(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Dewan Kosmik terbitan Karangkraf Sdn Bhd dan telah diantologikan dalam Memori Suatu Ketika)
SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM
SELAMA ini, selama dia dilantik menjadi Resident Perak oleh Queen Elizeberth di England, tidur J.W.W Birch tidak pernah digugah, tidak pernah dijerba kemamar atau kelinglungan sejak tembok itu diperkukuhkan. Tidurnya nyedar sekali bermimpikan bidadari santak ke pagi. Bayangan-bayangan yang indah terutamanya tentang kekayaan bumi Perak, gadis-gadis tempawan, jelitawan yang sungguh rupawan yang terdapat di seluruh negeri sering saja bermain di matanya. Gangguan suara Dato Maharaja Lela dan Si Puntum juga sudah terhadang, tidak bisa menyergap gegendang telinganya. Semuanya kerana ketebalan tembok itu.
Setiap pagi, sebaik bangun dari tidur, J.W.W Birch akan cegat berdiri, megah di sisi tembok binaanya seraya mata tunak mencerlung jelapang mal di tengah-tengah kesuburan meruah mandala kayangan. Betapa bangga J.W.W. Birch dengan jelapang mal yang melimpah ruah, hasil yang dikaut dari seluruh juzuk mandala Negeri Perak dan disimpan di situ. Dia yakin, jelapang mal itu selamat dari sebarang pencerobohan kerana tembok penghadang terlalu kukuh, berdiri gagah sudah lebih lapan purnama dan tidak siapa berani atau cuba-cuba menyelusup masuk tanpa kebenaran. Lebih-lebih lagi, sebagai seorang Resident yang berkuasa, dia mempunyai ramai pengawal keselamatan yang setia menurut perintah.
J.W.W Birch dikatakan pengidap denial syndrome. Nyalar benar menafikan keadaan tenat. Tambahan, dia galak dipuji terutama oleh warga mandala luar, selalunya resident-resident British yang lain, seperti Resident British di Johor, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang. Mereka ini seolah-olah memberi semangat kepadanya supaya meneruskan dasar campur tangan dalam hal ehwal agama dan adat resam bangsa Melayu. Mereka bagaikan memberi api supaya J.W.W Birch mengganggu kerja-kerja sultan.
Ini membuatkan Resident Bristish di Perak itu menganggap diri indispensible. Segelintir kecil warga mandala Perak yang sekongkol turut mengagungkan, sama-sama menyokong teori convergence dokongannya. Semakin hari J.W.W Birch menjadi semakin bongkak dan angkuh dengan kuasa dan kedudukan yang ada di tangannya.
Tembok binaan J.W.W Birch telah membentuk jurang yang amat ketara antara multi-racial, lebih-lebih lagi yang elitis dan jembel. Dia menyedari hakikat ini tetapi virus anjing gila sudah meresap bersebati membuatkan diri tidak peka dengan desakan dan tuntutan warga mandala Perak, terutamanya rakyat peribumi yang tertindas. Bagaimana mahu peka kalau copeng telinga sengaja ditebalkan, setebal tembok binaan. Rongga telinga disumbat tuli dengan butir-butir batu yang menguning emas. J.W.W Birch terus bercanda leka di singgahsana mewah.
Suatu pagi, tatkala dia terjaga dari tidur, dia terdengar suara gerapak di pinggir tembok. Gesit dia bangun dan menonong menjenguk melalui tingkap. Mata lekas tertancap sekumpulan warga mandala Perak terhenyak sedang berkerumum di situ. Tangan masing-masing memegang cangkul, kayu belatan, tukul besi, kapak, parang puting, alu lesung dan pelbagai lagi untuk meruntuhkan tembok binaannya. Suara-suara laungan juga amat membingitkan.
“Ini freedom of expression!”
“Ini equal access!”
“Kami mahu satu fundamental structural change!”
“Ini common ground, kehendak multi racial!!”
J.W.W Birch mendadak dijerba kejut. Siapakah anarkis yang berani membuat bingar pagi-pagi buta begini, soal hatinya. Dengan segera dipanggil Pak Kitul, seorang sacrificial lamb yang cukup setia, merangkap pengawal peribadi untuk menakut seterusnya menangkap warga mandala Perak yang dianggap biadap itu.
Memang pagi itu disergap rusuh. Warga mandala Perak bagai dirasuk jembalang tanah, di dokong Dato Maharaja Lela dan Si Puntum yang selama ini menyepi. Sebenarnya Dato Maharaja Lela dan Si Puntum itu baru pulang dari pertapaan di Gunung Suraloka. Menuntut ilmu survival dan wisdom dari seorang Mahaguru Armchair Planner. Pulangnya ketua pejuang dan pahlawan ini semata-mata untuk mengatur skema outreach, untuk reachout warga mandala Perak supaya bangun menentang J.W.W Birch, juga sebagai katalis nation building. Dato Maharaja Lela adalah pencetus multiracial paradigm, membuatkan punggung J.W.W Birch persis dikutil. Bergelinyau.
Dato’ Maharaja Lela dan Si Puntum bukan saja membawa bersama mereka berpuluh ribu warga mandala Perak yang terhenyak perasaan kerana diganggu gugat adat resam dan agama, tetapi juga mereka telah melaung slogan-slogan anti penjajah, anti J.W.W Birch malah menjulang sepanduk-sepanduk yang tertera tulisan-tulisan mengecam British termasuk Queen Elizeberth sendiri.
Birch! Sila Berambus dari negeri kami!
Penjajah British cekik darah rakyat peribumi!
Resident British laknat!
British menjarah kekayaan tanah Perak !!!!
“Chis, sungguh kurang ajar mereka!” J.W.W Birch betul menyinga kala matanya terpandang pada sepanduk-sepanduk yang menghina British. Kulit mukanya yang putih gebu itu mendadak jerau. “Apa itu perjuangan revolusi anti-imperialis?” soalnya kepada Pak Kitul.
“Biar saya siasat, tuan!” Pak Kitul yang setia itu gesit mengangguk macam pokka hijau.
“Macam mana kamu mahu siasat?” tanya J.W.W Birch.
“Saya akan tengok mereka melalui tingkap!” ujar Pak Kitul lalu segera berlari ke arah tingkap. Sejurus kemudian dia datang semula kepada J.W.W Birch yang sedang duduk santai sambil menyunyah buah epal di atas kerusi empuk di ruang rumahnya.
“Hah, kamu sudah tahu siapa mereka?” tanya Resident British itu sebaik Pak Kitul berdiri di hadapannya.
“Sudah tuan!” jawab Pak Kitul seraya tersengih.
“Hah, siapa mereka?”
“Saya nampak mereka tu macam para pejuang revolusioner,” ujar Pak Kitul bagaikan yakin benar dengan tekaannya.
“Kalau begitu, kamu sudah tahu tugas kamu?” J.W.W Birch tersenyum sinis di hujung pertanyaannya.
“Tahu tuan!” balas Pak Kitul. “Saya akan sumbatkan mereka ke dalam penjara!” dia memberi jaminan.
“Bagus! Aku mahu pendokong revolusioner itu ditangkap. Represif sikit biar dia tahu siapa lebih kuat!” J. W.W Birch tersenyum lebih sinis di hujung arahannya.
Sejurus mendapat arahan tersebut, dengan segera Pak Kitul terkocoh-kocoh mendepani kumpulan Dato Maharaja Lela dan Si Puntum. Sedang J.W.W Birch sekadar mengintai melalui lubang tingkap. Dia sedar, Pak Kitul itu bukan sembarangan protagonis. Bijak membodek, menjaga reputasi boss. Tahu bila dan bagaimana mahu bertindak, biar flawed, sesuai dengan prasetia yang dilafazkan. Tidak sia-sia melantik protagonis itu sebagai Ketua Turus Penjaga Tembok. J.W.W Birch tersenyum bangga mengingatkan.
Di pinggir tembok, suara bingar semakin menggerutup. Pak Kitul terpaksa memanggil beberapa orang anggotanya yang lengkap bersenjata yang dibawa dari England untuk membantu tetapi orang-orang Dato Maharaja Lela dan Si Puntum tidak sedikit pun gentar. Mereka tetap melaung dan melaung. Mereka sudah sepakat untuk mencegatkan common ground. Mereka pemancang equal access. Mereka tidak mahu lagi J.W.W Birch dan konco-konco penjajahnya menjarah total jelapang mal dan mereka juga tidak mahu ekonomi mandala Perak jadi over heating dengan amalan dan kerenah itu.
Anggota-anggota pasukan pengawal resident yang dipimpin oleh Pak Kitul sudah bersedia dengan senjata di tangan. Masing-masing menala laras ke arah orang-orang Dato Maharaja Lela dan Si Puntum. Mereka sekadar menunggu arahan yang bila-bila masa saja akan terpacul dari mulut Pak Kitul selaku ketua mereka.
“Kami adalah pejuang-pejuang bangsa yang tidak mahu penjajah di bumi ini!” laung Dato Maharaja Lela dalam usaha mencegatkan semangat perjuangan di dada anak-anak buahnya sekaligus mengusir buruk sangka yang bersarang di dada Pak Kitul.
“Kami sekadar mahu Birch sedar, tidak terus jadi terlalu biadap sampai mahu campur tangan dalam hal ehwal agama dan adat resam bangsa Melayu! Kami mahu robohkan sikap biadap penjajah dan konco-konconya dari bangsa sendiri yang tak sedar diri itu!” Si Puntum pula membalas laungan.
Namun begitu, orang-orang Dato Maharaja Lela dan Si Puntum itu ramai yang tidak sabar. Mereka fikir diplomasi bukan lagi cara yang sesuai. J.W.W Birch itu terlalu degil, terlalu tegar, tidak boleh diluruskan lagi secara lembut. Tembok binaan penjajah perlu dihancurkan secara radikal. Begitu tekad bergejolak mereka sekarang. Gertakan Pak Kitul dan anggota pengawal Resident British yang lain sedikit tidak menggetarkan. Apa lagi mahu lari dari perjuangan.
“Nyahkan penjajah!”
“Bunuh J.W.W Birch!”
“Kami bencikan orang Inggeris!”
“Usir orang British dari bumi Perak ini!”
Suara-suara laungan dan jerit pekik terus menggerapak. J.W.W Birch di pinggir tingkap semakin menggeletar. Orang-orang Dato Maharaja Lela dan Si Puntum sudah semakin ramai di halaman rumahnya. Dia segera melihat sekeliling. Memang tidak ada ruang untuk melarikan diri sekiranya orang-orang Melayu itu menyerbu ke atas rumah. Tentu dia akan mati di sini.
“Kami benci Inggeris!”
“Kami benci penjajah!”
“Kami benci Birch!”
“Your time is up!”
“Kami mahu Resident British segera angkat kaki dari bumi ini!”
J.W.W Birch tidak tahan sabar lagi. Mencaci British berlebihan adalah perbuatan yang sudah melampau. Segera diarahkan Pak Kitul supaya menangkap dan memenjarakan Dato Maharaja Lela dan Si Puntum dengan harapan semangat orang-orang Melayu yang lain akan luntur seterusnya melenyap.
Namun, bangsa Melayu yang menjadi pengikut Dato Maharaja Lela dan Si Puntum bukanlah satu bangsa yang mudah digula-gulakan seperti Pak Kitul. Mereka telah membunuh Pak Kitul lalu menyerbu ke atas rumah milik J.W.W Birch. Resident British itu sedar nyawanya kian terancam lalu segera melarikan diri ke arah Sungai Perak. Pada fikirannya, di sungai itu nanti dia akan selamat dengan melarikan diri kerana di situ banyak terdapat sampan dan kolek. Dia yakin, dengan sampan atau kolek itulah nanti dia akan melarikan dirinya ke England.
Sebaik dia tiba di tebing Sungai Perak, tanpa disangka-sangka Dato Maharaja Lela dan Si Puntum sudah pun menunggu. Kedatangan J.W.W Birch itu seolah-olah menyerahkan nyawanya bulat-bulat untuk dibunuh.
Dari Lensa Ego dan Kaca Cermin
9 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan