kewangan.

Di negara kita, banyak kes penipuan pelaburan yang melibatkan segolongan pengguna telah dilaporkan oleh akhbar tempatan. Ini tidak termasuk kes-kes yang tidak diketahui dan yang tidak dilaporkan dan terlepas daripada pemantauan akhbar. Antara kes penipuan pelaburan melibatkan pengguna tempatan yang pernah dilaporkan ialah:

1. Pelaburan Skim Cepat Kaya

Pelaburan Skim Cepat Kaya adalah antara kes terhangat yang sering dipaparkan oleh media tempatan. Penganjur pelaburan skim cepat kaya sentiasa mencari peluang dan kesempatan untuk menipu pengguna dan sikap tamak yang tidak berkesudahan adalah antara faktor utama yang telah digunakan oleh penganjur-penganjur ini untuk mengekploitasi pengguna. Meskipun pelbagai tindakan dan usaha telah dijalankan oleh pihak berkuasa termasuk Bank Negara Malaysia dalam membanteras dan menyedarkan pengguna agar tidak terbabit di dalam pelaburan skim cepat kaya, namun pengguna masih terjebak dan terpengaruh dengan penganjur-penganjur skim yang menawarkan skim pelaburan yang kononnya dapat menjana pulangan yang lumayan dengan cepat daripada jumlah pelaburan yang kecil dan tanpa risiko.

Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan supaya mengambil inisiatif bagi memastikan diri mereka tidak tertipu dengan skim-skim pelaburan cepat kaya dengan mengambil langkah berjaga-jaga. Antara langkah-langkah yang boleh diambil oleh para pengguna ialah:

i. Semak dahulu dengan pihak berkuasa sebelum melabur

Walaupun individu yang memperkenalkan skim pelaburan ini mungkin kelihatan jujur dan boleh dipercayai, pengguna jangan terburu-buru membuat keputusan untuk melabur. Siasat pelaburan tersebut dengan terperinci dan semak dengan pihak berkuasa terlebih dahulu. Orang yang memperkenalkan skim pelaburan tersebut mungkin juga turut sama tertipu dengan mempercayai bahawa skim pelaburan tersebut adalah sah di sisi undang-undang.

ii. Ingat, skim pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa selalunya akan memakan diri sendiri

Jangan tertipu dengan pelaburan yang menjanjikan keuntungan luar biasa atau keuntungan yang telah ‘dijamin’ tanpa melibatkan sebarang risiko. Sedarlah bahawa semakin tinggi pulangan sesuatu pelaburan, semakin tinggilah risiko yang perlu ditanggung. Jaminan keuntungan besar dengan risiko kecil adalah contoh jelas penipuan dalam pelaburan.

Antara modus operandi yang biasa digunakan bagi memperdaya orang ramai untuk melabur dalam pelaburan haram ini adalah seperti berikut:

a. Menjanjikan Pulangan Yang Tinggi Bagi Setiap Pelaburan Kecil

Bagi setiap pelaburan yang dibuat, dijamin akan mendapat keuntungan yang tinggi. Contohnya 10% sebulan. Pihak penganjur sentiasa menabur janji manis untuk terus membayar pulangan yang tinggi sama ada dalam bentuk janji-janji faedah, pulangan atau keuntungan. Walaupun nama dan bentuk aktiviti berkenaan mungkin berbeza di antara satu sama lain namun tujuan utamanya tetap untuk cuba mengaburi pelabur-pelabur yang lain supaya tertarik dengan tawaran pelan pelaburan tanpa had dan tanpa riskio dengan jaminan keuntungan yang lebih banyak dalam masa yang singkat.

b. Menggunakan Penglibatan Orang Yang Berpengaruh Atau Mempunyai Kedudukan Dalam Masyarakat 

Sejak kebelakangan ini, penganjur pelaburan skim cepat kaya telah menarik beberapa orang yang berpengaruh atau mempunyai kedudukan dalam masyarakat seperti pegawai kerajaan, pegawai beruniform, guru, ustaz, imam dan lain-lain lagi, sebagai pelabur. Penganjur pelaburan skim cepat kaya ini telah mengeksploitasi penglibatan orang yang berpengaruh atau mempunyai kedudukan dalam masyarakat bagi memberi gambaran seolah-olah skim sedemikian telah diluluskan oleh pihak Kerajaan untuk menarik pelabur-pelabur lain.

c. Mengeluarkan Surat Kuasa Palsu 

Penganjur pelaburan skim cepat kaya telah bertindak dengan lebih berani, iaitu menipu atau mengelirukan orang ramai dengan mengatakan bahawa mereka telah mendapat kelulusan yang diperlukan dari pihak berkuasa dengan menunjukan surat kuasa palsu. Dengan surat kuasa palsu ini, ramai telah terjebak dalam skim cepat kaya tersebut.

d. Memberi Jaminan Tiada Risiko

Penganjur pelaburan skim cepat kaya sentiasa memberi jaminan bahawa keuntungan dari pelaburan dan pulangan modal adalah dijamin dan tidak berisiko. Mereka akan menunjukkan beberapa orang pelabur yang telah berjaya mendapat keuntungan hasil dari pelaburan tersebut.

e. Membuat Pelaburan Dalam Perniagaan 

Penganjur pelaburan skim cepat kaya sering mengatakan bahawa mereka melaburkan wang pelabur di dalam syarikat ternama di dalam dan luar negara. Antaranya dalam perniagaan emas, hartanah, lembu atau kambing, pelancongan, perhotelan dan sebagainya.

f. Membuat Pelaburan Dalam Koperasi 

Sejak akhir-akhir ini, penganjur pelaburan skim cepat kaya telah cuba menarik pelabur baru melalui penubuhan koperasi, di mana mereka berselindung di bawah penubuhan koperasi untuk memperdaya pelabur.

2. Pelaburan Saham Emas Syarikat Virgin Gold Mining Corporation (VGMC)

Baru-baru ini, seramai 7,000 hingga 8,000 pelabur, sebahagian besar pengguna tempatan, dilaporkan telah melabur dalam skim pelaburan saham emas Virgin Gold Mining Corporation (VGMC) Singapore. Berdasarkan jumlah minimum 2,000 saham yang perlu dilabur dan harga sekitar AS$1.70 ($2.10) sesaham, ini bermakna jumlah pelaburan minimum yang sudah dipindahkan kepada firma itu telah mencapai $33.6 juta. Syarikat itu mencetuskan tengkarah apabila ia gagal memberi pelabur dividen disebabkan keputusan syarikat membuat Tawaran Awam Awal (IPO).

3. Program Pelaburan Roll Over

Sekitar 500 pelabur tempatan difahamkan telah terjebak dalam skim pelaburan palsu yang dijalankan secara senyap-senyap dan melibatkan pelaburan bernilai hampir $1 juta. Dinamakan Program Roll Over, pelaburan itu dikendalikan orang tengah, yang juga merupakan seorang peniaga, menerusi syarikat rawatannya di Golden Landmark.

4. Pelaburan Firma Dagangan Emas Genneva

Firma Dagangan Emas Genneva merupakan satu skim perniagaan emas yang boleh dibeli balik daripada pelanggan. Genneva disiasat oleh Jabatan Ehwal Perniagaan (CAD) kerana gagal memberikan wang dan emas yang dijanjikan kepada pelanggan mereka. Sejak diperkenalkan pada 2008, Genneva telah menarik 10,000 pelanggan di Singapura dan dianggarkan 25-30 peratus pelanggannya terdiri daripada orang Melayu. Di akhir kontrak, Genneva membeli balik emas pada harga asal yang dibayar oleh pelanggan. Namun, syarikat itu menjual emas kepada pelanggan pada kadar premium 20-30 peratus di atas harga pasaran.

5. Pelaburan Firma Perunding Cara Hutang Reliance Credit Consultancy

Beberapa orang pelanggan tempatan yang menghadapi masalah hutang meruncing, semakin bertambah beban hutang kewangan mereka setelah mereka mendapatkan khidmat firma perunding cara milik pasangan tempatan. Firma itu awalnya bersetuju menawarkan khidmat berunding dengan bank-bank bagi menghuraikan masalah hutang-hutang mereka. Namun setelah membayar wang kepada syarikat perunding cara hutang itu, bank-bank masih menuntut bayaran hutang dan mendesak para pelanggan yang terjebak melunaskan bayaran mereka.

6. Pelaburan Chique Gelerie

Satu lagi kes penipuan pelaburan yang hangat ialah penjualan beg berjenama melalui rangkaian sosial Facebook, Chique Gelerie, milik peniaga tempatan. Chique Gelerie, yang menjual beg berjenama, dipercayai tidak memulangkan sehingga $120,000 kepada lebih 400 pelanggan, selepas gagal mengirim tempahan mereka.

7. Pelaburan Internet

Internet bertindak sebagai suatu alat bantuan terbaik untuk para pelabur, di mana ia membenarkan mereka mendapatkan peluang-peluang penyelidikan pelaburan yang mudah dan murah. Namun Internet juga merupakan alat bantuan yang terbaik bagi fraudsters (golongan penipu). Oleh kerana itu, para pengguna perlu berfikir dua kali sebelum melaburkan wang melalui pelaburan Internet.

Internet membenarkan individu-individu atau syarikat-syarikat untuk berkomunikasi dengan kumpulan pengguna yang besar tanpa perlu menghabiskan masa, usaha dan duit yang banyak. Sesiapa sahaja boleh menemui beribu pengguna lain dengan membina laman web di Internet, mengepos pesanan ke papan buletin online, menyertai diskusi secara langsung dalam ruang chat atau menghantar e-mel secara kumpulan.

Adalah mudah bagi fraudster tersebut menghasilkan pesanan yang kelihatan benar dan boleh dipercayai. Tetapi adalah agak mustahil bagi pelabur-pelabur atau pengguna-pengguna untuk membezakan yang mana satu fakta dan yang mana satu fiksyen.

a. Newsletter (Surat Berita) Pelaburan Online

Beratus-ratus newsletter pelaburan online telah muncul di Internet sejak kebelakangan ini. Kebanyakannya seperti menawarkan maklumat percuma yang tidak berat sebelah tentang sesuatu syarikat terkemuka atau mengesyorkan ‘stok pilihan bulanan.’ Sementara newsletter pelaburan online yang sah boleh membantu para pelabur atau pengguna mengumpulkan maklumat yang berharga, namun terdapat juga sebahagiannya merupakan alat bagi penipuan.

Sesetengah syarikat membayar individu untuk menulis newsletter pelaburan online tentang wang tunai atau sekuriti supaya ‘mendesak’ atau mengesyorkan stok mereka kepada para pelabur. Walaupun ia tidak menyalahi undang-undang, undang-undang sekuriti persekutuan menghendaki mereka mendedahkan maklumat tentang siapa yang membayar, jumlah bayarannya dan jenis pembayaran yang dilakukan. Tetapi kebanyakan fraudster atau penipu itu gagal untuk berbuat demikian. Sebaliknya, mereka menipu tentang pembayaran yang diterima, kebebasan, status penyelidikan dan rekod kerja. Penyamaran surat berita mereka sebagai sumber maklumat yang tidak berat sebelah, yang mana sebenarnya mereka akan memperolehi keuntungan yang tinggi sekiranya mereka dapat meyakinkan para pengguna untuk membeli atau menjual sesuatu stok yang tertentu.            

Beberapa newsletter online juga telah menipu dengan mendakwa bahawa mereka telah membuat penyelidikan secara bebas ke atas semua stok profil mereka sendiri. Yang lain pula menyebarkan maklumat palsu atau mempromosikan stok-stok yang tidak bernilai. Dan bagi yang lebih jahat pula, kadangkala mereka menggembar-gemburkan stok-stok mereka, sehingga dapat menaikkan harga stok mereka dengan kenyataan-kenyataan yang tidak berasas dan kemudiannya menjualkan pegangan tersebut pada harga yang tinggi dan mengaut keuntungan yang besar.

Untuk para pengguna tahu membezakan yang baik dan yang buruk, di bawah ini ada panduan-panduan untuk memeriksa surat berita yang sahih:

b. Papan Buletin 

Papan buletin online sama ada newsgroups, usenet atau papan buletin berlandaskan web, telah menjadi tapak forum yang semakin terkenal bagi golongan pelabur berkongsi maklumat. Papan buletin biasanya mengemukakan ‘jalinan’ yang terhasil dari himpunan pesanan yang banyak berkaitan pelbagai peluang pelaburan yang ada.

Sementara beberapa pesanan mungkin betul, namun kebanyakannya adalah palsu dan mungkin juga komplot penipuan. Fraudsters atau para penipu kerap ‘melobi’ sesebuah syarikat atau berpura-pura mendedahkan maklumat ‘dalaman’ tentang pengumuman akan datang, barangan terbaru, atau kontrak-kontrak yang menguntungkan.

Dan para pengguna juga tidak akan tahu secara pasti dengan siapakah mereka berurusan atau sama ada mereka boleh dipercayai atau tidak kerana kebanyakan papan buletin membenarkan pengguna menyembunyikan identiti sebenar di sebalik beberapa nama samaran. Orang yang mendakwa bahawa mereka adalah pemerhati bebas yang mana telah menjalankan penyelidikan terperinci ke atas sesebuah syarikat mungkin juga sebenarnya orang ‘dalam’ syarikat tersebut, pemegang saham tertinggi, atau wakil promosi berbayar. Seseorang itu dengan mudah boleh menghasilkan ilusi minat yang meningkat ke atas sesebuah stok yang kecil dan tidak terkenal dengan mengepos beberapa rentetan pesanan di bawah beberapa nama samaran yang berbeza.

c. ’Spam’ (Pembanjiran) E-mel 

Oleh kerana ‘spam’ - e-mel sampah - e-mel adalah murah dan mudah untuk dihasilkan, fraudsters semakin kerap menggunakannya untuk mencari pelabur bagi skim pelaburan palsu atau untuk menyebarkan maklumat palsu mengenai sesebuah syarikat. ‘Spam’ juga membenarkan pihak tidak bertanggungjawab tersebut mensasari lebih ramai pengguna yang berpotensi daripada cara cold calling (e-mel secara rawak) atau mass mailing (e-mel secara banyak). Dengan menggunakan program bulk e-mel, spammers boleh menghantar pesanan peribadi kepada beribu-ribu malahan berjuta-juta pengguna Internet pada satu-satu masa.

Kesimpulan

Dewasa ini, ramai pengguna yang menjadi mangsa penipuan pelaburan yang menyebabkan kerugian besar. Pengendali skim-skim sebegini lazimnya menarik perhatian mangsa mereka dengan jaminan pulangan tinggi dan meyakinkan pengguna untuk melabur wang yang akhirnya akan hilang begitu sahaja. Pengendali sebegini akan sentiasa memperbaiki skim penipuan lama untuk mengelakkan daripada ditangkap. Oleh itu, pengguna dinasihatkan agar berhati-hati terhadap sebarang tawaran yang menjanjikan sesuatu yang indah khabar dari rupa.

Pengguna juga dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati terhadap skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko yang rendah selain memberikan jaminan bahawa jumlah pokok pelaburan akan dipulangkan. Selain itu, pengguna juga dinasihatkan supaya merujuk kepada agensi berkenaan apabila berurusan dengan syarikat atau individu menawarkan peluang perniagaan atau perkhidmatan kewangan yang kelihatan menarik tetapi tidak diberikan lesen oleh pihak berkuasa.

Selain itu pengguna juga dinasihatkan supaya menghindari sebarang pelaburan yang menjamin keuntungan tetap atau tinggi bagi satu pelaburan kecil. Berhati-hatilah terhadap syarikat yang menjanjikan keuntungan besar atau menunjukkan prestasi cemerlang dalam satu tempoh masa yang pendek. Anda mesti ingat bahawa setiap pelaburan melibatkan risiko dan ‘risiko tinggi, pulangan tinggi!’ Ambil langkah berhati-hati, terutama jika pelaburan itu kononnya akan memberi pulangan tinggi dengan risiko yang rendah atau tiada risiko langsung.

Berhati-hati juga dengan pelan yang menumpukan kepada membayar anda untuk melatih orang lain dan bukannya membayar anda kerana menjual produk atau perkhidmatan. Perkataan yang menjadi kunci utama untuk mengingatkan anda supaya berhati-hati ialah downline atau ‘piramid’.

Jangan sekali-kali bersetuju menyertai apa-apa ‘peluang’ dalam keadaan mendesak, umpamanya, ‘tempoh untuk anda menyertai skim ini amat terhad’ atau ‘beli sekarang, jika tidak, anda akan menyesal’. Ingatlah, jika perniagaan itu sah, ia akan tetap wujud esok, minggu hadapan, bulan hadapan atau tahun hadapan.

Memang mustahil untuk anda memenangi sebarang hadiah atau wang yang banyak jika anda tidak masuk sebarang pertandingan. Begitu juga, mustahil bagi sesuatu pertandingan yang sah di sisi undang-undang untuk meminta bayaran wang pendahuluan sebelum menyerahkan hadiah wang. Jika anda menerima panggilan yang mengatakan bahawa anda telah memenangi satu hadiah dan anda perlu mengirim sejumlah wang ke sebuah negara asing bagi membolehkan anda menuntut hadiah tersebut, letakkan telefon. Jangan buang masa dan tenaga untuk melayan panggilan begini.

Anda perlu bersikap ragu-ragu mengenai sebarang panggilan telefon yang tidak dijangka mengenai pelaburan daripada jurujual atau syarikat luar pesisir yang tidak kenali. Jika pemanggil itu mengaku sebagai wakil peniaga syarikat broker saham atau penasihat pelaburan yang dilesenkan oleh pihak berkuasa di luar negara, minta nama pihak kawal selia asing berkaitan yang melesenkan syarikat tersebut dan layari tapak webnya yang biasanya mempunyai senarai mereka yang berdaftar dan dilesenkan. Anda mesti sentiasa memeriksa bukti kelayakan individu yang dilesenkan dengan pihak berkuasa berkenaan sebelum menyerahkan wang.

Pastikan anda mendapat rekod prestasi syarikat tersebut. Juga, mintalah maklumat bertulis mengenai produk pelaburan dan perniagaan itu, serta risiko yang terbabit dalam pelaburan tersebut. Baca dengan teliti prospektus atau laporan tahunan syarikat itu sebelum membuat pelaburan.

Jangan berikan sebarang maklumat kewangan atau peribadi sebelum anda memastikan kesahihan syarikat itu. Jangan takut bertanya soalan. Malah, lebih banyak soalan yang anda kemukakan, lebih baik lagi. Minta penjelasan mengenai apa-apa perkara yang anda tidak fahami. Walau bagaimanapun, jangan terima bulat-bulat semua maklumat yang diberikan. Siasat sendiri. Jika anda memerlukan bantuan untuk membuat penilaian terhadap pelaburan tersebut, pergilah kepada mereka yang boleh memberikan nasihat secara bebas dan profesional, contohnya wakil peniaga berlesen, penasihat pelaburan, peguam atau akauntan. Sentiasa memeriksa tapak web pihak pengawal selia, contohnya, tapak web Suruhanjaya Sekuriti, untuk mendapatkan maklumat mengenai amaran untuk pelabur, atau senarai syarikat-syarikat perantara berlesen.

Jika ragu-ragu, jangan melabur. Mengapa mesti meletakkan wang dalam risiko jika anda tidak mendapat maklumat sepenuhnya mengenai syarikat, jurujual atau ejen, atau pelaburan tersebut? Ingatlah, jika sesuatu janji itu nampak macam mustahil boleh dilaksanakan, kemungkinan besar memang mustahil boleh direalisasikan!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA