Ahad, 14 Mac 2010

Kedudukan Umat Islam Di Jerman

Artikel ini telah tersiar dalam laman sesawang Yayasan Dakwah Islamiah Islam (YADIM) pada 19 April 2006

Oleh SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

Islam merupakan salah satu agama terbesar di dunia dan umat Islam di seluruh penjuru dunia melakukan aktiviti keagamaan mereka dengan giat. Umat Islam di negara-negara bukan Islam, meskipun jumlah mereka minoriti, tidak ketinggalan dalam menjalankan aktiviti dan memberikan sumbangan moral kepada masyarakat tempat mereka berada.

Di negara-negara Kesatuan Eropah (EU), terdapat sekitar 35 juta penduduk Islam. Di Jerman yang merupakan salah satu negara utama dan padat penduduk di Eropah, dianggarkan tiga juta umat Islam hidup menjalani hidup, yang sebahagian besarnya berasal daripada etnik Turki. Angka ini masih belum pasti kerana meskipun kerajaan negara-negara Eropah memaparkan statistik yang tepat dalam semua bidang, tetapi tidak ditemui data yang benar dan boleh dipercayai mengenai umat Islam di Eropah. Apa yang jelas, Islam merupakan agama kedua terbesar di Jerman selepas Kristian.

Besarnya bilangan umat Islam di Jerman berakar sejak zaman penguasaan Uthmaniah. Ketika itu, banyak umat Islam yang berhijrah ke Jerman. Bagaimanapun, peningkatan pesat jumlah umat Islam di Jerman terjadi selepas Perang Dunia Kedua. Hal ini disebabkan oleh pembinaan semula yang sedang dilakukan oleh Jerman selepas perang yang memerlukan banyak tenaga kerja yang murah. Pembekal tenaga kerja pada masa tersebut sebahagiannya datang dari Turki.

Umat Islam di Jerman merupakan kelompok populasi yang paling banyak meningkat sehingga 40 peratus daripada mereka berusia di bawah 18 tahun. Selain itu, warga Jerman asli yang memeluk agama Islam pun meningkat dengan amat pesat. Menurut akhbar Perancis, Figaro, pada tahun lalu (2005), tercatat hampir 11,000 rakyat Jerman telah memeluk agama Islam.

Umat Islam di Jerman sama seperti penganut agama lain, aktif dalam melaksanakan peribadatan dan dengan bangga menunjukkan identiti Islamik mereka. Mereka mempunyai hampir 2200 buah masjid dan pusat agama di seluruh Jerman. Masjid-masjid terbesar di Jerman terletak di kota Mannheim dan Berlin. Masjid Mannheim adalah masjid dengan kubah yang indah dan memiliki kapasiti 2500 orang.

Pusat kegiatan keislaman lainnya yang sangat progresif di Jerman ialah Islamic Center Hamburg yang merupakan wadah bagi Muslim Jerman untuk beribadat, berdakwah, berdialog, dan bertukar-tukar fikiran serta melakukan aktiviti-aktiviti Islamik lainnya.

Bagaimanapun, sebahagian besar masjid dan pusat kegiatan umat Islam Jerman masih belum memiliki prasarana yang sesuai dengan keperluan masyarakat. Namun, seiring dengan meningkatnya kecenderungan rakyat Jerman terhadap Islam, tuntutan terhadap adanya pusat agama yang lebih baik dan lengkap membuatkan pusat-pusat tersebut kini dalam tahap pengembangan dan penambahbaikan.

Bagi mengembangkan pusat-pusat keislaman tersebut dan untuk meraih kedudukan yang kuat di tengah-tengah masyarakat Jerman, umat Islam negara itu membentuk kelompok dan organisasi sejak akhir dekad 1960-an. Pada awalnya, organisasi-organisasi tersebut terbatas pada kelompok atau etnik tertentu.

Bagaimanapun, pada akhir abad ke-20, langkah-langkah pembentukan sebuah pusat atau Dewan Tinggi telah dilakukan yang boleh menjadi penghubung dan penyatu di antara berbagai-bagai organisasi keislaman Jerman.

Namun, apa yang penting bagi umat Islam Jerman ialah bertambahnya bilangan orang yang melaksanakan ajaran dan nilai-nilai Islam. Menurut suatu penelitian, peratus umat Islam Jerman yang secara berterusan pergi ke masjid jumlahnya cukup tinggi. Selain itu, mereka juga menginginkan anak-anak mereka bersekolah agama agar dapat mempelajari Al-Quran dan menghindarkan diri daripada pengaruh budaya Barat yang merosakkan.

Akhbar ´Figaro´ mencatatkan bahawa, ‘Kehadiran umat Islam Jerman ke masjid-masjid tampak begitu mengagumkan dan Pope agaknya memiliki impian kosong apabila berharap umat Kristian mendatangi gereja-gereja dengan niat yang sama seperti umat Islam di Jerman.’

Fakta yang menarik daripada kecenderungan umat Islam Jerman dalam melaksanakan kewajiban agama adalah berlandaskan semangat anak-anak muda Islam. Penelitian yang dilakukan oleh Institiut Orientalis Hamburg yang bergabung dengan Kementerian Dalam Negeri Persekutuan Jerman melaporkan adanya peningkatan keterikatan anak-anak muda kepada pertubuhan-pertubuhan Islam.

Universiti Bielefeld Jerman dalam penelitiannya juga menemukan bahawa sama seperti yang terjadi di Perancis, pemuda Islam Jerman cenderung untuk mengikatkan diri mereka dengan ajaran-ajaran Islam. Sambutan anak-anak muda Islam ini memberi kekuatan baru terhadap umat Islam Jerman kerana anak-anak muda merupakan penerus masa hadapan setiap masyarakat.

Berlainan dengan UUD Perancis yang menolak agama, UUD Jerman tidak berasaskan sekularisme sehingga agama-agama mendapat tempat dalam negara ini. Bagaimanapun, pada pelaksanaannya, Jerman bukan sahaja tidak memberikan sokongan yang diperlukan oleh umat Islam, bahkan kerajaan negara ini juga bersikap diskriminatif terhadap kaum Muslim.

Majoriti umat Islam Jerman terdiri daripada mereka yang lahir di Jerman atau sudah begitu lama menetap di Jerman. Bagaimanapun, mereka masih terus dianggap sebagai tamu asing dan warga kelas dua. Selain itu, kebebasan politik dan sosial yang diperolehi oleh umat Islam dan bukan Islam tidaklah sama. Al-Ja´farawi, seorang pemimpin umat Islam Jerman, dalam hal ini berkata, ‘Islam merupakan agama kedua terbesar di Eropah selepas Kristian. Namun, meskipun Eropah memiliki slogan bahawa pemeliharaan identiti budaya minoriti agama harus dilindungi, agama Islam, baik di Jerman atau di seluruh Eropah, secara rasmi tidak dihiraukan.’

Menurut Al-Ja´farawi, tiga juta umat Islam di Jerman sama sekali tidak diakui secara rasmi oleh kerajaan Jerman, sementara kaum Yahudi yang hanya berjumlah 400,000 diakui sebagai kelompok rasmi. Meskipun Jerman mendakwa sebagai negara penyokong demokrasi dan kebebasan beragama, namun pendapat dan tindakan anti Islam jelas berlegar di kalangan pentadbiran Jerman.

Jurgen Nielsen dalam bukunya yang berjudul ‘Umat Islam Eropah Barat’, menulis, ‘Meskipun kerajaan Jerman memiliki perselisihan pendapat dalam banyak masalah, tetapi mereka mempunyai pandangan yang sama dalam satu hal, iaitu menganggap imigran Islam bukan warga Jerman. Kelompok fasisme dan Neo Nazi telah melakukan pembakaran masjid, dan parti-parti besar seperti Parti Sosial Kristian dan Parti Demokrat Kristian mengumumkan penentangan secara terang-terangan terhadap pembinaan dan pembangunan masjid dan penggunaan tudung di negara yang berada di bawah kawalan mereka.’

Media massa dan kerajaan Jerman akhir-akhir ini juga mengangkat isu tudung. Mereka telah mengikuti langkah pentadbiran Perancis dengan berusaha untuk melabelkan tudung sebagai slogan dan propaganda agama tertentu. Kerajaan jerman telah mengeluarkan perintah yang melarang pemakaian tudung oleh kakitangan jabatan kerajaan Jerman termasuk para guru, dan juga larangan kepada pemakaian tudung di sekolah-sekolah dan pusat pendidikan Jerman.

Walhal, beberapa bulan sebelumnya, Mahkamah Jerman telah meluluskan tuntutan seorang guru Muslimah yang telah dilarang mengajar kerana menggunakan tudung. Mahkamah Jerman memutuskan guru itu berhak kembali mengajar dengan menggunakan tudung.

Di sebalik tindakan rasialisme dan diskriminatif yang dilakukan sebahagian jabatan dan parti ekstrim Jerman, masyarakat Jerman semakin ramai yang tertarik kepada ajaran Islam. Berlandaskan kepada undian yang diadakan di Jerman akhir tahun lalu (2005), majoriti rakyat Jerman menganggap tudung sebagai fenomena yang alami atau biasa.

Bahkan, dalam suatu undian beberapa bulan lalu yang diselenggarakan sebuah lembaga Konrad Adenauer, dua pertiga peserta undian percaya bahawa umat Islam harus diberikan kebebasan untuk melaksanakan ajaran agama mereka. Pandangan seperti ini menunjukkan bahawa pengenalan masyarakat Jerman terhadap Islam semakin bertambah dan kecenderungan mereka terhadap agama yang sempurna dan konstruktif ini, semakin meningkat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA