Isnin, 15 Mac 2010

Bertemu SN Rahman Shaari

SMAHADZIR

Malam hening dan khali. Di dada langit, awan bergomol-gomol membentuk gumpalan-gumpalan gelintin. Aku masih terkedang di atas tikar mengkuang di anjung rumah. Mataku terkesip-kesip merenung mengkawan, kayu kasau dan atap nipah yang samar-samar saja pada penglihatan. Kemiskinan bukan sesuatu yang asing bagiku. Dengan hasil penulisan yang terlalu sedikit, aku tidak berjaya untuk menjadi kaya-raya. Namun begitu, dengan gajiku sebagai guru tuisyen Bahasa Melayu di kelas tuisyen milik rakanku, dapatlah juga membantu kehidupan bersama seorang isteri dan dua orang zuriat kami.
Ngiau kucing jantan di halaman rumah mengejutkan aku dari lamunan. Aku cuba membayangkan kembali sejarah perjuanganku di bidang penulisan. Dengan nama samaran Jauhar HS, aku menulis cerpen-cerpen yang berkisar soal bahasa slanga dalam kalangan remaja, bahasa rojak, gejala sosial, keruntuhan akhlak masyarakat, masyarakat yang malas membaca, perjuangan memartabatkan bahasa Melayu dan sebagainya. Namaku tidak gah di mata masyarakat malah tersembunyi dari pengetahuan sebahagian besar warga kampung. Apa yang mereka tahu, aku hanyalah seorang guru tuisyen yang lebih kurang setaraf dengan mereka saja. Mereka tidak pernah memberi apa-apa penghargaan kepada seorang yang bergelar penulis.
Hasil karyaku pula bukanlah dibaca serta dihayati oleh semua orang. Barangkali juga kerana mereka tidak suka membaca. Aku tidak mahu menyalahkan mereka dalam soal ini. Kesedaran terhadap pentingnya membaca masih belum berjaya terserap dalam jiwa masyarakat secara total.
Ini semua sering aku jadikan bahan dan plot cerita di dalam cerpen-cerpen yang aku hasilkan namun tidak pernah dijadikan pedoman apalagi pencetus semangat untuk mengubah sikap. Rata-rata masyarakat kampungku lebih gemar berhibur sebaik selepas bekerja. Ada yang suka meniup seruling di bawah pohon bambu atau bersembang-sembang kosong di dangau bawah pokok kelapa. Tidak kurang juga ada yang suka melahu tanpa arah tujuan.
Pendek kata, kehidupan masyarakatku sekadar untuk hari ini sahaja. Rezeki yang dicari mereka, akan dicari lagi esok hari sekiranya rezeki yang dicari hari ini sudah habis dimakan. Inisiatif untuk melipatgandakan usaha dan hasil pendapatan, jarang dijadikan amalan hidup. Tanah-tanah kosong sama ada di depan atau belakang rumah banyak yang terbiar ditumbuhi lalang. Ungkapan bahawa rezeki secupak tak akan jadi segantang begitu sinonim dengan hidup dan terlalu sukar untuk dienyahkan dari diri.
Ini semua membuatkan aku rasa sungguh kecewa. Cita-citaku untuk mengubah nasib masyarakatku bagaikan terkucel lunyai. Aku gagal sebagai seorang pencetus semangat perubahan melalui penulisan.
Malam terus merangkak dalam kepayahan. Isteri dan dua orang anak kecilku tentunya sudah lama nyenyak dibuai bidadari mimpi. Lampu pelita ayan di satu sudut segera kupadamkan. Aku mulai memejamkan mata rapat-rapat untuk mengusir segala persoalan dan bayangan yang bergentayangan di ruang mata.
Sejurus kemudian, tiba-tiba saja aku dijerba kejut. Dia berpakaian seperti seorang serikandi zaman silam. Aku melihat kedatangannya dengan seekor kuda putih, bersayap turun dari kayangan di halaman rumah. Pelana kuda itu berkilauan dengan kencana kuning lebih-lebih lagi kala disuluh cahaya bulan biarpun amat temaram ditutupi gumpalan awan. Sinarnya berupaya mencerahkan seluruh juzuk rumahku. Aku juga sempat melihat ladam kuda itu yang dibuat dari besi khursana aswad, berdetup-detap sewaktu memijak pasir-pasir halus di halaman rumah.
Ingin bertemu dengan dia memang sudah lama terkulum kemas di dasar dadaku. Sejak kecil lagi. Dialah SN Rahman Shaari yang datang dari Singgahsana Sastera. Aku sungguh gembira kerana aku antara manusia pilihannya. Hasrat dan cita-cita mahu bertemu dengan SN Rahman Shaari ini tidak pernah menjadi realiti sejak aku kecil lagi maklumlah, dia di singgahsana persada sedang aku ini persis kura-kura di baruh. Kerdil dan naif. Lantaran itulah jantung bagai mahu terlesit. Lutut kecoh menggelepar. Dada menggerutup. Pelbagai rasa beraduk, bergerawan - gembira, malu, segan dan yang selebihnya tidak percaya.
            Aku melihat jarum jam buruk yang tergantung di dinding sudah bersatu di angka dua. Sebaik pintu rumah dikuakkan, dia segera masuk lalu duduk tercongok bersimpuh di atas tikar mengkuang seraya menyandarkan badannya pada tiang seri di anjung. Aku tergamam jola dengan kesudiannya tidak memandang hina dengan keadaan rumahku lantas membuatkan aku terkejur sejenak dengan biji mata terkesip-kesip. Kehairanan dan bagai rasa tidak percaya. lakah yang tercongok bersimpuh itu SN Rahman Shaari dari Singgahsana Sastera? Berkali-kali aku menggenyeh-genyeh kelopak mata. Pipi ditampar-tampar. Nyata, ini bukan ilusi.
            “Maaf kalau kedatangan tanpa izin ini mengganggu keharmonian hidup kamu,” ujarnya sewaktu aku melabuhkan punggung di hadapannya. “Sebenarnya saya datang kerana ada hal mustahak,” tokoknya membuatkan aku jadi lebih terkesima. 
“Hal mustahak?” aku tertanya-tanya namun sempat mencapai tepak sireh lalu kuhulurkan kepadanya. Tepak sireh itu adalah kepunyaan ibuku yang sudah tua.
            “Kamu menulis lagi?” suaranya mencerlus lunak gesit mematikan lamunan singkatku. Kemamar juga setagal.
            “Sikit-sikit, Datuk!” ujarku terus terang. “Tapi, sejak dua tiga hari ini saya rasa macam patah semangat untuk meneruskan perjuangan di bidang penulisan. Banyak sangat kekecewaan yang menghenyak perasaan saya.”
            “Sebagai penulis, mesti terus menulis. Jangan majal idea. Tulis apa saja. Ingat, kita ini jurubicara sosial. Jangan takut tegakkan kebenaran!” ujarnya polos dan bersahaja. Panjang lebar pula hujahnya. Sambil itu tangannya sempat mencapai sehelai daun sireh, secalit kapur, dua piak pinang dan secubit gambir. Semua ramuan itu dilipat-lipat lalu dimasukkan ke dalam mulutnya.
            Melihat raut wajahnya yang mesra dan ikhlas itu, aku jadi bertambah berani untuk bersembang lebih panjang. Rasa gementar di dada yang tadinya begitu menggemirap kian melenyap entah ke mana. “Sebenarnya, dah agak lama juga saya tak menulis, Datuk!” ujarku setagal kemudian. “Entahlah, kadang-kadang rasa jelu jadi penulis. Dunia penulisan di tanah air kita ni serasa hanya berlegar sesama penulis saja. Masyarakat luar kurang peduli. Cerpen dan sajak penulis hanya dibaca oleh rakan-rakan penulis saja. Begitu juga buku...”     
“Jangan cepat putus asa. Terus tulis, jangan mandom. Cari saluran yang memperjuangkan kebenaran, yang penting idea kebenaran dapat dicegatkan!” cantasnya sembari tersenyum.
            “Errr, saya kurang faham maksud Datuk?” aku terkesip-kesip.
            “Zaman sekarang ni, masyarakat kita perlu disedarkan,” ujarnya.
            “Itu saya tahu, Datuk!” balasku. “Memang itulah yang selalu saya tulis. Saya tidak pernah lupa menyerapkan itu semua dalam setiap tulisan saya tapi yang menjadi masalahnya, sukar untuk mendapat tempat. Saya ni penulis kerdil, Datuk! Tak pandai nak tulis isu yang berat-berat. Sekadar isu biasa...”
            “Jangan pedulikan hakikat itu. Kamu mesti teruskan perjuangan di bidang penulisan. Tulis apa saja yang kamu suka dan kamu kuasai. Kalau karya kamu tak tersiar di media masa, kamu boleh tulis dan tampalkan di batang-batang pokok kepala sekitar kampung. Yang penting, usaha kamu sudah dilaksanakan. Sama ada masyarakat nak baca atau tidak, itu hak mereka,” jawabnya seraya tersenyum.
            Aku sekadar mengangguk nipis. Rasa bersemangat juga tapi rasa kerdil diri menyergap. Siapalah aku, aku bukannya seorang Sasterawan Negara.
            Untuk merealisasikan cadangan SN Rahman Shaari dari Singgahsana Sastera ini bukanlah sesuatu yang mudah, fikirku. Untuk menulis itu senang tetapi untuk menampal di setiap batang pokok kelapa itu yang terlalu sukar untuk dilaksanakan. Berapa banyakkah yang dapat aku tulis. Berapa banyakkah yang mampu aku salin? Kalau ada mesin pencetak sendiri, serasa tidak sukar untuk merealisasikan kerja-kerja ini. Argh… buang masa!
            “Cuba dulu!” ujarnya seolah-olah dapat menangkap apa yang berselirat di kepalaku. “Kita dianugerahkan Tuhan akal dan kudrat. Di mana ada usaha, di situ ada jalan. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Yang penting, kalau kita hendak, dengan daya dan usaha serta akal yang pintar, kita akan berjaya sebagai pengungkap realiti.”
            Aku terkedu. Dalam masa yang sama telinga gesit pula menangkap suara isteri di bilik sebelah. Zuriat nombor duaku memang sukar tidur. Kadang-kadang mengundang tidak sabar. Lebih-lebih lagi pada malam Jumaat.
            “Ingat, banyak kebenaran boleh ditegakkan melalui penulisan,”
            “Saya tahu itu, Datuk!”
            “Biar masyarakat sedar dan insaf. Selama ini mereka telah dijajah jiwa dan hati!” suara SN Rahman Shaari dari Singgahsana Sastera terus mencerlus, menyisih bingar dengung nyamuk yang galak di telinga. “Jadi penulis juga mesti berani, kita ada freedom of expression. Seperti yang telah saya katakan tadi, sama ada khalayak nak baca atau tidak, itu hak mereka. Apa feedback mereka, itu juga hak mereka. Yang penting kita hebahkan kebenaran, hebahkan semangat perjuangan dalam dada mereka supaya mereka dapat bangun dari alpa. Kita mahukan sikap masyarakat diubah dari negatif kepada positif.”
            “Tidakkah nanti dituduh orang gila kalau saya menampalkan hasil karya pada batang pokok kelapa?” aku sekadar ingin tahu.
            Dia tersenyum, menyemarak sinis. “Siapa lebih dulu yang gila? Kamu atau mereka? Kamu yang menampalkan hasil karya yang penuh dengan ajakan ke arah positif atau mereka yang terus alpa dengan sikap negatif?”
            “Maksud Datuk, mereka yang lebih gila itu yang mengajar saya jadi gila seperti mereka juga?”
            “Kamu tidak segila mereka. Mereka yang lebih gila sebenarnya kerana tidak mahu mengubah corak hidup,” nada lebih gerah. Figura tenang SN Rahman Shaari dari Singgahsana Sastera itu berubah pudar. Aku jadi serba salah pula.
            Lengking nyamuk gerapak di telinga, sungguh merimaskan. Bimbangkan nyamuk malaria atau kusta, tangan spontan mencapai kain selimut, gesit melibas kiri kanan.
            “Memang perlu dibunuh!” ujar SN Rahman Shaari dari Singgahsana Sastera sambil tersenyum sinis.
            “Nyamuk memang wajar dibunuh, Datuk! Penghisap darah dan pembawa penyakit,” balasku seraya tersenyum juga.
            “Bukan itu maksud saya,” tingkahnya.
            “Habis, apa maksud Datuk?”
“Maksud saya, perasaan takut terutama dalam usaha menegakkan kebenaran perlu dibunuh. Jangan jadi nyamuk, berdengung cukup hebat, dekat telinga menggerapak. Sekali tampar terus lenyap.”
            “Saya tak faham apa yang Datuk maksudkan?” aku terkesip-kesip. Tangan gesit menggaru perut betis, gatal merenyam.
            “Jangan ada sifat nyamuk dalam diri penulis,” ujarnya. “Itu merosakkan survival penulis. Takut untuk menegakkan kebenaran tentang hak dan maruah masyarakat, tentang wibawa alat-alat Yahudi, tentang kejujuran dalam kehidupan masyarakat, tentang soal moral sosial dan kepincangan depan mata. Ini perjuangan penulis,”
            “Jadi, Datuk mahu saya jadi penulis yang berani begitu?” aku ingin tahu.
            Dia tersenyum dan mengangguk tegas. “Ya, ungkapkan realiti, jana taw’iyya terhadap pentingnya al’adl wah ihsan. Biar kita dituduh penulis kurang ajar, tidak diberi gelaran agung di bidang penulisan asal kebahagiaan, keadilan dan kebenaran sebenar dapat ditegakkan.”
            Semangatku tiba-tiba murup menyala kembali. Ini salam perjuangan baru SN Rahman Shaari dari Singgahsana Sastera untukku. Biar nyamuk semakin galak dan miang mengiang di copeng tetapi aku sempat meneguh azam di hati. Aku akan cegatkan kebenaran, kebahagiaan dan keadilan melalui penulisan. Aku akan kembali aktif memegang pen dan kertas. Aku akan terus menghasilkan karya. Sekiranya tidak mendapat tempat di dada media massa, aku akan tampalkannya di batang-batang pokok kelapa sekitar kampung. Kalau seisi warga kampung tidak mahu membaca hasil karyaku, cukuplah seorang dua orang kampung yang membacanya. Aku tidak akan peduli lagi apa kata orang. Mereka berhak bersuara dan mengecam. Namun aku tetap berpegang kepada kata-kata SN Rahman Shaari.
            “Percayalah, saya akan ikut saranan Datuk tadi,” janjiku sebelum SN Rahman Shaari dari Singgahsana Sastera itu pamit.
Dia tersenyum dan melangkah gesit ke pintu. Aku turut tersenyum. Sejurus kemudian aku mendengar bunyi kepak kuda putih miliknya meredah melayah angkasaraya menuju ke Singgahsana Sastera.
            “Hei, apa yang abang tersenyum-senyum ni?” sayup-sayup satu suara tiba-tiba menyergap gegendang serentak pipiku ditampar lunak.
            Aku gesit terkejut dari tidur. Kemamar sejenak. Berpinau-pinau.
            “Perempuan mana pula datang dalam mimpi abang?” isteriku bertanya lagi, beriak cemburu. “Sampai tersenyum macam kambing!”
            Aku memandang ke kiri kanan. Bukan bilik tidur tetapi ruang anjung rumah. Terpinga-pinga aku. “Tadi SN Datuk Rahman Shaari dari Singgahsana Sastera datang jumpa abang,” ujarku, agak lirih.
            “Ah, merepeklah abang ni! Baru belajar nak jadi penulis, dah berangan macam-macam. Agaknya, abang ni bercita-cita nak jadi penulis terkenal macam Datuk Rahman Shaari tu! Cepatlah… tak usah melalut lagi. Hari dah pagi ni, abang tu nak ke kelas tuisyen pula,” isteriku mendengus lalu melangkah ke ruang dapur.
Aku cepat bingkas dari pembaringan. Melalui pintu tingkap yang terkuak lebar, aku melihat hari sudah pagi. Beberapa ekor ayam sudah berkeliaran di halaman. Beberapa ekor lagi sedang bertenggek di atas bumbung Wira 1.5GLi-ku. Aku mendadak geram kala melihat dua tiga ketul najisnya bersepah-sepah atas bumbung kereta tersebut. Sejurus kemudian, dengan hati yang betul-betul menyinga, aku mencapai tuala lalu terus ke bilik mandi. Ayam-ayam itu akan menjadi mangsa sebaik aku pulang dari kelas tuisyen nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA