Ahad, 22 Mei 2011

Buku Tentang Peristiwa 13 Mei

SMAHADZIR

1. Buku ‘13 Mei Sebelum Dan Selepas’

Buat pertama kali saya baru sahaja selesai membaca buku ’13 Mei Sebelum Dan Selepas’ yang dikarang oleh Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri kita yang pertama walaupun buku tersebut telah lama ada dalam koleksi saya. Bagi saya, setiap tahun bulan Mei pasti bertandang dan saya yakin rakyat Malaysia terutamanya yang lahir sekitar tahun 1957-1962 tentu tidak dapat melupakan satu kisah hitam yang melanda negara pada 13 Mei 1969. Satu tarikh kepada episod hitam yang sentiasa segar dalam ingatan kita. Inilah buku yang menyatakan pandangan Tunku Abdul Rahman terhadap apa yang berlaku. Buku yang juga menyatakan perasaan kecewanya terhadap kejadian tersebut. Kekecewaannya pada gerakan komunis, parti pembangkang yakni GERAKAN, DAP dan PAS serta tidak kurang pada golongan ‘pelampau’ atau ‘ultra’ yang wujud di negara ini.

Buku ini ditulis oleh Tunku berasaskan pengalamannya yang lama sebelum dan semasa menjadi Perdana Menteri serta bersandarkan sumber sahih yang telah diberikan oleh Polis Diraja Malaysia. Keadaan ini berbeza dengan buku yang diterbitkan sebelum ini yang menyandarkan penulisannya semata-mata kepada sumber diplomat dan wartawan asing yang kesahihan sumbernya adalah diragui.

Mei 13 Sa-Belum Dan Sa-Lepas

Dalam bab pertama Tunku menekankan bahawa buku ini merupakan ikhtiar beliau untuk membuka mata ‘pendudok2 negeri ini (Malaysia) kapada hakikat2 yang sa-benar, dan membuka segala kepalsuan dan perbuatan2 tipu helah, supaya dengan itu timbullah kesedaran bagaimana kita semua dapat memainkan peranan masing2 dengan sa-baik2nya untok masa hadapan negara kita’. Buku ini ditulis hasil renungan Tunku ‘sa-lama sa-puloh hari dan sa-puloh malam’ sewaktu menerima rawatan dan pembedahan mata di Hospital Universiti, Kuala Lumpur yang bermula 6hb Jun 1969. Buku ini siap diterbitkan pada September 1969 dalam 3 edisi - Inggeris, Rumi dan Jawi.

Menarik sekali untuk difikirkan apabila Tunku memulakan buku ini dengan satu puisi oleh John Donne yang berjudul For Whom the Bell Tolls. Terjemahannya lebih kurang seperti berikut:

Tiada manusia ibarat pulau, terpencil sendirian; Sa-tiap orang sa-chebis dari Benua, sa-bahagian dari keselurohan. Kematian sesiapa pun memperkechil harga diriku, kerana aku sa-bahagian dari kemanusiaan; dan kerana itu janganlah bertanya untok siapa locheng kematian berbunyi; locheng kematian itu berbunyi untok-mu.

Buku ini adalah hasil renungan Tunku tentang peristiwa 13 Mei. Beliau terpanggil untuk menulis buku ini bagi menjelaskan ‘hal-hal sebenar yang telah berlaku menurut pandangan saya, sekalipun ia amat dahsyat’. Dalam penelitiannya, Tunku merumuskan bahawa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 itu adalah angkara golongan pelampau dan golongan komunis. Kedua-dua golongan ini, tegas Tunku, sejak sebelum merdeka lagi berusaha untuk mencetuskan kekacauan dalam negara. Golongan ini telah terlibat dalam mencetuskan ketegangan dalam peristiwa hartal (1967), hukuman gantung (1968) dan pemulauan pilihan raya (1969), perarakan mayat pada 9 Mei dan perarakan kemenangan oleh parti-parti pembangkang pada 12 Mei 1969. Akibat provokasi golongan ini ketegangan kaum terjadi dan rusuhan kaum berlaku.


13 Mei Sebelum Dan Selepas

Pada bulan April 1969, seorang petugas pilihanraya UMNO, Encik Kassim Bin Omar telah dibunuh dengan kejam oleh pemuda-pemuda Parti Buruh. Mayatnya diconteng dengan cat merah dan ditulis ‘Jangan Mengundi Dalam Pihanraya’. Hal ini menunjukkan pengaruh komunis dan sikap mengagung-agungkan Mao Tze Tung. Namun disebabkan takutkan tindak balas orang Melayu, gangguan PRU dan rusuhan kaum berlaku, berita pembunuhan yang kejam ini telah ditutup selepas kerajaan telah meminta pihak keluarga dan pemimpin Melayu bersabar.

Rupanya, bukan sekarang sahaja orang Melayu terpaksa bersabar atas tindakan orang lain, tetapi sejak dari dahulu lagi. Itulah jasa dan pengorbanan orang-orang lama terhadap negara. Berkorban hingga terkorban.

Pada 4 Mei 1969, ketika tiga orang mata-mata telah melakukan rondaan di Kepong, pinggir bandar Kuala Lumpur, mereka mendapati terdapat sekumpulan pemuda Cina yang menconteng jalan dengan cat-cat merah. Kumpulan mata-mata tersebut telah dicabar dan dibaling dengan kayu api, ketul-ketul besi dan besi-besi tajam. Kemudian pemuda-pemuda Cina tersebut telah melarikan ke sebuah pasar lama. Rupa-rupanya kumpulan pemuda-meuda Cina tersebut telah bersedia dengan segala kemungkinan. Satu pergaduhan telah berlaku, ekoran daripada itu satu tembakan telah dilepaskan oleh seorang mata-mata untuk mempertahankan dirinya. Akibatnya seorang pemuda Cina yang berumur 24 tahun bernama Lim Soo Seng telah cedera dan dikejarkan ke hospital, namun kemudiannya mati selepas itu.


Tunku Abdul Rahman

Lebih memburukkan lagi keadaan ialah apabila mereka yang ingin mengambil kesempatan telah mendesak pihak polis agar satu perarakkan mayat diadakan pada 10 Mei 1969, iaitu pada tarikh hari pengundian. Namun mereka hanya dibenarkan berarak pada 9 Mei 1969, mengikut jalan yang telah ditetapkan dengan seramai 1000 orang sahaja. Akibat campur tangan anasir-anasir jahat daripada komunis dan Parti Buruh, perarakkan itu telah melibatkan seramai lebih kurang 10,000 orang. Mengikut pegawai-pegawai polis yang hadir, keranda mayat telah diisikan dengan senjata dan mayat lelaki tersebut telah diletakkan di luar. Sambil berarak mereka telah menghina kerajaan, orang Melayu dan memuji Mao Tze Tung. Inilah detik-detik yang dapat saya ringkaskan sebelum negara dibakar.

Tunku Abdul Rahman telah menerima cabaran yang hebat, bukan senang hendak menjadi pemimpin. Seperti kata Tunku, “Memang mudah menabur janji yang kosong daripada menunaikannya.” Kisah Tunku Abdul Rahman difitnah bahawa beliau bukan Islam sebaliknya Siam banyak melukakan hati beliau. Bahkan atas jasa beliaulah lahirnya Tilawah Antarabangsa, Masjid Negara, Persidangan Islam Antarabangsa yang pertama kalinya menyatukan negara Islam di seluruh dunia dan lain-lain lagi.

Kisah yang menjadi duri dalam daging iaitu kisah surat terbuka Dr Mahathir kepada Tunku juga banyak menghiris kalbu Tunku. Di dalam surat yang ditulis oleh Dr. Mahathir ada juga benarnya, namun akibat daripada perbuatannya itu, Dr. Mahathir telah dipecat daripada UMNO. Dan ketika saya membaca buku ini juga saya dapati bahawa ada tindakan yang dibuat oleh Tunku Abdul Rahman betul dan ada yang dirasakan kurang tepat. Pada pandangan saya begitulah... apabila menjadi seorang pemimpin, setiap tindakan akan wujud serba tidak kena pada pandangan orang lain. Bukan semua yang dibuat oleh seorang pemimpin, disukai oleh orang ramai. Ada saja orang yang tidak suka. Hendak memenuhi kehendak semua orang memang sukar. Ada saja orang yang akan membangkang, memanipulasi, menjadikan isu terutama golongan yang berkepentingan dalam politik.

Antara korban tragedi 13 Mei 1969

Kemuncak peristiwa 13 Mei berdasarkan statistik diberikan Tunku dalam buku ini selepas tiga bulan dua hari dari tarikh 13 Mei ialah 184 orang telah terbunuh, 356 orang luka, 753 kejadian membakar bangunan dan 211 kenderaan dibakar. Kita berdoa agar peristiwa hitam sebegini tidak akan lagi berulang di negara kita. Hanya 14 tahun selepas merdeka, negara Malaysia dilanda krisis perkauman maha hebat yang pernah disaksikan.

Dakwaan kononnya rusuhan kaum dirancang oleh ‘kapitalis Melayu’ adalah tidak benar sama sekali. Dalam buku ’13 Mei Sebelum Dan Selepas’ Tunku tidak pernah menganggap peristiwa itu sebagai satu rampasan kuasa. Memang benar Tunku mengakui bahawa akibat peristiwa berdarah itu ada segelintir ahli UMNO yang beliau labelkan sebagai ‘pelampau’ ataupun ‘bijak pandai’ yang tidak menyenangi beliau kekal sebagai Perdana Menteri. Tetapi perasaan tidak puas hati bukan menjadi penyebab kepada berlakunyal rusuhan. Hal ini telah diperjelaskan oleh Tunku dalam Bab 15 bertajuk ‘Sepucuk Surat’ dan Bab 16 bertajuk ‘Perebutan Kuasa dalam UMNO’.

Buku ‘13 Mei Sebelum Dan Selepas’ ini wajar dibaca oleh generasi sekarang, dan untuk itu baiklah dicetak semula dalam edisi baru, boleh saja dijadikan Edisi 54 Tahun Merdeka supaya menjadi renungan. Goerge Santanaya kata sejarah akan berulang jika kita lupa sejarah. Saya yakin itu. Tapi saya juga percaya bahawa kuasa untuk mengubah sejarah yang bakal berulang juga ada dalam tangan kita sendiri; berkat usaha, doa dan tawakkal.

Perarakan meraikan kemenangan dalam pilihanraya oleh DAP

2. Buku ‘13 Mei 1969 Di Kuala Lumpur’

Manakala di pesta buku baru-baru ini saya berkesempatan membaca sebuah lagi buku yang berkaitan dengan peristiwa 13 Mei iaitu buku yang berjudul ‘13 Mei 1969 Di Kuala Lumpur’. Buku tersebut memaparkan kewujudan masyarakat majmuk dan hubungan kaum sejak kedatangan imigran ke negeri-negeri Melayu dan campur tangan British sehingga berlaku peristiwa 13 Mei 1969. Tahun 1960-an adalah era rusuhan kaum kerana sebelum tragedi 13 Mei 1969 yang dianggap sebagai kemuncak, turut berlaku beberapa rusuhan lain di Bukit Mertajam, Seberang Perai pada tahun 1964, Kuala Lumpur pada tahun 1965 dan Pulau Pinang pada tahun 1967.

Buku ini cuba menghubungkaitkan beberapa isu nasional yang dikatakan menjadi pemangkin kepada tercetusnya peristiwa 13 Mei. Rusuhan yang bermula di Setapak dan kemudiannya merebak ke pusat bandar Kuala Lumpur, Kampung Baru, Pudu dan Kampung Pandan telah menyebabkan 196 orang terkorban dan 149 orang cedera.

Antara isu-isu berkenaan adalah dasar-dasar yang diamalkan oleh British dan layanan tentera Bintang Tiga (komunis) terhadap orang Melayu selepas era pendudukan Jepun. Ia juga membabitkan dasar hak istimewa orang Melayu di negara ini yang dipertikaikan oleh kaum Cina, iaitu yang berkaitan dengan Perkara 152 dan 153 dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi bagi Malaysia.

Faktor pemangkin lain adalah berkaitan ketidakadilan dalam pendidikan dan perkhidmatan awam terhadap orang bukan Melayu. Ia juga melihat hubungan kaum antara orang Melayu dengan orang Cina yang sentiasa tegang pada akhir tahun 1960-an, serta melihat bagaimana konflik politik, sosial dan ekonomi mendorong kepada tercetusnya peristiwa tersebut.

Buku ini penting sebagai suatu usaha untuk memaparkan sejarah tanah air dengan lebih jelas kerana sejarah hitam itu kerap dilihat dari sudut yang emosional. Dalam usaha untuk mendapatkan gambaran tepat tentang apa yang sebenarnya berlaku, penulis buku tersebut telah melakukan wawancara dengan penduduk kaum Melayu, Cina dan India di Kuala Lumpur yang terlibat secara langsung dengan tragedi berkenaan. Ia turut membincangkan peranan media massa dalam merangsang ketegangan kaum antara orang Melayu dan orang Cina.

Buku berkenaan turut memuatkan gambar-gambar tragedi terbabit yang sebelum ini pernah disiarkan dalam buku tulisan bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bertajuk ‘Mei 13 Sa-Belum dan Sa-Lepas’. Semoga peristiwa ini menjadi iktibar, teladan dan pengajaran kepada kita semua. Jangan biarkan sebarang bentuk rasa tidak puas hati, isu agama, isu bahasa dan lain-lain lagi isu sensitif dimanipulasikan untuk kepentingan tertentu sehingga tercetus semula konflik antara kaum di negara kita.

Kita harus insaf bahawa peristiwa 13 Mei merupakan satu pengalaman dan pengajaran yang tidak dapat kita lupakan buat selama-lamanya. Kerana kejadian itu menunjukkan kepada kita tentang bahaya-bahaya yang boleh timbul sekiranya kita terlampau lalai atau cuai. Kita seharusnya bangga dengan apa yang telah kita capai. Dengan semangat perpaduan dan keharmonian serta kerjasama dan rasa muhibah, maka kita telah mengatasi segala kesulitan untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran yang tidak ada tolok bandingnya. Oleh itu, amatlah mustahak bagi kita semua untuk cuba sedaya upaya hidup bersama-sama dan cuba memahami antara satu sama lain dengan semangat persefahaman, hormat-menghormati agar kita dapat memelihara keharmonian dan keamanan.

Rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 adalah peristiwa tragis yang terburuk dialami oleh Malaysia. Peristiwa itu hampir-hampir memusnahkan negara ini. Alhamdulillah, dengan kebijaksanaan pemimpin dan semangat setia kawan rakyat, bencana itu telah dapat ditangani dan negara kembali pulih seperti sediakala. Banyak pengajaran yang boleh dipelajari daripada bencana itu. Antara yang terpenting ialah peri mustahaknya memperkukuhkan perasaan muhibah dan ikatan perpaduan antara kaum demi kestabilan politik dan keselamatan Malaysia yang berbilang kaum ini.

Penerbitan buku ini adalah tepat pada waktunya memandangkan pada akhir-akhir ini terdapat usaha oleh pihak-pihak tertentu yang cuba memutarbelitkan fakta dan menimbulkan kekeliruan tentang peristiwa berdarah 13 Mei itu. Beberapa bulan sebelum Pesta Buku berlangsung, sebuah buku yang memperkatakan tentang peristiwa 13 Mei juga telah diterbitkan. Namun pendekatan yang digunakan jelas menolak bingkai kepercayaan lama bahawa kekacauan 1969 berpunca daripada ketidakseimbangan dalam sosioekonomi kaum di negara ini, sebaliknya penulis buku tersebut mengemukakan tesis baharu iaitu kapitalis Melayu yang diketuai Tun Abdul Razak yang cuba untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman menjadi punca utama kepada tercetusnya peristiwa itu.

Walaupun sukar untuk mencari motif sebenar penulis buku itu membangkitkan sejarah berdarah 13 Mei, namun trend semasa menunjukkan wujud usaha untuk memburuk-burukkan pemimpin-pemimpin negara, khususnya Tun Abdul Razak, Datuk Harun, Tun Mohammad Ghazali Shafie dan lain-lain, termasuk juga anggota-anggota keselamatan. Pandangan serong tersebut jelas sekali bersifat prejudis dan olahan perbincangannya, kiranya dibiar tidak dijawab, ditakuti akan dianggap sebagai satu dokumen yang sah untuk melegitimasikan dakwaan bahawa peristiwa 13 Mei itu adalah dirancang oleh ‘kapitalis Melayu’.

Isnin, 16 Mei 2011

Bila Artis Baca Puisi

DEWASA ini kerap benar artis diundang untuk deklamasi puisi walaupun majlis tersebut dihadiri oleh ratusan penyair. Dalam satu majlis puisi, saya bersama Dr Ibrahim Ghaffar. Dalam majlis tersebut ramai artis yang dijemput untuk deklamasikan puisi termasuklah puisi ciptaan Dr Ibrahim sendiri.


Selepas acara tersebut selesai, saya bertanyakan kepada beliau, “Perlukah artis di acara deklamasi puisi?” Gesit dia menjawab, “Sama sekali tak perlu!” Saya tanya lagi, “Kalau tak perlu kenapa dalam majlis tadi saya tengok ramai artis deklamasi puisi. Dah tak ada lagikah penyair nak deklamasi puisi?” Dia jawab, “Yang deklamasi puisi tadi itu penyair. Yang baca puisi adalah artis. Maksud saya, baca macam membaca SMS. Puisi saya jadi lintang pukang!”


Salah seorang penyair Indonesia sewaktu mendeklamasikan puisi ciptaanya di Taman Marzuki, Jakarta


Sebenarnya saya suka bertanya, mengacah orang yang menjawab, sesekali melemparkan provokasi. Tradisi acara deklamasi puisi juga turut berubah selepas teater yang dulunya dilakonkan pelakon teater diganti dengan artis. Sejak itu acara deklamasi puisi pun telah disusupi oleh artis-artis popular. Saya tidak tahu siapa yang memulakan tradisi mengambil atau lebih tepat menyuruh artis-artis popular mendeklamasi puisi.


Untuk memahami kemudian menyampaikan secara deklamasi kepada orang, bukan kerja yang mudah. Tanpa memahami maksud puisi, bagaimana boleh menyampaikan kepada orang lain dengan deklamasinya? Tiada langsung penghayatan, nada, intonasi, artikulasi, bahasa tubuh, gaya dan sebagainya. Artis juga sebenarnya terpaksa berdiri dalam keadaan yang sangat canggung apabila disuruh mendeklamasi puisi. Mereka penyanyi atau pelakon. Deklamasi puisi bukan bidang mereka. Tetapi demi upah dan ganjaran, mereka sanggup berada dalam kedudukan yang tidak selesa itu.


Penyair Rendra dengan gayanya yang tersendiri di Rumah Gapena


Sejak dulu saya tidak pernah bersetuju mengundang artis popular mendeklamasi puisi. Orang yang datang ke majlis deklamasi puisi untuk menyaksikan kehebatan penyair. Gaya mereka ada berbagai-bagai. Ada gaya AGI, ada gaya Pian Habib, ada gaya Khalid Salleh, ada gaya Sazalee Yaacob dan macam-macam lagi. Namun, tidak semua penyair boleh mendeklamasikan puisinya dengan baik kendatipun dia penyair hebat. Tetapi di situlah keunikan acara deklamasi puisi kerana orang yang mendeklamasi itu adalah pencipta puisi. Lagipun kalau hendak menyaksikan penampilan artis, lebih baik orang pergi menonton Konsert Jom Heboh, mentor atau duduk di depan televisyen yang penuh dengan rancangan hiburan.


Acara deklamasi puisi tidak perlu diukur jumlah orang yang hadir. Apakah maknanya ramai penonton kalau puisi yang dideklamasi bukan selera mereka? Untuk adil kepada artis, eloklah kita mengundang mereka sebagai tetamu. Mereka juga perlu kenal puisi selain lirik yang mereka nyanyikan, atau skrip yang mereka lakonkan. Inilah cara terbaik memasyarakatkan puisi kepada artis. Bukan menyuruh artis deklamasi puisi sedangkan mereka tak tahu langsung tentang puisi. Puisi yang cantik jadi lintang-pukang!

Kencing Tepi Jalan

Selain Hyderabad, penulis juga pernah berada di Chennai, ibu negeri Tamil Nadu suatu ketika dulu. Terasa satu kelainan yang ketara ketika berada di negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri (KM), M. Karunanidhi ini. Setiap wilayah atau negeri pasti ada bezanya. Tidak banyak yang dapat disaksikan di bandar ini berbanding di Delhi. Bagaimanapun suasana di jalan raya tetap sibuk, sama seperti di New Delhi. Di jalan raya, meluncur laju kereta, bas, motosikal, tut-tut (teksi roda tiga) dan sebagainya. Seperti kata seorang pemandu teksi di New Delhi, keadaan kenderaan di atas jalan raya di India umpama satu permainan komputer. Membunyikan hon (ada juga menggunakan wisel) sudah menjadi satu kemestian.


Sebelum ke Chennai, cuaca sejuk di New Delhi menyebabkan kabus tebal sehingga kebanyakan jadual penerbangan di Lapangan Terbang Indira Gandhi tergendala. Ada yang terpaksa berada di dalam pesawat sehingga tiga atau empat jam, malahan dilaporkan ada yang menjangkau sehingga 12 jam sebelum pesawat berlepas. Apabila banyak pesawat lewat, balai berlepas di lapangan terbang sesak sementara ketika tiba di destinasi, keadaannya juga sama setelah beberapa buah pesawat dari pelbagai destinasi mendarat pada masa yang hampir sama. Begitulah suasana sibuk apabila pesawat gagal terbang akibat kabus tebal.


Tandas tepi jalan yang tiada pintu, boleh dilihat dari luar

Pertama kali menjejakkan kaki di Chennai terfikir seketika di benak penulis, apa yang ada di Tamil Nadu? Sekadar melihat risalah pelancongan, ada beberapa tempat menarik. Dengan menggunakan pengangkutan Hop-on Hop-off Tour antara Chennai dan Mamallapuran, tempat yang ditawarkan termasuklah Taman Buaya, Tiger Cave, Dolphin City, Muttukadu Boat House dan beberapa buah kuil lama yang ada antaranya diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Sejarah UNESCO. Tetapi setelah berada di tengah-tengah kesibukan masyarakat Chennai, barulah penulis teringat bahawa ada beberapa orang pelakon filem Tamil ternama yang mempunyai kaitan secara langsung dengan Tamil Nadu.


Pertama ialah aktor Shivaji Gaekwad atau nama glamournya Rajnikanth yang turut popular dengan filem Sivaji: The Boss. Siapa di kalangan masyarakat India lebih-lebih lagi etnik Tamil yang tidak mengenali beliau? Pelbagai watak yang dibawanya termasuk sebagai pembela masyarakat miskin yang tertindas mencuri tumpuan peminat. Beliau dianggap hero yang sukar ditandingi.


Kedua ialah Kamal Haasan, yang bukan sahaja pelakon tetapi pengarah dan penerbit filem. Beliau dilahirkan di Paramakudi, Tamil Nadu. Peminatnya memang ramai. Ketika beliau hadir untuk memberi satu syarahan mengenai kebudayaan di Anna University, Chennai, sebanyak 2,000 orang sanggup beratur seawal pukul 6.30 pagi untuk mendapatkan tempat. Tetapi hanya 200 orang saja yang dibenarkan masuk mengikuti syarahannya yang bermula pukul 9 pagi. Begitulah hebatnya sambutan kepada Kamal.


Walaupun di dinding tertera amaran, tetapi tiada siapa peduli!


Tidak hairanlah apabila di Chennai, wajah Kamal Haasan dan Rajnikanth menjadi hiasan di pelbagai iklan perniagaan dan sebagainya. Mereka sebaris dengan poster atau gambar KM, Karunanidhi. Mereka adalah antara hero yang disanjung di kalangan masyarakat di Tamil Nadu. Lebih teruja apabila menghampiri hotel penginapan, Sheraton Park Hotel & Towers. Chennai yang dulunya dikenali sebagai Madras, turut dihiasi poster wajah PM kita dan isteri, Rosmah Mansor.


Dianggarkan kira-kira 85% rakyat India di Malaysia berasal dari etnik Tamil. Majoriti penduduk Chennai adalah beragama Hindu tetapi tidak kurang juga yang beragama Islam. Di sini selain kuil, boleh didapati masjid dan gereja. Tersedia juga restoran makanan halal. Dalam erti kata lain, tidak sukar nak cari makan. Banyak juga barang dalam tin keluaran Malaysia dijual di sini. Di Delhi, Restoran Karim menjadi sebutan tetapi di Chennai, Restoran Pelita menjadi tumpuan. Lebih-lebih lagi bagi rakyat Malaysia yang tidak dapat memisahkan diri mereka daripada kari kepala ikan, roti canai, nasi lemak dan teh tarik. Menunya lebih kurang sama dengan Restoran Pelita Shah Alam atau Restoran Pelita Kuala Lumpur.


Seperti di New Delhi dan Hyderabad, membuang air kecil di tepi jalan juga adalah satu pemandangan yang biasa. Terpulanglah kepada kita untuk membuat andaian. Tetapi ada satu cerita lucu. Kisah benar di New Delhi. Seorang rakan penulis yang tidak tahan lagi membuang air kecil terpaksa mengikut tabiat orang tempatan. Daripada terkencing di dalam seluar, adalah lebih baik ‘buang’ di tepi tembok tepi jalan. Malangnya sedang asyik membuang air kecil, dia pula dikencing di atas kepalanya. Mujurlah bukan orang yang kencing tetapi beruk! Apakah moral ceritanya? Pembaca bolehlah membuat andaian sendiri.


Tabiat yang tak baik jangalah diamalkan di negara kita


Namun dalam kita memperkatakan tabiat orang lain, apakah kita juga sempurna? Walaupun kita mempunyai banyak tandas sama ada tandas awam, di restoran, pejabat atau rumah, tetapi salah satu rungutan pelancong di negara kita ialah tandas yang kotor dan memualkan. Maka samalah keadaannya - sesuatu yang kurang enak dilihat. Ada kemudahan tetapi tidak pandai menghargainya! Mungkin, jika kita diberi pilihan mana satu hendak dipilih - antara tandas kotor, busuk dan memualkan (sehingga tidak terkencing) atau pilih sahaja untuk ‘melepaskannya’ di tepi jalan.

Tumpang Semangkuk (Mangkuk Hayun)

BARU-BARU ini tercetus peristiwa rusuhan di Mesir. Maka cagunlah pelbagai pihak bertungkus-lumus mahu menyelamatkan rakyat Malaysia di negara tersebut. Menteri, timbalan menteri, setiausaha politik dan pelbagai agensi berada di Kaherah dan Jeddah untuk membantu. Pada hari yang sama juga rakyat Mesir terus mengadakan demonstrasi mendesak Presiden Hosni Mubarak berundur. Pada perhimpunan yaumul rohil atau hari pengunduran itu, mereka terus mengadakan demonstrasi besar-besaran. Kuala Lumpur turut terasa tempiasnya. Tiba-tiba sahaja di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, ada demonstrasi jalanan. Masalah di Mesir tetapi Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur jadi sasaran.


Tetapi pada masa yang sama, selepas solat Jumaat, ada juga yang buat solat hajat termasuk yang dihadiri Perdana Menteri, Najib Tun Razak di Masjid Negara. Eloklah kita mengadakan majlis solat hajat dan berdoa semoga rakyat Malaysia di Mesir selamat. Begitu juga doa supaya rakyat Mesir tanpa mengira fahaman politik serta seluruh insan yang ada di bumi para Anbia itu dalam keadaan selamat. Apa yang penting kedamaian manusia di negara tersebut.


Kekacauan di Mesir bukan sahaja menyusahkan rakyat negara itu sendiri tetapi juga rakyat dari negara-negara luar sama ada pelajar, pekerja atau pelancong. Kita di Malaysia turut bimbang dan resah apabila kekacauan berlaku di Mesir. Jika perkara yang sama berlaku di Malaysia, begitu jugalah perasaan rakyat negara luar yang anak-anak atau saudara mereka yang berada di sini sama ada untuk belajar, bekerja atau melancong.


Satu lagi pengajaran yang dapat dilihat akibat kemelut yang melanda, tentunya Sungai Nil, piramid dan pelbagai lokasi bersejarah yang sering menjadi tumpuan pelancong berada dalam keadaan sepi. Agensi pelancongan negara kita juga terasa tempiasnya dengan pembatalan lawatan ke negara itu. Sudah pastilah banyak gedung perniagaan yang sering menerima kunjungan para pelancong menanggung kerugian. Begitulah kesan daripada rusuhan yang dicetuskan oleh rakyat negara itu sendiri. Kita juga terasa tempiasnya kerana terdapat ramai pelajar Malaysia di sana. Ibu bapa tidak kira fahaman politik - yang anak-anak mereka sedang belajar di seluruh pelosok negara itu resah gelisah memikirkan keselamatan di rantau orang.


Mujurlah kerajaan tidak berdiam diri. Pelbagai usaha dibuat melalui Ops Piramid bagi mengeluarkan rakyat Malaysia dari negara yang sedang bergolak itu. Kerajaan melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM), AirAsia, Malaysia Airlines (MAS), Tabung Haji, Kelab Putera 1Malaysia dan sebagainya menunjukkan keprihatinan mereka selaras dengan slogan 1Malaysia ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’. Malangnya ada juga pihak yang seolah-olah tidak senang dengan usaha kerajaan. Mereka tumpang semangkuk kemelut di Mesir tetapi lebih kepadamenangguk di air keruh’. Mereka menyebarkan khabar angin dan melemparkan pelbagai dakwaan yang tidak berasas. Ada yang kata kerajaan lambat bertindak dan mengenakan bayaran untuk membawa pulang rakyat kita. Dan seperti dijangka sikap tumpang semangkuk dan menangguk di air keruh ini berlaku dalam usaha mencari keuntungan politik. Ada pula yang mengaitkan pemerintahan Hosni Mubarak dengan sistem pemerintahan di negara kita.


Sepatutnya, semua pihak harus menyokong usaha yang telah dilakukan kerajaan dan tidak bertindak menyongsang arus. Jangan politikkan apa yang berlaku di Mesir. Bukan mudah untuk mengatur pelan menyelamat. Ia tidak semudah pergi ke sana bermodalkan air liur segalanya boleh selesai. Mujurlah hubungan baik Malaysia dengan Mesir serta Arab Saudi membolehkan segala urusan berjalan lancar walaupun masih banyak kerenah birokrasi. Bersyukurlah kerana Jeddah dan Kaherah tidak menutup lapangan terbang kepada Kuala Lumpur. Sebenarnya, memang ada puak yang suka ambil kesempatan ke atas isu yang boleh dijadikan modal politik untuk memburukkan kerajaan.


Ketika anak-anak muda kita di seluruh Mesir bertungkus-lumus mahu menyelamatkan diri, anak-anak muda kita di Malaysia pula mengadakan demonstrasi, membaling botol ke arah kedutaan Amerika Syarikat. Entah apa puncanya. Apakah ia satu keseronokan atau kepuasan dapat tumpang semangkuk suasana gawat di Mesir? Sudahlah tumpang semangkuk, tindakan yang dilakukan pula seperti kembang semangkuk atau lebih sudu daripada kuah. Mungkin lebih baik anak-anak muda itu menganjurkan aktiviti yang lebih berfaedah seperti bagaimana mahu membantu menampung kos yang ditanggung kerajaan walaupun kerajaan tidak akan meminta rakyat terutama ibu bapa berbuat demikian. Semua kos kerajaan tanggung!


Tidak pasti apakah tujuan sebenar demonstrasi itu. Adakah mereka mahu menuntut Amerika Syarikat tidak campur tangan dalam urusan di Mesir? Kalau itu tujuannya, baguslah. Urusan dalam negara, tidak perlu diundang orang luar terutama Amerika Syarikat untuk selesaikan. Kita harap kumpulan ini akan tampil jika ada puak yang mengundang Amerika Syarikat campur tangan dalam urusan politik dalaman negara kita sendiri disebabkan kepentingan politik orang tertentu. Janganlah pula dalam keghairahan mendesak Amerika Syarikat supaya tidak campur tangan, ada pula poster yang meminta Hosni Mubarak berundur. Secara tidak langsung mereka ini pun cuba campur tangan dalam urusan dalaman Mesir juga. Jadi janganlah menempelak orang lain sedangkan diri sendiri pun sama juga perangainya.


Bukan mahu membela Amerika Syarikat atau sebaliknya tetapi sejak awal lagi Amerika Syarikat sudah meminta Mubarak berundur sebagai jalan keluar dari kemelut yang sedang melanda negara itu. Sama ada Amerika Syarikat bersandiwara atau sebaliknya, itu soal lain tetapi Amerika Syarikat juga bimbang dengan apa yang berlaku di Mesir. Justeru apakah yang dikehendaki oleh demonstrasi jalanan di Kuala Lumpur itu? Memang pelik orang kita ni. Cepat kalut. Asal ada peluang dan ruang, mereka akan turun ke jalanan ‘mengganggu’ ketenteraman awam walaupun ketika rakan-rakan kita masyarakat Cina masih menyambut Tahun Baru Cina.


Apa yang diharapkan selepas ini, bertindaklah secara rasional bukannya terlalu emosional. Kata orangkhabar jauh dengar-dengarkan, khabar dekat fikir-fikirkan’. Kalau mahu tumpang semangkuk, biarlah kena pada isunya, jangan main hentam-keromo sahaja. Janganlah kekalutan di Mesir terbawa-bawa ke negara kita. Ingat sama hak orang lain. Di laluan itu - Jalan Tun Razak - ada banyak hospital termasuk Hospital Kuala Lumpur (HKL), Institut Jantung Negara (IJN), Pusat Perubatan Prince Court dan Pusat Rawatan Islam (Pusrawi). Bagaimana agaknya ketika anda sedang ‘mengganggu’ lalu-lintas di situ, saudara-mara anda sedang ‘bertarung nyawa’ di dalam ambulans atau dalam perjalanan ke hospital terperangkap di dalam kesesakan yang puncanya daripada perbuatan anda?


Fikirlah. Fikir itu pelita hati. Langit berkelikir, bumi bertemberang; salah-salah fikir menjadi hamba orang. Ingat juga peribahasa Melayu cepat tangan terjembakan, cepat kaki terlangkahkan, cepat mulut terkatakan.

Pi Mai Pi Mai Tang Tu Jugak

Usaha pihak berkuasa tempatan (PBT) mengadakan Hari Tanpa Plastik (HTP) memang dialu-alukan. Sebenarnya kempen mengurangkan penggunaan plastik sudah lama diadakan tetapi tidak mendapat sambutan. Bagaimanapun ia sedikit sebanyak dapat mendidik masyarakat untuk membantu usaha kerajaan memulihara alam sekitar. Seperti yang kita ketahui, plastik mengambil masa hampir 500 tahun untuk dilupuskan secara semula jadi dan pembakarannya akan membawa pencemaran. Maka kempen seumpama ini harus disokong. Peranan utama bagi menjayakan program ini tentulah pihak yang menyediakan beg plastik iaitu pusat membeli-belah termasuk pasar raya besar. Menjayakan kempen ini secara tidak langsung juga membantu akan peniaga mengurangkan kos untuk mengeluarkan beg plastik.


Tabiat masyarakat kita, membeli satu barang pun nakkan beg plastik. Justeru kempen ini juga memerlukan sokongan masyarakat. Tanpa kerjasama pengguna, program ini tidak akan ke mana. Bagaimanapun dalam kita mengalu-ngalukan usaha ini, terdapat beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki supaya program yang diadakan secara sukarela tanpa paksaan ini memberi kesan. Antara kelemahan itu ialah HTP tidak dilaksanakan di seluruh negara, hari yang ditetapkan tanpa plastik tidak seragam dan beg plastik masih dijual pada HTP. Di Pulau Pinang, HTP dilangsungkan selama tiga hari iaitu Isnin, Selasa dan Rabu. Di Selangor pula pada hari Sabtu.


Tidak pasti pula di negeri-negeri lain. Keadaan ini menyebabkan pengguna dari Selangor yang pertama kali berkunjung ke Pulau Pinang akan terpinga-pinga apabila membeli-belah pada hari-hari berkenaan. Begitu juga keadaan sebaliknya apabila orang Pulau Pinang berkunjung ke Selangor. Mereka yang sudah biasa dengan hari Sabtu tanpa beg plastik pastinya kurang selesa apabila berkunjung ke pasar raya di Pulau Pinang pada hari Isnin, Selasa dan Rabu. Apa tidaknya jika kebiasaannya di tempat mereka, hanya Sabtu perlu bersedia dengan beg tetapi apabila di luar Selangor, hari lain pula menjadi pilihan.


Mereka akhirnya terpaksa membayar untuk beg plastik berkenaan. Setiap beg dikenakan caj RM0.20 sen. Berapa beg yang harus diberi apabila pelanggan membeli sakan terutama di bahagian makanan? Walaupun caj itu tidak masuk ke kantung pemilik pasar raya sebaliknya disalurkan kepada persatuan kebajikan tetapi mengenakan caj kepada pengguna yang tidak tahu menahu mengenai kempen ini adalah tidak wajar.


Timbul juga persoalan atas pertimbangan apa hari-hari berkenaan dipilih? Kenapa Selangor memilih Sabtu dan Pulau Pinang pula pada hari Isnin, Selasa dan Rabu? Kenapa tidak hari Ahad? Mana lebih baik Sabtu atau Ahad yang merupakan cuti hujung minggu yang kebiasaannya ramai akan membeli-belah? Mungkin ini juga faktor menyebabkan pemilihan hari dibuat. Walaupun tiga hari bekerja tetapi kesannya tidaklah seperti pada cuti Sabtu atau Ahad. Mungkin pemilik pusat membeli-belah pula meletakkan syarat kepada PBT untuk kempen ini dengan memilih hari yang jumlah pelanggan adalah kurang. Mereka juga tidak mahu kehilangan pelanggan disebabkan HTP ini.


Maka pemilik pasar raya akan memilih hari yang jumlah pengunjungnya kurang dan kuasa membeli juga merosot. Maka adalah lebih baik kempen ini diselaraskan di seluruh negara pada hari yang sama supaya pembeli lebih bersedia membawa beg sendiri. Pada masa yang sama adakan promosi lebih meluas terhadap program ini.


Mengenai ‘penjualan’ beg plastik, diharapkan hasil kutipan itu dapat sampai kepada sasaran. Cuma agak pelik juga kenapa perlu menjual beg plastik? Pelik kerana hari tanpa beg plastik tetapi pengguna masih boleh membelinya pada harga RM0.20 sen setiap satu. Bagi sesetengah orang, letaklah RM0.50 sen atau RM1, mereka akan membeli apabila terdesak untuk membawa barangan yang dibeli. Harga bukan lagi isu lebih-lebih lagi apabila ‘niatnya’ ketika membeli beg plastik itu untuk turut menderma kepada pihak yang dikatakan akan menerima hasil jualan tersebut. Kalaulah lima beg dibelinya maka apalah sangat RM1 untuk disumbangkan kepada aktiviti kebajikan? Akhirnya ia sedikit sebanyak menjejaskan matlamat HTP apabila pengguna masih diberi pilihan menggunakannya seperti biasa pada hari kempen berlangsung.


Bukanlah maksud penulis supaya tidak boleh jual beg pada hari berkenaan kerana jika ini dilakukan, ia pasti menimbulkan masalah kepada pengguna. Tetapi persoalannya kenapa plastik? Kenapa tidak menggunakan beg kertas yang lebih mudah dilupuskan? Juallah seberapa banyak beg kertas kerana melupuskan kertas tidaklah sesukar melupuskan plastik.


Sebenarnya bukanlah sesuatu yang pelik apabila beg kertas digunakan dalam urusan jual beli ini. Di beberapa buah negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Britain kebanyakannya menggunakan beg kertas yang lebih mesra alam. Penulis semasa berada di New Delhi tidak lama dulu juga menghadapi masalah beg ini. Bukan setakat beg plastik malahan beg kertas pun tidak disediakan. Di sebuah kedai buah-buahan, peniaga berkenaan tidak peduli sama ada anda orang tempatan atau orang luar (pelancong). Pandai-pandailah di mana untuk mengisi buah-buahan yang dibeli. Nasib baiklah kalau ada beg yang ‘sesat’ dalam kedai itu. Suka atau tidak, terpulang kepada pembeli. Kalau nak makan buah, beli dan bawa pulang dengan apa cara sekali pun. Terpulanglah kepada pembeli mengambil pendekatan sewajarnya.


Dalam hal ini, kempen tanpa beg plastik ini jangan sekadar melepaskan batuk di tangga saja. Apa ertinya jika ‘tangan kanan’ tidak memberi beg plastik tetapi ‘tangan kiri’ pula menjualnya. Oleh itu, sesuatu perlu dilakukan supaya kempen ini nampak lebih serius. Gunakan beg kertas yang pernah digunakan secara meluas satu masa dulu. Boleh juga diperkenalkan beg guni.


Suatu ketika dulu, suri rumah akan membawa bakul rotan dari rumah apabila membeli barang di kedai runcit. Mungkin orang lama masih ingat bagaimana kertas juga menjadi bahan utama untuk membalut, mengisi dan membungkus barang sama ada barangan basah atau kering. Tepung, gula, garam, sayur, ikan dan sebagainya dibungkus atau dibalut dengan kertas. Kacang putih di depan panggung pun diisi dalam kelongsong kertas. Ketika itu, pelbagai bentuk bungkusan dibuat daripada kertas surat khabar lama malahan menjadi sumber pendapatan bagi yang rajin menghasilkannya. Itulah bentuk kitar semula kertas pada satu masa dulu. Ketika itu juga tidak ada tali plastik untuk mengikat barang yang dibeli sebaliknya tali yang dibuat daripada batang pisang.


Pihak berkenaan boleh menjual beg kertas atau beg guni asalkan bukan plastik. Secara beransur-ansur didiklah pengguna beralih kepada beg kertas atau yang sesuai dengannya. Membawa beg sendiri juga perlu digalakkan. Tetapi berapa kerat yang akan membawanya dan berapa ramai pula yang lebih bersedia membeli beg plastik? Beberapa pasar raya besar menjual beg guna semula. Ada juga yang memberi secara percuma. Pasar raya besar Tesco pula menawarkan mata ganjaran kepada pelanggan yang membawa beg sendiri. Dengan insentif itu, pelanggan akan membawa beg berkenaan bukan sekadar pada HTP tetapi setiap kali mahu membeli-belah. Mungkin ia boleh diperluaskan dengan memberi ganjaran serta merta. Walaupun ia tetap beg plastik tetapi sekurang-kurangnya dapat membantu mengurangkan beg plastik biasa pasar raya.


Kita perlu mengajar rakyat Malaysia untuk mencintai alam sekitar walaupun hakikatnya ini satu kerja yang sukar. Lihatlah kempen ‘Tak Nak’ bagi mendidik perokok. Jumlah perokok meningkat juga dan asap rokok terus mencemari alam sekeliling. Kawasan larangan merokok diperluaskan tetapi perokok tidak peduli. Begitu juga dengan usaha kerajaan mendidik masyarakat mengenai bahaya mengambil gula secara berlebihan. Kempen entah ke mana, bekalan gula sering menimbulkan masalah. Inilah realiti dalam masyarakat kita. Ketika kerajaan berusaha mendidik masyarakat supaya mencintai alam sekitar, pada masa yang sama masyarakat pula gagal mendidik mereka untuk mencintai diri sendiri. Akhirnya, manusialah yang memusnahkan alam sekitar dan diri sendiri. Pi mai pi mai tang tu jugak!

Melayu Mudah Lupa

‘Melayu Mudah Lupa’ adalah kata-kata Tun Dr Mahathir yang amat terkenal. Jika ada yang terlupa atau buat-buat lupa eloklah diteliti semula kata-kata tersebut. Tun Dr Mahathir antara lain menyentuh isu-isu berkaitan pencapaian Melayu yang masih rendah, Melayu di zaman penjajah, kelemahan Melayu, Melayu sudah lupa perjuangan dan ubah sikap untuk selamat! Tun Dr Mahathir juga ada menulis mengenai Melayu dalam blognya, bertajuk ‘Melayu Ke Mana’. Perkataan Melayu mudah lupa tetap ada di situ. Banyak reaksi diberi terhadap tulisan beliau. Isu yang dibangkitkan dalam ‘Melayu Ke Mana’ adalah mengenai Melayu majoriti yang sudah menjadi minoriti kerana perpecahan.


Melayu berpecah kepada pelbagai puak dan parti politik. Seperti yang pernah diperingatkan oleh Tun Dr Mahathir suatu ketika dulu, Melayu memang mudah lupa padahal ‘orang dulu-dulu’ sudah mencipta pelbagai peribahasa, simpulan bahasa, perumpamaan untuk sentiasa mengingatkan orang Melayu supaya mereka lebih bersedia menghadapi pelbagai cabaran. Boleh dikatakan semua ungkapan yang dicipta oleh orang Melayu pada masa dulu sudah berlaku ketika ini. Malangnya semua ingatan itu sekadar catatan dalam buku-buku berkaitan untuk tatapan pelajar-pelajar. Begitu juga dengan pelbagai kiasan dan kisah untuk renungan seperti Pak Pandir, Pak Kadok, Lebai Malang dan Mat Jenin. Tidak lupa juga tentang Kitol dan Raja Mendaliar. Semuanya ini juga bertujuan memberi pengajaran kepada orang Melayu. Tetapi malangnya Melayu sudah lupa semua cerita dan kiasan tersebut.


Orang Melayu lupa tentang bersatu teguh bercerai roboh. Ketika ini Melayu berpecah kepada pelbagai puak termasuk dalam politik. Akhirnya mereka menjadi ‘minoriti’. Mereka lupa pesan orang dulu-dulu bahawa sebatang lidi mudah dipatahkan, seikat lidi sukar dipatahkan. Ada yang mengaku mereka mahu bersikap liberal yang mahu hak sama rata dan sama rasa di kalangan pelbagai kaum. Mereka mendakwa orang Melayu pada masa kini sudah mampu menari di tanah rata dan tidak lagi memerlukan ‘tongkat’ untuk berniaga dan belajar sedangkan hakikatnya ketika orang lain sudah mampu menari dengan baik tetapi ‘tarian’ orang Melayu sebenarnya masih sumbang dan keupayaan untuk berjaya dalam ekonomi dan pendidikan juga terbatas. Ada pula Melayu yang mempersoalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), mendabik dada dengan kejayaan yang sudah dinikmati. Padahal mereka yang berjaya hari ini juga kebanyakannya disebabkan oleh ‘tongkat’ DEB. Tanpa ‘tongkat’ itu mereka tidak mungkin menikmati apa yang dimiliki sekarang. Malangnya apabila sudah berjaya, mereka bagaikan kacang lupakan kulit.


Dalam politik hari ini, orang Melayu sanggup melakukan apa sahaja asalkan mereka mendapat sokongan yang diharap-harapkan. Bak kata orang marahkan pijat, kelambu dibakar, tidur terdedah. Jika dulu bermusuh, kini bersahabat. Begitu jugalah yang berlaku sebaliknya. Jika dulu tidak boleh rapat sekarang sudah boleh berpeluk di atas pentas politik. Baguslah begitu... mengeratkan silaturahim. Tetapi akhirnya mereka gagal untuk mengenali musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan dan musang berbulu ayam. Mereka lebih selesa mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan. Maka ramailah juga di kalangan orang Melayu yang menjadi seperti Pak Pandir, Pak Kadok, Lebai Malang dan Mat Jenin. Apa yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran. Lebih malang, Yang dijolok tiada jatuh, penjolok tinggal di atas. Habis madu sepah dibuang. Ketika ini juga untuk berjaya, Melayu sanggup pijak kepala kawan dan tikam belakang.


Sedar atau tidak, orang Melayu ketika ini diasak dari pelbagai sudut disebabkan perpecahan dan kelemahan mereka sendiri lantaran kepentingan politik masing-masing. Ketika orang lain bersatu untuk kepentingan kumpulan mereka, ada pula orang Melayu yang sanggup membuka pekung di dada dan meludah ke langit.


Amat mendukacitakan sudah tidak ada perasaan cubit paha kiri, paha kanan pun sakit juga. Cubalah cubit paha sendiri dahulu, baru mencubit paha orang lain. Kita mengharapkan orang Melayu tidaklah menjadi seperti Pak Kadok, menang sorak kampung tergadai. Ketika orang lain dalam politik bersikap diam-diam ubi berisi menjelang pilihan raya umum akan datang tetapi orang Melayu pula seronok bertelagah sesama sendiri. Ada pula yang bersikap bertelur sebiji riuh sekampung. Melayu tanpa kuasa ekonomi nampaknya masih selesa sekalipun akan hilang kuasa politik.


Sebenarnya banyak lagi ingatan yang sudah ditinggalkan oleh orang Melayu pada masa lalu untuk diambil ingatan. Tetapi Melayu tetap leka dan lupa. Apakah orang Melayu masih berpegang kepada Melayu takkan hilang di dunia seperti diungkapkan oleh Hang Tuah? Memang Melayu tidak akan hilang di dunia tetapi Melayu mampu hilang dunia. Maka ketika itu, nyanyilah puas-puas lagu Warisan yang antara liriknya menyebut ‘bumi dipijak milik orang’. Dan jika Melayu sudah hilang dunia maka sekali lagi kita akan teringat kembali tulisan Tun Dr Mahathir iaitu ‘Melayu Ke Mana’.

Bila Hati Terluka Dan Dilukai

Pada tanggal 31 Ogos 2011 ini kita akan menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-54. Jika Malaysia boleh diumpamakan seorang manusia, sudah pasti ia begitu matang dan semakin menghampiri usia persaraan dalam perkhidmatan awam. Tetapi Malaysia bukanlah manusia yang mampu mencorakkan dirinya sendiri. Manusia yang melata di muka bumi Malaysia inilah yang mampu membentuk ke mana hala tuju negara ini dalam usia yang semakin meningkat itu.


Rupa bentuk ‘hayat’ Malaysia ditentukan oleh manusia di dalamnya. Maknanya, kitalah yang akan menentukan corak masa depan negara ini. Apakah kita mahu ia terus maju mengisi kemerdekaan atau dibiarkan terlingkup dalam sekelip mata? Berjuang mencapai kemerdekaan bukanlah senang tetapi untuk menjahanamkannya terlalu mudah. Ibarat meruntuhkan sebuah bangunan lama, cukup dengan pemasangan bahan peledak, maka runtuhlah bangunan itu menyembah bumi. Malahan dengan teknologi yang ada, bangunan itu boleh diruntuhkan secara senyap. Itu bangunan. Tetapi bagi sesebuah negara, manusia memainkan peranan yang penting sama ada untuk mempertahankan keharmonian yang ada atau mahu memusnahkannya secara senyap bagi mencari ‘kemerdekaan baru’.


Merdeka membawa maksud bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan; lepas daripada tebusan, tuntutan; berdiri sendiri atau tidak bergantung kepada yang lain. Bebas daripada penjajahan telah kita nikmati pada tanggal 31 Ogos 1957. Sejak detik itu, masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama hidup harmoni sehinggalah pada 13 Mei 1969, tercatat peristiwa hitam akibat perselisihan antara kaum.


Sejak itu, pelbagai usaha dilakukan untuk meredakan ketegangan. Tetapi sudah lumrah manusia yang cepat lupa sejarah apabila mereka berada dalam keadaan selesa. Mungkin ada yang menganggap sejarah tidak lagi relevan. Akibatnya ada pihak yang mendakwa seolah-olah mereka dijajah dan mahu mencari kebebasan atau kemerdekaan baru. Mereka membuat pelbagai tuntutan untuk mencari ‘kebebasan dan keadilan’ sebagai warganegara. Kontrak sosial yang disepakati sejak merdeka cuba dirobek. Perlembagaan cuba digugat. Malahan mahu dirangka Perlembagaan baru.


Kita lupa bahawa tindakan seumpama itu boleh menyakiti hati orang lain malahan boleh merosakkan perpaduan dan kesepakatan yang sedia terjalin. Ditambah pula dengan gelora politik yang boleh mengancam kemerdekaan. Tanyalah diri anda, adakah kemerdekaan yang berusia 54 tahun ini tidak memberi apa-apa makna kepada ‘kebebasan’ kehidupan selama ini? Selepas 54 tahun, adakah perpaduan kita semakin mantap atau bertambah rapuh dan longgar? Dalam usia 54 tahun ini, semakin ramai bercakap mengenai hak mereka yang dulunya tidak pernah kedengaran.


Persoalannya, kenapa tiba-tiba sahaja isu ini dibangkitkan? Dulu tidak ada yang berani mempermainkan lagu Negaraku dan mempersendakan Jalur Gemilang. Satu persatu prinsip Rukun Negara juga cuba diabaikan. Adakah perpaduan kita sudah terlalu kukuh untuk bereksperimen bagi mencari kebebasan baru dalam sebuah negara merdeka ini? Kenapa perlu ada Melayu demonstrasi pijak kepala lembu? Kenapa ada Melayu bakar gereja? Kenapa Melayu seperti Ahmad Ismail, Nasir Safar dan Cikgu Siti Aishah Mansor tiba-tiba saja muncul dan didakwa bercakap atau mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman? Kenapa NGO Melayu seperti Perkasa pimpinan Ibrahim Ali muncul begitu lantang, ‘cemas dan kalut’ memperjuangkan hak Melayu? Kenapa Melayu Pulau Pinang seperti Pak Ali berani menepuk bahu Guan Eng dan kenapa ada Melayu ‘serang’ Guan Eng semasa ke majlis berbuka puasa?


Semuanya ini ada puncanya. Mereka bukan suka-suka bertindak atau bercakap. Hati mereka terluka dan dilukai angkara tindak-tanduk pihak yang berani menjolok sarang tebuan. Maka berhati-hatilah ketika berkata-kata dan bertindak. Jangan ada di kalangan pemimpin politik yang bertindak seperti gunting dalam lipatan, musang berbulu ayam atau musuh dalam selimut sehingga mewujudkan api dalam sekam.


Di samping itu, isu-isu berkaitan agama jangan dipermainkan. Walaupun ada pihak yang mempertahankan dengan hujah masing-masing tetapi hakikatnya, majoriti menolak. Katalah mereka cetek agama, kolot atau sebagainya tetapi majoriti tidak dapat menerima alasan yang diberi kecuali selepas diasak atau dipengaruhi kepentingan politik. Sejak kecil kita dididik mengenai adab di dalam masjid. Ada juga yang mencipta had atau batasan tertentu kepada anak-anak kecil kita - lelaki dan perempuan - yang beragama Islam ketika di dalam masjid. Anak gadis dan isteri kita yang di dalam keadaan ‘kotor’ juga dilarang masuk ke ruang solat itu. Adakah peraturan yang ada tiba-tiba dikorbankan hanya kerana politik? Adakah kerana ia bukan Islam, semuanya dimaafkan? Kenapa berpakaian menampakkan susuk tubuh, tidak menutup aurat dibolehkan dan suara wanita bukan lagi dianggap sebagai aurat? Lalu dibolehkan pula memberi tazkirah dalam masjid kepada orang Islam?


Sebenarnya banyak perkara yang jijik ‘dihalal atau dibolehkan’ hanya kerana politik. Memaki-hamun, memfitnah, mencela, mengkafirkan orang lain, tuduh orang lain kufur, bahlol, bangang, tak Islam, jahil dan macam-macam lagi yang mengaibkan seseorang dibenarkan kerana politik. Begitu juga dengan mendoakan kesejahteraan orang bukan Islam dalam khutbah Jumaat. Kenapa bukan Islam? Masih banyak umat Islam yang perlu didoa dan didakwah supaya mereka mendapat hidayah. Kenapa tidak didoakan supaya seluruh bukan Islam menerima hukum hudud?


Doa belum pasti dimakbulkan. Banyak doa ditolak kerana kesilapan dan kekurangan orang yang berdoa itu sendiri. Sudah lama umat Islam berdoa agar Palestin bebas merdeka tetapi apakah kesudahannya? Doa tanpa ikhtiar dan doa tanpa ‘membersihkan’ diri sendiri tidak akan membawa kita ke mana-mana.


Zaman sudah berubah. Penulis dilahirkan selepas merdeka. Pastinya Melayu sebelum merdeka tidak sama seperti Melayu sekarang. Begitu jugalah orang Cina dan India. Penulis tidak hidup pada zaman Arab jahiliah atau Arab zaman Rasulullah s.a.w. Tetapi sudah tentu orang Arab jahiliah dan Arab zaman Rasulullah s.a.w sama ada dari segi perwatakan dan pemakaiannya tidak sama dengan orang Arab masa kini. Begitu jugalah rupa bentuk masjid dan surau tidak sama dengan apa yang ada hari ini. Tetapi wajarkah peraturan dan adab sopan diubah? Perubahan sentiasa berlaku. Akuilah hakikat itu.

Artis Tidak Bermoral Tiada Tempat Di Selangor

Syabas Selangor! Baru-baru ini Kerajaan Negeri Selangor telah melarang artis sama ada tempatan mahupun luar negara yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral mengadakan persembahan terbuka di negeri pentadbiran Pakatan Rakyat. Kenyataan berkaitan dikeluarkan oleh Exco Selangor, Dr. Hassan Mohd. Ali yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam. Beliau dilaporkan sebagai berkata: “Kita tidak akan memberi ruang (adakan sebarang persembahan) kepada artis sedemikian kerana perlakuan kurang bermoral yang dilakukan sebelum ini dilihat akan memberi kesan negatif kepada golongan muda terutamanya yang menjadikan artis sebagai idola mereka. Kita bimbang para remaja akan terikut-ikut perlakuan artis tersebut dan sekali gus menyebabkan perlakuan sumbang di kalangan remaja meningkat di Selangor. Oleh itu dengan cara seperti ini, ia sedikit sebanyak dapat membendung kegiatan sedemikian daripada terus merebak.”


Beliau merujuk kepada perihal yang melibatkan penyanyi Indonesia, Kris Dayanti yang mengaku hamil empat bulan walaupun baru berkahwin empat minggu sebelumnya. Kata Hassan lagi: “Apa yang dilakukannya (mengandung luar nikah) itu adalah berdosa dan haram di sisi agama dan ini bukan contoh yang patut diteladani oleh mereka (masyarakat). Kita tidak mahu anak-anak muda kita terlalu mengagung-agungkan personaliti seperti itu.”


Kenyataan itu mendapat reaksi yang pelbagai daripada golongan artis. Siapakah yang dimaksudkan artis yang tidak bermoral itu? Apakah yang dimaksudkan aktiviti tidak bermoral? Moral sinonim dengan akhlak, budi pekerti, budi bahasa, kesopanan, kesantunan, sopan santun, ketertiban, adab dan baik perangai. Maka apakah definisi moral yang mahu ditekankan oleh kerajaan Selangor dalam menjaga generasi muda? Sudah tentu moral tidak terbatas kepada hubungan luar nikah sahaja sebaliknya aktiviti lain seperti melakukan aksi lucah, liwat, mengeluarkan kata-kata kesat, maki-hamun, rogol, ketagihan arak, dadah dan sebagainya.


Hasrat kerajaan negeri itu memang dialu-alukan bagi membendung anak-anak muda daripada terjebak ke dalam kancah yang tidak diingini. Tetapi adakah mengharamkan artis terlibat mengadakan persembahan akhirnya hasrat murni tersebut akan tercapai? Adakah dengan melarang mereka yang ‘tidak bermoral’ ini mengadakan persembahan dapat membantu kerajaan negeri melahirkan masyarakat atau generasi muda berakhlak mulia?


Hiburan hanyalah salah satu daripada bidang yang sedikit sebanyak boleh mendorong anak-anak kita tidak bermoral. Hakikatnya banyak lagi saluran lain yang akan mendorong anak-anak muda terjebak dalam kegiatan yang tidak diingini. Jika artis tidak bermoral dilarang ‘masuk’ Selangor tetapi mereka mungkin muncul di majalah, televisyen, internet, kelab malam, pusat hiburan dan pelbagai sumber lain di mana-mana saja. Inilah hakikat yang harus diterima. Maka larangan seumpama itu tidak akan memberi kesan yang besar sebaliknya sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’ saja.


Bagaimanapun, persoalan yang lebih besar ialah kenapa pengharaman hanya sekadar terhadap hiburan dan artis sahaja? Bagaimana pula dengan bidang lain? Dalam politik juga ada individu yang tidak bermoral. Kenapa pengharaman begini tidak melibatkan orang-orang politik? Ramai ahli politik yang tidak bermoral, tidak berakhlak, tidak berbudi pekerti, tidak berbudi bahasa, tiada kesopanan, tiada kesantunan, tiada sopan santun, tiada ketertiban, tiada adab dan tidak baik perangai. Malah mereka ini dibenarkan pula berdiri di pentas orang ramai hatta di dalam surau dan masjid, memberi ceramah, memberi tazkirah sedangkan mereka sendiri ‘cakap tak serupa bikin’.


Bagaimana pula jika artis yang didakwa tidak bermoral itu akhirnya ‘insaf’ dan menyertai parti politik lebih-lebih lagi PAS atau PKR? Adakah ketika itu dosa mereka diampunkan, menjadi ‘bersih’ seperti kain putih dan boleh muncul di pentas tetapi kali ini di pentas politik? Apakah mereka ini orang yang berakhlak walaupun di atas pentas politik memaki-hamun orang lain, menuduh orang lain jahil, kufur, tidak sedar diri, bahlol, bangang dan sebagainya?


Sama ada hiburan atau politik, usahlah ‘memilih bulu’. Janganlah apabila melibatkan orang politik, maka kita akan berkata, itu hak peribadi. Sama ada aktiviti tidak bermoral itu melibatkan nafsu peribadi, untuk simpanan atau koleksi peribadi tetapi apabila ia tersebar luas melalui internet dan sebagainya maka ia secara tidak langsung boleh dianggap terlibat dalam aktiviti tidak bermoral. Begitu juga orang politik turut terlibat dalam rasuah, penyalahgunaan kuasa, tidak bermoral, tidak berakhlak, tidak berbudi pekerti, tidak berbudi bahasa, tiada kesopanan, tiada kesantunan, tiada sopan santun, tiada ketertiban, tiada adab, tidak baik perangai dan sebagainya.


Adakah atas nama politik, perbuatan mereka ini boleh dimaafkan? Adakah kerana politik, mereka yang tidak bermoral ini boleh terus diberi tempat - memegang jawatan dalam kerajaan, dibenarkan berceramah malahan menyampaikan khutbah Jumaat?


Artis dan ahli politik adalah manusia. Mereka sama saja. Pengaruh bukan sekadar datang daripada orang seni tetapi juga orang politik. Orang muda juga berminat dalam politik. Adakah membiarkan orang politik yang tidak bermoral, rasuah, salah guna kuasa, tidak bermoral, tidak berakhlak, tidak berbudi pekerti, tidak berbudi bahasa, tiada kesopanan, tiada kesantunan, tiada sopan santun, tiada ketertiban, tiada adab, tidak baik perangai dan sebagainya muncul di pentas politik, maka kesannya jauh berbeza berbanding melibatkan anak-anak seni yang didakwa tidak bermoral?


Kerajaan negeri Selangor perlu adil dan tidak bersikap double standard. Kenapa ahli politik yang tidak bermoral tidak dikenakan tindakan yang sama seperti dihadapi artis? Kenapa tidak diharamkan sahaja mereka daripada muncul di pentas politik? Apakah ahli-ahli politik itu lebih mulia dari golongan artis walaupun mereka sama-sama terlibat dalam kegiatan tidak bermoral?


Dalam politik, ramai penceramah yang tidak peduli soal adab sopan, soal akhlak, soal moral. Walaupun mereka berserban dan berjubah tetapi bila berada di atas pentas politik, mulut mereka tidak lagi berabad, tidak lagi bersopan, tidak lagi berakhlak dan tidak lagi bermoral. Mereka akan selak, dedah, londeh, fitnah, tuduh, caci, maki, umpat, keji, cela dan macam-macam lagi musuh politik mereka walaupun musuh tersebut sebangsa dan seagama dengan mereka. Persoalannya, berbaloikah provokasi sesama manusia sebangsa dan seagama hanya sekadar untuk mencari undi, mencari kuasa, mencari nama dan mencari pangkat?


Seolah-olah sudah lumrah penceramah parti politik tertentu, banyak ceramah mereka mengaibkan orang, menghina, memaki hamun, mencarut, menuduh, memfitnah, mencela, mengumpat dan macam-macam lagi. Kononnya perbuatan mereka ini dibenarkan oleh Islam. Kononnya menyebarkan keaiban musuh politik mereka direstui oleh agama. Tetapi apabila orang lain menyebarkan keaiban mereka, mereka akan melenting dan akan menuduh perbuatan tersebut dicela oleh agama. Adakah wajar penceramah seperti ini dibenarkan terus berceramah?


Di samping artis dan ahli politik tidak bermoral, niat murni kerajaan negeri Selangor tidak akan sampai ke mana jika sumber lain yang menyumbang kepada gejala tidak sihat gagal dibendung. Kemunculan rumah urut haram, pusat hiburan yang berselindung di sebalik aktiviti tidak bermoral termasuk pelacuran dan macam-macam lagi juga mendorong anak-anak muda terlibat dalam kegiatan tidak diingini. Di Selangor, semua ini tumbuh bagai cendawan, jumlahnya lebih banyak dari dulu, tetapi tidak pula dibendung malah direstui kewujudannya. Jangan sekadar mencari keburukan orang lain. Keburukan diri sendiri langsung tak nampak!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA