Isnin, 15 Mac 2010

Tsunami Sudah Menjemputnya

(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Dewan Masyarakat terbitan Karangkraf Sdn Bhd dan telah diantologikan dalam antologi Perjuangan Yang Belum Selesai)

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

“PHUKET, Thailand. Ivan sedang bercuti di sana.” Begitu pesanan ringkas yang masuk ke dalam telefonku, jelas dan terang.

“Oh, Tuhanku!!” Ivan?! Aku tidak mampu menyelesaikan makan pagi. Telor rebus, roti bakar dan segelas susu tanpa lemak. Tetapi, dia kata Thailand adalah tempat percutian terbaik sejak dia lebih dekat dengan budaya Negara Gajah Putih itu.
Tidak mungkin Cheingmai. Perbincangan kami tidak pernah berakhir soal mana yang lebih baik, Phuket atau Cheingmai. Wisata pantai atau wisata budaya. Walau kami sama-sama mengagumi Mergui atau Hat Rai Lay di selatan Thailand dekat Krabi, tetap saja, dua tempat itu menjadi perdebatan.

“Besok aku dapat cuti dari pejabat. Sepertinya mereka ingin aku berada di luar sewaktu mereka memutuskan untuk menjalankan perniagaan enjection molding untuk memperkuatkan syarikat polyethylene,” jelas Ivan.

Begitulah dia bila tidak mampu bersabar dengan lawan dialog, selalu saja menunjukkan sikap kekesalannya. Dia memang terkenal vokal dan keras, apa lagi soal rancangan itu. Syarikat kemudiannya memutuskan untuk memberikan cuti satu minggu kepadanya.

“Cadangan kau, Kok Kloir atau Takua Pa, atau Ranong.”

“Untuk cuba dive memang bagus kau harus ke Phang Nga. Tapi, untuk refresh, Phuket lebih tepat,” usulku.

Begitulah Ivan. Soal tempat wisata memang kami sering berbahagi saranan dan pengalaman. Tentang pantai, Ivan adalah orangnya. Lahir dan besar di kota pantai, Whakatane, pernah bekerja di Auckland Underwater World, sehingga pantai dan laut adalah rumahnya.

Kami pernah berkira-kira tentang tempat-tempat wisata pantai yang terindah yang dimiliki Thailand seperti Bang Saphan, Prachuap Khiri Khan, Chumphon, Phattalung, Kok Kloir, Takua Par, Ranong, Maliwun dan Samut Songkhram. Semua telah kami kunjungi.

Bagaimanapun, kami harus mengakui, Phuket adalah salah satu tempat yang paling indah. Terutamanya Hat Rai Lay. Sejujurnya, kami terpikat pada rakyat dan tradisinya, bukan pada pantainya. Hanya kegiatan berlibur di pantai-pantai terindah di Thailand, mulai jarang kami lakukan setelah dia menikah. Walau demikian, saling berhubung melalui e-mel kami lakukan.

Satu kali dia menulis begini: “Khir, kau masih ingat ketika kita senja di Surat Thani. Kau kata, menikah itu seperti membiarkan senja masuk ke peraduan, lalu menanti mentari pagi di ufuk timur. Ketika itu kau tahu bahawa aku telah menikah. Kini setelah setahun perkahwinanku, matahari pagi tidak kunjung datang. Trisha belum lagi hamil.”

Selepas e-mel itu, tidak ada khabar lagi. Aku sempat ke Wellington dua kali, dan kembali lagi ke Kuala Lumpur. Sehingga aku mendapat khabar bahawa Trisha kini punya zuriat. Itu pun cuma diberitahukannya melalui e-mel. Katanya begini:
“Setelah lama menunggu cahaya mentari itu, kini aku benar-benar tersengat olehnya. Aku punya zuriat sekarang. Ivan Davis junior. Aku telah menamakannya Ivan Sebatian Davis. Bagaimana denganmu, Khir? Kau tidak akan pernah merasa lengkap tanpa zuriatmu. Hidup kita cuma sekali, dan kita tidak akan tahu berapa lama kita masih mampu bernafas. Menikmati keindahan bawah laut Pegasus Bay, dan pasir putih di Bang Saphan, pulau di Isthmus of Kra, belum lengkap tanpa pasangan hidup. Menikahlah Khir. Please… do that for me!”

Berkali-kali dia menyarankan supaya aku menikah. Mungkin rasa bersalahnya kerana melihat aku yang selalu kesepian dan kesendirian. Setelah e-mel terakhirnya, dia tidak sempat lagi memberi khabar.

Dan masih bersih ingatanku, waktu itu di Sumatera. Aku dan Ivan berkisah tentang Krakatoa. Katanya pendapat mengenai Sumatera berada dalam ring of fire disebut oleh ramai saintis. Discovery Channel, majalah dan akhbar turut mengesahkannya. Pendapat itu dia luahkan berikutan ledakan Krakatoa pada 27 Ogos 1883 yang berakibatkan 165 kampung ranap dan 36,417 nyawa melayang.

Katanya lagi, mereka mati bukan kerana letupan gunung berapi tapi ombak besar tsunami berikutnya. Begitu alasan yang dia petik dari Krakatoa: The Day The World Exploded. Ada rasa ngeri yang bukan kepalang. Ada pemerhati mengulas: Ombak paling besar yang menengggelami deretan pantai Jawa dan Sumatera berhampiran Selat Sunda menyeret ke lautan segalanya di Tjiringi, Merak, Ketimbang, Anjer, Teluk Bentong dan puluhan kampung lain di tepian pantai. Waktu itu, Ivan kata; “Khir, kau lihat, begitulah akhir dari hidup. Kita terlalu kerdil, umpama buih!”

Entah apa yang telah disimpulkannya dari tsunami akibat letupan Krakatoa yang bagiku kelihatan aneh. Seperti tidak ada mati cara lain yang lebih damai daripada harus ditenggelami arus seperti itu. Tetapi tetap saja dia ingin berdebat soal itu denganku. Pendapatku, sesuai dengan agama Islam yang aku anut, tentulah kalau memang ajal sudah tiba, aku ingin dimakamkan secara tradisi agamaku. Bukan secara lemas seperti itu, kataku dulu.

“Apa bezanya, Khir? Ah, kau juga akan mati bila sampai masanya nanti....”

Kenderaan yang kutumpangi sudah tiba di Phuket dan terus dibawa ke Hotel Softel. Sebelumnya, aku sudah diberitahu bahawa 200 mayat telah ditemui di Thai Muang dekat Khao Lak. Phang Nga mencatat jumlah kematian tertinggi diikuti Krabi, Phuket, Ranong, Satun dan Trang. Betapa suatu pemandangan yang sangat mengerikan. Longggokan mayat di sepanjang jalan.

Di pantai Pulau Phi Phi lebih menyayat. Mayat bergelimpangan. Di kawasan Takuapa pasukan penyelamat masih mencari mangsa yang tertimbus oleh selut laut. Jelas mayat-mayat yang sudah reput dan busuk di sebalik puing-puing bangunan dan pelbagai sampah-sarap yang bertaburan. Sebelum 26 Disember lalu tawa dan canda memenuhi setiap sudut dan ruang tempat yang termasyhur ini. Kini luluh-lantak menyisakan duka bagi dunia sebagai tragedi kemanusiaan.
Berada di pantai Patong yang dipenuhi oleh mayat-mayat yang kaku membuatkan jiwaku kalut. Para penunggu berharap dapat mengenali korban yang ada. Sementara, korban yang sempat selamat, berharap ada hubungan dengan keluarganya.

Pesanan singkat kembali masuk ke dalam telefonku. “Sudah ada khabar?”

Sudah tiga hari tragedi tsunami itu terjadi pada waktu aku mengunjungi Phuket, dan ertinya, sebahagian mayat sudah dikirimkan ke New Zealand di atas permintaan kerajaan negara tersebut dengan alasan kebanyakan korban adalah warganegara mereka.

Kalau Ivan berada dalam rombongan itu, bermakna aku tidak dapat memberitakan apa pun pada Trisha yang kantung air matanya sudah kering menangisi nasib suaminya yang tidak ada khabar sama sekali. Trisha memang sudah tinggal di Auckland sejak kelahiran bayi pertama mereka.

Dan tahun ini adalah tahun terakhir Ivan berada di Kuala Lumpur, dia akan kembali ke Auckland untuk bekerja semula di underwater world itu. Begitulah rancangan mereka, seperti cita-cita Ivan yang pernah diutarakannya padaku sewaktu kami berada di Pantai Similan, dua tahun lalu. Sungguh sangat idealis.
“Encik keluarga korban?” tanya salah seorang di sisi, menghentak kesedaranku. Wanita muda, dengan busana serba jingga, di kedua telinganya tersemat anting kecil. Berparas cantik, namun wajahnya pucat seperti tidak lagi ada aliran darah yang mengaliri tubuhnya.

“Iya... sahabat baik saya. Mereka mengatakan dia ada di Phuket sewaktu tsunami melanda. Dan memang sekarang tidak ada khabar sedikit pun tentang dia,” jelasku.

“Namanya siapa?”

“Ivan Davis... asal New Zealand,” jawabku lirih. Menyebut namanya pun kini lidahku hampir kaku. Memang aku harus terbiasa untuk tidak menyebutnya lagi.
Wanita muda ini terdiam dan tidak lagi mampu berkata-kata. Matanya merah dan setagal kemudian berubah menjadi kristal-kristal cair yang mengalirkan kepedihan.
Wanita yang raut wajah Eropah pekat, menggunakan bahasa Inggeris lancar itu kelihatan makin larut dalam duka. “Seminggu yang lalu, saya bersama suami datang ke Phuket untuk bercuti. Suami saya orang Tasmania, di St Marys.” Dia menyeka air matanya lalu cuba menenangkan dirinya.

Dari penjelasannya kuketahui bahawa suaminya adalah korban tsunami. Sedangkan mereka baru saja menikah. Dia adalah pekerja sebuah syarikat komputer di Hobart sementara suaminya seorang pengusaha yang sering berkunjung ke Thailand. Bercuti ke Phuket ini merupakan bulan madu mereka untuk merayakan pernikahan yang baru saja dilangsungkan. Dia merasa sangat bersalah kerana berada di tempat yang berbeza hari itu. Hal ini terjadi kerana dia harus mengunjungi rakan baiknya yang berada di Ayyuthaya.

Ketika itulah, pukulan ombak besar itu terjadi dan mengorbankan ribuan orang, termasuk suaminya yang kebetulan berada di Pulau Surin. Lima jam setelah serangan tsunami dia sudah berada di lokasi kejadian, hendak bertemu dengan suaminya. Sayangnya, suasana sudah berkecamuk. Phuket yang indah bukan lagi pantai perainginan yang mendamaikan. Jeritan histeria sayup terdengar beradu dengan deruan angin bersama ombak kecil memukul pantai.

Air matanya kembali membanjir, beberapa ketika kemudian mereda lalu bersuara lagi. “Saya, berasal dari Bundaberg. Di sini, suami saya berkenalan dengan seorang pengusaha yang kemudiannya bersetuju untuk melakukan usahasama perniagaan agrikultur di Tasmania, tepatnya di Launceston.”

Dia berhenti sebentar dan membersihkan isi hidungnya yang penuh dengan cairan jernih.

“Dari perbincangan mereka, jelasnya mereka merancang untuk eksport ke Thailand. Untuk produk dari Tasmania akan ditangani oleh rakan perniagaannya itu. Dan suami saya akan menyelesaikan segala urusan di Launceston.”

Dia berhenti sebentar, suaranya menjadi parau. Dengan kata-kata yang terbatas-batas. “Suami saya itu ‘orangnya gempal, tidak terlalu tinggi, rambut cokelat disisir ke sisi. Senyumnya ramah, dan bercermin mata nipis...”

Suaranya hampir tidak terdengar, bergulat menahan tangis yang makin tidak terbendung. “Barangkali juga dia juga menjadi penumpang pesawat tentera New Zealand yang baru berlepas pagi tadi.”

Suasana sontak menjadi hening. Membisu sejuta kata, kerana tidak ada satu perkataan pun yang mampu memaklumkan kami tentang kejadian itu. Sesekali terdengar isak sendu yang disuarakan dengan kian parau. Akhirnya aku teringat ketika aku dan Ivan di Sumatera, dan perdebatan tentang tsunami akibat ledakan Krakatoa.

“Sedihnya, kau juga telah dijemput tsunami, Ivan!” Aku makin kalut di hujung kegetiran hati.

Pesanan melalui SMS masuk lagi memecah kesunyian.

“Khir... sudah ada khabar dari suamiku? Tolong Khir, pastikan dia selamat.”

Aku tidak mampu lagi menutupi kedukaanku. Air bening kemilau membasahi lingkar kelopak retinaku, sehingga pemandangan kelihatan kabur seolah-olah melesat menembusi kabut hitam yang membungkus lingkar Khatulistiwa, mengejar bayang-bayang Ivan yang kini mungkin telah diterbangkan ke negara asalnya.
Dia ada di dalam pesawat itu, meski samar tetapi aku mampu mengenali ciri-cirinya. Sayangnya sapaanku tidak ditanggapinya lagi. Bisu tanpa suara, tanpa perdebatan, dan tanpa renyah tawanya yang selalu menghiasi persahabatanku dengannya.

Semakin lama, pesawatnya tidak terkejar lagi oleh pemandangan imaginasiku. Lalu menghilang ditelan langit. Dia menuju ke atas.

“Tsunami sudah menjemputnya, Trisha!”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA