Isnin, 15 Mac 2010

Gerimis La Bouveret

(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Nona terbitan Karangkraf Sdn Bhd dan telah diantologikan dalam antologi Gadis Dari Betawi)

SMAHADZIR 

GERIMIS salji terus menjujai. Kelopak honeysuckle layu sebelum berkembang. Aku masih terpaku di muka jendela. Segalanya seakan kejur musim rontok.

“Oh, I am not crazy, NorAin! I’am educated and I’am looking for a matured man for my husband, not a bunch of stupid boy like him! So, please tell him, he’s not my taste!”

Dari mulut NorAin aku diperdengarkan ungkapan itu, Marisa!

Aku sungguh terharu, sungguh kesal dengan sikapmu. Sekali gus, aku terlalu sedih dan pilu dengan kata-kata berupa kejian itu. Mungkin kau sudah lupa kisah-kisah silam yang kita lalui bersama sebelum kita ke sini. Sebab itulah kau begitu fasih sekali mencerluskan ungkapan itu.

Andainya angin salju dingin yang mencokot di Kota La Bouveret ini telah memadamkan segala kenangan indah silam kita itu, biarlah aku cagun dan tunaskan semula. Segalanya untuk kau renungkan kembali. Apakah itu semua sekadar ilusi yang mendatangi diri kita.

Sebelum itu, izinkan aku hadiahkan sebuah senyuman untuk diriku sendiri akan segala kalimat yang kau cagunkan sewaktu kita mula-mula menjejakkan kaki di Tanah Switzerland ini, enam tahun yang lalu.

“I don’t want no scrub. A scrub is a guy that can’t get no love from me. Hangin out the passanger side of his best friends ride, trying to holls at me.”

Ku kira, kau sendiri masih ingat, bukan? Bukankah itu ungkapan keramat yang mencerlus keluar dari dua ulas bibirmu dulu?

Mari kita mengongsi kenangan bersama sepanjang zaman persekolahan menengah di Malaysia. Tentu sekali kau tidak lupakan itu, Marisa? Jangan segesit itu lupus dari ingatanmu.

Kita adalah sepasang merpati yang tidak pernah membiarkan arus waktu menghakis keteguhan percintaan kita. Kita tidak pernah menjadikan perbezaan sifat-sifat peribadi kita sebagai sebab untuk memancangkan percintaan yang telah kita bina bersama. Kita gagah bertahan dari segalanya dan itulah yang menjadikan percintaan kita begitu akrab sekali. Intim dan mesra, tidak mudah goyah.

Semua teman sekolej malah para tenaga pengajar tahu yang kita sememangnya adalah pasangan students istimewa yang punya sentuhan istimewa juga. Kita adalah bintang bergemerlapan menyinari setiap ruang. Kita dikenali semua, dikagumi, disenangi malah disayangi dan dipuja.

Nama kita berdua cukup terkenal di kalangan para pelajar. Teman-teman sekolej dan para tenaga pengajarnya juga menjadi bangga dengan kewibawaan yang kita tontonkan. Sudahkah kau lupa itu semua, Marisa?

Masakan boleh lupa, Marisa!

Kita berdua antara pemidato petah di medan perbahasan, seniman berbakat di arena pementasan, peneraju gagah di padang permainan, pemimpin contoh di organisasi persatuan dan students cemerlang dalam setiap peperiksaan. Nama kita pasti tercatat di antara students harapan kolej. Begitu yang nyalar gah waktu itu. Dan lebih dari itu, kau dan aku adalah students jurusan sains yang sering dipuji pensyarah kerana punya personaliti menarik. Senyum manis kita tidak pernah lokek untuk siapa pun juga, gelak tawa kita terlalu murah pada jenaka dan gurau senda. Tutur bicara kita sering cagun sopan dengan adat ketimuran yang kita pegang. Sikap kita selalu ramah dengan semua kawan-kawan. Kita jarang bersedih, jarang bertelingkah, jarang marah-marah dan selalu optimis dalam setiap tindakan. Seolah-olah, dunia ini hanya dipenuhi keharuman dan bunga-bunga yang berkembang indah. Persis pesona alam bunga azalie di sepanjang jalan ke La Bouveret! Masih ingat kau lagi, Marisa?

Marisa, kita terlalu sempurna sebagai sepasang kekasih dipandangan mata sesiapa saja. Lalu, kerana kesempurnaan itulah, kita sering menjadi objek cemburu dan irihati sebahagian besar pelajar lain di kolej kita.

Tetapi ternyata, kita cukup tenang mempamirkan sikap peribadi masing-masing tentang segala kejian dan cemuhan. Kita melakar gurisan nyata dan jelas di antara diri sebagai seorang pelajar dengan dunia cinta yang telah kita bina, indah mempersona dan mengasyikkan itu.

Sesungguhnya Marisa, waktu itu aku terlalu bangga denganmu. Kau juga begitu, bukan?. Siapa kata gadis cantik persis Kate Winslet dalam Titanic itu tak punya otak dan tak punya sikap? Dan siapa sangka aku juga punya itu semua?

Kita sama saja, cocok dan sama padan. Sebab itu NorAin selalu menggelarkan kita Anna and The King. Kadang-kadang dikatakannya aku ini persis Leonardo de Caprio, lebih-lebih lagi tatkala senyum. Saling tak tumpah imbas senyum hero pujaan muda mudi itu dalam Who’s Eating Gilbert’s Grape. Tentu kau belum lupa, itu semua, Marisa! NorAin amat akrab dengan kita berdua kala itu.

Seperti yang sudah diduga, kita berdua, termasuk juga NorAin telah lulus cemerlang, lantas dihujani tawaran-tawaran melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat, England, Australia, New Zealand dan juga universiti-universiti tempatan. Seolah-oleh kecemerlangan kita itu mampu membawa ke masa saja pelusuk dunia. Kejayaan kita itu juga telah mengunci semua mulut-mulut yang selama ini mengecam perhubungan kita.

Kita memilih Switzerland setelah berbincang bersama. Begitu juga dengan NorAin. Sebagai rakan paling akrab dengan kita,ia tak mahu berpisah. Lagipun, Switzerland menjanjikan pengajian terbaik untuk jurusan Sains Sosial yang kita bertiga citakan. Dan lagi kerana kita ingin menikmati indahnya warna-warna daffodils, honeysuckle dan azalie yang murup gerbak pada musim bunga dan dinginnya salji musim sejuk.
Setelah dua tahun di La Bouveret, kota ilmu impian kita sejak lama, kau mula menjauhkan diri dariku. Aku tak tahu kenapa? Mungkin dingin salji Kota La Bouveret itu telah mengubah segala pendirianmu selama ini. Sekaligus kau jelek menatap wajah sawo matang Melayuku. Barangkali mata hitamku tidak sesegak mata biru di sini. Lalu, cinta bertahun kita berkubur begitu saja.

Kini telah hampir sepuluh tahun aku menamatkan pengajian dan pulang ke Malaysia. Syukur Alhamdullillah, aku telah berjaya beroleh pekerjaan mencabar di tengah-tengah dunia korporat ini tanpa perlu menganggur.

Benarlah, negara kita sudah maju dan makmur dengan peluang-peluang pekerjaan yang terlalu banyak. Ekonomi negara mantap dan kestabilan politik begitu mapan sekali membuatkan negara kita membangun pesat di semua bidang. Rata-rata rakyat berbangga dengan kemajuan yang dicapai. Kita boleh bermegah dengan Koridor Raya Multimedia yang nyata gah seluruh dunia. Kita punya KLIA yang berupaya membawa pelancong dari serata pelosok alam. Kita ada KLCC, Metropolis Kuala Lumpur kita berselirat dengan LRT, Monorel dan juga KTM termoden. Kita ada Menara Berkembar tersohor dan sebagai satu pengikhtiraran segala kemajuan itu, negara kita berjaya menganjurkan Sukan Komenwel yang paling baik. Tak banggakah kau Marisa dengan apa yang telah dicapai oleh negara kelahiranmu ini?

“Marisa tak akan pulang lagi ke Malaysia, Fikri!”

Apa? Marisa tak akan pulang lagi? Aku terkesima dan tergamam jola dengan berita dari NorAin itu. Amat pilu sekali hati ini mengenang kata-kata itu.

Dari NorAin, aku dengar kau juga sudah berjaya memperolehi PhD mu. Tentunya, jika kau kembali ke Malaysia, akan berebut-rebutlah gergasi-gergasi perniagaan dan badan-badan korporat yang ingin mendapatkan khidmatmu. Dengan segala kelebihan yang kau miliki, aku pasti semua pintu kesenangan terbuka luas untukmu di bumi kelahiran ini.

“Marisa tak akan pulang, percayalah kataku, Fikri!” Begitu tegas NorAin mengucapkan sepotong lagi ayat kepadaku.

Marisa, katakan bahawa itu semua tidak benar. Katakan padaku Marisa, bahawa tukasan NorAin itu bersifat prejudis, katakan yang kau masih tetap menyayangi tanah air kita Malaysia ini, masih tetap rindu pada cahaya mentari yang bersinar sepanjang tahun, pada pohon-pohon padi yang galak tembun merimbun di petak-petak bendang dan pada segala isi alam bumi Melayu yang kau tinggalkan ini. Katakan, Marisa!

“Dia dah tukar nama dan agama, kau tahu Fikri?” Demikian NorAin berkata lagi.

Dengan ayat yang lancar dan tidak tersekat NorAin terus berkata “Marisa dah berkahwin di depan paderi, namanya dah bertukar jadi Marisa Gilbert! Sempena nama suaminya!”

Apa kau sudah jelek dengan nama Melayumu, Marisa? Aku tidak pasti betul tidaknya pendengaranku tentang namamu itu. Yang pasti, kulihat mulut NorAin sesekali mencebek hodoh bila menyebut nama itu. Marisa Gilbert!

Marisa, seperti aku tidak tahu apa yang harus kukatakan pada NorAin, aku juga tidak tahu apa yang harus aku katakan padamu. Lidahku jadi kelu, jiwaku jadi terharu dengan semua berita tentang dirimu.

Lagi sekali aku memohon keizinanmu untuk menceritakan pada NorAin, pertemuan kita selepas lebih 10 tahun kau menetap di tanah Switzerland. Kau pulang juga ke Malaysia dan secara kebetulan kita berjumpa di pekarangan Kuala Lumpur City Centre. Inilah yang dikatakan ‘setinggi seluang melaut ke lubuk juga akhirnya.’

“Apa khabar?” Marisa menegurku sedikit gugup.

Keadaan tidak seperti yang kita kenal dulu. Dia sudah banyak berubah. Rambutnya agak kemerah-merahan, pakaian ala Madonna. Ah! Tak payahlah aku ceritakan tentang itu semua. Tak baik mengumpat yang bukan-bukan.

“Err, I baik, macam 10 tahun dulu,” jawabku agak acuh tak acuh.

Sesungguhnya memang aku rasa serba salah dengan pertemuan yang tidak diduga ini kerana aku rasakan seolah-olah sebuah mimpi yang mendadak menjerba diri.

“Pelik ya, kita bertemu juga selepas lebih 10 tahun berpisah.”

Aku gesit senyum. “Apa nak dipelekkan. Bukankah dunia ni bulat dan sentiasa bergolek!” nada bersahaja dan berperisa sinis. Kemudian kami saling berkongsi cerita selepas lebih 10 tahun berpisah itu. Marisa terus menceritakan pengalamannya bersuamikan Mat Salleh.

“Malang nasib I, Fikri! Husband I memang handsome macam Tom Cruise tapi tak sangka dia seorang homoseks. You jangan terkejut. I tetap jadi isterinya. Sepanjang lebih 10 tahun, selama itu I rasakan kewanitaan lari meninggalkan diri. Apa boleh buat, dah takdir hidup I, Fikri!”

“Sekarang bagaimana?” Aku sekadar mengangkat kening.

“Rahsia! I ingin dengar cerita you dulu, Fikri!”

Marisa mencerlung tepat ke arahku seolah-olah mengharapkan cerita dariku. Aku tidak terus menjawab sebaliknya iseng-iseng mengatur langkah ke arah pinggiran kolam. Dia gesit mengekor. Angin segar dari arah tengah kolam buatan canggih itu bertiup lembut singgah di pipinya. Rambut terusik setagal. Terhimbau juga rasa pesona.

“Cerita tentang diri I panjang. Kalau nak kisahkan mahu makan berhari bermalam. Err, macam syair Siti Zubaidah.” Aku cuba berbohong, serentak cuba mencari akal untuk mengorek kisah-kisahnya.

“We are like films director, Fikri! Skrip boleh diubah sesuka hati. Segalanya bergantung kepada kita sendiri. Bukankah kita ada citarasa untuk buat pilihan. We have our owned choice!”

“Tapi, you harus ingat, plot cerita sepadu, tak boleh sewewenang itu diaing-asingkan. Lagipun, director usually mengikut script bukan script ikut director,” aku membidas, waras. Kukira dengan hujah itu dia memahami maksudku. Namun, Marisa tetap bersahaja.

“Maksudku, biarlah plot kisah tu berjalan lancar tapi kita kutip dan petik ending-nya saja. Itu kita jadikan asas perbincangan kita, so you’re agreed with my decision?”

Pandai Marisa membalas. Aku pula dihimbau senyum. Memang Marisa bijak, aku masih kagum dengannya. Mindanya masih kaya dengan perbendaharaan kata.

“Beginilah, Marisa. Cerita you tentunya lebih menarik dari I. Lagipun, you terlalu lama tinggal di Cardif. Negara asing. I rasa tentunya you ada banyak cerita-cerita menarik yang perlu I tahu. Tak gitu?”

“Err, sebenarnya I dapat anak sebelum berkahwin.” Marisa lancar berterus terang.

Astaghfirullah!” aku gesit menepuk dahi. “Maksud you anak itu anak luar nikah? You berzina dengan lelaki yang bukan Islam sampai melahirkan seorang anak di luar kehendak hukum?”

“Sebab itulah I terpaksa menikahi dia, Fikri!”

You terpaksa?” Aku tersenyum sinis. Jengkel amat.

“Ya, semata-mata untuk mengenalkan anak itu dengan seorang lelaki yang bernama bapa, Fikri! You harus mengerti perasaan I.

“Nonsense! You terlalu ikut nafsu muda yang mengelodar!”

“Katalah apa yang you suka, Fikri! I rela mendengarnya!”

“‘Cous whaterer I said is true!”

“Tapi sekarang kami dah divorce, Fikri! I am free now!”

“Begitu mudah?” Aku terus mendecit sambil mengeleng-gelengkan kepala. Kesal amat.

You perlu faham, Fikri! Perkahwinan sebenarnya adalah satu kewajipan apabila ada tuntutan walaupun jiwa menderita.”

“Jiwa menderita?” aku tersenyum sinis. “Kerana jiwa menderitalah you pulang ke tanah air? Begitu?”

“Ya, Fikri. Jiwa I kini menderita. I telah didapati mengidap AIDS. Sebab itulah I pulang untuk menghabiskan sisa-sisa hidup I di tanah air sendiri.”

You harus bertaubat, Marisa! Bertaubatlah dengan taubat nasuha. Zuhudlah diri pada Allah yang Maha Pengampun!”

“Apa maksud you?”

“Rantai salib di leher you tu masih teroleng-oleng megah!”

Marisa gesit tunduk. Ada genang pada kelopak matanya. Barangkali keinsafan telah meresapi diri. Bertaubat nasuhalah Marisa!

Marisa, bila melihat keadaanmu, aku jadi yakin dan percaya yang kau telah termakan gizi sajian syaitan laknatullah yang terlalu banyak terdapat di sana. Tidakkah kau sedar, atau setidak-tidaknya kau rasa akan kepincangan dan kebobrokan yang membelit dirimu itu, Marisa?

Bukan kau saja, ramai lagi orang-orang Melayu yang tiba di sana telah terlupa untuk menghalang diri mereka dari memakan gizi sajian syaitan itu lalu mereka hilang akal tidak dapat mengenali diri dan pegangan mereka sendiri. Mereka lupa siapakah diri mereka, apakah pegangan, keimanan dan kepercayaan agama mereka sebenarnya.

Marisa, kau sendiri, apakah kau tidak kesal dengan segala kejadian yang telah menimpa dirimu itu? Bertaubat nasuhalah, Marisa! Moga-moga Allah Yang Maha Pengasih mengampunimu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA