SMAHADZIR
SUDAH
dua sesi pengajaranku namun Beng Heng, Guan Teck dan Mei Yin masih belum kelihatan
dalam kelas. Ketiga-tiga pelajar ini seolah-olah tidak berminat untuk belajar.
Aku menyeluruhi ruang kelas.
Rata-rata wajah pelajar di depanku sekarang seolah-olah tidak sabar lagi untuk
menerima ilmu. Sejurus kemudian, aku terus memulakan sesi pelajaran bahasa Melayu
yang telah diamanahkan kepadaku. Aku mengambil kesempatan pagi itu menerangkan
tentang betapa pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Semua pelajar kelihatan akur. Masing-masing mendengar
dengan teliti dan penuh minat. Seterusnya aku bertanya: “Apakah wasilah terpenting untuk membentuk bangsa
Malaysia?”
Semua pelajar diam. Masing-masing
mencerlung tunak ke arahku.
“Jawapannya ialah bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu kerana ‘Bahasa Jiwa Bangsa’,” ujarku. “Ini
bermakna, bahasa apa yang kita daulatkan, bahasa itulah yang membentuk jiwa
kita, sekali gus memercikkan jati diri kebangsaan. Sebaliknya, jika kita mendaulatkan
bahasa asing, akan terpancarlah ‘jati diri asing’. Lantas, akan terencatlah
pembentukan jati diri kita sebagai bangsa Malaysia.”
Semua pelajar mengangguk-angguk.
“Tapi, zaman
sekarang ini bukankah kita dituntut supaya menguasai bahasa Inggeris atau
bahasa Mandarin, cikgu? Lagipun, bahasa Melayu bukannya dikuasai oleh semua
orang di dunia ni,” tiba-tiba Beng Heng bersuara. Jelas wajahnya bagaikan
kurang setuju denganku.
“Betul kata Beng Heng tu, cikgu!” sokong pula Mei Yin.
“Saya tidak pernah menghalang kamu belajar dan menguasai
bahasa Inggeris dan Mandarin atau apa saja bahasa yang kamu suka,” jawabku. “Tetapi
janganlah pula jiwa dan pemikiran dikuasai oleh bahasa asing itu. Ini bukanlah
budaya bangsa maju. Bangsa yang maju-moden-perkasa menjunjung tiga pacak
ketamadunan iaitu mendaulatkan bahasa kebangsaannya, menyintai jatidiri
kebangsaannya, bukan perkauman-kesukuan dan setia pada nusanya yang satu.”
Beng Heng, Guan Teck dan Mei Yin tidak bersuara.
“Bahasa kebangsaan adalah wadah terpenting, selain wadah
pendidikan dan kebudayaan kebangsaan, untuk membentuk keperibadian bangsa Malaysia
bersemboyankan gagasan ‘satu bahasa, satu bangsa, satu nusa’, tidak sewajarnya
disangsikan oleh sesiapapun,” tegasku.
Semua pelajar mengangguk-angguk faham
dengan kenyataan tersebut. Aku semakin bersemangat untuk menyarat minda mereka
dengan ilmu yang ada di dadaku.
“Siapa antara kamu berminat mendalami bahasa Melayu?”soalku
pula dalam usaha mencungkil minat dalam kalangan pelajar-pelajarku itu.
Albert Choo dan Stanley Cheng yang
duduk di pojok kiri kelas spontan mengangkat tangan masing-masing.
“Bagaimana yang lain?” soalku lagi
seraya menyeluruhi satu persatu para pelajar berbangsa Cina di hadapanku.
Masing-masing saling berpandangan
dan tidak menjawab soalanku.
“Cikgu seolah-olah anti bahasa Cina!”
tiba-tiba Beng Heng bersuara dengan wajah serius.
“Saya bukannya anti bahasa Cina,” tegasku. “Prinsip
saya jelas dan tegas: Pelajari dan kuasailah bahasa Cina, tetapi pendaulatan
hanyalah terhadap bahasa kebangsaan kita sendiri. Inilah sikap dan pemikiran
yang betul.”
Rata-rata pelajar di hadapanku faham cuma Beng Heng, Guan Teck dan Mei Yin saja
yang masih belum menampakkan sebarang reaksi positif malah sering saja
memprotes di dalam kelas pembelajaranku.
Hari berikutnya Beng Heng, Guan Teck
dan Mei Yin tidak kelihatan di dalam kelas sewaktu sesi pembelajaranku. Melalui
beberapa orang pelajar, aku mendapat tahu ketiga-tiga pelajar ini sengaja
keluar dari kelas semata-mata tidak mahu mengikuti mata pelajaran bimbinganku.
Sesungguhnya, situasi ini amat membingungkan. Aku menjadi resah tidak menentu
memikirkan tindakan tiga orang pelajar yang agak pintar ini.
* * *
Hari pertama
minggu kedua aku mengambil kesempatan bersoaljawab dengan pelajar-pelajarku.
Harapanku semata-mata untuk mewujudkan bibit-bibit kemesraan antara kami.
Jam 8.30 pagi aku sudah berdiri di
hadapan kelas. Aku agak terkejut kerana Beng Heng, Guan Teck dan Mei Yin ada di
dalam kelas. Tentu sekali mereka telah kesal atau juga ingin kembali belajar di
bawah bimbinganku. Begitu yang terbetik dalam hatiku kala itu. Aku melemparkan
sebuah senyuman mesra ke arah mereka namun tidak berbalas. Wajah Beng Heng,
Guan Teck dan Mei Yin bagaikan meluat amat denganku. Masam mencuka. Aku diterpa
kehairanan mendadak.
“Kenapa kamu bertiga tidak hadir
sewaktu saya mengajar dua hari lalu?” soalku beberapa jenak kemudian. Wajah Beng
Heng itu kurenung dalam.
Beng Heng sekadar mencebek. Begitu juga dengan Mei Yin
dan Guan Teck. Pelajar-pelajar lain kelihatan seperti kurang senang dengan
tingkah laku tiga pelajar tersebut. Mereka seolah-olah resah dan gelisah.
“Saya bertanya kamu, Beng Heng!”
suaraku sedikit tinggi. “Kamu harus menjawabnya dengan jujur supaya saya dapat
tahu apa sebenarnya masalah yang kamu hadapi.”
“Saya, Guan Teck dan Mei Yin
sependapat dalam soal tidak mahu menuntut ilmu yang tidak penting dari cikgu!”
ujarnya seraya mencemek sinis.
“Kenapa? Apa yang tidak kena dengan
pelajaran bahasa Melayu yang saya ajarkan kepada kamu?” soalku sungguh-sungguh kurang
senang.
“Cikgu seolah-olah datang ke mari
untuk menidakkan kewujudan bahasa ibunda kami. Cikgu juga seolah-olah cuba mahu
menjahanamkan bahasa ibunda kami!” Suara Beng Heng semakin keras dan sinar
matanya murup terpancar api marah yang menyala. Penuh penentangan.
Aku tergamam jola. Pelajar-pelajar
yang lain tidak bersuara. Mereka seolah-olah turut terkedu dengan penentangan
yang dibuat oleh rakan sekelas mereka itu terhadapku.
Aku masih lagi berdiri di hadapan
kelas kerana waktu itu aku sedang menyarat minda mereka dengan ilmu yang ada
padaku. Aku cuba memurup dan melebarkan senyuman semanis mungkin kepada Beng
Heng tetapi nyata pelajar itu langsung tidak mahu membalas senyumanku. Sungguh
benar dia anti dengan subjek bahasa Melayu kelolaanku.
“Semua tuduhan yang kamu katakan
tadi bersifat prejudis dan salah, Beng Heng!” aku bersuara beberapa jenak
kemudian. “Saya bukan mahu menghancurkan bahasa ibunda kamu, tapi saya...”
“Cikgu seolah-olah sedang memaksa
kami, bukan?” cantas Beng Heng dengan kasar. Wajahnya nyata murup dengan rasa
benci dan marah yang amat sangat, sarat juga dengan sinis yang tidak
berpenghujung.
Aku gontai melemparkan sebuah lagi
senyuman kepadanya. Senyuman yang kukira serbat penyegar dan penawar buat
diriku sendiri ketika itu.
“Beng Heng bercakap benar, cikgu!”
tiba-tiba Guan Teck bersuara pula.
Aku pantas menoleh ke arahnya yang
duduk di bahagian kiri belakang kelas. Aku dapati ketika itu dia sedang
menjuihkan bibirnya seolah-olah jengkel amat memandang wajahku.
“Cikgu memaksa kami menerima
kepentingan bahasa Melayu supaya bahasa ibunda kami dilupakan!” Mei Yin pula
bersuara dengan bibirnya semakin dijuihkan. Hodoh benar figura ayunya tatkala
itu.
Aku mengeluh rengsa. Lidahku
bagaikan terkancing rapat. Sejak aku menjadi guru dan ditugaskan mengajar di
sekolah ini, inilah pertama kali aku mendengar kata-kata seperti ini. Aku cuba
juga mengeluarkan suara yang lembut supaya tidak kelihatan riak-riak kepedihan
yang melepa di hatiku. Kupandang muka seorang demi seorang pelajar di hadapanku.
Sejurus kemudian, perlahan-lahan aku bersuara tetapi agak serius.
“Saya yakin, kamu semua pasti
memberi peluang kepada kenyataan dan kebenaran...”
“Untuk apa, cikgu?” Mei Yin mencantas
kata-kataku yang belum tamat. Dia bagaikan mahu bertengkar denganku.
“Untuk kesenangan dan kesejahteraan
masa depan kamu dan negara kamu juga,” jawabku lembut.
“Itu semua tak perlu, cikgu!” Beng
Heng pula bersuara. Sekali gus mematikan segala hujah yang berligar di dalam
kotak benakku.
“Kesenangan dan kesejahteraan itu sebenarnya ada pada
diri cikgu sendiri, betul tak?” tanya Guan Teck seraya tersenyum sinis.
“Apa maksud kamu?” soalku.
“Cikgu datang ke sekolah kami ini
bersama cita-cita supaya kami melupakan bahasa ibunda kami sendiri. Kalau ini
berjaya dilaksanakan, bermakna cikgulah yang senang dan bahagia kerana
cita-cita busuk cikgu tu sudah tercapai,” balas Beng Heng.
“Betulllllll!!!!”
Tiba-tiba sebahagian besar pelajar
di kelas itu bersuara memberi sokongan sambil menepuk-nepuk meja. Aku diterpa gamam
yang tidak wajar.
“Kamu bertiga terlalu berburuk
sangka, Beng Heng!” aku sungguh kurang senang dengan tukasannya. “Kamu juga
sudah berjaya mempengaruhi fikiran rakan-rakan kamu yang lain. Ini amat tidak
elok dipraktikkan oleh kamu sebagai pelajar. Apa yang harus kamu lakukan ialah
dengar dulu segala ilmu yang akan saya terangkan. Sekiranya kamu tidak suka,
kamu boleh diam saja atau kamu boleh memohon dari saya untuk keluar dari kelas.
Ada di antara rakan-rakan kamu yang lain yang masih mahu belajar dengan saya.”
“Saya ingin menyeru kepada
rakan-rakan yang sudah dirasuk oleh kata-kata manis Cikgu Zulaikha ini. Untuk
pengetahuan kamu semua, Cikgu Zulaikha adalah seorang Melayu yang diutus untuk
menghancurkan bahasa ibunda kita. Kamu semua jangan mudah terpedaya dengan
kata-katanya. Kenapa cikgu tak mahu berterus terang saja?” Mei Yin lantang
bersuara sambil merenung wajahku tunak-tunak.
Aku terkedu namun masih gagah untuk
mengatur langkah ke sana ke mari di setiap pojok kelas. Mataku memerhatikan
setiap biji mata para pelajar yang ada di situ. Dadaku tiba-tiba jadi jelu
tidak menentu. Mengapa pelajar-pelajar ini masih ada perasaan sedemikian? Mengapa
ada perasaan begitu di sanubari anak-anak di bangku sekolah? Sesungguhnya, aku
akan menghadapi tugas yang amat berat dan mencabar. Fikiranku mulai bercelaru
dan cabuh.
Pelajar-pelajar ini bakal menjadi
tulang belakang negara pada masa akan datang. Sudah aku jelaskan sebelum ini
betapa bahasa Melayu adalah bahasa penyatuan antara kaum di negara ini. Kenapa
ini pula yang aku terima?
Aku ke sekolah jenis kebangsaan Cina
ini sebagai seorang guru bahasa Melayu untuk mendidik anak bangsa Malaysia
supaya menjadi rakyat atau generasi yang kaya maklumat. Ilmu ini amat penting
untuk mereka sebagai warga yang bergelar bangsa Malaysia.
“Saya ingin lihat kamu berjaya. Itu saja niat saya kerana
masih ada di antara kamu yang bencikan bahasa Melayu, masih berfikir bahawa bahasa
Melayu ini satu bahasa yang tidak bertaraf dunia. Kalau beginilah persepsi kamu
pada bahasa Melayu, kamu akan menjadi satu bangsa yang tak akan berpadu.
Relakah kamu lihat negara kamu tidak bersatu, berselisih faham antara kaum
kerana tidak ada bahasa yang boleh menyatukan mereka?” suaraku mencerlus
beberapa tagal kemudian.
Semua pelajar tunduk merenung meja.
“Relakah kamu melihat negara kamu
asyik berperang saja sesama sendiri kerana tidak ada kesefahaman?” aku sengaja
mengemukakan persoalan tersebut yang tentu sekali sukar dijawab sama ada oleh Beng
Heng, Guan Teck atau Mei Yin yang terkenal dengan sikap anti bahasa Melayu itu.
Beng Heng, Guan Teck atau Mei Yin diam.
Aku yakin, bibit-bibit kesedaran sudah mulai menyelinap ke dalam diri mereka.
Suasana bilik kelas kembali tenang. Masing-masing khali, melongo dan merenung
jauh ke dalam mataku. Melihat suasana tersebut, aku memulakan semula
pembelajaranku yang terbantut hari itu.
“Saya tetap tak mahu belajar,”
tiba-tiba Beng Heng bersuara lagi sambil gesit melangkah keluar dari kelas.
“Tunggu dulu, Beng Heng!” aku cuba
menghalang. “Dengar dulu penjelasan saya,” seboleh-bolehnya aku mahu pelajar
itu duduk semula di bangkunya. Tetapi Beng Heng terlalu tegar. Dia tetap juga
keluar sambil menjeling sinis kepadaku.
“Saya minta maaf, cikgu! Saya telah
berkasar dengan cikgu tadi!” Mei Yin tiba-tiba bersuara. Ada nada sebak yang
terbungkus di suara itu membuatkan aku rasa amat terharu. Lantas sebuah
senyuman yang penuh dengan kepuasan aku hadiahkan kepadanya. Aku berasa amat
puas kerana berjaya mengubah pendiriannya.
“Saya juga begitu, cikgu!” suara Guan Teck pula mencerlus
setagal kemudian. “Saya minta maaf atas kekasaran saya dengan cikgu tadi!”
* * *
Kini
sudah empat tahun aku meninggalkan sekolah jenis kebangsaan Cina tersebut.
Sekarang, aku sudah bergelar pensyarah di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Melayu (IPGMKBM) di Lembah
Pantai, Kuala Lumpur. Namun, kenangan sewaktu di sekolah jenis
kebangsaan Cina itu tetap segar dan basah dalam ingatan. Dua tahun aku di
sekolah tersebut yang terletak di selatan Semenanjung itu cukup mendewasakan
aku sebagai seorang pendidik.
Tok! Tokk! Tokkk!!!!
Tiba-tiba pintu bilikku diketuk
orang. Aku gesit tersentak dari lamunan singkat. Sejurus kemudian pintu
dikuakkan lebar oleh rakan sejawatku. Aku agak terkesima tatkala melihat di
sisinya seorang remaja berbangsa Cina yang sangat-sangat aku kenal. Walau lebih
empat tahun tidak bertemu namun wajah itu masih erat memeluk lipatan hatiku.
“Puan Zulaikha! Errr, ini saya
kenalkan Beng Heng. Dia merupakan pelajar baru yang akan menuntut di sini mendalami
bahasa Melayu. Dia sungguh-sungguh ingin bertemu dengan puan.”
Aku masih mendiamkan diri sehingga
Encik Abdul Rahim menghilang dari bilikku. Aku merenung wajah remaja Cina
tersebut dengan perasaan yang sungguh bangga. Mulutnya terkumat-kamit, terjeda
dan juga kelihatan terkesima seolah-olah ingin menyatakan sesuatu.
“Sila duduk, Beng Heng! Saya amat
gembira kerana dapat bertemu lagi dengan bekas pelajar saya suatu ketika dulu!”
ujarku seraya tersenyum.
“Saya amat terhutang budi kepada
cikgu,” ujar Beng Heng sewaktu melabuhkan punggungnya di hadapanku. “Kesedaran
yang telah cikgu serapkan ke dalam dada saya dulu amat berharga sekali. Kalau
tidak kerana cikgu dan kesedaran yang telah cikgu tanamkan dulu, tak mungkin
saya berada di IPGMKBM
ni sekarang. Saya berjanji akan menjadi seorang guru bahasa
Melayu yang baik seperti cikgu!”
Aku
tersenyum bangga. Perlahan-lahan aku bangun dan memegang bahunya. Aku lihat air
mata bekas pelajarku itu mengalir perlahan-lahan ke pipi. Aku tersenyum lagi,
lebih bangga kerana cita-citaku untuk melihat pelajarku yang bukan berbangsa
Melayu menjadi guru bahasa Melayu sudah tercapai. Pertemuan ini satu buktinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan