Isnin, 15 Mac 2010

Insyiqaq

(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Dakwah terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan telah diantologikan dalam antologi Jihad)

SMAHADZIR

KONIA mataku jelas melihat, telinga fasih menangkap butir kalimat, namun halkum diborgol kejur. Yusha sugul sebam di pinggir katil, sesekali mengesat air mata yang jujuh. Pembedahan baru selesai setelah metanephrine dan catecholamine dilakukan - paras vanillylmandelic acid (VMA) dalam air kencing tinggi. Medula buar merembes hormon catecholamines akibat ketumbuhan kelenjar adrenal. Hipertensi melebihi 140/90.

“Maaf Cik Yusha! Kami sudah cuba sedaya upaya tapi Tuhan lebih menyayangi dia!”

Satu suara gelincir lirih. Doktor Ikram separuh memujuk - antara pakar perubatan dan endokrinologi, berwajah pudar melimpah simpati.

Aku melihat Yusha diam. Anak bongsu yang cukup setia menemani sepanjang aku dimasukkan ke sini. Mata dulu laksana kejora gemilang, kini bergenang, melontar jelu kepadaku. Di kelenjar adrenal bergegar dengan pesta dekah riang phaeochromocytoma, rakus membaham sajian mesiu spironolactone. Glomerulnefritis geliang geliut berdansa di bengkakan arterisklerosis, menyanyi sihir merdangga mencokot renal artery stenosis.

“Urghhhh! Sial kalian!!! Penyakit celaka penyebab aku kehilangan segala kenikmatan duniawi!!” Meledak hamburan makian, namun ketawa terus bingar dan pesta dansa tetap miang bergelinyau. Phaeochromocytome mengilai menyergah juzuk badaniah, glomerulnefritis menggelinyang kemabukan ghairah memokah dinding jasadiah.

“Manusia cupar! Ini sunan al-kawn! Waktu senang waktu susah, sama saja! Memang kau manusia kuffar, tidak berpegang kepada tauhid uluhiyyah!!”

“Hei… hei…! Hentikan omelan itu. Aku jelak, aku bingung!!”

“Jelak kerana tidak mahu mengaut ilmu. Bingong kerana jahil lalu tidak beriman dengan hukum takdir putusan Allah. Mudarat atau manfaat tidak akan berlaku tanpa sebab!”

“Aghhhh!!!”

Suasana ilam-ilam, lampu mengintai malas, jendela bilik dikitar angin dingin, wad kelas A bilik nombor 3 galak menyendat hidung dengan aroma spironolactone.
Yusha gelisar. Kerudung jerau nyalar dilingkar ke leher serba cabuh. Alam luar buar berkabut, seakan melilau mencari bulan di tengah ketukan sepi. Ayah di sisi tetap kejur dipeluk renjisan cahaya lampu temaram.

Dari atas katil, aku lihat melalui kaca empat segi kecil di pintu, Yusman dan Yusmizal menjengul. Sebam wajah, kalut menolak lawang pintu dan tercangip menerpa. Yusha meluru memeluk Yusman. Ada geru berbaur sendu. Yusmizal tunduk dan mengelus wajahku, penuh kasih.

“Lihat, betapa kasih dan sayangnya anak-anakmu! Sayang, bibir mereka muflis kalimah syahadah. Lidah mereka naif dengan fatihah,” sinis phaeochromocytoma menggasak mengusik kuping. “Sebentar lagi kau akan dibawa pulang ke banglo mewah pinggir bukit,”

“Errrr, bila ayah meninggal?” Yusman mencerlus.

“Lebih kurang lima belas minit yang lalu, bang!” sugul Yusha belum berubah.

“Hei, tak perlu cepat pulang! Aku belum puas!” glomerulnefritis gesit melahap dinding renal artery stenosis, rakus memburai perut arterisklerosis.

Penyakit celaka! Kaki kananku spontan terhayun. Aku tersenyum melihat glomerulnefritis mengutip serpihan mukanya, berkecai beraduk buakan darah. Namun lidah jalang dan gigi runcingnya cepat pula menggerumis juxtaglomerular apparatusku.

Sialan!! Geruan bingar sewaktu tapak kakiku melanyak kepalanya. Hormon aldosteron berbusa-busa, renin berlambakan di lantai hiperaldosteron primer. Hei, siapa lagi mahu merasa penanganku? Semua diam.

Selamat tinggal wad kelas A nombor 3. Pajero mahal dipandu Yusmizal menderu membelah malam. Angin berbunga gelombang. Aku bingkas ke sisi Yusha tepian tingkap, melihat kunang-kunang kota raya di bawah percikan malas bulan dan ilam langit. Menunda-nunda mengejarku. Ada aroma serbat ijajil mencumbu di kerlipannya yang galak. Tegunku cepat terpantul. Perca-perca selamat tinggal rengsa bertabur di celah dua sayap gepengnya yang jarang dan mudah lopong.
“Selamat tinggal segala kenangan indah bersama kalian!” Lambaian sayu bertingkah tangis jelu mengasak-ngasak langking malam.

Banglo mewah bentuk Edward putih asmaradanta sergam pinggir bukit sesak dengan orang ramai. Masing-masing menanti jenazah. Semua nampak sugul. Rengsa terhenyak dari wad kelas A nombor 3 lenyap kala ditandu ke ruang tamu. Angin berkisar dari putaran kipas antik di siling. Lelahku melayah di celah aroma sendu sanak saudara yang berselerak. Terpelosok di tengah onggok jelu sahabat taulan yang berkecamuk.

“Kasihan! Baru dua bulan isterinya meninggal, kini dia pula menyusul!”

“Sakit apa?”

“Khabarnya, lemah jantung! Pengsan di ekuestrian kala mendengar berita saham merudum!”

“Sudah kehendak-Nya!!” keluhan redha berbaur simpati himpang di mana-mana.

“Hei, bacaan asing apa itu bersipongang mengusik tidur pagi?” Pertanyaan sentak menggelincir dari perabot-perabot antik disambut gelengan keras permaidani cantik. Lebar belangah dinding dan siling.

Jelas bukan suara Britney Spears dengan Crazy atau Baby One More Time atau Mouseketeer. Tidak juga If I Let You Go atau Swear It Again dari Westlife. Apalagi suara-suara R&B dari N’Sync, Five, 98 Degree, No Mercy, 911, Code Red dan entah apa-apa lagi yang nyalar diputar jiwa remaja Yusha. Asing sungguh. Bacaan apa itu?

Jantung bergetar melonjak hipertensi ke takah 148/98, membuak catecholamines membanjiri medula. Terhinggut-hinggut phaeochromocytoma dan glomerulnefritis menonggang adrenal. Gerahku akas menyengat. Penyakit haram jadah!! Ini bukan gelanggang ekuestrian!

“Ini malam belasungkawa!” Angin kitaran kipas menjinjing jawapan dari pokok-pokok di luar banglo. “Memang kalian asing dengan kalimah suratul Ikhlas dan Yassin!”

Masing-masing tercengang. Phaeochromocytoma dan glomerulnefritis tercenung mengusap bekas sergapan tapak tanganku di pipi mereka seraya menonong 
mencerlung diri mengatur langkah ke bilik bacaan di tingkat dua.

“Masuklah!” Tombol pintu senyum. “Harta-harta tinggalanmu sedang dibedak-bedak!” menokok sinis. Memerlip-merlipkan tubuh tembaganya. “Terlalu gesit?”

“Itu mangli!” Mengirai pula ketawa sinis. “Harta itu berhala zaman canggih. Manusia sanggup gadai akal untuk membeli harta! Begitulah anak-anak miskin didikan agama!” Disambut hamburan ketawa, lebih sinis lebih bingar. Dinding, lantai, siling, perabot, buku-buku dan semuanya terbahak-bahak, santak menyusul sedak.

Babi sial!! Kalian ketawakan aku ye? Nanti… nanti bulldog aku akan mengajar kalian seperti dia memburaikan perut kucing kurap kedengking itu tempoh hari.
Miauuu!!

Haiwan jelek melidi itu meluru rengsa menyelongkar tong sampah belakang dapur. Gelojoh melahap apa saja hasil buangan yang berselerak. Aku mendidih. Celaka!! Bagaimana kau masuk ke sini hah? Bunuh dia ‘Mr. Ugly Face’! Bunuh kucing kurap itu! Mahu kalian jadi begitu? Atau mencirit pukang seperti mereka dua hari sebelum itu?

“Siapa mereka di pintu besar sana? Apa mereka buta huruf dengan notis beware of dog depan pintu besar? Aku menjegil besar ke arah tukang kebun.

“Err… mereka peminta sedekah dan sekumpulan anak-anak yatim!”

“Sial!! Untuk apa mereka ke mari?”

“Mahu…. mahu minta derma ikhlas, tuan!”

“Ada mereka tunjukkan permit kutip derma?” Aku mengelus-elus belakang bulldog yang galak menderam lebih-lebih lagi kala melihat tukang kebun menggeleng lemah.

Huh, aku mendengus kuat. “Ramai penipu suka ambil kesempatan dari orang kaya macam aku! Tidak ada permit kutip derma, bermakna nak menipulah tu!”

Tidak sukar untuk mengajar penipu-penipu itu. Siulanku mudah difahami bulldog. Hasilnya, senyumku murup lebar melihat gelandangan capik jembel itu terhegeh-hegeh mengheret kaki untutnya. Jeritan anak-anak yatim itu bingar cempera. Hah, mahu kalian begitu? Mahu?

Semua diam. Masing-masing menggeletar. Hmmm, tidak rugi aku memelihara anjing hodoh garang itu, mengusapnya saban pagi, memandikannya setiap hari dan menatangnya bagai minyak yang penuh. Banyak jasanya padaku.

Langking malam kian pudar. Aku masih melilau sekitar sebelum ke pembaringan menyarati detik ke lahud. Melihat-lihat harta-harta kesayanganku buat akhir kali. Pawagam mini yang selalu menghiburkan. Kereta-kereta mewah yang selalu menggunungkan takah banggaku. Pakaian mahal yang selalu melebarkan lautan riyakku. Dan segalanya yang melangitkan aku.

‘Sesungguhnya Kami menjadikan apa yang ada di muka bumi ini sebagai perhiasan baginya kerana Kami hendak menguji mereka, siapakah antaranya yang lebih baik amalnya’. (Surah Al Kahfi ayat 7).

Pagi suam sudah menjengul, mengendap lawang hari. Mentari malu-malu mengintai dan lunak menyapa di celah jendela. Kain batik jawa panjang segera kusingkap, bingkas dan merungut melihat rumput permaidani depan banglo lunyai diinjak kaki pelawat. Jahanam! Semakin ramai. Mereka mengendong bungkusan-bungkusan takziah. Getol tangan Yusmizal, Yusman dan Yusha menyambut hadiah-hadiah itu.

“Hei, usah berlengah! Kau akan dimandi, diwuduk dan dikafankan!” Seperti angin aku ditolak ke satu pojok.

“Kenapa perlu itu semua, hah?” Gagal membendung pertanyaan, air mendidih, membuak-buak dalam baldi-baldi plastik melekat di mata.

“Batas di antara seseorang itu dengan kekufuran ialah meninggalkan solat. Tubuh-mu terlalu jijik. Seluruh anggotamu bergelu-mang bejat kohong! Tak pernah diilir dengan air wuduk! Kau akan dikafankan sebagai selimut di alam lahud!”

Onggok-onggok asap berkelun bergumpal-gumpal. Wap panas menyelinap ke rongga-rongga roma. Ada suara ketawa keriangan di luar banglo. Pokok-pokok, daun-daun, batang-batang, dahan-dahan, ranting-ranting - semuanya bertepuk tangan.

“Haram jadah kaliannnnnn!!”

“Aku antara jisim pembina jasad insaniah. Tanah, air, api, angin. Tugasku membasuh mulut cuparmu yang sarat dengan maki hamun, sumpah seranah. Kaki yang getol menyepak haiwan kelaparan tidak berdosa. Tanganmu yang kikir, nyalar menolak pertolongan manusia daif. Seluruh anggotamu yang berselopiang dengan kemungkaran!”

Dunia gesit cabuh. Angin bergulung-gulung, membalun mulutku. Tanah bergumpal-gumpal menghenyak kakiku. Api berkalung-kalung merentung tanganku. Air berpusar-pusar mengkitar-kitar seluruh anggotaku. Akar kemanusiaanku berterbangan, mengecai-ngecai separuh dari daging yang melekat di tulang jasadiah. Aku tidak berdaya mengutip serpihan-serpihan daging itu yang terlantun dan berselerak di sana sini.

“Kau senasib Qarun. Tidak pernah mengingati Allah, kufur nikmat, sibuk dengan harta!” Jasad mulai belayar di atas rumput-rumput hijau yang memalingkan muka. Begitu jijik melihat aku.

“Kau akan bersama Firaun. Terlalu kikir dengan kekayaan!” Muka tanah menjulur onak-onak runcing menanti untuk memamah tapak kakiku.

“Kau akan bertemu dengan Haman. Terpedaya dengan harta dunia!” Kucing kurap kedengking memuntahkan sisa-sisa makanan yang diselongkar dari tong sampah belakang banglo. “Nah, ambil kembali makanan basimu yang aku makan dulu! Manusia asyi! Manusia kikir!!! Bakhilllll!!!”

“Kami pasangan yamassamu!” Sepanjang jalan berlajur perempuan pelbagai bangsa, mendukung anak-anak kecil mungil persis wajahku. Mereka tanah subur, penyemai zuriatku di serata pelosok dunia - Hong Kong, London, New York, Manila, New Delhi, Paris, Bali, Denmark, LA…

“Kau akan bersahabat dengan Ubai bin Khalaf. Kekayaanmu tidak dihabisi pada jalan yang diredhai!” Seorang tua gelandangan capek menempik. “Nyah kau ke saqar dengan ego, bongkak, riyak, angkuh, bakhil, kikirmu…!” Berbaur tingkahan anak-anak yatim, berderet dan bersiaga di pintu masuk banglo. Berketul batu kulangsing di tangan masing-masing. Merejam mukaku sebaik tanduan melintasi mereka. Pesta sorak sorai dedaunan, bunga-bunga, batang-batang, ranting-ranting, dahan-dahan dan segenap warga alam bersipongang. Riang dan suka.
Celakaaaaa! Mereka bergembira dengan kematianku?

Sabda Junjungan: ‘Apabila anak Adam meninggal dunia maka putuslah semua amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah (sedekah yang keka, ilmu yang memberi manfaat dan anak soleh yang mendoakan dia’.

“Sudah terputuslah hubungan kau dengan dunia fana, anak-anak kesayangan, sahabat handai, rakan taulan dan segala kenik-matan yang nyalar kau kecapi. Tinggal semua!”

Diam. Bungkam. Khali. Kejur

“Mana anak-anak soleh yang akan mendoakan aku? Ke mana harta-hartaku yang meruah limpah selama ini dibelanjakan? Ke mana pula ilmu yang ada di dadaku ini telah disalurkan? Aurghhhhhhh!!!!!!!!! Aku muflis segalanya!”

Lawang lahud lebar bolong, menganga, menghimpit dan menghenyak. Mengecai seluruh muka, daging-daging dan tulang temulangku. Lidahku tercaing, bibirku berserpihan melontar batang-batang gigi yang nyalar membuang gizi lawwamah, melahap asyik makanan mazmumah.

Arterisklerosis menggelepar, renyuk renal artery stenosis, lunyai juxtaglomerular apparatus. Memburai lenyap glomerulnefritis, lupus tuntas phaeochromocytoma dilahap rakus ular-ular besar, kala-kala gabai, lipan-lipan raksasa yang menggelinyang dari lubang-lubang lahud.

Hanya setagal menyatukan jasadiah kepada azali. Aku melayang-layang mencari jihat. Entah di mana.

Sekonyong-konyong awan bergumpal-gumpal dibalun wayu lalu membentuk kalimat az zilzal - wamanyya’mal miskholazarrotin syarrayyaroh.

Buruj berjatuhan.

Langit insyiqaq.

Aku…???

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA