Isnin, 15 Mac 2010

Impian Lestari

(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Sinar Rohani terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan telah diantologikan dalam Insyiqaq)

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

NYALAR begini. Ghalib. Sekarar pagi begini, aku sudah mengiseng langkah mengitari mandala lapan hektar perbukitan menghijau leanigerum diseli sedikit tesymanii. Direalisasikan dari belantara tebal sejak meninggalkan jawatan pakar penyelidik sintesis organik University of Illinois, Chicago. Serasa ada wayu sendalu membelai lunak, mesra dan manja.
Wayu sendalu galak dan getol berkesiur. Miang membelai. Kalau tadi beraroma sejuk kerana dibaur molekul dingin dari jeram bertingkat yang deras mengalir di pusat bukit, tetapi kini agak suam ditusuk sinar matahari, menyelit antara dedaun lalu membentuk jaluran cahaya ke bumi. Gelicau unggas cagun berselerak. Kendati begitu, aku tetap karar di sini dengan kesuburan leanigerum, dengan kehijauan tesymanii. Sentosa hati.
“Engkau sudah nyanyuk, profesor!”
Siapa pun sukar mengerti. Entah apakah hasilnya pokok-pokok ini? Entah apa faedahnya dua spesies ini jika mahu dibandingkan dengan rambutan, durian, mangga siam, dokong atau lain-lain tanaman? Biar tuduhan prejudis itu bersipongang. Biar meledak menggerutup di mana-mana. Realitinya, mandala perbukitan seluas lapan hektar ini sudah sarat menghijau dengan leanigerum dan tesymanii.
“Kenapa memilih dua spesies ini untuk disuburkan?”
Mereka makhluk Allah juga! Tumbuhan hijau juga. Berbangsa bintangor, susur galur dari hutan hujan Negeri Kenyalang, unik dan aku suburkan di mandala perbukitan seluas lapan hektar ini semata-mata kerana Murni.
“Murni? Siapa Murni?”
Dia isteriku. Isteri yang telah menganugerahkan aku sepasang zuriat dambaan kasih - Kuntum dan Dahan. Sayang, dia telah pergi meninggalkan aku sewaktu ujikaji kami di peringkat pengumpulan sampel. Jelu amat mengenangkan. Cabuh jiwa mengingatkan. Ourgh…! Diam.
“Teruskan!”
Sungguh, Murni isteriku yang baik. Luhur dan penyayang. Nyalar mengingatkan aku tanggung jawab memelihara kelestarian alam supaya dapat dimanfaatkan oleh semua. Aku penyambung misi cita-cita dan harapannya yang berakhir dengan renggutan maut virus durjana itu.
Ya, Murni meninggal kerana HIV. Tidak sekali-kali aku mahu menyalahkan fitratullah mahupun masyi’atullah. Siapalah aku mahu menghalang nahas itu dari menjerba perjalanan Murni sewaktu pulang dari membeli belah di Kota Chicago. Akibat kemalangan itu dia mengalami pendarahan yang banyak.
Aku juga tidak menyalahkan para doktor yang bertungkus lumus menyelamatkan nyawa Murni. Tugas mereka amat murni dan berjaya biar pun beberapa tahun kemudian isteriku terpaksa bertarung dengan virus HIV dari darah yang dipindahkan ke dalam tubuhnya.
Betapa! Rakusnya serangan virus durjana itu laksana jentolak besi padu melanyak fauna dan flora di Bukit Gondol. Murni kecundang. Sungguh-sungguh aku kesal dengan kehilangannya.
“Bermakna kau tidak redha kepada fitratullah dan masyi’atullah?”
Bukan! Bukan begitu maksudku. Kekesalanku buar menghenyak seluruh hidup kerana Murni tidak sempat melihat kejayaan ujikaji kami pada sampel (+)-calanolide diekstrak dari bintangor spesies calophyllum lanigerum.
“Ujikaji kami?”
Ya, kami! Aku… aku bersama beberapa ahli botani University of Illinois, Profesor Green - rakan dari Institut Kanser Kebangsaan Amerika Syarikat (NCI) juga Dr. Love dari agensi Arnold Arboretum Research (sebuah agensi penyelidikan sintesis organik persendirian).
Bayangkan! Lebih dua ribu seratus enam puluh jam kami di perut belantara Negeri Kenyalang - meredah paya beronak, mendaki bukit berduri, cerun tajam berbatu dan mendepani pelbagai cabaran, semata-mata mencari bintangor itu. Kami berjaya!
Kajian in vitro yang telah kami jalankan menunjukkan (+)-calanolide A, sejenis bahan bukan nucleoside memberi tindak balas berbalik kepada enzim perencat atau transcriptase (NNRTI), bertindak aktif terhadap virus HIV-1 termasuk strain yang rintang terhadap ubat-ubatan seperti azt, nevirapine dan pelbagai NNRTIs.
“Lagi?”
Kami dapati, bahan itu juga menunjukkan kemampuan bersinergi bila digunakan secara in vitro bersama-sama dengan analog nucleoside seperti AZT, ddC, ddI, d4T dan 3TC; serta dengan bahan perencat bukan nucleoside seperti nevirapine; dan perencat protease seperti saquinavir dan nelfinavir.
Kajian ke atas haiwan menunjukkan kompaun bahan itu boleh menembusi takungan virus dengan menembusi halangan pada bahagian otak dan memasuki bahagian otak, seterusnya berkumpul pada nidus limfa.
“Cuma itu?”
Tidak! Ujikaji kami pelbagai - berjujukan, rawak, kawalan placebo termasuk ujian ciri-ciri keselamatan, pharmacokinetics serta kesan dua dos (+)-calanolide A dijalankan ke atas pesakit HIV positif.
Keputusannya memberangsangkan. Diserap dan beredar baik melalui saluran darah kendati wujud sedikit loya, pening radangan dan nausea ringan.
Apakah tidak wajar aku menyesali kehilangan Murni meski dalam waktu rakan-rakan yang lain bergembira dengan kejayaan penemuan ini? Mereka berhak untuk bergembira setelah pelbagai kesulitan ditempuh sepanjang ujikaji berlangsung.
Penemuan penawar ini manis, kejayaan ini manis. Wajar mereka gembira. Sedang aku, wajar juga untuk bersedih. Penawar yang kami usahakan tidak sempat dinikmati Murni. Kesal dan jelu sungguh.
“Tapi, kau masih ada dua zuriat tinggalan Murni! Dahan dan…”
Argh… usah disebut nama anak jantan itu. Tidak persis yang aku harapkan. Tidak pernah menghargai usaha-usahaku menyuburkan bintangor malah ada riyak-riyak tidak senang menyerlah.
Seperti orang lain, Dahan lebih mementingkan pembangunan, wang ringgit, langsung melupakan kelestarian hijau alam dan wasilah antara sesama makhluk Allah.
“Saya malu, bapak! Tuan PB (Pegawai Besar) Daerah Maju punya bapak bekas profesor bijak selidik sintesis organik tapi berwawas beku. Era sudah berubah, bapak! Kita tidak lagi dibelenggu kokun negatif, diborgol kejur diselimut gebar fatalis, mandom, pesimis dan statik. Kita merealisasikan wawasan pembangunan untuk menafikan persepsi negatif penjajah: ‘sebuah rumah untuk berteduh, sebidang tanah untuk bercucuk tanam, sebuah madrasah untuk beribadat dan selebihnya sebuah alat muzik untuk berhibur selepas penat bekerja - sudah cukup untuk menjalani sebuah kehidupan’. Itu hipotesis untuk kita, bapak!”
Jadi, kamu malu berbapakkan Profesor Lestari tua ini? Betul kamu malu? Bapak tidak menghalang kamu untuk berasa malu berbapakkan bapak. Itu hak kamu.
Memang seorang PB terpelajar seperti kamu wajar berasa malu punya seorang bapak seperti bapak. Tapi bapak ingin membetulkan tanggapan prejudis kamu terhadap bapak. Dengar sini Dahan….err Tuan PB!
Usaha bapak menghijaukan perbukitan lapan hektar itu dengan bintangor bukan bermakna bapak menolak pembangunan total. Bagi bapak, pembangunan tetap penting dan diperlukan selagi tidak mengabaikan kelestarian alam, hubungan baik dengan tumbuh-tumbuhan.
Hanya ini satu-satu rahmat Tuhan, punya wasilah yang akrab dengan proses kelangsungan hidup manusia itu sendiri. Bapak punya alasan aspek biologi; tumbuhan menyerap karban dioksida dan membebaskan oksigen yang amat diperlukan makhluk bernyawa termasuk bapak, kamu juga haiwan. Ingat…. andai kelestarian alam terabai, akan cagun pelbagai pencemaran. Kehidupan sentosa makhluk akan tergugat.
“Siapa mahu menafikan hujah bapak? Bekas pakar penyelidik sintesis organik antara penemu penawar AIDS dan kanser! Hujah bapak memang berasas. Memang logik, tapi tidak lagi relevan dewasa ini. Pakar-pakar pembangunan menganggap hujah itu perlu dikorbankan andai persepsi negatif penjajah mahu dituntas. Pembangunan juga bermatlamatkan kesejahteraan, kemakmuran, kelangsungan hidup. Yang lebih penting, bapak harus sedar, tikar pembangunan telah dianyam begitu teliti dalam sebuah sistem yang bernama kuasa dan wang! Bapak tentu sekali tidak berkudrat menentang sistem itu bukan?”
Mendadak lidah kejur, aku bungkam. Suaraku lampus diborgol ungkapan itu. Memang aku lemah. Profesor tua ini terlalu lemah untuk membobrokkan sistem itu. Dahan….bapak kesal! Pembangunan telah mengajar kamu memberhalakan kuasa dan wang.
“Jangan biarkan kesalan itu melarut! Kau masih punya Kuntum, bukan begitu?”
Ceria wajah serlah mendadak. Tidak dinafikan. Aspek zahir, memang Kuntum persis indungnya. Figuranya, lebih-lebih lagi kala senyum. Menyayangi fauna, flora dan makhluk sejagat. Pemuja cempaka putih spesies michelia alba membuatkan pojok halaman rumah sarat memutih kala musim bunga. Menggerbak mengapung malam.
Bagiku, Kuntum laksana ranggi cempaka putih. Tercium gerbaknya mengingatkan aku pada gemulah Murni. Cempaka putih nyalar terselit di sanggul, menyerlah keayuan, menggamit pesona. Oh Murni…
“Sudah…”
Sayang, Kuntum tidak punya sifat-sifat lembut kewanitaan seperti ibunya, typical, submissve - tidak mudah akur pada kehendak orang lain. Kadang-kadang tindakan terlalu radikal. Gesit memberontak, protes melulu, kasar, agresif. Menggelumangi jagat NGO memungkinkan dia begitu.
Aku tidak menghalang. Anak-anak punya kebebasan penuh memilih corak hidup masa depan. Bagiku, kebebasan itu penting untuk hidup asal tidak melampau. Seperti mana memberi kebebasan kepada bintangor menyubur di mandala lapan hektar perbukitan ini tanpa gangguan.
Biarkan mereka bebas menyerap cahaya mentari pada siang hari dan membebaskan oksigen pada malam hari seraya bersujud kepada Khalik sebagai makhluk yang dijadikan.
“Bintangor bersujud?”
Jangan khilaf! Mereka juga makhluk Allah. Makhluk Allah harus bersujud kepada Pencipta-Nya sebagai rasa syukur kerana dijadikan. Bukan sekadar bersujud, mereka juga bertahmid, bertakbir, berzikir dan bertasbih mensyukuri nikmat hidup di bawah langit Allah.
Aku pernah melihat mereka menyarati malam dengan ibadat-ibadat itu. Dahan bintangor, daun bintangor, ranting bintangor, batang bintangor juga unggas-unggas hutan yang menumpang teduh di pohonnya - semuanya memuji-muji kebesaran Tuhan. Kenapa tidak ramai manusia begini?
Sekadar berakal tetapi tidak tahu menggunakan akal. Nyalar tewas dengan nafsu. Agh… manusia asyi! Siang malam digelumangi nafsu - kuasa dan wang. Allah menciptakan sarwajagat ini untuk semua makhluk ciptaan-Nya menjalani erti kehidupan - mencari rezeki, membanyakkan zuriat, beribadat. Bukan untuk manusia cuma.
Sungguh, manusia sudah asyi, tidak tahu lagi berterima kasih kepada sesama makhluk. Nafsu dan ketamakan sudah melupakan mereka kepada hakikat wasilah antara sesama sehingga sanggup menceroboh kedamaian, ketenangan, keharmonian, ketenteraman seterusnya memusnahkan kehidupan makhluk lain.
“Sudah…”
Mentari sudah mencanak di puncak kepala. Membahang melengas. Ada lawang perpisahan antara kita. Bintangor, aku pulang dulu!

* * *

Bilik empat persegi, kemas, dingin hawa menyengat. Meja kayu nyatuh. Kerusi pusing empuk. Dahan bersandar segar, mata meneliti fail-fail bersusun cantik atas meja. Jam baru sembilan pagi kala hand-phone melengking.
Gesit diangkat dan ditekapkan ke corong telinga. Persis ghalib, dia yakin amat, tentu saja panggilan dari isteri atau bapak atau Kuntum atau juga kontraktor-kontraktor yang sering berurusan dengannya. Barangkali juga teman-teman lama sewaktu di universiti dulu.
Kalau isteri, tentulah soal orang gaji yang sudah dua minggu melenyap tanpa berita. Gadis pingitan dari Pantai Timur itu pulang berhariraya di kampung kelahiran dan santak sekarang belum lagi menjengul.
Kalau bapak atau Kuntum… agh, tak mungkin! Mereka tidak pernah meng-ganggunya waktu kerja. Begitu juga dengan teman-teman lama. Selalunya teman-teman lama bertemu di kelab-kelab atau padang golf. Hmm… barangkali juga kontraktor-kontraktor pemurah dan baik hati itu! Tapi, siapa ye?
“Hello!”
Diam.
“Hello!!!”
Cit! Putus pula! Talian telefon canggih lengkap e-mail pun boleh putus? Hand-phone gesit diletakkan atas meja. Mata mengitari semula fail-fail di hadapan. Namun mendadak pula benak menerawang, menghimbau wajah Tuan Usahawan dari Konsortium Cekauwang Bhd, mengirap mesra ke sepasang mata.
“Projek ini mampu menarik jutaan pelancung ke Daerah Maju, Encik Dahan! Saya yakin, nama Encik Dahan sebagai PB Daerah ini pun akan turut harum!”
“Jadi?”
“Kuasa encik diperlukan! Errr, kuasa berbayar!”
“Nanti saya fikirkan!” Senyum sarat makna.
Tuan Usahawan turut senyum. Faham retorik tersirat.
“Taman rekreasi lengkap resort dan chalet mewah yang nak dibangunkan tu melibatkan kemusnahan bintangor milik bapak saya, Tuan Usahawan!”
“Itu saya tahu, Encik Dahan! Bukit seluas lapan hektar tu terletak di pinggir kawasan maju. Sekeliling sudah membangun. Kewujudannya amat menjolok mata kalau tidak dibangunkan. Lagipun, tanaman yang bapak encik usahakan tu, jauh dari hasrat Wawasan Pertanian Negara 2020.”
“Saya sedar itu, Tuan Usahawan! Malah, sudah lama saya fikirkan. Bintangor bapak saya tidak menjamin pulangan yang besar. Pasaran nihil. Barangkali juga bapak saya sudah nyanyuk, meracau dengan impian masa depan yang kosong…”
“Orang tua memang begitulah, Encik Dahan!”
“Ya, banyak kerenah, cepat merajuk, sensitif dan kadang-kadang kepala saya jadi yongyat. Banyak lagi tanaman lain yang boleh diusahakan tapi bintangor itu juga jadi pilihan!”
“Sudahlah, Encik Dahan! Kita lupakan soal remeh temeh tu… err… saya dah berbincang dengan Datuk OB (Orang Besar). Dia setuju dengan pendapat saya. Cuma satu pesanannya: Projek Taman Rekreasi itu mesti direalisasikan secepat yang boleh!”
Dia mengangguk.
“Errr, satu lagi! Lembaga Pengarah Konsortium Cekauwang Bhd dah bersetuju melantik Encik Dahan sebagai salah seorang pemegang kepentingan taman rekreasi tu!”
Dia angguk terus.
“Encik Dahan! Ada tetamu nak jumpa encik!”
Lamunan gesit bubar. Berkecai. Kelinglungan melihat Siti Aisyah di muka pintu bilik.
“Suruh dia masuk!”
Sebaik setiausaha janda mualaf itu berlalu, seorang lelaki agam terjengul di situ.
“Selamat pagi Tuan PB!”
“Selamat pagi eh… Encik Tong Kang! Sila duduk! Sila duduk!”
“Tuan PB sudah minum?”
Dalam senyum. “Baru lepas!”
“Tadi saya ada telefon tapi fikir-fikir… lebih baik datang jumpa sendiri!” bersuara mesra sewaktu punggung berlabuh di depan Encik Dahan.
“Oooo… talian yang putus tadi?”
“Sengaja diputuskan!”
“Tentu ada hal mustahak!”
Lelaki agam itu tersengeh lebar. Pengusaha kuari bijak, workolic dan pemurah. Tidak terlalu lama untuk melunaskan hajat hati. Sekeping enverlope 11cm X 22cm iseng dihulurkan kepada Encik Dahan.
“Eh, surat apa pula ni?” Pura-pura terjeda.
“Bukan surat tuan, errr… ang pau!!” Encik Tong Kang tersengih lagi.
“Bukan rasuah?”
“Jangan cakap macam tu, tuan! Alaa… sikit saja ang pau untuk anak-anak tuan!”
“Kenapa bawah meja?” Encik Dahan separuh berbisik.
“Takut orang lain nampak, tuan!” Encik Tong Kang tersengih-sengih.
Encik Dahan turut tersengeh. Lebih lebar. Tangan menyambut cepat. Enverlope bertukar tangan. Terbayang dalam kepala. Bukit batu kapur pinggiran laut hujung Daerah Maju yang dulunya teguh terpasak dalam bumi, sudah terpokah diledak granite Tong Kang Sdn Bhd.
Pelbagai flora dan fauna unik di bukit itu melenyap termasuk sebuah gua yang kaya dengan stalaktait dan stalagmait. Jutaan makhluk spesies cheiromeles torquatus, megaderma lyra, scotophilus kuhli dan megaderma spasma kehilangan zuriat-zuriat kecil setelah kediaman mereka berkubur bawah tanah.
Beberapa tagal bertukar khabar tentang keluarga, bussiness dan soal-soal politik semasa, Encik Tong Kang pamit. Encik Dahan gesit menyelak enverlope 11cm X 22cm. Ada kepingan-kepingan kertas biru kelabu cair di situ. Ada ubi ada batas! Ang pau untuk anak-anak! Spontan bibir memurup senyum.

* * *

TV4 mengungkap kembali pelbagai petaka yang menjerba dunia sebagai mukadimah lawang alaf baru. Gempa di Turki. Taufan di Florida. Ribut di California. Ledakan gunung berani di Kepulauan Haiti. Banjir besar di China.
Diseli tanah runtuh, jambatan roboh, lebuhraya reban juga banjir kilat di Lembah Kelang dan sekitar Shah Alam. Pengakhir rancangan, suara latar bergema surah al-Rum ayat 41: ‘Tidak lahirlah bencana di darat dan di laut kerana usaha tangan mereka supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada balasan perbuatan yang mereka perbuat, mudah-mudahan mereka kembali bertaubat.’
Sedikit tidak terkesan. Dahan bersahaja menghirup susu high calcium sajian isteri. Cepu kepala bergentayangan pelbagai. Beraduk baur. Soal orang gaji yang masih belum berjaya dicari kendati sudah hampir sebulan. Soal data dalam komputer peribadi yang tiba-tiba saja lenyap. Barangkali diserang virus chenobyl, I Love You atau masalah Y2K.
Ah, segalanya membuncah, beragaman dan Dahan rasa lebih terhenyak kala tiba-tiba wajah pudar Kuntum mengirap ke ruang mata. Pertemuan beberapa malam lalu gesit cagun. Perbualan antara adik beradik yang bermula mesra, jadi sedikit hebat dan akhirnya terus membahang.
“Kuntum! Masuklah!” Hanizah mempelawa lunak sebaik menguak daun pintu teras cengal. “Eh, mana bapak?”
“Dia di rumah. Baca kitab!” senyum Kuntum bersahaja dan terus ke ruang tamu. Melabuhkan punggung di sofa kulit sisi Dahan yang asyik mengelus perut. Kekenyangan. Sekilas mencuplik tancap ke arah kakak ipar yang sudah melangkah ke dapur.
“Kamu datang just a right time. Abang baru saja balik dari kota,” Dahan mula bersuara. “Teman lama belanja makan di Hotel Lima Bintang tadi. Eh, seorang saja? Kenapa tak ajak bapak ke mari?”
“Errr… sebenarnya bapak ke bukit!” Kuntum mengeluh.
“Malam-malam buta begini?” Dahan agak terlunga.
Kuntum mengeluh lagi. Lebih berat. “Entahlah, bang! Katanya, nak lihat bintangor bersujud kepada Allah!”
“Dah sah, Kuntum! Memang sah orang tua tu dah nyanyuk!” Dahan gesit menggeleng dan berdecit. Beriak kesal.
“Tak baik abang cakap macam tu pada bapak. Bapak belum nyanyuk, bang!” Kuntum menegak hakikat.
“Habis, tak nyanyuk apa lagi kalau ke bukit tu malam-malam begini?” tukas Dahan kurang senang.
“Sebenarnya, fikiran bapak terganggu!”
“Ah, bapak sengaja cari masalah, Kuntum! Masalah itu yang mengganggu fikirannya. Sepatutnya, bapak berehat saja selepas bersara. Buat ibadat banyak-banyak sebelum mati.”
“Abang tak ada hak nak menentukan kehidupan bapak baik sebelum mahu pun selepas bersara. Begitu juga kecintaan bapak kepada kehijauan dan kesuburan bintangor di bukit tu!” Kuntum sungguh kurang senang. Suara sedikit gerah.
“Itu kata kamu, Kuntum!” Dahan tersenyum nipis. “Sebagai anak lelaki, abang tetap ada hak ke atas kehidupan bapak. Menjadi tanggung jawab abang untuk melihat bapak tidak dihenyak masalah. Bapak perlu disedarkan dari mimpi siang hari. Usaha bapak menanam bintangor di bukit tu sia-sia saja!”
“Itu kata abang! Bapak ada alasan tersendiri!”
“Apa juga alasan, pembangunan perlu diutamakan. Tilik masa depan bukit tu. Untuk apa dibiarkan tersergam di situ tanpa apa-apa kemajuan! Lagipun, abang sebagai PB daerah ni, berasa malu jika bukit tu tak dibangunkan dengan sesuatu yang berfaedah untuk semua!”
Perbualan terganggu oleh suara anak kecil merengek dari bilik bersebelahan ruang tamu. Kebetulan isteri datang bersama sedulang nescafe panas dan sepiring butter cookies.
“Minumlah!” Hanizah bersuara mesra, memurup senyum. Sejenak bergegas ke bilik tidur kerana rengekan anak kecil kian memanjang.
Kuntum mencerlung kelun-kelun asap, mengonggok dan melegar dari mulut cangkir cantik. Aroma nescafe menjerba lubang hidung. Sedikit menggugah selera namun tidak terhimbau mahu menjamahnya. Entah kenapa, bagaikan terasa ada sesuatu yang menyekang halkum kala itu.
Hening.
“Beginilah, Kuntum!” Dahan terkesan perubahan pada wajah Kuntum lalu bersuara setelah bertagal membungkam. “Tak usahlah kita dua beradik bergaduh fasal bukit tu lagi. Lagipun, pentadbir daerah sudah pun memutuskan. Warga Daerah Maju memerlukan sebuah taman rekreasi untuk berehat. Secara tak langsung, akan menarik minat para pelancung ke sini. Bukit tu dikira tempat paling strategik untuk dibangunkan!”
“Kerana warga Daerah Maju atau ada kepentingan lain?” Kuntum menyinis.
Dahan terjeda. Tergamam jola dengan ungkapan tersebut.
“Bermakna juga, abang terpaksa berhadapan dengan saya dan NGO!” Kuntum terus menambah persis mengingatkan.
“Maksud kamu?”
“Kami sudah sepakat akan mengadakan demontrasi membantah sebarang kemusnahan terhadap bintangor milik bapak!” tegas dan waras Kuntum bersuara.
“Ooooo… demontrasi!” Dahan tersenyum sinis. “Barangkali itu tindakan paling rasional dari warga terpelajar macam kamu!”
“Rasional atau tidak, terpelajar atau tidak, itu bukan persoalan. Yang penting, hasrat kami untuk menyedarkan. Pembangunan perlu mengambil kira aspek kelestarian alam, tidak komersial semata, kepentingan bintangor untuk perubatan dan yang lebih penting, cita-cita bapak untuk kelangsungan hidup makhluk sejagat!”
“Wah.. wah! Mengalahkan pidato ahli politik!” Dahan mencebek jengkel. “Negeri kita demokrasi, Kuntum! Kamu boleh berpiket sehebat mana yang kamu mahu tapi harus ingat, tindakan itu tak ubah anjing menyalak bukit! Kami tak pernah gentar apalagi tergugat!”
Kuntum gesit bungkam.
“Barangkali kamu lupa agaknya! Pokok pembangunan berpaut kukuh pada tunjang kuasa dan wang! Tahu itu?” Dahan tersenyum sinis.
Figura Kuntum mendadak berubah jerau. Pedih gesit membuar mengganyang rongga dada. Sewaktu kaki melangkah ke muka pintu, dia persis dapat merasakan bapaknya tidak akan melihat lagi bintangor bersujud kepada Allah tetapi bersujud akur kepada pembangunan.
Denting jam antik bersipongang mengejutkan. Lamunan berjela-jela Dahan terburai. Kemamar sejenak sebelum bangun menuju bilik tidur. Terasa puas dan lega namun sedikit kesal. Kuasa dan wang juga boleh merenggangkan tali persaudaraan. Ah, biarkan!

* * *

Nyalar begini. Ghalib. Sekarar pagi begini, aku sudah mengiseng langkah mengitari mandala lapan hektar perbukitan yang dulunya menghijau subur leanigerum diseli sedikit tesymanii tetapi kini sudah meriah sebuah taman rekreasi lengkap resort dan chalet. Serba mewah.
Serasa ada wayu langkisau menerjang garang. Membalun dan menghenyak. Bintangorku tiada lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA