Isnin, 15 Mac 2010

Tapak Kaki Beruk

(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Dewan Kosmik terbitan Karangkraf Sdn Bhd dan telah diantologikan dalam antologi Rien Piranha)

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

“MANUSIA sudah wujud sejak hidupan multisel lagi, kira-kira 500 juta tahun yang lalu!”
Bilik kuliah masih dingin. Dua puluh enam pelajar kajian paleontologi tunak mencerlung roman tenang Profesor Anusyirwan. Masing-masing juga tenang. Termasuk aku, mengangguk kecil di kerusi nombor empat lajur tiga dari depan. Sengaja aku bersikap begitu kendati serasa ada sesuatu yang mahu menggelincir dari dada. Namun tersekang di kerongkong.
“570 juta tahun dulu, bumi dihuni oleh hidupan primitif, berasal dari hidupan multisel yang terapung-apung. Dari multisel, evolusi kehidupan berubah secara beransur-ansur kepada spesies hidupan yang mula mendiami daratan. Spesies-spesies hidupan darat ketika ini adalah hidupan seperti serangga, amfibia dan reptilia kecil.”
Suara profesor pakar paleontologi itu berkoma pula, barangkali mahu memberi peluang kepada dua puluh enam pelajar memindahkan hujahnya ke dalam buku catatan. Terbukti, ada antara dua puluh enam orang pelajar itu berbuat begitu. Tidak termasuk aku. Aku masih cuba bertenang, meneliti hujah lanjut.
“Tempoh masa dari 570 juta tahun yang lalu hinggalah 240 juta tahun kemudiannya dikenali sebagai era Paleozoic. Selepas era Paleozoic, barulah cagun era Mesozoic yang menyaksikan munculnya hidupan seperti burung dan mamalia yang pertama. Era Mesozoic berlanjutan dari 240 juta tahun lalu hinggalah 65 juta tahun kemudiannya. Pada zaman inilah juga wujudnya dinasour di bumi yang kemudiannya pupus.”
Koma lagi. Koma yang telah berjaya menganggukkan kepala dua puluh lima orang pelajar lantas menggerakkan jari jemari menyalin hujah ke muka kertas catatan. Cuma sekujur tubuh yang masih mematung.
Cukup hebat. Memang Profesor Anusyirwan ini cukup hebat membuat hujah sehingga lupa bahawa ada satu biji kepala lagi yang tetap berpegang kepada kewujudan makhluk yang bernama manusia di dunia ini hanya sekitar 1.6 juta tahun yang lampau, bukan 500 juta tahun seperti dihujahkan dan tamadun makhluk itu hanya berkembang sekitar 10,000 tahun lalu saja.
“Amatlah mustahil untuk menyatakan manusia dipercayai mula wujud antara 1-2 juta tahun yang lalu. Hujah saya berdasarkan penemuan dan kajian serta bukti saintifik!”
Fuh, semakin rancak dua puluh lima pelajar menterjemahkan hujah pakar paleontologi itu ke bentuk tulisan. Tidak terfikir pula aku bagaimana dua puluh lima orang pelajar itu boleh menerima bulat-bulat semua hujah lebih-lebih lagi yang mutakhir ini. Realitinya, dua puluh lima orang pelajar itu seolah-olah terpukau dengan alasan penemuan, kajian dan bukti saintifik yang diluahkan.
Persoalannya sekarang, bagaimana dua puluh lima orang pelajar itu dapat menerima hujah Profesor Anusyirwan tanpa menelusur kembali sejarah kewujudan manusia pertama dilemparkan Allah ke dunia sekitar 1-2 juta tahun yang lampau.
Aku tidak berniat meragui darjat keintelek-tualan pakar paleontologi itu berhujah sekitar pengajian, penemuan, kajian dan bukti saintifiknya. Profesor Anusyirwan memang berkelayakan untuk mengeluarkan hujah mencakup kepakaran bidang fosil, geologi dan paleontologinya itu. Namun, sebagai seorang pakar yang sebangsa denganku walaupun namanya agak janggal dari nama biasa bangsaku, hujah-hujahnya harus diberi penilaian semula. Serasa ada sesuatu yang boleh dipertikaikan.
Inilah sebenarnya rasa yang mahu menggelincir tadi, menyekang di kerongkong dan membuncah-buncah di dada itu.
“Manusia memang berasal dari beruk. Teori Darwin bukan lagi sekadar teori omongan prasejarah tetapi telah dibuktikan oleh penemuan tapak kaki beruk atas satu fosil dan lebih menarik lagi usia tapak kaki beruk itu sekitar 500 juta tahun lampau!”
Wah-wah! Bertambah galak jejari dua puluh lima orang pelajar bergelinyang riang atas kertas catatan. Ada yang terbelangah. Ada yang melopong. Cuma aku yang masih diam kejur. Kekejuran aku mengkelintarkan minda mencari sebab musabab kenapa dua puluh lima orang rakan pelajar itu
seolah-olah telah dibius dadah ‘believe what you desire’, akur melulu tanpa sebarang bangkangan. Mereka bagaikan dirasuk pesona dengan gelaran pakar paleontologi milik Profesor Anusyirwan, sehingga melupakan biar setinggi mana pun darjah kepakaran seseorang itu, dia tetap juga bernama manusia biasa yang ada kekhilafan.
Aku tidak menafikan hak dua puluh lima orang pelajar itu untuk terpesona dengan sesiapa saja tetapi janganlah sampai jadi burung unta yang menyorok kepala dalam lubang pasir bila tidak mahu melihat musuh. Sebagai pelajar, nilai-nilai yang harus ditanam ialah yang menjurus kepada perkembangan minda, bukan mencipta budaya mandom, kelesa, lesu, lemah otak dan tertutup. Dua puluh lima orang pelajar ini juga kelihatan sudah tidak rasional lagi, tidak boleh membuat pertimbangan sendiri atau lebih ekstremnya ialah sudah fanatik dengan segala hujah dan uniform yang tersarung di tubuh Profesor Anusyirwan.
Siapa mahu dan berani menafikan hujah pakar paleontologi tersohor itu? Hujah berasas, sarat ilmiah, penyelidikan, penemuan dan bukti saintifik itu? Maaf tuan professor! Aku adalah antara yang mahu dan berani menafikan hujah-hujah tuan itu.
“Kamu semua tahu siapa yang menemui tapak kaki beruk itu?”
Semua dua puluh lima pelajar diam, ada yang menggeleng kecil, yang selebihnya menanti hujah lanjut tidak sabar.
“Jangan menyangka Darwin yang menemuinya tetapi kami sendiri. Kami…… saya dan beberapa orang rakan ahli geologi sewaktu menjalankan kerja-kerja pencarian fosil di Nevada. Hasil ujian saintifik menunjukkan tapak kaki beruk itu bukan akibat proses fosilisasi, kesan memijak sejenis hidupan kecil pra-sejarah dikenali sebagai trilobite (*) berusia sekitar 505 hingga 590 juta tahun, berukuran panjang dan lebar 10 dan 3 omega inci. Bahagian belakang tumit meninggalkan kesan lebih dalam berbanding depan sebagaimana kesan tapak kaki manusia. Setelah dikaji dengan pelbagai ujian saintifik, kami sepakat mengatakan tapak kaki beruk itu adalah tapak kaki manusia beruk dan membenarkan teori Darwin: manusia berasal dari beruk.”
Dua puluh lima orang pelajar terus mengangguk dalam gelodar dadaku yang kian membuar-buar mahu menyangkal hujah Profesor Anusyirwan terutama dalam memastikan dua puluh lima orang pelajar itu tidak terlarut dalam penyelewengan iman yang boleh merosakkan akidah. Tiada seorang pun di antara dua puluh lima orang pelajar itu yang mahu bersuara, semakin meyakinkan aku bahawa mereka ini naïve, betul bendul belaka, mengikut saja segala pendustaan. Barangkali juga telah dirasuk herd instinct (**). Aku tidak tahu kenapa tetapi yang jelasnya hujah Profesor Anusyirwan ini amat menggemankan. Dua puluh lima orang pelajar yang naïve itu tentu tidak peduli tentang itu semua kerana yang penting sari ilmu paleontologi yang disogokkan. Pada awalnya aku juga berpendapat demikian tetapi setelah banyak menghalusi sejarah kemanusiaan dari aspek pandangan Islam, keberangan gesit saja mahu terpantul dari dada. Serasa aku telah diheret oleh Profesor Anusyirwan untuk menerima teori-teori bikinan Yahudi yang nyata memusuhi Islam itu.
Sebal sungguh aku memikirkan, kenapa ramai orang-orang yang sebangsa denganku termasuk Profesor Anusyirwan ini gemar benar mengambil teori orang-orang Yahudi untuk landas pengkajian mereka. Tokoh-tokoh pemikir Islam masih ramai lagi yang kaya dengan teori-teori jitu tetapi dilupakan begitu saja. Islam itu amat sempurna, mencakup bidang apa saja : optik, muzik, astronomi, psikologi, kimia, politik, metafizik, falsafah, perubatan, geografi, etik, fizik, matematik. Tokoh-tokoh pemikirnya pula: Ibnu Khaldun, Ibnu Rusyd Ibnu Bajja, Ibnu Masarrah, Ibnu Miskawayh al-Razi, Ibnu Haitham, Ibnu Sina, Ibnu Tufail, al-Farabi, al-Biruni, al-Khindi dan ramai lagi.
Maaf tuan profesor! Aku tidak boleh menerima hujah tuan sebegitu mudah. Padaku, membenarkan teori Darwin bahawa manusia itu berasal dari beruk terlalu sukar untuk diterima akal dan amat memalukan walaupun ciri-ciri beruk memang ada dalam tubuh manusia. Beruk suka merosakkan, manusia juga suka merosakkan. Beruk tidak berakal, manusia juga sudah ramai yang tidak berakal. Beruk tak tahu malu, manusia juga begitu malah lebih teruk lagi dari beruk. Pendek kata, manusia memang semacam beruk dalam apa juga aspek tetapi itu bukanlah sebab yang waras untuk aku menerima teori Darwin itu bulat-bulat. Menerima teori Darwin itu umpama mengikut tapak kaki beruk ke belantara sesat.
Tuan profesor berhak mempertahankan teori itu kerana terhasil dari pembacaan, kajian, penemuan dan bukti saintifik seperti yang tuan dakwa tadi. Aku tidak menafikannya kerana wahyu pertama diturun-kan kepada Junjungan menyuruh kita membaca seterusnya mengkaji tetapi tuan harus ingat, apa yang dibaca dan apa yang dikaji itu mestilah selaras dengan kehendak-Nya. Mengkaji tentang kejadian dan asal usul manusia melalui fosil yang ditemui memanglah amat dituntut oleh Allah dalam konteks ilmu yang luas tetapi janganlah sampai menyeleweng dari hakikat iman dan kebenaran sebenar.
Sebagai seorang Islam, tuan profesor sepatutnya mengorek sari dari al-Quran sebagai landas pengkajian dan bukannya sari pemikiran Yahudi itu. Tuan profesor juga harus ingat, apa yang telah tuan lakukan itu adalah ibadah. Tegas Abul A’la al Maududi: kerja-kerja yang telah tuan lakukan itu adalah ibadah ammah, mendapat ganjaran pahala yang besar jika dilakukan kerana Allah semata-mata tapi jadi lagha kerana nama dan pangkat. Aku yakin, segala hujah tuan sebentar tadi adalah palsu, mempunyai niat yang jahat dan wajar dipertikaikan.
“Hah, kenapa masih belum mencatat segala yang telah saya terangkan tadi?”
Aku tersentak kecil dan gesit bingkas dalam busar panah lima puluh dua biji mata jitu ke muka. “Tidak ada apa-apa yang perlu dicatatkan!” Hanya satu ayat pendek begitu memudarkan wajah Profesor Anusyirwan ke tahap lesi.
“Kenapa? Kamu sudah terlalu pandai?”
“Maaf Tuan Profesor! Tukasan tuan itu beriak sindiran pedih. Saya ada alasan tersendiri untuk tidak mencatat segala penyelewengan dan kepalsuan yang terdapat dalam hujah tuan!” Lancar aku menonyoh keluar gelodar dada yang sekian lama membuar.
“Emm… begitu! Apa alasan kamu?”
“Tuan memang hebat sebagai seorang pakar paleontologi, saya tidak menafikan, tapi cukupkah kehebatan itu ditonjolkan oleh bantuan pembohongan teori Darwin? Mengiyakan teorinya bermakna menafikan Nabi Allah Adam sebagai manusia pertama dilemparkan ke muka bumi.” Ungkapanku membeliakkan biji mata dua puluh lima pelajar lain. Profesor Anusyirwan sendiri terdiam buat beberapa tagal.
“Apa hujah balas tuan?” aku cuba menjolok.
“Seperti yang telah ditegaskan, hujah saya berasaskan kajian bertahun-tahun, penemuan sahih dan bukti tepat saintifik!”
“Bagi saya, itu tidak memadai selagi kajian tuan tanpa asas Al-Quran malah hasilnya telah menyimpang jauh dari kebenaran!”
“Saya kurang faham…”
“Sebagai seorang Islam, tuan seharusnya tidak meragui bahawa Nabi Adam adalah manusia pertama yang lengkap dengan aqli, nafs dan qalb, diwujudkan sekitar 1-2 juta tahun lampau dan bukannya 500 juta tahun seperti yang tuan dakwakan. Tuan telah merendahkan mertabat kejadian Allah, yakni menyamakan manusia dengan beruk sedang manusia dijadikan bermertabat tinggi lantaran akal. Dalam soal ini, adalah wajar saya mengatakan yang semua hujah tuan itu penuh dengan prasangka buruk bertujuan busuk dan cuba merosakkan keimanan orang-orang Islam!” Dua puluh lima pelajar tersentak dengan hujahku. Semuanya menjeling dan mencemek. Profesor Anusyirwan tersenyum nipis.
“Bermakna kamu telah meragui title pensyarah, pakar paleontologi dan pengikhtirafan dunia terhadap hasil penemuan dan kajian kami?”
“Lebih kurang begitulah!”
“Habis, apa hujah penafian kamu tentang penemuan tapak kaki beruk dan hasil positif kajian saintifik yang telah kami lakukan itu?”
“Tapak kaki beruk yang tuan dan rakan-rakan tuan temui itu bukanlah tapak kaki beruk yang wujud 500 juta tahun lalu tetapi adalah tapak kaki tuan dan rakan-rakan tuan sendiri!”
“Huh, nonsense! Apa rasionalnya?”
“Tapak kaki beruk itu sengaja diada-adakan oleh tuan dan semua rakan-rakan yang sekongkol untuk menafikan hakikat sebenar kejadian manusia. Tuan harus sedar, musuh-musuh Islam mempunyai banyak cara untuk memesongkan keimanan kita. Ini salah
satunya. Saya tidak teragak-agak untuk menyatakan yang tapak kaki beruk itu sebenarnya tidak wujud. Tuan telah diperdaya oleh teori palsu musuh-musuh Islam dengan sogokan nama, pangkat dan kesohoran sehingga sanggup membohongi dunia dengan cerita yang bukan-bukan. Tidak salah kalau saya katakan, tapak kaki beruk orientalis untuk memijak serta menghapuskan kenyataan benar sejarah kewujudan manusia pertama menurut Al-Quran!”
“Rasional kamu mengarut, sudah tergelincir dari logik akal atau tak masuk akal langsung!” dengus keras Profesor Anusyirwan panjang meleweh. Serlah wajah nampak jerau. “Saya yakin, akal kamu sudah dirasuk perasaan dengki dan iri lantaran kejayaan dan kemasyhuran kami. Kamu lupa bahawa yang kami temui itu adalah tapak kaki beruk yang sudah dibuktikan oleh pakar-pakar saintifik setelah kajian yang lengkap dijalankan. Satu dunia mengakui itu bukan tapak kaki manusia seperti saya atau rakan-rakan saya yang lain. Kamu harus sedar, manusia tidak mempunyai tapak kaki seperti beruk!”
Kata-kata Profesor Anusyirwan itu hampir saja mengkejurkan bibirku. Aku tidak pernah ada perasaan dengki dan iri hati lebih-lebih lagi terhadap kejayaan dan kemasyhuran anak bangsaku malah aku amat berbangga sekali. Tetapi, wajarkah aku berbangga dengan bangsaku jika kejayaan dan kemasyhuran mereka kerana tercipta di hujung telunjuk orang lain? Tidak rela aku menyanjung anak bangsa yang begini. Profesor Anusyirwan tersenyum sinis dan sebelum aku meninggalkan bilik kuliah, aku sempat membalas senyum sinisnya itu:
“Allah itu Maha Berkuasa, Tuan Profesor! Tidak mustahil untuk Dia mewujudkan manusia bertapak kaki beruk seperti tuan dan rakan-rakan tuan yang lain. Kesempatan itu diambil oleh tuan dengan bantuan rakan-rakan tuan itu lalu menggunakan tapak-tapak kaki beruk milik kalian untuk merosakkan iman dan akidah orang lain. Kerana sekongkol mereka, tuan pun dianugerahkan istilah pakar dan dijulang di takhta kemashyuran!”
Aku terus keluar tanpa berpaling lagi. Hatiku sungguh puas dan bebas.
Keesokan hari, paparan muka depan akhbar perdana sedikit heboh tetapi tidak menyentakkan aku. Profesor Anusyirwan dan dua puluh lima orang pelajar itu memang dijadikan Allah bertapak kaki beruk. Kesan tapak kaki mereka membekas di atas tanah nusa menghala ke jihat belantara sesat. Yang sedihnya, kesemua mereka adalah manusia yang sebangsa denganku iaitu MELAYU!

Rujukan:
(*) - Trilobite merupakan hidupan kecil yang tinggal di laut dari spesies ketam dan diketahui wujud dan hidup di bumi selama 320 juta tahun sebelum ianya pupus 280 juta tahun yang lampau.
(**) - Herd biasanya dikaitkan dengan sekumpulan lembu. Apabila seekor daripada lembu itu tiba-tiba berlari mungkin kerana terkejut melihat ular, lembu-lembu lain akan turut berlari bersama tanpa mengetahui apa sebab mereka berbuat demikian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA