Isnin, 15 Mac 2010

Di Bawah Langit Edabynatanz

SMAHADZIR

SETELAH lebih seminggu di kota Isfahan, Naaquiyah Massoumie masih lagi bermenungan di muka jendela hotel penginapan seraya menyeluruhi bandar negeri kelahirannya. Apa yang ada di di kota ini? Riak Sungai Zaynded Rud yang bersisik emas bagai memantulkan sinar pijar ke matanya. Sega-lanya bagakan meresah dan menghenyak pelusuk nubari.

Ini tanah kelahiran dan mereka lari dari bahang serta tempias cemuhan juga penghinaan. Amat mendera perasaannya kala mengenang itu semua. Sesungguhnya, Naaquiyah Massoumie amat menderita de-ngan suratan yang menjerba diri. Derita yang dirasakan amat sukar untuk ditanggung oleh seorang insan yang lemah sepertinya.

Kota ini tempat cintanya mula bersemi. Sarat dengan cinta dan kasih. Segalanya indah, segalanya mengasyikkan. Kala itu mereka berjalan beriringi sambil menyusur Sio Seh Pol yang mendamaikan. Angin tenang segar berkisar lunak dari Prince Parlors menyapa mesra ke tubuh. Dia masih belum melupakan kenangan indah lima tahun yang lalu itu.

Masjid-e-Jome Atiq pernah menjadi saksi keluhuran cinta mereka berakhir ke noktah pernikahan yang sah. Walaupun tanpa restu dari keluarga suaminya, Shaufik. Naaquiyah Massoumie tidak pernah kesal itu semua. Semuanya sudah kehendak suratan dan takdir. Jodoh pertemuan di tangan Tuhan.

Apa mahu dikesalkan. Dia hidup sebatang kara. Ayah, ibu dan sanak saudara semuanya sudah terkorban tuntas di tanah kelahiran Ebadynatanz tujuh tahun yang lalu sewaktu letusan perang menggegar bumi Iran. Segalanya itu kini menjadi kenangan yang amat pahit dalam hidupnya, masih basah dalam kenangan yang amat menghenyak.

Dia juga tidak pernah menyalahkan perang. Memang perang itu kejam, rakus dan ganas meragut segala kasih sayang darinya. Dan, dia pasrah serta redha mengahwini Sharfik, pemuda dari Malaysia yang berhati luhur itu. Bawalah ke mana saja, dia akur. Memang begitulah hakikatnya seorang isteri yang beriman.

Bagi Naaquiyah Massoumie, antara dua negara iaitu Malaysia dan Iran, tidak banyak bezanya. Mereka sekadar berlainan bangsa. Malaysia dan Iran adalah bumi Allah yang sama. Bertapak pada akar Islam, mengucap dua kalimah yang serupa, tidak terlalu berat baginya mengikut Sharfik pulang. Dia juga berakar jati Islam, punya leluhur yang kental berpegang kepada ajaran Muhammad mazhab Hanafi, sentiasa akur ketentuan Ilahi. Segala yang berlaku pada diri tetap diterima dengan penuh rasa redha dan menyerah.

Namun, bahang mentari tanah kelahiran suaminya amat mengcengkam perasaan. Rata-rata sanak saudara menuding sinis. Mencemuh. Menghina. Lebih-lebih lagi ibu mertua yang sering saja memburai tutur menghiris hati.

Naaquiyah Massoumie sendiri tidak tahu kenapa ibunya bersikap begitu. Bukankah orang Islam itu bersaudara mara, wajar mengeluarkan kata-kata yang baik dan menerima semua ketentuan Allah dengan redha? Apakah ajaran agama ibu mertuanya itu terlalu cetek sehingga sanggup mencemuh menantu sendiri begitu sekali?

“Macam mana dengan isteri kau tu, Sharfik?” Suara ibu mertuanya masih me-ngiang di copeng telinga. Serentak wajahnya mengirap ke sepasang mata.

“Macam mana apa, mak? Apa yang mak maksudkan ni?” tanya Sharfik.

“Iyalah... dah lima tahun kau berkahwin dengan dia tapi masih tak ada apa-apa lagi!”

“Nampaknya begitulah, mak!” Sharfik bersahaja. “Mungkin rezeki belum ada. Kita ni makhluk lemah, mak! Segalanya bergantung kepada-Nya! Kalau dah Dia tak nak bagi, apa kita boleh buat!”

“Kau dah cuba berubat cara kampung?”

“Dah, tapi Tuhan belum mengizinkan lagi!”

Ibu mertuanya menggeleng-geleng dengan wajah yang kesal.

“Ini semua kehendak Allah, mak! Saya redha... apa lagi yang saya harus buat jika Dia masih belum mahu memberikan kami zuriat!” antara dengar dengan tidak suara suaminya lirih penuh menyerah.

“Huh, itulah kau!” ibu mertuanya mulai bernada gerah dan jengkel. “Pilihan emak dulu kau tolak mentah-mentah. Kononnya nak kahwin campur dapat anak bijak-bijak. Ha, sekarang... apa yang kau dapat dari isteri orang Iran tu? Mak pun tak tahulah... kenapa perempuan mandul macam tu kau nak pilih buat isteri?”

Sharfik terdiam seraya tunduk merenung lantai ubin ruang tamu. Kata-kata ibu-nya bagai terlalu kasar untuk diterima. Penuh sindiran dan kecaman.

“Hei Sharfik? Kau ingat boleh hidup bahagia tanpa anak? Kau ingat, kau tak akan jelak-jelak hadap muka isteri sampai tua? Ingat Shaufik... kau tu bakal tua. Apa akan jadi kalau sampai ke tua tak ada anak? Siapa yang nak bela kau bila dah tua nanti? Sispa lagi... siapa lagi kalau bukan zuriat sendiri?” Suara ibu mertuanya penuh dengan retorik yang amat sukar untuk dimengertikan.

Di dalam bilik, Naaquiyah Massoumie terselepok di pinggir katil. Hatinya terlalu pilu. Sebak dadanya dengan kata-kata berbaur cemuhan dan penghinaan itu. Rasa-rasa dia mahu pulang saja ke Ebadynatanz. Walaupun kampung kelahirannya di pekan kecil itu sudah menjadi debu dentuman mortar, dia bagaikan rela. Pedih hati yang tersayat terlalu mendera jiwa.

Tetapi, kala menginsafi hakikat seorang isteri yang wajib di sisi suami selagi tidak diceraikan, seorang isteri tidak boleh keluar dari rumah tanpa izin suami, sebaknya tiba-tiba saja jadi reda. Dia tidak mahu menanggung dosa. Dia tidak mahu meninggalkan Shaufik yang baik dan berhati luhur itu. Biarlah dia di sisi suaminya itu walau apa pun terjadi. Dia redha.

“Mak jangan terlalu menyiksa Quiyah. Dia dah cukup menderita dengan hidup!” tiba-tiba suara Sharfik pula mengambil tempat dalam kotak benaknya. Suaminya bagaikan mendapat semangat baru setelah agak lama juga mendiamkan diri.

“Apa maksud kau, Sharfik?”

“Seluruh kampung halaman dan sanak saudaranya telah terkorban sewaktu perang. Saya ambil dia jadi saya untuk meringankan beban hidup yang digalas. Tak baik mak nak salahkan kehendak takdir!” Sharfik sekadar menjelaskan hakikat sebenar.

Seboleh-boleh dia tidak mahu membangkitkan soal anak dan diri Naaquiyah Massoumie yang sudah lebih lima tahun menjadi isterinya itu. Kehidupan mereka bahagia walaupun mereka tidak mempu-nyai anak. Lagipun, apa yang perlu dikesalkan. Jodoh dan pertemuan itu Dia yang menentukan. Soal anak atau mati hidup pun Dia juga yang menentukan. Kalau dengan siapa sekali pun dia berkahwin, kalau Tuhan masih belum mahu menganugerahkan zuriat, tak ada juga zuriat tersebut. Jadi, dia tetap redha dengan perkahwinan ini.

“Itu apa aku peduli!” suara ibu mertuanya semakin keras dan kasar. Kalau tadi menyebut dirinya sebagai emak, kini sudah bertukar aku. “Kau jangan cuba nak bela perempuan mandul tu! Memang dia tu mandul. Cuba kau tengok adik dan kakak-kakak kau tu… semuanya subur-subur belaka. Keluarga kita tak ada yang mandul, tau tak? Isteri kau sahaja yang kontang. Harap tudung saja labuh sampai ke dada, tapi nak beranak pun tak pandai!”

Naaquiyah Massoumie sungguh-sungguh tersinggung. Cemuhan ibu mertuanya itu terlalu pedih dan menyiat. Air jernih gesit saja mengalir tidak berupaya dibendung. Damai Isfahan dengan Maidan-e-Iman yang gemilang, kabur ditabiri air mata yang menjujuh lebat.

“Kamu masih menangis lagi, sayang?”

Suara Sharfik yang mencerlus lunak seraya tangan menyentuh bahunya, membebarkan segala ngeluyur fikiran. Cepat-cepat Quiyah Naaquiyah Massoumie mengesat air matanya dengan kain jendela bilik hotel.

“Kenapa harus bersedih lagi, Quiyah! Kita sudah jauh dari Malaysia dan juga sudah jauh yang segala cemuhan dan penghinaan. Sewajarnya kamu gembira di Isfahan ini!” Sharfik bagaikan memujuk.

Senyuman manis segera diluahkan untuk Sharfik. Dia sedar, suaminya adalah insan yang paling banyak memahami penderitaan hidupnya. Syukur, kerana dianugerahkan Tuhan seorang suami yang baik seperti Sharfik.

“Ayuh, sayang… ayuh kita leraikan segala kekusutan hati dan perasaan di luar sana!” Sharfik memujuk lagi.

“Nak ke mana, bang?” tanya Naaquiyah Massoumie.

“Isfahan ni luas dan lebar. Kita boleh pergi ke mana-mana saja yang kita suka!”

Naaquiyah Massoumie tersenyum lagi lalu segera memaut tangan Shaufik penuh kasih sayang. Mereka beriringan menuju ke pintu lif untuk turun ke ruang lobi hotel.

Beberapa jurus kemudian, pasangan suami isteri itu sudah menyusur Allahverdi Khan. Jambatan yang dibina pada tahun 1600 itu bagaikan melirik senyum mesra menerima atur langkah mereka mengalir ke Prince Parlors. Naaquiyah Massoumie mengambil kesempatan melemparkan jauh-jauh segala resah yang membuku di dada ke alun Sungai Zaynded Rud yang beriak tenang.

“Ingat lagi lebih lima tahun yang lalu?” Sharfik memulakan bicara berbentuk pertanyaan.

“Ingat apa, bang?” tanya Naaquiyah Massoumie lembut.

“Errr, kita menjamah sohan dan gaz di Qom!” Sharfik cuba menghimbau kenangan silam.

Naaquiyah Massoumie tersenyum senang seraya mengangguk-angguk nipis. Segalanya gesit saja terbayang semula. “Memang kala itu dunia ini amat indah, bang!” ujarnya polos. “Tidak seindah sekarang, yang penuh dengan pelbagai pancaroba yang tidak pernah kita fikirkan sebelum ini!”

“Kita akan membina dunia kita ini menjadi indah semula seperti yang pernah kita harapkan dulu!” balas Sharfik.

Naaquiyah Massoumie mengeluh panjang. “Cinta sebelum berkahwin memang mengasyikkan. Benar kata pujangga. Tapi, saya tak pernah kesal, bang! Cinta saya pada abang tetap utuh, tetap teguh, biar masa berlalu ribuan tahun lagi. Selagi abang masih sayangkan saya sebagai seorang isteri, selagi itu saya tidak akan menyisihkan diri dari abang!”

“Apa yang Quiyah cakap ni… eh, cantik Kelise-ye-Vank tu, kan?” Sharfik gesit mengubah tajuk perbualan. Resah di dada isteri tersayang tidak usah dimercupkan selalu-selalu. Seboleh-bolehnya dia mahukan supaya isterinya dapat melupakan semua yang telah berlaku di Malaysia. “Lima tahun yang lalu, kita pernah menghirup udara segar nyaman sambil meladeni lukisan seniman terulung rejim Shah Abas. Ingat lagi tak? Kala itu, Armenian jadi saksi keakraban hubungan kita di situ… ”

Kata-kata Sharfik ditingkah ketawa kecil Naaquiyah Massoumie.

“Kenapa Quiyah ketawa pula? Abang berkata yang benar?”

Naaquiyah Massoumie terus ketawa. “Abang, Kelise-ye-Vank itu gereja… kenapa disebut-sebut dan dipuji-puji keunikannya begitu sekali?”

“Abang sekadar menghargai dan mengagumi keunikan kerja tangan pengukirnya saja! Takkan itu pun salah, sayang...”

“Kan kita ada banyak lagi masjid yang lebih unik dan indah dari gereja tu?”
Sharfik senyum dan mengangguk akur hujah isterinya yang benar itu. Naaquiyah Massoumie turut tersenyum, memuncak keayuan wajah. Tangan kasar suami dipegang erat. Azan maghrib tiba-tiba bergema dan melangsing dari menara kubah Masjid Sheikh Lotfollah. Naaquiyah Massoumie gesit mengajak Sharfik pulang ke hotel penginapan. Mereka menyusur perkarangan Imam Square. Hati Naaquiyah Massoumie tiba-tiba jadi sebak. Di situ, seutas rantai emas berloket garnet pernah tersarung di lehernya. Kenangan lima tahun yang silam itu tidak pernah lekang dari kotak ingatan.

* * *

Mendesah bayu malam membelai dan mencium pipi gebu putihnya. Pipi itu lembut selembut hatinya yang cepat tersentuh. Kota Isfahan terus gemilang, bergemerlapan dengan neon indah pelbagai warna.

Riak Sungai Zayanded Rud yang mengalir tenang di hadapan jendela kelihatan bersisik-sisik dilatari langit cerah. Gumpalan awan putih bergerak lambat di bawa angin ke jihat tenggara. Lama Naaquiyah Massoumie termenung di situ. Isfahan terus bercahaya bagaikan tiada malamnya.

Sharfik di atas sejadah begitu kusyuk menadah tangan. Naaquiyah Massoumie sedar, apa lagi yang dipohon suaminya itu kalau tidak zuriat dambaan hati suami dan isteri. Semua ikhtiar seperti sudah menemui jalan buntu. Cara tradisional dan moden sudah mangli. Kini hanya doa saja sebagai jalan terakhir. Terharu Naaquiyah Massoumie kala melirik ke arah Sharfik, suami yang cukup memahami, pasrah dan redha dengan segala ketentuan Ilahi. Tidak pernah jemu untuk menadah ke hadrat Tuhan memohon diperkenan segala harapan dan cita-cita murni mereka. Minta mereka, dengan hadirnya seorang zuriat, akan terhapus segala badai yang mendatangi semalam.

Naaquiyah Massoumie mendongak ke atas. Awan gemawan di langit Isfahan bagaikan tersenyum mengejek. Kota Isfahan terus dipeluk kegemilangan. Di setiap juzuknya, tidak pernah daif dengan pengunjung biar malam semakin larut ditelan masa.

Malam itu entah jam berapa Naaquiyah Massoumie dapat melelapkan matanya. Segala cemuhan dan kata-kata penghiaan acapkali mengiang dalam cepu ingatan. Sesedarnya, jam sudah menunjukkan pukul enam pagi. Nasib baik juga dirinya dalam keuzuran, kalau tidak terpaksa bersolat hujung waktu. Dia berpaling ke sisi. Sharfik sudah lama menghilang.

Begitulah suaminya. Setiap kali subuh menjelang, akan menghilang untuk bersolat di setiap masjid sekitar Isfahan. Betapa Sharfik akan menadah kedua belah tapak tangan untuk berdoa di hadapan mimbar setiap masjid yang ditandangi supaya Khalik menganugerahi mereka zuriat. Semoga dengan murupnya zuriat itu di rahim isterinya, tiada lagi cemuhan dan mereka akan pulang semula ke Malaysia untuk meneruskan sebuah penghidupan baru yang lebih sempurna. Itulah doa dan harapan dalam hati khusyuk yang penuh pasrah.

Setahu Naaquiyah Massoumie, Masjid Iman, Masjid Sheikh Lotfollah dan Masjid-e-Jome Atiq sudah bergilir-gilir ditandangi Sharfik pada setiap solat. Menge-nangkan itu, mendadak dia rasa terharu. Sharfik terlalu pasrah kepada Ilahi yang sehingga kini masih belum mengkabulkan cita-cita murni mereka.

Naaquiyah Massoumie bangun dengan rasa gontai, termangu sejenak di birai katil. Dikelintarkan biji mata ke seluruh juzuk bilik penginapan. Terasa amat kosong dan menghampakan. Seluruh tubuhnya seperti tidak bermaya. Mungkin kerana semalaman asyik menangis sehingga tidur pun kala menjengah dinihari.

Perlahan-lahan dia merapati almari hias di sudut bilik sejurus kemudian. Wajah di cermin bersaiz empat persegi bujur itu dicerlung tunak-tunak. Matanya kelihatan merah dan sembab. Terasa malu pula untuk menatap wajah Sharfik dengan mata yang bengkak begitu. Cepat-cepat Naaquiyah Massoumie bergegas ke bilik air untuk mandi dan menyegarkan badannya yang sungguh lesu tersebut. Dia tidak mahu suaminya berasa tidak enak melihat keadaan dirinya nanti.
Demi Allah, segalanya untuk suamiku, bisik hatinya polos.

* * *

Ruang makan Hotel Al-Massyhuour indah lagi mendamaikan. Keluasannya setara arena tenis. Tergantung hiasan dinding yang unik dan berseni. Naaquiyah Massoumie dan Sharfik duduk di sebuah meja makan di satu sudut ruang tersebut. Teh sudah terhidang di dalam gelas jernih tanpa susu. Gula kiub sarat di dalam mangkuk kecil.

“Abang nak minum teh ni?” tanya Naaquiyah Massoumie.

Sharfik angguk.

Naaquiyah Massoumie segera memasukkan beberapa ketul kuib gula itu ke dalam gelas di hadapan suaminya. Sejurus kemudian, teh dari dalam sebiji jag sederhana besar dituangkan ke dalam gelas. Beberapa orang lelaki di sisi meja mereka terus saja memasukkan kiub gula itu ke dalam mulut serentak meneguk teh yang masih berasap. Sesetengahnya pula menyerikannya lagi denga menghisap kalyan. 

Naaquiyah Massoumie melirik wajah Sharfik sekilas. Tentu suaminya itu tidak akan menghisap kalyan kerana menghisap kalyan adalah adat bangsanya sejak lama.

“Minumlah bang, nanti sejuk pula air tu!” suara Naaquiyah Massoumie lunak ke pendengaran Sharfik.

“Quiyah tak minum sama?” tanya Sharfik pula.

“Saya nak minum air suam saja!” jawab Naaquiyah Massoumie sambil ter-senyum.

Namun begitu, pada senyuman iste-rinya itu Sharfik dapat merasakan sesuatu yang amat berbeza. Ianya berbaur hambar dan tidak ceria. Sharfik tahu, isterinya itu belum gembira sepenuhnya selagi zuriat dambaan mereka belum lagi dimakbulkan Ilahi. “Mata kamu nampak sembab, kenapa Farhana?” entah kenapa dia terhimbau pula untuk bertanya.

“Errr, tak ada apa-apa, bang!” acuh tak acuh Naaquiyah Massoumie menjawab.

“Jangan tipu abang, Quiyah! Berdosa tau!”

Naaquiyah Massoumie mengeluh panjang lalu meneguk air suam di hadapannya.

“Abang tahu, kamu menangis lagi, kan? Kenapa kamu harus menangis lagi? Bukankah kita harus redha dengan segala ketentuan Tuhan kepada kita? Kalau dulu, keluarga kamu semuanya tuntas lantaran perang, kamu masih boleh redha, tetapi kenapa dalam soal yang sekecil ini kamu tidak dapat menerimanya dengan redha?”

Naaquiyah Massoumie segera tunduk merenung meja dengan ungkapan suaminya itu.

Sharfik turut mengeluh rengsa. Mata mengesip-ngesip penuh rasa kesal kerana isterinya masih belum dapat melupakan segala yang terjadi. “Kita lari dari Malaysia ke Isfahan ini semata-mata untuk menyisih segala keluh kesah. Kenapa kamu masih kenangkan lagi itu semua? Abang turut sedih jika kamu terus-terusan begini!”

Naaquiyah Massoumie masih diam. Tidak berdaya dia menyangkal kata-kata suaminya. Cemuhan dan penghinaan yang pernah dicerluskan oleh sanak saudara suaminya di Malaysia tetap cagun dalam benak walau dia sudah cuba melupakannya. Getir amat untuk dipisahkan dari dalam hati.

“Sudah hampir tiga bulan kita meninggalkan tanah kelahiran abang. Abang fikir, di sini kamu akan lebih tenang dan abang yakin, Tuhan tak akan menghampakan harapan hamba-Nya!” ujar Shaufik.

Naaquiyah Massoumie sekadar mengangguk.

“Sabarlah, Quiyah! Berdoalah banyak-banyak semoga tuhan memperkenankan harapan dan dambaan kita!” ujar Shaufik lagi. “Orang yang sentiasa bersabar dan pasrah kepada Allah, akan beroleh nikmatnya juga suatu hari nanti!”

Senyum Naaquiyah Massoumie mulai memurup di bibir. Dia turut meyakini. “Sesungguhnya, orang-orang yang bertakwa berada dalam naungan (yang teduh) dan di sekitar mata-mata air.” (al-Mursala’at: 77).

Teh yang diteguk terasa nyaman dengan senyuman manis isteri tersayang. Sharfik mencapai tangan Naaquiyah Massoumie lalu dikucup dengan penuh kemesraan. 

“Kuatkan iman, teguhkan rasa takwa kepada Allah, banyakkan berserah. Tetapkan hati supaya bersih selalu. Hati yang bersih itu ibarat lampu, qalbun salim - hati yang sejahtera, tenteram dan tenang,” ujarnya sejurus kemudian.

Naaquiyah Massoumie merenung anak mata Sharfik yang berkaca. Ada sinar ketenangan di situ. Di dasar nubari dia bersyukur, kendati hidup dalam lara tetapi dianugerahkan Tuhan seorang suami yang baik, beriman dan penyayang. Suaminya itu amat mengambil berat dan turut sama menanggung segala duka lara yang menjerba hidup. Dia amat bersyukur kepada Tuhan kerana dianugerahkan seorang lelaki yang bernama Sharfik untuknya.

* * *

Hari tenang. Matahari bersinar terang di pundak langit. Awan slapis cantik terbaring di serata pojok di cakerawala membiru. Silir sendalu pula sepoi mendamaikan. Di atas pusara ayah dan ibunya, Naaquiyah Massoumie berteleku lama. Puluhan demi puluhan doa menujah tabir langit Edabynatanz seolah-olah mengiringi perjalanan gemulah yang jauh dan panjang. Langsir langit bagaikan terkuak lebar menerima doa yang dibaca. Elusan lunak awan gemawan di pundak langit itu seakan memluk erat sekujur tubuh yang sering dihenyak pelbagai penderitaan hidup.

“Hari dah petang, Quiyah! Ayuh kita pulang,” Sharfik memegang bahu isterinya.
Naaquiyah Massoumie segera bangun namun perlahan. Serasa amat berat untuk meninggalkan tanah perkuburan itu. Dia melihat ke jihat tapak rumah dan menyeluruhi kampung halaman yang sudah lama berdebu. Hanya puing-puing runtuhan disergap mesiu senjata api bahana perang. Mengirap mendadak wajah ayah, ibu dan sanak saudara yang telah terkorban ke sepasang mata. Perlahan-lahan pula air jernih menitis laju dari kelopaknya.

Pulang dari Ebadynatanz petang itu, Naaquiyah Massoumie berasa seolah-olah ada kelainan pada tekaknya. Sekilas dia menjeling sohan di atas meja kecil pinggir katil. Kandi rapuh dengan pistachio yang dibeli Sharfik di pinggir jalan menuju ke bandar Qom petang tadi, masih tersadai di situ. Tidak teringin pula hendak dihabiskan. Tekaknya terasa loya dan memual-mual. Barangkali juga kerana terlalu banyak memakan sohan ni, bisik hatinya.

Keluhan mencerlus tanpa dapat ditahan. Naaquiyah Massoumie mengurut-ngurut tekaknya. Gaz yang masih berbaki juga turut menjadi panahan matanya ketika itu. Itu kesukaan Sharfik. Suaminya itu tidak pernah melepaskan peluang membeli gaz jika berkesempatan berkunjung di daerah itu.

Tiba-tiba Naaquiyah Massoumie berasa seperti hendak muntah. Sesuatu dirasakan sedang menjolok anak tekak. Galak benar rasa mual dan loya itu menggelodak tenggorok dan isi perutnya.

“Ya Allah, kenapa dengan tekak saya ni, bang!” Naaquiyah Massoumie bagaikan kehilangan tanda tanya. Jelas wajahnya pucat lesi.

“Kenapa? Kenapa Quiyah?” Sharfik yang ketika itu baru saja selesai bersembahyang maghrib di sisi katil, gesit menerpa.

Naaquiyah Massoumie tidak menjawab sebaliknya memekup mulut dengan kedua belah tapak tangan.

“Kamu sakitkah?” tanya Sharfik lagi. Belakang isterinya itu diurut-urut mesra serentak mengusap wajah isterinya itu yang jelas pucat lesi.

Berjurus-jurus kemudian, barulah Naaquiyah Massoumie kelihatan te-nang lalu terduduk di birai katil. Dahinya berpeluh seolah-olah baru lepas berlari di tengah padang yang panas.

“Abang rasa kamu ni salah makan, tak?” duga Sharfik. “Dah lama tak makan sohan dan gaz, barangkali…”

“Entahlah, bang!” Naaquiyah Massoumie menarik nafas panjang. “Saya rasa tekak ni berlainan benar. Tak pernah saya rasa macam ni sebelum ni. Mual dan loya macam tercium hanyir ikan mentah!” Suaranya lembut namun tertahan-tahan. Badannya segera disandarkan ke pundak Sharfik. Pantas pula Sharfik mengelus rambut yang mengurai menutupi muka isterinya itu.

“Kalau begitu, kita harus berjumpa dengan doktor!” usul Sharfik.

“Tak payahlah, bang! Saya rasa tak ada apa-apa… sekadar loya sikit saja...”

“Jangan begitu, Quiyah!” gesit cantas Sharfik sedikit gerah. “Abang bimbangkan kesihatan kamu. Kita kena jumpa doktor!” tegasnya lagi. Dalam hatinya tetap berdebar dan menggerutup. Seharian di tanah kelahiran Naaquiyah Massoumie memungkinkan isterinya itu diserang bawaan kuman penyakit.

Kawasan perkampungan itu kontang dan tandus, sekadar angin gersang yang berkesiur saban detik. Sejak meletusnya perang, ramai warganya sudah berpindah. Ramai juga yang berkubur di situ. Yang tinggal kini hanya puing-puing runtuhan dan sisa-sisa ledakan bom dan mortar memenuhi kawasan sekitar.

Mahu tidak mahu Naaquiyah Massoumie terpaksa akur kata suaminya. Mereka bertandang ke sebuah klinik yang letaknya tidak berapa jauh dari hotel penginapan untuk menerima rawatan.

Malam tersebut, Kota Isfahan penyaksi segala. Berita dari doktor yang merawat Naaquiyah Massoumie amat meng-gembirakan. Sudah sebulan perempuan itu mengandung. Zuriat dambaan sudah memurup subur di dalam rahimnya.

Sepanjang malam itu Sharfik menadah syukur ke hadrat Ilahi. Tidak sia-sia dia memasrahkan seluruh harapan dan doa penuh sabar kepada Khalik. Mendadak surah ar-Raad, ayat 23-24 menyapa ruang ingatannya: ‘Dan malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu, memberi hormat dan berkata: ‘Selamat sejahtera kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu’.

“Kenapa abang tersenyum-senyum ni?” Naaquiyah Massoumie bertanya sewaktu melihat Shaufik tersenyum memandang ke jihat Masjid-e-Jome Atiq melalui daun tingkap bilik penginapan yang terkuak lebar.

“Masjid tu tempat kita bersatu dulu!” ujar Sharfik.

Naaquiyah Massoumie turut tersenyum.

“Juga tempat terakhir abang mendoakan zuriat kita!” Sharfik meneruskan.

“Allah tidak pernah menghampakan doa hamba-Nya, bang!” balas Naaquiyah Massoumie lalu mencubit pipi suaminya penuh kasih sayang.

“Dalam surah Ibrahim: ayat 7 Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud: ‘Sekiranya kamu bersyukur, nescaya Aku tambahkan, sekiranya kamu kufur, sesungguhnya penyiksaan-Ku amat pedih,’” ujar Sharfik sambil tersenyum.

Naaquiyah Massoumie turut tersenyum.

“Kita akan meninggalkan kota Isfahan esok!” tegas Sharfik dengan wajah yang ceria.

Naaquiyah Massoumie sekadar menadah syukur yang tidak terhingga.

“Deria yang menghambat sudah berlalu pergi. Segala resah sudah terungkai di Isfahan ini. Moga-moga, emak abang akan gembira dengan berita ini!” ujar Sharfik lagi seraya merangkul kemas tubuh Naaquiyah Massoumie dan membiarkan air mata isterinya itu membasahi dada. Dia tidak ingin menyekanya. Biarlah air mata itu menjujuh deras.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA