Isnin, 30 Julai 2012

1Malaysia: Prakarsa Kesinambungan Usaha Pengukuhan Perpaduan Nasional


SMAHADZIR

SEBAIK sahaja gagasan atau konsep ini dijelma dan disebarluaskan di pelbagai dada media massa perdana negara, pelbagai peringkat masyarakat bercakap tentang 1Malaysia. Di mana-mana sahaja ianya diperkatakan. Ada pelbagai pandangan, spekulasi, pendapat, argumentasi, dijelmakan. Ada yang sengaja memutarbelitkan pengertiannya yang sebenar untuk kepentingan tertentu dan menyedapkan halwa telinga.
Akibatnya sehingga kini masih ramai warganegara yang keliru dan tertanya-tanya apakah definasi sebenarnya gagasan 1Malaysia terutamanya generasi muda termasuk para pelajar sekolah dan universiti. Tidak kurang juga kakitangan kerajaan sendiri yang masih ramai lagi belum faham akan makna gagasan 1Malaysia sebenarnya yang seharusnya sudah fasih dalam diri masing-masing.
Sebagaimana yang sudah mangli ditegaskan oleh YAB Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa gagasan 1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru dan matlamat akhirnya ialah perpaduan nasional yang juga merupakan wawasan utama semua Perdana Menteri negara kita terdahulu yang telah diterjemahkan dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan prakarsa sepanjang lebih lima dekad negara merdeka.
Dalam erti kata yang lain, gagasan 1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berbilang budaya, berbilang kepercayaan, berteraskan beberapa nilai penting yang seterusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Jika dikaji secara mendalam, apa yang berubah adalah pendekatan dan gerak kerja menurut kesesuaian zaman dan generasi yang silih berganti. Begitulah yang harus difahami oleh kita sebagai rakyat Malaysia terhadap gagasan terbaru 1Malaysia cetusan minda YAB Datuk Seri Najib Tun Razak ini.
Sesungguhnya pemimpin yang baik ialah pemimpin yang berpendidikan dan terpelajar, mempunyai visi dan pandangan jauh untuk membina bangsa dan negara. Pemimpin yang dapat mengkosepsikan satu amalan biasa di dalam masyarakat bertujuan untuk menjadikannya satu plan tindakan yang konkrit untuk dilaksanakan sebagai agenda negara, adalah pemimpin yang berwibawa dan dapat mengorak langkah untuk menyusun satu strategi bagi membangunkan bangsa dan negara dalam mencapai kemajuannya.
Di samping mengkonsepsikan sesuatu amalan yang dianggap biasa dan mudah di dalam masyarakat itu, maka pemimpin tersebut juga dapat menginstitusikan konsep tersebut di dalam satu visi dan gagasan yang lebih konfrehensif untuk menjadi agenda perjuangan bangsa. Maka pemimpin tersebut adalah merupakan pemimpin yang cemerlang. Hal inilah yang saya rasa menjadi inspirasi dan pandangan pemimpin kita Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak ketika merangka satu gagasan perjuangan yang hendak dilaksanakannya seperti gagasan 1Malaysia ini.
Gagasan 1Malaysia merupakan satu konsep yang dikonsepsikan oleh YAB Perdana Menteri untuk menjadikannya satu tindakan strategik dalam mewujudkan kesatuan bangsa Malaysia yang terdiri daripada kepelbagaian kaum dan budaya. Konsepnya amat penting seperti yang digagaskan dalam lapan nilai yang menjadi teras gagasan ini, iaitu budaya cemerlang, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti. Nilai-nilai ini semua merupakan amalan baik yang dilaksanakan oleh masyarakat kita selama ini, sama sahaja seperti amalan tolong menolong dan hormat menghormati yang merupakan budaya bangsa Malaysia di kalangan semua kaum dan etnik sejak sekian lama.
Tidak dapat dinafikan bahawa gagasan 1Malaysia merupakan satu usaha yang teratur untuk mengumpul segala nilai dan amalan baik agar dapat difahami oleh semua kalangan dalam masyarakat Malaysia, dan seterusnya dapat menghayati dan merealisasikannya dengan penuh kesedaran demi kepentingan bersama. Generasi yang baru mungkin tidak memahami perjuangan mencapai kemerdekaan dan pengisiannya oleh Perdana Menteri yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra bersama-sama dengan rakan seperjuangannya Tun Tan Siew Sin dan Tun Sanbanthan. Mungkin ramai orang muda sekarang tidak mendalami falsafah perjuangan ketiga-tiga pemimpin yang ketika itu mewakili tiga kaum terbesar di tanah air kita, dan yang benar-benar memahami sensitiviti kaum masing-masing, sehingga mereka bertiga terpaksa mengamalkan dasar toleransi yang cukup tinggi untuk menjaga kesepaduan kaum dan bersama-sama membangunkan bangsa dalam semua aspeknya.
Gagasan 1Malaysia diwujudkan berdasarkan kepada konsep keadilan kepada semua. Ini bermakna tidak ada kumpulan yang akan dipinggirkan, dan bantuan serta peluang akan diberikan berdasarkan kepada keperluan dan merit. Namun demikian, hak yang termaktub dalam Perlembagaan tetap akan dipatuhi dan pembangunan pada tahap yang berbeza bagi kumpulan yang berlainan harus diambil kira. Prinsip ‘Rakyat Didahulukan’ bermakna kerajaan akan menumpukan perhatian kepada bidang yang sangat diperlukan dan dikehendaki oleh rakyat dan kerajaan akan mengagihkan sumber yang terhad lebih kepada bidang-bidang itu.
Bagaimanapun, kerajaan akan mengimbangi keperluan jangka masa pendek dengan membuat pelaburan dalam bidang yang akan mendatangkan kesejahteraan dalam jangka masa sederhana dan jangka masa panjang. Dengan ‘Pencapaian Diutamakan’, satu tahap baru telah ditetapkan bagi ketelusan dan kebertanggungjawaban kerajaan. Keberhasilan yang ketara yang dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat dan disampaikan dengan serta merta adalah diperlukan.
Kita harus faham bahawa dalam semua perjuangan untuk kesepaduan dan keamanan, terutamanya di dalam negara kepelbagaian kaum dan keturunan, masing-masing kaum tentulah seharusnya sanggup berkorban demi kesejahteraan dan perdamaian, dan menunaikan tanggungjawabnya dengan penuh sedar untuk menjaga kepentingan rakyat keseluruhannya, bukan untuk satu kaum yang tertentu. Bidang-bidang keberhasilan negara yang diinstitusikan untuk mencapai matlamat 1Malaysia juga merupakan satu pelan tindakan yang akan dijalankan bagi mencapai matlamat gagasan tersebut, terutamanya apabila telah dilibatkan beberapa kementerian yang tertentu untuk mengambil tindakan yang sesuai dengan tugas masing-masing dalam merealisasikan matlamat tersebut.
Yang penting bagi rakyat ialah memahami hakikat bahawa segala sesuatu yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara dan perundangannya masih tetap kekal terpakai sebagai sesuatu yang telah diterima oleh semua rakyat. Demikian juga dengan beberapa konsep, seperti kesamarataan, keadilan, hak istimewa, status Raja berperlembagaan dan sebagainya haruslah ditafsirkan dalam konteks yang betul dengan fakta walaupun gagasan 1Malaysia kelihatannya boleh dimengertikan sebagai sesuatu yang mutlak dan mengatasi peruntukan Perlembagaan dan undang-undang. Gagasan 1Malaysia adalah merupakan satu institusi dan mekanisme pelan tindakan untuk pembangunan bangsa dan negara Malaysia yang bersatu.
Sesungguhnya kita berbeza etnik, bahasa, warna kulit, agama dan cara hidup tetapi kita disatukan di bawah langit Malaysia dan sedang berdiri di buminya yang makmur. Demi Malaysia kita sanggup melupakan perbezaan untuk berkongsi nilai yang serupa iaitu kedamaian dan kemakmuran. Di mana bumi Malaysia dipijak di situlah langit Malaysia dijunjung. Kita berbeza dalam banyak perkara tetapi kita berkongsi Malaysia yang satu. Di sinilah kita mencari rezeki, beribadat, belajar dan menikmati hidup dengan aman dan tenteram. Di atas tanah Malaysia nan satu ini kita 1Malaysia hanya ingin hidup aman, bahagia dan sejahtera. Tiada sebarang peperangan dan tiada sebarang kekacauan.
Lantaran itu kita harus sedar dan meyakini bahawa gagasan 1Malaysia bukanlah satu pendekatan yang terpisah daripada dasar-dasar kerajaan sebelum ini, sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara. Lantaran itu gagasan 1Malaysia dijelmakan sebagai satu formula yang menjadi pra-syarat bagi memastikan aspirasi negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 tercapai, jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat.
Jika ‘Bangsa Malaysia’ yang diilhamkan melalui Wawasan 2020 adalah matlamat akhir perjalanan ini, maka gagasan 1Malaysia adalah penunjuk haluan ke arah matlamat tersebut. Perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1Malaysia amat berbeza dengan konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan digantikan dengan satu identiti nasional yang sama.
Gagasan 1Malaysia juga sangat berbeza daripada konsep ‘Malaysian Malaysia’ kerana 1Malaysia tidak menyimpang daripada roh Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang negara sama ada secara tersurat atau tersirat. Gagasan 1Malaysia kekal menjunjung kesemua peruntukan teras yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian, janganlah mana-mana pihak berasa khuatir atau menaruh syak serta bimbang bahawa konsep ini akan terpesong daripada apa yang telah dipersetujui dan dimuafakat oleh bapa-bapa negarawan suatu ketika dulu. Sebaliknya, 1Malaysia menghargai dan menghormati identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia, dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.
Gagasan 1Malaysia menekankan sikap ‘penerimaan’ di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar kita dapat hidup bersama dalam keadaan saling hormat-menghormati sebagai rakyat dalam satu negara. Ia adalah peningkatan ketara daripada sikap toleransi semata-mata. Apa yang menjadi asas gagasan 1Malaysia adalah prinsip keadilan untuk semua kaum dan ini bermaksud nasib semua rakyat Malaysia akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.
Gagasan 1Malaysia merupakan penerusan agenda membina negara dan untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.
Formula 1Malaysia yang digagaskan akan terlaksana dalam dua aspek utama iaitu penerapan Teras-Teras Perpaduan, manakala aspek kedua adalah penerapan Nilai-nilai Aspisari. Teras-teras perpaduan ini didokong oleh nilai-nilai murni yang perlu menjadi sebahagian daripada budaya hidup rakyat Malaysia termasuk nilai-nilai seperti hormat-menghormati, tawaduk, kesederhanaan dalam tingkah laku dan tuturkata serta kebijaksanaan dalam sebarang keputusan dan tindakan.
Aspek kedua formula 1Malaysia pula menekankan elemen-elemen yang perlu menjadi amalan mana-mana masyarakat yang ingin berdaya maju dan berjaya. Elemen-elemen itu merangkumi budaya kecemerlangan dalam melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab; budaya ketepatan dari segi menghormati waktu serta meningkatkan kecekapan; keberanian untuk berinovasi dan meneroka peluang-peluang baru serta meritokrasi dalam memberikan tugasan kepada yang paling layak melaksanakannya berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan dasar negara.
Selain itu, kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada tanah air tercinta; ketabahan dalam mengharungi sebarang cabaran yang mendatang dan integriti dalam segala urusan dan transaksi. Pembudayaan nilai-nilai aspirasi ini akan menyerlahkan masyarakat Malaysia yang berwibawa, dihormati dan disegani, bersesuaian dengan identiti sebuah negara bangsa yang maju dan berjaya.
Dalam melaksanakan komitmennya terhadap rakyat, kerajaan telah mengutarakan tema ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ sebagai sebahagian daripada konsep 1Malaysia. Tema ini membawa maksud bahawa di samping menekankan peri pentingnya perpaduan rakyat Malaysia, kerajaan juga akan memberikan keutamaan kepada isu-isu yang dianggap penting oleh rakyat. Kerajaan juga menekankan prestasi dan pencapaian oleh semua kakitangannya apabila berurusan dengan rakyat. Dalam kata lain, kerajaan amat memahami betapa pentingnya kecekapan dan kualiti perkhidmatan awam dalam meningkatkan mutu hidup rakyat, justeru itu pendekatan mesra-rakyat akan diberi keutamaan oleh semua agensi-agensi kerajaan.
Sehubungan itu, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) akan digunapakai dalam urusan kerajaan bermula dengan pemantauan KPI bagi semua menteri. Seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri ditugaskan khas untuk memastikan kelancaran pelaksanaan KPI dan menteri berkenaan akan memberi penerangan selanjutnya tentang KPI dan perancangan spesifik yang akan dilaksanakan bagi menterjemah hasrat kerajaan. Segala inisiatif-inisiatif ini diharapkan akan membawa perubahan yang nyata bukan sahaja kepada urusan pentadbiran negara, tetapi lebih penting ia akan membawa penambahbaikan kepada kualiti hidup rakyat Malaysia.
NKRA telah diidentifikasi sebagai bidang utama bagi negara. Ianya mewakili sebuah gabungan keutamaan jangka masa pendek untuk menangani tuntutan terdesak rakyat dan tidak kurang pentingnya isu jangka masa panjang yang memberi kesan kepada rakyat yang memerlukan perhatian kerajaan sekarang. Untuk menunjukkan bagaimana pentingnya NKRA itu, ianya merupakan tanggungjawab bersama Kabinet, dengan akauntabiliti untuk menyampaikan keberhasilan terletak pada menteri peneraju, yang mana mereka ini telah dilantik dan akan dipantau secara formal oleh Perdana Menteri. Kewujudan NKRA bukan bererti bidang lain tidak akan mendapat perhatian. Bidang-bidang yang lain ini akan diliputi di peringkat Menteri dan disebut sebagai MKRA.
Setiap menteri yang berkaitan akan dipertanggugjawabkan untuk menyampaikan keberhasilan masing-masing. Zaman ‘kerajaan maha mengetahui’ telah berlalu. Bagi memastikan yang kerajaan mempunyai ukuran yang tepat dan merasakan bidang apa yang perlu diutamakan untuk rakyat, berbilang sumber input telah dipertimbangkan termasuk undian pendapat rakyat, kaji selidik persepsi, analisis media (alternatif dan aliran perdana), dialog dengan ahli akademik dan pemimpin dari sektor awam dan sektor swasta.
Selepas dibincangkan dengan cermat oleh Kabinet, enam NKRA dan menteri peneraju masing-masing telah diumumkan oleh Perdana Menteri ketika menyampaikan ucapan beliau semasa meraikan 100 hari dalam pentadbiran pada 11 Julai 2009, iaitu: mengurangkan jenayah (diterajui oleh Menteri Dalam Negeri), membanteras rasuah (diterajui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, bahagian Undang-undang), mempertingkatkan pencapaian pendidikan (diterajui oleh Menteri Pelajaran), mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah (diterajui oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar (diterajui oleh Menteri Luar Bandar dan Wilayah) dan memperbaiki pengangkutan awam bandar (diterajui oleh Menteri Pengangkutan).
Di atas segalanya, 1Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ diyakini akan menjana satu transformasi ketara, ke arah sebuah negara Malaysia yang maju, didokongi oleh rakyat yang utuh perpaduannya dan tinggi martabatnya pada pandangan dunia. Kita harus sedar bahawa matlamat perpaduan kebangsaan tidak akan mampu direalisasikan jika pendekatan ke arah pencapaiannya tidak berpijak di bumi nyata dan bersifat utopia. Mana mungkin juga ia akan berjaya jika mengabaikan sensitiviti dan realiti kontemporari. Sebenarnya, dalam sejarah ketamadunan manusia telah acap kali menyaksikan bagaimana niat baik sahaja tanpa kebijaksanaan yang bersandar kepada realiti telah membuka laluan kepada ketidakadilan.
Dalam aspek pengurusan kemajmukan kaum seperti di Malaysia yang menuntut hemah dan hikmah yang tinggi, seandai dan sekiranya kita tidak berwaspada, sudah tentu akan muncullah sama ada satu suasana rasisme di mana kaum minoriti ditindas oleh kaum majoriti ataupun situasi aparteid di mana kaum minoriti pula akan menindas kaum majoriti. Lantaran itu, kerajaan pimpinan YAB Datuk Seri Najib kini telah mengangkat gagasan 1Malaysia sebagai paksi pentadbiran. Gagasan ini ditunjangi oleh beberapa teras utama antaranya penghijrahan daripada perpaduan yang berpaksikan toleransi kepada yang berlandaskan penerimaan, keadilan sosial dan nilai-nilai dikongsi bersama yang mengambil kira realiti sejarah berpandukan keluhuran perlembagaan serta prinsip rukun negara.
Sejarah telah mencatatkan bahawa semenjak mula para patriot memperjuangkan kemerdekaan tanah air hingga ke hari ini, usaha mencapai perpaduan nasional telah, sedang dan tetap menjadi prioriti utama. Ini kerana semua pihak sedar bahawa tanpa perpaduan yang mantap dan jitu tidak mungkin segala matlamat dan wawasan nasional akan dapat diterjemahkan.
Mantan Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abdul Rahman telah mengasaskan penubuhan Parti Perikatan yang merupakan langkah konkrit sulung dalam sejarah negara bagi mencapai perpaduan kaum di bidang politik. Terbukti apabila masyarakat pelbagai ras di bumi tercinta ini bersatu hati, bersatu tekad dan berkongsi matlamat mereka mampu mendaki tembok yang paling tinggi, menuruni lurah yang paling curam dan menyelami lautan yang paling dalam. Perkara ini terbukti apabila negara mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957 dan tertubuhnya Malaysia pada tanggal 16 September 1963.
Kendati begitu tragedi hitam 13 Mei 1969 pula telah menyentak hati dan perasaan rakyat Malaysia kepada realiti bahawa penyuburan perpaduan nasional tidak boleh dianggap sebagai usaha bermusim sebaliknya ia memerlukan komitmen yang berterusan. Bertitik tolak dari situlah, Allahyarham Tun Razak selaku Perdana Menteri Malaysia Kedua telah pun meluaskan konsep kerjasama antara kaum melalui penubuhan Barisan Nasional termasuklah penggubalan Dasar Ekonomi Baru dan penciptaan ideologi kebangsaan yakni Rukun Negara. Usaha-usaha murni ini telah dilangsungkan oleh Allahyarham Tun Hussein Onn. Kemudiannya prakarsa-prakarsa ini telah dilonjak ke tahap baru oleh Tun Dr. Mahathir melalui konsep Bangsa Malaysia dan Gagasan Wawasan 2020 yang selepas itu dilestarikan pula oleh Tun Abdullah melalui Misi Nasional.
Justeru, wajar dipertegaskan di sini bahawa gagasan 1Malaysia tidak sekali-kali menyimpang daripada roh Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang negara sama ada secara tersurat ataupun secara tersirat. Malahan Kerajaan kekal menjunjung kesemua peruntukan teras seperti Perkara 3, Perkara 4, Perkara 152, Perkara 153, Bahagian 2 dan Bahagian 3 seperti ditintakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian, janganlah mana-mana pihak berasa gundah-gulana atau menaruh syak wasangka ataupun bimbang bahawa gagasan ini akan terpesong dari apa yang telah dipersetujui dan dimuafakatkan oleh negarawan-negarawan kita suatu ketika dahulu.
Selanjutnya, salah satu teras utama perpaduan adalah keadilan sosial berasaskan kepada pengagihan yang saksama. Untuk hal ini dimanifestasikan, negara memerlukan kepada pertumbuhan ekonomi yang mapan dan dinamik. Lagipun, kekayaan tidak boleh diagihkan jika kek ekonomi tidak tumbuh dan membesar. Lantaran itulah baru-baru ini kerajaan telah membuat kemas kini dan penggubahan kepada dasar-dasar bagi mendepani kemelut ekonomi global. Kerajaan mempunyai tiga matlamat utama iaitu memastikan negara akan mengalami impak yang seminima mungkin kesan kegawatan ekonomi global, berusaha untuk keluar dari kemelut ekonomi dan kewangan yang ada dengan kadar paling pantas dan secara keseluruhan membantu rakyat menangani keperitan hidup yang dialami.
Bagi memastikan matlamat negara untuk berubah dari negara berpendapatan menengah tinggi kepada negara berpendapatan tinggi tercapai, maka kerajaan akan melakukan pembaharuan dan perubahan struktural secara komprehensif kepada ekonomi negara berasaskan satu model baru ekonomi. Model baru ekonomi ini akan menuas kreativiti, menuil inovasi serta menunjang nilai tinggi. Sehubungan dengan itu sebuah majlis penasihat ekonomi telah dibentuk untuk menjayakan hasrat pembentukan model baru ekonomi ini. Dalam mencapai matlamat ini kerajaan akan menimbang semua opsyen termasuklah yang bersifat tidak konvensional dan di luar kotak pemikiran lazim untuk diperhalusi.
Bak kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Maka salah satu inisiatif bagi menjayakannya ialah dengan melihat semula sistem pendidikan negara dengan memasukkan elemen-elemen inovasi, kreativiti, keusahawanan dan nilai-nilai budaya tinggi. Langkah ini diharap akan dapat melahirkan guna tenaga yang akan mampu menghadapi cabaran dan persaingan era ekonomi baru.
Kerajaan juga dilihat begitu komited dengan mengambil langkah-langkah yang jitu bagi merangsang pelaburan terus asing di dalam membantu merealisasikan model baru ekonomi ini. Untuk menjayakan matlamat ini kerajaan telah menyemak kembali dasar-dasar, undang-undang dan peraturan yang sedia wujud bagi memastikan persekitaran pelaburan yang lebih kondusif.
Semoga gagasan ‘1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ ini dapat memberi manfaat kepada seluruh warganegara Malaysia. Marilah kita bersama merealisasikan gagasan 1Malaysia sebagai wadah utama pembangunan negara menuju tahap negara maju pada tahun 2020. Gagasan 1Malaysia yang dicetuskan YAB Perdana Menteri ini adalah sesuatu yang bertepatan dengan kehendak Islam. Sifat kehidupan manusia yang diciptakan oleh Allah s.w.t secara berbeza keturunan, etnik, budaya dan latar belakang secara alami adalah cabaran yang wajib manusia laksanakan untuk mendekatkan diri antara satu sama lain. Manusia perlu berkongsi aspirasi dan keperluan, dan sebahagian keperluan itu tidak terdapat dalam semua orang, maka dari situlah proses perkenalan, perundingan dan persefahaman menentukan arah yang perlu dilaksanakan. Hal ini adalah selaras dengan kandungan Al-Quran, yang menjadi pegangan dan keyakinan utama masyarakat Islam. 
Kesimpulannya, gagasan 1Malaysia adalah sebuah gagasan yang dijelmakan sebagai prakarsa kesinambungan usaha pengukuhan perpaduan nasional. Kita wajar bersyukur kerana dikurniakan Allah sebuah kerajaan yang begitu bertanggungjawab terutama dalam usaha-usaha mengukuhkan perpaduan antara kaum di negara kita dengan pelbagai gagasan.
Kendati apa pun dasar dan program pembangunan yang telah digubal, semuanya telah mengarah kepada cita-cita perpaduan merentas kaum dan wilayah sebagai satu integrasi dalam kepelbagaian bangsa Malaysia. Apa yang jelas dengan tuntutan gagasan 1Malaysia ialah bukan sekadar batas fizikal dari sudut geografi dan demografi bahkan ia merangkumi pengertian luas fikiran dan semangat yang menyeluruh.
Kesimpulannya, untuk merealisasikan gagasan 1Malaysia, sekalian rakyat haruslah beriltizam untuk mendaki puncak-puncak yang baru, memecah tembok-tembok prasangka, menyemai bibit-bibit persamaan dan mencipta ramuan-ramuan baru dalam satu saf yang padu bagi membangunkan ‘baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur’ yakni sebuah negara aman makmur lagi dirahmati Tuhan.


Rujukan:

1.      Abdul Rahman Embong. (2001). Negara Bangsa: Proses dan Perbahasan. Bangi, Selangor D.E.: Penerbit UKM [Universiti Kebangsaan Malaysia].
2.      Ahmad Fawzi Basri. (1987). Isu-isu Perpaduan Nasional. Sintok, Kedah: Sekolah Pengajian Asasi UUM [Universiti Utara Malaysia].
3.      Akhbar Utusan Malaysia. Kuala Lumpur: 13 Ogos 2009.
4.      Atan Long. (1984). Pendidik dan Pendidikan. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.
5.      Awang Had Salleh. (1980). Pendidikan ke Arah Perpaduan. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.
6.      Berita “Wawasan 2020” dalam akhbar Utusan Malaysia. Kuala Lumpur: 28 Februari 1991.
7.      Fauzi, M. (1987). Isu-isu Perpaduan Nasional. Kuala Lumpur: Penerbit Seasons.
8.      Mahathir Mohamad. (1991). Melangkah ke Hadapan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
9.      Miall, H., O. Ramsbotham & T. Woodhouse. (1999). Contemporary Conflict Resolution. UK: Polity Press.
10.  PPM [Pejabat Perdana Menteri]. (2009). Booklet 1Malaysia. Putrajaya, Malaysia: Pejabat Perdana Menteri.
11.  Rita Sim. (2010). What it Takes to Make 1Malaysia a Success. Putra Jaya, Malaysia: PPM [Pejabat Perdana Menteri].
Shamsul Amri Baharuddin. (1990). Masyarakat Malaysia yang Membangun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Fahami Prinsip Penerimaan Dalam Gagasan 1Malaysia


SMAHADZIR

GAGASAN 1Malaysia yang bercambah dari ilham YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran. Gagasan 1Malaysia juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, prinsip penerimaan merupakan salah satu dari tiga prinsip teras gagasan 1Malaysia selain dari prinsip kenegaraan dan prinsip keadilan sosial. Prinsip penerimaan bererti walaupun rakyat Malaysia terdiri dari pelbagai kaum yang mempunyai cara hidup, amalan dan kebudayaan yang berbeza, tetapi kita menerima antara satu sama lain sebagai rakan setia yang akrab dan bersatu.
Memang tidak dapat dinafikan akan kata-kata YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa gagasan 1Malaysia itu merupakan suatu kesinambungan dari perjalanan sejarah negara sejak kemerdekaan negara 1957. Gagasan 1Malaysia tegak bersandarkan prinsip-prinsip penerimaan, teras Perlembagaan dan Rukun Negara serta keadilan sosial. Ketiga-tiga prinsip itu hendaklah dihayati dan difahami sepenuhnya oleh rakyat Malaysia dalam usaha merealisasikan cita-cita murni perpaduan.
Dalam ertikata yang lain, rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan nasional harus memangkas sebarang tunas kesuburan pohon perkauman dan menjauhi sebarang ancaman yang boleh merosakkan tonggak-tonggak kenegaraan. Setiap rakyat Malaysia tanpa mengira ras, budaya, agama dan kepercayaan perlu berpegang teguh dan sedia mempertahankannya tanpa sebarang kompromi.
Prinsip penerimaan yang harus segenap lapisan masyarakat Malaysia hayati dan fahami ialah mengenai perbuatan, sikap, anggapan dan pandangan terhadap hakikat sesuatu kebenaran fakta, misalnya hakikat sejarah Malaysia dan sifat kepelbagaian yang ada. Prinsip penerimaan itu ditandai oleh suatu perlakuan yang positif, menerima sesuatu kebenaran dengan hati yang tulus, ikhlas dan terbuka. Jangan ada sebarang rasa tidak puas hati terhadap apa juga yang telah termaktub dalam Perlembagaan dan tercatat dalam Rukun Negara. Persetujuan bersama antara para pemimpin silam harus diakuri tanpa sebarang kompromi demi perpaduan dan kesejahteraan bersama.
Lantaran itu, impian untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang benar-benar bersatu padu hanya boleh dicapai sekiranya rakyat mengamalkan nilai yang terkandung dalam gagasan 1Malaysia. Nilai itu jika dikaitkan dengan pemikiran rakyat untuk berubah dari satu paradigma dengan pradigma asas ialah sikap bertolak ansur, saling hormat menghormati antara satu sama lain, akur dengan apa yang telah dipersetujui bersama. Dalam gagasan 1Malaysia, bertoleransi hanya permulaan, paradigma selepas itu ialah berubah dari bertoleransi kepada penerimaan sepenuhnya. Hakikat ini harus difahami oleh semua rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan.
Dengan lain perkataan, apabila kita ikhlas menerima perbezaan dalam masyarakat kita, tulus menerima kepelbagaian sebagai sesuatu yang unik, sesungguhnya ini adalah sesuatu yang memberi kekuatan kepada kita dan bukan sebaliknya. Menurut YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak, “Jika kepelbagaian diterima sepenuhnya di kalangan masyarakat sebagai satu sumber kekuatan dan sesuatu yang unik, barulah ‘kita bergerak dari satu peringkat ke satu peringkat yang lain’. Dan apabila kita bergerak dari paradigma bertoleransi kepada penerimaan sepenuhnya, terdapat satu kemuncak muktamad iaitu meraikan kepelbagaian kita. Apabila kita meraikan kepelbagaian kita barulah ia bermakna kita telah mencapai destinasi akhir Bangsa Malaysia 1Malaysia, dan barulah kita akan berfikir dan kita akan bertindak sebagai 1Rakyat, 1Negara dan 1 Impian.”
Sebenarnya, jika kita selak kembali catatan sejarah negara kita Malaysia, nilai penerimaan ini sudah lama kita praktikkan antara rakyat Malaysia pelbagai kaum. Kita mengambil contoh tentang Kontrak Sosial, di mana masyarakat Melayu, Cina dan India sudah pun bersetuju dan berjanji dengan menerima beberapa perkara untuk bersatu. Bagi masyarakat Melayu, mereka sudah bersetuju untuk menerima masyarakat Cina dan India untuk menjadi warganegara Malaysia.
Manakala bagi masyarakat Cina dan India mereka telah bersetuju untuk menerima dan mengakui tentang perkara Hak Keistimewaan Melayu, Kedudukan Raja-Raja dan Sultan, Islam sebagai agama persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Inilah hakikat yang kita tidak dapat menafikannya di mana nilai penerimaan ini sudah lama dilaksanakan di di negara kita.
Sejarah juga telah mencatatkan bahawa sejak ribuan tahun negara kita Malaysia adalah sebahagian daripada sejarah Asia Tenggara, sebelum kedatangan pengaruh asing atau setelah dijarah pemerintahan kolonial. Jika negara Indonesia dengan pengaruh Belanda, maka negara kita Malaysia pula dengan penjajah Inggeris. Hakikat bahawa kolonial itu bukan sahaja membawa pengaruh ke atas sistem pemerintahan atau kehidupan ekonomi kerana memenuhi revolusi industri abad ke-19 di barat, bahkan mendatangkan pengaruh budaya baru melalui sistem pendidikan adalah sesuatu yang jelas. Kedatangan orang Cina dan India secara besar-besaran dua abad lalu tidak sama konteksnya dengan hubungan antara empayar pada abad ke-15.
Menurut Dato’ A. Aziz Deraman, mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), rantau ini sejak zaman berzaman mewarisi tradisi kesultanan dan institusi Raja-raja Melayu. Kecemerlangan kerajaan-kerajaan awal Melayu dari sejak awal Masehi itu diakuri timur dan barat. Dunia Melayu adalah milik azali umat Melayu dan bangsa serumpunnya di serata gugusan kepulauan. Konsep ibu pertiwi atau tanah air (motherland atau paterland) terletak di situ.
Seterusnya jelas beliau lagi, fenomena terkemudian boleh dianalogikan sebagai sebuah rumah besar yang menerima kedatangan ‘tetamu’ yang kini telah memilih hidup bermastautin dan menjadi rakyat di rantau ini. Di negara kita Malaysia, penerimaan rakyat asalnya yakni bangsa serumpun Melayu terjelma melalui sikap meraikan, menyediakan peluang dan tapak kehidupan untuk ‘rakan-rakan’ baru tadi. Jika realiti ini difahami, dihayati dan diakuri, maka rakyat akan lebih memahami makna ‘orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa’. Justeru akurilah hakikat hahawa tanggapan dan penerimaan tidak akan menjadi mudah, jika rakyat menolak hakikat sejarah.
Tidak dapat dinafikan bahawa rakyat asal Malaysia sudah lama sedia dan sanggup berkongsi kuasa politik, ekonomi dan sama-sama membina kesejahteraan sosial. Selama ini negara kita Malaysia sangat menghormati kepelbagaian dan perbezaan rakyatnya. Selain daripada mementingkan kedudukan bangsa serumpun Melayu atau peribumi secara adil sesuai dengan aspirasi Perlembagaan, Malaysia tidak meminggirkan rakyatnya dari keturunan Cina, India dan lain-lain lagi seperti Serani, Benggali, Portugis dan sebagainya. Kini mereka sudah berstatus warganegara Malaysia. Dasar-dasar negara digubal untuk kepentingan semua kaum tidak kira bangsa, keturunan, budaya dan agama demi mencapai matlamat perpaduan. Kendati begitu, kita harus secara rasional menerima hakikat bahawa golongan manakah yang berada di lembah kemiskinan dan kedaifan sejak sebelum dan selepas merdeka!
Lihat pula secara sedar bagaimana status ekonomi, pendidikan, taraf kesihatan, prasarana luar bandar? Majoriti penduduk luar bandar itu terdiri daripada masyarakat Melayu dan suku bangsa serumpunnya seperti Iban, Kadazandusun, Bidayuh, Rungus, Melanau, Orang Sungai, Dayak, Bajau, Melanau, Negrito, Mahmeri, Semang, Senoi, Jakun, Sakai, Kenyah, dan puluhan yang lain di Sabah dan Sarawak. Jadi, formula tertentu perlu digarap bagaimana sewajarnya membina ‘Kesatuan Dalam Kepelbagaian’ tadi.
Kepelbagaian itu sewajarnya berada di dalam penerimaan segenap lapisan rakyat. Di negara kita Malaysia, masyarakat berketurunan Cina, India, Portugis, Baba, Benggali, Serani dan lain-lain lagi mempunyai ciri budaya, bahasa, adat resam, agama, kepercayaan, dan warisan seni masing-masing. Nilai-nilai hidup yang terbaik bersifat universal perlu dipupuk menjadi nilai-nilai nasional. Penerimaan apa yang terbaik daripada bangsa induk Melayu dan suku bangsa serumpunnya dan menyaring nilai-nilai budaya positif masyarakat Cina, India, Portugis, Baba, Benggali, Serani dan lain-lain lagi itu boleh dilakukan untuk tujuan perkongsian nilai-nilai bersama.
Malahan sebahagian unsur-unsur warisan budaya masyarakat Cina, India, Portugis, Baba, Benggali, Serani dan lain-lain lagi itu sudah terserap ke dalam kebudayaan nasional di bidang bahasa, pakaian, perhiasan, makanan, kesenian dan sebagainya. Amalan asal bersumberkan kaum dan sukuan itu, suatu waktu dalam proses masa akan mengambil tempatnya yang baru pula. Contoh amalan 1Malaysia sudah lama dipraktikkan di Sabah malah menjadi budaya harian masyarakat di Negeri Di Bawah Bayu tersebut.
Persoalannya sekarang ialah bagaimanakah setiap individu masyarakat yang pelbagai ras, budaya dan kepercayaan ini dapat saling mengenali, memahami lalu menerima antara satu sama lain? Contoh terdekat yang boleh kita ambil ialah dalam aspek kontrak sosial. Kita boleh kaitkan kontrak sosial dengan nilai penerimaan yang dicadangkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak dari segi sosial. Pendidikan yang utamanya, di mana semua rakyat perlu menerima dengan kuota yang diberikan kepada orang Melayu, contohnya kuota untuk memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Matrikulasi dan universiti-universiti awam. Begitu juga dengan kuota untuk biasiswa-biasiswa kerajaan, seperti biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan menetapkan kuota Melayu dengan nisbah kaum lain ialah 55%:45%, dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) khas untuk Melayu dan Bumiputera.
Seterusnya dengan penerimaan agama Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia, semua kaum perlu menerima hakikat ini memandangkan ia sudah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, malahan bangsa-bangsa lain juga boleh mengamalkan agama masing-masing di negara ini. Amat penting bagi semua rakyat Malaysia untuk memahami nilai penerimaan dalam perkara sosial ini.
Sementara dalam aspek ekonomi pula nilai penerimaan ini amat penting juga untuk kita memahami supaya kita dapat menerimanya dengan hati yang tulus. Dengan mengambil contoh dari pembahagian Amanah Saham Malaysia (ASM), di mana kerajaan telah menetapkan bahawa pembahagian saham antara kaum dengan nilai-nilai yang tertentu berdasarkan taburan penduduk di Malaysia iaitu Melayu 55%, Cina 25%, India 7%, dan lain-lain kaum Bumiputera 12%.
Jika kita lihat dari taburan penduduk di negara kita, majoritinya adalah bangsa Melayu. Maka kita dapat lihat, walaupun dari segi angka yang diterapkan dalam gagasan 1Malaysia untuk masyarakat Melayu adalah tertinggi berbanding kaum lain, tetapi masyarakat Melayu sebenarnya memang berhak mendapat bahagian yang tertinggi. Maka semua kaum di Malaysia ini perlu menerima hakikat ini dengan hati yang ikhlas dan berlapang dada. Justeru, kita dapat lihat di sini nilai penerimaan amat penting dalam menjayakan gagasan 1Malaysia ini.
Seterusnya mari kita lihat dari segi politik pula. Nilai penerimaan sudah lama dilakukan dalam kerajaan Barisan Nasional, di mana pembahagian kerusi-kerusi Parlimen mengikut perjanjian yang telah dimetrai dalam perlembagaan Barisan Nasional. Kita boleh lihat bilangan dan peratus kerusi parlimen yang dimenangi oleh Bumiputera dan bukan Bumiputera serta bilangan dan peratus Bumiputera dan bukan Bumiputera dalam kabinet Kerajaan Malaysia.
Bilangan kerusi Bumiputera dalam Parlimen ialah 83.57% sementara bilangan Bumiputera dalam kabinet ialah 69.57%. Manakala bilangan kerusi bukan Bumiputera dalam Parlimen ialah 16.43% dan bilangan bukan Bumiputera dalam kabinet ialah 30.43%. Justeru, jika kita kaji statistik ini, jelas menunjukkan bahawa dalam kerajaan Barisan Nasional, nilai penerimaan sudah pun dilakukan. Kita dapat lihat bahawa jumlah kerusi yang dimenangi oleh kaum bukan Bumiputera adalah sedikit iatiu 16.43% sahaja, tetapi disebabkan nilai penerimaan oleh ahli Parlimen Bumiputera dalam kerajaan Barisan Nasional, jumlah bilangan ahli Parlimen bukan Bumiputera yang memegang portfolio Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet adalah tinggi iaitu sebanyak 30.43% berbanding jumlah yang dimenangi dalam kerusi Parlimen.
Sejarah juga telah mencatatkan bahawa di dalam Islam kepelbagaian itu sudah menjadi fitrah kehidupan. Ia adalah anugerah Allah s.w.t. Justeru itulah agaknya, umat Islam tahu menilai dan meraikan kepelbagaian. Justeru, prinsip penerimaan dalam gagasan 1Malaysia sesungguhnya tidak lari dari ketentuan Islam.
Pendekatan 1Malaysia jika benar-benar dihayati dan difahami dengan mendalam pasti akan memperkukuhkan konsep perpaduan dan kesatuan negara. Gagasan 1Malaysia bolehlah diibaratkan sebatang sungai yang lebar dan panjang, maka akan ada pertemuan alirannya, beza anak sungai dengan sungai induk yang arusnya mengalir sehingga ke muara. Gagasan 1Malaysia bukannya retorik politik atau agenda politik, tetapi cita-cita kenegaraan untuk kemajuan dan kesejahteraan semua rakyat yang bergelar warganegara Malaysia. Jadi, janganlah jadikan ia diterjemah dalam konteks yang bersimpang-siur dan mengelirukan. Berpegang teguhlah kepada sistem pemerintahan yang satu, dan dipayungi rimbun Perlembagaan yang satu. Bukankah negara kita Malaysia ini tidak lahir dari sesuatu yang vakum, ada kesepakatan asal berlandaskan kontrak sosial?
Setiap perkara sudah termaktub dan terkanun dalam Perlembagaan. Maknanya prinsip penerimaan akan sebuah Perlembagaan menunjukkan hakikat kehidupan kita berbangsa dan bernegara. Itu adalah prinsip yang utama. Parti-parti politik mana pun yang menguasai pemerintahan, keluhuran Perlembagaan wajib dijunjung. Setiap individu rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan budaya perlu memahami hakikat ini dengan benar dan tanpa sebarang kompromi.
Konsep dan falsafah gagasan 1Malaysia dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ dan penerapan nilai-nilai murni itu bukannya sukar untuk difahami. Jadi, prinsip penerimaan itu tidak boleh lari dari undang-undang tertinggi negara yakni Perlembagaan Persekutuan dan pada masa yang sama dengan penuh rasa kecintaan terhadap negara, patriotisme, kesetiaan politik dan keikhlasan, rakyat Malaysia akan mempertahankan negara sendiri sebagai sebuah negara bangsa, bukannya ‘kaki di sini, akal di sana’.
Kesimpulannya, semua rakyat Malaysia yang bergelar warganegara Malaysia tanpa mengira fahaman dan ideologi politik harus sama-sama berganding mahu memantapkan barisan memperkukuhkan tunjang perpaduan sebagaimana yang dihasratkan oleh gagasan 1Malaysia. Dalam aspek politik, gagasan 1Malaysia ini perlu tulus dan mencakupi pelbagai fahaman politik negara. Semua pihak tanpa mengira fahaman dan ideologi politik bukan sahaja perlu bersama dalam menjayakan gagasan ini malahan perlu mengetepikan perbezaan mereka. Perkara ini kerana keperluan dan kepentingan rakyat menjadi keutamaan negara yang harus didahulukan sebelum kepentingan politik mengambil tempat. Semua pihak perlu bersifat glokal bagi mencari usaha ke arah pembangunan modal insan yang jitu dan mapan serta mampu bersaing dengan arus permodenan dunia. Persaingan politik perlu diketepikan dan pembentukkan sahsiah yang baik merupakan contoh yang berguna kepada masyarakat. Sikap suka menjatuhkan pula amat bertentangan dengan gagasan 1Malaysia yang lebih bersifat menggalakkan dan mendukung usaha ke arah pembentukkan Bangsa Malaysia.


Rujukan:

1.      Ibrahim Ali. (2009). “1Malaysia: Perspektif Generasi Kemerdekaan”. Kertas kerja dibentangkan pada Seminar Kebangsaan 1Malaysia, yang diselenggarakan oleh Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM (Universiti Sains Malaysia) di Putrajaya pada 11 Ogos.
2.      Islar, Mine. (2007). The Current Nation Building Process in Malaysia: A Critical Look at the English-Medium of Instruction Policy. UK: Lund University, Center of East and Southeast Asian Studies Master Programme in Asian Studies East and Southeast Asia Track.
3.      Jurij Hj. Jalaludin. (1991). Wawasan 2020. Kuala Lumpur: Arena Ilmu Sdn. Bhd.
4.      Kamarulzaman Askandar. (2004). The Making of Ethnic & Religious Conflicts in Southeast Asia: Cases and Resolutions. Yogyakarta, Indonesia: Center for Security and Peace Studies, Universitas Gadjah Mada.
5.      Kamarulzaman Askandar. (2007). Promoting the “Peace Dream”: Creating & Supporting the Dream Keepers in Southern Thailand. Pulau Pinang, Malaysia: USM [Universiti Sains Malaysia].
6.      Mansor Mohd Noor [ed]. (2005). Integrasi Etnik di Institut Pengajian Tinggi Awam. Pulau Pinang: Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara.
7.      Mohammad Redzuan Othman. (2006). Sejarah Pembinaan Negara Bangsa: Siri Khas Sastera dan Sains Sosial. Kuala Lumpur: Penerbit UM [Universiti Malaya].
8.      Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd Rahman, Mohd Samsudin & Kamaruzaman Yusoff [eds]. (1998).
9.      Prosiding Kongres Sejarah Malaysia II: Sejarah dan Proses Pemantapan Sejarah Bangsa. Kuala Lumpur: PSM [Persatuan Sejarah Malaysia].
10.  PPM [Pejabat Perdana Menteri]. (2009). Booklet 1Malaysia. Putrajaya, Malaysia: Pejabat Perdana Menteri.
11.  Rita Sim. (2010). What it Takes to Make 1Malaysia a Success. Putra Jaya, Malaysia: PPM [Pejabat Perdana Menteri].
12.  Shamsul Amri Baharuddin. (1990). Masyarakat Malaysia yang Membangun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Satu Bahasa Mendaulatkan Negara


SMAHADZIR

Frasa ‘Satu Bahasa Mendaulatkan Negara’ memberi makna bahawa apabila Bahasa Melayu kita daulatkan, bahasa itulah yang akan membentuk jiwa kita seterusnya mendaulatkan negara kita. Bahasa itulah yang akan memercikkan jatidiri kebangsaan. Jika seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan agama, kebudayaan dan asal-usul mendaulatkan bahasa kebangsaan, akan cagunlah citra dan keperibadian kita sebagai satu bangsa yakni Bangsa Malaysia. Namun begitu, jika kita mendaulatkan bahasa-bahasa asing, akan tercuarlah ‘jatidiri asing’. Akibatnya, akan terencatlah pembentukan jatidiri kita sebagai Bangsa Malaysia.
Sejarah telah membuktikan bahawa kejayaan pembentukan negara-bangsa Jepun, Korea, selain pengasasan negara-bangsa di benua Eropah dan Amerika Syarikat, adalah sesuatu yang wajar kita teladani. Mereka terbukti telah berupaya memodenkan negara sekali gus membina bangsa dengan mendaulatkan bahasa kebangsaan negara-bangsa masing-masing. Ini satu bukti menunjukkan bahawa satu bahasa mampu mendaulatkan sesebuah negara. Jadi, tidak ada salahnya kita di Malaysia ini mempraktikkan apa yang telah dilakukan oleh rakyat negara-negara tersebut demi mendaulatkan negara kita dengan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam negara.
Bahasa Kebangsaan merupakan jatidiri bangsa yang perlu diperteguhkan terus menerus, manakala kemahiran berbahasa Inggeris atau mempelajari bahasa-bahasa tambahan lain akan menambahkan lagi daya saing bangsa Malaysia di persada global. Kita harus sedar bahawa dunia satu bahasa atau monolingual sudah tiada lagi. Maka memanglah bangsa kita akan kerugian jika rakyat Malaysia tidak menguasai bahasa asing yang diperlukan itu dengan baik.
Cuma kita memerlukan persepsi dan perspektif yang betul dan jelas. Mesej yang perlu kita dukung adalah, apabila kita mengatakan bahasa Inggeris atau lain-lain bahasa itu penting, kita perlu memperteguhkan pegangan bahawa bahasa kebangsaan atau Bahasa Melayu itu lebih penting lagi. Belajarlah bahasa Inggeris atau lain-lain bahasa tetapi jangan lupakan bahasa kebangsaan. Kita memerlukan gerakan psikologi kesedaran berbahasa. Kita perlu meneguh dan menegakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan pacakkan pancang menjadikannya sebagai salah satu bahasa komunikasi antarabangsa yang berpengaruh bermula di wilayah nusantara ini.
Sesungguhnya, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan dalam hasrat meninggikan lagi tahap kesedaran terhadap bahasa dan persuratan bangsa terutama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Selama ini, pelbagai program seperti Bulan Bahasa Kebangsaan, Gerakan Cintailah Bahasa Kita, Minggu Sastera Negara dan lain-lain lagi telah menjana sikap rakyat pelbagai kaum ke arah kenal dan cinta terhadap bahasa kebangsaan. Lagu ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ berkumandang di segala ceruk rantau negara setiap kali program dan kegiatan kebahasaan dilaksanakan. Natijah daripada setiap pelaksanaan program ini, adalah bertujuan bagi mengangkat kesedaran setiap lapisan rakyat menghayati dan menjulang keperkasaan sebuah bahasa negara.
Gagasan 1Malaysia yang telah diwujudkan oleh YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bermatlamatkan perpaduan rakyat pelbagai kaum berteraskan Perlembagaan dan prinsip-prinsip Rukun Negara. Selaku Perdana Menteri yang kaya gagasan, YAB Datuk Seri Mohd Najib Razak telah merangka pelbagai perubahan dan transformasi demi kesejahteraan hidup rakyat tanpa mengira bangsa, budaya dan kepercayaan.
Malah tidak ada satu bangsa pun yang akan dipencilkan dalam menikmati pembahagian kek ekonomi negara. Inilah hasrat murni Perdana Menteri untuk memajukan kehidupan rakyat dengan gagasan dan dasar-dasar disepadukan bagi Malaysia mencapai status negara maju pada 2020, sekali gus menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi. Untuk merealisasikan hasrat gagasan 1Malaysia tersebut maka Bahasa Melayu harus menjadi katalisnya yang utama. Hanya melalui Bahasa Kebangsaan saja bunga-bunga perpaduan dapat dimurupkan dan menggerbak seluruh pelosok dunia.
Timbul satu persoalan, kenapakah aspek bahasa menjadi sangat penting dalam gagasan 1Malaysia? Jawapannya, jika kita berpegang kepada Perlembagaan Malaysia sebagai teras kenegaraan dan aspirasi perpaduan negara bangsa, maka setiap tonggak negara adalah bersifat hak-hak kenegaraan, khususnya status bahasa ini sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Kita tidak ada jalan lain, kecuali menjulang Dasar Bahasa Negara sebagai wahana ilmu, pendidikan, komunikasi dan alat pembinaan tamadun bangsa.
Dari segi logik pula, tidak akan ada bahasa lain yang boleh mengambilalih peranan dan fungsi Bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan sendiri sebagai alat pemersatuan bangsa Malaysia. Bahasa lain, hatta bahasa Inggeris atau lain-lain bahasa sekali pun hanya wajar menjadi satu keperluan tambahan dalam konteks kita berbahasa atau demi penggunaan dalam konteks tertentu.
Jadi, janganlah ada lagi segelintir pihak yang mahu memanipulasikan keutuhan Bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan yang sudah memperoleh martabat sebagai bahasa negara, yang telah dikanunkan sebagai Perkara 152 Perlembagaan dan diperkukuhkan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (disemak 1971).
Sesungguhnya, kepentingan Bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan sebagai wadah terpenting, selain wadah pendidikan dan kebudayaan kebangsaan, untuk membentuk keperibadian bangsa Malaysia bersemboyankan gagasan ‘satu bahasa, satu bangsa, satu nusa’, tidak sewajarnya disangsikan oleh sesiapa pun dan mana-mana pihak. Sebabnya ialah Bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan yakni bukannya bahasa asing atau bahasa ibunda yang mampu mencuarkan semangat satu bangsa, menyerapkan roh sebangsa, senegara dan menyemarakkan jatidiri kebangsaan lawannya identiti perkauman, di samping pendaulatan bahasa kebangsaan yang menjadi bukti ketaatsetiaan, penghormatan dan pemuliaan kepada nusa tercinta. Malah, Bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan jugalah yang berperanan sebagai bahasa ilmu dalam segenap bidang, bahasa pentadbiran, bahasa ekonomi, bahasa sosial dan bahasa peradaban moden
Kita harus sedar bahawa wasilah terpenting untuk membentuk bangsa Malaysia ialah bahasa kebangsaan atau Bahasa Melayu kerana ‘Bahasa Jiwa Bangsa’. Ini bermakna, bahasa apa yang kita daulatkan, maka bahasa itulah yang akan membentuk jiwa kita. Dalam konteks pembinaan bangsa Malaysia dan kemajuan negara menurut acuan kemalaysiaan sendiri, pendaulatan hanyalah kepada bahasa kebangsaan, bukannya bahasa-bahasa asing. Inilah prinsip umbi yang seharusnya kita junjung dan pegang teguh, jika benar kita serius untuk menghakikatkan gagasan pembentukan bangsa Malaysia, seperti kata pepatah... di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
Sejak merdeka pada tahun 1957, bahasa kebangsaan telah memainkan peranannya yang tersendiri dalam membentuk kesatuan dan kesefahaman antara kaum di negara kita. Justeru tidak dapat dinafikan lagi bahawa bahasa adalah asas pembinaan tamadun dan perpaduan bangsa. Sebab itulah, dalam gagasan 1Malaysia, prinsip-prinsip aspirasi berteraskan penerimaan, Perlembagaan dan Rukun Negara serta keadilan sosial wajar dihayati rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia perlu memahami hakikat kepelbagaian negara bangsa kita. Jika hakikat ini dihayati dan dibudayakan, sudah pasti kita akan berjaya membina ‘Kesatuan Dalam Kepelbagaian’ tersebut.
Gagasan 1Bahasa juga penting kerana kita mempunyai satu bahasa negara, yakni peranan dan fungsi satu bahasa itu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Kita adalah satu bangsa, tetapi terdiri daripada pelbagai etnik, bersatu dengan berkongsi nilai-nilai persamaan, ada rasa sepunya dan kekitaan. Segala-galanya itu mengarah kepada kefahaman bahawa tidak ada negara lain, selain daripada Malaysia, satu-satunya negara kita di dunia ini. Apabila hakikat ini berjaya direalisasikan, maka akan terjulangkah negara kita di pentas dunia sebagai sebuah negara yang berdaulat.
Hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah asas keterampilan sesuatu bangsa boleh digambarkan melalui bahasa yang dituturkan oleh masyarakatnya. Kekuatan sesuatu bangsa boleh dilihat melalui kesatuan masyarakat terhadap budaya yang diwarisi sejak turun-temurun terutamanya aspek bahasa. Maka tidak hairanlah kita lihat pada hari ini, banyak negara maju kekal menggunakan bahasa masing-masing yang diwarisi sejak turun-temurun. Rakyat negara Perancis, German, Itali, Jepun, Korea Selatan, Denmark dan lain-lain lagi membuktikan bahawa bahasa mereka berupaya menjadikan mereka masyarakat yang berdaya saing, maju dan dikagumi masyarakat di seantero dunia.
Yakinlah bahawa Bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan mampu menyatupadukan rakyat Malaysia seterusnya merealisasikan gagasan 1Malaysia. Tetapi Bahasa Melayu yang mampu menjadi teras perpaduan bangsa Malaysia ialah Bahasa Melayu standard yang digunakan secara bersama dan meluas. Bukannya Bahasa Melayu rojak yang diselangseli dan dicampuradukkan dengan bahasa Inggeris atau lain-lain bahasa.
Sedarlah bahawa Bahasa Melayu bukan sahaja berfungsi sebagai bahasa basahan, tetapi juga sebagai bahasa rasmi dan tidak rasmi. Bahasa Melayu bukan sahaja dijadikan bahasa perantaraan di sekolah-sekolah dan universiti tetapi penggunaannya menjangkau ke peringkat antarabangsa. Buktinya Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib telah bertutur dalam Bahasa Melayu sepenuhnya di sebuah universiti di China semasa lawatan beliau ke sana baru-baru ini.
Ini bermakna, Bahasa Melayu yang dimaksudkan ialah Bahasa Melayu yang standard dan mengikut struktur Bahasa Melayu baku dan mempunyai sistem yang sama untuk semua. Slanga atau loghat mungkin sesuai untuk orang Melayu di negeri-negeri tertentu, tetapi apabila bertutur dengan bangsa Melayu dari kawasan atau negeri yang lain dan dengan orang bukan Melayu, Bahasa Melayu yang standard wajar digunakan. Inilah bahasa yang diajar dan digunakan di sekolah, dalam buku teks, buku-buku dan majalah serta dalam dokumen rasmi yang lain.
Selain itu, Bahasa Melayu sebagai alat perpaduan utama mempunyai masa depan yang cerah kerana Bahasa Melayu bersikap terbuka kepada bahasa lain. Sesuatu bahasa yang terlalu rigid, terpencil dan statik tidak akan mampu mengadaptasikan dirinya dengan perubahan semasa.
Kendatipun begitu, untuk merealisasikan ini, terlebih dahulu kita perlu memperbetulkan beberapa kesilapan mengenai konsep bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda. Pertama, sejak Bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka, ia bukan lagi menjadi milik tunggal peribumi Melayu. Malah, Bahasa Melayu menjadi milik bersama seluruh warganegara Persekutuan Tanah Melayu.
Jadi, Bahasa Melayu dengan sendirinya menjadi hak milik orang Cina, India, Kadazan, Iban, Murut, Mahmeri, Dayak, Semai, Senoi, Rungus dan semua bangsa yang menghuni mandala yang bernama Malaysia ini, atau dalam lain perkataan... yang menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu ini. Lebih penting lagi, Bahasa Melayu itulah yang menjadi bahasa kebangsaan Cina, India, Kadazan, Iban, Murut, Mahmeri, Dayak, Semai, Senoi, Rungus dan semua bangsa yang telah menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu.
Kesimpulannya, frasa ‘satu bahasa mendaulatkan negara’ adalah sesuatu yang benar dan mampu direalisasikan jika rakyat Malaysia akur membudayakan Bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan dalam kehidupan seharian mereka tanpa sebarang kompromi.

Tanggungjawab Generasi Merdeka Dalam Menjana Gagasan 1Malaysia


Generasi merdeka di negara kita Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Di tangan generasi inilah berjaya atau tidaknya gagasan 1Malaysia yang bermatlamatkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Justeru generasi merdeka perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai matlamat murni negara tersebut.
Perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara kita perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur. Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato’ Sri Najib selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara.
Gagasan 1Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu ada dalam diri setiap generasi merdeka pelbagai kaum dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum.
Perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum ini pastinya akan dapat menyatupadukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Dengan itu tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan citarasa untuk bersama memajukan negara.
Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.
Justeru, generasi merdeka perlu mendasari prinsip-prinsip utama 1Malaysia iaitu kebersamaan dan kekitaan bagi menjayakan gagasan ini. Selain dari kepimpinan, 1Malaysia juga memerlukan rakyat yang berintegriti tinggi. Sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara. Gagasan 1Malaysia memerlukan generasi merdeka yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara
Generasi merdeka juga perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. Generasi merdeka dari semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.
Gagasan 1Malaysia adalah katalis kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan rakyat. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan. Generasi merdeka perlu memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integiti.
Selain itu gagasan 1Malaysia juga menekankan elemen-elemen yang perlu menjadi amalan mana-mana masyarakat yang ingin berdaya maju dan berjaya. Elemen-elemen tersebut merangkumi budaya kecemerlangan dalam melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab; budaya ketepatan dari segi menghormati waktu dan meningkatkan kecekapan; keberanian untuk berinovasi dan meneroka peluang-peluang baru; meritokrasi dalam memberikan tugasan kepada yang paling layak melaksanakannya berlandaskan undang-undang dan dasar negara; kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada tanah air tercinta; ketabahan dalam mengharungi sebarang cabaran yang mendatang dan integriti dalam segala urusan dan transaksi. Pembudayaan nilai-nilai aspirasi ini akan menyerlahkan masyarakat Malaysia yang berwibawa, dihormati dan disegani, bersesuaian dengan identiti sebuah negara bangsa yang maju dan berjaya.
Generasi merdeka perlu mengamalkan budaya cemerlang dalam kehidupan seharian mereka kerana pengamalan budaya cemerlang akan membawa negara kita ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya. Budaya cemerlang perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan. Prinsip ketepatan menjadi elemen dalam menentukan kecemerlangan. Ketepatan menguruskan masa amat penting dalam menentukan kemajuan dan penerimaan orang lain terutama apabila berurusan dengan pihak-pihak luar negara. Ketepatan pengukuran, jadual penyampaian dan kualiti amat berhubung rapat bagi menentukan kecemerlangan dan kejayaan.
 Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat memerlukan generasi merdeka yang tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan. Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan adalah ramuan yang terbaik mencapai sesuatu matlamat. Ketabahan dalam menghadapi perubahan peribadi wajar dijadikan wadah bagi memperbetulkan kesilapan atau kegagalan  yang terdahulu. Kegagalan yang dialami perlu dikaji dan perlu memperbaikinya secara positif. Sikap mudah mengalah, kecewa dan menyerahkan kepada takdir perlu dikikis jika ingin maju dan berjaya. Dalam menangani kegagalan, pendekatan yang berbeza dan kreatif perlu diambil bagi menghasilkan perubahan yang lebih besar dan menakjubkan. Semangat juang yang tinggi dan berpendirian teguh perlu ada bagi mencapai kejayaan diri, masyarakat dan negara.
Selain itu generasi merdeka juga perlu mengamalkan sikap rendah hati. Dalam Islam, rendah hati dikatakan tawaduk. Masyarakat Malaysia amat menghormati serta menyukai sifat merendah diri tetapi mempunyai kekuatan dalaman dan pendirian yang teguh terhadap sesuatu prinsip. Sikap merendah diri ini perlu bersesuaian dengan masa, keadaan dan tempat di mana kita berada.
Kritikan dan pandangan yang membina perlu diterima dalam perhubungan bagi menterjemahkan kepada kejayaan. Mengkritik secara betul terhadap kesilapan atau kekurangan adalah lambang setia kawan. Kritikan dalam usaha membina kekuatan perlu dilakukan dengan bijaksana dan dengan niat yang baik agar segala kelemahan dan kesilapan dapat dibaiki untuk kebaikan bersama.
Kesetiaan perlu disertai dengan keupayaan melaksanakan tugas dengan cemerlang. Nilai atau ganjaran kepada kesetiaan perlu berasaskan kepada keupayaan, pencapaian dan kemajuan yang dilaksanakan dalam setiap perhubungan. Kesetiaan atau perhubungan yang membuta tuli tanpa sebarang kemajuan adalah tidak bernilai. Perhubungan yang berasaskan kepada cara mengampu perlu dihindari agar tidak disalahgunakan oleh pihak yang sering mengambil kesempatan.
Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan. Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan dari segala-galanya. Budaya membaca berupaya melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai minda yang sentiasa terbuka.
Selain itu nilai integriti juga perlu diamalkan oleh generasi merdeka. Bersikap jujur terhadap sesuatu tindakan dan percakapan. Bercakap benar walaupun perkara yang disampaikan itu pahit dan sukar diterima. Menepati janji dan masa adalah sifat mulai yang dituntut dalam agama Islam. Memungkiri janji boleh mengikis kepercayaan dan kesetiaan.
Mengetepikan kepentingan peribadi dalam segala tindakan dan perlakuan. Kepentingan negara perlu diletakkan mengatasi segala kepentingan lain. Sifat ingin mengutamakan diri, keluarga dan kelompok tertentu perlu dijauhi.
Kesimpulannya, tanggungjawab generasi merdeka dalam menjana gagasan 1Malaysia amat besar dan perlu diusahakan dengan bersungguh-sungguh dan penuh komitmen agar hasrat murni negara ini akan tercapai dengan jayanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA