Isnin, 15 Mac 2010

Kerasukan

(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Dewan Kosmik terbitan Karangkraf Sdn Bhd dan telah diantologikan dalam Dunia Ketiga)

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

KOLONEL Antonio da Costa membisu seribu bahasa. Mulut terkatup rapat. Mata kering. Dingin. Hati membaja. Tabah tidak tergoyahkan. Keras tidak terpatahkan. Dengan tenang dia melepas kepergian anak lelaki tunggalnya, Jose Rosario Ximenes, menuju alam keabadian.
Mendung menggelantung tebal di langit kelam. Suasana muram duka cita mengiringi iring-iringan pelayat menuju kuburan Santa Cruz. Semua diam tercekam, kecuali Paderi Bernandino yang berkhidmat membaca doa, ketika keranda jenazah diturunkan. Kolonel Antonio da Costa menunduk, memandang peti mati dengan dingin dan tabah. Terlalu muda dia pergi, ucapnya dalam hati.
Tiba-tiba anak usia belasan tahun mengejang tubuhnya. Matanya melotot merah. Mulutnya mengeluarkan suara yang bukan suaranya sendiri.
“Bukan! Bukan kecelakaan. Bukan dikeroyok orang. Dia dibunuh oleh... hap!”
Ayahnya, seorang polis dengan pangkat letnan satu segera membungkam mulut anak muda yang tiba-tiba kerasukan itu. Dia segera dibawa pulang.
Kolonel Antonio da Costa hanya melirik sekilas ke arah anak muda yang tiba-tiba ngoceh itu. Hatinya tetap dingin. Upacara pemakaman pun tetap berjalan dengan pilu, haru, sedih, dan penuh dukacita. Petir menyambar seakan merobek lantai langit. Gelegarnya mencambuk bumi.
Angin bertiup kencang. Pohon-pohon cedar bergoyang panik. Pemakaman usai. Dan hujan pun turun. Lebat membabi buta tidak kenal ampun. Pengantar jenazah sibuk membuka payung. Ada yang berlarian menyelamatkan diri dari guyuran air hujan yang ditumpahkan dari langit. Seorang anak muda memayungi Paderi. Tapi Kolonel Antonio da Costa hanya diam terpaku memandang batu nisan yang tertulis nama anak lelaki tunggalnya. Angin kencang tidak dihiraukan. Lebatnya hujan tidak dipedulikan. Terlalu cepat dia pergi, bisiknya dalam hati.
“Mari pulang Kolonel,” ajak Paderi Bernandino.
“Silakan pulang dulu, Paderi. Biarkan saya di sini,” ujarnya dengan suara berat yang terhalau gemuruh hujan.
“Pemakaman sudah selesai, komandan. Kita pulang,” kata Koperal Guido, salah seorang pengawalnya.
“Biarkan aku sendiri di sini, bodoh!” bentak Kolonel Antonio.
“Siap! Saya bodoh!” jawab Koperal Guido patuh.
“Pergi!” bentaknya lagi pada lima orang pengawalnya.
“Siap!” jawab pengawal itu serentak.
Tidak ada yang berani membantah lagi. Paderi pun pulang bersama anak muda yang mengawalnya. Para pengawal peribadi Kolonel keluar dari kuburan dan menunggu si komandan di pinggir kereta yang diletakkan di tepi jalan. Kuburan itu pun sepi. Tinggal dia satu-satunya. Seluruh tubuhnya basah kuyup.
Kolonel tidak peduli. Lalu dia mencabut pistol dan menembak tiga kali ke udara.
Hujan makin menggila. Petir menyambar-nyambar. Angin kembali berhembus kencang. Batang cedar tidak jauh dari Kolonel berdiri patah. Kolonel diam tidak bergeming. “Aku meragukan punca kematian anakku,” gumamnya perlahan dan suaranya tertelan riuhnya hujan. Lalu dia melangkah meninggalkan pekuburan.

* * *

Kolonel Antonio da Costa, komandan tempur divisyen ‘Beruang Hitam’ itu menghisap sebatang curut. Dia duduk dengan tenang di beranda rumahnya. Sudah tiga gelas anggur asli dari Paris diteguknya. Dia lebih banyak diam merenung. Sementara itu, Paderi Bernandino nampak gelisah menemani si Kolonel.
“Paderi, apa perlunya kita berperang dengan bangsa sendiri?” Sorot mata Kolonel berubah sayu seperti tatapan mata seorang humanis kepada pengemis tua. “Korban makin banyak. Rakyat tidak berdosa turut menanggung beban perang. Apa yang kita cari?” “Kenapa Kolonel bicara seperti itu?” Paderi balik bertanya. “Apakah Kolonel ragu dengan peperangan ini?”
“Saya seorang askar, Paderi. Saya mematuhi segala tindakan para Jendral dan politisi negeri ini. Saya orang lapangan yang memimpin pertempuran demi pertempuran yang tidak pernah berakhir. Kerana yang kita perangi adalah diri kita sendiri. Bangsa kita sendiri.” Kolonel diam sejenak. Menghisap curutnya. Lalu meneguk sisa anggur yang tinggal separuh gelas. “Sesungguhnya saya punya fikiran sendiri tentang masa hadapan negeri ini. Saya tidak habis mengerti, kenapa pemerintahan negeri ini bermaksud bergabung dengan negara jiran, membentuk negara sekutu. Dan kita menjadi negara bahagian. Apakah ada jaminan, nasib kita akan lebih baik daripada menjadi negara merdeka berdaulat penuh seperti sebelumnya.”
“Maaf Kolonel, sebenarnya itu adalah pendirian...,” tukas Paderi.
“Benar. Itu pendirian kaum pemberontak yang tidak menginginkan negeri ini bergabung dengan negara jiran,” Kolonel balik memotong. “Secara peribadi saya setuju dengan pendirian kaum pemberontak. Tapi saya abdi pemerintah. kamu mengerti, Paderi?”
“Saya mengerti. Saya mengerti.” Paderi mengangguk-angguk.
“Ketika ini saya sedang sakit, Paderi. Mungkin kamu tidak melihatnya. Saya nampak tegar, teguh, tabah, dingin, berhati baja. Tapi sejak kemalangan yang menimpa keluarga, saya jadi berfikiran lain. Isteri saya membelot. Dia berpihak pada kaum pemberontak. Anak tunggal saya dibunuh orang. Saya yakin, dia bukan mati kecelakaan, tapi sengaja dibunuh orang. Saya yakin, bukan kaum pemberontak pelakunya, tapi...” Kolonel tidak meneruskan kata-katanya. Dia memandang di kejauhan. Dia melihat seorang anak muda tengah berlari seperti orang gila. “Pengawal!”
“Siap, Komandan!” dua orang pengawal menghadap dengan sikap sempurna.
“Tangkap orang gila itu. Bawa ke mari!” perintah Kolonel.
“Siap!” Dua orang pengawal segera menangkap anak muda dan membawanya ke hadapan Kolonel.
“Memang saya hendak kemari, Kolonel. Saya ingin memberikan kesaksian,” kata anak muda bernama Carlos, anak kapten polis.
“Siapa kamu?” tanya Kolonel.
“Dia anak kapten polis Boromeo yang semalam kejang-kejang ketika pemakaman anak lelaki kamu,” jawab seorang pengawal.
“Diam kamu, bodoh!” bentak Kolonel.
“Siap! Saya bodoh!” jawab pengawal.
“Bukan! Saya adalah saksi mata pembunuhan Jose Rosario Ximenes,” bantah Carlos dengan suara yang bukan suaranya sendiri. “Anak lelaki kamu dibunuh oleh Kapten Polis Boromeo!”
“Boromeo ayahmu sendiri?” selidik Kolonel.
“Bukan. Dia bukan ayahku. Dia ayah Carlos yang tubuhnya sedang kurasuki ini,” kata Carlos.
“Oh, Tuhan,” ucap Paderi. “Anak ini kerasukan. Ada arwah yang merasuki tubuh Carlos.”
“Teruskan bicaramu!” perintah Kolonel.
“Anak kamu dibunuh kerana secara tidak sengaja mengetahui skandal seks Datuk Bandar. Kapten polis Boromeo disuruh membunuh anak lelaki kamu oleh Datuk Bandar,” tutur Carlos yang bukan suara Carlos sendiri.
“Ya, sudah! Pergi!” usir Kolonel.
“Oh, Tuhanku,” ucap Paderi.
Kolonel masuk kamar. Lalu keluar lagi dengan pakaian tempur. Senjata M-16 ada digenggamannya. Wajahnya garang. Mata merah. Mulut terkatup. Dingin. Keras tidak terpatahkan.
“Pengawal!” panggil Kolonel.
“Siap! Komandan!” Lima orang pengawal siap menerima perintah apapun.
“Ikut aku!”
“Siap!” serentak jawab kelima pengawal.
Malam itu juga Kolonel menyatroni rumah Kapten Polis Boromeo. Seisi rumah dihabisi. Kapten Polis Boromeo terkorban dengan tujuh butir peluru bersarang di dada dan perut serta kepala. Carlos sendiri sudah siuman dari ‘kerasukannya’. Tapi dia tidak luput dari amukan peluru. Kolonel belum puas. Dia menyerbu rumah Datuk Bandar dan menembak kepala Datuk Bandar tersebut.
“Pengawal!”
“Siap! Kolonel!”
“Kita ke markas dan bawa semua pasukan masuk hutan. Kita bergabung dengan kaum pemberontak!” perintah Kolonel dengan dingin.
Kopral Guido terperanjat. Dengan keberanian bulat dia menodongkan senapang M-16 ke arah Kolonel. “Kamu sudah gila, Kolonel. Kita tidak mungkin berkhianat.”
Tapi pengawal lain lebih cepat bergerak. Kopral Guido terkorban oleh peluru pengawal lain.
“Sudah saatnya kita jadi pengkhianat!” kata Kolonel dingin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA