Ahad, 14 Mac 2010

Manfaat Berfikir Secara Mendalam

Artikel ini telah tersiar dalam laman sesawang Yayasan Dakwah Islamiah Islam (YADIM) pada 12 September 2007

Oleh SMAHADZIR

PERNAHKAH anda berfikir bahawa setiap sesuatu diciptakan diciptakan di dunia ini hanya untuk manusia sahaja? Ketika seseorang yang beriman kepada Allah s.w.t meneliti segala sesuatu beserta sistem yang ada, hidup ataupun tidak hidup, yang ada di jagat raya dengan menggunakan mata yang penuh perhatian, dia melihat bahawa segalanya telah diciptakan untuk manusia. Dia mengetahui bahawa tidak ada satu pun yang muncul dan ‘menjadi ada’ di dunia secara kebetulan, namun diciptakan oleh Allah s.w.t dalam keadaan yang amat bersesuaian untuk kehidupan manusia. Misalnya, dari dulu hingga sekarang manusia dapat bernafas tanpa bersusah payah pada setiap ketika. Udara yang kita hirup tidak membakar saluran atau rongga hidung kita, tidak membuat kita mabuk ataupun sakit kepala.

Komposisi unsur-unsur ataupun senyawa-senyawa gas dalam udara telah ditetapkan dalam jumlah yang paling sesuai untuk tubuh manusia. Seseorang yang memikirkan perkara ini teringat akan perkara lain yang sangat penting: seandainya kadar oksigen dalam atmosfera sedikit lebih atau kurang daripada yang ada sekarang, dalam dua keadaan tersebut kehidupan akan hancur. Dia lalu ingat betapa susahnya bernafas ketika berada dalam tempat yang tidak mengandungi udara. Ketika seorang yang beriman terus-menerus memikirkan masalah ini, dia akan selalu bersyukur kepada Tuhannya. Dia melihat bahawa atmosfera bumi boleh saja dibuat sebegitu rupa sehingga membuatnya susah untuk bernafas sebagaimana di planet-planet yang lain. Namun tidaklah demikian kenyataannya, atmosfera bumi diciptakan dalam keseimbangan dan keteraturan yang sangat sempurna sehingga membuatkan jutaan manusia bernafas tanpa bersusah payah.

Seseorang yang tiada henti memikirkan tentang planet di mana dia hidup, menyedari betapa pentingnya air yang diciptakan Allah s.w.t untuk kehidupan manusia. Kemudian dia pun berfikir: manusia pada umumnya faham tentang pentingnya air hanya ketika mereka kekurangan air dalam waktu yang lama. Air adalah substansi yang kita perlukan setiap ketika dalam hidup kita. Misalnya, sebahagian besar dari sel-sel tubuh, dan darah yang menjangkau setiap sebahagian kecil dari tubuh kita, tersusun daripada air. Jika tidak demikian, maka keacairan darah akan berkurang dan darah akan menjadi sukar mengalir di dalam pembuluh vena. Kecairan air tidak hanya penting bagi tubuh kita akan tetapi juga untuk tumbuh-tumbuhan. Air mampu menjangkau sebahagian yang paling hujung dari daun dengan melalui pembuluh-pembuluhnya yang halus seperti benang. Jumlah air yang sangat besar di lautan menjadikan bumi kita tempat yang boleh didiami. Jika bahagian lautan di bumi menjadi lebih kecil dari daratan, di mana-mana akan berubah menjadi gurun yang tidak memungkinkan adanya kehidupan.

Seseorang yang sedar dan berfikir tentang perkara ini akan benar-benar yakin bahawa adanya keseimbangan yang begitu sempurna di bumi sudah pasti bukanlah satu kebetulan. Setelah menyaksikan dan memikirkan fenomena tersebut, akan jelas bahawa segala sesuatu diciptakan dengan sebuah tujuan oleh Pencipta yang Maha Agung dan Pemilik Kekuatan yang abadi. Di samping itu, dia juga sedar bahawa contoh-contoh yang telah dia fikirkan sebagaimana di atas sangatlah terbatas. Sungguh, tidaklah mungkin untuk menyebutkan jumlah semua contoh berkenaan dengan keseimbangan yang sempurna di bumi. Bagi orang yang berfikir, dia akan dapat dengan mudah menyaksikan keteraturan, kesempurnaan dan keseimbangan yang kelihatan jelas di setiap sudut jagat raya, dan dengannya mencapai suatu kesimpulan bahawa segala sesuatu diciptakan Allah s.w.t untuk manusia.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: ‘Dan Dia telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah s.w.t) bagi golongan yang berfikir.’ (Al-Jaatsiyah: 13)

KEKEKALAN ATAU KEABADIAN

Setiap orang telah mengetahui konsep kekekalan atau keabadian, namun sudahkah kita berfikir tentang kekekalan? Ini adalah salah satu yang menjadi bahan renungan orang yang beriman kepada Allah s.w.t. Kewujudan kehidupan syurga dan neraka yang kekal ciptaan Allah s.w.t sangatlah penting dan perlu untuk direnungkan oleh setiap orang. Seseorang yang memikirkannya akan mendapat gambaran dalam benaknya: syurga yang abadi adalah nikmat dan pahala yang sangat besar yang diberikan kepada manusia selepas mati. Kehidupan yang penuh kemuliaan di syurga tidak akan pernah berakhir. Manusia hidup di dunia paling lama seratus tahun. Namun kehidupan di syurga akan berlangsung selama jutaan tahun dikalikan dengan angka jutaan lagi tanpa ada akhirnya.

Orang yang ingat akan perkara tersebut sedar bahawa sangatlah sukar bagi manusia untuk memahami konsep keabadian. Contoh berikut mungkin membantu dalam menjelaskan masalah ini: ‘Seandainya di dunia terdapat seratus juta manusia, dan semuanya memiliki umur seratus juta tahun, dan mereka menghabiskan seluruh waktu hidupnya dengan berhitung pada siang dan malam hari, maka jumlah keseluruhan angka yang mereka capai tetap kosong dibandingkan dengan jumlah tahun yang akan mereka habiskan di kehidupan yang kekal di akhirat.’

Setelah memikirkan masalah di atas, seseorang itu akan sampai pada kesimpulan seperti berikut: Allah s.w.t memiliki ilmu yang sebegitu luas dan tinggi yang tidak dibatasi oleh ruang dan waktu. Peristiwa yang berlangsung terus-menerus sepanjang waktu tanpa ada akhirnya atau dengan kata lain berlangsung secara kekal dalam pandangan manusia, telah selesai atau berakhir dalam pandangan Allah s.w.t. Setiap peristiwa dan setiap fikiran manusia, terlepas dari bentuk mahupun waktu terjadinya peristiwa dan fikiran ini, yang terjadi sejak pertama kali waktu diciptakan hingga ketika keabadian berlangsung telah ditentukan dan diputuskan menurut ilmu-Nya.

Demikian juga, seseorang itu seharusnya berfikir bahawa neraka adalah tempat tinggal selamanya bagi mereka yang tidak beriman. Terdapat pelbagai bentuk penyeksaan, hukuman dan kehidupan yang amat sengsara di neraka. Di tempat ini mereka menderita seksaan jasad dan roh yang terus-menerus tanpa berehat. Seksaan yang tiada pernah berhenti hingga akhir masa, dan tidak pula pernah dihentikan untuk tidur ataupun berehat. Seandainya ada akhir dari kehidupan di neraka, ini akan menjadi harapan bagi para penghuni neraka kendatipun berjuta-juta tahun kemudian. Namun, yang mereka terima sebagai balasan dari dosa-dosa yang mereka perbuat di kehidupan dunia adalah azab yang kekal.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksudh: ‘Dan mereka yang mendustakan ayat-ayat Kami dan menyombongkan diri terhadapnya, mereka itu penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.’ (Al-A’raaf: 36)

Sangatlah penting bagi setiap individu untuk cuba memahami keabadian dengan merenungkannya dalam rangka meningkatkan semangat dalam meraih akhirat, dan menguatkan ketakutan dan pengharapannya. Sangat takut kepada siksaan yang kekal, namun pada ketika yang sama senantiasa berharap untuk memperoleh syurga yang abadi.

BERFIKIR TENTANG MIMPI

Terdapat sejumlah pengajaran penting dalam fenomena mimpi bagi orang yang berfikir. Dia berfikir: betapa ‘sangat nyata’ mimpi-mimpi yang dilihatnya ketika sedang tidur, tidak begitu berbeza dengan ketika dia sedang jaga. Misalnya, kendatipun jasad sedang terbujur di tempat tidur, dalam mimpinya dia melakukan aktiviti perniagaan, bertemu dengan orang-orang baru, makan tengah hari sambil mendengar muzik. Dia menikmati rasa makanannya, menari-nari mengikuti irama muzik, merasa sangat gembira kerana peristiwa-peristiwa yang terjadi, menjadi bahagia dan tidak bahagia, takut, merasa letih, bahkan mampu memandu kenderaan yang belum pernah dinaikinya atau belum tahu bagaimana memandu hingga hari itu.

Kendatipun tubuh tertidur tenang di pembaringan dengan kedua mata terpejam, dia melihat pelbagai pemandangan dari tempat di mana dia berada. Ini bermakna bahawa apa yang melihat bukanlah matanya. Meskipun ruangan tempat dia tidur kosong, dia mendengar suara-suara. Ini bermakna bahawa yang mendengar bukanlah telinganya. Segala sesuatu terjadi di dalam otaknya. Setiap kejadian tersebut sama sekali nyata seakan-akan setiap apa yang dilihat benar-benar nyata dan asli kendatipun tidak satu pun dari yang dilihatnya tersebut memiliki keaslian atau wujud di luar mimpinya. Lalu apakah yang menyebabkan pemandangan-pemandangan tersebut jelas sebegitu nyata di benak seseorang?

Manusia tidak mampu membuatnya secara sedar dan sengaja ketika sedang tidur. Otak pun tidak akan mampu membuat sendiri gambar-gambar serupa. Otak adalah suatu gumpalan yang terdiri atas molekul-molekul protein. Sangatlah tidak rasional untuk mengatakan bahawa substansi ini dengan sendirinya mampu membuat gambaran, bahkan menampilkan wajah-wajah manusia, tempat-tempat, suara yang belum pernah terdengar kecuali pada hari itu. Jadi siapakah yang memperlihatkan gambar-gambar atau pemandangan-pemandangan ini dalam mimpi ketika sedang tidur? Sekali lagi, seseorang yang merenungkan persoalan-persoalan ini akan melihat kebenaran yang hakiki: Allah s.w.t yang membuat manusia tidur, mengambil roh mereka ketika mereka sedang tidur, mengembalikannya kepada mereka ketika bangun dan memperlihatkan mimpi-mimpi mereka dalam tidur.

Orang yang mengetahui bahawa Allah s.w.t memperlihatkan mimpi juga akan merenungkan makna tersembunyi dan tujuan penciptaan mimpi tersebut. Ketika seseorang memperolehi mimpi, dia yakin akan kewujudan mereka dan peristiwa-peristiwa yang dia alami sebagaimana ketika dia sedang terjaga. Dia berfikir bahawa semua ini benar-benar nyata, bahawa kehidupan dalam mimpinya tidak akan berakhir dan akan berlangsung terus-menerus. Jika ada seseorang yang datang menghampirinya dan berkata, ‘Kamu ketika ini sedang bermimpi, bangunlah,’ maka dia tidak akan mempercayainya. Orang yang mengetahui tentang kenyataan tersebut akan berfikir: ‘Tidak seorang pun dapat menyangkal bahawa hidup di dunia pun sementara, sebagaimana mimpi belaka.’

Sebagaimana ketika terjaga dari sebuah mimpi, suatu hari saya juga akan terbangun dan terjaga dari kehidupan dunia dan melihat gambaran yang sama sekali berbeza, misalnya gambaran tentang akhirat.

Allah s.w.t berfirman yangbermaksud: ‘Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya dan (memegang) jiwa (orang) yang belum mati pada waktu tidurnya; maka Dia tahanlah jiwa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditetapkan. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah s.w.t bagi golongan yang berfikir.’ (Az-Zumar: 42)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA