Sabtu, 18 Disember 2010

Perintah Mengadap Kaabah

SMAHADZIR

NABI Muhammad SAW telah bertindak wajar dan adil dalam Operasi Nakhlah, iaitu satu serangan pihak Islam terhadap rombongan dagang pihak Quraisy yang tidak sepatutnya berlaku disebabkan pengharaman perang dalam bulan-bulan haram. Baginda membayar diat atas kematian Amru bin al Hadrami yang mati akibat terkena panah daripada pasukan umat Islam, membebaskan tawanan dan menahan daripada harta rampasan dibahagi-bahagikan.

Meskipun telah diturunkan ayat yang menafikan fitnah-fitnah pihak Quraisy, namun musuh Islam tetap menyebarkan kepada seluruh pelosok alam bahawa orang Islam sudah membolehkan berperang dalam bulan haram. Fitnah tersebut berterusan apabila umat Islam diperintahkan mengubah arah kiblat mereka daripada Baitul Maqdis ke arah Mekah. Namun perkara tersebut boleh dijelaskan dalam aspek realiti yang berlaku pada masa itu

Semasa di Mekah, Nabi Muhammad sembahyang menghadap ke arah Masjid Al-Aqsa, Baitul Maqdis dengan kedudukan Kaabah berada di hadapan baginda. Dengan lain perkataan baginda menghadap arah kiblat itu kepada kedua-dua kedudukan selari Kaabah dan Baitul Maqdis sekali gus. Namun, apabila baginda berhijrah ke Madinah dengan kedudukan Baitul Maqdis di utara Madinah dan Mekah. Maka, Mekah kini berada dalam kedudukan selatan dari arah Madinah.

Masjid Al Aqsa, Baitul Maqdis


Jadi, bayangkan kesukaran kepada baginda dan umat Islam bagi menjadikan kedua-dua kedudukan Baitul Maqdis dan Mekah berada dalam satu kiblat. Justeru, baginda sangat berharap agar kedudukan kiblat tersebut dapat diubah dengan baginda lebih memilih kedudukan Mekah sebagai kiblat terbaru. Baginda sentiasa tertunggu-tunggu bilakah Allah akan mengubah kiblat dari Masjid Al Aqsa, Baitul Maqdis itu kepada Kaabah di Masjidil Haram, Mekah.


Akhirnya pada bulan Syaaban (sesetengah catatan mengatakan bulan Rejab) tahun kedua Hijrah bersamaan Februari tahun 624 Hijrah, Allah memerintahkan kiblat umat Islam diubah dari kedudukan Masjid Al Aqsa itu ke Kaabah. Peristiwa itu tentunya berlaku di Masjid Al Qiblaitain yang pada asalnya dikenali sebagai Masjid Bani Salamah yang kini kita boleh temui di sebatang jalan menuju ke Universiti Al-Madinah berdekatan sebuah istana Diraja Arab Saudi berhampiran Wadi Aqi di bandar Madinah. Ia beberapa kilometer dari Masjid Nabawi dan dianggap antara masjid tertua di dunia.


Ketika itu baginda sedang menunaikan solat fardu Zohor di Masjid Bani Salamah itu secara tiba-tiba, iaitu ketika baginda berada dalam rakaat kedua, turunlah ayat dari surah al-Baqarah ayat 144, yang bermaksud: Sungguh kami (sering) melihat mukamu menengadah ke langit, maka sungguh kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram dan di mana saja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Al Kitab (Taurat dan Injil) memang mengetahui, bahawa berpaling ke Masjidil Haram itu adalah benar dari Tuhannya, dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang mereka kerjakan.’

Kaabah di Masjidil Haram

Sejurus menerima ayat ini, baginda yang sedang solat itu terus mengubah arah kiblat baginda dari Masjid Al Aqsa ke arah Kaabah di Masjidil Haram. Sejak itu Masjid Bani Salamah dikenali sebagai Masjid Al Qiblaitain bererti Masjid Dua Kiblat, di mana terdapat padanya dua mihrab yang kiblatnya masing-masing mengadap Masjid Al-Aqsa dan Kaabah di Mekah. Namun, menerusi ayat tersebut jelas Allah sekali lagi menempelak pihak Quraisy yang terus menabur fitnah terhadap umat Islam ekoran pertukaran arah kiblat itu. Mereka berkata: ‘Adakah ini satu agama, sekejap menghadap Baitul Maqdis. Sekarang sudah berubah menghadap Kaabah pula.’

Hampir sebulan selepas peristiwa besar itu maka berlakulah apa yang sangat diingati oleh umat Islam, iaitu perang pertama dalam Islam iaitu Perang Badar. Sebelum perang, berlaku pelbagai peristiwa dan yang paling utamanya perintah mewajibkan umat Islam berpuasa sepanjang bulan Ramadan. Iaitu bulan Ramadan yang kedua (tahun kedua) selepas hijrah baginda ke Madinah.

Memahami Ketuanan Melayu

SMAHADZIR

ISU ketuanan Melayu menjadi polemik yang berterusan kini. Penting bagi semua rakyat terutamanya generasi remaja memahami perspektif ketuanan Melayu supaya ia dapat membantu memahami faktor sejarah dan budaya orang Melayu. Ketuanan Melayu adalah suatu slogan politik yang terkait dengan sejarah dan budaya Melayu di Tanah Melayu. Daripada sudut sejarah, umum mengetahui bahawa sama ada perkataan ‘Malaya’ atau ‘Tanah Melayu’ atau ‘Malaysia’ itu sendiri berurutan dengan akar kata Melayu atau Malay. Kenyataan sejarah tidak pernah berdusta. Apa yang tertulis dalam buku sejarah terhadap Tanah Melayu asalnya adalah milik orang-orang Melayu. Perkembangan sejarah selepasnya menjadikan Tanah Melayu atau Malaya atau Malaysia milik pelbagai kaum.


Secara budaya, Tanah Melayu diduduki oleh orang-orang berbudaya Melayu seperti mana orang-orang Cina yang menamakan diri mereka Baba dan Nyonya melakukan asimilasi terhadap budaya Melayu. Menariknya mereka tidak dipaksa untuk memeluk agama Islam, walaupun budaya Melayu terkait dengan agama Islam. Budaya Melayu amat terkait rapat dengan ajaran Islam. Budaya Melayu sifatnya dinamik, ia boleh menampung pengaruh budaya lain asal sahaja tidak mencacatkan kemelayuannya.


Budaya Melayu sifatnya dinamik, ia boleh menampung pengaruh budaya lain asal sahaja tidak mencacatkan kemelayuannya. - Gambar hiasan


Sebab itu pada asasnya kebudayaan kebangsaan ditakrifkan sebagai kebudayaan Melayu di mana teras kebudayaan itu adalah Islam dan boleh diserapi budaya-budaya lain yang didapati sesuai. Dinamiknya sejarah Melayu dan Malaysia ialah kerana ia tidak statik dengan perkembangan politik semasa.


Sebelum merdeka apabila disebut Tanah Melayu sememangnya adalah milik orang-orang Melayu. Jika ditanya siapakah yang memiliki Tanah Melayu ini maka bukti sejarah dan kenyataan budaya akan menyatakan ia adalah milik orang-orang Melayu. Yang paling asas dalam fakta sejarah ini ialah Tanah Melayu dan negeri-negeri Melayu diperintah di bawah kerajaan Melayu.


Dunia Melayu adalah luas, tidak sahaja merangkum Tanah Melayu tetapi juga di luar Tanah Melayu. Akibat perkembangan politik, faktor sejarah berubah. Walaupun ia berubah fakta sejarah tidak boleh dibohongi seperti juga orang tidak boleh membohongi bahawa Tanah Besar China adalah milik orang-orang Cina. Seperti juga Tanah Besar India adalah milik orang-orang India. Kalau adapun kelompok minoriti yang datang dan tinggal menjadi warganegara berkenaan, ketuanan bangsa-bangsa tetap milik bangsanya asalnya.


Sokongan jawatankuasa perlembagaan membuat perakuan untuk memberi status kewarganegaraan kepada sebahagian besar orang Cina dan sebahagian orang India untuk menjadi warga Tanah Melayu sebagai syarat kemerdekaan. Ini diterima oleh rombongan kemerdekaan ke London dan juga menjadi sebahagian daripada peruntukan perlembagaan bagi negara Tanah Melayu yang kemudiannya menjadi Malaya dan Malaysia. Oleh itu faktor politik menyebabkan demografi atau kependudukan orang Tanah Melayu mengalami perubahan. Perubahan itu diterima sebagai sesuatu yang selari dengan perlembagaan dan undang-undang.


Bagaimanapun, secara psikologi orang Melayu tetap merasakan bahawa negara ini milik mereka, dan tidak pula menjadi masalah dalam proses masa dan perubahan orang-orang bukan Melayu merasakan Malaysia miliknya. Justeru, maksud ketuanan Melayu itu sifatnya lebih bersifat sejarah atau historical dan mempunyai elemen-elemen psikologi (psychological).


Dalam tradisi Islam, menyebut nama bangsa tidaklah salah kerana ia sudah ada dalam Al-Quran (surah al-Hujurat: 13) tetapi bangsa-bangsa ini perlu melalui proses lita’arafu atau saling mengenali antara satu sama lain. Kekuatan budaya Islam yang ada pada orang Melayu boleh dipelajari. Kekuatan dan tamadun orang bukan Melayu boleh juga diambil dan ia boleh melahirkan satu sinergi yang lebih kuat dan kukuh. Asas ini patut disuburkan dalam sistem pendidikan negara, kegiatan ekonomi dan muafakat politik. Ini supaya akhirnya etika yang baik dengan nilai-nilai murni menjadi rujukan utama dalam proses memperkasa Malaysia sebagai sebuah negara maju dan aman damai.

Jumaat, 17 Disember 2010

Sejarah Luka Yang Palsu Dan Lara

Adat Melayu itu ramah bersahabat,
namun waspada pada ciptaan helah tipu muslihat,
Melayu itu diajar menenun lembar persahabatan,
namun tidak akan sekali-kali terlupa pada bilah gunting dalam lipatan,
Melayu itu dididik membenci khabar fitnah dina nan karut,
namun tetap berhati-hati pada hadirnya musuh dalam selimut,
Melayu itu pemurah ketika memberi,
namun andai menerima jangan sampai mengemis diri,
Melayu itu kayanya pada seluhur budi,
miskinnya dari sifat meninggi diri,
Melayu itu pedomannya merendah hati tatkala diri dijunjung,
mulia hati apabila jasa murni sudah mula tinggi disanjung.
Bukan nian di hati ingin menjala prasangka,
kepada pedagang Benggali Putih itu wahai Datuk Bendahara,
tapi andai sumbang langkah dan terlalu tinggi empunya,
bukankah kita dapat menerka kebimbangan,
barangkali pada suatu hari nanti mereka bersedia memasang perangkap,
untuk menjerat kedaulatan bumi Melaka,
dengan mencipta kesulitan dan angkara.

Andai ada kekhilafan laku pada sejalur sejarah,
yang masyhur peradabannya sebuana,
inilah satu daripadanya,
pembunuhan Hang Jebat menjadikan dirinya,
tak ubah seorang sang pidana,
yang terpasung dalam jeriji keadilan yang marba,
tanpa belas dan pertimbangan nyata,
sarat duka dalam lipatan peristiwa yang mematahkan tangkai jiwa,
dirinya seperti seorang pidana yang terpenjara,
di kurungan keadilan yang tak dipancangkan pada mohornya,
derhakanya di mata jelata,
adalah amukan bermaharajalela,
meski hanya memperjuangkan keadilan,
yang menjauh dari tampuknya.

Dialah sang pidana yang terpenjara
dalam mainan emosi dan runtun hatinya,
luluh jiwa berwalang rintihnya,
betapa apa jua akan dikorbankan demi sebuah keadilan,
walau nyawa dan jiwa menjadi galang gantinya,
betapa apa jua dugaan yang menimpa,
adalah lumrah seorang pejuang kebenaran,
yang sentiasa cuba menggoyahkan paksi kepalsuan,
atas nama kesejahteraan,
betapa apa jua bentuk hukuman yang akan dihadapi,
perlu diredhai lantaran percaya,
meski pejuang kebenaran itu mati,
hakikatnya dia akan hidup seribu tahun lagi.

Demi Melaka dan kemasyhurannya,
hambalah Dang Baru - srikandi seorang pidana,
yang sering menangis sambil membebat berbondong derita,
di pasungan sejalur sejarah luka yang palsu dan lara.

SMAHADZIR
Bandar hilir Melaka
Januari 2006


sajak:
JINGGA

Telah kubawakan jingga yang kucuri dari senja
untuk mengganti warna bajumu yang telah lusuh kerana dosa
telah kubawakan jingga yang kucuri dari purnama
untuk mengganti warna kerudungmu yang pucat kerana dunia
usah kau fikirkan senja tanpa jingga
ia akan mengalah sewaktu lengkung malam mulai rebah
tidak usah kau fikirkan purnama tanpa jingga
bukankah tidak ada yang merindukan purnama itu
bukankah lebih baik jika jingga itu kucuri saja
lalu kujadikan hijab untukmu
biarlah purnama kehilangan jingga
tidakkah cahayanya telah redup oleh gemerlap lampu kota
jika jingga yang kuhantar
tidak cukup untuk membuatmu berbinar
tidak akan kucuri lagi jingga dari sang fajar

SMAHADZIR
21 Januari 2006

Sekarang Kita Memberang

(Puisi yang dibaca sempena Festival Budaya anjuran Negeri Selangor, MDKL, MKN dan PESAT di Pantai Morib 12 Januari 2010)


Sekarang kita memberang,

kerana mereka begitu lantang,

mempersoalkan hak kita dan Raja-raja berdaulat,

lebih biadap lagi,

mereka mencabar kesucian Islam;


- isu kalimah Allah,

- mempersendakan laungan azan,

- beri tazkirah dalam masjid,

- membaca petikan Al-Quran di pentas politik,

- menghumban kepala babi di masjid,

- menghina Allah dan Nabi Muhammad dalam Facebook dan Internet,

- mempersendakan solat,

- menderma wang judi,

- menggunakan wang zakat,

- menyaman kerajaan kerana tak membenarkan...

kad pengenalan Lina Joy dibuang aksara Islam,

- menuduh Islam sebagai pengganas,

- tindakan ethnic cleansing

dan pelbagai lagi.


Semua perlakuan mereka semakin mencuar,

ketika ini, undi mereka adalah ‘Tuhan’,

kita begitu menyembah mereka supaya hulurkan undi,

bapa kita pula terpaksa mengikut rentak,

dengan berlembut terhadap mereka,

dan semua pihak yang mencabar Islam dibiarkan semakin biadap,

perkembangan ini masih dapat mendiamkan kita,

tetapi apakah mereka benar-benar fikir,

kita diam bererti kita pengecut?

Kerana bapa dan pemimpin politik Islam,

tak mampu mempertahankan kesucian Islam,

maka sebagai rakyat biasa,

sebagai hamba kepada Allah,

pengetua di Johor dan di Kedah,

dua beradik membakar gereja,

dan ramai lagi telah bertindak sendiri,

sifat amarah kita meningkat,

setiap kali mereka menghina Allah, Rasul dan Islam,

kenapa tidak dahulu pengetua itu bertindak sedemikian?

kerana dulu bapa adalah jaguh mempertahankan Islam,

tapi kini bapa sudah terkulai di kaki mereka,

dulu bapa begitu tegas terhadap mana-mana individu,

yang mengancam dan memprovokasi agama lain.


Jika mereka tak mulakan dulu tindakan provokasi itu,

apakah kita yang lemah lembut ini akan memulakannya?

lebih malang lagi kita yang disiat-siat kesabarannya,

setiap kali orang kita atau akhbar kita mengeluarkan kenyataan,

kita akan dituduh rasis,

sedang yang sebenarnya rasis adalah mereka.

Tepuk dada, tanyalah selera,

kenapa sekarang kita memberang?

tapi percayalah,

pilihan dalam tangan kanan kita adalah yang terbaik,

marilah kita sama-sama belajar menghormati undang-undang,

yang sudah termaktub dan tertulis hak kita,

dan marilah kita menghormati kesucian semua agama,

jika tidak, buruk padahnya.


SMAHADZIR,

Taman Damai, Banting

2010

Labuhan Cinta Terakhir

Betapa indah sebuah nama yang ingin disirnakan, terlalu lama terpahat dalam arca kehidupan. Wajah itu mengirap dan menyapa, tersenyum, mengusik, ketawa, serius, sedih atau memberi cerlungan redup yang maha aneh, yang hanya dia saja dapat berbuat demikian.

Milan Zarhan dilambung ombak gelora gelisar. Dia lemas terkapai dalam arus kenangan yang ingin disirnakan. Berpintal-pintal. Kolam rasanya baru mulai tenang, kenapa dikocaki alunnya dengan mawar merah ini?


Telefon di meja sisi melengking tiba-tiba. Gagang gesit dicapai lalu ditekapkan ke copeng telinga,

“Hello!”

“Hello, itu Milan Zarhan?”

“Ya, cakap! Siapa di sana?”

“Aku… Armiya! Armiya Sanders, ingat lagi?”

“Hai, mana tahu aku di London ni?”

“Dari Marta Francisca!”

Milan Zarhan tergamam jola, Kejur. Nama itu lagi.

Memang Armiya Sanders mengenali Marta Francisca. Sering bertemu di Kedutaan Malaysia di London, akhirnya jadi rakan rapat. Marta Francisca sering ke kediaman Armiya Sanders. Kadang-kadang ke Hyde Park bersama sembari menceritakan kisah tentang tanah air.

Bagi Milan Zarhan, Armiya Sanders adalah teman lama sewaktu di Kuala Lumpur dulu. Terlalu bertuah kerana berwajah cantik. Tidak selesai kuliah, terus dilamar. Sekarang sudah punya dua anak, berkahwin dengan ataseMalaysia di London. Dia mula berkisah dengan suara yang sesekali pelat garau namun manja. MengucapkanWelcome to London dan entah keberapa kali menjemput Milan Zarhan ke rumah.

Milan Zarhan terhibur pada telatah dan kemanjaan Armiya Sanders. Pada suaranya yang masih belum berubah walau lama tidak berjumpa. Atau pada suara si kecil yang riuh rendah, yang sesekali cagun bergerapak dalam gagang telefon, yang menjadi lambang pada sebuah kehidupan bahagia? Mereka berbicara panjang tentang itu dan ini, juga tentang Marta Francisca.

“Okeylah, aku akan datang!” Begitu yang dijanjikan kepada Armiya Sanders.

Betapa bahagianya anak gadis corporate warrior itu, fikirnya. Memang Armiya Sanders patut bahagia, seolah-olah kebahagiaan yang dikecap dari tempayan yang berisi air madu melimpah ruah. Datuk Ikram, atase punya kewibawaan, mandiri sebagai suami dan dua orang anak, suami penyayang, anak-anak yang comel dan nakal metah, hidup pula di kota London sudah cukup untuk menjadi sumber kebahagiaan dan nyanyian hidup.

Dan dia?

Diakah seorang penggubah lagu atau komposer yang terlalu meminta daripada hidup ini lantas tidak dapat merealisasikan simfoni yang diimpikan? Begitu? Mungkin. Yang pasti, dia masih lagi mengejar impian. Seorang lelaki yang bergelar remaja hingusan yang masih lagi mencari hala tuju kehidupan yang entah bagaimana. Menjengah dan beradu di kota London sekadar untuk menggarap ilmu kemudian pulang ke tanah air untuk mencurahkan bakti. Lebih dari itu? Dia belum tahu.

Mawar merah terang yang geradang warnanya itu dibawa keluar dari bilik. Menuruni tangga apartement penginapan dan terus mendapatkan tube untuk ke Knightsbridge. Merentasi Trafalgar Square yang juga digelar William Pitt the Elder sebagai paru-paru London itu dia terbayangkan Marta Francisca di sisi dan mereka berjalan berpimpinan tangan. Fikiran Milan Zarhan terus sesak lebih-lebih lagi tatkala merenung mawar merah di ribaan.

Mawar merah?

Apa yang dimaksudkan dengan menghantar jambangan mawar merah ini? Lambang hari-hari yang sudah berlalu atau lambang cinta yang akan kembali menjelma atau cuba disuburkan? Dapatkah geradang warnanya ini menyerikan kembali rasa cinta yang bagaikan di awangan itu?

Kenapa hari ini mahu berbicara melalui mawar merah yang bisu ini? Kenapa masih lagi mengharapkan cinta sedang cinta itu umpama debu yang kian menghilang ditiup angin? Akukah orangnya yang tidak tahu menghargai indahnya warna mawar ini? Berbondong soalan terpacul, bagai berperang sesamanya. Sedang tube terus bergerak gesit seolah-olah mahu meninggalkan segala keresahan dan persoalan di dada Milan Zarhan.

Suara lunak Celine Dion dari corong radio menyisih sapaan wayu dingin yang menjerba dari luar. Milan Zarhan agak terhibur, sejenak dia terlupakan jambangan mawar merah di atas ribaan. Betapa terasa ritma dan lirik lagu itu begitu mengusik nubari. Lunak mengelus dengan sentuhan seni di hati persis tali temali pada sebuah sitar yang dipetikkan perlahan, menggetarkan irama kepedihan. Engkaukah sebuah lagu dari dekad silam, yang indah tetapi memilukan?

Knightsbridge. Dari jauh sudah dapat dilihat kemewahannya. Hebat bagaikan bernyawa. Megah dengan Harrods, gedung terkemuka, tersohor di dunia. Menyusun kaki ke perutnya, perasaan didakap mesra keindahan seni reka bentuk Edward. Benar kata Armiya Sanders:

“Knightsbridge has been a favourite shopping area for Londoners for over the century. Here is London’s largest, oldest and most famous store Harrods, a world of its own.The newer Harvey Nichols futher along Knightsbridge on the corner of Sloane Street is a rival to Harrods with exellent designer fashion departments. Plenty of small fashion and show shops are here, but for a shops of more character turn into expensive but chaming Beauchamp Place and Walton Street. Sloane Street has a number of good fashion boutiques at the Knightsbridge end. Look for Kenzo and Joseph/Jap and the Laura Ashley shop in Harriet Walk.”

Ya, di sini dunia fesyen yang mempersonakan. Segalanya mengagumkan.

“Kamu memang hipokrit, Zarhan!” suara Marta Francisca bagaikan terdengar, seolah di sisi. Tetapi di sisi hanyalah jambangan mawar merah.

“Jangan terlalu pentingkan diri sendiri, Zarhan!” suara itu meletus di pekarangan Trafalgar Square. Angin musim dingin yang himpang berbahang pada pagi itu bagaikan mahu berhenti kerananya. Wajah yang selalu tenang kini menjadi sedikit jerau, mata yang nyalar redup manja begitu tajam mencerlung menikam wajah Milan Zarhan.

Milan Zarhan bungkam.

“Jangan sangka aku ni barang mainan yang kamu boleh permainkan sesuka hati kamu, Zarhan!” ujarnya lagi setelah Milan Zarhan bertagal membungkam. “Buat apa bersusah payah memerah kotak fikir berlanjutan. Kamu sendiri tahu, itu tak mustahil. Tak mustahil untuk kamu mencintai perempuan seperti aku. Aku tak punya apa-apa ikatan dengan Datuk Robert Eng. Aku hanya perempuan simpanannya saja,” Marta Francisca melontar geram. Entah kali yang ke berapa dia melontarkan pandangannya itu dengan harapan Milan Zarhan faham duduk perkara yang sebenar.

“Masih ada lagi perkara yang terpaksa aku fikirkan. Nak bercinta memang senang. Nak mencurahkan kata-kata cinta memang mudah, semudah rel tube meluncur di landasan. Aku harus berpijak di bumi nyata. Aku masih lagi bergelar pelajar atau mahasiswa, Marta! Kamu tak pernah merasai keperitan hidup kerana kemewahan dan darjat ningrat kamu!”

“Itu bukan soalnya, Zarhan! Aku tak kisah dengan apa yang kamu fikirkan. Aku yakin boleh menangani semua masalah ini secara mudah. Sekarang aku cuma menanti keputusan kamu untuk menerima cinta aku atau tidak. Itu saja!” gerahnya melonjak beberapa takah.

Milan Zarhan jadi khali. Kenapa Marta Francisca begitu memaksa? Bimbang terhadap gadis lain yang begitu ramai di kolej? Bukankah sudah sering aku katakan bahawa cinta tak boleh dipaksa? Cuma Marta Francisca yang tidak pernah mahu memahami atau sengaja tidak mahu memahami. Alasannya soal kedudukan diri bukan persoalan yang besar dan dia mampu menanggung segaja perbelanjaan hidup.

“Aku rasa ini satu persoalan yang besar, Marta! Ini soal hidup masa depanku. Aku beragama Islam. Aku masih ada keluarga yang amat mengharapkan. Aku berhak mencegatkan segala harapan yang diletakkan di atas pundakku!”

“Huh, alasan melulu!” tukasannya bagaikan satu cemuhan jengkel.

Milan Zarhan mencerlung tunak figura segak Marta Francisca, tidak terduga kata-kata begitu yang terpacul. Apakah dia betul-betul ikhlas dengan kata-katanya? Seorang mahasiswa yang menjadi harapan seluruh keluarga untuk mencorak sebuah kehidupan geg selepas bergelar graduan? Tambahan, ke mana saja sering bersama pelajar-pelajar perempuan yang mengenali di sekitar kolej. Sedang antara aku dan Marta Francisca bagaikan asing walau acap kali bertemu di perut London.

Barangkali juga dia tidak percaya bahawa perhubungan boleh terjalin antara seorang perempuan dan lelaki tanpa disarati unsur nafsu dan cinta! Pun dia kurang yakin bahawa tugas seorang yang hidup di bumi asing boleh membuat orang berkenaan perlu beramah mesra dengan semua orang tetapi mengkhususkan keistimewaan atau rasa cinta hanya untuk seorang! Atau, barangkali juga cara bertindak dan tumpuanku sekarang sudah jauh menyimpang dari landasan harapan dan dirinya!

Zeera Arfina.

Kuala Lumpur.

Milan Zarhan,

Sudah hampir dua tahun bulan kamu di kota London. Sejak itu aku tidak pernah mendapat sebarang berita darimu. Aku tahu, hari-hari sibukmu tidak bisa mengundang walau sesaat terluang untuk menitip sebaris ayat buatkan. Barangkali juga kota London sudah mengajarmu erti lupa - lupa kepada orang yang pernah kamu sematkan sebuah harapan.

Milan Zarhan,

Mengertilah, setiap pagi kala embun terjun menjelang datang, aku tahu ada gelora nestapa yang panjang menanti. Sudah berkali-kali aku ikrarkan; kesucian cinta tidak merobah kamu. Biar berbulan masa sudah direai atau berapa ramaipun lelaki yang aku dampingi, pesona aku masih tetap utuh buatmu.

Dan hari-hari sepiku ini kamu seolah-olah meragui cintaku. Percayalah, Zarhan! selagi mentari menjengah dirinya dari jihat timur, ingatan ini tidak mungkin pudar dan yakini jugalah, selagi mentari membenamkan dirinya di jihat barat, kasih ini akan kupujuk sejujurnya.

Jangan kamu menyimpan walau secubit pun rasa sangsi atau mahu menuduhku curang. Sepemergianmu; dunia yang kamu tinggalkan adalah dunia lara. Kota Kuala Lumpur bukan lagi kota asmara yang aku impikan. Segalnya kacau dan rusuh. Kuala Lumpur bagaikan memperlihatkan aku resah mendaki ke puncaknya segesit cahaya. Berapa ramai yang cuba mendekati? Berapa ramai yang cuba memikat? Atau pernahkah engkau mempersoalkan berapa banyak rindu dan setia yang harus aku kumpulkan.

Milan Zarhan,

Kamu tahu sayang, cinta terlalu agung padaku. Aku bagaikan mahu menghambat mentari berguling ke timur dengan cinta. Aku bagaikan mahu menghembus sumbunya sehingga terpadam cahaya. Dengan ini aku bisa mengganggu dengkur tidur jutaan kejora supaya berjaga sepanjang malam. Padaku cinta membuatkan malam ibarat belayar di segara kasih yang kocaknya buih asmara.

Cinta sudah seperti menggigit jaluran pelangi yang warnanya pancaran rindu. Ingatkah lagi katamu dulu: malam tanpaku, malam sepi tanpa kekasih di hati - ibarat penyair kehilangan nota puisi - meraba-raba dalam kelam. Sesungguhnya kata-katamu itu sentiasa melemaskan aku di segara kasih dan membikin aku semput di jalur pelangi.

Ya, Zarhan, kata-kata romantismu itu, yang kini telah hilang, menurutmu sama ke kota raya London yang mencabar itu. Hilang sirna.

Zeera Arfina –

Kuala Lumpur.

10.00 malam.

Antara rasa cinta dan simpati, Milan Zarhan dihenyak dilema. Cinta Marta Francisca dan Zeera Arfina laksana peniti menusuk hati. Cinta yang sejati dan kepalsuan yang sering bersulam di dasar nubari, telah mencegatkan sebuah jatidiri untuk terus melangkah mencari erti peribadi.

London bukan sebuah kota yang boleh mengubah tradisi dan budaya Milan Zarhan. Biar di mana dia berada, maruah sebagai remaja Malaysia berbangsa Melayu tetap dipertahankan. Kota London telah mengajarnya menjadi lebih dewasa biar pelbagai pancaroba datang melanda. Cinta yang diluahkan Marta Francisca, bekas model terkenal, gadis kacukan Cina-Portugis, perempuan simpanan Datuk Robert Eng yang mencari kebahagiaan di London semakin membakar semangat Milan Zarhan untuk terus mempertahankan jatidirinya.

Terkurung di dalam dilema antara cinta seorang remaja dan kejayaan dalam pelajaran, Milan Zarhan digugah pula oleh kisah abangnya Milan Effendi di Kuala Lumpur yang telah bersekedudukan dengan Haslinda, bekas temannya sewaktu bersekolah dulu. Apakah Milan Zarhan mempercayai segala tuduhan sumbang terhadap abangnya Milan Effendi? Apakah Milan Zarhan terus dilambung tekanan emosi oleh berita yang diterima? Apakah niat sebenar Milan Effendi membawa Haslinda tinggal bersamanya?

Namun, Milan Zarhan menemui juga noktah terakhir untuk cintanya bertapak. Siapakah gadis yang telah berjaya mencuri hati Milan Zarhan? Bagaimana pula dengan Milan Effendi? Siapakah yang bakal mengisi kekosongan hidupnya? Semuanya bakal terjawab dengan membaca novel LABUHAN CINTA TERAKHIR karya Syed Mahadzir ini.

Sabtu, 4 Disember 2010

Pesona Rebak Memang Memukau

SMAHADZIR


DISCOVER your own private island.’ Nota itu diterima penulis pada sepucuk surat. Ia diletakkan di atas meja konsol pada satu sudut di vila kayu tempat penulis inap. Memegang janji yang ditawarkan, penulis ingin merasai sendiri kelainan berada di Rebak Island Resort sepanjang percutian selama tiga hari dua malam itu. Ternyata janji tersebut dikota sewajarnya. Lewat jemputan dari lapangan terbang lagi, kemudian menaiki bot khas dari Port Langkasuka ke Pulau Rebak, kemesraan layanan sudah dapat dirasa. Pasti itu antara signatur Rebak Island Resort yang tiada tara.


Keindahan Langkawi tidak perlu diterjemahkan. Dan sebagai salah satu daripada 99 buah gugusan pulau yang membentuk jajahan legenda itu, pesona Rebak cukup memikat. Berkeluasan 390 ekar, ia terletak kira-kira empat kilometer dari pulau utama. Pulau kecil itu dibarisi hutan hujan tropika yang dipenuhi pohon-pohon balak, herba, pandan dan pelbagai tumbuhan renek lain yang mencipta satu kanvas alam tersendiri.


Pantai memutih menghadap resort, menjanjikan kedamaian buat pengunjung.


Selain resort kampung dan kontemporari bertaraf empat bintang, keunikan pulau itu pastinya terletak pada marina yang menempatkan berpuluh-puluh kapal layar dan dikatakan yang terbesar di Langkawi. Resort itu dimiliki sepenuhnya DRB-Hicom. Taj Hotel, sebuah kumpulan perhotelan terkemuka di India serta mempunyai banyak lagi cawangan di seluruh dunia, diberi tanggungjawab menguruskannya.


Tersendiri


Abadi. Perkataan itu diulang berkali-kali oleh Pengurus Besar, Samir Khanna tatkala disoal mengenai keistimewaan Rebak Island Resort jika dibandingkan dengan yang lain. Jelas beliau, apa yang cuba diberikan oleh pihaknya kepada pengunjung adalah satu percutian yang akan dikenang sampai bila-bila.


“Kami mahu pengunjung yang datang ke sini merasa bebas, tenang dan jauh dari suasana yang menyesakkan. Anda boleh lakukan apa sahaja yang anda mahu di sini, habiskan masa anda sepuasnya dan jaminan kami ketenangan milik anda,” kata beliau yang menerajui resort itu sejak tiga tahun lalu. Lokasi paling sesuai buat pasangan yang baru berkahwin untuk memadu kasih, berada di Rebak ibarat sebuah dunia baru yang menjadi milik anda berdua.


Tidak hairanlah pulau kecil itu telah menjadi saksi termeterai ikatan sah antara dua hati beberapa pasangan sejak ia wujud lagi. Malah ketika penulis di sana sempat juga menyaksikan perkahwinan romantis sepasang pengantin dari ibu negara.


Pelbagai aktiviti turut disediakan. Pengunjung boleh sahaja menghabiskan masa di tepian pantai yang sememangnya tenang tanpa sesak dengan pengunjung. Tidak mustahil andai hanya anda sahaja yang berada di sana. Pengunjung juga boleh memilih untuk berkayak di sepanjang Selat Senari yang memisahkan antara Pulau Rebak dan rebak Kecil. Juga disediakan basikal mengelilingi kawasan resort yang luas atau cuba aktiviti memanah.


Mahukan aktiviti lebih lasak, Rebak menawarkan ‘jungle walk’ pada waktu siang atau malam di kawasan hutan yang agak mencabar. Jangan risau mengenai keselamatan kerana pihak resort turut menyediakan juru pandu berpengalaman. Perjalanan dari kaki bukit bersebelahan marina menuju ke Pantai Merah (pantai di sebelah Laut Andaman) mengambil masa lebih kurang 30 minit perjalanan. Pendakian bukit secara menegak mungkin agak memenatkan, namun tatkala kaki melangkah ke pantai sunyi itu, satu perasaan kagum sukar digambarkan dengan kata-kata.


Batu kapur merah yang terhakis oleh ombak laut menghasilkan satu lukisan alam yang cukup indah. Seketika penulis berada di situ membuatkan diri tidak henti memuji keindahan alam ciptaan Ilahi. Sayangnya waktu yang kurang sesuai, paras air pasang tidak mengizinkan penulis sampai ke sebuah gua yang terbentuk akibat hakisan ombak.


Percutian Lengkap


Rebak Island Resort memiliki 82 buah bilik yang terdiri daripada tujuh jenis kediaman berlainan. Anda boleh memilih sama ada menginap di bilik atau vila menghadap pantai dan Selat Senari. Atau mencuba suasana lebih sunyi di vila dikelilingi pokok asam jawa dan tumbuhan pantai yang lain.


Menjamu selera tidak sukar, Restoran Senari menawarkan pelbagai juadah istimewa tempatan dan antarabangsa. Mahu lebih santai, Minum-Minum Lounge menyediakan ruang berbual sambil didendangkan persembahan jazz yang mengasyikkan. Atau berada di tepian pantai, menghirup jus segar yang disediakan pondok kecil Lepak. Juga menikmati makan malam romantis di tepian pantai, mungkin antara momen yang sukar dilepaskan.


Melepaskan penat dan lelah, manja dan belai diri dengan urutan tradisional Melayu di Ulik Mayang Spa. Pastinya aroma minyak bunga kemboja, mawar, halia dan teh putih bisa membuatkan anda terlelap seketika. Tidak terasa masa yang berlalu, sukar diungkap dengan kata-kata. Hanya nikmati ia sewajarnya, Rebak Island Resort tentunya percutian idaman anda.

Dua Makam Di Perak Yang Wajar Dilawati

SMAHADZIR

MAKAM I:

Makam Sultan Iskandar Zulkarnain

Makam Sultan Iskandar Zulkarnain (Marhum Kaharullah) ini terletak di Pulau Indera Sakti, iaitu sebuah kampung tinggal yang terletak di Kuala Sungai Kinta (berkuala ke Sungai Perak). Pelawat sukar ke situ kerana tidak ada jalan yang boleh dilalui oleh kenderaan. Walau bagaimanapun, boleh menyewa bot yang terdapat di pengkalan bandar Teluk Intan. Jauhnya makam sultan ini kira-kira 9 km ke utara bandar tersebut.

Sultan Iskandar Zulkarnain, Sultan Perak ke 15 adalah sultan yang paling terkenal sekali dalam pemerintahan beraja di negeri Perak. Baginda ini telah membangunkan negeri Perak menjadi sebuah negeri yang makmur dan aman damai. Pada masa pemerintahan, baginda telah memperkenalkan sebuah undang-undang yang dipanggil Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan.

Undang-undang tersebut telah dijalankan sepenuhnya dalam hal ehwal pentadbiran negeri Perak. Gelaran orang-orang besar juga telah diperkembangkan. Baginda menambahkan lagi gelaran orang besar-besar. Gelaran dan pangkat Bendahara yang dahulunya dipegang oleh orang-orang keturunan Megat yang bermula daripada Megat Terawis telah dihapuskan dan pangkat Bendahara diberi pula kepada keturunan Raja.

Pada masa pemerintahan baginda, orang-orang Belanda telah memonopoli pembelian bijih timah yang dikeluarkan dari negeri Perak. Begitu juga dengan orang-orang Cina dan India telah ramai membuka kedai perniagaan di bandar yang dinamakan ‘bandar makmur’ yang terletak di Pulau Indera Sakti.

Sultan Iskandar Zulkarnain telah mangkat di Pulau Indera Sakti pada 1770 iaitu setelah memerintah negeri Perak selama empat belas tahun (1756-1770). Baginda digantikan oleh Sultan Mahmud Syah (1770-1778).

MAKAM II:

Makam Sultan Muzaffar Syah I

Makam Sultan Muzaffar Syah I (Marhum Tanah Abang) terletak di Teluk Bakong iaitu kira-kira 11 km ke selatan pekan Bota Kanan. Sultan Muzaffar Syah I adalah putera kedua kepada Sultan Mahmud Syah Melaka terakhir yang telah berundur ke Kampar (Sumatera) setelah Melaka dikalahkan oleh Portugis pada 1511.

Baginda diputerakan di Melaka kira-kira dalam tahun 1505. Dalam tahun 1528, baginda telah ditabalkan oleh orang-orang besar Perak sebagai Sultan Perak yang pertama, di Tanah Abang (Teluk Bakong sekarang) dengan gelaran Paduka Seri Sultan Muzaffar Syah.

Waktu pemerintahan baginda, seorang kerabat Diraja Pagar Ruyong yang bernama Megat Terawis Ibni Daulat Pagar Ruyong telah dilantik oleh baginda menjadi Bendahara menggantikan Tun Mahmud, Bendahara Perak yang pertama dan bergelar Bendahara Paduka Raja. Dari masa itulah pangkat Bendahara disandang oleh keturunan Megat. Sultan Muzaffar Syah I mangkat pada 1549.




Sekadar Renungan

Dr. A. H. Johns dalam bukunya Malay Sufism menggambarkan kemeriahan dan kegemilangan negeri Melaka: ‘Dengan berkembangnya negeri Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan Islam, dunia Melayu telah dibawa ke dalam arus perniagaan yang merentasi Asia Selatan, dari Mesir, dunia Arab, Teluk Parsi, Hindia Timur, Hindia Barat, dan Gugusan Kepulauan Timur dan China. Tambahan pula, Melaka di era kemuncaknya amat penting di dalam sistem perdagangan yang luas sekaligus merupakan kota antarabangsa. Ianya juga merupakan sebuah Kuasa Politik Utama Serantau dan pusat keagamaan bagi masyarakat Islam yang sedang berkembang ketika itu yang menjadi tumpuan utama bagi tujuan pengajian dan pendidikan bagi kaum muslim.’


Hubungan erat yang terjalin di antara ulama dan umara ketika itu menjadikan Melaka sebagai pusat penyebaran agama Islam dan pusat ilmu. Ini dijelaskan oleh sarjana sejarah Muhammad Abu Bakar di dalam bukunya Ulama Terengganu - Suatu Sorotan: ‘Semenjak zaman Melaka, dan di sepanjang sejarah Islam di Tanah Melayu, ulama pula sering mendekati istana atau pusat kuasa, dan di sana atau dari sana, mereka bergerak memainkan peranan mereka. Di istana Sultan Melaka, ulama seperti Maulana Abu Bakar, Saiyid Abdul Aziz dan Maulana Yusuf, bukan sahaja muncul sebagai guru tetapi juga penasihat kepada pemerintah, satu kedudukan strategis yang membolehkan mereka berfungsi dengan lebih berkesan dalam skima pengislaman negara dan masyarakat.’


Masyarakat yang dipayungi oleh kekuasaan sultan atau raja, dan insaf tentang keperluan mentaati dan mematuhi ulil amri, tidak berada dalam keadaan berkonflik dengan ulama yang bergerak dan berdamping dengan pemerintah. Hubungan simbiotis antara ulama dan umara jelas sekali mendapat restu dan sokongan rakyat. Kesemua pihak bergerak dan berinteraksi dalam satu sistem yang padu. Walaupun masing-masing hidup berasingan dari segi fizikal, dan bekerja di tempat-tempat yang berlainan pula. Ketika perang dan damai, kesemuanya bertindak sebagai satu kesatuan.


Dipetik daripada buku ‘Menyingkap Misteri Pulau Besar’ oleh Ana Faqir.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA