Isnin, 15 Mac 2010

Pelbagai cerpen kanak-kanak untuk simpanan

Surat Cikgu
SMAHADZIR

UCIN memegang surat itu dengan kedua-dua belah tangannya. Dia sungguh-sungguh ingin tahu. Tadi Cikgu Hamizan telah berpesan, jangan buka sampul surat ini. Tetapi dia begitu ingin tahu. Mengapa tidak boleh dibuka? Adakah isinya sangat rahsia?
Di atas sampul surat bertulis: Kepada Encik Osman dan Puan Hamidah. Itu bapa dan ibu Ucin. Apa sebabnya Cikgu Hamizan menulis surat kepada bapa dan ibuku? Ucin tidak henti-henti berfikir sambil melangkah pulang.
Sebelum ini tidak pernah pula Cikgu Hamizan menulis apa-apa surat kepada bapa dan ibu. Hanya selalu dikirim ialah pemberitahuan jadual ujian, atau jemputan mesyuarat PIBG. Bentuknyapun bukan surat, hanya sekeping kertas dilipat dua saja.
Sikap Cikgu Hamizan tadipun pelik. Tersenyum seperti biasa, tetapi nada suaranya berbeza. Serius sekali memperingatkan Ucin agar jangan sekali-sekali membuka sampul surat ini. Cikgu Hamizan juga telah memanggil Ucin secara peribadi, bertemu secara empat mata.
Ucin rasa takut sekarang. Mungkinkah Cikgu Hamizan telah melihatnya meniru sewaktu ujian matematik tiga hari lalu? Ucin mengaku, malam sebelum ujian itu dia tidur awal, terlalu letih. Akhirnya sewaktu ujian, dia terpaksa meniru jawapan Muna yang duduk di tepinya. Tentu Cikgu Hamizan hendak melaporkan perbuatan buruk Ucin itu.
Ucin yakin, Cikgu Hamizan menganggapnya murid yang malas dan suka meniru. Jelaslah hari ini Cikgu Hamizan hendak melaporkan tingkah-laku buruknya kepada bapa dan ibu.
Hampir tiba di rumah, Ucin menimang-nimang sampul surat di tangan. Kalau bapa dan ibu tahu kenakalan Ucin, dia mungkin akan dirotan.
Ucin melihat jam tangan. Waktu begini ibu sedang sibuk memasak, bapa belum pulang dari pejabat. Ucin memasukkan sampul surat ke dalam begnya. Dia berlari, tergesa-gesa membuka pagar, membuka kasut, mengucapkan salam kepada ibu, masuk ke bilik dan terus mencari bukunya.
Ucin pernah membaca disalah sebuah buku tentang cara membuka sampul surat tanpa merosakkannya. Dia harus tahu apa yang telah ditulis oleh Cikgu Hamizan kepada bapa dan ibunya. Setidak-tidaknya, dia boleh menyiapkan jawapan bila disoal nanti.
Mana bukunya? Aha, ini dia! Ucin segera menyelak halaman buku tersebut. Hmm, panaskan air hingga mendidih, biarkan sampul surat terkena wap air, lalu gamnya akan terbuka sendiri. Bagus, selepas itu Ucin boleh melekatkannya kembali.
Hati Ucin berdebar-debar mengambil sebiji mangkuk besar. Dia berjingkat ke sisi dapur, menuangkan air panas dari dalam cerek. Wap air mengepul-ngepul. Ucin tersenyum, segalanya berjalan lancar tetapi dia perlu cepat, jangan sampai wapnya habis.
“Laa, Ucin, nak buat apa air panas sebanyak itu?”
Ucin hampir menjatuhkan mangkuk kerana terkejut. Alamak! Rupanya sejak tadi ibu memerhatikannya dari belakang. Ucin berusaha menenangkan diri, tentu ibu tidak tahu apa yang sedang dia rancangkan.
“Rahsia, bu!” Ucin menjawab ringkas.
“Eh, dengan ibupun nak rahsia juga?” Mak Seri mengerutkan keningnya.
“Ini penting, nanti ibu akan tahu juga,” ujar Ucin seraya bergegas membawa mangkuk itu ke biliknya.
Mak Seri mengangkat bahu dan meneruskan kerja memasaknya. Setiba di bilik, Ucin menghembuskan nafas penuh kelegaan. Untung ibu tidak banyak bertanya, jadi dia tidak perlu berbohong. Ucin paling takut membohongi bapa dan ibu. Walau dia agak nakal tetapi dosa berbohong selalu diingatnya. Ya, langkah berikutnya ialah wapkan sampul surat.
Satu minit, dua minit. Cuba dibuka perlahan-lahan, perlahan-lahan. Sampul surat mulai jadi lembab dan terbuka. Ayuh, ayuh, sedikit lagi. Tahan nafas dan... bret!
Muka Ucin pucat seketika. Alamak, sampul suratnya terkoyak. Koyaknya besar. Macam mana ni? Bapa dan ibu pasti tahu bahawa surat ini sudah dibuka. Ucin mesti menukar sampul surat, tetapi dia tidak mempunyai sampul surat bercap sekolah. Tulisan Cikgu Hamizan pula macam mana? Mustahil Ucin mampu meniru bentuk tulisan Cikgu Hamizan yang cantik itu.
Beberapa minit Ucin hanya menatap sampul surat yang sudah koyak itu. Pening!!
Apa agaknya yang ditulis Cikgu Hamizan ni? Ucin terus menarik kertas dari dalam sampul surat. Tidak peduli ketika mencabutnya telah menambah lebar koyaknya sampul surat. Biarkan saja, dah telanjur koyak biar koyak terus. Yang penting Ucin mahu tahu isi surat Cikgu Hamizan.
Hei, apa ni? Ucin terkejut. Kertas itu ternyata kosong. Iya, betul-betul kosong, tidak ada tulisan satu hurufpun. Ho... ho, barangkali Cikgu Hamizan salah memasukkan kertas ke dalam sampul surat. Surat kosong macam ini tidak perlu disampaikan kepada bapa dan ibu. Jadi, sampul surat koyakpun tidak jadi masalah. Ucin sungguh lega. Dengan wajah ceria dia meluru keluar bilik.
“Ucin, kamu buat apa dalam bilik? Kenapa lama baru keluar? Tadi ibu panggil kamu tak menyahutpun!”
Ucin tersengih.                                 
“Laa, pakaian sekolahpun belum ditukar lagi?”
“Ada kerja penting tadi, bu!”
“Dah siap ke?”
“Dah siap dah!”
Hari ini Mak Seri tidak masak ikan kesukaannya, tetapi Ucin merasa lapar sekali lalu menjamu selera dengan lahap.
Empat hari berlalu. Ucin gembira kerana Cikgu Hamizan tidak memanggilnya untuk bertanya tentang surat tersebut. Hari kelima Ucin hampir melupakan surat itu. Pada akhir pelajaran, Cikgu Hamizan mengetukkan penggaris kayu pada papan tulis. Seisi kelas diminta tenang.
“Pandang ke hadapan semua!” perintah Cikgu Hamizan. “Sebelum pulang, cikgu ingin tanya kamu, adakah kamu telah membuat ulangkaji untuk ujian Pengajian Islam minggu hadapan?”
Hampir semua menjawab, “Sudah, cikgu!”
“Bagus,” Cikgu Hamizan tersenyum senang. “Tentang apa itu?”
“Bersikap jujur dan amanah, cikgu!”
“Baiklah! Cikgu ingin mengingatkan, bersikap jujur dan amanah itu penting. Bukan hanya untuk dihafal, tetapi perlu diamalkan. Kamu faham?”
“Faham, cikgu!”
“Sekarang cikgu nak tanya. Siapa antara kamu yang tidak menyampaikan surat cikgu kepada ibu bapa di rumah?”
Kelas sunyi senyap. Ucin turut diam seribu bahasa. Matanya melirik ke kanan dan ke kiri, rakan-rakannya juga kelihatan gelisah. Mata mereka saling bertatapan.
“Ayuh, kamu mesti jujur dan berkata benar. Siapa yang tidak menyampaikan surat harap berdiri. Siapa yang membuka sendiri surat itu tanpa pengetahuan ibu bapa harap datang ke hadapan. Cikgu sudah menelefon ibu bapa kamu. Jadi cikgu sudah tahu siapa bercakap benar,”
Dengan perasaan bersalah Ucin berdiri lalu berjalan ke hadapan kelas. Rupa-rupanya dia tidak sendirian. Amir, Faizal, Zali, Kamil, Acik dan juga Abdul. Semua itu adalah murid-murid yang kurang pandai dalam pelajaran, sering mendatangkan masalah dan gemar melanggar disiplin sekolah. Kalau dalam diri tidak ada sikap jujur dan amanah, macam-macam perkara boleh berlaku.



Rahsia Dua Sahabat
SMAHADZIR

HARI belum begitu malam. Nathan sedang menonton televisyen di ruang tamu rumahnya. Sendiri saja. Ayah, ibu dan kedua-dua adiknya pulang ke kampung untuk melihat nenek. Mereka tidur di kampung dan akan pulang semula pada petang Ahad.
Nathan tidak ikut. Besok pagi dia sudah berjanji akan pergi memancing bersama rakan-rakan sekelasnya. Semua rakan akan berkumpul di sekolah pada pukul lapan pagi. Itu lebih menyeronokkan daripada pulang ke kampung nenek. Begitu fikir Nathan.
Rumah jiran di sebelah kiri rumah Nathan, sangat sepi. Pakcik Muniandy baru meninggal dunia semalam. Isteri dan pembantunya mungkin sudah tidur. Anjing mereka, Jonhny mendengus-dengus gelisah di halaman. Mungkin Jonhny sedih, kehilangan majikan yang selalu mengajaknya bermain itu.
Di rumah sebelah kanan lebih sepi lagi. Rumah itu sedang diubahsuai. Batu bata, pasir dan batang-batang kayu berlonggok di halamannya. Alangkah berbeza suasana malam dengan siang hari. Siang tadi ramai pekerja pembinaan di rumah sebelah.
Petang tadi Siva, Cheng Beng, dan Fahiman telah pulang ke rumah masing-masing setelah datang untuk menyelesaikan kerja-kerja rumah yang diberi oleh guru kelas bersama dengan Nathan. Kini setelah malam tiba, suasana jadi sepi sekali.
“Ah, lebih baik saya tidur sekarang. Supaya besok tidak kesiangan,” fikir Nathan. Dia segera mematikan televisyen. Tiba-tiba terdengar bunyi anjing menyalak nyaring.
            “Itu suara Jonhny. Jangan-jangan dia telah melihat arwah majikannya,” bisik hati Nathan.
Dia menjadi takut. “Ah, Cheng Beng dan Fahiman tu tak ada hati perut langsung!! Tidak mahu bila saya ajak tidur di sini,” fikir Nathan lagi. Cheng Beng dan Fahiman menyakatnya petang tadi, “Pasti kamu takut ya? Badan besar macam gajah, tetapi takut macam tikus! Nak tidur seorangpun takut. Kamu nak takut apa, Nathan? Bukannya ada hantu,”
Kini terdengar bunyi batang-batang kayu dipijak orang. Apakah itu pencuri? Dag dig dug... hati Natan berdebar mendadak.
Nathan boleh mendengar detak jantungnya sendiri.
“Aaaaaauung....” Terdengar lagi lolongan Jonhny.
“Ah, lebih baik saya siasat. Mungkin ada pencuri di rumah sebelah,” Nathan berdoa dengan penuh keberanian. Lalu mengambil sebatang kayu hoki, lampu suluh dan sebatang tukul besi.
Perlahan-lahan Nathan membuka pintu utama dan mulai mengendap-endap. Dia mengintip dari sebalik dinding rumahnya ke rumah sebelah. Ada makhluk berbaju putih dan bertopi sedang membongkok. Kelihatannya seolah-olah sedang mencari sesuatu. Nathan segera menyalakan lampu suluh. Makhluk itu menoleh.
Wajahnya kuning, hidungnya aneh, giginya besar-besar bagaikan gigi raksasa. Nathan gementar dan segera masuk ke dalam rumah, lalu mengunci pintu.
Makhluk itu ternyata tidak mempedulikannya. Nathan semakin ingin tahu. Mungkin makhluk itu dari angkasa luar yang perlukan pertolongan. Perlahan-lahan Nathan keluar lagi. Kali ini dia terus keluar pagar, menuju ke rumah sebelah.
Ternyata makhluk itu masih ada. Dia sedang mencari sesuatu dengan lampu suluh. Keberanian Nathan timbul. Tidak mungkin hantu membawa lampu suluh.
“Siapa kamu? Kalau pencuri, saya akan menghubungi polis!” gertak Nathan.
Tiba-tiba makhluk itu menoleh. Rupa-rupanya dia memakai topeng. Jelas wajahnya berwarna kuning dan bentuk hidungnya aneh.
“Ayuh lekas jawab, atau saya akan hentam kamu dengan kayu hoki ni,” desak Nathan.
Makhluk itu tertegun. Kemudian terdengar suaranya.
“Jangan pukul saya, Nathan! Ini saya, Siva!” Siva segera membuka topi dan topengnya.
Nathan terkejut.
“Kamu... kamu buat apa di sini malam-malam begini? Pakai topeng... pakai topi... pakai jaket abang kamu...” Nathan menggeleng-gelengkan kepala.
“Maaf, Nathan! Saya berpakaian begini supaya tidak dikenali orang. Saya sedang mencari...” Siva agak ragu-ragu hendak meneruskan kata-katanya.
“Cari apa, Siva? Kamu kehilangan barang berharga ke?” Nathan ingin tahu.
“Iya. Saya akan beritahu kamu, asal jangan beritahu rakan-rakan kita yang lain ya!” kata Siva lagi.
“Saya berjanji akan merahsiakannya,” janji Nathan tambah kehairanan.
“Tadi siang kan kita makan nasi goreng di sini. Dalam nasi goreng tu ada pasir. Sayapun ludahkan lalu keluar bersama gigi palsu saya. Dekat-dekat kawasan ni, pasir-pasir ni. Saya takut disedari rakan-rakan kita yang lain. Saya malu memakai gigi palsu, walau hanya satu batang. Selepas saya, Fahiman, dan Cheng Beng pulang dari rumah kamu, sebenarnya saya mahu kembali ke sini. Tetapi waktu tu pekerja sedang bekerja di sini. Jadi saya tunggu sehingga malam. Gigi palsu itu harus saya cari juga, kalau tidak mulut saya ompong. Lagipun ibu saya tentu marah, sebab harga gigi palsu itu mahal,”
Nathan tersenyum geli bercampur kasihan.
“Jadi sampai sekarang gigi palsu kamu tu belum jumpa lagi? Jangan-jangan dah dibawa lari dek tikus, tak?” kata Nathan. “Bentuknya seperti apa ya?”
“Macam gigi biasa. Ada plastik merah jambu pada tapak giginya,” kata Siva.
Nathan segera membongkok. Mengamati sekitar tempat itu dengan sepenuh perhatian. Dan di antara batu-batu pasir kelihatan kepingan berwarna merah jambu. Nathan terus mengambil dan menunjukkannya pada Siva.
“Ini ke yang kamu cari, Siva?” tanya Nathan.
Siva cepat menyambar benda itu, menggosokkannya di bajunya.
“Ya, ya, benar. Jumpa juga akhirnya. Terima kasih banyak. Kamu telah menolong saya menyelesaikan masalah yang genting ni,” kata Siva riang.
“Kamu memang hebat, Siva! Kamu berani sendirian malam-malam buta begini,” puji Nathan.
“Ah, ini kan terpaksa!” kata Siva. “Ingat ya, Nathan! Jangan ceritakan rahsia saya ini pada sesiapapun rakan kita yag lain,”
“Iya, saya sendiripun ada juga satu rahsia, Siva!”
“Rahsia?”
“Ya... sebenarnya saya takut tidur sendirian. Jiran sebelah rumah saya baru meninggal dunia semalam. Anjingnya melolong sepanjang malam. Suasananya menyeramkan. Cheng Beng dan Fahiman tidak mahu menginap di sini temankan saya,” Nathan tiba-tiba memecahkan rahsianya pada Siva.
“Bagaimana kalau saya menginap di rumah kamu malam ini? Saya sangat berterima kasih pada kamu. Saya juga takkan cerita pada siapa-siapa yang kamu takut tidur seorang diri,” kata Siva.
“Wah, bagus sekali tu! Kamu benar-benar dah menolong saya menyelesaikan satu masalah yang genting,” kata Nathan dengan wajah yang gembira.
Malam itu Siva tidur di rumah Nathan. Esok harinya Cheng Beng dan Fahiman bertanya apakah Nathan boleh tidur semalaman. Nathan menjawab dengan penuh yakin.
“Tentu saja, saya tertidur nyenyak macam orang mati,” Rahsia Nathan dan Siva tidak tersebar di antara kawan-kawan mereka yang lain.



Menangkap Penunggu Sungai
SMAHADZIR

AZAN Maghrib berkumandang dari arah kampung. Langit senja berwarna merah dan kuning. Suasana di kawasan paya di pinggir kampung itu sudah gelap dan sunyi. Pokok-pokok rumbia berdaun lebat tumbuh subur di situ.
“Raman, Saad, hari sudah gelap, ayuh kita pulang!!,” Badi mengingatkan kedua-dua rakannya.
“Ah, masih awal lagi ni,” balas Raman sambil memegang jaringnya.
Sementara Saad sudah berada di tengah paya sibuk menyauk ikan dengan penyauk. Badi memegang keranjang hasil tangkapan. Ikan-ikan di dalam keranjang rotan melompat-lompat. Hari itu tangkapan mereka banyak sekali.
Angin senja bertiup perlahan-lahan. Daun-daun rumbia saling bergesekan dan mengeluarkan bunyi berdesir. Terdengar suara unggas hutan di pokok rumbia. Badi mulai gelisah. Peluh deras membasahi keningnya. Padahal udara sekitar sejuk dan segar.
Dia teringat cerita Atuk Hassan bahawa di hutan rumbia ini banyak ‘penunggunya’. Tak semena-mena Badi rasa menyesal kerana mengikut ajakan Raman dan Saad sebaik pulang dari sekolah tadi. Mereka mengajaknya menangkap ikan di paya hutan rumbia ini.
Badi masih ingat, sewaktu dia menolak ajakan itu, Raman berkata, “Ah, itu kan hanya cerita Atuk Hassan. Atuk Hassan memang suka buat cerita dongeng. Mana ada hantu penunggu zaman sekarang ni,”
Tiba-tiba kaki Badi terasa sejuk. Dia mendadak pucat. Kemudian terdengar suara ketawa Raman dan Saad. Ternyata mereka telah melemparkan lumut ke kakinya.
            “Ha... ha..., melamun cerita hantu penunggu sungai, ya,” ujar Saad.
Badi tersenyum tawar.               
“Ayuh pulang! Di paya ni banyak betul ikannya. Besok kita ke sini lagi ya,” ajak Raman sambil mulai mengemas.
Badi tidak bersuara. Dia ingin segera pulang. Dia tidak suka mendengar bunyi gesekan daun-daun rumbia itu. Seperti bunyi orang bersiul tetapi menyeramkan.
Sebelum pulang, Raman mengajak mereka ke sungai dulu untuk membersihkan kaki dari lumpur.
“Kita terus pulang saja,” desak Badi cuba membantah. Dia masih teringat cerita Atuk Hassan, bahawa di sungai itu pernah orang kampung melihat seorang lelaki tua berjubah putih.
“Kenapa?” tanya Raman. “Kita kan kotor ni, berselepat dengan lumpur.”
“Atuk Hassan kata ada lelaki tua berjubah putih di sungai ni,” ujar Badi separuh berbisik.
“Kalau dia adapun, apa salahnya? Kita bukannya nak ganggu dia,” balas Saad sambil tersenyum.
Kemudian dia mencuci muka, tangan, kaki, serta jaring dari kotoran lumpur.
“Brrr, airnya sejuk betul,” ujar Raman yang juga mencuci kakinya. Tetapi Badi tidak melakukan apa-apa. Matanya berkelintar ke sana ke mari. Mengawasi kawasan sekitar yang ditumbuhi rumpun bambu, pokok-pokok liar dan semak-semak.
Ketika mereka hendak meninggalkan sungai, Badi nyaris menjerit. Dia melihat lembaga putih di atas sebuah batu besar. Entah sejak bila ada di situ.
“Raman, Saad, kamu nampak lembaga itu tak?” tanya Badi dengan suara yang bergetar.
“Ya, saya nampak,” balas Raman sedikit kecut.
“Saya juga,” jawab Saad perlahan-lahan.
Mereka berjalan separuh berlari meninggalkan sungai itu.
            Petang keesokan harinya, Badi pergi ke surau untuk mengaji. Tetapi di tengah perjalanan dia bertemu dengan Raman dan Saad. Mereka juga seolah-olah hendak pergi ke surau. Tetapi ada gulungan jala di tangan Raman.
“Ayuh, ikut kami ke sungai,” ajak Saad. Badi segera menggeleng mengingatkan lembaga putih semalam.
“Kami nak tangkap penunggu sungai semalam tu,” jelas Saad tenang. Dia menunjukkan jala di tangan Raman.
“Tetapi kita akan terlambat mengaji nanti. Ustaz Hamid tentu akan marah,” ujar Badi. “Semalampun kita dah kena marah,”
“Tak apa! Yang penting kita harus membuktikan bahawa hantu penunggu itu tidak wujud,” tegas Saad menyakinkan Badi.
“Ayuh, jangan jadi penakut, Badi,” kata Raman pula.
Akhirnya Badi bersetuju untuk pergi bersama Raman dan Saad.
Setibanya di sungai, hari sudah hampir gelap. Dari tempat mereka bersembunyi di sebalik semak-semak, kelihatan jelas lembaga putih di atas batu itu.
Badi mulai menggigil ketakutan. Udara sejuk membuat dia tambah gementar.
“Kita dekati dia,” bisik Raman.
Saad bersedia dengan jala di tangannya. Badi hanya diam dengan bibir bergetar. Lembaga putih itu kelihatan mulai bergerak naik dari sungai.
“Seraaaaang...” Saad dan Raman menyergap lembaga putih itu dengan jala.
Terjadi pergelutan kecil ketika lembaga itu menjerit-jerit kerana terkejut.
“Hei, lepaskan aku! Apa ni? Kamu berdosa mengganggu orang tua macam aku,” ujar lembaga itu marah-marah.
Badi berasa seperti kenal dengan suara itu. Atuk Hassan dengan sarung putihnya!
“Jaga, aku beritahu Ustaz Hamid yang kamu ponteng kelas mengaji!!”
“Maaf, atuk! Kami ingat atuk penunggu berjubah putih di sungai ini. Kami ingin membuktikannya,” jawab Badi.
“Penunggu berjubah putih?! Mana ada penunggu di sini. Setiap petang aku memang mandi di sini. Kerana udara sejuk, aku selimut tubuhku dengan kain putih ini,” jawab Atuk Hassan.
“Habis, bagaimana dengan cerita penunggu sungai itu?” tanya Raman.
“Itu hanya cerita aku. Supaya kamu pergi mengaji di surau dan tidak merayau ke mana-mana,”
“Maafkan kami, atuk! Kami tidak bermaksud nak menyusahkan atuk,” ucap Badi ikhlas.
“Iya, sudah, sudah! Aku mahu cuci kaki lagi! Kamu pijak kaki aku tadi,”
Dalam perjalanan ke surau, ketiga-tiga rakan baik itu ketawa berdekah-dekah. Mereka gembira kerana berjaya membongkar rahsia penunggu sungai itu. Dan yang paling penting, mereka berjaya mengatasi rasa takut mereka sendiri. Mereka juga berjanji tidak akan merayau lagi pada waktu senja.



                                              Semangat Baru
                                                    SMAHADZIR

Semakin dekat dengan rumah, langkah kaki Iman semakin cepat. Dia mahu menelefon Pakcik Dani yang bekerja di sebuah syarikat penerbitan majalah kanak-kanak. Besok ada pertandingan catur untuk murid-murid sekolah rendah di sebuah pusat membeli-belah dan Pakcik Dani adalah salah seorang anggota urus setia pertandingan tersebut.
Sabtu lalu Pakcik Dani menelefon ibu dan memberitahu tentang pertandingan catur tersebut. Kalau Iman berminat mesti mendaftar selewat-lewatnya pada hari Isnin. Sekarang sudah hari Selasa dan Iman belum lagi mendaftar.
Setiba di rumah, Iman segera menelefon Pakcik Dani. Ternyata Pakcik Dani belum pulang. “Bu, saya nak telefon Pakcik Dani di handphone-nya, ya!” Iman minta izin pada ibu.
“Boleh, tetapi jangan lama-lama,” pesan ibu.
Iman berdiri dekat meja telefon lalu menelefon Pakcik Dani. “Hello, pakcik! Saya sudah bersedia nak menyertai pertandingan catur besok. Jam berapa saya harus tiba di sana? Pakcik nak jemput saya tak?” bertubi-tubi pertanyaan Iman.
“Iman, kamu tidak boleh ikut. Pendaftaran sudah ditutup pada hari Isnin petang yang lalu!”
“Kenapa begitu? Pakcik kan urus setia pertandingan. Saya sangka pakcik sudah daftarkan,” kata Iman dengan perasaan kecewa.
“Laa, mana pakcik tahu yang kamu berminat. Kamu tidak pula menelefon pakcik sebelum ini. Maaf, urus setia pertandingan tidak boleh mengubah peraturan yang sudah ditetapkan, Sudah, ya!” Pakcik Dani mengakhiri perbualannya.
Terus Iman merasa lututnya lemah. Seminggu ini dia berlatih bermain catur melawan Faiz dan Budi. Dan sekarang, semuanya sia-sia hanya kerana kelalaian, tidak mendaftar dan tidak menghubungi Pakcik Dani. Dia juga menyangka Pakcik Dani sudah mendaftarkan namanya. Aduh, apa kata Faiz dan Budi kalau mereka tahu hal ini?
Sepanjang petang sampai malam wajah Iman murung. Esok paginya Iman tidak mahu bangkit dari tempat tidur. Dia sangat kecewa. Dalam hati dia menyalahkan Pakcik Dani yang berlaku kejam dan juga ibunya yang tidak mengingatkannya untuk mendaftar. Jam 8.30 telefon berdering. Tidak lama kemudian ibu masuk ke bilik.
“Iman, ada telefon dari Pakcik Dani!” Ibu memberitahu.
Dengan perasaan yang malas Iman ke luar bilik.
“Iman, sebetulnya pakcik sudah daftarkan nama kamu. Kelmarin pakcik cuma mahu mendidik kamu agar lain kali jangan lalai lagi,” kata Pakcik Dani. “Kamu boleh datang ke sini dalam waktu setengah jam sebelum pertandingan bermula?”
“Aaah...ehhh, saya belum mandi dan makan. Tetapi, saya akan datang naik teksi,” kata Iman.
Dengan segera Iman mengambil sehelai tuala lalu bergegas ke bilik mandi. Selesai mandi, dia membongkar pakaian dan memohon diri untuk pergi dari ibunya.
“Sarapan dulu, Iman!” Ibunya mengingatkan.
“Tidak boleh, bu! Kata Pakcik Dani jam 9.00 saya harus ada di sana. Saya akan naik teksi saja. Wang saya masih ada,” kata Iman dan diapun berlari ke jalan mencari teksi.
Dengan termengah-mengah akhirnya dia tiba di tempat pertandingan di tingkat tiga. Para ibu bapa hadir menghantar anak-anak mereka. Selain pertandingan catur, ada juga pertandingan mewarna lukisan dan pertandingan menyanyi.
Iman menemui Pakcik Dani.
“Duduk di meja nombor 4, Iman!” kata Pakcik Dani.
Setelah duduk, Iman berhadapan dengan lawannya, seorang budak laki-laki yang kemas dan rapi. Budak itu tersenyum dan menjabat tangan Iman, menyebutkan namanya sebagai Ian.
Ketika menoleh ke kiri, di meja nombor tiga ternyata ada budak yang tinggal di kompleks perumahan yang sama dengan Iman. Budak itu berkasut biru, menganggukkan kepala dan tersenyum pada Iman.
Urus setia pertandingan membacakan peraturan-peraturan yang harus ditaati dan nama-nama peserta pertandingan, dan sejurus kemudian acara pertandingan pun dimulai. Lawan Iman ternyata sangat pandai. Dalam sekejap saja dia sudah melahap tiga bidak milik Iman dan dalam waktu 8 minit Iman kalah.
            Iman menoleh ke kiri dan budak berkasut biru sudah kalah lebih dulu dan meninggalkan kerusinya. Iman mendekati pakciknya dengan kecewa dan berkata, “Pakcik, saya mahu pulang saja sekarang,”
“Jangan pulang, lihat pertandingan dulu. Kamu boleh belajar dari para peserta yang menang,” Pakcik Dani mencegah.
“Untuk apa? Saya sudah kalah,” kata Iman dengan wajah lesu dan nada kurang senang. Dia tiba-tiba teringat wang yang sudah berpindah ke tangan pemandu teksi tadi. Pakcik Dani mengeluarkan wang RM20.00 dan memberikannya kepada Iman.
“Turunlah ke tingkat dua. Kamu boleh makan ayam goreng dan kentang. Selepas itu kembali ke sini dan baru ambil keputusan. Kamu belum sempat makan, kan,”
Ketika Iman masuk ke restoran, budak berkasut biru ternyata sudah ada di sana. Dia baru mulai makan. Dia memberi isyarat agar Iman duduk di sisinya. Iman memesan makanan dan kemudian membawanya ke meja budak itu. Kedua-duanya berkenalan.
“Rupanya kita sama-sama belum sarapan, Iman!” kata Aris, budak berkasut biru itu.
Iman menceritakan masalah pendaftaran pertandingan catur. “Saya sudah mendaftar. Cuma semalam saya asyik main catur sendiri. Bila pagi saya masih mengantuk dan sukar bangun. Jadi tidak sempat sarapan dulu,” Aris menjelaskan. “Benar kata ibu, kalau mahu ikut bertanding harus menyiapkan diri sebaik-baiknya,”
“Iya, kalau saya tidak tergesa-gesa tadi pagi, mungkin saya boleh mandi dengan tenang, bersarapan dan kemudian tidak tergopoh-gapah ke tempat pertandingan,” Iman mengakui. “Rumah kita satu kompleks, kita boleh pulang sama-sama,” tambah Iman.
“Ya, tetapi saya tidak mahu pulang sekarang, rugi!” kata Aris. “Saya mahu melihat cara rakan-rakan kita bertanding dan memerhatikannya. Kata ibu saya, kalau kita gagal kita harus bangkit dan berusaha lebih giat. Kegagalan adalah awal kejayaan kalau kita mahu memperbaiki diri,”
“Benar juga. Kalau begitu kita kembali saja ke tingkat tiga,” Iman setuju. “Bagus juga kalau kita singgah dulu ke kedai buku, beli pen dan buku kecil untuk mencatat langkah-langkah para juara,”
“Ya, ada juga hikmahnya kegagalan kita ini. Saya jadi kenal dengan kamu. Lain kali kita boleh sama-sama bermain catur. Selama ini kita tinggal satu kompleks perumahan, kita saling berselisih jalan, hanya memandang wajah, tidak bertegur-sapa,” kata Aris. “Saya mempunyai beberapa buah buku tentang catur di rumah, kamu boleh pinjam,”
“Wah, bagus sekali. Terima kasih!” kata Iman dengan ceria.
Perutnya sudah kenyang, semangatnya sudah timbul, dan rasa kecewanya hilang. Kesedaran baru muncul bahawa tidak seharusnya dia menyalahkan ibu dan Pakcik Dani, kerana dia sendiri yang salah.
Kedua-dua budak lelaki itu keluar keluar dari restoran, singgah ke kedai buku dan naik ke tingkat tiga. Iman dan Aris menonton pertandingan catur dengan penuh perhatian.
Sesekali mereka mencatat. Selepas suatu kegagalan, kita boleh memiliki semangat baru.



Mesin Jahit Untuk Emak
SMAHADZIR

“KENAPA bas tak ada hari ini?” keluh Maliki sambil melihat hujung jalan.
“Kalau hari ini tak ada bas, kita boleh pergi esok saja,” balas Mak Milah.
“Tak boleh, mak! Kita mesti pergi ke bandar hari ini juga,” tegas Maliki.
Mak Milah tidak bersuara. Matanya melihat hujung jalan. Hanya motosikal dan lori saja yang kelihatan. Bas dan teksi langsung tidak kelihatan.
“Kita naik teksi saja, mak!” cadang Maliki.
“Tambang teksi mahal, Maliki!” balas Mak Milah.
Tiba-tiba sebuah lori berhenti betul-betul di hadapan Maliki dan Mak Milah. “Kamu berdua ni nak ke bandar?” tanya pemandunya.
“Ya, pakcik!” jawab Maliki.
“Kalau nak ke sana, naiklah! Pakcik pun nak bandar juga,” ujar Pak Khalil.
“Tak salah ke kami tumpang lori kamu ni, Lil?” tanya Mak Milah.
“Apa salahnya? Lagipun, tempat duduk ni muat untuk kita bertiga,” balas Pak Khalil.
Tanpa berfikir panjang, Maliki dan Mak Milah pun segera naik ke atas lori Pak Khalil. Mereka duduk di hadapan bersama dengan Pak Khalil.
Maliki dan Mak Milah sudah lama mengenali Pak Khalil. Pak Khalil mengambil pasir dari sungai di kampung mereka.
Sebenarnya Maliki juga amat rapat dengan Pak Khalil. Pak Khalil adalah pembeli telur itik dari Pak Usman. Sebaik pulang dari sekolah, Maliki selalu membantu Pak Usman menjual telur itik.
“Cikgu Halimah beritahu pakcik, kamu menang tempat kedua dalam  pertandingan melukis Sempena Bulan Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan,” ujar Pak Khalil sewaktu dalam perjalanan.
Maliki tersenyum sambil mengangguk.
“Apa hadiahnya yang kamu dapat, Maliki?” tanya Pak Khalil lagi.
“Wang tunai, pakcik!” jawab Maliki. Dia teringat wang di tangannya sejumlah RM1,500. Sebahagian dari wang itu adalah hadiah pertandingan yang diperolehinya di Kuala Lumpur, ditambah hasil penjualan telur itik. Wang itu dia simpan sejak dua tahun lalu. Mudah-mudahan cukup untuk membeli sebuah mesin jahit buat emak, fikirnya.
Emak Maliki bekerja sebagai pembantu menjahit baju di rumah Mak Halimah, jiran mereka. Itulah sebabnya sejak beberapa tahun lalu Maliki sangat ingin membelikan emaknya sebuah mesin jahit. Agar emaknya mampu bekerja sendiri menerima tempahan jahitan.
“Eh, kamu nak ke bandar ni buat apa? Nak membeli-belah ke?” tanya Pak Khalil.
“Err, sebenarnya kami nak ke kedai mesin jahit,” jawab Mak Milah.
“Nak beli ke?” tanya Pak Khalil.
Mak Milah tidak menjawab. Dia hanya tersenyum sambil melirik wajah Maliki di sisinya. Maliki turut tersenyum.
“Maliki, kita sudah sampai. Pasir akan diturunkan di sini,” kata Pak Khalil.
“Oh ya, terima kasih, pakcik!” ujar Maliki.
“Kedai jual mesin jahit terletak di hujung jalan sana,” ujar Pak Khalil sambil menudingkan jarinya. “Nanti kamu pulang sama-sama pakcik lagi ya. Pakcik tunggu di sini,” ujar Pak Khalil lagi.
“Baiklah, pakcik!” jawab Maliki.
Sejurus kemudian mereka mulai berjalan kaki menyusuri jalan tepian longkang besar dan melalui beberapa buah warung. Akhirnya merekapun sampai di sebuah kedai menjual mesin jahit. Di kedai tersebut terdapat berbagai jenis mesin jahit. Dari yang harganya murah sehingga yang paling mahal.
“Mahu mana satu, makcik?” tanya penjual berbangsa Cina bernama Ah Meng.
“Makcik nak tahu harganya dulu,” ujar Mak Milah.
“Yang murah ada, yang mahalpun ada,” ujar Ah Meng.
“Kami mahu harganya tak terlalu mahal,” ujar Maliki.
Ah Meng pun menjelaskan tentang harga yang ditawarkannya. Dia juga bercerita tentang cara menggunakan mesin jahit tersebut. Mereka berdua akhirnya memilih mesin jahit jenama Singer. Mesin jahit itu seperti milik Mak Halimah yang biasa digunakan oleh Mak Milah setiap hari.
“Ini hadiah untuk ulang tahun emak. Selamat hari jadi, semoga emak panjang umur,” kata Maliki menyalami dan mencium tangan emaknya.
Mak Milah terkejut. Baru dia ingat bahawa hari itu bertepatan dengan hari ulang tahunnya yang ke 50. Diusapnya rambut Maliki dengan penuh kasih-sayang. Hampir saja air matanya mahu mengalir lagi kerana terharu.
“Mesin jahit ini akan saya hantar ke rumah makcik petang nanti, ya,” ujar Ah Meng sewaktu Maliki membayar wang untuk harga mesin jahit tersebut.
Langkah Maliki terasa begitu ringan ketika keluar dari kedai itu. Hatinya berasa sungguh gembira kerana apa yang diinginkannya selama ini sudah tercapai. Jika dia tidak rajin belajar dan berjaya dalam pertandingan melukis di Kuala Lumpur, keinginan itu tentu masih tertunda entah berapa tahun lagi.
Dalam hati Maliki berkali-kali mengucapkan rasa syukur kepada Tuhan. Kerana kemurahan-Nyalah dia mampu memberikan hadiah kepada ibunya. Semoga dengan hadiah mesin jahit itu ibunya mampu bekerja sendiri, seperti pesan arwah ayahnya sebelum meninggal dunia dahulu.
“Laa? Kamu beli apa, Maliki? Tak nampak kamu bawa apa-apapun?” tanya Pak Khalil yang sudah lama menunggu mereka berdua.
“Ini ha! Maliki dah belikan saya mesin jahit,” kata Mak Milah dengan perasaan yang bangga.
“Mana mesin jahitnya?” tanya Pak Khalil lagi.
“Nanti mesinnya dihantar pekedai itu ke rumah,” ujar Mak Milah.
“Kenapa tak dibawa balik sekarang? Kan kita boleh bawa naik lori,” ujar Pak Khalil.
“Tak apalah! Pekedai itupun dah berjanji nak hantar ke rumah!” ujar Mak Milah.
“Ha… ha… ha... ha... bagus, Maliki! Biar emak kamu buka syarikat jahit-menjahit sendiri pula di rumah,” Pak Khalil tertawa senang.
Maliki tersenyum. Mereka kemudiannya menuju ke arah lori yang sudah kosong muatannya kerana pasir telah diturunkan. Pak Khalil membuka pintu lorinya dan mengambil dua buah bungkusan yang terletak di hadapan.
“Pakcik beli apa tu?” tanya Maliki.
“Hadiah!” ujar Pak Khalil sepatah.
“Hadiah hari jadi ke, pakcik?” tanya Maliki lagi.
“Bukan hadiah hari jadi tapi hadiah untuk ucapan tahniah,” jawab Pak Khalil.
“Untuk siapa, pakcik?” Maliki terus bertanya.
“Untuk siapa lagi, untuk kamulah!” ujar Pak Khalil sambil ketawa.
“Untuk saya? Pakcik bergurau ke?” Maliki bagaikan kurang percaya.
“Ya, untuk kamu!” tegas Pak Khalil.
Maliki terdiam.
“Maliki, pakcik juga berbangga atas bakat besar kamu menang dalam pertandingan melukis di Kuala Lumpur. Nah, ini kasut dan beg sekolah sebagai kenang-kenangan untuk kamu. Kamu mesti rajin belajar dan selalu membantu emak kamu,” kata Pak Khalil sambil menepuk bahu Maliki.
“Terima kasih, pakcik!” ujar Maliki.
Pak Khalil memang menganggap Maliki seperti anaknya sendiri. Pak Khalil pernah bercerita tentang Zulham, satu-satu anaknya. Jika anak itu masih ada, sekarang pasti sudah sebaya dengan Maliki.
Tetapi sayangnya Zulham sudah meninggal dunia sewaktu masih kecil kerana menderita penyakit polio. Sampai sekarang Pak Khalil belum lagi dikurniai anak sebagai pengganti Zulham.
Sejurus kemudian lori itupun beranjak perlahan-lahan meninggalkan kawasan bandar.



Dompet Yang Tercicir
SMAHADZIR

PANAS yang terik. Alin, Iwan dan Acep melangkah lesu. Usia mereka sekitar sepuluh tahun. Ketiga-tiga mereka adalah murid tahun empat di Sekolah Kebangsaan Banting Baru.
“Huh, panas sungguh hari ni,” keluh Acep sambil menyeka peluh di dahinya.
“Kan sekarang musim kemarau,” ujar Iwan sibuk mengipas dengan topinya.
Alin hanya diam. Dalam hati dia membenarkan kata-kata kedua-dua rakannya itu.
“Eh, kamu semua ada duit tak? Dahaga ni, duit saya dah habis,” Iwan bertanya.
“Kamu memang kuat makan. Beli mi goreng sampai tiga kali,” gurau Acep kepada Iwan yang berbadan gemuk itu.
“Sementara hidup, bila mati dah tak dapat makan lagi,” balas Iwan.
“Sebab itulah duit kamu cepat habis,” balas Acep sambil tersengih.
“Huh!” Iwan mendengus, “Kamu ada duit tak Lin?”
Alin segera menggeleng. Iwan mengeluh panjang. Menyesal kerana menghabiskan wang di sekolah tadi. Kalau tidak, panas-panas begini dapat juga minum cendol... sedaaap!
 “Kalau begitu, cepat sikit jalan. Biar cepat sampai ke rumah,” usul Acep kepada rakan-rakannya.
“Setuju! Biar berpeluh sikit badan,” tambah Iwan, lalu menoleh ke arah Alin, “Eh, mana tuan puteri kita?” Kedua-duanya tercangak-cangak. Ternyata Alin tertinggal jauh di belakang. Dia melambaikan tangan, memberi isyarat supaya datang kepadanya.
“Ada apa ya?” tanya Iwan sambil memandang ke arah Acep. Tidak lama kemudian mereka segera menghampiri Alin.
“Tengok apa yang saya dah jumpa ni!” Alin menghulurkan tangannya. Dompet!
“Wau!” ujar Acep dan Iwan serentak. Dompet itu nampak mahal. Pasti milik orang kaya.
“Ada wangnya tak, Lin?” Acep bertanya cepat.
“Saya belum buka,”                   
“Ayuh kita lihat sama-sama,” desak Iwan.
Alin agak keberatan. Hati kecilnya melarang. Tetapi kedua-dua rakannya nampak tidak sabar lagi. Alin membuka dompet itu perlahan-lahan. Isi dompet itu tidak begitu banyak. Kad ATM, kad kredit dan kad pengenalan pemilik bernama Zaharah. Alin memeriksa dengan teliti, dan wang seratus ringgit dalam bentuk pecahan sepuluh ringgit.
“Kaya kita!” Iwan tersengih senang, “Wangnya kita ambil, dompetnya kita buang saja.”
“Jangan,” Acep membantah. “Kita serahkan pada pemiliknya, kan ada namanya di sini. Siapa tahu dapat hadiah atau imbalan lebih banyak!”
“Tak payahlah, saya haus ni!” tukas Iwan.
“Dasar kuat makan! Itu tak jujur namanya,” balas Acep.
“Eh, kita bukannya mencuri, kita jumpa!”
“Jumpa tapi ada nama pemiliknya di sini!”
“Sudah, jangan bertengkar,” Alin melerai. “Saya yang jumpa dompet ni! Jadi biar saya yang buat keputusan.”
Acep dan Iwan terkedu mendengar kata-kata tegas Alin.
“Dompet ini saya akan serahkan kepada polis, kamu setuju, kan?” Alin menatap wajah Acep dan Iwan, hanya mampu mengangkat bahu. Meski perempuan, Alin terkenal tegas dan teguh pendirian. Tidak ada gunanya untuk mempengaruhi.
Kerana tidak ada bantahan, Alin melangkah santai. Menuju balai polis yang berjarak kurang lebih 30 meter dari tempat itu. Kedua-dua rakannya mengekor dengan langkah longlai.
Mereka disambut dengan ramah. Setelah menceritakan segala kejadian, mereka disuruh mengisi borang laporan. Alin menulis alamat rumahnya di ruang alamat pelapor. Selepas itu mereka pun pulang.
Sebulan kemudian...
Murid-murid tahun empat di Sekolah Kebangsaan Banting Baru jadi resah dengan tuduhan terhadap Alin selaku Ketua Kelas. Ada yang mengatakan Alin pura-pura baik, gila nama, gila pujian, tamak, musang berbulu ayam, dan lain-lain lagi. Alin kehairanan. Dia berusaha mencari sumber tuduhan tersebut.
Selidik punya selidik, Acep dan Iwan adalah puncanya. Alin segera menemui mereka, selepas rehat di belakang sekolah.
“Kenapa dengan kamu ini? Buat tuduhan palsu!”
“Bukan palsu tapi kenyataan!” Iwan bersahaja.
Kemudian dia dan Acep segera meninggalkan Alin. Sikap Acep dan Iwan jelas sekali memusuhinya. Alin merasa sangat sedih. Bunyi loceng kedengaran. Tanda rehat telah selesai. Alin melangkah lesu, menuju kelas.
“Selamat tengah hari, murid-murid!”
“Selamat tengah hari, cikgu!!!”
Semuanya hairan melihat seorang anggota polis di sisi Cikgu Rahim masuk ke dalam kelas. Masing-masing tertanya-tanya.
“Kita kedatangan tetamu istimewa hari ini. Untuk tidak membuang masa, silakan encik,” Cikgu Rahim berkata ramah.
“Terima kasih,” anggota polis itu tersenyum.
“Begini murid-murid. Kira-kira sebulan yang lalu, ada beberapa orang rakan kamu telah menyerahkan dompet yang ditemui kepada pihak polis, tindakan yang jujur. Pemilik dompet sangat kagum, dalam usia muda, murid-murid itu tidak terpengaruh untuk mengambil isinya yang berupa wang tunai seratus ringgit.”
Acep dan Iwan terpaku. Alin menunduk saja. Sebenarnya dia lebih suka masalah ini tidak dibesar-besarkan.
Cikgu Rahim menyambung pembicaraan. “Pemilik dompet itu seorang doktor. Dia sangat menghargai perilaku terpuji yang dilakukan oleh rakan-rakan kamu itu. Untuk itu, dia berkenan menyumbangkan buku-bukunya yang berharga untuk koleksi perpustakaan sekolah kita.”
Cikgu Rahim berhenti sejenak. “Untuk murid-murid yang jujur itu, ada ganjaran tersendiri. Mereka boleh mengambilnya di pejabat guru besar sekolah besok pagi.”
Seisi kelas tertanya-tanya. Alin pura-pura sibuk dengan buku bacaannya. Dia tidak ingin menonjolkan diri, lebih-lebih lagi mahu berbangga. Baginya menolong atau berbuat baik bukan untuk mendapat penghargaan. Sebab, dia benar-benar ikhlas. Meski tidak dapat imbalan, Alin yakin Tuhan Maha Pengasih, Penyayang dan Maha Mengetahui perbuatan hamba-Nya.
Pulang sekolah Alin terkejut kerana dihadang oleh Acep dan Iwan di pintu masuk sekolah. Alin lebih terkejut sewaktu kedua-dua rakannya itu menghulurkan tangan. Dengan ragu dia menatap mereka. Wajah Acep dan Iwan seperti malu-malu.
“Ada apa ni?” Alin menyalami tangan mereka.
“Kami berdua nak minta maaf,” Iwan menundukkan kepala.
“Untuk apa? Kamu tidak ada salah apa-apa!”
“Tuduhan itu sengaja kami sebarkan kerana...” Acep menyigung rusuk Iwan. Iwan terus gugup. Alin tersenyum.
“Sudahlah kalau tidak mahu cerita.”
“Eh, begini Lin!” kata Iwan perlahan-lahan. “Kami sangka, pemilik dompet itu dah memberi kamu hadiah. Dan kamu diamkan saja, tak beritahu kami.”
“Laa, sejauh itu? Saya tak inginkan apa-apa hadiah....”
“Err, itu ... seminggu yang lalu kamu pakai beg baru. Jadi kami sangka...”
Alin tergelak kecil. Acep dan Iwan kehairanan.
“Itu saja sebabnya?” Alin mengeluh pendek. “Beg baru itu adalah hadiah dari makcik saya yang tinggal di Pulau Pinang. Lain kali jangan cepat buruk sangka!”
“Jadi kamu mahu memaafkan kami?”
“Tentu saja, kita kan rakan. Ayuh pulang!”
“Okeeeey!!!!”
Mereka melangkah riang. Tetapi di sepanjang jalan Iwan menunduk saja. Acep dan Alin jadi hairan.
“Tak ada apa-apa,” jawab Iwan ketika ditanya. “Saya tunduk sebab nak lihat kalau-kalau ada lagi dompet orang yang tercicir,” sambungnya sambil tersengih.

“Huuuuuh!!” Acep dan Alin mencebek serentak.


Kasut dan Kasih Ibu
SMAHADZIR

Sudah setahun Baharin bekerja sambilan di kedai runcit Pak Amat. Waktu itu dia dalam darjah dua. Syukurlah, Pak Amat baik hati, sanggup mengambilnya bekerja walaupun secara sambilan.
            Penglihatan ibunya menjadi buta menyebabkan Baharin terpaksa mencurahkan tenaganya di kedai runcit ini. Sebagai penoreh getah, ibunya terpaksa bekerja untuk menyara persekolahannya. Ayahnya sudah meninggal dunia sejak Baharin dilahirkan.
            Hari itu amat malang dalam hidup ibunya. Sekumpulan agas telah menyerang ibunya sewaktu sedang menoreh getah. Akibat gigitan yang banyak, ibunya pengsan di dalam kebun itu. Nasib baiklah ditemui Pak Samad dan Mak Munah yang kebetulan lalu di situ. Merekalah yang mengusung ibunya pulang ke rumah.
            Mata ibunya bengkak, merah dan berair hampir dua minggu. Masuk minggu ketiga, mata ibunya menjadi buta. Dengan pertolongan Ketua Kampung, ibunya mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk perbelanjaan hidup.
Tetapi, wang itu tidak mencukupi. Sebab itulah Baharin bekerja di kedai runcit ini, untuk meringankan beban yang ditanggung oleh ibunya.
            “Ibu sanggup kurangkan makan asalkan pelajaran kamu tidak terganggu,” ujar Mak Tijah sewaktu Baharin menyuarakan hasrat mahu bekerja sambilan.
            “Ibu janganlah bimbang,” pujuk Baharin. “Saya… saya cuma mahu bekerja sambilan saja,”
            “Di mana kamu nak bekerja?” tanya Mak Tijah lagi.
            “Di kedai runcit Pak Amat,” jawab Baharin.
            “Tapi, ibu bimbang pelajaran kamu akan terabai sebab bekerja sambilan itu,” Mak Tijah menyuarakan kebimbangan hatinya.
            “Ibu janganlah risau,” balas Baharin. “Saya berjanji tak akan mengabaikan pelajaran. Lagipun, saya cuma bekerja sebelah pagi sampai tengah hari saja. Selepas itu saya akan ke sekolah,” ujar Baharin.
            “Tentu kamu keletihan dan tak dapat mengulangkaji pelajaran. Ini akan menggagalkan kamu dalam peperiksaan,” tegas Mak Limah.
            “Percayalah kepada saya, ibu! Saya akan berkorban masa main semata-mata untuk mengulangkaji pelajaran,” tegas Baharin.
            Mak Limah akhirnya membenarkan Baharin bekerja. Sejak hari itulah, dia mula bertekad untuk mencegatkan segala janji dan kepercayaan ibunya. Baharin tidak mahu menghampakan harapan ibunya yang mahu dia berjaya dalam pelajaran.
Mereka orang miskin. Tiada harta yang ditinggalkan arwah ayahnya. Sebab itu, ilmulah bakal menjadi harta paling berguna dalam hidup.
“Kenapa baginda memilik ilmu, ustazah?” tanya Baharin.
“Eh, kamu bekerja di sini?” tiba-tiba satu suara menerpa telinga Baharin. Dia terpinga-pinga sejenak. Segala lamunannya hilang. Dia segera menoleh. Dengan jelas wajah Ustazah Aminah berdiri di sisinya.
            “Sudah lama dia bekerja dengan saya, ustazah,” ujar Pak Amat sebelum sempat Baharin menjawab. Ketika itu dia sedang menimbang sayur dan ikan di hadapan kedai.
Baharin sekadar tersengih-sengih.
            “Baguslah, Baharin,” balas Ustazah Aminah. “Kerjalah baik-baik. Jujur dan amanah,”
“Terima kasih, ustazah,” ujar Baharin.
            “Tak lama lagi kamu akan menduduki peperiksaan. Jangan lupa pula mengulangkaji pelajaran,” ujar Ustazah Aminah.
“Saya tetap ingat itu semua, ustazah,” balas Baharin.
“Pandai-pandailah bahagikan masa supaya kamu dapat belajar, bermain dan berehat dengan selesa. Itu semua penting untuk kamu,” ujar Ustazah Aminah lagi.
Baharin hanya mengangguk.
“Jangan lupa juga sembahyang. Ingat Tuhan selalu. Insya-Allah, kamu akan diberkati,” tambah lagi Ustazah Aminah sebelum membuat bayaran barangan yang dibelinya.
            Sewaktu pelanggan berkurangan, Baharin mengemas semua barangan yang bersepah di dalam kedai. Selepas itu dia berehat sebentar di hadapan kedai sambil menikmati angin yang menderu segar.
Hari ini dia akan menerima upah dari Pak Amat berjumlah RM100.00. Dengan wang itu, Baharin sudah berangan-angan akan membeli sepasang kasut sekolah yang baru.
Kasut yang dipakainya sekarang sudah terkoyak bahagian depan menyebabkan jari kakinya sering keluar. Selebihnya akan diserahkan kepada ibunya untuk perbelanjaan rumah. Dia terpaksa membeli kasut itu kerana sering saja ditegur oleh Cikgu Hamid. Guru disiplin itu amat mengambil berat soal pakaian pelajar.
            Menjelang jam dua belas tengah hari, tamatlah kerja Baharin untuk hari itu. Selepas menerima upah kerja untuk bulan tersebut, Baharin segera pulang. Sepanjang perjalanan, hatinya tersangat gembira. Tidak seperti bulan-bulan yang lalu kerana bulan ini upahnya telah dinaikkan oleh Pak Amat.
Dia tidak lagi dibayar RM100.00 seperti selalu tetapi dibayar RM150.00. Barangkali berkat kerajinan, jujur dan amanah, bisik hatinya sambil tersenyum.
            Sebaik tiba di hadapan tangga rumah, Baharin terus memanggil ibunya. Dia berasa tidak sabar lagi hendak memberitahu ibunya berita gembira itu. Namun, segalanya hampa kerana sewaktu dia menjengah anjung rumah, kelihatan ibunya sedang terbaring kaku. Baharin segera menerpa.
            “Kenapa bu? Kenapa ibu terbaring begini?” tanya Baharin dengan dada yang berdebar-debar.
            “Ibu demam, Baharin,” ujar Mak Tijah perlahan.
            Baharin meraba-raba leher dan seluruh tubuh ibunya. Benar. Ibunya demam. Seluruh tubuh Mak Tijah panas membahang.
            “Ibu mesti dihantar ke hospital untuk menerima rawatan,” ujar Baharin.
            “Tapi, kita tak ada wang, Baharin! Wang yang ada sudah habis ibu gunakan untuk membeli barang makanan,” balas Mak Tijah dengan sedih.
Baharin terdiam sejenak.
“Kamu bukan tak tahu, hospital jauh dari rumah kita. Kita terpaksa menyewa teksi untuk ke sana. Belanjanya banyak…” ujar Mak Tijah lagi.
            “Itu ibu jangan bimbang,” pintas Baharin. “Saya baru saja terima upah dari Pak Amat,” Dengan segera dia menghulurkan wang yang diterimanya itu kepada Mak Tijah.
            Mak Tijak agak terperanjat ketika menerima wang RM150.00 dari tangan anaknya. “Kenapa banyak sangat, Baharin?” soalnya ingin tahu.
            Baharin hanya tersenyum tanpa bersuara.
“Di mana kamu dapat wang sebanyak ini? Setahu ibu, upah kamu cuma RM100.00 saja,” Mak Tijah kehairanan.
            “Upah saya telah dinaikkan oleh Pak Amat, bu,” jawab Baharin terus-terang. “Saya tidak berbohong. Wang ini adalah wang yang halal. Bukan wang yang dicuri dari sesiapa. Percayalah bu,”
            “Kalau begitu kata kamu, ibu percaya! Tapi, simpanlah wang itu untuk membeli kasut kamu, belanja sekolah kamu,” balas Mak Tijah. Sesungguhnya dia tidak sampai hati untuk menghampakan niat Baharin hendak membeli kasut baru. Dia tahu, sudah lama Baharin menyuarakan niat itu tetapi tidak pernah tercapai kerana tidak cukup wang.
            “Tak apalah ibu! Soal kasut bukannya soal yang penting bagi saya. Kesihatan ibu lebih penting dari segalanya,” ujar Baharin dengan ikhlas.
            Mak Tijah terdiam dengan kata-kata Baharin. Perlahan-lahan air matanya mengalir membasahi pipi. Dia tahu, Baharin adalah seorang anak yang baik dan berbudi tinggi.
            Hari itu Baharin tidak dapat ke sekolah kerana menghantar ibunya ke hospital. Dia juga tidak dapat membeli kasut baru kerana wangnya telah digunakan untuk rawatan ibunya.
Namun begitu, hati Baharin berasa bangga kerana dapat berbakti kepada ibunya dengan wang hasil titik peluhnya sendiri.



Kerana Buah Belimbing
SMAHADZIR

AYAH, ibu, Zian, dan Nani baru pindah ke rumah baru. Ada tiga perkara yang disukai Zian di tempat baru itu. Pertama, dia dapat bilik sendiri. Kedua, Zian dapat main pingpong. Sewaktu barang-barang diturunkan dari lori, tiba-tiba ada seorang budak lelaki mendekatinya.
“Kenalkan, saya jiran kamu, Arip. Kalau mahu main pingpong dan catur, kita boleh main di hadapan balai raya di situ,” budak itu menuding ke arah selatan.
“Saya Zian. Kebetulan saya memang suka main pingpong,” Zian bersyukur di dalam hati. Tanpa dicari, kawan baru sudah datang sendiri. Syukur kepada Tuhan.
Ketiga, Zian paling suka makan buah belimbing. Lebih-lebih lagi yang masak. Nah, di halaman rumah baru itu, di sebalik pagar, tumbuh pohon belimbing yang sudah berbuah. Ada tujuh biji buah belimbing yang sudah diidamkan Zian.
Dia membungkus satu per satu dengan kertas akhbar. Namun, pada hari Ahad, sebaik pulang dari rumah nenek, ketujuh-tujuh buah belimbing itu lenyap.
“Kurang ajar. Di sini ada pencuri rupanya,” kata Zian dengan wajah yang marah.
“Sudahlah, bang! Bungkus saja yang lain. Kan masih ada buahnya yang kecil-kecil,” kata Nani, adiknya. “Soal belimbing pun dah nak bising,”
Terpaksa Zian membungkus lagi sembilan biji belimbing dengan akhbar. Sewaktu bermain pingpong petang itu, Zian menceritakan tentang kehilangan itu pada Arip. “Aah, itu soal kecil. Di kampung ini, belimbing masak sampai jatuh ke tanah kerana tidak ada yang memetik. Di sepanjang jalan tumbuh pokok-pokok belimbing,” kata Arip.
“Mana boleh soal kecil?! Orang yang mengambil hak milik orang lain, itu namanya pencuri. Pencuri harus dihukum kerana melanggar hukum negara dan agama,” kata Zian dengan nada tinggi. “Satu batang paku pun, kalau milik orang lain kita ambil, itu tetap mencuri namanya,”
“Cita-cita kamu jadi hakim, ya?” tanya Arip sambil tertawa. Dia seperti mendengar sesuatu yang ganjil. Hati Zian bertambah jengkel.
Ternyata sekali lagi Zian belum berjaya menikmati buah belimbingnya. Sembilan biji belimbing itupun lenyap sebelum dipetik. Zian bising lagi.
“Sudahlah, tidak usah bising. Kalau mahu tangkap pencurinya, abang Zian tunggu saja buah belimbing tu siang malam,” usul Nani.
“Huh, kali ini saya akan beri pengajaran pada pencuri tu,” kata Zian bernada kesal.
Zian membungkus empat biji buah belimbing dan menggantungkan sekeping kertas tebal yang ditulis dengan kata-kata: ‘YANG MENCURI BELIMBING: TAK SEDAR DIRI.’
Seminggu kemudian keempat-empat biji buah belimbing itu lenyap. Dan di kertas tebal tersebut ada tulisan: ‘PEMILIK BELIMBING: TAK SEDAR DIRI JUGA.’
Waaah, Zian benar-benar menyinga. Masakan tidak, sudah tiga kali membungkus belimbing, belum sebijipun dapat dimakannya.
“Sudahlah abang Zian, nanti pencurinya akan jemu juga. Kalau mahu makan belimbing, minta saja ibu beli di supermarket,” ujar Nani.
“Aaaah, saya mahu makan buah belimbing ini juga,” tegas Zian.
Sekarang Zian menuliskan di kertas tebal: ‘MENCURI ITU PERBUATAN TERCELA. MINTA SAJA, PASTI DIBERI’. Zian membungkus lagi enam biji buah belimbing.
Ketika buah itu hampir mahu dipetik, yang hilang tiga biji. Ada tulisan di kertas tebal: ‘MAAFKAN, INI UNTUK ORANG SAKIT.’
Nah, akhirnya Zian berjaya memakan buah belimbingnya buat pertama kali.
“Bang, hubungan dengan si pencuri tu sudah selesai kan!” kata Nani ketika melihat Zian makan belimbing tersebut berselera sekali.
            “Belum, saya masih mahu berkenalan dengan si pencuri itu. Tetapi saya ikhlas, kerana katanya belimbing itu untuk orang sakit. Mungkin juga ada orang yang sakit darah tinggi dan tidak mampu beli belimbing,” kata Zian.
Zian kembali membungkus tujuh biji buah belimbing dan menulis: ‘SILAKAN AMBIL SEPUASNYA. SUDAH DIMAAFKAN. BILA PERLU BANTUAN LAIN BERITAHU SAJA.’
Beberapa hari kemudian belimbing itu tidak hilang, tetapi ada tulisan: ‘SAYA INSAF. YANG SUDAH SAYA CURI AKAN SAYA BAYAR (23 BIJI). HARI AHAD PETANG SAYA DATANG.’
Hati Zian berdebar-debar. Siapakah pencurinya? Budak-budak? Orang tua? Tetapi, Zian bertekad tidak akan menerima wang pembayaran untuk buah belimbing itu. Si pencuri sudah insaf, cukuplah itu!
Hari Ahad petang, pintu rumah diketuk. Zian meluru ke luar. Ingin sekali dia melihat wajah si pencuri.
“Eh, Arip! Masuklah! Nak ajak saya main pingpong ke?” tanya Zian sambil membuka pintu.
Disangkanya si pencuri, malah Arip yang datang. Arip duduk dan tersenyum.
“Belimbing kamu sudah tidak hilang lagi, ya,” kata Arip. Zian mengerutkan kening. Arip tahu? Tetapi Zian tidak cerita soal belimbing itu kepada Arip sejak Arip berkata itu adalah soal kecil.
“Zian, saya minta maaf. Selama ini saya yang mengambil belimbing kamu untuk Mak Ida. Jiran kita itu kan sakit darah tinggi. Saya akan bayar kesalahan saya. Hukum saja saya. Suruh saya sapu sampah, bersihkan basikal kamu atau apa saja,”
Zian terperanjat. “Sudahlah, kamu saya maafkan. Tetapi apa yang membuatkan kamu insaf?” tanya Zian.
Arip menghela nafas. “Selama ini saya fikir mencuri belimbing tidak apa-apa. Mencuri ayam dan barang-barang berharga saja yang tidak boleh. Tetapi kamu telah mengajar saya. Apa yang jadi milik orang lain, walaupun sebatang paku, tetap tidak boleh kita ambil. Sejak itu saya mulai berfikir, mungkin selama ini saya salah. Lebih-lebih lagi kamu tulis bahawa lebih baik minta daripada mencuri. Ya, kalau minta kita akan dapat, untuk apa mencuri? Kalau kita boleh jadi orang baik, mengapa harus jadi orang jahat?”
Zian terdiam. Rasa hangat mengalir di hatinya.
“Sudahlah, Rip! Jum, kita bungkus belimbing-belimbing kita,” kata Zian, lalu bergegas mengambil kertas akhbar.



Gaun Cantik Tinggalan Ayah
SMAHADZIR

NANA dan Puan Khalilah tiba di rumah ketika hampir malam. Mereka baru saja pulang dari pusat membeli-belah.
“Amboi, senyum-senyum saja. Senang hati ya, dapat baju cantik?” puji Puan Khalilah.
Nana hanya tertawa. Sewaktu di dalam bilik, dengan gembira dicuba baju barunya. Benar-benar cantik. Akhirnya, keinginannya untuk mempunyai baju seperti ini tercapai juga. Baju baru Nana ini hampir sama dengan baju yang dibelikan ayahnya setahun lalu. Nana menyimpannya di dalam laci almari pakaiannya.
Nana membuka laci almari dan diambil beg plastik berwarna hitam. Dari dalamnya dikeluarkan baju yang sangat istimewa itu dan Nana tempelkan di badannya. Tentu saja sudah kecil dan singkat. Baju itu diberikan ayahnya ketika umurnya 8 tahun.
Seketika rasa terharu muncul di hatinya. Ya, waktu berjalan terlalu cepat. Tidak terasa sudah setahun Encik Fahmi meninggalkan Nana dan Puan Khalilah. Nana menghela nafasnya dengan berat, dipeluk baju baru yang tidak pernah dipakai itu. Kejadian setahun lalu seolah-olah terbayang di ruang matanya.
Hari itu adalah hari yang tidak dapat Nana lupakan sepanjang hidupnya. Encik Fahmi pulang setelah dua bulan meninggalkan rumah untuk bertugas. Nana berlari-lari menuju halaman, dan Encik Fahmi berdiri dengan kedua-dua belah tangannya mendepang.
“Nana rindu pada ayah,” kata Nana ketika tiba dalam pelukan Encik Fahmi.
Encik Fahmi tertawa. “Ayah juga rindu pada Nana. Ini ayah bawa hadiah untuk kamu,”
Segera dibuka bungkusan dari ayahnya. Sehelai gaun yang cantik.
“Ini untuk dipakai sewaktu menyambut hari raya nanti,” ujar Encik Fahmi.
Ketika itu hari raya memang tinggal beberapa hari saja lagi. Puan Khalilah mulai sibuk menyiapkan kuih-muih. Encik Fahmi membantu Puan Khalilah mengganti tirai dan memasang permaidani baru. Sementara Nana, Ira dan Didi menyiapkan kad-kad hari raya untuk rakan-rakan. Semua sibuk tetapi merasa bahagia kerana dapat menyambut hari raya bersama.
Tetapi kebahagiaan itu lenyap ketika Nana dan Puan Khalilah mendengar berita mengejutkan pada hari raya. Encik Fahmi mengalami kemalangan jalan raya sebaik pulang dari menghantar Siti, pembantu rumah mereka, ke kampung halamannya. Encik Fahmi meninggal dunia di tempat kejadian.
Rasanya Nana tidak mahu mempercayai berita itu. Bagaimana mungkin ayahnya meninggalkan Nana secepat itu? Baru sebentar tadi Nana dan ayah memuji emaknya yang sedang sibuk mengisi ketupat. Baru sebentar tadi ayahnya memberikan sekeping coklat untuk dimakan ketika berbuka puasa. Tetapi kini, yang ada di hadapan Nana, Didi dan Puan Khalilah adalah sekujur tubuh yang kaku. Oh, ayah…
Nana, dan emaknya saling berpelukan. Tangisan mereka bergema di antara suara takbir yang berkumandang ke udara.
Tidak disedari air mata mengalir di pipinya. Nana memeluk gaun cantik dari ayahnya itu.
Oh ayah… Nana rindu untuk merayakan hari raya bersamamu, seperti dulu…
Tiba-tiba pintu bilik terbuka. Dengan segera Nana menyeka air mata yang sedang mengalir di pipinya.
“Hai lama benar, Nana! Ayuh kita makan…”
Sudah terlambat. Puan Khalilah sudah melihat gaun cantik pemberian Encik Fahmi yang sedang Nana peluk.
“Ini baju dari ayah dulu, kan? Kenapa tidak pernah dipakai?” tanya Puan Khalilah. “Kebetulan… kalau begitu…”
“Kenapa mak?” soal Nana ingin tahu.
“Kamu ingat tak lagi Suria, err... anak Pak Hassan?” tanya Puan Khalilah.
Nana mengangguk. Pak Hassan pernah bekerja sebagai pemandu mereka. Peristiwa kemalangan setahun lalu tidak hanya mengakibatkan Encik Fahmi meninggal dunia, tetapi juga Pak Hassan menjadi buta.
“Bagaimana kalau baju ini diberikan pada Suria?” tanya Puan Khalilah.
Nana sangat terkejut mendengarnya. “Jangan, mak,” jawabnya spontan.
“Kenapa?” tanya Puan Khalilah.
Kenapa? Emak tidak tahu betapa Nana amat menyayangi baju ini. Emak tidak mengerti bahawa baju ini menyimpan seribu kenangan bagiku. Emak tidak tahu bahawa inilah satu-satunya pemberian terakhir ayah untukku. Tiba-tiba Nana merasa sedih.
“Ini baju dari ayah, mak! Nana sengaja menyimpannya kerana baju ini adalah pemberian ayah yang terakhir. Tidak mungkin Nana mahu berikan kepada orang lain,” jawab Nana tegas.
“Hei, jangan cepat marah, Nana,” jawab Puan Khalilah cuba menenangkan keadaan. “Emak cuma beri cadangan, boleh diterima boleh tidak. Kalau kamu tak suka, tak apalah. Emak bukannya nak paksa kamu,” Puan Khalilah keluar dari bilik Nana.
Nana terkedu. Rupanya dia tadi terlalu kasar sehingga emaknya tersinggung. Nana sungguh menyesal. Sebaik habis dari kerja tadi Puan Khalilah terus pulang dan membawa Nana ke pusat membeli-belah untuk membeli baju. Pasti emaknya itu letih sekali.
Ya, gaun cantik ini adalah bukti sayang ayah kepadaku. Penghapus rasa sedihku. Tidak mungkin dapat kuberikan kepada orang lain. Nana menghela nafasnya. Dia menyayangi ayah, dan emaknya tentu tahu hakikat itu. Seketika Nana tercenung. Matanya terasa panas dan basah.
Segera Nana menghampiri Puan Khalilah di ruang makan. Ketika itu Puan Khalilah sedang makan sendirian.
 “Mak…, maafkan Nana, ya mak! Nana terkejut waktu dengar baju itu akan diberikan pada Suria. Baju itu… sangat bermakna buat Nana, kerana pemberian ayah. Nana…,” Nana tidak mampu meneruskan kata-katanya.
Puan Khalilah menyeka air mata yang mengalir perlahan-lahan di pipi Nana. Nana lihat mata emaknya juga berkaca-kaca.
 “Emak juga minta maaf, sayang! Emak tidak tahu baju itu sengaja tidak pernah kamu pakai dan sengaja kamu simpan sebagai kenang-kenangan. Emak fikir akan lebih berguna bila diberikan kepada orang yang lebih memerlukannya. Emak memang sudah banyak membantu Pak Hassan, tetapi tentu saja tidak cukup. Nah, sekarang kita makan saja dulu, ya…” Suara Puan Khalilah begitu lembut dan sejuk di telinga Nana.
Nana mengangguk.
Sewaktu makan fikiran Nana melayang pada Suria dan keluarganya. Kerana mata Pak Hassan buta, dia tidak mampu bekerja lagi untuk membiayai keluarganya.
Ah, Nana jadi resah tidak menentu. Di hadapannya ketika ini terhidang bermacam lauk-pauk. Dan dia baru sahaja membeli sehelai baju yang harganya mahal, ditambah sepasang kasut yang mahal juga.
Sementara Suria... jangankan mahu memikirkan berbagai keperluan hari raya, untuk makan sahur dan berbuka puasapun harus sesederhana mungkin. Tetapi… tetap saja, tidak mungkin Nana dapat memberikan gaun cantik dari ayahnya itu kepada Suria.
“Mak… begini saja. Nana akan ambil sebahagian dari wang simpanan Nana. Emak tolong belikan baju raya untuk Suria,” kata Nana memecah keheningan.
Puan Khalilah tersenyum dengan riak mata berkaca-kaca.
“Emak gembira sekali mendengarnya. Bererti kamu sudah mahu membahagikan sebahagian dari rezeki yang kamu ada kepada orang lain,” ujar Puan Khalilah seraya memeluk Nana. “Semoga Tuhan selalu memberi kita kekuatan untuk melakukan apa juga kebajikan.”



Takut Disumpah Jadi Batu
SMAHADZIR

AZMAN bimbang tetapi dia ingin juga memenuhi ajakan yang sangat menyeronokkan itu. Lagipun, memang permainan itu amat digemarinya. Ya.. bermain bola! Tetapi, hanya pada sebelah petang hari cuti, bukannya hari sekolah. Begitu yang ayahnya sering berpesan.
“Ayuhlah, rakan-rakan yang lain sudah lama menunggu,” ajak Dahlan lagi.
“Tapi...”
“Ah, jangan berfikir terlalu lama, Man! Ayuhlah!” desak Dahlan sambil menarik tangan Azman.
Mahu tidak mahu terpaksalah Azman ikut ajakan Dahlan. Lagipun, dia memang suka bermain bola. Jadi ajakan rakannya itu bukanlah satu paksaan.
Mereka bermain sehingga hampir senja. Pakaian seragam masing-masing kotor macam direnyuk dalam tong sampah. Baju putih sudah tidak putih lagi tetapi berwarna hitam, kuning, coklat, perang, hijau dan entah apa lagi warna yang tertempel di situ.
Kasut putih mereka juga begitu. Sudah bertukar warna kuning gelap, berlumpur dan ada yang terkoyak kerana tersagat tanah.
Langkah pulang Azman diselubungi rasa takut yang amat sangat. Tentu ayahnya akan marah apabila melihat keadaannya petang itu. Dahlan berjalan cepat di hadapannya. Sementara Azman sengaja memperlambatkan langkahnya. Dia yakin, ayahnya pasti akan naik angin.
“Hei, cepatlah!” jerit Dahlan menyedarkan rakannya yang berada jauh di belakangnya.
“Dahlan, aku tak mahu pulang,” balas Azman.
“Apa?” Dahlan terkejut. “Kamu jangan begitu,”
“A... aku takut... Lan!!”                                             
“Jangan ikutkan perasaan takut kamu tu! Kamu mesti berani hadapi apa juga yang bakal kamu terima,” Dahlan menyuburkan semangat dalam hati Azman yang sudah layu.
Barulah Azman mahu mempercepatkan langkahnya.
Mak Jariah, ibu Azman menyambut kepulangan Azman. Nasib baik Pak Samad, ayah Azman belum pulang. “Dahlan, lebih baik kamu lekas pulang. Ibu kamu pasti bimbang,” kata Mak Jariah kepada Dahlan.
“Baiklah, makcik,” sahut Dahlan. “Tapi makcik jangan marah Azman ya! Dia tak bersalah. Saya yang bersalah... saya yang ajak dia bermain tadi. Dia tak mahu main tapi saya ajak juga. Akhirnya diapun main sama,”
“Baiklah,” janji Mak Jariah sambil tersenyum.
Betapa lega Azman mendengarnya. Selepas mandi dan mengganti pakaian, Azman menghampiri Mak Jariah yang sedang menemani adiknya belajar. “Mak, maafkan Azman, ya,” katanya perlahan.
“Jangan maafkan abang Azman, mak,” tingkah Aidil, adiknya yang sedang belajar itu.
“Kenapa pula?” tanya Mak Jariah. “Kenapa kamu tak benarkan mak maafkan abang kamu?”
“Abang Azman tidak pernah serik, degil, keras kepala. Beritahu ayah saja, biar dia kena rotan,” jawab Aidil.
Huh! Azman menatap sebal wajah adiknya. Dasar dengki! “Mak... maafkan Man, mak,” rayunya lagi.
Dengan penuh kasih-sayang Mak Jariah memeluk tubuh Azman. “Jangan diulang, ya,” ujarnya menasihati.
Azman mengangguk.
Keesokan paginya, di hadapan sekolah, lagi sekali Azman diajak bermain namun Azman menolak dengan keras ajakan Dahlan dan Razman. Kali ini dia sudah bertekad tidak akan mengecewakan hati ibunya lagi.
“Ayuhlah, petang ini ada pertandingan,” pujuk Dahlan.
“Betul tu, Man! Lagipun, kami sangat memerlukan kamu,” tambah Razman. “Kalau kamu tak ada, tentu pasukan kita akan kalah. Kamu cekap mengawal bola dan menjaringkan gol. Kalau kamu ada, kami akan lebih bersemangat lagi nak bermain,”
Azman tetap menggeleng-gelengkan kepalanya.
Tetapi Razman tidak dapat menerima gelengan kepala Azman itu. Wajahnya tiba-tiba jadi merah. “Ingat, Man! Kalau kamu tetap tidak mahu ikut juga, kami akan menghalang kamu pulang dari sekolah. Waktu itu kamu akan tahulah apa yang akan kami lakukan pada kamu,” ugutnya dengan nada yang penuh ancaman.
Loceng masuk kelas berbunyi. Azman mampu bernafas lega hanya untuk sementara. Cikgu Azizah, guru Bahasa Malaysia, bercerita lagi. Legenda Si Tanggang Menjadi Batu diceritakannya dengan menarik sekali.
Kisah seorang anak derhaka yang akhirnya disumpah menjadi batu. Hati Azman tersentuh mendengarnya sehingga dia menitiskan air mata. Azman merasa dirinya tidak berbeza dengan Si Tanggang. Dia sudah berulang kali mengingkari janji dan menyakiti hati ibunya. Kini Azman sangat menyesal.
Tengah hari itu, sewaktu pulang dari sekolah, Razman dan rakan-rakannya benar-benar menghadangnya di pintu masuk sekolah. “Kamu nak ikut, tak?” tanya Razman. “Kamu mesti ikut!”
Azman mendengus. Dia takut juga, tetapi tetap bertegas dengan keputusan yang telah dibuatnya “Maaf, aku tidak mahu ikut,” ujarnya dengan mantap.
“Azman?” Dahlan terkejut mendengarnya.
“Kamu ni memang degil! Dasar pengecut,” bentak Razman dengan keras dan wajah yang benar-benar marah.
“Aku nak pulang,” balas Azman sambil terus melangkah. Tetapi, rakan-rakannya itu menghalangi jalannya. Mereka jelas marah.
“Kenapa kamu tak mahu ikut?” tanya Dahlan dengan wajah yang hairan, kerana dia tahu Azman sangat meminati permainan bola sepak.
“Aku tak mahu jadi macam Si Tanggang. Aku tak mahu disumpah jadi batu,” jawab Azman.
Mereka tertawa geli hati mendengar alasan itu. “Hei... itu cerita dongeng la! Yang kamu percaya tu, kenapa?” kata Razman.
“Terserahlah pada kamu. Tetapi aku percaya pada cerita Cikgu Azizah tadi. Lagipun, aku tak mahu jadi anak derhaka,” balas Azman.
“Ah! Karut!” jerit Razman. “Kamu ni memang dah naikkan darah aku!”
Habislah aku! Dada Azman pantas bergetar. Dia yakin dia akan dibelasah oleh rakan-rakannya yang sedang marah itu.
“Baiklah, aku akan menghantar Azman pulang,” ujar Dahlan tiba-tiba. Suaranya lembut saja pada pendengaran Azman.
Sebenarnya, dia tidak mahu sahabatnya itu jadi mangsa amarah Razman dan rakan-rakannya yang lain. “Maaf, aku juga tak mahu ikut!” ujarnya sejurus kemudian.
Azman tercengang.
“Dahlan!” Razman bertambah marah. “Kamu jangan nak membela si penakut ni,”
“Ayuh, Azman!” ajak Dahlan sambil mengganding tangan Azman. Mereka yakin Razman dan rakan-rakan yang lain tidak berani menghalang kerana mereka tahu Dahlan ada belajar silat di sekolah.
Mak Jariah senang hati menyambut kepulangan Azman dan Dahlan. Bahkan beliau sudah menyiapkan kuih yang lazat. “Singgah makan kuih ni dulu, Lan! Kuih ni sedap tahu.. makcik buatkan untuk kamu,”
“Terima kasih, makcik! Tapi saya harus cepat pulang,” ujar Dahlan dengan mesra.
“Eh, kamu tak ingin merasa dulu kuih ni?” tanya Mak Jariah sedikit hairan.
“Maaf makcik, saya juga tak mahu jadi batu,” ujar Dahlan sambil tersenyum.
“Apa? Jadi batu?” Mak Jariah kehairanan kerana tidak mengerti.
Azman dan Dahlan tertawa. Tetapi Mak Jariah tetap membungkuskan kuih itu untuk dibawa pulang oleh Dahlan.



                                             Penyesalan Faizal
SMAHADZIR

“SSSTTT... Cikgu Yati dah datang!!!!” kata Zaidi. Murid-murid Darjah 4 Melati Sekolah Rendah Tawar bergegas duduk ke tempat masing-masing.
“Selamat pagi semua!” sapa Cikgu Yati ramah sebaik kakinya melangkah masuk ke dalam kelas.
“Selamat pagi, cikgu!” balas murid-murid di kelas itu dengan suara yang nyaring.
“Errr, semalam cikgu telah menyuruh kamu mencipta pantun. Semua sudah ada pantun yang cikgu suruh tu?” tanya Cikgu Yati.
“Sudah cikguuuuu!” terdengar suara ramai di hadapannya.
Cikgu Yati tersenyum. “Faizal, cuba bacakan pantun kamu supaya rakan-rakan kamu dengar,” minta Cikgu Yati kepada Faizal.
Dengan wajah nakalnya, Faizal terus bangun lalu membacakan pantunnya sambil tersengih:

“Jalan ke hutan mencari salak,
Sambil melihat pokok yang tua,
Ayam ketawa terbahak-bahak,
Melihat Mirah giginya dua.”

‘Ha!! Ha!!! Ha!!!’ Rakan-rakan sekelasnya tertawa terbahak-bahak. Hanya seorang saja murid yang tidak ketawa iaitu Mirah. Wajahnya masam sambil merenung Faizal dengan tajam.
“Faizal, kamu tak boleh begitu dengan rakan sekelas,” tegur Cikgu Yati yang sedar bahawa Mirah tentu sekali telah tersinggung hatinya.
Faizal segera tunduk merenung meja di hadapannya.
“Kekurangan orang lain bukan untuk ditertawakan. Cuba kamu buat pantun lain,” ujar Cikgu Yati
“Baiklah, cikgu,” jawab Faizal sambil masih mahu tersenyum.
Itulah Faizal, murid paling nakal di kelas itu. Ada saja gelagat nakalnya untuk mengganggu rakan-rakannya yang lain, terutama rakan-rakan perempuan di kelasnya.
Pernah suatu hari Nirmala gelabah mencari buku kerja matematiknya yang telah hilang. Sedangkan Cikgu Johan, guru matematik, sudah masuk kelas dan sedia meneliti kerja rumah murid-muridnya. Nirmala ketakutan sehingga hampir-hampir mahu menangis.
Yang menghairankan, buku itu telah ditemui oleh Cikgu Johan di dalam laci meja guru di hadapan kelas. Tentu saja perbuatan Faizal yang nakal itu.
Hari itu, sebaik pulang dari sekolah, Mirah mendepani Faizal dengan wajah yang marah.
“Faizal, kenapa kamu selalu sangat mengata saya? Kenapa kamu selalu mengejek saya? Kamu suka ke kalau kamu diejek begitu?” tanya Mirah dengan nada yang marah.
Faizal tersengih-sengih. “Aduh... maaflah! Saya tak sangka pula kamu marah. Saya ingat kamu seronok,” ujarnya bersahaja.
“Ooo... seronok!! Kamu ingat saya seronok ke? Kamu ingat saya seronok bila kamu mengejek saya? Kamu pula, seronok ke kalau saya mengejek kamu begitu?” balas Mirah.
“Saya tak kisah... siapapun nak ejek saya, ejeklah! Saya seronok sebab hidup dalam dunia ni, kita mesti seronok. Lagipun, kita mesti bergurau. Saya memang suka bergurau dengan kamu. Janganlah marah sebab saya cuma bergurau saja...”
“Saya tak suka kamu mengejek saya. Saya tak suka kamu bergurau dengan saya,” bentak Mirah dengan suara yang mulai tinggi.
“Eh, kamu betul-betul marah ye? Jangan Mirah...”
“Kenapa saya tak boleh marah?” cantas Mirah.
“Sebab doktor kata, kalau marah akan melambatkan pertumbuhan gigi, nanti gigi kamu dua terus sampai tua,” Suara Faizal bernada mengejek.
Kupin yang berada di sisi Faizal juga ikut ketawa.
“Huh! Kamu memang jahat!” jerit Mirah. “Saya tak akan bercakap lagi dengan kamu!”
Dengan wajah yang merah Mirah meninggalkan kedua-dua murid yang masih ketawa itu.
“Sudahlah Mirah, tak usah difikirkan budak-budak tak cukup akal tu! Faizal tu memang jahat. Nanti kalau kita marah, dia lagi seronok. Lebih baik kita diamkan saja,” ujar Hasnah, sahabat baik Mirah.
Hari berikutnya, Hasnah yang menjadi mangsa kenakalan Faizal. Hari itu, sewaktu rehat, Faizal duduk di sisi Hasnah dan bertanya, “Nah, nama kamu memang cantik tau! Nak eja nama kamu macam mana ya?”
“Apa hal? Yang kamu nak eja nama saya tu, buat apa? Ejalah nama orang lain,” balas Hasnah sungguh kurang senang.
“Elehh... saya kan cuma bertanya, nak eja nama kamu tu macam mana. Takkan itupun kamu nak marah?”
“Apa sebabnya kamu nak eja nama saya?” tanya Hasnah dengan wajah yang jengkel.
“Sebab saya tak tahu nak eja nama kamu... sebab itulah saya tanya,” jawab Faizal bersahaja.
“H-A-S-N-A-H... ha.. puas? Itupun tak tahu?!”
“Itu bukan nama kamu laa!” balas Faizal sambil ketawa.
“Habis, macam mana eja nama saya?” tanya Hasnah sedikit hairan.
“Eja nama kamu bukan macam tu.. tapi macam ni... G-E-M-U-K....” jawab Faizal sambil meneruskan ketawanya.
Hasnah terus mencebek.
“Badan kamu kan gemuk gedempul.. G-E-M-U-K memang sesuai untuk nama kamu. Bukan H-A-S-N-A-H. Apa la kamu ni... dah nak masuk darjah empat pun belum pandai eja nama sendiri lagi,” perli Faizal dengan wajah yang sinis.
Hasnah amat sedih dengan ejekan begitu.
“Maaflah Gemuk! Saya hanya bergurau saja!” ujar Faizal lagi bersahaja.
 “Faizal, kamu memang dah melampau! Tak boleh ke kamu suruh emak kamu ajar kamu supaya jangan melampau sangat. Kalau emak kamu dah tak mampu nak ajar kamu, kamu pergi mati lebih baik. Kamu ada di sekolah ni pun buat menyakitkan hati orang saja!” marah Hasnah tidak dapat ditahan-tahan lagi.
Faizal tetap saja tersengih seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.
Suatu hari yang panas, Mirah dan Hasnah berjalan pulang dari sekolah. Tiba-tiba di belakang mereka terdengar bunyi loceng basikal berdering-dering.
“Hoi... tepi... tepi... Faizal nak lalu. Diharap ke tepi!!!”
Mirah dan Hasnah cuma menoleh jengkel. Faizal lalu di tepi mereka sambil ketawa terkekeh-kekeh sambil berpaling melihat riak wajah Mirah dan Hasnah. Tiba-tiba... gubrak! Basikal Faizal melanggar sebatang pokok jati yang ada di pinggir jalan. Faizal tersembam jatuh. Mukanya mencium tanah.
“Rasakan! Balasan untuk kamu!” jerit Mirah kesukaan. “Itulah balasan untuk orang yang suka mengejek orang lain!!!”
“Iya,” tambah Hasnah. “Nasib baik langgar pokok, kalau langgar lori... dah tentu muka kamu terpenyek. Seronok ke cium tanah tu?”
Faizal termonyeh-monyeh malu sambil menyeringai kesakitan. “Aduh... tolong laaaa... saya tak boleh bangun niiii?” rayunya minta bantuan.
“Tak ingin kami nak tolong kamu, Faizal!! Kamu kan suka mengejek kami. Biar kamu tahu rasa sakit sekarang. Sakit kamu tu tak seberapa dibandingkan sakit hati kami ni.. tau tak?” kata Mirah sambil menjuihkan bibirnya.
“Aduh... saya tak main-main. Kaki saya sakit sungguh... tolonglah!!!!” rintih Faizal. “Saya janji tak akan mengejek kamu lagi.”
Akhirnya Mirah tidak tergamak melihat Faizal yang meringis kesakitan dan tidak boleh berdiri itu.
 “Begini saja Nah, kamu ke sekolah cari Pak Hamid jaga sekolah. Dia ada motor. Faizal boleh dibawa ke hospital. Pergilah, saya di sini jaga Faizal,” ujar Mirah
Faizal betul-betul menepati janjinya. Sejak kejadian itu, dia tidak pernah mengganggu rakan-rakannya lagi. Faizal juga sudah mempunyai ramai kawan termasuk Mirah dan Hasnah. Mereka sering belajar bersama.



Bapa Akil Seorang Pemandu
SMAHADZIR

HARI ini Akil bangun lebih awal dan sempat bertemu dengan bapanya. 
“Semalam Pakcik Saiful telefon. Dia akan datang ke rumah kita dari Arab Saudi dua hari lagi,” Pak Iman memberitahu sebelum pergi bekerja.
Akil memerhatikan bapanya. Ada rasa kecewa menyelinap di hatinya. Tidak ada yang mampu dibanggakan dari bapa, fikir Akil. Bapa cuma seorang pemandu. Tidak seperti bapa Damri rakannya yang suka mengajak Damri bermain badminton. Atau seperti bapa Tika yang jadi seorang doktor.
Bapa Akil pergi pagi, pulang malam. Bila pulang terus mandi, makan, menonton televisyen sebentar, kemudian tidur.
Pada malam minggu, kalau tidak bekerja, dia akan tidur nyenyak, seolah-olah tenaganya sudah habis. Atau sibuk membantu ibu menghiris bawang, menggoreng kacang atau ikan bilis. Ibu Akil bekerja sebagai penjual nasi lemak untukmenampung keperluan keluarga.
Fikiran Akil beralih pula kepada Pakcik Saiful, adik bapanya, seorang jurutera, bekerja di Arab Saudi. Pakcik Saiful akan datang lusa. Itu ertinya Akil akan mendapat buah tangan. Sayang, di rumah tidak ada telefon, kalau tidak dapatlah dia menghubungi pakciknya itu.
Kalau ada telefon, tentu semalam Akil boleh berbual, dan minta dibelikan seutas jam tangan dari Pakcik Saiful. Pasti semalam bapa menerima panggilan telefon di rumah Pak Hamid, jiran sebelah.
Selama beberapa hari, Akil gelisah memikirkan hadiah apa yang akan dibawa oleh Pakcik Saiful untuknya. Akil tidak sabar menanti kedatangan pakciknya itu. Namun, pada hari yang dijanjikan, Pakcik Saiful yang ditunggu-tunggu Akil itu belum juga datang. “Pakcik tak datang ke, bu?” tanya Akil.
“Datang, tapi sekarang ada di rumah nenek. Kita dijemput jam 6.00 petang nanti,” ujar Puan Inah.
“Tapi, bapa biasanya pulang jam 7.00,” ujar Akil.
“Hmm, ibu tak tahu nombor telefon rumah majikan bapa. Tapi, alamatnya ada. Nanti jam 4.00 kamu ke sana. Beritahu khabar gembira ini pada bapa,” kata Puan Inah.
Sekitar jam 4.00 Akil segera berangkat. Dia tahu lokasinya. Perlu juga naik bas, walapun bapa biasa jalan kaki pagi dan petang. Rumah majikan bapa sangat besar, bahkan ada seorang jaga bertugas di pintu masuk. Akil memperkenalkan diri dan menyatakan maksudnya.
“Oh, kamu Akil! Bapa kamu sering bercerita tentang kamu,” kata jaga itu lalu membukakan pintu pagar.
Akil masuk ke halaman yang berjaga rapi dengan pelbagai tanaman hiasan dan bunga-bungaan. Di garaj kelihatan dua buah kereta besar. Akil diajak ke sebuah ruang di sisi rumah besar.
“Kamu tunggu di sini. Bapa kamu ada di ruang itu. Pakcik akan beritahu Puan Seri dulu. Pakcik akan memintakan izin supaya bapa kamu boleh pulang sekarang,” kata jaga tersebut, kemudian masuk ke dalam.
Akil mengintai melalui jendela bercermin cerah. Dia menguak sedikit tirai jendela berwarna putih itu. Di dalam ruang itu ada banyak barang mainan.
Ada seorang kanak-kanak lelaki bertubuh besar. Mungkin baru bersekolah tadika. Kanak-kanak itu duduk sambil menolak kereta mainan di lantai. Kelihatan juga Pak Iman sedang membongkok sambil memegang semangkuk bubur kacang hijau dan menyuap kanak-kanak itu.
Darah Akil mendidih sewaktu melihat kanak-kanak itu meletakkan kereta mainan di atas kepala bapanya dan tertawa terkekeh-kekeh. Pak Iman membiarkannya saja.
Ketika Pak Iman menyuapkan bubur, kanak-kanak itu meluahkannya kembali ke lantai. Dengan sabar Pak Iman mengambil kain lap, membersihkan lantai. Berbagai perasaan berkecamuk dalam diri Akil. Katanya bapa jadi pemandu, tetapi rupanya bapa jadi pengasuh anak cacat mental. Ada perasaan marah, sedih dan kasihan di hati Akil.
“Akil, Puan Seri kata bapa kamu boleh pulang sekarang,” kata jaga. Sejurus kemudian Pak Iman keluar sambil membawa mangkuk bubur.
Dia menyerahkan mangkuk itu kepada jaga dan berkata, “Suruh Mak Leha suapkan Karim tu,”
Setelah memohon diri, Pak Iman dan Akil pun berjalan beriringan. Akil diam saja.
“Kamu naik apa ke sini, Kil?” tanya Pak Iman.
“Naik bas, pak,” jawab Akil.              
“Pakcik Saiful kamu pasti seronok melihat kamu. Dulu waktu kali terakhir dia datang kamu masih dalam tadika lagi. Sekarang kamu sudah darjah empat,” kata Pak Iman.
“Kata bapa jadi pemandu,” Akil tidak dapat menahan rasa ingin tahunya.
“Ya, tapi kalau tak ada tugas, bapa menemani Karim tu. Dia tu cacat. Kasihan, dia cacat mental. Walaupun orang tuanya kaya-raya, apalah ertinya. Lebih beruntung bapa ada anak seperti kamu,” jawab Pak Iman jujur.
Mendadak terasa ada ketenangan di hati Akil. Juga rasa terharu. Ternyata bapa bangga kerana memiliki aku, fikir Akil. Selama ini bapa tidak pernah menceritakan isi hatinya kepadaku.
“Tadi Akil nampak dia meletakkan kereta mainan atas kepala bapa,” kata Akil jengkel. “Mengapa bapa tak cari pekerjaan lain saja?”
Pak Iman menghela nafas panjang. “Nasib orang berbeza-beza, Kil! Bapa cuma bersekolah sampai darjah enam, lalu bekerja untuk membantu orang tua. Memberi kesempatan pada Pakcik Saiful, Pakcik Sabirin dan Makcik Lina kamu agar boleh terus sekolah,” kata Pak Iman.
Akil diam.
“Sekarang cari pekerjaan sukar, keluar dari universiti pun ramai yang menganggur.”
Akil diam juga.
“Dengan menjaga Karim tu, bapa dapat tambahan wang. Jadi kamu boleh bersekolah dengan senang, masuk kelas tuisyen dan membeli buku-buku pelajaran. Bapa senang hati kerana adik bapa, Saiful sudah berjaya. Kamupun kelak pasti berjaya kalau rajin belajar,”
Akil mendengar semua itu dengan hati yang terharu. Ternyata bapanya ini orang yang rela berkorban. Demi anaknya dia rela melakukan pekerjaan yang mungkin ramai orang tidak bersedia melakukannya. Akil sungguh terharu.
Tiba-tiba dia merasa bangga pada bapanya yang sederhana itu. Dia tidak boleh membandingkan bapanya dengan bapa orang lain. Bapa Akil tetap bapa Akil. Yang rela berkorban untuk Akil... ya bapanya sendiri, bukan bapa orang lain.
“Kamu larat ke? Mahu naik bas atau jalan kaki?” tiba-tiba Pak Iman bertanya.
“Kita jalan saja, pak! Kalau bapa ada masa, mahu tak bapa main badminton dengan Akil?” tanya Akil.
Tiba-tiba Akil melihat wajah bapa ceria, dan matanya berbinar-binar. Baru kali ini Akil melihat sinar kebahagiaan di wajah bapanya.
“Tentu saja mahu. Bapa sangka kamu tidak mahu bermain atau berjalan-jalan dengan bapa, kerana bapa ini cuma seorang pemandu,” kata Pak Iman.
Akil tersenyum.
“Tak, pak! Akil tak tahu yang bapa suka main badminton,” kata Akil.
Pak Iman dan Akil terus berjalan dengan hati yang gembira. Senja kelihatan sangat indah. Di rumah, Pakcik Saiful sudah sedia dengan seutas jam tangan untuk Akil, juga hadiah pakaian untuk Pak Iman dan Mak Inah. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA