Isnin, 8 Ogos 2011

Renung-renunglah Hakikat Ini

SMAHADZIR

PENULIS begitu tertarik dengan artikel yang bertajuk ‘Wasiat Almarhum Sultan Selangor, Shah Alam Dan Munafik’ tulisan Zaini Hassan dalam Utusan Melayu yang wajar dijadikan bahan perahan minda oleh kita semua. Bukan kerana soal sosial yang dicetuskan tetapi soal sifat ‘munafik’ segelintir manusia yang berkedok Islam. Malah soal munafik ini sering diperdengarkan ke telinga kita sejak kita kecil lagi. Kita sering diingatkan supaya menjauhkan diri dari orang munafik, berjaga-jaga dengan orang munafik malah jangan sekali-kali berkawan dengan orang munafik kerana muslihat mereka sangat licik sehingga boleh meleraikan sebuah simpulan yang kuat. Dalam sejarah Perang Badar pun diselitkan tindakan puak munafik sehingga Islam kalah di tangan musyrikin. Begitulah bahayanya orang munafik.

Sebenarnya bukan susah sangat nak mengenali orang munafik. Berdasarkan hadis Nabi Muhammad s.a.w, tanda-tanda orang munafik itu terjadi dalam tiga keadaan. Pertama, apabila berkata-kata ia berdusta. Kedua, apabila berjanji ia mengingkari. Ketiga, apabila diberi amanah (kepercayaan) ia mengkhianatinya. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Jika ada perkara-perkara tersebut dalam diri seseorang atau sesebuah kumpulan maka sahlah bahawa individu atau kumpulan tersebut munafik. Maka wajarlah kita berhati-hati, jangan mudah terpedaya malah lebih baik lagi kita jauhkan diri.

Dalam bahasa yang lebih mudah, munafik juga bererti cakap tak serupa bikin, berbohong atau juga double standard dan lain-lain yang seerti dengannya. Jika dalam sesama manusia, orang yang jenis ini tidak boleh dipercayai sama sekali. Orang kata ‘cakap berbelit macam lidah biawak’ atau lidah bercabang macam lidah ular. Jika dalam pertubuhan, ia adalah pertubuhan putar belit dan lebih teruk daripada memakan riba. Jika ia adalah pertubuhan siasah atau politik, pertubuhan seperti ini kita harus dan wajib menghindarinya. Pertubuhan politik semacam ini menganggap ia sahaja yang betul. Orang lain tidak betul. Dialah yang paling alim, paling warak, orang lain tak alim, tak warak. Dalam setahun digunakan untuk memburukkan orang lain dan dalam setahun juga dia akan menjaja mengatakan dialah yang paling dekat dengan Allah s.w.t.

Maka, orang yang mengikuti jajaannya selama setahun itu akan menjadi jumud sejumud-jumudnya dengan pertubuhan politik tersebut. Pemikiran mereka telah dibodoh dan dilumpuhkan oleh pertubuhan politik ini. Tetapi mereka tidak sedar kerana mereka terlalu taksub. Maka mereka akan berkata bahawa orang lain semua buruk, jahat, tak Islam, taghut dan bodoh. Mereka sajalah ahli syurga manakala orang lain yang tidak alim atau tidak sehaluan dengan mereka adalah kafir atau ahli neraka.

Pembodohan dan pelumpuhan masyarakat seperti ini samalah dengan apa yang telah dilakukan oleh Fir’aun seperti yang digambarkan dalam Al-Quran, dilakukan dengan cara menanamkan rasa takut atau the culture of fear dalam diri masyarakat. Mereka dihina dan dipaksa tunduk kerana mereka dikatakan tidak memiliki pilihan lain. Untuk memastikan masyarakatnya tunduk, Fir’aun telah memastikan masyarakatnya kekal dalam kebodohan. Ini digambarkan dalam Al-Quran: ‘Maka Firaun mempengaruhi kaumnya (dengan perkataan itu) lalu mereka patuh kepadanya. Kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik.’ (Al-Zukhruf, 43:54).

Pada suatu ketika dulu, semasa sebuah pertubuhan politik yang bernama BN memerintah sebuah mandala yang bernama Selangor Darul Ehsan selama 50 tahun, maka pelbagai celaan dilontarkan kepada negeri itu oleh puak yang mengakui alim tadi. Semuanya buruk, jahat, tak Islam, taghut dan bodoh. Negeri itu dicerca seburuk-buruknya. Memang benar Selangor Darul Ehsan itu membina kilang arak di sebuah daerah dikenali sebagai Shah Alam dan sebuah lagi di daerah Petaling Jaya. Hiburan-hiburan yang mahu diadakan di negeri itu ditentang habis-habisan. Puak-puak yang mengaku alim itu akan mengadakan tunjuk perasaan melalui persatuan-persatuan mahasiswa Islam. Berteriaklah mereka secara bertakbir demi takbir secara bergema-gema. (Sekarang ini sewaktu pemuda-pemuda mereka (PAS) mengarak bendera DAP atas motosikal pun mereka akan melaungkan Allah Huakbar. Peristiwa ini berlaku depan mata penulis sendiri di Sabak Bernam sewaktu malam ceramah ‘Menuju Putrajaya’ anjuran PKR/DAP/PAS. Ketika itu penulis terlibat dengan program kembara budaya di Sabak Bernam)

Daerah Shah Alam dulu di bawah parti politik yang dikatakan buruk, jahat, tak Islam, taghut dan bodoh itu telah memastikan bandar raya itu bebas daripada hiburan, tiada panggung wayang, tiada tulisan selain tulisan Melayu sahaja di papan-papan tanda kedai, nama-nama jalan ditulis dalam tulisan Arab berbunyi Melayu atau jawi, yang satu waktu dulu mahu dipadamkan oleh DAP di Bukit Bintang. Warga Shah Alam tahu ia adalah wasiat Almarhum Sultan Selangor yang mahukan bandar raya itu hanyalah sebagai bandar tempat tinggal orang ramai dan bukannya sebuah bandar hiburan. Shah Alam ialah satu-satunya ibu negeri tersusun dan maju yang majoritinya terdiri daripada orang Melayu.

Oleh itu kerajaan dulu tidak membenarkan kelab malam, tiada rumah-rumah urut, tiada hotel-hotel bajet yang banyak. Tiada juga panggung-panggung wayang. Pusat-pusat hiburan di Selangor pula hanya dibenarkan setakat jam 12 tengah malam sahaja. Di sepanjang bulan Ramadhan, penguatkuasaan jabatan agama Islam diperhebatkan. Pada masa itu Selangor diperintah oleh orang Islam yang dianggap tidak setaraf kealiman mereka dengan puak yang satu lagi itu.

Dipendekkan cerita, kerana menganggap kerajaan dulu sebagai buruk, jahat, tak Islam, taghut, bodoh maka jatuhlah pemerintahan Melayu yang tidak alim itu. Rakyat Selangor mengenyahkan kerajaan itu kerana menganggap parti politik yang lebih alim layak memerintah. Maka dengan sendirinya, mereka berharap Selangor akan menjadi lebih Islamik. Parti politik itu yang dikenali sebagai PAS bergabung dengan DAP sebuah parti bukan Islam yang selama ini dikenali terlalu cauvanis atau anti-Islam dan anti-Melayu. Melayu yang dimaksudkan ialah Melayu spesies orang PAS itu juga. Tapi ia bukan spesies ketua mereka iaitu Nik Aziz Nik Mat kerana dia tidak mengaku Melayu. Dia hanya mahu dikenali sebagai orang Islam sahaja. (Orang Arab pun bangga dengan bangsa Arabnya.)

Selain DAP, PAS juga bergabung dengan PKR – sebuah parti yang tiada falsafah perjuangan. Ia ditubuhkan sekadar untuk mempertahankan maruah seorang pemimpin mereka yang sejak dulu asyik menghadapi perbicaraan mahkamah sahaja. PAS dan juak-juaknya amat gembira dapat memerintah negeri Selangor, sebuah negeri yang kaya-raya dan sentosa hasil usaha kerajaan Melayu tidak alim itu dulu. Puak-puak PAS-DAP-PKR dibuai mimpi-mimpi indah.

Tiga tahun memerintah kilang-kilang arak, yang satu ketika dulu dicaci-cerca semahu-mahunya tidak diusik sama sekali. Cercaan mengenai kilang-kilang arak itu tidak kedengaran lagi. Tidak boleh diusik, kata alim-alim PAS. Kini ia adalah hasil mahsyul negeri dan kilang itu adalah untuk keperluan orang bukan Islam sahaja. Untuk pengetahuan semua, kilang-kilang arak itulah yang membekalkan air-air arak ke seluruh pelosok negara ini. Kelab-kelab malam yang kerajaan tidak alim dulu hanya mengehadkan sehingga ke jam 12 tengah malam sahaja – kini diperpanjangkan ke jam 3 pagi. Lebih menggembirakan apabila Menteri Besar Selangor membuat kenyataan membenarkan pusat hiburan beroperasi seperti biasa di bulan Ramadhan. PAS yang dulu amat sensitif mengenai perkara-perkara maksiat itu, kini tidak tahu sudah hilang ke mana? Lebih hebat negeri Selangor yang diperintah sepenuhnya oleh alim-alim PAS juga mengambil keputusan yang sama, iaitu: Membenarkan pusat-pusat hiburan beroperasi seperti biasa di bulan Ramadhan.

Bagi warga Shah Alam, jika dulu mereka terpaksa ke Klang atau Subang Jaya atau PJ atau KL untuk menonton wayang kerana patuh kepada wasiat Almarhum Tuanku Sultan supaya tiada hiburan di situ, kini difahamkan, sebuah pusat membeli-belah dekat Shah Alam atau di Seksyen U-8 akan mempunyai sekurang-kurangnya 10 cineplex (panggung-panggung kecil). Ia sedang rancak dibina. Sungguh memalukan, dulu mana pernah kita dengar ada kedai arak pandu lalu (bir drive-thru), kini sudah ada di Sunway Mentari, Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan. Jika dulu penghuni Seksyen 7 Shah Alam hanya diberitahu bahawa bandar I-City hanya sebuah pusat untuk teknologi komunikasi dan maklumat, kini konsert hiburan MTV World Stage mempersembahkan penyanyi-penyanyi rock dunia. Jika ada rock sudah tentu ada arak kan?

Penulis difahamkan bahawa hanya petisyen setuju atau bantah sahaja diedarkan kepada penduduk. Suara bantahan terhadap MTV World Stage itu pun sudah hilang entah ke mana? Hasil petisyen itu juga tidak diketahui, kerana konsert itu terus berlangsung. PAS terus bisu seolah-olah terpotong lidah. Kenapa tak ‘melalak’ macam dulu? Mana takbir Allah Huakbar yang sering digemakan sewaktu menentang pemerintahan kerajaan yang tak alim dulu?

Penulis bukannya taksub. Penulis juga bukannya bantah hiburan. Tapi penulis nak tanya, mana perginya puak-puak yang suka sangat membuat demonstrasi membantah benda-benda mungkar seperti itu semasa kerajaan Melayu tidak alim dulu? Jika dulu Shah Alam tidak banyak hotel-hotel bajet, sekarang boleh kira jumlahnya dalam tempoh tiga tahun ini. Jika dulu jarang-jarang kita dengar rumah-rumah urut di Shah Alam, kini mengapa bersepah-sepah? Jika dulu Shah Alam hanya suka dihuni oleh orang Melayu saja dan nilai tanahnya terlalu murah kerana spekulator hartanah bukan Melayu mengatakan ‘itu tempat Melayu’ mengapa kini tiba-tiba naik mendadak? Mengapa kondo-kondo mewah rancak didirikan yang harganya sukar dibeli oleh orang Melayu?

Penulis nak tanya siapa yang akan membelinya? Mengapa mahu dipecah komposisi orang Melayu Shah Alam? Apakah ini kerja Exco yang menjaga perbandarannya? Oh patutlah, dulu portfolio Exco itu dipegang oleh orang Melayu, kini ia dipegang oleh DAP.

Amat sedih sekali puak-puak alim yang menuduh kerajaan dulu tidak alim, taghut dan sebagainya, kini apabila berkuasa dan diberi amanah, hanya berdiam diri, bisu dan bungkam? Mereka seolah-olah pengecut bila dijerkah oleh DAP. Dulu bukan main berani dan garang lagi dengan orang Melayu/Islam UMNO tapi kini jadi pengecut bila berdepan dengan orang kafir DAP. Mengapa berdiam diri apabila melihat terlalu banyak kemaksiatan dan kepincangan yang berlaku di hadapan mata dalam pemerintahan ‘ente-ente’ yang mengaku bakal penghuni syurga ini?

Penulis nak ajak semua orang Islam yang ada di Selangor. Renung-renunglah hakikat ini. Inilah hakikat kemunafikan segelintir manusia berkedok Islam. Mereka akan lantang berkokok untuk mencari kesalahan orang lain tetapi apabila salah puak sendiri mereka diam membisu. Penulis tulis apa yang benar, penulis bukannya orang politik dan penulis juga tak suka buat fitnah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA