Ahad, 14 Mac 2010

Suami: Pemimpin Bagi Keluarga

Artikel ini telah tersiar dalam laman sesawang Yayasan Dakwah Islamiah Islam (YADIM) pada 05 Jun 2006

Oleh SMAHADZIR

Awal mula kehidupan seseorang dalam soal berumah tangga adalah dimulai dengan ijab kabul. Ketika itulah apa yang halal mungkin boleh menjadi haram, atau sebaliknya, yang haram boleh menjadi halal. Demikianlah, Allah s.w.t telah menetapkan bahawa ijab kabul walau hanya beberapa patah kata dan hanya beberapa saat sahaja, tetapi ternyata dapat menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

Apabila ada mempelai lelaki, mempelai wanita, dan saksi, lalu ijab kabul dilakukan, sahlah kedua-duanya bergelar suami dan isteri. Status kedua-duanya berubah. Pada asalnya hanyalah kenalan biasa, tiba-tiba menjadi suami atau isteri. Oleh sebab itu, jika di antara mereka tidak bersedia serta tidak tahu bagaimana menyesuaikan diri dalam suasana baru itu, maka rumah tangga mereka hanya akan dipenuhi dengan pelbagai masalah.

Jika seorang suami tidak sedar bahawa dirinya sudah beristeri, dan bersikap seperti seorang yang belum beristeri, akan timbullah masalah. Dia juga mempunyai mentua, dan si suami harus menyedari keadaan itu. Setahun, dua tahun atau sebagainya, jika Allah s.w.t mengurniakan zuriat, bermakna statusnya meningkat sebagai seorang bapa pula.

Bayangkan, begitu banyak status yang bakal disandang oleh si suami. Jika ilmunya cetek dalam hal berumah tangga, maka statusnya itu akan membawa kemudaratan. Oleh hal yang demikian itu, bernikah tidak semudah yang disangka. Pernikahan yang berlaku tanpa ilmu, bermakna bersedialah untuk segera mengharungi aneka derita. Kenapa ada orang yang menghadapi ´stress´ dalam hidup berumah tangga? Hal ini terjadi kerana ilmunya tidak mencukupi berbanding masalah yang dihadapinya.

Begitu juga bagi wanita yang dinikahi, dia akan jadi seorang isteri. Tentu saja tidak boleh secara sembarangan menjadi isteri kerana dia sudah ´diikat´ dengan tanggungjawab dan suasana baru di dalam kehidupannya. Statusnya juga bertambah, menjadi anak kepada mentua, dan sewaktu mempunyai anak, dia akan menjadi ibu. Demikianlah, Allah s.w.t telah menyusun sedemikian rupa sehingga suami dan isteri mempunyai peranan yang berbeza-beza.

Tidak boleh isteri menuntut emansipasi, kerana memang tidak perlu ada emansipasi. Apa yang diperlukan adalah saling melengkapi dalam segala hal. Seperti sebuah bangunan yang tinggi, dapat tegak kukuh kerana adanya prinsip saling melengkapi. Ada simen, bata, pasir, besi, kayu, dan bahan-bahan bangunan lainnya, lalu bergabung secara ´mesra´ dengan kedudukan dan kekuatan asasnya sehingga kukuhlah bangunan itu.

Begitu juga halnya sebuah rumah tangga. Jika suami tidak tahu kedudukannya, tidak tahu hak dan kewajipannya, begitu juga isteri tidak tahu kedudukan, anak tidak tahu kedudukan, mentua tidak tahu kedudukan, maka akan jadilah seperti bangunan yang tidak diatur kedudukan bahan-bahannya. Bangunan itu akan cepat runtuh. Begitu juga jika mentua tidak pandai menjaga diri. Misalnya, suka campur tangan dalam urusan rumah tangga anak, maka mentua itu sebenarnya memporak-perandakan rumah tangga anaknya sendiri.

Seorang suami juga harus sedar bahawa dia adalah pemimpin dalam rumah tangga. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: ‘Lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita, kerana Allah s.w.t telah melebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lainnya dan kerana mereka telah membelanjakan sebahagian harta mereka.’ (surah An-Nisa: 34)

Dan seorang pemimpin hanya akan jadi pemimpin jika ada yang dipimpin. Maksudnya, jangan merasa diri sendiri lebih daripada yang dipimpin. Seperti seorang pemimpin masyarakat, usah sombong kepada masyaralat yang dipimpinnya kerana kalau tidak ada masyarakat, tetapi masih juga ingin mengaku sebagai pemimpin, akan dianggap sebagai orang gila. Maka, pemimpin jangan merendahkan rakyat, kerana dengan adanya rakyat dia diangkat menjadi pemimpin.

Sama halnya dengan peristiwa orang yang menghina tukang jahit, sedangkan bajunya sendiri dijahit, ‘Hmm, tukang jahit itu adalah pekerja kelas bawahan, tidak seperti aku, pegawai besar!’ Sedangkan kalau seluarnya tidak dijahitkan oleh tukang jahit tersebut, tentu dia akan malu apabila zip seluarnya tidak dapat dibetulkan. Tukang jahit wajar dihormati kerana seluar yang koyak boleh jadi cantik semula. Samalah juga jangan suka menghina tukang kasut. Tidak sedarkah kita bahawa walau ke mana saja kita pergi, kita perlu memakai kasut. Kalau tidak ada tukang buat kasut, apa bendanya yang akan kita letakkan di kaki. Takkan nak diletakkan songkok pula sebagai ganti kasut!

Begitu juga, tidak layak seorang pemimpin merasa lebih daripada yang dipimpin, kerana status pemimpin itu ada jikalau ada yang dipimpin. Misalnya, si isteri bergelar ´master´ lulusan luar negeri sedangkan suaminya sekadar lulusan STPM. Dalam soal kepemimpinan rumah tangga, tidak boleh jadi terbalik dengan isteri menjadi pemimpin keluarga. Dalam peristiwa lain, misalkan di pejabat si isteri menjadi pegawai atasan, suaminya kebetulan adalah pekerja bawahan si isteri tersebut. Sewaktu di rumah, berbeza pula urusannya. Seorang suami tetaplah sebagai pemimpin bagi isteri dan anakanak.

Oleh sebab itu, bagi para suami, jangan sampai kehilangan kewajipan sebagai suami. Suami adalah tulang belakang keluarga, umpama seorang pilot bagi sebuah kapal terbang, nakhoda bagi kapal laut, pemandu bagi kereta api, pemandu bagi pengangkutan awam dan sebagainya. Demikianlah, suami adalah seorang pemimpin bagi keluarganya. Sebagai seorang pemimpin, dia harus bijak berfikir bagaimana mengatur bahtera rumah tangga supaya mampu berfikir dan bertindak secara wajar dan waras dalam mengharungi badai gelombang yang dating melanda. Dengan cara itu, dapat tiba ke destinasi bersama semua anak kapal. Dengan kata lain, untuk selamat tiba ke destinasi akhir, iaitu syurga di akhirat nanti.

Oleh hal yang demikian itu, seorang suami perlu memiliki dan menguasi ilmu bagaimana mengharungi badai, ombak, dan pusaran air supaya selamat tiba di pantai harapan. Tidak ada salahnya sewaktu mahu bernikah kita merenung sejenak, ‘saya ini sudah mempunyai kemampuan atau belum untuk menyelamatkan anak dan isteri dalam mengharungi bahtera kehidupan sehingga boleh kembali ke pantai indah nanti.’ Ini kerana bernikah bukan hanya masalah kemampuan cari wang, meskipun hal ini ini juga penting, tetapi bukan merupakan sesuatu yang terpenting. Suami bekerja keras membanting tulang memerah keringat, tetapi tidak solat, maka akan rugi hidupnya. Ingatlah, kalau semata-mata mencari wang, samalah juga seperti penyamun yang tujuannya merompak untuk mendapatkan wang. Jadi, apa bezanya kita dengan penyamun? Hanya berbeza caranya sahaja, tetapi kalau cita-citanya sama, apa bezanya?

Mencari nafkah termasuk dalam proses mengendalikan bahtera. Tiada lain supaya makanan yang diperoleh itu daripada pencarian yang halal, supaya baju yang dipakai statusnya halal, atau supaya kalau membuku juga daripada rezeki yang statusnya juga halal. Hati-hatilah, walaupun di dalam poket banyak wang, tetap harus bijak mengendalikannya. Seperti halnya sewaktu mancing ikan di tengah lautan, walaupun nampak banyak ikan, tetap harus berhati-hati. Mana tahu, yang terpancing ialah ikan jerung yang mampu menelan kita, atau nampak manis bersari tetapi ternyata ikan duyung.

Sewaktu ijab kabul, seorang suami seharusnya bertekad, ‘saya harus mampu memimpin rumah tangga ini mengharungi episod hidup yang sementara di dunia agar seluruh anak kapal dan penumpang boleh selamat sampai ke tujuan akhir, iaitu syurga.’ Di dalam Al-Quran Allah s.w.t telah mengingatkan kita dengan firman-Nya yang bermaksud: ‘Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu...´ (At-Tahrim: 6)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA