Isnin, 15 Mac 2010

Kebangkitan Hari Ketiga

(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Dewan Kosmik terbitan Karangkraf Sdn Bhd dan telah diantologikan dalam Insyiqaq)

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

MAYAT itu ditemui oleh seorang wartawan. Ketika perang hari pertama masih berkecamuk. Tanpa uniform. Tanpa identiti. Kecuali tujuh lubang yang menembusi tubuhnya; di jidat, di dua telapak tangan, di kedua belah paha dan di kedua telapak kakinya. Luka pun tidak jelas. Mungkin kerana peluru. Boleh jadi kerana pecahan mortar. Wartawan itu menyeretnya sampai ke luar sempadan pertempuran dan menyerahkannya kepada Palang Merah Antarabangsa. Lalu malam tiba. Perang dihentikan. Dan dua jam kemudian pengumuman diberikan: tidak ada askar yang terkorban. Juga dari pihak musuh. Mayat itu masih tersimpan di dalam karung plastik di khemah Palang Merah Antarabangsa.

* * *

Wartawan itu masih bingung tentang siapa yang mati. Laporan pendek yang dia kirim lewat satelit belum sedikit pun menyentuh tentang korban. Dia hanya menuliskan berita tentang gambar-gambar yang dirakam.
Di antara ledakan mortar dan desing mesiu, tubuhnya terlentang ditiup angin gurun. Nyawanya mungkin melesat lewat tujuh lubang luka di tubuhnya. Dia tidak ada sebarang identiti, juga tidak punya uniform. Satu-satunya penanda hanyalah tulisan di bajunya yang berwarna kelam dan berbunyi; intifada. Tapi inilah korban pertama yang jatuh.
Mungkin mayat itu memang bukan askar. Tapi orang gila mana pula yang gentayangan di medan pertempuran kecuali wartawan-wartawan tanpa senjata yang mengadu nasib untuk akhbar? Kalau pun dia seorang wartawan, setidak-tidaknya, ada beberapa barang lain yang mampu ditemui bagi membuktikan siapa dia sebenarnya, walau sekadar kamera pecah yang tercicir di sekitar tubuhnya.
Atau mungkin dia pemerhati di kawasan perang?
Ini juga mustahil. Sejak sebelum amaran diumumkan, zon-zon perang sudah dibersihkan. Tidak boleh sesiapa pun berada di kawasan yang telah diisytiharkan wilayah perang. Semua mesti keluar.
Wartawan itu kini hanya mampu duduk memandang ke arah kerlip bintang dan sesekali peluru berekor api yang bersimpang-siur di sempadan pertempuran, dia masih kecewa dengan identiti yang tidak dikenali dari mayat pertama yang dia seret dari kawasan pertempuran tadi.
Beberapa persoalan yang telah dia susun sebagai out-line dari tulisannya menjadi tidak berguna. Satu-satunya harapan, hanyalah, apabila gambar-gambar itu terpampang, ada keluarga yang menghubungi pejabat sidang pengarang terdekat. Itu bermakna dia akan kehilangan berita eksklusif.
Tapi, siapa pun mayat itu, orang ramai tidak peduli. Di surat khabar, di majalah, di layar-layar televisyen. Bahkan khabar angin pun muncul. Ada yang curiga, negara yang menduduki wilayah mayat itu ditemui enggan mengakui sebagai askar mereka.
“Malulah kalau mereka mengakui askar mereka terkorban lebih-lebih lagi musuh belum menyatakan ada korban di pihak mereka.”
“Tapi kalau dilihat ciri-ciri fizikalnya, mayat itu jelas bukan dari pasukan itu. Cuba kalian perhatikan, dagunya, jidatnya, kulitnya, garis-garis tulangnya, lebih mirip dengan pasukan yang satu lagi.”
“Jangan-jangan dia askar yang diseludupkan atau menyusup ke sempadan pertempuran.”
“Lebih-lebih lagi dia ditemui tanpa identiti dan uniform. Iya, kan? Pasti dia askar yang diperintahkan untuk menyusup!” tukas yang lain.
Sementara, di meja makan pagi seorang Presiden, para menteri sedang membincang tentang perang yang sudah berjalan, Presiden yang berkuasa menyambutnya dengan dingin tentang korban yang ditemui; “Hanya seorang terkorban. Tidak perlu diperbesarkan! Dia tidak punya identiti. Dia tidak beruniform. Mungkin seorang gelandangan gila yang sengaja mencari mati katak.”
Tapi Maria memandang sedih pada gambar-gambar di akhbar itu. Dia teringat anaknya. Garis wajah mayat itu mungkin juga seusia anaknya; tiga puluh tiga tahun. Tidak sempat memberinya cucu. Tidak sempat kahwin. Hanya memberinya kesepian.
Kalau malam itu tidak terjadi huru-hara, mungkin anaknya itu masih hidup. Tapi, agaknya, dunia mahukan sebaliknya. Suara bingar di luar menyentaknya dari tanak nasi. Senja belum lagi lewat. Anaknya yang baru selesai mandi buru-buru disuruhnya melihat apa yang terjadi di luar rumahnya: “Cuba kamu tengok apa yang bising-bising tu!”
Dan pemuda berambut keriting itu gesit menuruti perintah ibunya. Sampai larut malam, sampai dini hari, anak itu tidak kembali. Terpaksa dengan kemampuan seadanya ibu itu mencari. Dia hairan, ketika, beberapa orang yang masih berjaga di luar rumah buru-buru menjauhkan diri darinya.
Dia sebenarnya ingin bertanya, apa yang telah terjadi dengan kampungnya? Atau, adakah mereka melihat anaknya? Tapi niat itu dikurungkan kerana mereka segera masuk ke dalam rumah masing-masing dan menutup pintu rapat-rapat serta memadamkan lampu yang sedang menyala di dalamnya setelah mendengar derap kakinya menghampiri.
Maria hanya dituntun oleh jamung di tangannya dan jejak-jejak debu di jalan. Sehingga dia keluar dari kampung, memasuki belantara tebal. Dan angin yang hamis menyeretnya pada perbukitan batu-batu. Dia mempercepat langkahnya ketika beberapa percik darah yang belum kering benar membasahi telapak kakinya.
Perasaannya mulai risau. Bayangan buruk tentang anaknya menyesaki dada. Sampai ke puncak bukit itu dijejakinya dan dua kujur tubuh dalam bayang-bayang wajah bulan itu tertangkap matanya. Namun dia tidak mampu untuk berlari.
Dia tidak menjeritkan nama anaknya, sekadar tangannya yang tidak memegang api jamung itu menangkap dingin di tubuh yang terkapar dan berselimutkan darah yang telah kering. Dia hanya mampu menggigit bibir ketika wajah yang dimandikan oleh embun itu semakin pucat setelah debu disingkirkan.
Tapi kenapa anaknya mati? Maria hanya mampu menangkap sunyi perbukitan. Lalu dia tersedar pada kujur tubuh lainnya, yang beberapa jengkal saja jaraknya. Dia mengingsut tubuhnya secara merangkak.
Dan perempuan itu, yang juga telah beku wajahnya, mulai dikenali. Umayi, perempuan pelacur di pondok sudut kampung. Dia sering melihat perempuan itu sendirian mencuci pakaian di kali. Sebab tidak ada orang kampung yang bersedia bersamanya. Hanya desas-desus yang sering dia terima, bila malam tiba, satu, dua lelaki kadang-kadang bergiliran mendatangi pondok itu.
Dia tidak peduli itu. Dia hanya kesal, kalau-kalau, anaknya ikut juga mendatangi perempuan itu. Tapi, kini, anaknya dan pelacur itu sama-sama sudah menemui ajal. Di sini. Di bukit ini. Apa yang sebenarnya telah terjadi? Maria tidak mampu menjawabnya. Dia hanya sempat menyesali, andai anaknya tadi tidak disuruhnya melihat apa yang terjadi, pastilah dia tidak akan mati di bukit ini.
Anak itu terlalu patuh pada ibunya.
Lewat dingin pagi, dan lolong anjing-anjing liar, Maria tersedar untuk tidak terus membatu. Mayat anaknya dan pelacur itu kini harus dibawa pulang untuk dikebumikan. Tapi bagaimana? Dengan siapa? Orang-orang di dusun telah menjauhkan diri mereka. Maria ingin sekali menangis tetapi dia tiba-tiba teringat, di lereng selatan bukit ada sebuah gua yang boleh membantu.
Perlahan-lahan mayat-mayat itu diseretnya ke sana. Lalu dengan batu, mayat-mayat itu ditimbunnya agar tidak diratah binatang-binatang hutan. Dan sejak itu, Maria tidak kembali ke rumahnya lagi. Dan ingatan yang memang tidak pernah dilupakan itu, kini, pagi ini, membuhul kembali. Wajah di akhbar itu, mirip benar wajah anaknya, bukan hanya garis wajahnya yang menunjukkan usia. Tapi bulu matanya yang lengkung. Pelupuk matanya yang seperti lelap. Dagunya.
Maria tidak akan melupakan anaknya walau dua ribu tahun lampaunya peristiwa itu berlalu.

* * *

Hari ketiga. Mayat-mayat mulai dikirim pulang. Dalam beg-beg plastik. Di sempadan pertempuran bergerapak. Wartawan itu mengabadikannya dalam gambar. Dia sejenak tertegun pada keanggunan. Ada rasa masygul dalam dirinya. Dia bukan askar. Dia memang sebahagian dari orang awam. Tapi, andai sebutir peluru yang membunuhnya di medan perang itu, dia tidak terlepas dari gelaran bunga bangsa.
Dia teringat mayat yang dia temui pada hari pertama perang. Lepas dini hari, semalam, dengan dua petugas palang merah, mereka menguburkannya tanpa sebarang upacara. Bahkan, dua petugas itu menggerutu. Mereka menyesali datangnya mayat itu yang hanya menambah tugas.
Wartawan itu, entah kenapa, ingin melihatnya sebelum kembali lagi ke wilayah pertempuran. Dia masih ingat di mana mayat itu dikuburkan. Beberapa meter di sebalik bukit pasir di belakang khemah pasukan palang merah, dengan sebuah tanda dari potongan batang kaktus, dia ingin sekali melihatnya. Dini hari semalam, mereka menguburkannya tanpa sepatah pun doa.
Tiba di tempat itu wartawan tersebut hanya mampu ternganga. Tidak ada gundukan tanah. Tidak ada batang kaktus tanda sebuah kubur. Wartawan itu hanya tertawa kerana baru tersedar dia sedang berada di wilayah yang subur kepercayaan pada kebangkitan kematian di hari ketiga.
“Percayalah Bush, semua itu hanya karut, belaka!” katanya sinis.
Lalu diraihnya kamera, sebab di kebiruan langit gurun, peluru-peluru berseliweran dengan bunga-bunga api seperti menandakan kemeriahan sebuah pesta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA