Ahad, 14 Mac 2010

Nasib Kanak-kanak Sedunia 2010

Artikel ini telah tersiar dalam laman sesawang Yayasan Dakwah Islamiah Islam (YADIM) pada 14 Mac 2006

Oleh SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

Dunia kanak-kanak adalah dunia kegembiraan, kejujuran, dan kebahagiaan serta dipenuhi dengan harapan dan impian yang manis. Bagaimanapun, apabila ditinjau dari ‘standard’ kehidupan antarabangsa ketika ini, sebahagian besar kanak-kanak dunia merupakan makhluk yang terluka dan dizalimi. Kehidupan masa kecil yang seharusnya penuh keindahan, terpaksa mereka lalui dengan kepahitan.

Pada usia mentah, mereka terpaksa menjalani kehidupan dengan cara berfikir dan ‘cara memandang’ orang dewasa. Oleh sebab tidak mengenali cara untuk mempertahankan dirinya, kanak-kanak menjadi sasaran utama kekejaman, perang, ketidakadilan, kemiskinan, penyakit, dan pelbagai masalah lain yang melanda dunia.

Bagaimanakah keadaan kanak-kanak pada tahun 2010, yang merupakan abad teknologi dan komputer? Apakah kemajuan teknologi yang dicapai umat manusia seiring dengan kemajuan dalam kehidupan kanak-kanak? Apabila kita melihat dengan teliti, meskipun pelbagai konvensyen dunia berkaitan hak kanak-kanak telah disusun dan dilangsungkan, yang bertujuan untuk menyamakan hak kanak-kanak sedunia, tidak kira apa pun gender, agama, ras, bahasa, dan bangsanya, namun hak-hak mereka masih saja dilanggar. Setiap tahun Hari Kana-Kanak Sedunia dirayakan, namun masih sangat banyak kanak-kanak yang tidak menerima hak asasi mereka sebagaimana yang termaktub dalam piagam hak kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Realiti menunjukkan bahawa hanya sebahagian kecil saja daripada kanak-kanak dunia yang menikmati masa kecil dengan kebahagiaan. Kepahitan kemiskinan, ratapan perang, air mata anak yatim, kesakitan akibat keganasan, diskriminasi ras dan gender, serta buta huruf, semuanya adalah beban yang masih saja dipikul oleh sebahagian besar kanak-kanak dunia.

Kita dapat menyaksikan kanak-kanak Palestin merasakan mesiu (bahan peledak) pencabut nyawa lebih banyak daripada susu ibu mereka. Betapa banyak kanak-kanak yang harus mengharapkan belas kasihan badan-badan sosial untuk menagih makanan dan sedekah demi memenuhi perut mereka yang selalu kelaparan.

Kanak-kanak Iraq kini banyak yang diserang kanser darah akibat senjata kimia yang digunakan dalam perang. Sebahagian daripada mereka menjadi cacat akibat terkena mortar dan juga jerangkap samar sisa-sisa perang. Kanak-kanak Lebanon pula kehilangan ayah yang gugur di medan perang. Kanak-kanak Afghanistan kehilangan tempat tinggal yang hancur akibat serangan tentera asing yang bermaharajalela di bumi mereka.

Kita perlu bertanya, apakah dosa ribuan kanak-kanak yang terlibat dalam kancah perang itu? Apakah perbezaan antara kanak-kanak ini dengan kanak-kanak lain di negara maju sehingga mereka terpaksa menyaksikan kematian orang-orang yang mereka sayangi?

Mereka hadir dan menjadi korban di medan perang, sementara para psikologis di negara-negara Barat mengingatkan bahawa kanak-kanak mereka tidak boleh menonton siaran televisyen yang memperlihatkan medan perang Iraq akibat pencerobohan Amerika Syarikat.

Menurut pakar psikologi Barat itu, dunia perang bukanlah dunia yang harus dipertontonkan kepada kanak-kanak. Mereka agaknya lupa pada nasib kanak-kanak yang hidup di tengah-tengah perang itu, yang bukan sekadar menonton di televisyen tetapi nyata terpampang di depan mata.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia WHO, setiap tahun sejumlah 10 juta kanak-kanak di seluruh dunia meninggal dunia sebelum mencapai usia lima tahun dan lebih daripada 150 juta orang menderita kekurangan bahan makanan.

Li Jong Wuk, Setiausaha Agung WHO dalam laporannya menyebutkan, ‘Tujuh juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun meninggal dunia kerana menghidap lima penyakit yang boleh dicegah dan diubati iaitu TBC, diare, malaria, batuk berdarah, dan kekurangan makanan. Malaria merupakan pembunuh nombor satu di Afrika yang ‘menyeret’ setiap hari kira-kira tiga ribu orang kanak-kanak di bawah usia lima tahun ke lubang kubur.

Meskipun harga vaksin antimalaria kurang daripada 20 euro, namun banyak warga dunia yang tidak mampu membelinya. Menurut laporan WHO, virus AIDS selain daripada menjadi faktor utama yang menyebabkan kanak-kanak kehilangan ibu bapa, juga telah menyebabkan kematian 4,5 juta kanak-kanak di dunia dan satu setengah juta kanak-kanak lainnya menghidap penyakit tersebut. Di negara-negara miskin, kanak-kanak lahir dengan harapan hidup yang singkat. Rata-rata harapan hidup rakyat negara miskin ialah 38 tahun, sebaliknya, di 24 negara kaya, rata-rata harapan hidupnya ialah 70 tahun.

Kira-kira 100 hingga 140 juta kanak-kanak di dunia kekurangan vitamin A yang boleh menyebabkan buta dan 20 juta yang lain mengalami kerencatan mental akibat kekurangan iodin. Sayangnya, angka yang membimbangkan ini tidak terbatas sampai di situ saja. Di sepanjang perang yang berlangsung selama 10 tahun terakhir, dua juta kanak-kanak kehilangan nyawa dan enam juta lainnya mengalami pelbagai kecederaan.

Selain itu, 123 juta kanak-kanak dalam usia persekolahan tidak pernah mendapat kesempatan untuk bersekolah. Menurut data, kira-kira 56 peratus kanak-kanak perempuan di seluruh dunia tidak bersekolah. Lebih dari 35 juta kanak-kanak yang menjadi pelarian. Angka ini boleh meningkat jika dihitung bersama kanak-kanak yang terperangkap ke dalam jaringan mafia penjualan kanak-kanak.

Realiti menunjukkan bahawa sebahagian besar negara yang menandatangani konvensyen hak kanak-kanak tidak melaksanakan fakta-fakta penting yang terkandung di dalam konvensyen itu. Adalah jelas bahawa penandatanganan konvensyen saja tidaklah mencukupi. Pelaksanaan isi konvensyen itu, jauh lebih penting. Tanggungjawab untuk mengurus nasib kanak-kanak bukan terletak pada pertubuhan atau lembaga khusus hak kanak-kanak saja, tetapi terletak di bawah tanggungjawab semua negara dan masyarakat yang dilanda pelbagai masalah tersebut.

Kanak-kanak merupakan sumber bernilai bagi setiap masyarakat dan ‘pelaburan’ bagi mencapai kemajuan sebuah bangsa.Tanpa mereka, apa akan terjadi kepada dunia pada masa akan datang?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA