Isnin, 15 Mac 2010

Gulai Keli + Kambing YB Kampung Pusing

(Cerpen ini telah disiapkan pada 6 September 2004 tetapi beberapa kali diedit dengan beberapa perubahan. Kali terakhir diedit pada 23 April 2010...)

SMAHADZIR

HARI ini, selaku ketua masak, Mak Jemiah masak lagi. Tapi, baru kali pertama, dia masak gulai luar biasa kombinasi ikan dan daging. Katanya, dia akan membuat gulai unik. Ini resepi baru. Sebab, dalam sejarah masak-memasak di Kampung Pusing, ikan dan daging sama sekali tidak pernah bertemu dalam satu kawah. Dalam undang-undang jual belipun, kedua-dua jenis ini memiliki perbezaan harga yang cukup jauh. Daging kambing, di mana-manapun, harganya selalu lebih tinggi ketimbang ikan keli.
 Daging kambing memang hanya diperlukan dalam waktu atau peristiwa tertentu. Seperti peristiwa hari ini, majlis YB bertemu rakyat, biasanya, daging kambing dalam bentuk bakar, selalu hadir berdampingan dengan makanan Barat lain. Sementara, ikan keli selalu jadi santapan orang kecil di rumah-rumah kerdil saja.
 Kata Mak Jemiah lagi, daging kambing memang eksklusif dibandingkan ikan keli. Daging kambing, tidak mampu dibeli oleh semua orang, kerana tidak semua orang ada duit. Sementara, ikan keli boleh dibeli semua orang, harganya murah saja.
 “Pokoknya, ikan keli yang sering kita masak itu lebih disukai YB daripada daging kambing terutama musim pilihan raya,” ujar Mak Jemiah sembari tersengih.

* * *

Hari masih pagi. Beberapa orang perempuan di gedohok balai raya sudah berkumpul untuk memasak. Mereka duduk melingkar, masing-masing sibuk menyiang daging kambing dan ikan keli. Beberapa orang perempuan kelihatan saling berbisik. Sudah pasti membicarakan keanehan resepi gulai Mak Jemiah pagi itu.
 “Mau jadi apa kambing dan keli dicampur. Aku belum pernah buat gulai seperti ini,” ujar Mak Kiah.
“Kita tengok saja nanti. Mungkin rasanya lebih sedap dari gulai kawah rias pisang campur daging,” balas Mak Bedah pula.
“Selama aku hidup ni, baru sekali ini saja jumpa gulai kambing campur keli,” ujar Mak Tijah.
“Aku pun,” Mak Sodah menokok.
“Tapi, aku akan larang laki aku datang makan. Takut keracunan,” ujar Mak Kiah.
 “Aku rasa Jemiah sedang merancang sesuatu terhadap YB,” Mak Konah tumpang sekaki, “Tak lama lagi pilihan raya...”
“Ssssst, Jemiah datang,” Mak Sodah separuh berbisik.
Merekapun menghentikan perbualan sambil bersiku-sikuan kerana Mak Jemiah sudah di belakang mereka.
“Bagaimana kawan-kawan semua?” Mak Jemiah membuka pembicaraan, seolah-olah menangkap semarak kehairanan kumpulan perempuan tersebut.
Perempuan-perempuan itu masih kelihatan terkebil-kebil. Mereka senyum, tapi terpaksa, sekadar untuk membuang sangkaan buruk.
“Kalau sudah selesai, kita akan masak gulai keli kambing ni,” ujar Mak Jemiah sambil tersenyum.
“YB datang pukul berapa?” tanya Mak Bedah ingin tahu.
“Lepas solat Zohor... orang-orang kuat partipun diundang juga. Kita mesti siapkan semua masakan sebelum Zohorlah!”
Menjelang kerja-kerja memasak, mereka yang membantu di balai raya Kampung Pusing itu sudah mengumpulkan puluhan biji nyiur, untuk santan gulai kambing dan keli tersebut. Mak Jemiah kemudiannya menyuruhku, yang tadinya cuma menjadi pendengar, mengambil parang dan baldi penadah air nyiur.
“Makcik, kenapa santannya tak dibeli saja di supermarket. Kan ada santan kotak yang sudah tersedia,” protesku kerana tidak mahu kehilangan kesempatan melihat budaya gotong-royong di balai raya Kampung Pusing itu.
“Shuib, kalau kita beli santan di supermarket, kita tak boleh berbahagi rezeki dengan penjual nyiur di kampung ini. Lagipun, kalau kita beli di supermarket, sama saja kita sedang menimbun gunung. Sebab tuan punya kedai besar itu bukan orang sembarangan, tapi orang yang duitnya sudah menggunung, bukan orang seperti penjual nyiur di kampung kita. Jadi, kalau kita diberi kesempatan untuk membantu orang seperti penjual nyiur, kenapa harus kita sia-siakan?” jelas Mak Jemiah sambil tersenyum.
Aku tercenung sejenak dengan ucapan Mak Jemiah yang filosofis itu. Benar juga kata Mak Jemiah. Aku terkenang nasib salah seorang peniaga berus sabut nyiur yang kini menjadi penarik beca, setelah orang ramai memilih membeli berus plastik keluaran kilang. Padahal, kalau mahu dikira untung rugi, berus sabut buatan tukang beca itu lebih kuat ketimbang berus plastik buatan kilang. Tentu saja, kerana prinsipnya dengan kilang berbeza. Prinsip kilang, hari ini terjual, besok pagi kalau boleh sudah rosak dan orang beli lagi. Sementara peniaga berus sabut nyiur berprinsip, hari ini terjual satu, besok atau lusa harus terjual lebih dari satu, kalau boleh orang bersedia membantu menjual ke serata kampung.
 Pembuat gasing di belakang rumahku juga tak jauh beza nasibnya. Sejak tahun 80-an dia membuat gasing kelas wahid. Kepiawaian gasingnya bukan hanya dalam kalangan budak-budak kampung kami saja, tapi menyebar sampai ke para peniaga kraftangan. Dalam satu hari, pembuat gasing yang handal itu boleh mengaut untung 50-100 ringgit. Tapi sejak televisyen banyak menampilkan filem-filem tembak-menembak, ibubapa lebih suka mengenalkan anak-anak dengan pistol-pistol plastik buatan kilang, daripada gasing. Kini, pembuat gasing itu terpaksa membanting tulang menjadi buruh bangunan, mengasar dan melambankan jari-jarinya yang suatu ketika dulu amat gesit dan dinamik dalam aspek membuat gasing.
Aku yakin jari-jarinya kini tidak mampu lagi membuat gasing; hancur sudah, gerakan dan sentuhannya disagat bata merah, simen kering, dan gagang sekop. Jadi segera aku ambil parang dan mulai mengupas nyiur sambil membayangkan senyum peniaga nyiur boleh bertahan lebih lama bahkan selama-lamannya.
Lepas Zohor, gulai sudah hampir siap. Mak Jemiah mulai meramu bumbu dan racikan khusus untuk gulai istimewa hari itu. Sementara, Mak Bedah, Mak Sodah, Mak Tijah, Mak Kiah dan lain-lain lagi sudah ada di hadapan Mak Jemiah. Sehingga selesai Zohor itu, kenapa Mak Jemiah masak gulai tersebut belum juga terjawab.
 “Jemiah, boleh aku bertanya?” tanya Mak Bedah.
 Mak Jemiah tersenyum, “Nak tanya apa?”
 “Aku ini masih bingung, gulai kambing campur keli tak pernah dibuat orang,” ujar Mak Bedah, terpisat-pisat biji matanya.
 “Aku nak buat kejutan di Kampung Pusing ini. Ini sajian istimewa, dan akan diperuntukkan kepada orang-orang yang istimewa juga,” jawab Mak Jemiah bersahaja.
 Mak Bedah, Mak Sodah, Mak Tijah, Mak Kiah dan lain-lain saling pandang memandang. Mereka tak berani lagi bertanya kerana bimbang Mak Jemiah tersinggung. Masing-masing mulai menebak-nebak.
 “Agaknya ini resepi dari Juliana, anak Jemiah yang kuliah di jurusan perhotelan,” ujar Mak Kiah.
 “Mungkin juga dari buku resepi kiriman anak saudaranya yang jadi pramugari tu,” balas Mak Sodah.
 “Hushh, di luar negeri mana ada daging kambing,” tukas Mak Tijah.
 “Laa.. jangan tak tahu... tempe, nasi lemak, sate... sudah banyak dijual di luar negeri, jadi makanan mewah lagi,” tegas suara Mak Kiah.
 “Sudah... jangan bergaduh, kita tunggu saja nanti,” balas Mak Bedah.
 Masih banyak persoalan yang cagun, tapi aku sudah kurang tertarik tentang perempuan-perempuan itu. Menurutku, sudah kurang kritis kerana makin cenderung menerima eksistensi eksperimen Mak Jemiah. Jadi akupun mulai melaksanakan instraksi Mak Jemiah selanjutnya; mengatur puluhan hidangan untuk menyambut kehadiran YB ke Kampung Pusing.
 Kerana Mak Jemiah dibantu beberapa orang perempuan, aku tak mahu kalah pula dengan memanggil kaum lelaki di Kampung Pusing ini. Bezanya kaum lelaki di kampung ini memang tak sekritis kaum perempuan yang membantu Mak Jemiah di gedohok. Lebih-lebih lagi setelah disodorkan kopi dan rokok kretek, sama sekali tak ada cabaran atau pertanyaan kecil kendatipun yang harus kuhadapi dari mereka, walaupun aku sendiri sebenarnya tertanya-tanya kerana daftar nama undangan adalah daftar nama yang sering disebut-sebut oleh akhbar, radio dan tv. Daftar nama undangan di tangan Mak Jemiah hampir sama dengan daftar lengkap nama YB ketika kempen pilihan raya dulu. Lengkap dari empat parti gabungan.
 Akupun tergesa-gesa mencari Mak Jemiah.
 “Makcik Jemiah, yang diundang itu semua YB, ya?!”
 “Ya!”
 “Tapi nama-nama dalam senarai ni ramai yang pernah kalah bertanding dalam pilihan raya dulu,”
 “Apa salahnya?” jawab Mak Jemiah menamatkan pertanyaanku.
 Aku makin tertanya-tanya. Mak Jemiah kemudiannya menyodorkan beberapa helaian kertas. Ada sederet nama bakal YB yang tidak jadi YB, kerana kalah dulu. Kubaca dari muka surat ke muka surat. Ada ragam berita dan kenyataan yang menimpa para YB kalah itu. Salah seorang jadi separuh mereng kerana hampir semua hartanya terkuras untuk proses pencalonan. Gagal jadi YB, kini setiap pagi dia keliling ladang getah pakai kot lengkap berdasi tapi berseluar pendek. Dasinya besar, bergambar bangunan parlimen. Di ladang getah, dia menemui setiap penoreh, dan mencatat semua keluhan mereka, seperti ahli parlimen yang sedang bersedia untuk berdialog dengan konstituennya.
 Ada juga yang gila total dan sempat masuk hospital bahagia Tanjung Rambutan. Awalnya depresi kerana hartanya ludes semua. Kebun kopi yang menjadi andalan nafkahnya terjual untuk biaya kempen. Keluar dari hospital dia selalu berdasi, tapi tak pakai baju. Setiap pagi, lelaki berdasi tanpa baju ini membawa peta hitam, lalu menahan setiap orang yang lalu di depan rumahnya. Aku pernah jadi sasarannya, dan dari helaian kertas Mak Jemiah itu baru aku tahu bahawa dia bekas pengusaha kopi yang gagal jadi YB.
 Waktu itu pengusaha kopi tersebut masih juga berkempen walau keputusan pilihan raya sudah disahkan Suruhanjaya Pilihanraya. “Jangan lupa nanti pilih aku. Kalau aku dapat projek, kamu juga akan dapat bahagian,” begitulah salah satu pesan kempennya yang masih kuingat.
Isterinya dilaporkan hanya menangis, sampai hampir separuh mereng juga. Dan tak ada yang boleh mereka lakukan kerana kos rawatan di hospital jiwa tak terjangkau lagi. Harta sudah habis.
 Masih banyak lagi kisah sedih dan unik para calon YB yang kalah ini. Hampir semua beritanya disimpan oleh Mak Jemiah. Dan lepas Zohor ini mereka akan datang ke balai raya Kampung Pusing, dengan hidangan gulai ikan keli campur daging kambing. Hairan, kenapa Mak Jemiah mengundang mereka?! Aku masih tertanya-tanya.

* * *

Tiba masanya. Para undangan mulai berdatangan. Kaum perempuan yang membantu Mak Jemiah memasak gulai tak lagi bertanya-tanya. Kaum lelaki yang membantu persiapan hidangan kembali menikmati kopi dan rokok. Semua sudah bersedia di hadapan para undangan. Yang aneh, tak seorangpun YB menang yang diundang.
 Tidak ada agenda ucapan politik seperti yang aku sangkakan selain datang, makan dan pulang. Dengan karakter penampilan masing-masing, para tetamu awal tiba. Ada yang pakai seluar panjang hitam, dasi merah, tapi hanya dengan singlet putih. Ada yang menunggang basikal tua, dengan poster nama serta partinya di bahagian depan dan belakang, seperti orang berkempen.
Undangan berikut terus menyebarkan potongan daun, katanya, kad namanya. Dengan ulah dan gaya para undangan yang unik itu, kaum perempuan di hadapan gedohok dan orang-orang kampung di luar pagar balai raya tertawa terkekek-kekek. Hanya kaum lelaki di ruang balai raya yang tetap tenang, menikmati kopi dan kretek masing-masing.
 “Jemiah, balai raya kampung kita ni dah jadi seperti Hospital Bahagia Tanjung Rambutan. Mengumpulkan orang-orang yang kurang waras,” ujar Mak Bedah tak dapat ditahan-tahan.
Mak Jemiah hanya tersenyum.
Di tengah riuhnya gelak ketawa itu, salah seorang YB kalah, yang pakai kot dan seluar pendek, mengamati gulai dengan serius, lalu berkata dengan serius juga, seserius anggota dewan yang sedang bersidang.
 “Mak Jemiah, gulai ini boleh menjadi komoditi eksport terkemuka. Ini boleh menambah pendapatan asli daerah kita. Nantilah, kalau aku sudah resmi dilantik jadi ahli parlimen, gulai ini akan kita tawarkan ke pihak asing. Tapi kalau boleh tahu, gulai ini dibuat dari apa, ya?”
 Semua orang menunggu jawapan Mak Jemiah, dan walau sedar bahawa yang dihadapi adalah YB separuh gila, Mak Jemiah tetap menjawab pertanyaan YB kalah tersebut yang berkot dan berseluar pendek itu.
 “Gulai ini dibuat dari dua jenis haiwan. Ikan keli dan daging kambing,”
 “Ikan keli dan daging kambing? Eh, seperti pepatah orang Jawa yang ertinya, gila-gila waras!” kata YB kalah yang berkot dan berseluar pendek tersebut. Lalu diapun menghirup kuah gulai tersebut yang sejak tadi di depannya.
 “Iya, seperti sajak, gila-gila waras,” tambah YB kalah yang berbasikal pula.
 “Harus disosialisasikan kepada masyarakat umum lain,” ujar pula YB kalah berdasi dan bersinglet koyak.
 “Kita perjuangkan menjadi masakan tradisi daerah,” sambung YB kalah berbaju safari dengan seluar batik.
 Kaum perempuan tertawa berdekah-dekah, orang-orang kampung di luar pagar turut terbahak-bahak, sedang kerumunan lelaki yang membantu hidangan cuma tersenyum. Tapi puluhan YB kalah dari empat parti gabungan itu tidak peduli pada suara orang ramai, sama seperti tidak pedulinya pada nasib masyarakat ketika mereka berkempen. YB-YB kalah tersebut tak sedar bahawa aksi serius mereka jadi bahan ketawa. Mereka tetap serius menghirup kuah gulai keli campur kambing sambil membahas pro dan kontra untuk membawanya sebagai makanan tradisi daerah.
 Beberapa orang aku lihat mulai kasak-kusuk menyusun koalisi ikan keli dan daging kambing; waras dan gila. Dan tawa kami semua semakin bingar, termasuk para lelaki yang mulai kehabisan kopi dan rokok.
 Esok paginya, Mak Jemiah menyuruhku membuang sisa gulai berformat ikan keli dan daging kambing itu ke dalam parit belakang balai raya. Sambil berjalan aku berfikir; bagaimana kalau aku usul agar Mak Jemiah mengundang para YB yang sekarang sedang enak di kerusi empuk. Tapi agaknya... apa resepi terbaru Mak Jemiah?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA