Isnin, 15 Mac 2010

Pelukan Zulmut

(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Sinar Rohani terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan telah diantologikan dalam antologi Jihad)

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

“SESEORANG itu tetap dikira pemurah terhadap manusia lain selagi dia tidak tamakkan apa yang ada dalam tangan orang lain. Apabila dia mula tamakkan hak orang, maka kala itulah namanya akan tercemar, dia akan dibenci dan segala percakapannya tidak akan dihargai.”
Dia terluka kala copeng dijerba kata-kata Hassan Al-Basri. Bagai geguntur menggerutup menghempap kepala. Sungguh menghenyak.
“Seseorang itu belum boleh dikatakan bijak selagi dia belum dapat menahan diri dari menginginkan hak orang lain dan memaafkan kesalahan mereka.”
Luka tambah meroyak dengan kalimat Ayub As-Sakhtiani. Kali ini bukan lagi persis geguntur malah siatan pedang Saidina Ali, meradak mengkucar isi dada. Nafas mencangip, jagat gesit dipeluk zulmut. Seluruh juzuk diri jadi bergelentar dengan detup nadi rengsa. Cuba dikelih warna dan kerdip bintang yang nyalar miang tetapi seluruh juzuk hanya gelintin, amat bolong. Di mana aku kini?
Seboleh-bolehnya dia tidak mahu ke sini. Ini jagat pelek. Tidak seperti Hong Kong yang gelicau bingar dengan manusianya. Calak manja gadis-gadis cantik menggiur. Tidak juga persis Las Vegas atau Los Angeles. Lebih tenang dan damai. Tenang dengan layanan yamassa bermata biru berambut perang dan damai kerana tiada siapa mengambil tahu.
Sungguh. Ini jagat pelek. Tidak ada urna danu menyuar ke langit seperti di Pantai Miami, Florida, London, Paris atau Rome. Apa lagi mahu dicari bunga-bunga kembang berkelopak indah seperti di Bangkok, Bali, Manila atau juga di Singapura. Barangkali ini bilik bawah tanah kediamanku! Ya, barangkali!
Seingatnya, dia ke sini tanpa dirancang, secara mendadak, sewaktu turun dari bilik bacaan, setelah menelaah hampir separuh The First Time karya Jeff Coplon. Sungguh dia meminati Cher. Tidak terkira dia membuang masa meladeni movie Good Times, Chastity, Comeback To The Five And Dime, Jimmy Dean, Mask, The Wiches If Eastwick juga Moonstruck semata-mata kerana Cher.
Dikenalkan dengan penghibur itu kala menuntut di California jurusan Sains Sosial. Mengulum kemas segala cerita tentang Cher. Nama asal Cherilyn Sarkesian, gipsi kala remaja, punya induk Georgia Holt dan banyak lagi tentang perempuan itu bermastautin di kepala. Tidak pernah dia kesal biar nama dua puluh lima rasul pilihan, tidak terhafalkan. Tidak tergugat rasa bersalah biar sembilan puluh sembilan nama Allah tidak pernah diambil tahu. Dia lebih seronok menggoreng senandung I Got You Babe atau All I Ever Need Is You di mulut, tidak kira masa dan ketika. Lebih-lebih lagi dalam bilik air.
Tidak salah lagi, kala menuruni anak tangga dari tingkat satu itulah kakinya menabrak birai bersalut tembaga lalu tersungkur dan terjerumus ke dalam bilik bawah tanah ini. Begitu dia berkira-kira lalu cuba bangun, menonong menggagau suiz lampu. Di mana ye?
“Di sini tidak ada lampu!” tiba-tiba satu suara cagun bersipongang mengapung serata juzuk.
Dia terpinga-pinga dalam kaget.
“Orang yang cinta kepada Allah itu hidup. Orang yang berpaling kepada-Nya dia sesat. Orang yang dungu pergi dan pulangnya tiada manfaat. Orang yang cerdik terhadap bahaya diri, dia cermat.” Suara itu mengalun lagi. Lebih menggemirapkan. Dia tercangap-cangak mencari.
“Ingat, itu kata-kata Dzin Nun dipetik Al Baihaqi. Aku cetuskan sebagai lampu!”
Khali dan bungkam. Dia tidak berani bersuara walaupun sewaktu di kelab-kelab eksekutif atau di padang golf bersama rakan-rakan sejawat suaranya berdegar-degar sekali mencerluskan soal-soal kewa-ngan dan perniagaan. Di sini dia jadi bungkam,
seolah bibir terkancing, lidah terkacip pendek. Suasana masih zulmut.
“Tidak ada orang yang mengetahui riak selain orang yang ikhlas. Tidak ada orang yang mengetahui kemunafikan selain orang yang beriman. Tidak ada orang yang mengetahui kebodohan selain orang yang alim dan tidak ada orang yang mengetahui maksiat selain orang yang taat.”
Dia mulai menyinga. Kenapa hanya berani bersuara, tidak mahu menunjukkan muka. Serasa makian mahu terhambur. Dasar tidak tahu menghormati seorang tokoh perniagaan bergelar Tan Seri. Huh biadap, cupar sungguh. Dengusan menggelincir panjang.
“Tadi itu kata-kata Sahal bin Abdullah!” suara itu terus bergema. “Ini ungkapan Abu Firdaus Junaid bin Ahmad at-Tabari pula: Yang baik adalah pilihan Yang Mencipta. Pilihan lain adalah cela dan rugi!”
Gigir marahnya kian membuar. Ini sudah melampau. Siapa pula yang pandai-pandai mahu berceramah di bilik bawah tanah ini. Tidak diundang malah membingar.
“Mahu dengar kata-kata Abu Atahiyah?” suara itu bagai mencabar terus. “Ya, ini memang wajar kau dengar dan renungi: Tiada dunia melainkan dengan agama. Bukanlah agama selain akhlak terutama. Tipu dan belit menempa tempat di neraka. Itulah sifat nifaq yang membawa hampa.”
Memang cupar dan semakin kurang ajar. Sudah berani beraku kau dengan seorang tokoh korporat tersohor. Apa ? Suara itu tidak tahukah aku ini seorang Tan Seri? Tan Sri Zarahustra, tokoh korporat peneraju konglomerat tersohor merentas arena global. Dia cuba menahan sabar yang sudah menggelecak dalam dada. Rasa mahu tersembur keluar.
“Sabar! Aku tahu apa yang berselirat dalam dada kau sekarang!” suara itu semakin merobek pintu sabarnya. “Dengar dulu kata-kata Pujangga Arab: Jangan sekali-kali menganiaya sewaktu anda berkuasa. Penganiayaan itu membawa akibat duka dan nestapa. Matamu tidur sedang yang teraniaya celik sepanjang masa. Memohon Maha Kuasa sedang Dia tidak pernah menutup mata.”
Sungguh tidak sabar lagi dia. Api marah semakin buar menyala dan tidak berupaya menahan mulut menyuar gerah, “Hei suara! Apa maknanya ini semua, hah? Berceloteh, berceramah macam Forum Perdana. Tidak tahukah dengan siapa kau bercakap sekarang, hah?”
“Engkau hanya manusia biasa di sisi-Nya. Manusia lemah yang hanya dianugerahkan sedikit aql, qalb dan nafs…”
“Biadap! Lain yang ditanya lain pula yang dijawab!” dia mendengus kuat dan hebat. “Tak pernah seorang pun ahli masyarakat sebiadap ini. Aku ini Tan Seri Zarahustra, seorang tokoh perniagaan, seantero dunia kenal aku tahu? Semua orang tahu aku ini banyak berjasa dan sebab itulah dikurniakan Tan Seri!”
“Aku kenal engkau seorang korporat bertaraf tokoh terulung bergelar Tan Seri, berjasa dan berkelibar!” suara itu menjawab tenang. “Tapi Ibnu Al-Arabi ada berkata: Orang yang paling rugi ialah orang yang menampakkan kebaikannya kepada orang banyak tetapi menunjukkan keburukannya kepada Yang Maha Dekat dari urat lehernya.”
“Apa maksud kau, hah?” luapan marah terus menyuar. Masih miang berpestaan. “Jangan cuba mempertikaikan jasa aku pada masyarakat. Satu negara gah. Aku menggugah nyedar tidur rakyat miskin supaya bangun berusaha. Aku ciptakan jalan untuk mereka meraih kekayaan. Aku memerah otak siang malam semata untuk mereka. Aku ini idola dan mentor. Kau tiada hak untuk menafikan ini semua!”
“Aku sedikit pun tidak menafikan,” suara itu persis menyinis, sikit bernada gerah. “Rabiah al-Adawiyah ada mengungkapkan: Bila cintamu benar, pasti kamu taat pada-Nya. Orang yang bercinta akan tunduk pada yang dicintainya.”
Arghhh, soal cinta pula! Dia mencebek jengkel. Spontan benak dijerba wajah ayu manja menggoda gadis-gadis aneka bangsa yang pernah dicintai: Jenny, Gilbert, Amelliya, Suzy, Leina, Marisa, Victoria dan ramai lagi. Tidak termasuk gadis-gadis dan perempuan-perempuan sebangsa. Cinta telah mengajar dia jadi lelaki sebenar. Cinta pertama wujud kala usia dua puluh. Rosseine - gadis kacukan Itali - Perancis, sama-sama menuntut di California. Tapi cinta mereka menabrak jalan mati. Tidak terlalu mengecewakan. Perempuan di California persis kelkatu. Miang menggelinyang menggeledik berkerumun di lampu jalan. Boleh pilih mana yang berkenan. Tersenyum dia mengenangkan.
“Maksud aku bukan cinta nafsu tetapi cinta kepada Allah!” suara itu seolah memahami apa yang menggelinyau dalam saraf serebrumnya.
Sipu-sipu aib terenjis di muka tetapi dalam suasana gelemat begitu, siapa pun tidak terkelih. Lagi pun, apa mahu dimalukan sangat. Adat muda begitulah. Bercinta itu lumrah, sinonim dengan istilah remaja.
“Dari Sahl At-Sauri menegaskan: Hendaklah kamu menurut jalan yang ditunjuk dalam atsar dan sunnah!” suara itu semakin galak dan lancar meneruskan. “Sekiranya akal itu barang yang boleh dijual beli pasti orang berani membelinya dengan harga yang mahal. Tapi aneh, ada orang yang sanggup
mengeluarkan wang untuk menghilangkan akalnya.”
Arghhhhh... sungguh menjelakkan. Berdebat dalam zulmut umpama makan keropok dalam tong kosong. Gerapak bersipongang tangan tergagau-gagau, mata jadi keli, membundar, menyepet, tidak keruan. Dia cuba mencari-cari arah tujuan. Untung-untung bersua suiz idaman. Namun kehampaan.
Khali dan bungkam.
“Beginilah! Aku tak tahan lagi duduk dalam suasana gelemat begini. Aku… aku mahukan cahaya!” dia berterus terang tidak tertahan.
“Tempat ini sebenarnya sudah terang, tapi amalan kau yang menggelapkan,” suara itu menjawab tenang. “Bukankah amalan yang baik itu obor penyuluh?”
Bingung dadak menerkam. Apakah ini alam barzakh, malakut atau lahud? Tidak mungkin! Gesit pula dia menafikan. Mustahil ini alam transendental itu. Tempat ini sekadar bilik bawah tanah di banglo mewah tiga tingkat milikku dan aku terjerumus ke sini kerana tersandung birai tangga. Aku yakin itu.
Khali dan bungkam lagi. Dia terus berusaha mencari pintu untuk keluar tetapi dalam keadaan zulmut begitu terlalu sukar mengatur langkah. Beberapa kali dia tersungkur kerana tersepak objek bolong keras. Akhirnya dia terus menggerumuk seraya menahan cangip. Fatalis.
“Aku akan menunjukkan kau arah ke pintu tapi dengan satu syarat!” tiba-tiba suara itu menjelma semula. Bersipongang lagi.
“Syarat? Apa syaratnya?” gesit dia berdiri dan tercangak-cangak. “Cakap, apa syaratnya? Aku rela patuh, asal dapat keluar dari tempat gelemat ini. Esok, aku ada mesyuarat mingguan di pejabat bersama pegawai-pegawai Juta Wang Holdings. Lusa ada pemeterian usahasama dengan tokoh-tokoh perniagaan dari Britain dan Amerika Syarikat. Tulat ada temu janji dengan rakan jutawan dari Asia Barat. Cepat cakap apa syaratnya!” bagai mendesak. Sungguh tak dapat ditahan-tahan.
“Aku cuma mahu kau dengar seterusnya me-ngakui kebenaran apa yang diungkapkan. Boleh?”
“Ya, boleh!” dia terangguk-angguk laksana pokka mengangguk. “Cakaplah apa saja. Aku akan mengiyakan dan kau mesti tunaikan janji menunjukkan aku pintu.”
“Jangan bimbang, aku tetap berpegang dan akur kepada kata-kata Imam Al-Ghazali: Ketahuilah bahawa bahaya lisan itu besar sekali dan manusia itu tidak akan selamat dari bahaya itu melainkan dengan bertutur kata yang baik saja!”
Dia tersenyum lega penuh yakin. “Baiklah! Cakaplah apa yang kau mahu cakap!”
Dalam jarak dua puluh kaki, tiba-tiba dia dapat melihat sesusuk tubuh seorang lelaki. Agam, cegat, berjubah labuh ala Taleban dan berserban segak. Apakah lelaki itu yang bersuara selama ini? Dia tertanya-tanya.
Suasana zulmut juga sudah beransur kabur sebam. Nampak ilam-ilam beberapa objek di pojok-pojok tertentu. Sukar untuk dikenal pasti. Benarlah, ini bukan bilik bawah tanah di bangloku. Tapi di manakah aku sebenarnya?
“Mahukah engkau mengakui hakikat kebenaran kata-kata Imam Abdul Qadir Jailani ini?” tiba-tiba lelaki itu meluahkan pertanyaan lagi.
“Err… errr… apa katanya?” agak menggelentar dia bersuara.
“Setiap orang mukmin harus menuntut perjalanan yang dipimpin oleh Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Sunnah itu ialah jalan yang digariskan oleh Rasulullah dan Jamaah pula ialah jalan yang disepakati oleh sahabat di bawah petunjuk khalifah yang empat.”
“Err, ya! Errr ya… ya, aku... aku akui itu benar!” dalam gigir dia menjawab.
Lelaki tersebut memurup senyum sinis. Dia turut senyum. Entah benar atau tidak apa yang diakui, dia sendiri tidak pasti. Biarlah, asal pintu untuk keluar dari jagat pelek ini ditunjukkan. Begitu dia berkira-kira.
“Dengar lagi! Mahukah kau membenarkan cetusan As-Sayid Abdullah bin Alwi Al-Haddad ini : Sekiranya kau gunakan ilmu hanya untuk jasadmu maka ianya ibarat ular berbisa. Tapi jika kau gunakan pada hatimu, maka ianya ibarat rakan tercinta.” Lelaki itu terus melontarkan pertanyaan.
“Benar… benar…, itu semua benar!” dia semakin berani mengiyakan.
“Bagaimana dengan ungkapan Hilal bin Yasar ini : Apabila memberi tangan kanan, jangan sampai tangan kiri mengetahuinya. Dan kalau hendak solat hendaklah ditutup pintunya.”
“Itu juga benar!”
“Bagus!” lelaki itu mengangguk dan iseng menghampirinya. “Mahu kau membenarkan kata-kata Ahnaf bin Kais bahawa ulama adalah pemandu dan pengawas; setiap kemuliaan yang tidak didokong oleh ilmu ulama akan berakhir dengan kesesatan.”
Gugup-gagap dia mengiyakan dan mengangguk-angguk. Aib terkucur menyimbah muka kerana selama ini dialah antara tokoh korporat yang banyak sekali memandang lewa pendapat ulama.
“Mahu kau mengakui, selama kau bertakhta di singgahsana kesenangan, kekayaan, tersohor dan dikagumi sebagai seorang tokoh korporat, kau banyak menafikan apa yang telah kau akui sekarang?”
Terkedu dia bertagal. Tajam sungguh sinis itu menyelusup menojoh menembusi rongga dadanya.
“Kenapa harus takut mengakui!” sinis lelaki agam itu memercik pedih perih. “Bukankah itu hakikat.”
Dia tidak mampu bersuara sekadar mengangguk rengsa.
“Baiklah, sekarang aku akan tunjukkan kau arah ke pintu yang kau impikan. Sepuluh langkah ke kanan dari sini kau akan bertemu dengan lapan buah pintu. Setiap pintu berkunci. Hanya pintu yang sudi menerima kau saja yang akan terbuka. Pergilah!” lelaki itu menunaikan janji seraya tersenyum.
Buru-buru dia melangkah tidak sabar. Mahu keluar dari jagat pelek ini bagai ditonjol-tonjol. Kehidupan mewah yang ghalib dilewati galak memeluk nubari.
Lelaki itu tidak berdusta. Benar, ada lapan buah pintu. Setiap satunya punya nama tersendiri. Di hadapan pintu pertama terbentang megah perkataan ‘Adn berserta kalimah Tiada Tuhan Selain Allah, Muhammad adalah Utusan Allah’.
Dia cuba menolak pintu tersebut namun tidak berjaya. Puas dicuba sepenuh tenaga. Kecewa juga. Kudratnya lemah tidak berupaya.
“Pintu itu bukan untuk kau sebenarnya!” tiba-tiba suara lelaki tadi bergema lagi. “Itu pintu untuk para nabi, rasul, pahlawan yang syahid dan para dermawan. Memang tidak wajar menerima orang seperti kau. Bilik itu dibuat dari mutiara berwarna putih. Paling mulia antara bilik-bilik yang lain. Di dalamnya ada dua pintu dari emas. Jarak keduanya antara langit dan bumi. Bangunan di dalamnya dari batu-batu emas dan perak. Tanahnya berupa kasturi sementara lantainya berupa minyak kasturi.”
“Memang aku tidak layak!” dia mengeluh hampa. “Wajarlah, aku bukan nabi, rasul atau para syuhada mahupun dermawan. Err, bagaimana dengan pintu kedua?”
“Pintu kedua bernama Firdaus!” tenang lelaki itu menjawab. “Untuk orang-orang yang wuduk, mengerja dan menyempurnakan sembahyang. Diperbuat dari batu bata perak, emas, permata ya’qut, permata sabarjat. Lantainya dari kasturi.”
Dia diam. Tidak berani menolak pintu tersebut kerana sedar selama ini dia tidak pernah mengerjakan sembahyang. Sungguh kesal dia, kalau tidak sudah tentu dapat keluar dari tempat pelek ini. Tercerlus keluhan berat panjang meleweh.
Langkah ke pintu tiga diatur cepat. Tangan gesit menolak. Minta-minta kali ini berjaya, hati membisik yakin.
“Itu pintu Naim!” lelaki itu bersuara lunak. “Untuk mereka yang menunaikan zakat!”
Argh, aku bakhil. Aku kikir. Walau duit banyak, harta melimpah tapi tak pernah berzakat! Dia mencegatkan hakikat diri dalam sebal yang amat sangat. Kesebalan yang hanya bersipongang dalam dada.
“Rugi, Naim diperbuat dari perak yang putih!” lelaki itu terus menjelaskan tanpa dipinta. “Nampaknya, dah tiga pintu kau gagal. Bagaimana dengan pintu keempat?”
Dia terhegeh-hegeh menolak pintu bernama Ma’wa itu. Sekuat hati. Kejap benar, tenaganya tidak berupaya. Serasa seluruh tubuh rengsa.
“Sayang, kau tak pernah menyuruh membuat kebaikan dan mencegah kemungkaran. Kalau tidak dah tentu kau dapat melihat permata zabarjad hijau!” lelaki itu mendecit sinis seraya menggeleng kesal.
“Biar aku cuba pintu kelima pula!” dia meneguh pancang harapan.
“Kau yakin akan berjaya?”
“Kenapa?”
“Itu pintu Darus-Salam dari permata ya’qut merah. Untuk orang yang menahan diri dari menurut kemahuan syahwat yang jahat.”
Gesit dia terkejur kejang. Memang dia tidak layak memasuki pintu itu. Selama ini dia gagal me-ngawal nafsu syahwat yang galak menggelodar. Dia nyalar kecundang dengan suruhan dan helaan syaitan. Berpinau-pinau biji matanya mengenangkan hakikat diri lebih-lebih lagi pintu Darul-Jalal yang ke enam juga tidak berupaya ditolak kerana belum menunaikan haji dan umrah. Kesal. Kesal sungguh dia. Ke London, ke Amerika atau ke mana saja di Eropah acap benar. Ke Mekah saja yang belum, tidak pernah terfikir pun. Keindahan mutiara putih di Darul-Jalal terlepas dari tancapan.
“Tentunya kau juga bukan para pejuang yang berjihad di jalan Allah!” lelaki itu sekadar menduga. “Al-Maqqamul-Amin, pintu ke tujuh ini telah dikhaskan untuk para pejuang itu.”
Mulut terpasung, bungkam, sekadar melontar tenung jelu memohon simpati. Tinggal lagi satu pintu. Apakah pintu itu juga bukan untukku? Seluruh tubuhnya mulai menggigir. Dada bergemirap, menggerutup dan serasa mahu menggelupur.
“Itu pintu ke lapan!” lelaki itu terus bersuara, tenang. “Khuldi namanya, dari permata marjan kuning.”
“Apakah aku layak?”
“Kau menahan mata dari melihat perkara-perkara yang telah diharamkan Allah?”
Dia menggeleng rengsa. Terkedu jelu kemudiannya.
“Kau berbakti kepada orang tua atau ibu bapa, bergaul baik dengan keluarga dan melakukan kerja-kerja yang berfaedah?”
Dia tidak menjawab kerana semuanya dilakukan sekadar melepas batuk di tangga. Dia lebih banyak menghabiskan masa di luar negara, berfoya-foya dan bermewah-mewah tanpa batasan. Dia hanyut dalam kemegahan nama seorang tokoh korporat, seorang jutawan terulung. Sebal sungguh dia.
Sekonyong-konyong suasana dipeluk zulmut semula. Bolong mengapung mengitar seluruh juzuk. Dia terkedu, terpinga-pinga dan tergagau-gagau lagi. Mahu menggeru tetapi suaranya tersekang di halkum. Di copeng telinga, sayup-sayup dia mendengar bacaan Yassin bersipongang berbaur bau kemenyan menjerba lubang hidung.
Jagat zulmut terus.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA