Ahad, 14 Mac 2010

Prioriti Amalan Yang Berterusan

SMAHADZIR

Al-Quran menjelaskan, sebagaimana yang dijelaskan oleh sabda Rasulullah s.a.w, bahawa sesungguhnya perbuatan manusia di sisi Allah s.w.t itu memiliki berbagai-bagai tingkat atau tahap. Ada perbuatan yang paling mulia dan paling dicintai oleh Allah s.w.t daripada perbuatan yang lainnya. Dalam soal ini, Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud: ‘Apakah (orang) yang memberi minuman kepada orang yang mengerjakan haji dan mengurus masjid al-Haram, kamu samakan dengan orang yang beriman kepada Allah s.w.t dan hari kemudian serta berjihad di jalan Allah s.w.t? Mereka tidak sama di sisi Allah s.w.t, dan Allah s.w.t tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim. Orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah s.w.t dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah s.w.t; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan.’ (at-Taubah: 19-20)

Dalam sebuah hadis sahih disebutkan, ‘Sesungguhnya iman itu ada enam puluh lebih cabang - atau tujuh puluh lebih – yang paling tinggi di antaranya ialah ´la ilaha illa Allah´, dan yang paling rendah ialah menyingkirkan penghalang yang ada di jalan.’

Hal ini menunjukkan bahawa iman itu memiliki berbagai-bagai nilai dan tingkat. Sehubungan itu, disebutkan dalam sebuah hadis sahih yang bermaksud: ‘Amalan yang paling dicintai Allah s.w.t adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit demi sedikit.’

Bukhari dan Muslim meriwayatkan dan Masruq berkata: ‘Aku bertanya kepada Aisyah ra: ´Amalan apakah yang paling dicintai oleh Nabi s.a.w?´ Aisyah menjawab: ´Amalan yang berterusan.´ Diriwayatkan daripada ´Aisyah ra bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w masuk ke rumah waktu itu Aisyah sedang bersama dengan seorang perempuan. Rasulullah s.a.w bertanya: ´Siapakah wanita ini?´ Aisyah menjawab, ´Dia sangat terkenal dengan solatnya (iaitu sesungguhnya dia banyak sekali melakukan solat).´ Rasulullah s.a.w bersabda, ´Lakukanlah apa yang kamu mampu lakukannya. Demi Allah, Allah tidak bosan sehingga kamu sendiri yang bosan.´

KEUTAMAAN AMALAN BERMANFAAT

Di antara keutamaan yang sebaik-baiknya diterapkan dalam pekerjaan manusia ialah keutamaan terhadap perbuatan yang banyak mendatangkan manfaat kepada orang lain. Sebesar mana manfaat yang dirasakan oleh orang lain, sebesar itu pula keutamaan dan pahalanya di sisi Allah s.w.t. Oleh halyang demikian itu, jenis perbuatan jihad adalah lebih afdal daripada ibadah haji, kerana manfaat ibadah haji hanya dirasakan pelakunya, sedangkan manfaat jihad dirasakan oleh umat Islam yanglain. Sehubungan itu, Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud: ´Apakah (orang) yang memberi minuman kepada orang-orang yang mengerjakan haji dan mengurus masjid al-Haram, kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah s.w.t dan hari kemudian serta berjihad di jalan Allah s.w.t? Mereka tidak sama di sisi Allah s.w.t, dan Allah s.w.t tidak memberikan petunjuk; kepada kaum yang zalim. Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah s.w.t dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah s.w.t; dan itulah orang yang mendapat kemenangan.´ (at-Taubah: 19-20)

Abu Hurairah r.a berkata, ‘Ada salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang berjalan di suatu tempat yang memilih sumber mata air kecil, yang airnya tawar, dan dia merasa kagum kepadanya, kemudian berkata, ´Wah, jika aku dapat memencilkan diri daripada manusia, kemudian tinggal di tempat ini! (iaitu untuk beribadah). Namun, aku tidak akan melakukannya sebelum aku meminta izin terlebih dahulu daripada Rasulullah s.a.w´. Maka baginda bersabda, ´Jangan lakukan, kerana sesungguhnya keterlibatanmu dalam perjuangan di jalan Allah s.w.t adalah lebih utama daripada solat selama tujuh puluh tahun. Tidakkah kamu gembira apabila Allah s.w.t mengampuni dosamu, dan memasukkan kamu ke dalam syurga. Berjuanglah di jalan Allah s.w.t. Sesiapa yang menyingsingkan lengan baju untuk berjuang di jalan Allah s.w.t, maka syurga baginya.’

Atas dasar itulah, dalam beberapa hadis, ilmu pengetahuan dianggap lebih utama daripada ibadah, kerana manfaat ibadah hanya kembali kepada pelakunya sedangkan manfaat ilmu pengetahuan adalah untuk manusia yang lebih luas. Di antara maksud daripada hadis-hadis tersebut adaah seperti yang berikut:

1. Keutamaan ilmu pengetahuan itu ialah lebih aku cintai daripada keutamaan ibadah, dan agamamu yang paling baik adalah sifat warak.
2. Kelebihan orang yang berilmu atas orang yang beribadah ialah bagaikan kelebihan bulan purnama atas seluruh bintang gemintang.
3. Kelebihan orang yang berilmu atas orang yang beribadah ialah bagaikan kelebihan diriku atas orang yang paling rendah di antara kamu.
4. Kelebihan ilmu pengetahuan itu akan bertambah lagi apabila orang yang berilmu itu mahu mengajarkannya kepada orang lain.

Atas dasar itu, para fuqaha mengambil keputusan: ‘Sesungguhnya orang yang hanya menyibukkan diri untuk beribadah saja tidak dibenarkan mengambil zakat, berbeza daripada orang yang menyibukkan diri untuk mempelajari ilmu pengetahuan. Kerana sesungguhnya tidak ada konsep kerahiban di dalam Islam, dan orang yang menyibukkan dirinya dalam ibadah hanya untuk kepentingan dirinya sendiri. Sedangkan orang yang menyibukkan diri dalam mencari ilmu pengetahuan adalah untuk kemaslahatan ummah.´

Sesungguhnya, wanita turut berperanan penting dalam usaha pembangunan ummah, sama pentingnya dengan peranan golongan lelaki. Malahan, di dalam beberapa perkara tertentu, ´usaha dan jasa´ mereka lebih berharga. Misalnya, sebagai suri teladan di dalam alam rumah tangga; membesar dan mendidik anak-anak agar menjadi generasi yang berguna bagi agama, negara dan bangsa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA