Ahad, 6 Mei 2012

Konsep Halal Dan Kosher


Sesungguhnya ramai belum sedar bahawa terdapat beberapa perkara dalam agama lain yang belum betul-betul umat Islam fahami. Adalah amat penting untuk seseorang MUSLIM memahami benar-benar mengenai landas-landas agama lain kerana ia adalah pendinding kita kemudian hari. Kali ini penulis tertarik ingin mengulas mengenai Kosher dan Trefa.

Kosher adalah istilah bagi diet pemakanan orang Yahudi yang serupa dengan istilah Halal bagi umat Islam. Begitu juga dengan istilah Trefa, ia adalah serupa istilahnya dengan HARAM bagi umat Islam. Akan tetapi kosher tidak serupa peraturannya dengan halal bagi umat islam. Ini kerana, terdapat beberapa makanan yang boleh dimakan oleh orang Yahudi tetapi tidak boleh dimakan oleh orang Islam. Begitu juga sebaliknya, terdapat beberapa makanan boleh dimakan oleh orang Islam tetapi tidak boleh dimakan oleh orang Yahudi.

Sepertimana Halal dalam Islam yang berlandaskan Al-Quran peraturan Kosher adalah berlandaskan dalam kitab Torah atau Pentateuch, iaitu Leviticus. Leviticus merupakan buku ketiga dalam kitab Torah atau Pentateuch daripada lima buku kesemuanya.

Sepertimana dalam firman Allah s.w.t dalam surah Surah al-Baqarah, ayat 172. ‘Oleh itu makanlah (wahai orang-orang yang beriman) semua yang telah dikurniakan Allah kepada kamu daripada benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika kamu hanya menyembah-Nya semata-mata.’

Antara petikan ayat dalam kitab Leviticus yang menjadi panduan orang Yahudi dalam peraturan Kosher adalah, ‘Adonai said to Moses and Aaron, ‘Tell the people of Isra’el, ‘These are the living creatures which you may eat among all the land animals.’

* Adonai adalah nama lain bagi Yahweh iaitu nama Tuhan orang Yahudi.

Persamaan Halal dan Kosher

Terdapat beberapa perkara yang boleh dikatakan sama antara Halal dan Kosher. Antaranya adalah:

1. Memakan Babi Dan Produk Daripada Babi Tidak Boleh Dimakan

Islam: Mengenai larangan memakan Babi bagi umat islam terdapat dalam Al-Quran (Al-Baqarah ayat 173): Allah berfirman, ‘Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi barangsiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.‘

Yahudi: Mengenai larangan memakan Babi pula bagi orang Yahudi terdapat dalam Leviticus (11:7): ‘And the pig, because it parts the hoof and is cloven-footed but does not chew the cud, is unclean to you.’

Babi adalah binatang paling taboo dalam kedua-dua agama samawi ini.

2. Larangan Memakan Haiwan Dua Alam
Islam dan Yahudi sama-sama melarang daripada memakan haiwan dua alam seperti katak ataupun penyu. Penyu adalah haiwan dua alam (amphibia) dan ia adalah haram dimakan oleh org Islam dan Yahudi.

3. Larangan Memakan Serangga

Islam dan Yahudi sama-sama melarang penganutnya memakan serangga. Walau bagaimanapun, belalang juta diharuskan memakannya dalam Islam. Bagi lebah pula, dilarang memakannya namun madu daripada lebah adalah Halal dan Kosher.

Madu adalah Halal dan Kosher meskipun lebah adalah Haram dan Trefa.

4. Binatang Buas Dan Mencakar

Islam dan Yahudi melarang penganut masing-masing memakan haiwan buas seperti harimau, beruang atau dan sebagainya. Haiwan jenis mencakar seperti burung helang, burung hantu, tikus dan sebagainya juga dilarang dimakan oleh penganutnya. Sabda Rasullulah s.a.w: ’Tiap-tiap binatang buas yang mempunyai taring adalah haram dimakan.’ (Hadis riwayat Muslim dan Tarmudzi)

Semua binatang yang mempunyai kuku atau cakar tajam seperti helang, rajawali dan sebagainya. Nabi s.a.w telah melarang tiap-tiap burung yang mempunyai kuku tajam.’ (Hadis riwayat Muslim)

Perbezaan Halal Dan Kosher

1. Arak

Islam: Arak diharamkan sebagai minuman dan apa jua jenis penggunaan arak dalam makanan terutama ketika memasak.

Yahudi: Arak adalah kosher dalam peraturan Yahudi.

Arak adalah haram di sisi agama Islam tetapi Kosher bagi agama Yahudi.

2. Makanan Laut

Islam: Makanan laut adalah halal kecuali yang memudaratkan seperti ikan Buntal beracun.

Yahudi: Haiwan laut jenis ikan yang bersisik dan bersirip adalah kosher dan boleh dimakan. Oleh itu, segala jenis kerang, tiram, ketam adalah tidak kosher dan tidak boleh dimakan oleh orang Yahudi.

3. Campuran Susu dan Daging

Islam: Islam tidak ada peraturan khas untuk makanan yang mengandungi campuran susu dan daging. Oleh itu, halal dimakan jika susu dan daging bercampur.

Yahudi: Orang Yahudi dilarang memakan sebarang makanan yang bercampur antara susu dan daging.

4. Haiwan Ternak

Islam: Islam menghalalkan semua binatang ternak seperti firman Allah s.w.t dalam surah Al-Maidah ayat 1: ’Dihalalkan bagimu binatang ternak.’

Yahudi: Orang Yahudi dibenarkan memakan haiwan ternak jika memiliki dua kriteria iaitu terpisah setiap jari kakinya dan mencerna makanannya dengan sempurna (haiwan ruminant) seperti dalam ayat Leviticus 11:3: ’You may eat any animal that has a split hoof completely divided and that chews the cud.’

Oleh itu, binatang seperti unta tidak kosher bagi mereka kerana walaupun unta mencerna dengan sempurna dengan cernaan dua kali (haiwan ruminant), tetapi ia mempunyai jari kaki yang tidak terbelah dua. Leviticus 11:4: ’There are some that only chew the cud or only have a split hoof, but you must not eat them. The camel, though it chews the cud, does not have a split hoof; it is ceremoniallyunclean for you.’

Unta Halal bagi orang Islam tetapi tidak Kosher bagi orang Yahudi.

5. Penyembelihan

Islam: Sembelihan dalam Islam dikenali sebagai  Dhabh. Haiwan yang disembelih mesti menggunakan pisau yang tajam dan disembelihkan di leher dengan cepat bagi mengurangkan kesakitan haiwan tersebut dengan menyebut lafaz ‘Bismillah, Allahu Akbar’. Lafaz akan disebut lagi bagi setiap ekor haiwan itu disembelih.

Meminum darah haiwan adalah haram di sisi agama Islam. Oleh itu, daging haiwan yang disembelih mestilah dibersihkan sepenuhnya. Muslim yang tinggal berjauhan dengan muslim yang lain boleh memakan haiwan sembelihan Ahli Kitab (Yahudi atau Kristian). Akan tetapi, kebiasaannya umat Islam sekarang mencari daging yang telah diimport khas daripada negara Islam.

Yahudi: Sembelihan dalam Yahudi dikenali sebagai Shechita. Haiwan yang disembelih mesti menggunakan pisau yang tajam dan disembelihkan di leher dengan cepat bagi mengurangkan kesakitan haiwan tersebut. Penyembelih Shechita dikenali sebagai Sochet. Adalah cukup untuk seorang Sochet menyebut nama Tuhannya sekali sahaja meskipun menyembelih melebihi seekor haiwan.

Meminum darah haiwan adalah haram di sisi agama Yahudi. Oleh itu, daging haiwan yang disembelih mestilah dibersihkan sepenuhnya.

Yahudi yang tinggal berjauhan dengan orang Yahudi yang lain tidak boleh memakan haiwan sembelihan selain agama Yahudi. Orang Yahudi akan mengimport khas daripada negara yang membekalkan haiwan sembelih yang Kosher.

Apakah Mazhab Waraqah Bin Naufal


Sesiapa sahaja masih mengingati sirah Rasullulah s.a.w apabila baginda mendapat wahyu pertama daripada Allah s.w.t melalui perantara malaikat Jibrail a.s di gua Hira’. Peristiwa di mana menyebabkan badan Rasullulah s.a.w yang mulia itu seram sejuk dan gementar seluruh badan apabila pulang ke rumah. Isteri baginda yang penyayang, Siti Khadijah bin Khuwalid menjadi tidak keruan melihat suami kelihatan benar-benar tidak sihat.

Ditanya beliau kepada Rasullulah dengan lemah-lembut dan penuh kasih sayang. Dengan keprihatinan Siti Khadijah pada Rasullulah s.a.w, baginda Rasullulah s.a.w mula menceritakan satu persatu peristiwa yang terjadi pada baginda di Gua Hira’. Baginda menceritakan bagaiman takutnya baginda dipeluk oleh Malaikat Jibrail sambil menyebut iqra’ yang bermaksud ’bacalah’ dengan berulang-ulang kali.

Manusia mana tidak gementar apabila datang makhluk yang tidak pernah dilihat sebelum ini tiba-tiba tampil memeluk badan ketika berada di dalam gua sempit seorang diri. Peristiwa Rasullulah s.a.w ini bagaikan satu beban yang berat kepada Siti Khadijah. Dengan tidak membuang masa, beliau terus menuju ke rumah sepupu tua beliau, Waraqah bin Naufal. Waraqah sememangnya diketahui oleh Siti Khadijah bahawa beliau pakar dalam kitab Taurat dan Injil dan memahami sebenar-benarnya isi kandungan kedua-dua kitab suci itu.

Waraqah mendengar satu persatu cerita daripada sepupu perempuannya itu. Selepas selesai cerita Khadijah itu, Waraqah memastikan dan menjamin kepada Siti Khadijah bahawa Muhammad akan menjadi rasul selaku nabi yang terakhir. Beberapa lama kemudian, Waraqah bin Naufal menemui sendiri Rasullulah s.a.w di Kaabah ketika Rasullulah bertawaf. Dialog antara Rasullulah dan Waraqah menyebabkan Waraqah menangis teresak-esak kerana beliau tahu, Rasullulah bakal diuji dengan dugaan yang maha hebat daripada kaumnya kelak.

Kaum Quraisy Mekah ketika itu sememangnya kaum yang telah disaluti kekafiran yang tebal. Diriwayatkan, sekitar Kaabah terdapat 60 berhala! Dalam perbualan yang menyayatkan hati itu, Waraqah sempat berkata kepada Rasullulah s.a.w: ’Demi Dia Yang memegang hidup Waraqah. Engkau adalah Nabi atas umat ini. Engkau telah menerima Namus Besar (Jibrail a.s) seperti yang pemah disampaikan kepada Musa. Pastilah kau akan didustakan orang, akan disiksa, akan diusir dan akan diperangi. Kalau sampai pada waktu itu aku masih hidup, pasti aku akan membela yang di pihak Allah dengan pembelaan yang sudah diketahuiNya pula.’

Waraqah yang terkenal alim itu mengetahui sebenar-benarnya kedatangan seorang rasul akhir zaman tetapi beliau tidak menyangka beliau sempat melihat dengan mata kepala beliau sendiri seorang rasul yang dijanjikan dalam setiap kitab suci sebelum ini. Malahan beliau teruja kerana yang bakal menjadi rasul itu adalah suami kepada sepupu rapatnya sendiri!

Berkenaan dengan penyataan awal Waraqah kepada Siti Khadijah yang beliau yakin Muhammad adalah seorang Rasul akhir zaman, ramai ulama menyatakan Waraqah telah berpandukan kepada ayat Isaiah 29:11-12 yang berbunyi: ‘For you this whole vision is nothing but words sealed in a scroll. And if you give the scroll to someone who can read, and say to him, ‘Read this, please, ‘ he will answer, ‘I can’t; it is sealed. Or if you give the scroll to someone who cannot read, and say, ‘Read this, please, ‘ he will answer, ‘I don’t know how to read.’

‘Read this, please’ adalah satu ayat suruhan. Ia sama dengan ayat ‘Iqra’ yang disuruh untuk dibaca oleh Jibrail a.s kepada lembaran yang ditunjukkannya. Ini keistimewaan seorang insan yang benar-benar memahami isi kandungan Taurat dan Injil dengan sebenar-benar faham!

Begitulah sedikit sebanyak cerita yang melibatkan Waraqah bin Naufal. Persoalannya sekarang, apakah agama anutan beliau? Sememangnya umum mengetahui agama anutan beliau adalah agama Kristian ataupun agama Nasrani. Tetapi apakah mazhab yang dianuti oleh Waraqah ini? Mazhab Waraqah kelihatan tidak seperti mazhab ’mainstream’ Kristian sekarang iaitu mazhab Katholik yang mana mereka tidak mempercayai akan kedatangan seorang Rasul akhir zaman. Malah mereka menyekutukan Allah s.w.t dengan berkata nabi Isa a.s adalah Anak Tuhan.

Terdapat riwayat menyatakan mazhab anutan Waraqah adalah mazhab Ebionite dan ada pula menyatakan mazhab Arianisme. Malah riwayat yang paling popular adalah beliau bermazhab Nestorian. Akan tetapi tiada riwayat menyatakan mazhab beliau adalah mazhab Katholik. Ini adalah kerana, kepercayaan Waraqah langsung tidak menggambarkan beliau adalah seorang mazhab Katholik. Tambahan pula, pada waktu tersebut, mazhab Katholik hanya ‘laku’ di negara Barat sahaja seperti di wilayah-wilayah taklukan Byzantine. Itu pun di Jerman terutama kaum Goth, Vandal dan Lombard memegang kuat kepercayaan Arianisme!. Di wilayah timur, ketiga-tiga mazhab ini, mazhab Eboinite, mazhab Arianisme dan mazhab Nestorian adalah paling popular dan mempunyai ramai pengikut. Mazhab Nestorian misalnya, telah lama memutuskan hubungan dengan mazhab yang tidak mengEsakan Tuhan seperti mazhab Katholik sehingga Kristian ketika itu terbahagi kepada dua blok iaitu Church of the West (Katholik) dan Church of the East (Nestorian).

Menariknya Ketiga-Tiga Mazhab Ini

Ketiga-tiga mazhab ini langsung tidak mempercayai bahawa Nabi Isa a.s adalah Anak Tuhan. Penganutnya mengutuk sekeras-kerasnya mazhab Katholik kerana menganggap Katholik seumpama agama Pagan atau agama Polystheism yang dianuti oleh orang Yunani dan Roman dahulu-kala.

Umum mengetahui bahawa mazhab Katholik mengamalkan doktrin Triniti iaitu mempercayai Nabi Isa a.s mempunyai tiga sifat, Isa sebagai Anak Tuhan, Roh Kudus dan Bapa (Tuhan). Manakala ketiga-tiga mazhab ini mengamalkan kepercayaan bahawa Nabi Isa a.s adalah hamba Allah yang diutuskan untuk menjadi Rasul-Nya. Penganut Kristian mendakwa bahawa Nabi Isa disalib dan diangkat ke langit 3 hari kemudian.

Mazhab Ebionite

Mazhab ini dianggap mazhab terawal sekali wujud. Kebanyakan penganut mazhab ini adalah orang Yahudi. Mereka percaya bahawa Nabi Isa a.s adalah nabi mereka. Dengan segala mukjizat dan saranan Nabi Isa a.s untuk menyembah Tuhan yang satu menyakinkan mereka bahawa Nabi Isa a.s adalah nabi seterusnya selepas Nabi Malachi a.s. Penganut mazhab ini digelar Nazarenes (merujuk kepada tempat kelahiran Nabi Isa a.s di Nazareth). Orang Arab mengelar mereka Nasrani. Daripada perkataan inilah perkataan Nasrani selalu disebut untuk merujuk kepada semua orang Kristian meskipun mazhab mereka bukannya Ebionite. Ebionite sebenarnya membawa maksud Yang Termiskin. Mereka meminjam perkataan Hebrew iaitu Evionim.

Dipercayai bahawa pengasas Mazhab Ebionite adalah James the Just. Orang Yahudi memanggil James sebagai Yohannes. James yang juga sepupu Nabi Isa a.s adalah seorang pengikut Nabi Yahya a.s sebelum menjadi hawari Nabi Isa a.s.

Mazhab Ebionites mendakwa bahawa Paul yang kemudian mengasaskan ajaran Pauline Christianity adalah guru palsu. Paul didakwa mengajar anak muridnya bahawa Nabi Isa a.s adalah Anak Tuhan. Ini menimbulkan kemarahan mazhab Ebionites. Ajaran Paul ini kemudiannya menular dengan cepatnya sehingga tertubuhnya mazhab baru iaitu Katholik.

Ajaran Ebionites berlandaskan kepada Gospel of Hebrews sebelum dihapuskan oleh musuh mazhab ini pada Persidangan pertama Kristian di Nicea pada 325 Masehi. Gospel dan buku ajaran Ebionites dibakar bersama-sama mazhab yang tidak sealiran dengan Pauline Christianity.

Persidangan di Nicea pada 325 Masehi adalah persidangan pertama agama Kristian. Di sebalik kontroversi mazhab, berlaku juga kontroversi di mana Constantine ragu-ragu untuk memasukkan Book of Revelation ke dalam New Tastament. Meskipun begitu, ajaran Ebionite masih lagi tetap bertahan di timur sehinggalah kelahiran Rasullulah s.a.w pada 512 Masehi.

Mazhab Arianisme

Mazhab ini terbentuk dengan seorang pengasas yang bernama Arius. Arius sezaman dengan Maharaja Costantine I, seorang bermazhab Katholik. Arius adalah paderi di Buchalis, Alexanderia. Beliau juga seorang penceramah agama yang popular. Beliau adalah antara individu yang kuat menentang ajaran Biskop yang bernama Alexander. Beliau merasakan agama Kristian telah dicemari dengan falsafah-falsafah yang salah dan menyesatkan. Beliau mengganggap Nabi Isa a.s adalah seorang Rasul yang diutuskan Allah s.w.t ke dunia dan bukannya seorang Anak Tuhan sebagaimana yang dianggap oleh Biskop Alexander dan pengikutnya.

Biskop Alexander berasa terancam dengan perkembangan Arius dan ajarannya. Beliau terus menemui Maharaja Constantine I untuk menyelesaikan masalah beliau. Akhirnya, Persidangan Nicea pada 325 Masehi menjadi medan perbahasan paderi pro-Arius dan paderi pro-Triniti.

Perdebatan hebat antara Arius dan paderi-paderi menjadi hangat sehingga seorang paderi Katholik terkenal Nicholas of Myra menampar Arian di mukanya. Begitulah hebatnya penangan Arius ketika perdebatan itu berlaku. Nicholas adalah watak asal Santa Claus yang selalu muncul di kaca televisyen apabila menjelang Krismas.

Persidangan berat sebelah itu akhirnya dimenangi oleh Katholik selepas paderi-pederi seramai lebih daripada 300 orang itu dipercayai telah diugut oleh Maharaja Constatine I menyerahkan patisyen menyokong ajaran Katholik dan doktrin Triniti mereka. Hanya 2 orang paderi dari Libya yang tidak menyokong Katholik dan akhirnya dipecat daripada menjadi paderi di kawasan mereka.

Persidangan Nicea pada 325 Masehi itu menjadi titik tolak kepada ajaran Kristian sekarang yang mana telah menolak mazhab selain daripada Katholik. Namun, ajaran Arius tetap tersebar dengan pesat di timur walaupun telah diharamkan. Orang Islam mengganggap ajaran Arius adalah asas daripada ajaran asal Kristian oleh Nabi Isa a.s. Malang bagi Arius, beliau telah meninggal dunia akibat diracun oleh musuh beliau ketika menghadiri persidangan di Constatine’s Forum. Ramai mempercayai beliau diracun oleh Constantine sendiri.

Ironinya, Arius mempunyai terlampau ramai pengikut termasuk anak Constatine sendiri iaitu Constantine II. Malahan, Maharaja Velens dan Eusebius of Nicamedia juga seorang pengikut ajaran Arian. Eusebius adalah tukang baptist Constantine. Constantine dibaptistkan ketika beliau sudah meninggal dunia. Tahap Kristian Constatine masih lagi menjadi persoalan.

Archbishop Dmitri pernah menyatakan bahawa Islam adalah kesinambungan ajaran Arius kerana ajaran Arius mempunyai persamaan yang ketara terutama mengenai Nabi Isa a.s sebagai Rasul Allah dan bukannya Anak Tuhan. Sememangnya, mazhab Arianisme adalah mazhab Kristian tulen selain daripada mazhab Ebionites dan Nestorian. Apa yang menarik lagi tentang mazhab Arianisme adalah Isaac Newton adalah penganut Arianisme secara sembunyi-sembunyi!

Mazhab Nestorian

Mazhab ini dipelopori oleh seorang paderi bernama Nestorius. Beliau hidup sekitar 386-451 Masehi. Beliau adalah paderi di gereja di Constatinople (Istabul sekarang). Dalam ajaran Nestorius, beliau menyatakan bahawa Mariam iaitu Nabi Isa a.s tidak boleh dipanggil Theotokos (ibu Tuhan) tetapi perlu dipanggil Christokos (ibu Christ).

Walau bagaimanapun, mazhab Nestorian berlainan sedikit berbanding mazhab Ebionites dan mazhab Arianisme. Mazhab Nestorian menggangap Nabi Isa mempunyai dua watak iaitu watak manusia biasa dan watak Tuhan. Pandangan Nestorius ini dikecam teruk oleh Cyril, Bishop daripada Alexanderia. Pada persidangan di Ephesus pada 431 Masehi, Nestorius dan pengikutnya dikecam dan dikritik menyebabkan beliau terpaksa dibuang negeri ke biara kecil di gurun Libya.

Sebenarnya, inilah titik tolak pengembangan ajaran Nestorian. Ajaran ini akhirnya berpecah terus daripada ajaran Church of the West yang berpusat di Byzantine ketika itu. Ajaran Nestorian menjadi ajaran persendirian yang digelar Church of the East. Ia tersebar luas sekitar Asia Tengah, Timur Tengah dan kawasan Hijaz. Malahan terdapat sumber menyatakan, Nestorian telah tersebar hingga ke China, Mongolia dan persisir Jepun-Korea.

Kisah Rasullulah s.a.w ketika berumur 12 tahun iaitu ketika baginda mengikut bapa saudara baginda, Abu Talib berniaga di Syam (Syria sekarang). Kabilah Abu Talib telah dipelawa oleh seorang Paderi Nasrani untuk menjamu selera di biara beliau. Paderi tersebut adalah Bahirah. Paderi yang baik hati itu telah memberi nasihat kepada Abu Talib supaya balik segera ke Mekah kerana bimbangkan keselamatan anak saudara beliau iaitu Rasullulah s.a.w kerana beliau telah melihat tanda-tanda kenabian pada anak saudaranya itu. Bahirah menambah, kemungkinan jika diketahui oleh orang Yahudi di Syam, mesti dibunuh Muhammad s.a.w. Dengan perasaan gementar, terus dibawa kabilahnya pulang ke Mekah ketika itu juga. Dipercayai bahawa Bahirah adalah seorang paderi bermazhab Nestorian.

Penutup

Melalui ketiga-tiga mazhab ini, diketahui bahawa Waraqah bin Naufal adalah seorang Nasrani yang tulen. Rasullulah s.a.w melarang sekeras-kerasnya barang siapa yang mengutuk Waraqah bin Naufal kerana terdapat sahabat berselisih faham mengenai Waraqah. Rasullulah s.a.w ketika ditanya oleh sahabat baginda mengenai Waraqah bin Naufal, Rasullulah s.a.w bersabda; ‘Jangan memfitnah Waraqah ibn Naufal kerana aku lihat beliau akan mendapat satu atau dua taman di syurga.’ (Hadis Shahih riwayat Al-Hakim)

Dalam bab mazhab, Waraqah lebih mirip bermazhab Ebionites berbanding dua mazhab lain. Ini melibatkan ciri-ciri percakapan Waraqah bin Naufal kepada Rasulullah s.a.w ketika mula mendapat wahyu dan kepercayaan beliau mengenai kedatangan Rasul akhir zaman.

Waallahulam.

Gua Persembunyian 7 Pemuda Beriman


Menurut ayat 17 surah al-Kahfi, kita boleh mengambil beberapa fakta untuk dijadikan bahan kajian. Antara maksud ayatnya adalah: ’Dan kamu akan melihat matahari ketika terbit, condong dari gua mereka ke sebelah kanan, dan bila matahari terbenam menjauhi mereka ke sebelah kiri sedang mereka berada dalam tempat yang luas dalam gua itu.’

Menurut Ibnu Kathir dalam bukunya Shahih Ibnu Kathir halaman 502, Ibnu Kathir dengan panjang lebar telah menghuraikan mengenai kedudukan sebenar gua tersebut namun beliau tidak pula memberitahu nama tempat persembunyian ketujuh-tujuh pemuda tersebut. Menurut Ibnu Kathir, pintu gua yang menjadi tempat persembunyian ketujuh-tujuh pemuda tersebut berada di sebelah utara. Ia didasarkan dengan firman Allah s.w.t memberitahu: ’Dan kamu akan melihat matahari ketika terbit, condong dari gua mereka ke sebelah kanan’, yang membawa maksud jika sinar matahari menyinarinya sewaktu matahari terbit, matahari akan dilihat condong dari gua itu dalam sebelah kanan mereka.

Ingatan bahawa, condong yang dimaksudkan bukannya bayangan tetapi condong yang dimaksudkan adalah penglihatan mereka. Ini kerana ramai yang beranggapan condong dalam firman Allah s.w.t itu adalah bayangannya sedangkan ayat tazawarru yang membawa maksud condong dalam bahasa Melayu itu jika ditafsirkan berdasarkan linguistik Arab adalah kecondongan penglihatan.

Bagaimana pula dengan ayat ’dan bila matahari terbenam menjauhi mereka ke sebelah kiri sedang mereka berada dalam tempat yang luas dalam gua itu’ dalam ayat 17 surah al-Kahfi?

Menurut Ibnu Kathir dalam kitabnya, Shahih Ibnu Kathir, cahaya matahari yang menyinari mereka akan beransur-ansur menjauhi mereka ke sebelah kiri ketika matahari hendak terbenam (merujuk kepada pintu gua yang menghadap ke selatan). Dalam erti kata lain, bayangan akan jatuh ke sebelah timur apabila cahaya masuk ke dalam gua tersebut.

Dalam konteks ayat terakhir, ianya merujuk kepada tempat yang luas. Ia adalah kata kunci terakhir untuk mencari gua yang sebenar-benarnya yang mana telah menjadi tempat persembunyian 7 pemuda beriman tersebut. Semestinya gua yang menempatkan mereka bertujuh adalah luas dan selesa untuk didiami oleh lelaki dewasa yang seramai tujuh orang.

Daripada ayat 17 surah al-Kahfi ini, penulis dapat simpulkan bahawa ayat ini mengandungi hikmah yang sungguh banyak. Ini kerana, seandainya pintu gua itu menghadap ke timur, nescaya tidak akan ada sinar yang masuk sewaktu matahari terbenam. Seandainya pintu gua itu menghadap ke selatan, nescaya sinar itu tidak dapat masuk ketika matahari terbit dan tidak pula ketika matahari terbenam bahkan bayangan juga tidak condong ke kanan atau kiri. Seandainya pintu gua itu menghadap ke barat, nescaya sinar matahari juga tidak dapat masuk ketika matahari terbit tetapi hanya menyinari hanya setelah matahari tergelincir dan akan tetap menyinari sehingga terbenam.

Maka di situ letaknya hikmahnya. Allah s.w.t sengaja memberi ilham kepada ketujuh-tujuh pemuda tersebut untuk menemui gua tersebut sedangkan mereka sendiri tidak mengetahui bahawa Allah s.w.t telah menetapkan aturannya. Maha Suci Allah Yang Maha Bijaksana. Allahuakbar.

Tempat Yang Dikaitkan Dengan Gua Ashabul Kahfi

Telah menjadi perdebatan zaman berzaman mengenai tempat persembunyian mereka. Walau bagaimanapun, Allah s.w.t langsung tidak memperihalkan di mana tempat sebenar mereka bersembunyi. Sebab utamanya adalah kerana ia tidak memberi manfaat bagi umat Islam kerana Allah hanya mahu hamba-Nya mengambil iktibar kisah pejuangan tujuh pemuda mempertahankan akidah.

Namun, itu tidak bermakna ulama-ulama Islam tidak mengkajinya secara khusus. Terdapat sekurang-kurangnya ENAM buah tempat yang sering dikaitkan dengan kisah Ashaabul Kahfi ini. Antara tempat yang dikaitkan adalah Ephesus, Kahramanmaras,  dan Mardin di Turki, Gua di Jabal Qassiyyun, Syria, Abu Alanda, Jordan dan Maimuna, di Afghanistan. Keenam-enam tempat yang dikaitkan dengan kisah Ashaabul Kahfi ini mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Namun, apa yang pasti ialah tempat yang dikaitkan mesti pernah menjadi pusat pemerintahan Romawi Timur (Byzantine) satu ketika dahulu.

Dalam enam tempat yang sering dikaitkan dengan gua persembunyiaan Ashaabul Kahfi ini hanya terdapat DUA sahaja yang sering diperkatakan iaitu Gua di Ephesus (Tarsus), Turki dan Gua di Abu Alanda, Jordan. Tidak menghairankan jikalau pertikaian ini sering berlaku kerana banyak peristiwa seperti makam para Rasul dan Nabi, makam para Wali Allah dan makam para sahabat mempunyai lebih daripada dua tempat yang berlainan. Sebagai contoh makam seorang wali Allah Sheikh Yusuf al-Makasar mempunyai tiga makam yang berlainan iaitu di Sri Lanka, Cape Town, Afrika Selatan dan Lakiung, Indonesia.

Walau bagaimanapun, Gua di Ephesus mempunyai kekuatan yang tersendiri kerana Ephesus sangat terkenal sebagai tempat pemerintahan Romawi Byzantine suatu ketika dahulu. Jika pembaca melawat ke Ephesus, masih berjaga dengan rapi tinggalan-tinggalan sejarah berunsur Romawi di Ephesus seperti Theater of Ephesus, Road of Accadian, Temple of Artemis, Temple of Handrian dan lain-lain lagi.

Bukan sahaja dikaitkan dengan pemerintahan Romawi Byzantine, Ephesus juga dikaitkan dengan penyebaran agama Nasrani oleh para hawari Nabi Isa a.s. Malahan pada 431AD, Ephesus telah dijadikan tempat untuk perbincangan keagamaan agama Nasrani yang dikenali sebagai General Council of Ephesus. Dalam perbincangan ini, tokoh Nasrani terkenal iaitu Nestorius telah diselar kerana mengamalkan ajaran Nasrani yang berlainan. Perbincangan keagamaan yang diketuai oleh pemimpin Romawi Byzantine (telah menganut agama Nasrani) iaitu Theodius telah sebulat suara menyatakan bahawa Mariam (Mary) adalah ibu kepada anak Tuhan (son of God) dan bukannya ibu kepada anak manusia (son of man) yang telah dipertahan habis-habisan oleh Nestorius dan pengikutnya.

Jika perbuktiaan mengenai gua di Ephesus dikaitkan dengan dalil-dalil daripada Al-Quran, ia sangat bertepatan berbanding gua yang berada di Abu Alanda, Jordan. Ini adalah kerana pintu gua di Ephesus menghadap ke arah selatan (ke arah Mekah) berbanding gua di Abu Alanda yang terpesong sedikit menghadap ke Timur Laut.

Walau bagaimanapun, tempat sebenar gua Ashaabul Kahfi hanya dalam pengetahuan Allah s.w.t. Rasullulah s.a.w pernah mengingatkan umatnya dalam sabdanya jika terdapat masalah berkaitan keagamaan. Sabda Rasulullah s.a.w: ‘Tidaklah aku meninggalkan sesuatu yang dapat mendekatkan kalian ke syurga dan menjauhkan kalian dari neraka melainkan aku benar-benar telah memberitahunya kepada kalian.’

Antara lain hadis ini bermaksud bahawa Rasulullah s.a.w telah pun memberitahu semua perkara yang berkaitan dengan Islam dan jika terdapat perkara yang tidak diberitahu maka ia adalah sesuatu yang tidak mempunyai kaitan dengan akidah dan iman kita. Maka, perkara yang berkaitan dengan tempat letaknya gua Ashaabul Kahfi tidak memberi kesan kepada iman dan akidah kita sama ada Rasulullah s.a.w memberitahu tempatnya atau tidak memberitahunya.

Ulama tafsir seperti Ibnu Kathir menyamakan firman yang berbunyi: ’Dan kamu mengira mereka itu bangun, padahal mereka tidur’ dengan perilaku serigala yang hanya menutup sebelah mata dan membuka mata yang sebelah lagi semasa tidur. Ini adalah salah satu kebijaksaan Allah s.w.t yang mengatur setiap kejadian menurut kemahuan-Nya.

Menurut ulama tafsir terkenal tersebut, ketika Allah s.w.t menutup telinga mereka ketika tidur sepertimana firman Allah s.w.t dalam ayat 11 surah al-Kahfi, mata ketujuh-tujuh pemuda tersebut tidak terpejam penuh. Mata itu tetap nampak terbuka untuk menerima oksigen. Dengan itu, ia lebih membuatkan mereka bertahan lama sehingga beratus-ratus tahun.

Kemudian Allah s.w.t berfirman ‘Dan Kami bolak-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri’, Ibnu Abbas ra berkata; Seandainya mereka tidak dibolak-balikkan, nescaya bumi akan memakan mereka. Secara saintifiknya, begitulah hakikatnya. Jika tubuh manusia hanya terlentang di sebelah tubuhnya sahaja, maka tidak bergeraklah aliran darahnya secara normal. Jika keadaan berlaku sebaliknya, maka akan berlakulah masalah penyakit seperti gangrene, kekebasan dan sebagainya akibat aliran darah yang tersekat. Itulah kebijkasanaan Allah s.w.t yang membuat aturannya.

Tempoh Para Ashaabul Kahfi Tidur

Allah s.w.t telah menyebut bahawa tempoh masanya adalah Tiga Ratus Tahun ditambah Sembilan Tahun Hilaliyah (Qamariyyah). Sedangkan dalam hitungan tahun Syamsiyah lama tempohnya adalah Tiga Ratus Tahun. Bagi yang tidak memahami Tahun Qamariyyah dan Tahun Syamsiyah, penulis hanya boleh beritahu bahawa Tahun Qamariyyah memiliki tambahan tahun sebanyak TIGA tahun setiap kali genap satu abad (100 tahun). Ini bermakna, jika Tahun Syamsiyah adalah 300 tahun atau tiga abad, ia adalah bermakna 309 tahun Qamariyah akibat penambahan 3 tahun setiap kali genap 100 tahun.

Berapa Ramaikah Ahli Ashaabul Kahfi Yang Sebenarnya?

Allah s.w.t berfirman memberitahu tentang perbezaan pendapat manusia mengenai jumlah Ashaabul Kahfi. Dalam ayat 22 surah al-Kahfi, kita dapat menemui Allah s.w.t memberi TIGA pendapat berbeza. Namun, tiada pula pendapat keempat. Allah s.w.t menyatakan kelemahan DUA pendapat yang terawal yang menyebut tentang terkaan terhadap yang ghaib.

Ibnu Kathir menyatakan bahawa ia sama seperti seseorang membaling batu ke dalam belukar yang gelap. Tidak diketahui sama ada ia boleh ditemui lagi atau tidak. Dua pendapat nyata sangat lemah dan hanya timbul akibat perbalahan sesama ahli kitab. Seterusnya Allah s.w.t menyatakan jumlah bilangan pada rangkap terakhir. Para ulama salafi mentafsirkan bahawa pendapat terakhir adalah jumlah sebenar-benarnya ahli Ashaabul Kahfi iatu Tujuh Orang ditambah dengan seekor anjing. Ia dikukuhkan lagi oleh beberapa testimonial daripada para tabiin sebagaimana berkata; Daripada Qatadah mengatakan daripada Ibnu Abbas ra, beliau berkata; ’Aku termasuk yang sedikit yang dikecualikan oleh Allah s.w.t, dan yang benar, mereka berjumlah tujuh orang.’

Allah s.w.t telah memperihalkan satu persatu kejadian yang berlaku kepada tujuh pemuda beriman itu. Ia dimulai dengan ayat 9 dalam surah al-Kahfi. Raqim dalam ayat ini telah ditafsirkan sebagai anjing Qitmir yang telah mengikut tujuh pemuda beriman tersebut ketika melarikan diri daripada raja yang zalim. Namun terdapat sebilangan ahli tafsir lain mentafsirkan Raqim adalah batu bersurat. Sesetengah pendapat mengatakan ia adalah nama tempat yang menempatkan mereka bertujuh ketika bersembunyi. Walau bagaimanapun pendapat yang mengatakan Raqim adalah anjing Qitmir diterima sebagai pendapat yang utama kerana kesesuaian faktanya dengan situasi kisah Ashaabul Kahfi.

Kisah Ashaabul Kahfi sebenarnya adalah kisah misteri yang sentiasa menjadi pendebatan ahli-ahli kitab iaitu Kristian dan Yahudi. Mereka kerap bertengkar mengenai hal-hal yang kecil seperti jumlah bilangan mereka dan beberapa lama mereka ditidurkan di dalam gua. Mereka tidak pula mengambil pengajaran daripada kisah tersebut. Teguran Allah dapat disaksikan di dalam ayat 12 Surah al-Kahfi ini: ‘Kemudian Kami bangunkan mereka, agar Kami mengetahui manakah di antara kedua golongan itu yang lebih tepat dalam menghitung berapa lama mereka tinggal (dalam gua itu).’

Ayat kedua golongan itu bermaksud dua golongan yang bertelagah hanya disebabkan oleh berapa hari mereka tinggal di dalam gua. Sebenarnya, iktibar utama dalam kisah Ashaabul Kahfi ini adalah mengenai kekuasaan Allah s.w.t untuk membangkitkan dan mematikan hamba-Nya. Surah al-Kahfi diturunkan disebabkan begitu ramai ahli kitab pada waktu itu tidak yakin tentang kehidupan selepas kematian dan juga alam roh. Pelbagai pertikaian mengenai alam roh yang mereka kemukakan seperti kebangkitan ketika hari kiamat nanti hanya adalah roh bukannya jasad, di sebelah lagi membangkang dengan menyatakan kebangkitan nanti akan disertai roh dan jasad. Perbalahan mereka tiada penghujungnya. Maka dengan turunnya surah al-Kahfi dan kisah Ashaabul Kahfi maka terjawablah segala persoalan yang sering bermain di fikiran mereka.

Waallahualam..

 ~ Kisah Ashaabul Kahfi turut dikenali oleh penganut Kristian sebagai Seven Sleepers. Kisah ini mula tersebar ke seluruh wilayah taklukan Kristian apabila Paul the Deacon (720-799) dan Gregory the Tours (538-594) menulis sebuah kisah mengenai keajaiban yang berlaku kepada tujuh orang pemuda berserta seekor anjing. Kisah ini berdasarkan kisah benar yang menjadi kisah turun temurun di Ephesus, Turki. Ajaibnya adalah kisah ini 100% sama seperti kisah Ashaabul Kahfi yang diceritakan daripada ayat 9 hingga ayat 26. 

Sabtu, 5 Mei 2012

Kisah Kebiadapan Abrahah


Sejarah telah mencatatkan bahawa tanggal di mana Abrahah menyerang Kaabah bersamaan dengan kelahiran junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w. Ia adalah kejadian yang besar maknanya dan mempunyai hikmah yang tersendiri.

Kisah kebiadapan Abrahah untuk membinasakan Kaabah tersemat dalam banyak kitab sirah. Malahan Al-Quran merakamkan episod tersebut di dalam surah Al-Fiil daripada ayat 1 sehingga ayat 5 sebagai pengajaran kepada manusia supaya tidak berlaku bongkak dengan Allah s.w.t.

Abrahah adalah seorang gabenor kepada raja Najasyi di Habsyah. Beliau beragama Kristian Orthodox. Abrahah pada awalnya bukannya seorang gabenor tetapi hanya panglima kepada seorang wakil raja Najasyi yang diutuskan untuk memerangi seorang pembesar Najran di Yaman yang zalim. Pembesar tersebut dikenali sebagai Zul Nawwas.

Kezaliman raja tersebut bertitik-tolak daripada pembunuhan beramai-ramai penganut Kristian di Yaman. Cerita kezaliman Raja Zul Nawwas ada diabadikan dalam Al-Quran dalam surah Al-Buruj ayat 4 sehingga ayat 9. Allah menggelar penganut Kristian yang dibunuh oleh raja tersebut sebagai ‘orang-orang beriman’. (Surah Al-Buruj 85:8)

Namun, selepas pembesar tersebut tewas, wakil Raja Najasyi mula bertindak luar batasan dan berlaku zalim. Ia menimbulkan kemarahan Abrahah. Abrahah dengan sokongan tentera yang setia kepadanya memerangi wakil raja Najasyi tersebut. Maka berlakulah pertarungan satu lawan satu. Abrahah memenangi pertarungan tersebut namun hidung beliau luka parah akibat terhunus pedang lawannya.

Dengan kemenangan tersebut, Abrahah telah menjadi raja di Yaman. Beliau mendirikan gereja dan memperbaiki kemudahan di sekitar tanah jajahannya. Walau bagaimanapun, sikap bongkak dan cemburunya mula menguasai diri apabila menyaksikan gereja miliknya tidak mendapat sambutan sebagaimana sambutan terhadap Kaabah di Mekah. Insiden yang dikaitkan dengan penghinaan gereja yang dibina juga menyemarakkan api dengki dan bongkaknya.

Beliau mengambil keputusan untuk membinasakan Kaabah pada tahun 570 Masehi dengan menggunakan tentera bergajah miliknya. Perjalanan yang ditempuhi daripada Yaman menyaksikan beberapa peninggalan bersejarah seperti laluan tentera bergajah, telaga dan inskripsi kuno di batuan-batuan sekitar Yaman dan Mekah.

Abrahah dan tentera bergajah dihancurkan Allah s.w.t dengan lontaran batu Sijjil daripada neraka yang diriwayatkan sebesar sebiji kacang yang mana telah dibawa oleh burung Ababil. Lontaran batu tersebut bagaikan hempasan peluru berpandu sehingga menghancurkan seluruh tentera bergajah miliknya. Allah s.w.t mengibaratkan mereka seperti daun-daun yang dimakan ulat. (Surah Al-Fiil 105:5)

Abrahah diriwayatkan telah meninggal dunia semasa dalam perjalanan pulang ke Yaman. Abrahah cedera teruk akibat terkena hanya satu lontaran batu Sijjil di badannya.

Laluan tentera bergajah Abrahah terletak di kawasan berdekatan Taif dan mengadap ke Hijjaz. Kawasan ini dikatakan laluan tentera bergajah Abrahah dan juga tentera berkudanya. Laluan ini diperbuatkan daripada batu granit yang setiap satunya tidak mempunyai saiz yang sama. Terdapat juga sebuah tempat yang dikatakan menjadi kem tentera Abrahah untuk berehat. Orang Arab menggelarkan tempat ini sebagai Laluan Gajah.

Telaga tentera Abrahah pula dipercayai pernah digali oleh tentera Abrahah di sekitar Mekah sebelum bergerak untuk membinasakan Kaabah. Telaga itu dipercayai berjumlah 5 buah kesemuanya. Kemungkinan besar untuk menampung gajah serta kuda yang berpuluh-puluh ekor banyaknya. Melihat kepada telaga tersebut, peperangan dan pengepungan tersebut memakan masa berbulan-bulan lamanya.

Inskripsi Mengenai Abrahah

Sememangnya tiada langsung pernyataan tentang kemusnahan tentera Abrahah diserang burung Ababil mahupun keinginan mereka memusnahkan Kaabah. Akan tetapi, daripada sudut yang lain, ia menunjukkan watak Abrahah memang wujud dan sememang seorang yang mempunyai ego yang tinggi. Daripada sudut yang lain, ia menunjukkan inskripsi ini bukan dicipta atau direka oleh seseorang yang memiliki pengetahuan tentang Al-Quran atau hadis kerana tiada pernyataan tentang Nabi Muhammad atau datuknya, Abdul Mutallib. Inskripsi ini kemungkinan besar ditulis oleh seseorang atas arahan Abrahah sendiri. Di bawah adalah maksud inskripsi tersebut:

‘Dengan kuasa Allah Yang Maha Kuasa dan juruselamat (Messiah) Raja Abrahah Zeebman, Raja Saba’a, Zuridan, dan Hadramaut dan Yaman dan puak-puak gunung dan pantai menulis ayat-ayat ini ke medan perang menentang puak Ma’Iklan, pertempuran al-Rabiya dan pada bulan ’Dhu al Thabithan’, berjuang semua Bani A’amir dan melantik Raja Abi Jabar dengan Kinda dan Al-Bishar bin Hasan dengan Sa’ad, Murad, dan Hadra-maut di hadapan tentera menentang Bani Amir dari Kinda dan Al di lembah Zu Markh dan Murad dan Sa’ad di lembah Manha dalam perjalanan untuk Serban dan membunuh dan menawan dan mengambil harta rampasan dalam kuantiti yang besar dan Raja berperang di Halbandan mencapai Ma’ad dan mengambil harta rampasan dan banduan, dan selepas itu, menakluk Omro bin al-Munzir (Abrahah) yang dilantik anak (Omro) sebagai pemerintah dan kembali dari Hal Ban (halban) dengan kuasa yang Maha Berku-asa dalam bulan A’allan Zu pada tahun 62 dan 600.’

Jadikan Ikhtibar Dari Kemusnahan Pompeii


Subjek mengenai Pompeii sudah mangli dibincangkan. Mangli juga dilihat isu Pompeii diutara dan dibahas dalam pelbagai wadah. Kemungkinan subjek mengenai Pompeii ada tarikan tersendiri. Mengikut para sejarawan, Pompeii adalah antara bandar metropolitan yang maju daripada segi peradaban, senibina, budaya dan sosial di Itali. Akan tetapi, sangat mundur daripada segi moral dan agama. Masyarakat Pompeii begitu terbuka dalam mengamalkan cara hidup. Tiada penghalang bagi mereka untuk melakukan sesuatu yang mereka suka. Semuanya adalah baik bagi mereka meskipun menyalahi norma masyarakat.

Penulis seperti mana ramai yang lain begitu tertarik dengan apa yang terdapat di Pompeii. Pompeii maju, budaya sofitikated dan masyarakat yang fleksibel namun daripada segi agama, mereka runtuh. Di sini adalah titik permulaan daya tarikan Pompeii pada kaca mata penulis.

Pompeii musnah sama sekali pada 79AD. Malang bagi Pompeii, bandar metropolitan ini hilang daripada ingatan masyarakat dunia sejak tarikh itu. Apa yang berlaku di Pompeii hingga menghilangkannya dalam peta dunia pada 79AD?

Peristiwa Pada 79AD

Gunung Vesuvius berada tidak sampai 100km daripada pusat bandar Pompeii. Masyarakat Pompeii menganggap Gunung Vesuvius sebagai pelengkap landskap hebat Pompeii. Tiada seorang pun di antara mereka curiga dengan Gunung Vesuvius yang bagaikan memerhati galagat masyarakat Pompeii dalam diam.

Pada 79AD, bagaikan melepaskan kemarahan yang telah lama dipendam, Gunung Vesuvius telah meluahkan bertan-tan debu beracun ke arah Pompeii dan bandar jirannya, Herculenium. Peristiwa itu menyebabkan masyarakat Pompeii menjadi kelam-kabut. Hasil arkeologi pada tahun 1748 telah menemui beratus-ratus mayat yang terawet kemas di dalam timbunan debu-debu beracun daripada Gunung Vesuvius. Pelbagai reaksi akhir dipamerkan. Malah terdapat mayat yang menunjukkan reaksi begitu mengerikan termasuk satu mayat anjing yang terawet seakan-akan menggelupur kesakitan sebelum menemui ajal. Anjing itu tidak sempat dibukakan ikatan mungkin kerana tuannya terlampau tergesa-gesa untuk menyelamatkan diri.

Tiada apa yang mengejutkan melainkan penemuan banyak pasangan mayat yang terawet sedang melakukan persetubuhan. Dalam satu penemuan lain, ahli arkeologi menemui pula kedudukan mayat dalam persetubuhan luar tabii. Ini membangkitkan kisah misteri di sebalik tragedi 79AD. Masakan tidak, tragedi ini adalah mirip tragedi yang berlaku pada kaum Nabi Lut a.s. di Sodom dan Gomorroh dan kaum-kaum lain yang dihapuskan Allah s.w.t seperti yang terdapat di dalam Al-Quran.

Apa yang lebih mengejutkan adalah penemuan mayat-mayat seperti sedang menikmati juadah seakan-akan mereka tidak sedar bahawa azab seksa sedang menghambat mereka. Sangat aneh dan takjub. Itulah sahaja ungkapan yang sesuai untuk digambarkan. Dalam firman Allah s.w.t: ‘Dan amatlah banyaknya kaum-kaum kafir yang Kami telah binasakan sebelum mereka engkau tidak menyedari ataupun mendengar suara yang sayup bagi seseorang pun dari orang-orang yang telah dibinasakan itu.’ (Surah Maryam ayat 98)

Selain mayat-mayat yang terawet, bangunan-bangunan di Pompeii seperti dipelihara kemas. Allah s.w.t Maha Mengetahui. Allah telah membiarkan ia terpelihara bagi merakamkan kehidupan sebenar di Pompeii pada ketika itu. Penemuan ahli arkeologi mengenai ukiran mozek berunsur erotik dan prostitusi telah membuatkan ramai cendekiawan agama terpaku seketika. Beginilah agaknya harga sebuah kemodenan.

Bayangkan bagaimana murkanya Allah s.w.t kepada masyarakat Pompeii. Mereka telah melampaui batas-batas norma masyarakat malah tidak terlalu teruk kalau dikatakan mereka telah melepasi tahap kejahilan masyarakat Lut. Subhanallah.

Kemungkinan Diturunkan Seorang Rasul Di Pompeii

Rasul ditugaskan Allah s.w.t untuk memandu manusia ke jalan yang lurus untuk menyembah Allah yang Esa. Rasul diutuskan di setiap umat sepertimana firman Allah s.w.t yang bermaksud:’Dan bagi tiap-tiap satu umat ada seorang Rasul (yang diutuskan kepadanya); setelah datang Rasul masing-masing (menerangkan apa yang mesti diterangkan) maka hukuman pun dijalankan di antara mereka dengan adil dan mereka tetap tidak dianiaya.’ (Surah Yunus 10 : 47)

Rasullulah s.a.w adalah rasul terakhir iaitu penutup bagi segala rasul dan nabi. Rasulullah s.a.w adalah Rasul yang diutuskan Allah s.w.t ke atas kaum Arab Quraisy dan seluruh umat manusia. Rasullulah s.a.w adalah daripada suku kaum Arab Quraisy. Menurut Rasullulah s.a.w, bilangan nabi sebelum diutuskan baginda adalah 124, 000 orang dan bilangan rasul adalah 312 orang. Namun, bilangan yang wajib kita imani adalah seramai 25 orang sahaja.

Orang Yahudi membahagikan para nabi mereka kepada dua iaitu major prophet dan minor prophet. Daripada bangsa Israel, diutus oleh Allah s.w.t berpuluh-puluh orang Rasul dan Nabi dek kerana kedegilan bangsa mereka sendiri. Direkodkan di dalam kitab suci mereka, kadang-kadang, dalam satu-satu masa, terdapat dua hingga tiga orang Rasul diutuskan kepada bangsa mereka seperti Musa a.s, Harun a.s, Yusak a.s, Lut a.s, Ibrahim a.s, Ilyas a.s, Ilyasa’ a.s, Ezekiel a.s (Zulkifli a.s), Daniel a.s dan ramai lagi.

Di India, dipercayai bahawa Krishna dan Buddha adalah rasul yang diutuskan Allah s.w.t untuk membimbing manusia ke jalan yang lurus. Krishna dan Buddha tidak pernah menyuruh pengikut mereka menyembah mereka apatah lagi menyuruh pengikut mereka membina patung. Begitu juga di China, dipercayai bahawa Confusius (pengasas fahaman Confusius) dan Lao Tzu (pengasas fahaman Toisme) adalah salah seorang utusan Allah s.w.t. Mereka adalah antara figura penting dalam masyarakat Cina. Fahaman mereka tersebar luas hingga ke Mongolia malah ke Jepun. Fahaman mereka mempunyai asas tauhid sepertimana agama-agama monotheism yang lain seperti Islam, Yahudi dan Kristian. Ini menambahkan keyakinan bahawa mereka berdua adalah utusan Allah s.w.t untuk masyarakat tamadun Cina.

Di Yunani pula, Socrates adalah watak utama dalam menentang ajaran agama Pagan. Paganisme pada masa itu adalah kebal dan susah untuk dihapuskan. Socrates menentang penyembahan berhala dan mempersoalkan penyembahan serta korban kepada berhala Zeus, Artemis dan sebagainya. Socrates yang terkenal dengan sikap lantangnya akhirnya dipaksa meminum racun oleh para pembesar Yunani pada masa itu. Sebenarnya beliau mampu untuk melarikan diri, namun beliau berkeras menolaknya kerana tidak mahu dilihat sebagai penakut. Inilah ciri-ciri seorang Rasul. Beliau akhirnya meninggal dunia akibat dipaksa meminum racun tersebut.

Di Parsi telah lahir seorang yang bernama Zoroaster. Zoroaster adalah pengasas agama Zoroasterian ataupun lebih dikenali sebagai agama Majusi. Menurut Al-Tabari, Zoroaster adalah nama lain bagi Zaradusht bin Isfiman.

Di Mesir purba, lahir seorang firaun yang menyeru pengikut mereka menyembah tuhan yang Esa. Firaun itu digelar Akhenaton. Firaun ini adalah bapa kepada Tutankhamun yang terkenal itu. Dipercayai, Akhenaton juga adalah seorang Rasul. Walau bagaimanapun, seruan beliau tidak berjaya kerana dikhianati oleh paderi-paderi yang masih tegar dengan ajaran agama Pagan. Akhirnya, beliau dibunuh dan diganti dengan Tutankhamun yang masih muda belia.

Rasul dan Nabi yang diperkatakan seperti di atas bukan satu yang baru. Malah perkara seperti ini sudah banyak didebatkan sejak zaman berzaman. Ini adalah berkait rapat dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud: ‘Dan sesungguhnya telah Kami utus beberapa orang rasul sebelum kamu, di antara mereka ada yang Kami ceritakan kepadamu dan di antara mereka ada (pula) yang tidak Kami ceritakan kepadamu. Tidak dapat bagi seorang rasul membawa suatu mukjizat, melainkan dengan seizin Allah; Maka apabila telah datang perintah Allah, diputuskan (semua perkara) dengan adil. Dan ketika itu rugilah orang-orang yang berpegang kepada yang batil.’ (QS. Al-Mu’min (40): 78)

Sekarang hanya tinggal tamadun Rom sahaja. Kebanyakan semua tamadun seakan-akan mempunyai seorang Rasul. Namun, tamadun Rom seperti tiada seorang pun yang melihatkan ciri-ciri seorang Rasul.

Berbalik kepada kisah Pompeii. Pompeii dikatakan musnah dalam masa hanya satu malam sahaja. Kelaziman yang berlaku sebelum satu-satu azab menimpa umat manusia, akan diutuskan oleh Allah s.w.t untuk memberi peringatan. Dan azab yang berlaku biasanya hanya satu malam sahaja. Ini terjadi kepada peristiwa Nabi Lut a.s dan kaumnya, Nabi Saleh a.s dan kaumnya dan ramai lagi Rasul-rasul lain.

Mustahil tiada seorang Rasul dihantar ke Pompeii untuk membetulkan akidah mereka yang jauh tersesat itu. Sangat-sangat mustahil! Jika bukan daripada kaum mereka sendiri dilantik menjadi Rasul mesti terdapat Rasul daripada kaum lain yang dilantik menjadi wakil Allah s.w.t ke sana. Ini pernah terjadi kepada Nabi Yunus a.s ke Ninaveh, Iraq yang mana Nabi Yunus a.s adalah seorang yang berbangsa Israel. Begitu juga yang terjadi kepada Nabi Musa a.s yang diutuskan kepada bangsa Mesir Purba.

Inilah persoalan terhebat yang ingin dirungkaikan. Siapakah nabi atau utusan Allah s.w.t ke Pompeii untuk memberi peringatan?

Oleh kerana waktu terjadinya letupan Vesuvius adalah 79AD, amatlah mudah untuk mengatakan bahawa utusan Allah pada masa itu kemungkinan besar adalah para Hawari Nabi Isa a.s. Hawari Nabi Isa a.s adalah seramai 12 orang yang terdiri daripada Peter, James, Yohannes, Andreas, Philip, Bartholomew, Matius, Toma, James, Thaddeus Lebbaeus, Simon the Zeolot dan Yahuda. Walau bagaimanapun, ramai antara Hawari Nabi Isa telah wafat sebelum 79AD kerana dibunuh dan disalib oleh orang kafir laknatullah. Berikut adalah tarikh-tarikh para hawari wafat dan cara mereka wafat:

  • Peter (Simon Peter), disalib secara terbalik di Rom pada 64AD.
  • James, anak lelaki Zebedee dipancung pada 44AD, paling awal meninggal dunia
  • Yohannes (John), anak lelaki Zebedee, adik kepada James. Dipercayai meninggal dunia di Ephesus dalam 89AD hingga 120AD kerana sebab semulajadi. Beliau adalah hawari Nabi Isa a.s yang paling lama hidup.
  • Andreas (Andrew), abang kepada Peter, disalib secara bentuk X di Petras, Greece. Tarikh beliau meninggal dunia tidak dapat dikenalpasti.
  • Philip, disalib pada 54AD di Hierapolis.
  • Bartholomew (Nathaniel), dilapah hidup-hidup dan kemudian disalib. Dipercayai meninggal dunia di Derbend dekat Caspian Sea pada usia 71 tahun.
  • Matius dibunuh di Ethiopia pada 60AD
  • Toma dibunuh dengan lembing di Mylapore, Madras, India pada 72 AD.
  • James, son of Alphaeus, dibelasah hingga meninggal dunia dengan menggunakan batu dan kemudian disalib.
  • Thaddeus Lebbaeus (Jude), disalib kemungkinan di Armenia, Syria atau Persia dan dikebumikan di Kara Kalisa, Iran. Tarikh tidak diketahui.
  • Simon the Zealot, disalib pada 74AD.
  • Yahuda (Judas Iscariot), Judas adalah watak kontroversi dalam agama Islam dan Kristian. Islam mempercayai beliau digantikan dengan Nabi Isa a.s semasa disalib dan Kristian mempercayai bahawa beliau menggantungkan diri sendiri selepas mengkhianati Nabi Isa a.s.

Mengikut statistik tersebut, hanya seorang calon yang sesuai untuk dikaitkan dengan Pompeii. Ia tidak lain dan tidak bukan adalah Yohannes ataupun John. Yohannes dikenali sebagai hawari yang menyebarkan ajaran Isa a.s ke wilayah di sekitar Itali, Sepanyol dan Greece. Maka tidak mustahil bahawa beliau sempat singgah di Pompeii dan berdakwah ke sana.

Yohannes dikatakan berdakwah hingga ke Colliseum. Beliau kemungkinan sempat ke Pompeii dan berdakwah ke sana. Namun, tidak dihiraukan, malah disingkirkan keluar daripada masyarakat mereka. Selepas itulah seksaan Allah tiba pada masyarakat Pompeii iaitu pada malam 79AD.

Waallahualam.

Egyptologi – Cabang Kajian Yang Dilupakan Umat Islam


Penulis sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa tidak salah untuk mencari sesuatu kebenaran asalkan tidak menjejaskan akidah sebagai seorang Muslim. Sebenarnya penulis benar-benar tertarik dengan satu cabang kajian yang sering dipandang sepi oleh umat Islam iaitu egyptologi. Egyptologi adalah kajian yang terperinci merangkumi sejarah, adat, agama, bahasa dan tatacara hidup masyarakat Mesir yang dipercayai telah mendiami lembah Sungai Nil sejak 3000 Sebelum Masehi sehingga abad ke-4 selepas Masehi. Di Amerika Syarikat, egyptologi diklasifikasikan sebagai salah satu cabang kepada bidang arkeologi.

Ahli Egytologi Yang Pertama

Ahli egyptologi yang pertama dipercayai adalah Firaun Mesir itu sendiri iaitu Tutmoses IV. Tutmoses IV dikatakan telah memulihkan patung Sphinx yang tersergam di hadapan Sungai Nil. Manakala ahli egyptologi Islam yang pertama adalah ahli sufi terkenal, Zun Nun al-Misri. Zun Nun al-Misri diriwayatkan sangat meminati tulisan Hiroglif Mesir dan dikatakan telah memahami sebahagian besar tulisan berkenaan.

Seorang lagi ilmuwan Islam yang pertama digelar ahli egyptologi adalah Ibnu Washiyya. Ibnu Washiyya dikatakan telah mendahului Jean-François Champollion dalam mentafsir tulisan Higrolif sebanyak empat abad. Champollion dikenali pada hari ini sebagai individu pertama yang mentafsir tulisan Higrolif susulan terjumpanya batu Rosetta.

Begitulah besarnya cabang bidang egytologi ini. Meskipun banyak yang sudah dibongkar dan dibuat kajian. Namun, masih banyak lagi yang belum terbongkar sepenuhnya. Antaranya berkenaan persoalan siapakah Firaun yang memusuhi Nabi Musa a.s. Al-Quran tidak mencatatkan siapakah Firaun tersebut. Begitu juga dengan Injil dan Taurat.
Walau bagaimanapun, penulis telah tertarik dengan kajian yang dilakukan oleh seorang ahli egyptologi warga British berkelahiran Mesir, Ahmed Osman. Ahmed Osman secara terperinci telah mendakwa bahawa seorang figura Mesir Purba yang bernama Yuya adalah Nabi Yusuf a.s yang diceritakan Allah s.w.t dalam Al-Quran sebagai seorang menteri kerajaan Mesir Purba.

Sejak satu abad yang lalu, pencarian tentang siapakah Nabi Yusuf a.s dalam peradaban Mesir Purba giat dilakukan. Kebanyakan dilakukan oleh ahli arkeologi daripada Eropah dengan bersandarkan kepada Kitab New Tastement (Injil) dan Old Tastement (Taurat). Namun, kajian tersebut menemui jalan buntu kerana hasil penemuan yang tidak menepati dengan apa yang disifatkan dalam kedua-dua kitab suci agama Kristian dan Yahudi.

Dalam kitab tersebut ada menceritakan bagaimana Nabi Yusuf a.s telah dikhianati oleh adik-beradiknya dengan meletakkan baginda di dalam perigi tua. Adik-beradik baginda juga telah menipu bapa mereka iaitu Nabi Ya’kub a.s dengan mendakwa Nabi Yusuf a.s telah dibaham serigala dengan menunjukkan baju yang dilumur darah haiwan sebagai barang bukti. Nabi Ya’kub a.s yang mengetahui anak-anaknya telah berbohong bagaimanapun terpaksa redha dan meratapi nasib dirinya. Akibatnya, mata Nabi Ya’kub menjadi buta kerana kerap menangisi kehilangan anak kesayanganya itu.

Dalam ketiga-tiga kitab tidak menyalahi fakta asal antara satu sama lain. Ketiga-tiga kitab suci tersebut ada menyatakan bagaimana Nabi Yusuf a.s akhirnya diselamatkan daripada perigi buta tersebut dan dibawa ke Mesir untuk dijadikan hamba abdi. Nabi Yusuf a.s kemudiannya dibeli oleh seorang menteri dan dijagakan bagaikan anak mereka sendiri. Menteri tersebut hanya digelar Al-Aziz. Al-Aziz hanyalah panggilan bagi seorang menteri dan bukanlah nama sebenar menteri yang menjaga Nabi Yusuf a.s. Dalam Injil dan Taurat, nama menteri tersebut disebut sebagai Potiphar.

Apabila meningkat dewasa, Nabi Yusuf a.s telah melalui satu dugaan yang maha hebat apabila digoda oleh ibu angkatnya sendiri, Zulaikha. Di dalam Injil mahupun Taurat, nama Zulaikha langsung tidak dinyatakan. Akibat fitnah daripada Zulaikha, Nabi Yusuf a.s kemudiannya dihumban ke dalam penjara. Di dalam penjara, Nabi Yusuf a.s telah menunjukkan mukjizatnya dengan mentafsir mimpi seorang banduan. Kebolehan Nabi Yusuf a.s telah sampai kepada Firaun yang memerintah Mesir pada waktu itu. Nabi Yusuf a.s telah dipanggil untuk mentafsir mimpi Firaun. Kejayaan mentafsir mimpi Firaun dengan tepat akhirnya telah membuatkan baginda diangkat menjadi wazir negara Mesir Purba.

Dakwaan Ahmed Osman

Ahmed Osman telah mendakwa Yuya adalah Nabi Yusuf a.s dengan beberapa bukti yang boleh dikatakan kukuh. Ahmed Osman yang menggunakan tiga sumber rujukan iaitu Al-Quran, Injil dan Taurat sebagai sokongan dalam kajian beliau berkenaan dengan Yuya. Antara dakwaan Ahmed Osman berkenaan Yuya adalah:

1. Tangan Yuya

Mumia Yuya menurut Ahmed Osman tidak seperti mumia-mumia yang lain. Tangan mumia Yuya tidak menyilangkan tangan seperti mumia Firaun dan mumia pembesar-pembesar Firaun. Adat menyilang tangan di dada sebenarnya adalah mengikut tatacara Osiris iaitu salah satu dewa besar Mesir Purba. Tangan Mumia Yuya bagaimanapun diletakkan pada bawah dagunya. Adat letak tangan di bawah dagu seperti menyerupai adat resam bangsa Semitik atau Bani Israel. Ia memungkinkan bahawa Yuya adalah individu yang bukan berasal daripada Mesir.

2. Yuyu Dan Janggut

Wajah Yuya menyerupai wajah bangsa Semitik. Ia bersandarkan kepada janggut, dagu dan wajah mumia Yuya yang bujur seperti wajah tipikal bangsa Semitik. Ia ditambah dengan fakta bahawa tiada Firaun dan pembesar Firaun yang menyimpan janggut kecuali Yuya sahaja. Adat menyimpan janggut biasa dilakukan oleh Bani Israel pada zaman dahulukala. Ia bersandarkan kepada tafsir al-Qummi melalui Jaafar al-Sadiq yang berkata bahawa Allah s.w.t telah menganugerahkan kepada moyang kepada bangsa Israel dan Arab (Bangsa Semitik), Nabi Ibrahim a.s sebanyak sepuluh kebaikan. Lima di kepala dan lima lagi di badannya.

Di kepala ialah bercukur misai, menyimpan janggut, bercukur rambut di kepala, memberus gigi dan memutihkan gigi. Manakala di badan ialah berkhatan, memotong kuku, membersih badan dengan air bersih, mencukur bulu ari-ari dan membersih diri selepas berjimak (mandi hadas besar).

Maka ia jelas sekali menunjukkan bahawa anak cucu Nabi Ibrahim a.s perlu mengikut syariat yang diturunkan daripada baginda termasuklah Nabi Yusuf a.s yang merupakan cicit baginda sendiri melalui datuknya, Nabi Ishak a.s. Melalui penemuan mumia Yuya yang tidak bercukur janggut jelas membuktikan bahawa ia adalah berasal daripada bangsa Semitik dan bukannya seseorang yang berbangsa Mesir.

3. Bapa Kepada Firaun

Yuya adalah satu-satunya individu yang digelar ‘Bapa kepada Firaun’. Ia selari dengan apa yang tercatat dalam Injil melalui Genesis 45:8: ‘So then, it was not you who sent me here, but God. He made me father to Pharaoh, lord of his entire household and ruler of all Egypt.’

Mana-mana individu tidak pernah digelar bapa kepada Firaun. Dan gelaran seperti ini adalah kebesaran yang dianugerahkan kepada Yuya sebagai orang kepercayaan Firaun. Ia jelas dinyatakan dalam Al-Quran dalam surah Yusuf ayat 54: ‘Dan raja (Firaun) berkata: ‘Bawalah Yusuf kepadaku, agar aku memilih dia sebagai orang yang rapat kepadaku.’ Maka tatkala raja (Firaun) telah bercakap-cakap dengan dia, dia berkata: ‘Sesungguhnya kamu (mulai) hari ini menjadi seorang yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai pada sisi kami (Firaun dan pembesar-pembesar lain).’

Menurut ahli egyptologi, Yuya digelar ’Father of Pharoah’ kerana Yuya merupakan bapa mertua kepada Firaun Amenhotep III melalui perkahwinannya dengan anak perempuan Yuya, Tiye. Tiye adalah salah seorang Isteri Diraja Terhebat (Great Royal Wife) dan dianggap nenek moyang kepada fahaman Monoteisme. Tiye digelar nenek-moyang kepada fahaman Monoteisme kerana anaknya, Firaun Akhanaten telah melakukan revolusi agama dengan menghapuskan fahaman menyembah banyak tuhan kepada satu tuhan sahaja.

Persoalannya, bagaimana Tiye boleh digelar sedemikian rupa? Amat mustahil Tiye mendapat visi daripada Tuhan kerana tiada nabi daripada gologan wanita melainkan terpengaruh dengan seseorang yang paling rapat dengannya. Dan orang paling rapat dengan Tiye semestinya bapanya sendiri iaitu Yuya.

Kaitan Yuya dengan Tiye dan gelaran ‘bapa kepada Firaun’ amat menyakinkan bahawa Yuya sebenarnya adalah Nabi Yusuf a.s yang diceritakan dalam tiga kitab suci agama Samawi (agama langit).

4. Isteri Dan Gelaran Nabi Yusuf a.s

Firaun juga telah menganugerahkan Nabi Yusuf a.s dengan isteri daripada bangsa Egypt dan nama dalam bahasa Mesir purba. Isteri Nabi Yusuf a.s telah dinyatakan dalam Taurat melalui Book of Genesis sebagai Asenath. Asenath adalah anak kepada seorang paderi Firaun yang bernama Potipherah.

Sejarawan Mesir, Manetho telah menulis sejarah negaranya pada abad ketiga Sebelum Masehi. Beliau telah menyebut berkenaan Firaun Amenhotep III mempunyai seorang menteri yang digelar Sef. Ia kelihatan seperti nama Josef dalam bahasa Ibrani dan Yusof dalam bahasa Arab. Jika digabungkan dengan Yu (merujuk kepada tuhan Bani Israel, Yahweh) dan gelaran Mesir purba kepada Nabi Yusuf a.s iaitu Sef, ia jelas boleh mengabungkan perkataan: Y.U.S.E.F.

Telah menjadi kebiasaan kepada adat orang dahulu kala mengabungkan nama sepertimana yang biasa kita dengar iaitu Tutankhamun (hasil gabungan nama gelarannya, Tutan dan nama tuhan sembahannya, Amon), Amenhotep (gabungan tuhan Amen dan nama gelarannya Hotep) dan banyak lagi. Maka, tidak mustahil nama Nabi Yusuf a.s adalah hasil gabungan tersebut. Waallahualam.

5. Bandar Seratus Pintu Gerbang

Melalui perbandingan antara ketiga-tiga kitab suci dan rekod sejarah Mesir purba, terdapat satu fakta yang boleh menguatkan lagi dakwaan bahawa Yuya adalah Nabi Yusuf a.s. Dalam Al-Quran, Nabi Ya’kub a.s telah berpesan kepada anak-anaknya supaya memasuki pintu gerbang yang berlainan atas sebab-sebab tertentu. Ia termaktub dalam surah Yusuf ayat 67: ’Dan Ya’qub berkata: ‘Hai anak-anakku janganlah kamu (bersama-sama) masuk dari satu pintu gerbang, dan masuklah dari pintu-pintu gerbang yang berlain-lain; namun demikian aku tiada dapat melepaskan kamu barang sedikit pun dari pada (takdir) Allah. Keputusan menetapkan (sesuatu) hanyalah hak Allah; kepada-Nya-lah aku bertawakkal dan hendaklah kepada-Nya saja orang-orang yang bertawakkal berserah diri.’

Dalam tradisi masyarakat Yahudi ada memperkatakan perihal kebimbangan adik-beradik Yusuf a.s berkenaan niat jahat bangsa Mesir sehingga mereka telah melalui sepuluh pintu gerbang yang berlainan. His brothers, fearing the evil eye, entered the city at ten different gates’. (Midrash Bereshith Rabbah 89)

Mengikut penyajak terkenal berbangsa Yunani, Homer dalam sajaknya yang ditulis pada abad ke-8 Sebelum Masehi, bandar Thebes mempunyai lebih seratus pintu gerbang yang berlainan. Bandar Thebes yang terletak di timur tebing Sungai Nil adalah pusat pemerintahan kerajaan Mesir Purba. Homer menggelarnya ‘Bandar Seratus Pintu Gerbang’. Maka, ia jelas menggambarkan wahyu yang disampaikan dalam Al-Quran adalah merujuk kepada bandar Thebes yang juga tempat bersemayamnya Firaun dan para menterinya termasuklah Nabi Yusuf a.s sendiri.

Mengikut tradisi Bani Israel, keranda Nabi Yusuf a.s telah tenggelam ke dalam Sungai Nil. Walau bagaimanapun, terdapat juga dakwaan yang menyatakan bahawa jenazah Nabi Yusuf disemadikan dalam Istana Diraja sesuai dengan statusnya sebagai menteri paling kanan Firaun ketika hayatnya.

Semasa Exodus, Nabi Musa a.s dikatakan telah dibantu oleh Serah, anak kepada Asher untuk menaikkan keranda Nabi Yusuf yang tenggelam di dalam Sungai Nil. Serah kemudian menunjukkan tempat di mana keranda Nabi Yusuf berada. Nabi Musa a.s tanpa berlengah telah melontar batu ke dalam sungai dan berseru, ’Yusuf! Yusuf! Masanya telah tiba untuk Bani Israel diselamatkan daripada musuh mereka; bangkitlah dan jangan berlengah lagi!’

Ajaib sekali, keranda tersebut telah timbul dan terus diambil untuk dibawa bersama ke tanah yang dijanjikan. Namun, tradisi Bani Israel tidak boleh dibenarkan sepenuhnya terutamanya kita sebagai umat Islam. Kebanyakan telah pun ditokok tambah untuk kepentingan mereka sendiri. Begitulah yang terjadi kepada kisah jenazah Nabi Yusuf a.s yang dikatakan tenggelam dalam Sungai Nil. Dalam kajian Ahmed Osman, ia adalah satu-satunya penyangkalan daripada individu yang menentang teorinya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA