Isnin, 15 Mac 2010

Rindu Abadi

SMAHADZIR 

OMBAK Laut China Selatan melanggar pantai, meninggalkan buih-buih putih lalu dikejar burung-burung kedidi yang tertonggek-tonggek. Hari masih pagi, yang masih muda. Suhu sekeliling dinginnya mencokot tulang temulang dibaur tiupan bayu samudera. Kesegaran dari tengah perut Laut China Selatan seperti hambar. Jerubu kabus berkelun-kelun mengusap permukaan riak yang bergulung selapis mengapungi sekitarnya.

Di satu sudut, tercegat Maria Allemar. Dia di antara tetamu terawal yang menanti di pelabuhan itu. Maria Allemar tiba di situ bersama bekas majikannya. Hari ini merupakan hari terakhir dia menetap di Negeri Bawah Bayu ini. Memang dia meminta dihantar awal ke pelabuhan ini walaupun kapal yang akan belayar ke Mindanao dijadual berlepas pada jam sembilan pagi. Angin desa kelahiran seolah-olah meruntun hatinya supaya cepat-cepat bertolak meninggalkan bumi Malaysia. Ombak kerinduannya sudah mencuar membuak di dalam dada.

Wajah Maria Allemar ceria kala diusap bayu dingin yang berhimpang dari laut. Hatinya berasa bagaikan digamit-gamit ke Malaybalay secepat mungkin. Dadanya bergolak tidak sabar lagi seperti mahu melupakan terus Sipilok yang telah mencorakkan untaian riwayat hidup pada dirinya itu.

Sesungguhnya, sudah lebih empat tahun Maria Allemar meninggalkan kota kelahirannya iaitu Malaybalay di Pulau Mindanao, menjadi perantau ke Malaysia Timur setelah merentasi tiga buah lautan - Laut Mindanao, Laut Sulu dan Laut China Selatan lalu berlindung di bawah bumbung sebuah rumah mewah keluarga kaya berbangsa Kadazan di Sipilok ‘orang utan sanctuary’, sebuah nama tempat terkenal yang sering diceritakan oleh teman-teman sekelahiran yang pulang. Sejak mendengar cerita-cerita itulah Maria Allemar menyimpan hasrat dan angan-angan yang menggunung untuk merantau mengadu untung nasib di negeri orang.

Lebih empat tahun Maria Allemar terpaksa berjauhan dengan Miguel, suami yang terpaksa dikahwininya kerana desakan orang tua. Sememangnya dia terdidik sejak kecil mematuhi cakap orang tua. Kebetulan, kehidupan di Malaybalay yang dihimpit pelbagai kesempitan, memaksa jodohnya dipercepatkan.

Pun perinsip dirinya sendiri sebagai gadis pingitan Mangguagan membuatnya akur total kepada apa saja yang diarahkan oleh ibu bapa. Justeru itulah, putih atau hitam kata ibu bapa, itulah warna atau corak yang diterimanya dengan akur, tanpa sebarang bantahan.

Di paras separuh kerelaannya, Maria Allemar menerima saja arahan orang tua walaupun pada ketika itu, masih ramai lagi rakan-rakan sebayanya yang merantau kerana ingin mengubah bentuk hidup. Ada yang berhijrah ke Pulau Luzon, ada yang berhijrah ke Pulau Visayas dan tak kurang juga yang berhijrah ke Malaysia. Memang ada cita-citanya untuk mengikut jejak rakan-rakannya itu tetapi kerana dikahwinkan terlalu muda, terpaksalah dia memendamkan saja hasrat tersebut.

Maria Allemar rela dan redha. Dia tidak pernah sekali-kali menyalahkan takdir atau jodoh yang sudah ditetapkan Tuhan untuknya. Dia yakin, sebagai seorang suami Miguel mampu memberikannya biar secubit kebahagiaan pada diri dan hidupnya. Walaupun dia sedar, Miguel suaminya itu sekadar bekerja sebagai penjual halo-halo di Malaybalay yang pendapatannya tidak seberapa. Dia tetap pasrah dan redha. Dia juga yakin, tentu ada cara yang lain yang mampu mengubah bentuk kehidupan mereka pada suatu hari nanti.

Setahun selepas Emilio iaitu zuriat pertamanya dilahirkan dikuti pula Ermita dua tahun kemudian, kehidupan Maria Allemar sekeluarga mulai dipanah sempit. Kegetiran hidup tambah meruncing. Ditambah iklim politik negara yang bergolak membahang ketika itu, menyukarkan lagi sumber rezeki warga Kota Malaybalay diraih ke riba. Hasil jualan halo-halo jajaan Miguel tidak menampakkan cerah pada rumah tangga dan anak-anaknya. Perit kehidupan semakin hari semakin parah.
Lalu Maria Allemar bertindak nekad, memberanikan diri dalam usia mencapai lapan belas tahun mengharung gelora Laut Mindanao dan Laut Sulu serta Luat Cina Selatan. Azam dan tekadnya membundar satu. Keputusan sudah sepakat bersama Miguel.

Lantaran desakan hidup yang terlalu meruncing, si suami terpaksa mengizinkan si isterinya merantau walau tidak tergalas beban perasaan. Keperitan hidup harus diutamakan kerana anak-anak semakin membesar.

“Bukan saya seorang yang merantau ke Malaysia sana, ramai lagi rakan-rakan saya ada di sana. Apa yang perlu abang bimbangkan!” Maria Allemar menyiram ketenangan di hati Miguel. “Mereka juga mengalami nasib yang sama seperti kita. Suami mereka pun rela ditinggalkan demi sebuah kehidupan hari esok yang lebih terjamin.”

“Kamu pasti di sana nanti banyak kerja yang menanti?” tanya Miguel.

“Pasti, bang! Menurut kata rakan-rakan saya yang pernah bekerja di sana, Malaysia sebuah negara yang kaya. Bukan macam negara kita ini. Di sana rakyatnya hidup aman, negaranya maju dan banyak peluang-peluang kerja terutamanya untuk wanita macam saya. Kami boleh bekerja sebagai pembantu rumah, bekerja di kedai-kedai kopi atau bekerja di kilang-kilang kecil. Pendapatannya juga besar kerana mata wang Malaysia besar dari peso.”

“Tapi, bila di sana nanti, jaga dirimu baik-baik!” pesan Miguel.

“Baiklah, bang!” Maria Allemar tersenyum.

Selama lebih empat tahun Miguel terpaksa hidup kesepian di Malaybalay bersama dua orang anak mereka, Emilio dan Ermita. Pendapatannya tidak seberapa namun cukup untuk mereka bertiga hidup di dalam sebuah rumah yang kecil dan usang.
Sedangkan Maria Allemar juga sering dihenyak kerinduan di bumi Sabah. 

Kerinduannya sering berbunga, merimbun semerbak terutama terhadap dua orang anaknya. Kerinduan itu amat sarat dan serasa akan berderai sekiranya tidak diubati dengan cepat.

Memang benar, Malaysia adalah sebuah negara yang kaya, maju dan makmur. Kehidupan di negara ini lebih terjamin. Rezeki melimpah ruah di mana-mana, asal saja ada kemahuan dan kerajinan untuk menggarapnya. Selama lebih empat tahun itu, Maria Allemar telah berjaya mengumpul wang sebanyak lebih kurang RM 20 ribu yakni bersamaan 21 juta peso, hasil dari upah menjaga dua orang anak berumur 6 dan 8 tahun, mengemas rumah, menyiram pokok-pokok bunga orkid serta sekali sekala membasuh pakaian dan memasak.

Wang sebanyak 21 juta peso itu sesungguhnya amat lumayan buat Maria Allemar. Hasil jualan halo-halo jajaan Miguel selama sepuluh tahun di Malaybalay pun tidak mungkin sebanyak itu. Mengenangkan hakikat tersebut, tiba-tiba dia tersenyum lebar.

Sebagai manusia yang pernah dihenyak kegetiran hidup, Maria Allemar bersyukur kerana setelah berjimat cermat, dia berjaya mengumpul wang dari titik peluhnya sendiri untuk dibawa pulang. Sememangnya, dia wajar bersyukur kerana makan dan minumnya ditanggung percuma sepanjang dia berada di rumah mewah itu. Lantaklah apa saja yang diinginkan tekaknya, segalanya sudah ada dan tersedia di depan mata. Pakaiannya juga sering dibelikan oleh isteri majikannya setiap hujung bulan.

Majikannya orang kaya, hartawan, wang ringgit umpama air yang mencurah dari kolong atap kala musim hujan. Hasil perniagaan dari pembalakan yang dipugar dari hampir sesuku belantara tebal Negeri di Bawah Bayu menjadi miliknya.
Apa yang mahu dihairankan dan siapa yang tidak kenal dengan majikannya, Datuk Jatim Endeng itu. Datuk Jatim Endeng ialah seorang jutawan balak yang nama serta gambarnya sering saja terpampang di dada-dada akhbar dan kaca televisyen. Maria Allemar tersenyum lagi.

Maria Allemar yakin, dengan wang peso hampir 21 juta itu nanti, sudah tentu dia dapat mengubah hidup Emilio, Ermita dan Miguel juga. Kehidupan mereka berempat tidak akan seperti dulu lagi yang terhimpit dihenyak kesempitan. Jumlah wang sebesar itu akan menjulang kehidupan mereka sekeluarga sebagai ‘orang kaya baru’ di Malaybalay.

Sebenarnya, sejak di Sipilok lagi Maria Allemar sudah merangka angan dan hasrat murni tersebut. Setelah pulang ke Malaybalay, suaminya sendiri akan menggunakan pengalaman yang ada dibaur modal yang dibawa, untuk membuka sebuah gerai halo-halo di tanah kelahirannya itu. Kalau boleh, biarlah gerai halo-halo itu bertaraf restoren. Dia yakin, halo-halo boleh dikembangkan secara komersial.

Semoga dengan cara itu saja, kehidupan mereka anak beranak akan kembali cerah. Ditambah dengan iklim politik negara Filipina yang sudah kembali stabil. Ekonomi rakyat sudah semakin pulih dan pergeseran antara kaum juga sudah berupaya dibendung oleh pemerintah. Semuanya itu membuatkan hati Maria Allemar memurup gembira. Warna-warna gemilang dan cemerlang bagaikan sudah bergentayangan di ruang matanya.

Dalam soal ini, Maria Aller tidak pernah melupakan jasa insan yang pernah membantunya di Sabah ini. Dia amat berterima kasih kepada majikannya Datuk Jatim Endeng dan Datin Sherley kerana sanggup mengambilnya sebagai orang gaji sekali gus melindungi serta membantunya mendapatkan permit kerja dan tinggal yang sah termasuk SPLP sejurus dia menjejakkan kaki di rumah mewah itu. Mereka juga menganggapnya seperti ahli keluarga sendiri.

Kebetulan, majikannya itu sering mengaku bahawa Datin Sherley juga berasal dari Filipina tetapi berlainan tempat dengan Maria Allemar. Datin Sherley berasal dari Kalibo di Pulau Panay. Ini membuatkan hati Maria Allemar amat gembira kerana bekerja di rumah majikan senegara. Khabarnya, Datin Sherley itu dari suku kaum Taga Kaolos.

Puas melayan lamunan, Maria Allemar mendongak ke langit Pelabuhan Sandakan yang akan ditinggalkan sebentar lagi. Sitratus putih berarak tenang. Sinar mentari suam menerjah ke riak alun. Bayu Laut China Selatan semakin galak menderu dan mengasak-ngasak lunak ke daun telinga membawa bersama haruman hambar dari tengah segara.

Orang ramai sudah mulai memenuhi ruang berlepas Pelabuhan Sandakan. Kebanyakan mereka tentunya penumpang dan pekerja-pekerja pelabuhan yang sedia menabur khidmat di situ. Penumpang-penumpang pula sebahagiannya pastilah mahu pulang ke kampung halaman masing-masing seperti dia juga. Sesungguhnya, Maria Allemar yakin dari beg besar yang dibawa, dijinjing dan digalas oleh penumpang-penumpang tersebut.

Maria Allemar melontarkan renungan jauh ke alun ombak Laut China Selatan. Jerubu kabus semakin menipis. Kolek-kolek nelayan tempatan kelihatan berbalam-balam di kejauhan. Ingatannya tiba-tiba mendarat ke Malaybalay, di celah-celah rasa riang bakal memburaikan ombak rindu dendam kepada Emilio yang sudah berumur 6 tahun dan Ermita yang sudah menjangkau 4 tahun.

Lebih empat tahun pipi-pipi gebu anak kesayangannya itu tidak dijamah, wajah-wajah mereka tidak dibelai dan diusap manja. Dia tidakpasti lagi bagaimana agaknya wajah dua orang anak-anaknya itu kerana sewaktu ditinggalkan lebih empat tahun yang lalu, mereka masih lagi kecil. Apakah mewarisi kejelitaannya atau ketampanan Miguel?

Mengingatkan suaminya itu, entah kenapa tiba-tiba saja darahnya tersirap ke muka. Dadanya mendadak menggerutup dengan debaran yang amat mengencang. Hatinya menggigir bergoncang. Perasaannya berbaur aduk - resah, bimbang, malu, kesal dan sebagainya. Suhu darah di unjap jantung turun naik melepasi paras hipentensi. Dia kehairanan kenapa jadi begitu terutama kala wajah Miguel itu terbayang di ruang mata. Rasa resah dan gelisah mulai menjerba mencakup seluruh diri.

Debarannya gesit mereda apabila kapal ke Pulau Mindanao mulai bergerak membelah ombak Laut China Selatan yang bergulung selapis. Semakin lama semakin jauh ke tengah meninggalkan Pelabuhan Sandakan dan Negeri di Bawah Bayu. Sejurus kemudian, kapal itu mulai terbuai-buai di olak alun yang semakin kasar dari tengah segara luas.

Sesekali Maria Allemar melontarkan panahan matanya keluar melalui tingkap cermin kecil yang berada di sisi tempat duduknya, melihat alunan ombak Laut China Selatan itu mendorong kapal ke destinasi.

Beberapa saat saja, pantas dihela kembali pandangan ke ruang kapal, melihat para penumpang yang pelbagai ragam dan wajah. Dia tidak berani merenung lama-lama ke arah ombak kerana takutkan kemabukan laut.

Pengalaman pertama sewaktu menyeludup masuk ke Sabah dulu masih memarut besar pada dirinya. Dia kemabukan sampai menghambur muntah hijau tatkala bot kecil yang dinaiki dilambung dan dihempas gelombang.

Sedang kemabukan masih berpestaan, mereka terpaksa pula lari menyelamatkan diri dari pasukan merin laut yang memburu pendatang tanpa izin. Namun begitu, nasibnya amat baik kerana sempat melarikan diri dan terselamat di rumah majikannya sehingga sekarang.

Kini Maria Allemar berasa sudah bebas dari mimpi ngeri tersebut. Dirinya selamat dari sebarang tangkapan pihak berkuasa Malaysia kerana sudah mempunyai sekeping pasport antarabangsa yang dibuat oleh majikannya. Kerana jasa-jasa Datuk Jatim Endeng dan Datin Sherley terhadapnya itulah yang membuatkan dia berada di atas kapal ini sekarang untuk pulang ke kampung halaman.

Di perut kapal tersebut, Maria Allemar bersama entah berapa ramai manusia sewarganegara dengannya yang sama-sama akan pulang ke desa kelahiran masing-masing setelah mencurah keringat dan tenaga empat kerat di negara tetangga. Wajah masing-masing rata-rata berseri ceria mengendong saku sarat berisi hasil meredah lautan yang buas dan ganas itu.

“Kakak mahu pulang ke mana?”

Satu suara seorang perempuan agak sebaya umurnya yang sejak di Pelabuhan Sandakan lagi duduk di sisi, mencerlus mengejutkan Maria Allemar dari ngeluyur benak. Pendengarannya yang ingin meladeni irama Tagalog di corong radio tiba-tiba saja jadi terbantut. Maria Allemar sedikir kemamar.

“Kakak mahu pulang ke mana?” Perempuan itu bertanya lagi.

“Malaybalay!” Sepatah dia menjawab kemudian senyum.

“Seorang diri?”

Maria Allemar angguk. Namun senyuman masih murup menguntum segar, jelas mempamerkan usianya yang masih muda belum mencecah suku abad.

“Di Sabah, kakak bekerja di mana?”

“Di Sipilok, errr kamu?”

“Saya di Petrajaya, Kota Kinabalu, Semporna dan sampai ke Malaysia Barat seperti Pulau Pinang, Ipoh dan juga Johor Bharu!”

“Wah, banyak benar tempat kerjanya. Tentu lumayan juga hasilnya?”

“Boleh saja!” Perempuan itu tersenyum lebar.

“Baguslah, yang penting kita berjimat cermat. Tentu mampu buat simpanan untuk masa depan yang lebih terjamin.”

Perempuan itu mengangguk.

“Err, adik mahu pulang ke mana?” Maria Allemar pula bertanya.

“Saya cuma tinggal di Palawan,” perempuan itu tersengih bangga menyebut nama tempat kelahirannya.

Sebenarnya dia sudah hampir enam tahun tidak mengelu ke kampung halaman. Pulang kali ini dengan satu tekad kukuh tidak mahu kembali lagi ke Malaysia. Hasil titik peluh selama hampir enam tahun dapat dikumpul secara tunai. Pulang ke Palawan bercadang mahu me-ngubah corak hidup yang lebih baik.

Sejarah hidup yang bergelumang dengan warna gelap dan kotor di bumi Malaysia akan dilenyapkan terus dari kamus diri. Itulah tekad dan azamnya. Hasil wang panas yang dirangkul ke diri dari kelab-kelab malam, salon-salon kecantikan dan beberapa buah rumah tumpangan di sekitar kota-kota besar seluruh Malaysia selama hampir enam tahun itu terhimpun lebih kurang 35 juta peso sesudah ditolak belanja makan, pakaian dan sewa, dirasa melebihi daripada cukup.

“Errr, kakak sudah kahwin?” perempuan Palawan itu bertanya lagi beberapa jurus kemudian.

Maria Allemar gesit mengangguk.

Perempuan Palawan tersebut rasa terkedu sejenak. Dia juga bercadang mahu berkahwin dengan pemuda sebangsa di Palawan. Selama ini istilah perkahwinan memang tidak pernah wujud dalam dunia persundalannya.

Tiba-tiba gelemayer matanya meliar ke seluruh tubuh Maria Allemar. Maria Allemar pula merenung tunak ke wajahnya seolah-olah mencari sesuatu rahsia di situ.

“Kakak sudah punya anak?” perempuan Palawan itu menutup rasa resahnya dengan pertanyaan tersebut.

“Ya, sudah dua!” Maria Allemar tersenyum.

Perempuan Palawan tersebut gesit diam. Matanya kembali bergenang seraya melepaskan pandangan ke laut lepas. Bagi Maria Allemar pula, jawapan yang dicerluskannya itu sungguh membahagiakan. Gesit saja terbayang senyuman di wajah kesayangan Emilio dan Ermita.

Tetapi, dadanya tiba-tiba pula berdebar kencang kala wajah Miguel seakan-akan pudar di ruang matanya. Darahnya menyirap semula. Jantungnya akas menggelentar menggerutup seluruh ruang diri. Senyum Miguel bagaikan sinis sekali menggapai bayang ingatannya. Suhu tubuh gesit membahang meruap di seluruh juzuk diri. Kenapa aku jadi begini? Maria Allemar dijerba persoalan dan tanda tanya yang mendadak.

Di Puerto Princesa, mereka berpisah. Perempuan Palawan tersebut mengucapkan selamat jalan dan berharap akan bertemu lagi. Maria Allemar hanya tersenyum. Dalam perut kalesa untuk ke Zamboanga dan Marawi, hati dan perasaannya bercampaur baur.

Gembira bercampur resah yang bukan kepalang. Gelisah dan walang. Senyuman Emilio dan Ermita mencapai suka manakala wajah Miguel menggapai duka. Darahnya menyirap lagi. Kenapa begitu jadinya?

* * *

Kota Malaybalay masih lagi jauh. Kini baru melintasi Kota Dipolog, sudah hampir sepuluh jam. Air Terun Maria Cristina bagaikan menggamit kepulangan seorang anak rantau di bumi orang. Untuk sampai ke kampung kelahirannya, masih ada sehari semalam lagi. Dia akan melalui beberapa buah bandar dan pekan kecil seperti Ozamis, Marawi dan Cagayan de Oro sebelum merentas kawasan perkampungan masyarakat Babogos, Manobos, Mandaya, Kulaman dan Bilaan. 

Dari Cagayan de Oro ke Malaybalay, memakan masa lebih lapan jam pula.
Maria Allemar mengira-ngira, sehari lagi di perjalanan akan sampailah dia dan kala itu dapatlah dia menatap puas-puas wajah Emilio dan Ermita. Wajah Miguel kini semakin jelas di pandangan matanya. Suaminya itu seolah-olah sedang tersenyum mengejeknya. Amat sinis sekali. Terus-terusan dadanya berdebar. Darah di unjap jantungnya tambah membahang. Ya Tuhan… Kenapa aku jadi begini?

Maria Allemar mengeluh panjang dan rengsa. Fikirannya tiba-tiba pula melayang ke Sipilok. Sejarah tidak terduga telah tercatat dalam kamus dirinya. Sejarah itu bermula pada suatu pagi hari minggu. Pagi yang suam dan hening. Ketika itu dia sedang berada di hadapan rumah mewah majikannya seraya meladeni angin pagi yang segar bertiup dari kehijauan alam sekitar kawasan.

“Hei Maria! Apa yang kamu menungkan ni?”

Ketenangan diri Maria Allemar tergugah oleh suara kejutan tukang kebun merangkap pemandu peribadi Datuk Jatim Endang dan Datin Sherley.

“Ah, Abang Mandar ini memeranjatkan saya saja!” balas Maria Allemar seraya mengurut-ngurutkan dadanya.

“Apa kamu buat di sini?” tanya Mandar.

“Saya cuma ambil angin di sini saja!” ujar Maria Allemar. “Kerja rumah dah siap. Dari tak ada apa-apa yang nak dibuat, lebih baik saya rehat di sini. Udara di sini lebih segar, dingin dan nyaman!”

“Saya pun baru selesai cuci kereta Datuk tadi. Sekarang pun bercadang nak rehat juga!” balas Mandar seraya tersenyum.

“Kenapa Abang Mandar tak hantar Datin Syerley ke kelab tadi?”

“Dia mahu pandu keretanya sendiri!”

“Selalunya, kalau hari-hari minggu begini, Datin suka dihantar dengan Mercedes…”

“Katanya, dia mahu pulang lewat sikit kerana ada perjumpaan dengan datin-datin yang lain.”

“Kenapa pula Abang Mandar tak hantar Datuk ke padang golf macam selalu?”

“Datuk pun kata macam tu juga. Dia nak pandu sendiri kereta Perdananya tu. Dia nak pulang lewat sikit sebab nak jumpa rakan lama.”

“Wah-wah, rehat banyaklah Abang Mandar hari ni!” Maria Allemar separuh bergurau dengan pemandu majikannya itu. Memang selama ini kemesraan mereka tidak pernah dicurigai oleh sesiapa pun. Mereka sama-sama mencari rezeki di bawah satu bumbung. Maria Allemar tahu, Mandar adalah warga Indonesia yang merantau sepertinya juga.

“Kerja macam saya ni memang banyak rehat, tak macam kerja kontrak bina rumah atau bangunan,” Mandar tersengih-sengih lalu melabuhkan punggungnya di atas birai pasu bunga kertas tidak berapa jauh dari situ. “Ehh, saya dengar Maria mahu pulang ke Filipina tak berapa lama lagi. Betulkah?”

Maris Allemar tersenyum. “Betul… tapi dari mana pula Abang Mandar dapat tahu berita ni?”

“Datuk dan Datin yang beritahu!” ujar Mandar. “Khabarnya kamu tak mahu pulang lagi ke mari.”

“Begitulah yang saya fikirkan!”

“Kamu benar-benar rugi besar, Maria!”

“Apa yang ruginya?”

“Kamu meninggalkan kerja yang baik, majikan yang baik dan juga gaji yang baik di sini!” Mandar bagaikan kesal dengan keputusan yang telah dibuat oleh Maria Allemar.

“Saya ada suami dan anak, Bang Mandar! Sampai bila saya harus berjauhan dengan mereka!”

“Habis, kamu ingat saya ini tak ada isteri, tak ada anak? Saya sudah ada tiga orang anak di Surabaya sana. Tapi, saya tak pula mahu meninggalkan kerja yang lumayan ni. Setiap tahun saya boleh pulang tengok anak dan isteri saya di kampung halaman.”

“Abang Mandar orang lelaki. Saya ni orang perempuan. Jangan samakan saya dengan abang!” tingkah Maria Allemar mempertahankan pegangan hidupnya.
Mandar tersenyum simpul. “Barangkali kamu ini terlalu rindukan suami kamu tak?”

“Saya lebih rindukan dua orang anak-anak saya yang sudah lebih empat tahun berpisah dengan saya,” tegas Maria Allemar dengan jujur.

“Bagus… bagus kalau itu yang kamu rindukan,” balas Mandar. “Sebagai seorang ibu, itu yang harus kamu rindukan. Anak-anak adalah zuriat kita yang akan melindungi kita hari tua esok. Kalau kita tak pedulikan mereka, mereka pun tak akan pedulikan kita bila kita sudah tua nanti.”

“Maksud Abang Mandar, saya tak perlu rindukan suami saya sendiri?” Maria Allemar ingin menduga.

“Benar!” ujar Mandar. “Sebagai seorang perempuan, kamu tak perlu fikirkan tentang suami kamu bila berjauhan begini…”

“Eh, kenapa pula?” Maria Allemar seperti terkedu.

“Saya ini orang lelaki, Maria…”

“Saya pun tahu yang Abang Mandar seorang lelaki. Tapi, apa kena mengenanya dengan suami saya?”

“Suami kamu juga seorang lelaki, bukan?”

“Benar!”

“Jadi, lelaki itu sama sahaja seperti saya.”

“Apa maksud Abang Mandar berkata begitu?”

“Seorang lelaki tidak akan setia kepada isterinya terutama bila sudah berpisah hampir empat tahun macam yang kamu alami ini. Dia tentunya akan mencari perempuan lain sebagai pengganti!” Mandar mengangguk dan tersengih.

“Itu Abang Mandar sendiri dan bukannya suami saya!” balas Maria Allemar tidak dapat menerima hujah yang dianggapnya palsu itu. “Suami saya memang seorang lelaki tapi bukan macam Abang Mandar atau lelaki-lelaki yang lain. Dia seorang suami yang setia. Dia tidak akan berkahwin dengan orang lain. Kami sudah ada dua orang anak. Saya pasti, dia akan menunggu kepulangan saya. Selepas ini, kehidupan kami sekeluarga akan jadi senang dan kara raya.”

“Kamu tak usahlah berangan-angan yang terlalu tinggi, Maria! Saya ini lelaki dan saya tahu apa yang ada dalam jiwa seorang lelaki. Lelaki tidak pernah setia pada janjinya. Di depan kamu, dia memang baik tetapi kamu tahukah apa yang dibuatnya bila di belakang kamu? Saya bercakap bukan mahu membuat fitnah, Maria! Semua lelaki sama saja. Kalau kamu tak percaya, kamu pulang dan lihatlah nanti. Saya yakin, suami kamu sudah berkahwin dengan perempuan lain!” Mandar tersenyum sinis.

Wajah Maria Allemar gesit berubah jerau. Kata-kata pemandu merangkap tukang kebun majikannya itu bagaikan satu penghinaan terhadap suaminya di Malaybalay.
Mandar terus tersenyum. “Percayalah cakap saya, Maria! Suami kamu sudah berkahwin lain. Kamu pulanglah dulu dan lihat sendiri, apakah kata-kata saya ini benar atau omong kosong. Jadi, kamu tak usahlah simpan angan-angan untuk membawa kesenangan kamu untuk dia. Bawalah kesenangan kamu untuk dua orang anak kamu saja. Mereka lebih memerlukan dari kamu! Percayalah pada saya, Maria!”

“Bohong!” suara Maria Allemar mulai bernada gerah. Dia tidak dapat menerima kata-kata yang berunsur fitnah itu. “Suami saya seorang yang baik. Abang Mandar tidak berhak untuk menghinanya.”

“Saya bukan menghinanya, Maria! Saya berkata yang benar, dari hati seorang lelaki.”

“Jangan samakan suami saya dengan Abang Mandar!”

“Semua lelaki sama saja, Maria!”

Maria Allemar bagai dilamun api amarah yang menggunung. Tanpa sedar, batang penyapu yang dipegangnya terus terhayun dan hinggap ke kepala Mandar. Darah memercik pantas ke tanah. Maria Allemar sendiri tergamam jola lebih-lebih lagi tatkala melihat Mandar terselepok jatuh tanpa sedarkan diri.

Namun begitu, kejadian tersebut selesai dengan aman. Datuk Jatim Endeng dan Datin Sherley dapat menerima alasan Maria Allemar. Mandar sendiri dapat memaafkan pembantu rumah dari Filipina itu dan mengaku keceluparan mulutnya.

“Maafkan saya Bang Mandar! Saya sendiri tidak sedar kenapa saya boleh memukul abang begitu!” ujar Maria Allemar sewaktu melawat Mandar di hospital.

“Abang yang bersalah, Maria! Abang ingat, gurauan abang tu boleh diterima dengan tenang oleh Maria. Rupanya Maria tak boleh…”

“Bukan begitu, Bang Mandar! Saya sebenarnya, tak dapat kawal perasaan saya waktu itu!”

“Sebab kamu terlalu sayangkan suami kamu!”

Maria Allemar tersengih dan tersipu-sipu.

Mengingatkan peristiwa yang tidak disangka-sangka itu, Maria Allamer tersenyum sendiri. Kasihan Mandar... pemandu merangkap tukang kebun majikannya itu baik orangnya. Tidak sepatutnya dia bertindak begitu terhadap Mandar. Bukankah Mandar sekadar bergurau saja?

“Mahu ke mana?”

Suara yang cagun tiba-tiba dari seorang lelaki tiba-tiba membebarkan lamunan berjelanya. Maria Allemar baru sedar yang dia sudah sampai di Cagayan de Oro.

“Mahu ke mana?” tanya lelaki itu lagi. “Saya mahu ke Bilaan dengan kelesa! Kalau mahu, boleh tumpang.”

Maria Allemar menggeleng seraya mencapai beg pakaiannya lalu terus ke stesyen bas yang letaknya tidak berapa jauh dari situ. Dari situ, dia sudah bercadang untuk ke Malaybalay dengan menaiki bas. Kala itu jam sudah menunjukkan pukul 7.00 malam.

Lebih kurang jam 8.30 malam, bas yang dinaikinya sudah melintasi daerah Bilaan. Dia berkeyakinan, kira-kira setengah jam lagi dia akan sampai ke Malaybalay. Jika cuaca baik atau tidak hujan, mudah mendapat beca atau kelesa dan dia dijangka tiba jam sembilan setengah atau sepuluh malam di rumah.

Tiba-tiba hatinya berdebar lagi. Perasaannya entah kenapa berasa resah dan gelisah tidak menentu. Kerinduan kepada Emilio dan Ermita, keresahan pada wajah Miguel. Apakah yang telah berlaku kepada suamiku itu? Hatinya tertanya-tanya.
Dia menjadi lebih resah kala mengenangkan perbualannya dengan Mandar tempoh hari. ‘Orang lelaki tak boleh dipercayai sangat. Aku ini lelaki, Maria! Aku tahu apa yang ada dalam diri seorang lelaki’. Bagaimana hati seorang perempuan alias isteri yang bersarang itu dapat hidup dalam aman andainya segala kata-kata yang pernah lahir dari mulut Mandar itu satu kenyataan?

Apakah akan dapat aku terima segala kenyataan itu andainya ia benar-benar berlaku dalam saat-saat keberangkatan pulang ini? Pelbagai persoalan mulai mendatangi kotak benak Maria Alemar.

“Ah, pedulikan!” detak hatinya cuba membenamkan rasa resah dan gelisah yang menghantui perasaan. “Aku tak percaya semua kata-kata yang pernah aku dengar. Aku harus mempercayai suamiku sendiri!”

Namun, dadanya tetap berdebar. Jantungnya terus bergetar dan seluruh perasaannya berkecamuk resah dan gelisah. Lebih-lebih lagi sewaktu beca berhenti di halaman rumahnya, bukan Miguel yang menjenguk tetapi ayah dan ibunya.

“Mana Emilio dan Ermita, ayah, emak?” soalnya sebaik beg pakaian di tangan diletakkan di atas meja kecil di ruang tamu.

“Mereka sudah pun tidur di dalam bilik!” ujar ibunya. “Hampir seminggu ini mereka berdua tak dapat tidur malam kerana terlalu gembira dengan berita kepulangan kamu.”

Maria Allemar tersenyum lalu segera masuk ke dalam bilik untuk melihat kedua-dua anak kesayangannya yang sudah lama ditinggalkan itu. Pipi Emilio dan Ermita dicium penuh kerinduan. Sejurus selepas itu, dia keluar semula ke ruang tamu. 
“Err, mana Miguel?” soalnya seraya merenung wajah ayah dan ibunya dengan kehairanan.

Ayah dan ibunya saling berpandangan sesama sendiri seolah-olah terlalu berat hendak meluahkan sesuatu.

“Mana Miguel emak, ayah?” Maria Allemar bagaikan tidak sabar ingin tahu tentang suaminya itu.

“Emak harap kamu dapat bertenang bila emak beritahu kamu tentang Miguel!” ujar ibunya berjurus-jurus kemudiannya.

“Kenapa dengan Miguel, mak?”

“Setahun selepas kamu pergi ke Malaysia, dia sudah berkahwin dengan perempuan lain!” jelas ayahnya. “Anak-anak tidak dipedulikan. Sekarang Miguel sudah berpindah ke kampung halaman isteri barunya di Bilaan dan sudah hampir tiga tahun tak pulang ke mari. Nasib baiklah anak-anak kamu di bawah jagaan kami.”
Maria Allemar terselepok di atas lantai. Benarlah kata Mandar dulu, bisik hatinya. Kaum lelaki tidak setia pada janji dan tanggungjawab. Perlahan-lahan air matanya menitis. Ombak kerinduannya terasa berderai jatuh satu persatu membedal segenap ruang yang mampu dicapai oleh pandangan matanya. Segala kekayaan yang digarap selama di Sipilok serasa tidak berguna lagi.

Namun kala memikirkan Emilio dan Ermita, tiba-tiba semangatnya kembali mencuar. Dia bertekad, kekayaan yang sudah digenggaman itu akan dibawa semula ke Sipilok bersama anak-anaknya. Dia yakin, Datuk Jatim Endeng dan Datin Sherley masih mahu menerimanya semula. Dia ingin terus hidup di bumi Malaysia sebagai warganegaranya yang sah.

* * *

Malam sudah tua malah bayangan pagi sudah mula mencelah namun Maria Allemar masih sukar mahu melelapkan matanya. Fikirannya terus menerawang. Terbayang keindahan ‘orang utan sanctuary’ yang sudah meronai untaian riwayat hidupnya penuh kebahagiaan.

Wajah majikannya Datuk Jatim Endeng dan Datin Sherley memahat erat di sanubari. Wajah Abang Mandar yang baik hati. “Aku akan kembali semula ke sisi kalian semua untuk hidup baru!” bisik hatinya. Akhirnya, Maria Allemar terlena di jendela pagi bersama ombak rindunya yang abadi.


Glosari:

Halo-halo:
sejenis makanan dari campuran buah-buahan, ais, santan kelapa, jagung manis dan kacang. Makanan ini amat popular di kalangan rakyat Filipina. Ianya banyak dijual di warung-warung kecil atau dijaja ke sana ke mari.

Kelesa:
sejenis kenderaan seperti kereta lembu, beroda dua yang ditarik oleh kuda. Kenderaan ini amat terkenal di wilayah Mindanao, Pulau Visayas, Luzon, Pulau Panay dan lain-lain lagi terutama di bandar-bandar besar sebagai daya tarikan kepada pelancong asing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA