Isnin, 15 Mac 2010

Kasih Monte Berochi

(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Dewan Kosmik terbitan Karangkraf Sdn Bhd dan telah diantologikan dalam antologi Satu Dimensi)

SMAHADZIR 

KASIH melepaskan puing cinta pada setiap juzuk Monte Beroci. Biar menjadi debu berterbangan dan melenyap di celah kehijauan tanpa cemar di situ. Kasih tidak mempercayai cinta lagi. Cinta itu dusta, cinta itu palsu dan cinta itu membuatkan diri pernah jadi nano tidak keruan. Perasaan libang libu berkecamuk dengan cabuh jiwa kerana cinta yang punah, sirna tanpa rela.

Teman turut gembira dengan wajah ceria Kasih. Semoga perubahan ini berterusan. Semoga kasih dapat menerima hakikat hidup. Cinta mencintai, bahagia kecewa adalah lumrah kehidupan. Ceria wajah Kasih turut meronai rasa senang hati Teman. Sudah seminggu mereka di sini. Ini hari kelima keceriaan figura Kasih serlah.

Dari beranda Vila Valmarana Ai Nani, Kasih membiar diri dicumbui wayu dingin yang mendesah. Mentari Vicenza pudar sebam di pundak langit, sesekali malu-malu di tabir awan gemawan. Teman mendekat. Keasyikan meladeni suasana indah tergugah.

“Aku harap kau gembira di sini!” cerlus suara Teman menyapa copeng telinga. “Kau dapat melupakan kisah lara silam dan tentunya kita akan pulang dengan ceria.”
Kasih sekadar angkat pundak seraya mata menunak perabot-perabot antik sekitar ruang rumah tetamu. Unik dan sarat kreativiti. Di situ dihumbankan lagi segala lara yang cagun dalam diri.

“Sebelum pulang ke tanah air, kita akan ke Asolo!” Teman mencerlus lagi, persis merayu bual. “Bandar beratus horizon. Kecil tapi cantik, unik dan kaya sejarah!” menokok taklimat ringkas.

Kasih gesit senyum. Jelas senang dengan ungkapan Teman. “Aku lebih suka gelaran ‘Mutiara Veneto’!” ujarnya polos. “Dulu pusat Kerajaan Roman pada kurun pertama sebelum masehi, dianugerahi gelaran ‘Daerah Paling Disanjungi’ pada 1338!” Senyum memurup bangga dengan pengetahuan diri.

Teman terjegil kagum. “Hebat pengetahuan kau, Kasih!”

“Impian sejak kecil!” Kasih bersahaja. “Yang penting, di situ hanya mencatat sejarah indah, tiada sejarah luka yang lara!”

Teman pantas faham retorik Kasih. Ironisnya cerita lara silam tidak wajar diingat apalagi diungkit, kelak menokok beban jiwa. Dia sedar, Kasih belum dapat melenyapkan sepenuhnya cinta tragis yang membalut diri. Lebih lapan tahun dibumbu mesra tiba-tiba sirna tuntas. Cinta asmara yang dibina runtuh menjadi puing bagai disergap mesiu ganas.

Memang lara kisah cinta ini. Teruna kecintaan memilih dara lain jadi suri hidup. Kasih amat kecewa dan dijerba derita jiwa santak kini. Namun, Teman tidak jemu jelak menyubur semangat. Sebagai rakan baik, dia turut menumpang jelu. Hening setagal cuma dibebar bisik-bisik suara pengunjung yang semakin ramai. Vila Valmarana Ai Nani memang menjadi tumpuan pelbagai bangsa dari seluruh pelosok dunia.

“Apa pun kata kau tadi, aku mahu kau senang dan bahagia di sini!” suara Teman bergema semula. “Lupakan semua kisah lama. Anggapkan itu semua mitos yang tak pernah wujud dalam hidup!”

“Itu yang aku lakukan sekarang!” ujar Kasih. Mengeluh berat kemudiannya.
Mendepani karya GD Tiepolo (1757) yang melekat di dinding, nyata mengundang pesona. Vila cetusan F Muttoni ini kaya dengan lukisan. Unik dan bernilai. Begitu fikir Kasih.

“Mahu dengar cerita tentang karya itu?”

Satu suara garau pekat Inggeris loghat Itali tiba-tiba bergema dari belakang. Kasih dan Teman gesit berpaling. Seorang lelaki kacak namun kerdil tersenyum mesra persis tidak sabar mahu berkisah.

Kasih dan Teman terjeda setagal. Wajah lelaki kerdil itu dicerlung tunak.

“Maaf kerana mengganggu anda menikmati keunikan karya GD Tiepolo! Err, nama saya Danilo!” ujar lelaki kerdil itu lagi. Tangan segera dihulurkan tanda perkenalan. Senyum lebih mesra, murup subur.

Kasih dan Teman membalas senyuman. Terkesan dengan kemesraan dan keramahan Danilo, kendati kerdil tetapi tidak malu dengan kecacatan diri.

“Karya ini bermitoskan cinta sepasang kekasih!” Danilo terus berperi tanpa diminta. Yakin benar. Sekilas wajah ayu Kasih dicuplik renung mesra. “Percintaan mereka erat namun dirintang pelbagai gelora!”

Hati Kasih mendadak terbetik degup. Kalimat cinta akas mengundang resah dalam dada. Entah kenapa. Cuma Teman bersahaja mendengar akur. Danilo anak tempatan, tentu sekali segala ceritanya sukar dinafikan. Demikian fikirnya kala itu.
“Cinta suci mereka umpama salji. Turun bergerimis, walau merencung namun tetap ke bumi. Lagi, mereka setia pada janji dan dibantu bidadari ke gerbang syurga!” Danilo getol meneruskan. Wajah Kasih dilirik lagi, menyerlah rasa pesona. Hati Kasih terus menggerutup. Mendadak ada gemuruh buar menghenyak dada. Lelaki kerdil ini persis menghambat rasa cinta yang sudah sirna.

“Anda petugas di sini?” Teman bertanya kala mereka keluar ke pintu utama vila.

Danilo gesit menggeleng-geleng. “Tidak! Saya bertugas sambilan di Vila Rotonda!” jelasnya tegas dan waras. “Hmmm, kalau ada masa, anda berdua boleh ke sana. Saya sedia membantu!”

“Sudah tentu!” Teman tersenyum senang dengan budi yang mahu ditabur. “Memang kami akan ke sana. Kalau tidak, kedatangan kami dari Malaysia tidak bermakna!”

“Betul!” Danilo menambah dan mengangguk-angguk. “Setiap pelancung yang datang ke mari tidak melupakan vila itu sebelum pulang!”

Teman turut mengangguk. Kasih sekadar diam. Entah kenapa, ada sesuatu yang dirasakan tidak kena dengan lelaki kerdil ini. Renungannya mendebarkan. Lirikannya mencemaskan. Senyumannya menggemankan. Dalam diam dia mendokan supaya drama kemesraan ini segera berakhir. Tidak sanggup lagi dia mendepani lelaki kerdil tersebut .

“Anda berdua tentunya dari Kuala Lumpur?” Danilo menduga sejurus kemudian.

“Tepat sekali!” Teman pantas memurup senyum.

“Kota hebat!” balas Danilo. “Saya kenal Kuala Lumpur melalui pembacaan dan bercita-cita mahu ke sana suatu hari nanti. Boleh kan?” Wajah Kasih ditagih jawapan.

Kasih serba salah untuk menjawab namun menjawab juga. “Err, silakan!” ujarnya acuh tak acuh. Dada semakin menggerutup.

“Bagaimana pula dengan anda?” Wajah Teman pula diubah tenung.

“Sudah tentu boleh!” Teman bersungguh. “Anda boleh melawat KLCC yang cantik menawan, Putrajaya yang megah tersergam, MSC yang canggih terpempan dan pelbagai lagi! Tersohor satu dunia sampai mengundang cemburu banyak negara,”

Perbualan berjalan lancar. Hasilnya, Kasih dan Teman diberi taklimat padat. Danilo sebenarnya seorang putera raja dari Milan. Kecewa dalam cinta lalu mengatur kembara dan bekerja sambilan di Vila Rotonda dalam usaha cuba mengenyah rasa derita. Kasih tersenyum sinis. Teman mengangguk meyakini. Namun keduanya tidak dapat menahan ketawa selepas berpisah.

“Kau percaya dia putera raja Milan?” tanya Kasih di hujung ketawa yang kian mereda.

“Barangkali tak tahan daulat sebab itu dia kerdil!” balas Teman, menyinis.

“Barangkali juga raja temberang!” Kasih menokok. Meledakkan lagi ketawa mengekek.

Malam itu dua sahabat karib itu tidur dalam senyum berbaur ketawa kegelian. Sukar untuk mempercayai cerita Danilo. Lelaki kerdil itu seolah-olah menagih simpati dengan kisah diri lalu melakar cerita palsu kepada dunia. Begitu mereka membuat hipotisis.

Keesokkan hari, Teman dan Kasih bergegas ke Vila Rotonda. Melalui seorang petugas, nama Danilo dicari untuk pengesahan. Berita yang mereka terima amat memeranjatkan.

“Memang Danilo pernah bekerja di sini dua tahun yang lalu,” jelas petugas tersebut. “Tapi, dia telah meninggal dunia dua bulan yang lalu!”

Kasih dan Teman terlunga. Lutut kaki gesit menggeletar, serasa mahu kejur. Seluruh tubuh disergap rengsa mendadak namun dikuatkan semangat.

“Mungkin pelanduk telah menyamar rusa!” Teman cuba mententeramkan perasaan kecamuk yang mengamuk. “Barangkali juga seseorang telah menyamar bertujuan mahu menakutkan kita!”

Kasih meneguk liur. Lesi wajah sukar mahu berubah. Pelbagai rasa galak menggelecak. Seram dan gelisar berbaur-baur.

“Ah, lupakan perkara ini!” Teman menguatkan semangat yang masih bersisa lalu tangan Kasih dihela cepat. Mereka terus mengatur langkah bersama para pengunjung yang lain menyelusuri pelosok vila.

Mengalir sekitar vila ilham ciptaan Andrea Palladio tahun 1550 dan dilengkapkan V Scamozzi awal kurun 17 itu untuk meredakan segala cabuh jiwa, Teman dan Kasih berjaya memancang tekad. Iblis dan syaitan ada di mana-mana dalam usaha menyesat dan menggoda anak Adam. Ayat-ayat Kursi tidak lepas dari bibir sehinggalah mereka meninggalkan pekarangan vila antik tersebut.

Siapa Danilo itu sebenarnya? Apakah jelmaan Danilo yang sudah meninggal dunia? Kalau benar, kenapa diwujudkan di depan mata mereka? Persoalan-persoalan itu cagun menghenyak kotak fikir Kasih sehingga terbawa ke Teater Olimpik. Gerbang Porta Regia bagai pudar di mata. Cuma sedikit tenang kala merayap di Piazza dei Signori. Bandar Emas Vicenze sejak 1352 itu berupaya mengenyah segala persoalan yang cagun dengan kilauannya.

“Jangan lupa bangun awal!” pesan Teman kala Kasih di sofa kulit melepas lelah setelah hampir seharian mengalir sekitar Filk dan Chimento dua hari kemudian. Sungguh merengsakan walau mata amat terpesona melihat perhiasan emas berteknik casting, pembentukan elektro dan stamping.

Teman ke ruang dapur kecil. Kasih di muka sofa asyik melayan kotak fikir yang yongyat. Libang libu dan menggelicau lebih-lebih lagi kala figura segak lelaki kerdil putera raja Milan tiba-tiba mengirap ke sepasang mata. Aneh dan misteri. Putera raja itu seolah-olah menagih simpati darinya. Kasih dapat merasakan dari lirik mata yang memarak membuar cinta.

Ngeluyur benak gesit bebar kala teman datang bersama dua tin grape juice di tangan. Mulut bersuara sebaik punggung lebar berlabuh pinggir Kasih. “Pendapat kau tentang Danilo?”

Kasih mengeluh berat dan panjang.

“Ini sebuah misteri!” Teman menukas seraya minuman ditogok sopan.

“Entah! Aku bingong!” Kasih melepaskan keluhan rengsa.

“Kau percaya tentang roh?” Teman sekadar menduga.

Kasih mengerut kening. “Maksud kau, lelaki kerdil putera raja Milan itu roh Danilo yang sudah mati?”

“Itu tak penting!” ujar Teman. “Yang penting, motif dia datang berjumpa dengan kita!”

“Entah!” hanya itu berupaya tercerlus dari bibir Kasih.

“Aku lihat, dia seolah-olah terpikat pada kau!” ujar Teman.

“Jangan melalut! Itu sekadar satu telahan prejudis!” Kasih kurang senang. Namun menghambur ketawa berpinak-pinak. “Mana ada roh orang yang dah mati mahu menjalinkan percintaan dengan orang yang masih hidup. Hei, Teman! Universiti mana produced kau hah?”

Teman turut ketawa, perlahan “Aku cuma terkesan dari lirik mata dan gerak bibirnya!” nada bersahaja serlah.

“Barangkali kau punya penglihatan Nostradamus! Brilliant!” Kasih mencebek jengkel.

“Tentu ada sesuatu yang unik pada kau. Sebab itu menjadi pilihan dia!” Teman menukas seraya menyimpul senyum meleret. “Ingat, syaitan dari Barat lebih canggih dari syaitan di tanah kita!”

Kasih gesit bungkam. Kiranya Teman juga menyedari hakikat lirikan dan renungan mata Danilo. Rusuh jiwa Kasih mengenangkan. Si kerdil yang aneh. Putera raja Milan yang misteri. Roh yang nakal. Si penggoda yang bijak menyamar. Semuanya adalah seorang Danilo yang cuba melayarkan bahtera kecewa dan mahu berlabuh pada sebuah pulau yang tidak berpenghuni.

Khali bertagal.

“Apa persepsi muktamad kau?” Kasih bersuara sejurus kemudian.

“Barangkali, dia penyambung mitos cinta Monte Berochi!” jawab Teman. “Seorang putera raja yang memang dilahirkan hodoh dan kerdil. Ini memaksa ayahandanya membina sebuah tembok tinggi agar putera kesayangan tidak dapat melihat orang lain di luar tembok yang cantik dan berbadan normal. Disebabkan desakan naluri, si putera memanjat tembok tersebut kerana ingin tahu apa yang ada di luar. 

Kebetulan dia terlihat seorang gadis cantik dan terus mengekori. Di satu tempat, dia mencurahkan rasa cintanya pada gadis tersebut. Bagaimana pun, si putera itu amat kecewa kala si gadis menolak cintanya dengan pelbagai cemuhan. Dia mulai sedar akan kecacatan diri, tidak dilahirkan normal dan kacak seperti orang lain. Sungguh terhenyak dia lalu mengambil keputusan membunuh diri!”
Kasih terjeda, terlunga dan melopong dengan cerita Teman.

* * *

Asolo mengundang karar dalam hati. Kasih berasa berjaya menjauhkan diri dari bayangan wajah Danilo. Sejak di sini, putera raja Milan yang misteri itu persis melenyap di celah beratus-ratus horizon dan tersisih dalam himpitan longgokan Mutiara Veneto.

Mentari masih udam menebarkan molekul cahaya menyelinap antara wayu dingin yang galak berhimpang. Dari jendela Hotel Villa Cipriani, Kasih melontarkan panahan mata menyeluruhi Asolo. Memang indah. Patutlah menjadi sumber inspirasi dan aspirasi para seniman. Robert Browning dan Eleonora Duse dalam teater mereka memuji hebat. Giousue Carducci dalam puisinya tidak malu menyerah cinta. Gian Francesco Malipiero dalam lagunya miang memuja.  Sementara Freya Stark dalam visi kembaranya polos meluah ungkapan mesra.

Kini, Kasih turut terpana. Dalam waktu-waktu kaki mahu melangkah pulang ke tanah kelahiran, setiap juzuk Asolo dirakam erat dalam cepu ingatan. Kasih inginkan kepulangannya bersama satu keceriaan, bersama satu kebahagiaan dan bersama hari baru yang segar tanpa polusi derita lantaran cinta silam yang tidak kesampaian.

Jelak di muka jendela bilik penginapan, Kasih ke birai katil. Teman masih di bilik air. Sejak pulang dari Bassano Teman begitu. Barangkali hidangan di Restoran Villa Palma tidak cocok. Usus Melayu nyalar disogok nasi dan sambal belacan tiba-tiba dicabuh pizza Itali. Wajar menggelodar. Mengingatkan, mendadak Kasih dijerba senyum.

Hati dan rasa bundar tidak mahu ke mana lagi. Juzuk Asolo sudah buar ditelusuri. Perlahan-lahan Kasih merebahkan badan ke atas tilam namun kala kepala mencecah muka bantal, telefon sisi katil menggeru menyentakkan. Kasih bingkas. Mungkin panggilan dari meja resepsi. Pantas gagang diangkat lalu ditekapkan ke copeng telinga. Sayup-sayup satu suara pekat jantan menggegar gegendang.

“Hello! Boleh saya bercakap dengan Kasih?”

“Ya, saya bercakap! Err… siapa di sana?”

Hening.

“Hello, siapa di sana?” Kasih mendesak.

“Kenapa begitu mudah melupakan saya, Kasih? Saya Danilo, putera raja Milan yang amat mencintai anda!”

Danilo? Kasih tergamam jola. Ya Allah, dia cagun lagi! Hati mendadak berdebar kencang. Gesit saja wajah putera kerdil itu mengirap ke sepasang mata. 

Bergentayangan.

“Saya kembali untuk mencintai anda. Percayalah, cinta yang suci akan dibantu bidadari ke gerbang syurga!”

“Barangkali anda sudah gila, Danilo!” Kasih mulai membentak. “Saya tidak gila untuk mencintai syaitan gila seperti anda!”

“Syaitan gila?” Danilo ketawa mengilai. “Anda berkata saya syaitan gila? Hei, Kasih! Manusia lebih gila, realitinya - gila nama gila harta gila pangkat gila kuasa gila segala. Cuma manusia tidak mahu mengakui hakikat kegilaan diri sendiri. Mana ada orang gila mahu mengatakan dirinya gila?”

“Hei Danilo! Saya amat jelak dengan celoteh gila anda. Sila berambus!”

“Jangan berdusta, Kasih! Anda tidak jelak dengan celoteh saya. Sebenarnya anda tidak menyenangi kekerdilan saya. Bukan begitu?”

“Bagus, anda menyedari hakikat diri!”

Danilo ketawa kecil, beriak sinis. “Benarlah, anda juga gila! Menggilai kecantikan zahir semata. Anda lupa, zahir nyalar berdusta! Anda tidak sepatutnya terpukau dengan zahir, Kasih!”

“Arghhhh!! Hak anda berkata apa saja. Anda juga berhak mencintai sesiapa yang disuka tetapi ingat, saya tidak gila untuk mencintai anda!”

“Jadi, anda tetap menolak cinta suci saya?”

“Sudah ditegaskan. Saya tidak gila untuk mencintai lelaki kerdil tambahan gila seperti anda!”

“Bermakna anda sedang melakar sebuah kematian!”

Kasih terjeda. “Kematian siapa?”

“Seorang putera raja kerdil dari Milan!”

“Usah bersenda, Danilo!”

“Anda boleh melihat realitinya melalui jendela!”

Kasih segera melepaskan gagang dan gesit meluru ke muka jendela. Maya terasa melenyap kala mata terpempan sekujur tubuh lelaki kerdil sedang terlentang dengan sebilah pisau tercacak di dada. Pekarangan Hotel Villa Cipriani jadi cabuh. Bingar suara ramai mengapung. Kala mayat Danilo di usung ke ambulan, Kasih menjerit tidak keruan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA