Isnin, 15 Mac 2010

Antara Air Dan Hanyir

(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Wanita terbitan Karangkraf Sdn Bhd dan telah diantologikan dalam Di Sudut Sebuah Harapan)

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

Prolog:
SAMPAI bila kamu harus tunggu, Herman? Kamu harus ambil kata putus sama ada mahu terus di sini atau merantau ke sana!”
“Kenapa harus sampai ke sana, Sumarni? Kota Medan juga tidak kurang dengan toko-tokonya yang bisa memberikan kita kerja?”
“Loh, selumayan di sana?”
“Aku tidak pasti. Tapi, dengan bekerja di Medan, kamu tidak berjauhan dengan keluarga, dengan sanak saudara, dengan sahabat handai dan yang pentingnya kamu tidak berjauhan dengan aku,”
“Itu bukan soal yang penting bagiku, Herman! Bagiku, mengubah nasib diri lebih penting dari segalanya. Keluargaku sudah merestui dan kamu tidak perlu memberi apa-apa keizinan kepadaku lantaran antara kita belum punya apa-apa ikatan. Selebihnya, aku punya wawasan masa depan yang lebih jelas jika dibandingkan dengan kamu!”
“Jadi, keputusan ini sudah muktamad?”
“Tentu sekali!”
“Kamu tidak menyesal?”
“Hei Herman! Untuk apa aku harus menyesal? Aku meninggalkan desa kelahiran bukan untuk tujuan berfoya-foya tetapi untuk mencari rezeki…”
“Itu aku tahu, Sumarni!”
“Habis, kalau sudah tahu kenapa kamu masih lagi mahu tinggal di sini? Mata kamu sudah buta pada realiti ekonomi negara kita sekarang? IMF telah merudumkan nilai matawang kita ke paras yang sungguh kecil. Apa kamu bisa lakukan lagi di sini? Mana ada peluang pekerjaan yang lumayan untuk kamu garap di sini? Hampir tiga juta rakyat kita sudah menetap di sana. Semuanya pulang dengan senyum tawa, kantung sarat berisi dan mereka mampu hidup senang. Aku akan ikut jejak mereka!”
“Habis, bagaimana dengan hubungan kita, Sumarni?”
“Tepuk dada kamu dan tanyakan selera kamu! Kamu bisa mendapat jawapannya!”
“Sumarniiii!!”
“Jangan jadi bodoh, Herman! Apa ada pada cinta?”
“Kebahagiaan…”
“Huh, kebahagiaan konon! Kamu fikir, cinta boleh mengenyangkan perut? Cinta boleh mendirikan kamu sebuah rumah yang besar, membelikan kamu sebuah mobil yang cantik atau menyaluti tubuh kamu dengan pakaian-pakaian yang indah?”
Diam.
“Jangan fikir aku masih lagi mahu asyik dengan irama cinta yang tidak bermatlamat itu, Herman! Selepas SMA, aku tidak lagi berfikiran seperti kanak-kanak kecil. Aku sudah pandai membina wawasan masa depan. Aku sudah pandai membina cita-cita untuk hari muka. Jika kamu masih lagi berfikiran seperti dulu dan tidak mahu mengubahnya, aku fikir hubungan kita putus di sini saja!”
“Jangan begitu, Sumarni! Jangan terlalu mudah melupakan segala kenangan indah kita bersama. Lagipun, apa yang kamu kejar sekarang belum lagi nampak di mata. Kamu membayangkan yang indah-indah yang belum tentu bisa kamu capai. Kamu ingat, begitu senang mahu jadi kaya? Kamu ingat begitu mudah mahu ubah nasib lebih-lebih lagi di bumi asing? Fikir masak-masak Sumarni! Ayuh, mari kita ke Medan atau ke Jakarta. Aku yakin, di sana juga kita bisa hidup senang…”
“Arghh, persetankan itu semua, Herman!”
“Sumarnii!!”
“Selamat tinggal Herman!”
“Sumarniiiiii!!!!!!!!!!”

* * *

Perjalanan yang jauh memang menjelakkan. Kesesakan di pelabuhan tadi menjadikan Herman sedikit kalap. Inilah pertama kali kakinya akan menjejak bumi Malaysia yang terkenal makmur itu.
Menurut kata Delsi Sumarni dulu, Kuala Lumpur tidak seperti Medan. Desa-desa di Malaysia tidak seperti desa-desa seluruh Sumatera. Masyarakat di sana juga berbeza. Apa lagi dengan jejaka dan anak gadisnya. Dan sewaktu meninggalkan pelabuhan, dalam kepala Herman hanya membayangkan betapa jauhnya lagi destinasi yang harus dilewati untuk bertemu dengan Delsi Sumarni. Dia kira, lebih empat atau lima jam lagi tibalah dia ke tempat yang akan ditujui itu.
Herman dapat membayangkan wajah Kuala Lumpur kendati belum pernah menjejakkan kakinya ke sana. Melalui kaca televisyen, Herman selalu juga ditayang rupa paras ibu kota Malaysia itu. Tentu sekali kota itu cantik seperti juga kota Jakarta. Bangunan-bangunannya tentu tinggi-tinggi belaka.
Yang pastinya, dia tidak akan kesepian kerana ramai warga ke tanah kelahiran sudah menetap di sana sehingga mampu membangunkan perkampungan tersendiri biarpun dianggap secara haram.
Delsi Sumarni - seperti ingin aku berpatah balik ke desa kita. Seperti ingin kusambung lagi harapan-harapan yang terbengkalai itu. Seperti ingin kukunyah lagi segala kenangan indah kala bersamamu dulu. Kala itu kamu tidak pernah membayangkan bahawa Kuala Lumpur bakal menjadi tempatmu mencari rezeki dan aku sendiri rasa bagai bermimpi kala kamu mengambil kata putus untuk meninggalkan kaum keluarga, sahabat handai, desa tercinta dan juga bumi Sumatera.
Tetapi apakan daya. Aku tidak mampu menghalang segala kemahuanmu. Kata kamu, Kuala Lumpur mampu mengubah bentuk dan corak kehidupan kamu pada masa akan datang. Kuala Lumpur bisa menjadikan kamu kaya raya. Kuala Lumpur akan mendewasakan kamu dengan erti hidup, kesusahan, kesempitan dan pelmacam lagi.
Sekarang, semuanya sudah terjawab. Dan kamu seperti menghukum aku supaya turut meninggalkan tanah kelahiran dan tidak akan pulang-pulang lagi ke desa kita. Kalau aku pulang, tentulah aku tidak akan berjaya mengubah nasib hidup dan ingatan silam itu pasti akan kembali murup segar dan air mataku tentunya akan menitis lantaran terlalu banyak kesan-kesan manis yang kita telah tinggalkan di sana.
Ruang kenderaan laut yang membawa Herman ke destinasi agak sesak dengan penumpang. Semuanya dengan tujuan yang sama. Masing-masing berwajah pudar, pucat dan sebam seolah-olah membayangkan nasib yang bakal ditempuhi di negara orang. Jam besar yang tergantung di dinding feri pula menunjukkan angka sembilan malam. Sewaktu badan feri dibalun badai Selat Melaka, Herman melemparkan panahan matanya keluar melalui tingkap kecil di sisi. Tiada apa yang dapat dikelih dengan mata. Ombak laut jelas beralun dengan tiupan angin menderu kencang. Cuma yang nyata ialah kebisingan badai mencecah badan feri yang sesekali mendebarkan perasaan.
Sudah banyak kali Herman membaca berita di dalam akhbar juga melalui kaca televisyen. Feri karam. Bot karam. Semua penumpang lemas dan berkubur di lautan gara-gara mahu ke Malaysia. Apakah nasib yang serupa bakal menimpanya juga?
Di dalam hati Herman sering berdoa agar dia akan selamat tiba di Malaysia dan dapatlah dia berjumpa dengan Delsi Sumarni yang sudah lama tidak ditatap wajahnya.
Aku kepingin benar mengajak kamu bersama seperti dulu, Delsi Sumarni. Setidak-tidaknya untuk makan-makan bersama di warung tepi sungai di hujung desa kelahiran kita. Atau mengajak kamu menghirup udara segar di tepian Danau Toba.
Pernah aku beritahu kamu suatu masa dulu bahawa Danau Toba punya legendanya yang tersendiri. Tentu kamu masih ingat bukan? Legenda Tangkuban Perahu dengan Sangkuriangnya! Kamu pernah menyanyikan aku lagu dendangan Ernie Djohan - Teluk Bayur. Ataupun boleh juga kita berpeleseran di Padang.
Warung-warung di sana penuh dengan masakan ala Minangkabau, hmm… sungguh menyelerakan. Aku lihat kamu begitu asyik sekali menjamah paru goreng berlada dan aku pula tentunya sukakan belut goreng. Khabarnya, punya potensi menguatkan tenaga batin. Argh… semuanya seperti tidak mungkin akan berlaku lagi, Delsi Sumarni!
Kamu telah memutuskannya! Kamu telah menghancurkannya dan kini aku persis seorang nakhoda kapal yang tak punya haluan. Kala aku membaca kisah cinta Haryati dan Zainudin dalam Tenggelamnya Kapal Vandevick karya Hamka, aku membayangkan aku adalah Zainudin dan kamu pula adalah Haryati. Betapa tragis cinta mereka, Delsi Sumarni!
Kamu tahu? Sepeninggalan kamu, aku membawa diri ke Surabaya dan seterusnya ke Jakarta. Bagiku, aku lebih suka mencari rezeki di tanah air sendiri. Di kota Jakarta, aku sering singgah di warung-warung soto Madura sekitar Mangga Dua.
Aku sendiri tidak tahu kenapa aku mesti berbuat begitu sedangkan aku bukannya suka sangat pada soto Madura. Makanan kegemaranku tentulah masakan Minang yang pedas itu. Hmm, barangkali juga kerana di Mangga Dua ini aku dapat berjumpa dengan berbagai lapisan masyarakat kota yang ramah. Dari pekerja-pekerja kilang hinggalah mereka yang berjawatan tinggi. Dari berkereta mewah sampailah kepada rakyat jembel yang rata-ratanya capek dan melarat.
“Kamu terlalu memuji Jakarta…”
“Kota cantik, kota indah dan semuanya ada di sana,”
Kamu tidak pernah nampak kejelekannya. Cantik dan indah pada pandangan mata tapi... ahhh, itu tidak penting, Delsi Sumarni! Yang pentingnya ialah keindahan di kota Jakarta ini terutama pada waktu malam. Lampu-lampu neon berwarna-warni dan cahayanya yang tersangkut di dedaun pepohon di tepi sungai kelihatan sungguh mengasyikkan.
Di sepanjang tepian sungai dibina tempat duduk bersimen buat para pengunjung bersantai menenangkan fikiran. Aku pernah melihat pasangan remaja duduk di satu pojok mengadap aliran sungai sambil berbual dan bergurau senda penuh kemesraan.
Kala itulah ingatanku jauh menjalar ke desa kelahiran. Kala musim padi sedang menguning emas dan kita bersama para petani yang lain getol bergotong royong memungut hasil setelah berbudi kepada tanah.
“Bantu aku, Sumarni!”
“Bantu apa?”
“Hulurkan tangan kamu dan ambil gemal padi ini!”
“Aku tak mahu, Herman!”
“Kenapa?”
Memang aku tidak dapat melupakan detik manis itu, Delsi Sumarni!
“Kenapa Sumarni? Kenapa kamu tak mahu membantuku?” soal Herman sambil menanti jawapan dari gadis ayu itu.
Delsi Sumarni sekadar mendiamkan diri tetapi jejari halus lunaknya tetap menyambar perdu-perdu padi manakala tangan kanannya begitu cepat.
Kemudian dikumpulkan tangkai-tangkai padi yang sudah dijadikan gemal itu di atas ban bendang. Herman sempat menoleh ke wajah Delsi Sumarni. Biar keringat merenik di dahi namun kejelitaan dan keayuan masih jelas terpancar.
Tetapi tidak ada tanda-tanda yang gadis itu mahu memandang ke arahnya walaupun sekilas. Herman jadi terkilan.
“Katakan kenapa kamu tidak sudi membantuku, Sumarni!”
“Aku sudah bosan, Herman!
“Bosan apa?”
“Bosan dengan pekerjaan ini!”
“Loh, kamu mahu kerja apa kalau tidak jadi seorang petani?”
Diam.
Herman mengerti. Memang telah gadis putuskan! Dan telah Herman campakkan segala harapannya yang indah-indah itu ke alun bendang.
Delsi Sumarni - matahari yang bergayut di puncak pergunungan sering menjadikan aku terkenang masa lalu. Sesungguhnya aku tidak menyangka bahawa perkenalan kita sewaktu bersekolah dulu berlarutan hingga ke zaman remaja walaupun kita dari ras yang berlainan.
Kamu Melayu sedang aku Minang. Namun begitu, terima kasihlah kepada sekolah kita yang suatu ketika dulu telah membawa kita kepada alam persahabatan. Aku masih ingat, ketika itu sekolah aku dan sekolah kamu telah berpadu mengadakan sebuah majlis kesukanan.
Aku belum dapat melupakan bagaimana aku, kamu, Tanti dan Hetty turut terlibat dalam satu kumpulan membantu guru menyelesaikan tugas menyambut para tetamu. Tempat tugasan kita di tepian rimbunan bunga bulang yang sedang mekar berkembang.
Kita begitu mesra seolah-olah sepasang rama-rama berterbangan di taman firdausi. Suatu ketika kamu jadi lelah dengan kedatangan tetamu yang ramai lalu kamu menyuruh aku mengambil alih tugas menghulurkan buku atur cara kepada mereka sedangkan tugasku hanyalah sebagai pengawas kepada tugasan kumpulan kita.
Aku menyambutnya dengan rela kerana aku tidak tergamak melihat kamu keletihan begitu. Selepas itu kamu tersenyum dan aku juga tersenyum kerana tugas kita beres.
Delsi Sumarni - masa yang terus berlalu kadang-kadang seperti menjarakkan kita. Beberapa lama kita tidak berjumpa dan kita juga saling melupakan. Tetapi siapa sangka, kita akan bertemu lagi.
Dan takdir juga yang menyusun atur kita bahawa kita mesti duduk dalam kelas yang sama semasa menghadapi SMA. Ini semua kerana aku telah ditukarkan ke sekolah kamu. Sebenarnya aku sengaja meminta supaya aku ditukarkan ke sekolah kamu dengan tujuan untuk mendekatkan lagi diriku dengan kamu.
Syukurlah kerana impianku telah tercapai. Ah, mesranya kita di zaman itu.
“Bagaimana dengan soalan peperiksaan tadi, Herman?”
“Perit juga otak aku memikirkannya!”
“Barangkali kamu malas mengulang kaji pelajaran di rumah!”
“Barangkali benar tukasan kamu!”
“Loh, kenapa harus malas begitu, dong?”
“Lantaran aku tak dapat menerima pelajaran!”
“Sebabnya?
“Otak aku sudah sarat!”
“Dengan apa?
“Dengan wajah dan nama kamu, Sumarni!”
Delsi Sumarni ketawa.
“Kenapa kamu ketawa?”
“Aku kegelian kerana ada orang jatuh dalam telaga asmara!”
“Bukan satu kesalahan tentunya!”
“Itu kata kamu!”
“Habis, apa pula kata kamu?”
“Ngeri sekali aku mahu memikirkan soal cinta buat masa sekarang, Herman!”
“Jadi, apa ertinya persahabatan kita ini?”
“Nanti aku beritahu kamu!”
“Bila?”
“Bila tiba masanya nanti!”
“Loh, bikin aku bingung!”
Masa terus juga berlalu.
“Siapa nama gadis itu, Herman?” Pak Mandar meluahkan pertanyaan suatu hari.
“Yang mana satu, bapa?”
“Itu! Yang memaki kerudung ungu muda itu!” Pak Mandar menuding ke arah Delsi Sumarni yang ketika itu sedang berjalan pulang dari sekolah.
“Oh, itu Delsi Sumarni! Err, kenapa bapa?”
“Anak gadis Pak Iskandar yang bekerja di sawah kita, bukan?”
“Err, ya!”
“Bapanya malas sebab itu hidupnya susah!”
Diam.
“Kamu berkawan dengan dia?”
“Errr… err… ya, pak!”
Delsi Sumarni - mula-mula aku tidak mengesyaki apa-apa. Tetapi lama-kelamaan, setelah aku cuba mencari-cari maksud pertanyaan bapaku, akhirnya barulah aku mengerti sendiri.
Bapaku tidak merestui hubungan kita rupanya. Aku tidak tahu kenapa. Mungkin juga kerana aku datang ke sekolah dengan mobil sedang kamu berjalan kaki. Barangkali juga kerana status hidup antara kita yang agak berbeza itulah penyebabnya.
Suatu hari, sewaktu mereka berdua sedang berbual di bawah sepohon angsana pinggiran kantin sekolah, Tanti telah melontarkan sebiji gula-gula. Delsi Sumarni gagal menyambutnya lalu gula-gula tersebut jatuh ke tanah berhampiran kaki.
Ketika itulah Herman terpandang kasut gadis itu yang koyak di bahagian depan sehingga membuatkan sedikit hujung jari tertonjol keluar. Ada dua tiga lubang kecil pada stoking kanan. Herman memandang pula pada baju dan kain yang dipakai Delsi Sumarni. Agak lusuh dan ada bahagian-bahagian yang bertampal.
“Memang aku anak orang miskin, Herman!” kata Delsi Sumarni sambil merenung jauh ke hadapan. Kemudian tertunduk pilu.
Herman diam kerana baginya diam lebih baik daripada berkata-kata yang mungkin akan menyentuh hati kecil gadis itu.
Delsi Sumarni - aku masih ingat bagaimana bapaku tidak membenarkan aku berkawan baik dengan kamu lagi. Bapaku kata, kamu tidak setaraf denganku. Keluarga kamu adalah kuli kepada keluargaku. Keluarga kamu miskin sedang keluargaku kaya. Jadi, tidak cocok orang kaya berkawan dengan orang miskin. Tetapi aku tidak mempedulikannya. Lagipun, ibuku selalu menyebelahiku. Kamu pun tahu, bukan?
Bukankah kamu pernah bertandang ke rumahku dan lihat sendiri bagaimana ibuku melayan kamu.
“Herman, kenapa kamu berkawan dengan aku?”
“Aku sukakan kamu!”
“Aku orang miskin, Herman!!”
“Kenapa kamu sering saja menyebut soal itu?”
“Sebab kita tidak setaraf, Herman!”
“Orang kaya dan orang miskin sama sahaja di sisi Tuhan, Sumarni!”
“Itu kata kamu tapi kata orang tua kamu berbeza!”
Delsi Sumarni - selepas SMA, takdir telah menentukan bahawa kita akan berpisah. Aku telah ditawarkan belajar di sebuah sekolah di kota Medan. Tetapi kamu terpaksa berhenti sekolah kerana keperitan hidup tidak membenarkan kamu meneruskan pelajaran lagi. Aku begitu sedih bila mengetahui bahawa kamu gagal meneruskan persekolahan kamu akibat kemiskinan keluargamu itu. Barangkali kematian bapa kamu itu lebih membebankan. Apalah yang mampu aku lakukan, Sumarni? Aku telah gagal dalam usahaku memohon bapaku membantumu. Yang aku dapat ialah kemarahan bapaku yang tidak terduga.
Sebelum aku berangkat ke kota Medan, aku bertandang ke rumahmu secara tiba-tiba. Kuredah lorong-lorong becak dengan basikal yang dihadiahkan oleh bapaku kerana kejayaanku. Aku sungguh sedih kerana semasa aku tiba di halaman rumahmu, kamu terus melarikan diri dariku. Sungguh aku sebak lantaran itu yang kamu hadiahkan kepadaku sedangkan aku terlalu mengambil berat tentang nasib hidupmu.
Aku tahu kenapa itu yang kamu lakukan. Barangkali kerana malu dengan keadaan rumahmu. Memang rumahmu amat daif. Aku mengakui hakikat itu. Tangganya hampir rebah ke bumi. Persekitaran rumahmu begitu muram. Seperti tiada berpenghuni. Halaman rumahmu tidak berseri. Rumput-rumput tumbuh berkeliaran. Kulihat di sudut sebelah kanan rumahmu, ada seorang perempuan separuh umur sedang meranduk padi jemuran di atas tikar yang sudah lusuh. Barangkali ibu kamu. Dia tidak menyedari kedatanganku. Tetapi setelah beberapa ketika aku di situ.
“Kamu cari siapa?” tanya ibumu sambil melangkah ke arahku dengan pandangan hairan.
“Delsi Sumarni, bu! Saya mencari Delsi Sumarni!”
“Err, kamu ini Herman kan? Anak Pak Mandar!” tanya ibumu lagi. Mesra. Ada kejernihan di wajahnya walaupun kulihat ada titik-titik peluh yang sedang bergayutan di dahinya yang sudah berkedut itu.
Aku masih ingat bagaimana gembiranya hatiku ketika itu, Sumarni! Ibumu sudah mengenaliku. Itulah yang kuharapkan. Dan aku sudah berani membayangkan bahawa selama ini kamu banyak menceritakan tentang diriku pada ibumu. Tetapi kegembiraan itu tidak lama.
“Herman, buat apa kamu datang ke mari?” tiba-tiba kamu muncul dari arah sisi. Aku jadi tersentak dengan kemunculan kamu yang tidak diduga itu.
“Untuk berjumpa dengan kamu, Sumarni!”
“Untuk apa?”
“Untuk kali terakhir sebelum aku ke Medan!”
“Ahhh, tak perlu!”
“Kenapa kamu harus berkata begitu, Sumarni?”
“Aku malu, Herman! Aku anak orang miskin sedang kamu anak orang kaya. Anak orang kaya tidak layak berkawan dengan anak orang miskin!”
Delsi Sumarni - Aku benar-benar terkilan dengan kata-katamu. Kukira, kemesraan kamu selama ini lebih banyak kepura-puraannya.
Tetapi sewaktu aku pulang, aku melihat kamu mengekoriku di lorong-lorong yang becak itu sehinggalah ke hujung desa. Dan waktu kita mula terpisah oleh pohon-pohon yang merimbun di hujung selekoh jalan petang itu, aku lihat kamu melambaikan tangan kepadaku.
Terasa benar pedihnya perpisahan. Tetapi dalam diam-diam, aku dapat membayangkan - kamu juga sukakan aku tetapi lantaran perbezaan status hidup yang membuatkan kamu tidak dapat menerima kenyataan.
Sewaktu aku di kota Medan, aku jadi sepi tidak menentu. Walaupun aku mendapat ramai kenalan baru, tetapi ingatannya tetap pada Delsi Sumarni.
Ingatan remaja itu juga masih tidak dapat melupakan segala kenangan indah sewaktu di desa dulu. Pada sekolah kita yang lama. Seperti ada satu pertalian erat antara aku dengan sekolah itu. Pernah aku memberitahu kamu semua itu melalui surat, kamu menyambutnya dengan senang. Dan kadang-kadang kesepian itu hilang bila aku menerima suratmu yang banyak menceritakan tentang pelajaranmu malah tentang apa sahaja di daerah kita.
Tetapi yang pastinya, rinduku padamu semakin menebal. Herman seperti ingin bersama gadis ayu itu di bawah pohon angsana sambil menikmati tiupan wayu desa yang segar dan nyaman. Dan yang lebih pentingnya, Herman ingin mengembalikan semula segala-gala yang indah kala bersama Delsi Sumarni. Biarlah segala kenangan indah itu berlanjutan tanpa ada penghujungnya.
Delsi Sumarni - Seperti ingin kutatap selalu wajahmu yang lembut itu. Aku tidak tahu kenapa. Masa terus berlalu. Kemesraan kita tetap sama. Aku masih ingat Sumarni! Suatu waktu, ketika cuti penggal kedua sekolah, aku pulang ke desa kita dan berkunjung ke rumahmu.
“Herman, sudah berapa lama persahabatan kita?”
“Hampir enam tahun, kenapa?
“Apa perasaan kamu terhadapku?”
“Aku benar-benar cintakan kamu, Sumarni!!”
“Apa kamu tidak berdusta, Herman?”
“Tidak, Sumarni! Apa yang aku katakan ini lahir dari hatiku yang ikhlas!”
Kamu termenung dan mengeluh berat.
“Kenapa, Sumarni? Kamu tidak percaya padaku?”
“Bukan begitu, Herman!”
“Habis?”
“Yang jelasnya, aku masih belum dapat menerima kenyataan!”
“Loh, kenyataan apa, dong?”
“Kedudukan antara kita yang jauh berbeza, Herman!”
“Ah, itu juga yang kamu sebut!”
“Ini hakikat, Herman! Aku anak orang miskin!”
“Aku bukan hendakkan kemiskinan itu!”
Delsi Sumarni - Aku tidak pasti kenapa kamu sering saja berkata begitu. Kenapa soal kemiskinan itu juga yang sering kamu sebut-sebutkan.
Kamu juga tidak pernah mengucapkan apa-apa jawapan tentang cinta bila berdepan denganku. Tetapi suatu hari, selepas aku pulang semula ke Medan untuk mweneruskan pelajaran, aku telah menerima sepucuk surat darimu.
“Herman, aku hargai cintamu. Tetapi kejarlah dulu cita-citamu. Aku sentiasa berdoa agar kamu akan berjaya!”
Herman seperti mendapat satu kekuatan. Hanya Tuhan yang tahu betapa gembiranya dia saat itu. Dan perhubungan mereka terus akrab selepas itu. Tetapi alangkah terkejutnya Herman apabila mengetahui Delsi Sumarni akan meninggalkan desa kelahiran untuk mencari rezeki di Kuala Lumpur. Kemiskinan telah merampas segala kemesraan yang mulai berbunga mekar. Herman bergegas pulang ke desa. Herman cuba memujuk Pak Mandar untuk membantu keluarga Delsi Sumarni dari terus tersungkur di lembah kemiskinan tetapi gagal.
Rupa-rupanya Pak Mandar masih serperti dulu. Herman kehampaan. Apalah yang mampu dia lakukan lagi.
Delsi Sumarni - tinggallah aku bersendirian meneruskan cita-citaku. Tetapi aku telah berjanji pada diri bahawa cita-cita ini adalah untukmu juga. Syukurlah, aku telah berjaya, Sumarni! Aku telah ditawarkan ke Universiti Gajah Mada jurusan kesusasteraan. Aku sendiri tidak dapat menghubungimu kerana kamu sudah jauh di bumi asing. Tetapi aku, kamu tentunya sudah berjaya mengaut kesenangan di kota Kuala Lumpur itu.
Aku masih ingat, Sumarni! Selepas pengajianku tamat, aku bergegas pulang ke desa kita. Selepas meletakkan beg pakaian, aku terus ke rumahmu dengan basikal. Kuredah lorong-lorong becak itu seperti selalu.
Sesampainya aku, rumahmu kelihatan sunyi. Seperti ada sesuatu yang sudah berlaku. Kulihat sekitar rumahmu usam dan sebam bagaikan hilang serinya. Bunga-bunga mawar yang dahulunya mekar berkembangan, gugur satu persatu ke tanah. Hatiku terlalu sebak.
“Buuu!!” jeritku.
Diam dan sepi.
“Buuuuuu!!!” suaraku bersipongang ke seluruh juzuk desa kita.
Aku menjadi amat terharu dengan suasana yang ada di depan mataku waktu itu.
“Buuuu!!!”
“Ada apa, Herman?”
“Bagaimana dengan keadaan Sumarni di Malaysia, bu?” soalku.
“Ibu tidak pernah mendapat apa-apa khabar dari dia sejak dia ke sana, Herman!”
Delsi Sumarni - seperti ada seketul batu menimpa kepalaku ketika itu. Kenapa kamu tergamak lakukan itu semua pada ibumu sendiri? Seandainya kamu terlalu sibuk di Kuala Lumpur, masakan mahu mengutuskan sebaris ayat pun tidak berkesempatan?
Ah, aku tidak percaya yang kamu terlalu sibuk begitu sekali. Inikah hadiahmu kepada seorang ibu miskin di desa tinggalan yang sekian lama mendidik kamu?
Sungguh-sungguh aku tidak mengerti sikapmu, Sumarni! Kata ibumu, sudah hampir empat tahun di Malaysia tetapi sepucuk surat pun kamu tidak pernah utuskan kepadanya. Sebak sungguh hatiku.
“Tolonglah ibu, Herman!”
“Tolong apa, bu!”
“Cari Sumarni!”
“Errr, maksud ibu, Herman harus ke Kuala Lumpur untuk mencari Sumarni?”
“Ya, Herman! Bukan itu saja, bawa saja dia pulang semula ke desa!”
“Baiklah, bu!”
Itulah yang menyebabkan Herman berada di atas feri ini yang sekarang sedang meredah Selat Melaka. Sesekali Herman menjengah keluar melalui tingkap cermin di sisinya.
Nampak berbalam-balam cahaya lampu elektrik di kejauhan dan dia yakin, bumi Malaysia sudah semakin hampir. Mendadak saja wajah ayu Delsi Sumarni mengirap ke sepasang mata.

* * *

Antara air dan hanyir, dua jasad yang amat ketara bezanya, Sumarni! Aku amat terharu kerana bukan air yang kamu cari tetapi hanyir yang membelit dirimu. Siapa yang akan menyangka bahawa aku akan bertemu dengan kamu di sebuah rumah pelacuran dalam keadaan yang sungguh mengaibkan.

“Bukan salahku, Herman!”
“Habis, siapa yang membawa kamu ke jurang hina ini?”
“Aku telah ditipu dengan janji-janji yang manis!”
Aku terpegun sebak. Tetapi aku sudah berani membuat telahan bahawa ada juga manusia yang sanggup bertindak begitu kejam. Mereka sanggup mengambil kesempatan di atas kelemahan orang lain tanpa memikirkan bahawa ada hati-hati yang terluka. Takdirkah yang menyusun atur begitu, Sumarni?
“Kamu harus ikut aku pulang semula ke desa!”
“Aku malu, Herman!”
“Kenapa harus malu?”
“Aku sudah menjadi seorang manusia kotor. Tentu ibuku akan lebih menderita jika dia tahu pekerjaanku di sini!”
“Aku akan merahsiakannya!”
Diam.
“Kenapa diam, Sumarni?”
“Aku tidak akan pulang lagi, Herman!”
“Sumarni!!!”
“Biarlah aku dengan kejelekan ini!”
“Tapi, masih ada lagi orang yang sayang padamu, Sumarni!”
“Siapa?”
“Aku!”
“Aku sudah kotor, Herman!”
“Aku tidak pernah menganggap begitu, Sumarni!”
“Kamu menipu hakikat!”
“Biarlah hakikat itu cuma antara kita, Sumarni!”
“Kamu ikhlas?”
“Ya! Sesungguhnya, menamatkan pengajian di universiti adalah kerana kamu. Pernah kukatakan dulu - kukejar cita-cita ini semata-mata untuk kita berdua, Sumarni!”
Diam.
“Kenapa kamu diam, Sumarni? Pandanglah wajahku!”
“Aku terharu dengan kejujuran hatimu, Herman!”
“Aku masih seperti dulu, Sumarni!”
“Kenapa kamu harus mempersiakan hidup kamu, Herman? Bukankah kamu mampu mencari penggantiku yang lebih cocok dan baik?”
“Tidak pernah terlintas di hatiku untuk mencari pengganti kamu, Sumarni!”
“Herman!”
“Ayuh ikut pulang ke desa kita. Di sana nanti kita akan bina sebuah kehidupan baru!”
“Bagaimana dengan bapamu?”
“Aku yang harus menentukan hidupku sendiri. Bukan dia!”
Delsi Sumarni senyum. Itulah pertama kali Herman melihat senyuman itu terukir di bibir setelah menghilang lebih dari empat tahun. Terasa hanyir yang membelit tubuh gadis itu luruh satu persatu ke dasar suratan. Herman redha semuanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA