Ahad, 14 Mac 2010

Jaringan Maklumat Ikan Lumba-Lumba

Artikel ini telah tersiar dalam laman sesawang Yayasan Dakwah Islamiah Islam (YADIM) pada 26 Jun 2007

Oleh SMAHADZIR

BEBERAPA penemuan seorang ahli zoologi telah ‘membuka jalan’ kepada para jurutera yang membina jaringan-jaringan rumit seperti World Wide Web dan jejaring kisi-kisi elektrik ke arah baru: ikan lumba-lumba.

David Lusseau dari Universiti Otago mempelajari suatu kelompok yang terdiri daripada 64 ekor ikan lumba-lumba ‘hidung botol’ selama tujuh tahun. Beliau mencari di antara kelompok ikan lumba-lumba itu adanya suatu perilaku sosial yang mirip dengan apa yang ada pada manusia dan jaringan buatan manusia. Penyelidikan matematik Lusseau itu diterbitkan dalam jurnal ‘Proceedings of the Royal-Society’.

Banyak jaringan rumit dan kompleks termasuk masyarakat manusia, memiliki ciri-ciri yang memungkinkan pertukaran secara cepat maklumat di kalangan anggotanya. Kajian oleh pengkaji dari Universiti Otago ini menunjukkan bahawa masyarakat haiwan juga terbina dalam aturan hidup tertentu sehingga memungkinkan penyaluran maklumat secara cepat dan berkesan dapat dicapai. Makhluk-makhluk berusia panjang seperti gorila, kijang, gajah, dan ikan lumba-lumba ‘hidung botol’ bergantung pada lingkungan mereka dalam penyampaian maklumat.

Dalam kajian-kajiannya, Lusseau memusatkan perhatian pada anggota-anggota kumpulan ikan lumba-lumba yang lebih sering bersama. Dia menyedari bahawa kelompok ini terdiri daripada sebahagian besar ikan lumba-lumba betina dewasa dan berfungsi sebagai pusat penyampai maklumat bagi kelompoknya.

Untuk mengukur aliran maklumat dalam suatu sistem, cukup dengan hanya melihat pada titik pusat yang dilalui oleh aliran maklumat itu dan menghitung jumlah unsur yang diperlukan dalam perjalanan dari titik pangkal hingga titik hujung. Lusseau menggunakan teknik pengukuran yang disebut sebagai ‘diameter.’

Apabila hasil-hasil yang diperolehnya menggunakan cara tersebut dibandingkan dengan data yang diungkapkan oleh internet, didapatinya bahawa dia berhadapan dengan kenyataan yang menakjubkan.

Tempoh penyampaian maklumat akan bertambah apabila sejumlah besar titik yang membentuk hubungan-hubungan pada internet dibuang. Lusseau memantau ikan lumba-lumba menggunakan tanda pada sirip-sirip belakang dan mengamati bahawa apabila anggota-anggota yang bertindak sebagai pusat komunikasi meninggalkan kelompoknya, kelompok ikan lumba-lumba tersebut menunjukkan kekuatan daya tahan.

Kepaduan masyarakat ikan lumba-lumba tidak terpengaruh akan ketiadaan anggota-anggota asas. Daya tahan ini memungkinkan masyarakat ikan lumba-lumba tetap terus berada dalam keadaan sihat, bahkan jika sepertiga anggotanya hilang, ia masih mampu bertahan.

Lusseau menyatakan bahawa menerusi sistem ini, jaringan berupaya bertahan bahkan berupaya menahan atau menghindari gejala kepupusan. Dia juga berpendapat bahawa sifat-sifat ini dapat diterapkan pada jaringan ciptaan manusia seperti ‘World Wide Web’.

Sebagaimana yang kita lihat, ada penataan pada ikan lumba-lumba yang terlindung lebih baik daripada jaringan komunikasi yang membina internet dan berfungsi lebih berkesan ketika simpulan-simpulan utama tertanggal.

Adanya ciri seperti itu pada ikan lumba-lumba bermakna bahawa berbagai-bagai syarat perlu diambil kira. Misalnya, beberapa tahap, seperti menghitung beban yang bakal tertimpa pada titik-titik hubungan dalam rangka menata internet dan menaksir pada awalnya bagaimana keseluruhan jaringan akan terpengaruh jika titik-titik itu tertanggal daripada sistem, dilakukan oleh para jurutera jaringan dan ini membuatkan maklumat berjalan dalam sistem seefisien mungkin.

Kewujudan para jurutera yang menghitung dan menata aliran maklumat pada internet menunjukkan adanya kecerdasan unggul yang mengatur jaringan maklumat pada ikan lumba-lumba dan banyak makhluk hidup lain sejenisnya di alam. Tidak dapat dinafikan bahawa ‘kecerdasan unggul’ ini adalah Allah Yang Maha Mengetahui, Maha Berkuasa.

Penciptaan jaringan maklumat pada ikan lumba-lumba ini adalah perwujudan daripada nama-Nya yang Maha Pengasih. Kasih Allah s.w.t diwujudkan dalam jaringan maklumat ini seperti yang berikut:

Cara makhluk-makhluk hidup seperti ikan lumba-lumba, yang tinggal dalam perairan terbuka dan dekat dengan permukaan, berperilaku sebagai satu kelompok amatlah penting. Gaya hidup ini memberikan keuntungan dalam hal bersiap sedia terhadap pemangsa, mahupun ketika berburu.

Menerusi arus maklumat yang berkesinambungan di kalangan ikan lumba-lumba dewasa di dalam kelompok, anggota-anggota lain dibekalkan dengan maklumat tentang kedudukan mangsa dan pemangsa. Jika aliran maklumat pada ikan lumba-lumba ini menjadi ‘cacat’ kerana kehilangan seekor ikan lumba-lumba yang diakibatkan oleh pemangsa, maka larinya ikan lumba-lumba lain akan tidak bermakna, dan anggota-anggota yang tidak berpeluang berkomunikasi akan terpaksa bertempiaran dan akhirnya menjadi santapan pemangsa-pemangsa lainnya.

Bagaimanapun, jaringan maklumat yang diciptakan pada ikan lumba-lumba oleh Allah s.w.t. tidak terputus pada ketika-ketika seperti itu, dan membuatkan para anggota kawanan ikan lumba-lumba dapat bertahan hidup dengan menjaga kepaduan kelompok.

Allah s.w.t. mewahyukan hal berikut menerusi salah satu ayat di dalam Al-Quran yang bermaksud: ‘Dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar Dialah yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.’ (Asy-Syuraa: 9)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA