Isnin, 15 Mac 2010

Sonder

SMAHADZIR

“APAKAH tidak ada ketenteraman jika hidup nyalar saja dilanda gundah, lara dan nestapa? Kenestapaan dan kekerasan hidup inilah yang membuatkan aku diternak kecewa, rasa terasing dan terkucil dari arus kemodenan.”

Sonder mengeluh.

“Apa yang ada di dada kota ini? KLCC, Menara Berkembar Petronas, LRT, Menara KL, bangunan-bangunan pencakar langit dan pelbacam lagi kecanggihan yang mencerminkan kota moden dan aku di antara segelintir warganya yang dihempap oleh kekerasan itu. Ya, kota ini sungguh keras. Hidup ini sungguh keras.”
Sonder mengeluh lagi.

“Keras sekali hidup ini!” fikir Sonder. Memang itulah yang nyalar Sonder fikirkan.
Sonder menguak kelopak mata. Terjegil luas. Sonder membiarkan ia terbeliak, terbelangah. Sonder membiarkan mata itu merenung juzuk bilik yang khali dan kosong. Tidak ada gambar-gambar bogel yang ditampal di situ. Hanya sawang labah-labah yang sudah berseronyeh. Persis rambut Sonder juga, terlekat di sekitar ruang bilik itu. Beberapa helai kain lusuh sebam berhapak berlonggok di tepi dinding juga menjadi panahan mata Sonder. Segalanya keras. Segalanya bagaikan objek-objek sinis mengejek kegawatan yang melanyak hidup Sonder.

Sonder senyum. Senyum paling pahit pernah Sonder hadiahkan pada diri sendiri. Hmm… diri Sonder seperti gelandangan lain juga. Ada tubuh tetapi tidak cukup zat. Kurang vitamin. Protin apa lagi. Diri Sonder yang bersalut cabaran-cabaran hidup, berselirat dan terlalu keras. Inilah akibat dari sebuah hidup di tengah-tengah metropolis yang keras dan membatu seperti ini. Cabaran hidup yang terlalu keras itu memberi beberapa tindak balas negatif kepada manusia. Membuatkan manusia hidup di kaki lima, di bawah pokok, di tepi longkang, tidur di bawah tangga. Menjadi gelandangan warawiri ke sana ke mari. Tadah tempurung di atas jejambat.

“Arghhh! Diamlah! Buat apa fikirkan itu semua. Banyak berfikir membuat mata tak mahu lena.” Tiba-tiba saja hati Sonder jadi berontakan.

Kala ini Sonder masih berkerekot di dalam gebar kumal lusuh berhapak dan berlubang sana sini. Sonder cuba melupakan masalah diri dan cuba tidur puas-puas. Tiba-tiba hidung Sonder dijerba satu bau yang tidak berapa enak. Pengit. Kohong. Entah bau apa! Sonder pun tidak tahu. Barangkali bau bangkai kucing, anjing atau tikus atau juga apa saja. Mungkin juga bau sampah sarap kumuh dari tong sampah di belakang sana. Bila sesekali dibawa silir, bau itu akan menyerbu mengasak ke segenap ruang hidung Sonder. Menyesakkan. Itulah bau rutin menerobos setiap detik tidak kira masa terutama pada waktu-waktu bening. Urat saraf Sonder mulai berasa tegang. Bau kohong itu sungguh menggigirkan seluruh juzuk tubuh Sonder. Sekonyong-konyong membuatkan Sonder resah dan rimas.

Suasana musim semi sepi dan sunyi amat sejuk sekali. Sejuknya mencokot tulang temulang. Gebar hapak kusam kumal itu semakin dirapatkan ke tubuh. Pagi-pagi begini kalau melayan mimpi dalam gebar panas paling enak sekali. Lantaran itu Sonder membiarkan mata berkelip, buka dan katup. Terkebil-kebil, terkesip-kesip, klip-pop-klip-pop macam cicak tertelan kapur barus. Memang enak dalam masa yang sama melayan nerawang fikiran. Sonder membiarkan ia mengeluyur, segala yang indah nyalarnya bergentayangan.

Sonder pandang kiri kanan. Semuanya nihil. Tidak ada yang menyenangkan hati. Semuanya membosankan dan keras. Sonder singkap gebarnya sampai paras pusat. Setengah tubuh terdedah kepada silir pagi yang sejuk itu. Dibiarkan silir sejuk itu merayap dan mengusap manja ke seluruh tubuh kurusnya. Eh, bukan! Tubuh Sonder yang tidak seperti tubuh manusia normal yang lain. Lebih mirip, hmmmm…. persis sekeping belulang kering yang bergerak. Seolah-olah seekor kaldai cekeding cengkung yang tidak cukup gizi. Atau lebih kepada sebuah kerangka baghal hidup yang membuatkan Sonder sendiri amat takut melihat tubuhnya. Lalu Sonder tidak mahu melihat wajahnya dalam cermin buat beberapa lama. Sonder mengunci diri dalam bilik. Keluar hanya pada waktu kerja. Masa-masa lain sudah pasti amat payah untuk melihat Sonder. Itulah Sonder, salah seorang manusia yang nyalar dihenyak kehidupan yang keras sekeras hutan batu metropolis ini.

Gebar hapak kusam kumal itu dihela kembali. Menutupi seluruh juzuk tubuh santak ke pangkal leher. Sonder menghembuskan nafas turun naik perlahan. Sepagi itulah Sonder sudah bingkas dari pembaringan, bukan kerana mimpi yang menggemankan tetapi kerana igauan hidup yang keras itu. Sesungguhnya, kalau asyik melayan mimpi atau nerawang fikiran pun tak enak juga. Desakan dan keperluan hidup sebagai manusia gelandangan perlu juga Sonder fikirkan. Namun, apa yang dapat Sonder lakukan sebagai manusia yang terkucil di henyak kekerasan ini?

Demikianlah nasib yang melanda diri Sonder. Kendati begitu, Sonder tidak pernah menyalahkan nasib. Sesungguhnya itu semua sudah ditetapkan. Sonder aku tidak berdaya merobohnya. Sebenarnya, inilah yang Sonder tidak rela berlaku. Bila Sonder menghimbau kembali segala ingatan silam, tergambar bayang-bayang hidup dengan ikon-ikon yang amat menggemankan. Merungsingkan, menjelirkan dan juga menggelisarkan. Akal tidak boleh, kalau tidak mencari dan meneroka, mengenang atau mengingatkan semula sejarah-sejarah hidup purba yang di luar jangkaan. Bila kepala penat memerah fikiran, fikiran pun semakin tambah bercelaru. Libang libu. Yongyat. Bila penat berfikir pada sebelah siang, Sonder akan tidur banyak-banyak, rehat puas-puas pada malam hari. Bila sampai waktu, Sonder akan terjaga dan akan menyambung semula kerja dengan lebih keras lagi. Demikian yang nyalar Sonder lakukan demi sebuah kehidupan kendati sekeras mana sekalipun alam sekeliling.

Sonder cuba lena lagi. Sehingga sampai ketika tertentu, Sonder akan bangun dan keluar dari bilik untuk bekerja. Tetapi gangguan silir kohong pagi itu menyebabkan Sonder tidak nyedar tidur. Fikiran melayang entah ke mana, menerawang dan mengeluyur. Sonder sendiri tidak tahu kenapa. Apa sebabnya? Kenapa sonder jadi begini?

Mula-mula sekali ingat Sonder, dia gagal dan kecewa untuk menjadi seorang soljar. Setelah berbuntil surat panggilan temuduga diterima, semuanya gagal. Semuanya hanya ‘dalam perhatian’. Langsung tidak berkesudahan. Sonder tahu, kegagalanlah yang menjadi punca segala-galanya. Ya, kegagalan itulah yang membuatkan Sonder jadi manusia gelandangan seperti ini. Segala impian dan cita-cita tuntas melenyap.

Dalam surat-surat berikutnya juga dengan terang bertulis jawapan; ‘Permohonan tuan untuk jawatan tersebut – DUKACITA’. Sonder himpun semua surat-surat ‘dukacita’ itu di dalam buntil kain. Bakal dihadiahkan entah kepada siapa. Entahlah! Mungkin juga akan dijadikan sebuah kenangan abadi’ - inilah surat-surat celaka yang menjerumuskan aku dalam dunia gelandangan.”

Sonder cuba menyingkap kembali seorang anak dara yang pernah dikenali suatu waktu dulu. Seorang anak dara kampung yang genit, cantik, menggoda, mempersona dan manis. Anak dara yang punya citra watak seorang jelita tempawan. Punya bibir cantik nipis lunak, kening bagai dipantis. Sengum melirik menggoda. Alis mata lentik dan panahan renung memikat. Gigi berjajar molek, putih serlah. Dagu persis lebah bergayutan dengan hidung mancung seludang. Oh, cantik sungguh anak dara itu! Satu kampung dengan Sonder, juga satu sekolah satu ketika dulu.

Bila petang-petang, sewaktu mentari hampir-hampir mahu beradu di jihat ghurub, mereka bertemu di bendang tepian kampung. Alangkah seronoknya kala itu. Bahagia sekali Sonder rasakan. Sendalu petang sepoi lunak mengalun irama bersenandung mersik lalu meliuk lentukkan julai padi yang mulai menguning. Mega jerau melatari ufuk masyhrik. Tatkala gerimis pagi baru saja berlalu. 

Lantaran itu membuatkan suasana sarwajagat sepanjang hari redup dan dingin. Bunga-bunga pun memercup indah. Petang-petang seperti itulah, sambil melihat petani mengetam padi malinja, Sonder mencuri kesempatan untuk berbual dengan anak dara itu. Aduhai, alangkah seronok dan cerianya buana kala itu. Segalanya sungguh karar.

“Der, bila habis sekolah nanti, kau nak kerja apa?” Sambil duduk di atas permatang mengarah perbukitan hujung watas bendang, anak dara itu meluahkan pertanyaan. Rambutnya yang panjang sampai ke punggung, melambai-lambai, terayun-ayun dan mengerbang ditolak silir petang. Terbuai-buai lunak dan mengelus mencecah mesra ke muka Sonder. Suasana kala itu dirasakan begitu harmoni sekali. Terasa maya miliknya dan mereka menghabiskan petang yang karar itu dalam gelojak perasaan yang membuar.

“Aku tak suka membina anganan yang belum pasti. Angan-angan macam Mat Jenin tak berfaedah. Aku tak suka mengigau tentang hari depan yang entah apa-apa!”

Begitu hampas jawapan Sonder itu. Sesungguhnya itulah jawapan polos yang terterjah dari dua ulas bibir Sonder. Jawapan itu bukan hipokrit tetapi realiti. Sonder tidak suka berkhayal yang bukan-bukan. Merangka anganan masa depan yang belum pasti samalah bermimpi siang hari. Segalanya tentu akan mengecewakan jika gagal dicapai. Sonder tidak suka membuang masa dan tenaga untuk berfikir tentang itu semua. Sonder tidak suka jadi Mat Jenin yang akhirnya terhempas dari puncak kelapa, segalanya kerana nerawang fikiran yang tidak berpijak di atas realiti.

“Sebagai manusia, tentu kau ada cita-cita! Takkanlah kau tak ada cita-cita langsung! Orang yang tak ada cita-cita umpama tunggul mati, menanti reput dan akhirnya akan tumbang!”

Anak dara itu pandai membidas. Tingkahnya bernada sinis seraya menggetus sekuntum bunga kudup bayam hutan lalu dilambung-lambung ke terjangan silir dan iseng tercampak ke alun air bendang. Sejenak bergumpal lalu dibalun arus ke pinggir tebing. Anak-anak ikan sempilai dan cemperas tempiar berselerak.

Bila usia bertambah dewasa, kesempatan untuk mereka bertemu semakin tipis. Begitulah! Setiap petang Sonder akan ke bendang itu lagi, tempat biasa mereka bertemu. Dengan harapan akan bertemu lagi dengan anak dara ayu itu. Tetapi segalanya kecewa, tuntas dan hampa sama sekali. Menjadi nihil bagai petak-petak bendang kala panen menuai. Sonder tidak tahu apakah salahnya. Sewaktu bertembung di jalanan, anak dara itu seolah-olah melarikan diri. Barangkali, pengaruh keluarga. Ya, barangkali.

Sesungguhnya Sonder yakin, pengaruh itulah yang berperanan besar dalam memisahkan. Tanpa memikirkan erti sebuah persahabatan. Keluarga anak dara itu dari golongan berada, kaya raya, orang baik-baik. Sedangkan, Sonder miskin, jahil dan serba serbi kekurangan. Argh….., anak seorang penoreh getah anak berganding dengan anak pengusaha kilang padi! Macam pipit ingin terbang seiring kenyalang. Manakan bisa. Manakan setanding madi buruk mengepak sejajar enggang di perut bumantara. Sonder sedar itu.

Sonder bergolek ke kiri. Berkerekot macam sawa kenyang. Namun gebar berhapak kumal sebam itu tidak juga berupaya memberi kendati secubit kehangatan pada tubuh. Di luar, bingar kenderaan yang nyalarnya membingit belum lagi memecah hening pagi. Tidur Sonder juga serasa masih belum jenuh. Tetapi Sonder rasa masih mahu menyambungkan tidur itu. Bolehkah mata pejam bila fikiran berserabut dengan masalah? Bolehkah beradu dalam damai kalau kekerasan hidup galak menghenyak?

Lalu gebar hapak kumal sebam itu disingkap lagi ke bawah paras lutut. Tidak enak berselimut, Sonder terus berkain saja. Kaki dilunjurkan, kejang-kejang. Bergerutup bunyi tulang temulang. Hilang segala sengal dan lenguh seluruh kaki dan paha. Sonder mendengus puas. Seluruh tubuh bagai disiram air suam dari pancuran elektrik. Rasa lega dan segar iseng-iseng menyelinap ke seluruh juzuk anggota. Sonder tambahkan lagi dengan menggeliat persis kucing bangun tidur. 

Menggerutup lagi tulang-tulang belikat, pinggang dan belakang. Kedua-dua tangan didepangkan dan disentap gesit. Aduh, enak sungguh. Menggerutup lagi segala tulang temulang mengenyahkan lenguh dan sengal yang nyalar bermastautin di situ. Sonder senyum.

Gebar hapak kumal sebam itu dicampak ke atas lantai yang berlubang sana sini kerana dimakan asai. Sonder gesit bangun. Tercegat seraya menggeliat lagi. Lega lagi seluruh badan. Urat-urat terasa kendur semula. Beginilah, untuk melenyapkan masalah yang menghuni di kotak fikir. Sonder cuba melupakan segala masalah itu. Tetapi nyalarnya tidak berjaya. Masalah itu tetap cagun, tetap menjerba mencurah-curah bagai air mencurah dari kolong atap sempit dan akhirnya melimpah membuak. Seorang perempuan tiba-tiba berdiri di jenang pintu bilik Sonder.

“Masuklah!” pelawa Sonder tanpa dirancang. Memang lidah terlalu lancang.

Diam tetapi terus masuk. Tergopoh-gapah pula.

“Pucuk dicita ulam mendatang, sewaktu aku memang memerlukan seorang perempuan. Manusia gelandangan macam aku pun masih ada perempuan yang sudi? Cis, mengapa ada perempuan yang semurah itu menjual maruah? Barangkali maruah dan harga diri pada zaman multimedia ini sudah tercampak ke tepi longkang. Argh, pedulikan dia! Soalnya sekarang, apa yang aku perlukan dari seorang perempuan ialah sesuatu yang amat aku perlukan. Soal kenal atau tidak, itu tak perlu ditanya dulu. Yang penting, perempuan itu sudi. Apa perlu aku tanya, lagi pun perempuan sekarang memang amat murah. Macam anak patung di pasar raya. Boleh dibeli kalau ada duit atau boleh juga dicuri kalau tak berduit!”

Sonder ketawa selepas itu. Mula-mula kecil kemudian berdekah-dekah sehingga bilik kotak terasa bergoyang. Ketawa sonder menyebabkan penghuni bersebelahan terintai-intai melalui lubang dinding yang ditebuk asai. Tetapi, mereka tidak berani berkata apa-apa. Semuanya diam. Bila segalanya selesai, perempuan murahan itu pun gesit pamit. “Pergilah, memang dia tidak diperlukan lagi.”

Senyap. Semuanya senyap. Kenangan lama kembali membuncah dan beragaman mengambil tempat dalam kotak fikir Sonder. Sonder masih ingat, selepas gagal dalam persekolahan, dia merantau ke kota mencari kerja. Kerja apa yang boleh dibuat selain dari jadi budak jaga parking atau jaga panggung wayang. Atau sesekali berpeluang menjadi pembasuh pinggan mangkuk di kedai mamak roti canai. Akhirnya Sonder tidak tahan lagi lalu berhenti tanpa sonder notis.

Sonder tersentak kala telinga dijerba lolong anjing kurap membelah karar pagi. Barangkali anjing-anjing itu berebutkan tulang ayam atau lembu atau sisa-sisa makanan yang dicampakkan dari rumah pangsa bersebelahan bilik kotaknya. “Ah, pedulikan! Anjing-anjing kurap itu seperti kanak-kanak kecil. Tidak punya apa-apa masalah sepertiku. Hidup mereka tidak tertindas oleh masalah yang berat dan keras. Hidup mereka bebas dan tidak selalu disergap keruwetan. Sesungguhnya anjing-anjing kurap itu agak lebih baik dari kehidupan manusia gelandangan sepertiku.”

Beginilah! Sonder tahu semua itu. Sonder tinggal di sini, di bilik kotak ini entah sudah berapa lama. Entah! Sonder tidak pernah ambil tahu. Tetapi Sonder tahu benar semua menusia dan lorong-lorong di sekitar kawasan ini. Macam-macam jenis manusia hidup di sini. Semuanya macam Sonder juga - peminta sedekah koman, gelandangan cabuk merempat. Bilik-bilik kotak ini dibuat sendiri. Tanpa permit, tanpa disuruh, malah nyalar saja menjadi tempat serangan penguatkuasa membenteras aktiviti penagihan dadah. Begitulah hina dan kerasnya kehidupan yang dilalui di sini. Sungguh, segalanya terlalu keras.

“Sudahlah tuuuu!!” Sonder memujuk hati. “Apa kuasaku membicarakan hal-hal begitu. Diriku sendiri lebih daif, lebih papa, lebih kedana dari mereka. Aku sendiri tidak mampu berkahwin secara sah, yang diberkati Tuhan. Malah terkonteng kantang bagai lelayang tersangkut di wayar letrik. Sepatutnya, manusia setua aku sudah punya cucu atau cicit tetapi, argh... nasib diriku ini terlalu keras.”

Bingar suara anjing yang membingit membuatkan Sonder tidak dapat tidur dengan nyaman. Cagunnya amat meresahkan, merimaskan kotak benak. Sonder bingkas. Mencapai tuala kusam terpelohong sana sini, lalu disangkut ke pundak. Perlahan-lahan Sonder melangkah kaki keluar pintu. Matahari pagi galak menerjahkan cahayanya ke dalam bilik kotak. Sonder terus menuju ke sebatang sungai di pinggir jalan merentas kota metropolis canggih itu.

Nyalarnya, kalau pagi-pagi begini amat sukar untuk mandi. Orang ramai selalu berebut-rebut mandi dan menceduk air untuk dipunggah ke rumah. Semuanya macam Sonder juga - gelandangan cabuk, peminta sedekah koman, yang hidup dihenyak seribu masalah yang keras. Kebanyakkan mereka orang perempuan. Bila mereka semua sudah pulang, barulah Sonder dapat mandi. Begitulah nyalarnya jika bertamu ke sungai ini terlalu pagi. Tetapi, apa boleh buat. Sungai inilah satu-satunya sumber air percuma di perut metropolitan ini.

Tidak berapa jauh dari sungai itu, lebih kurang dua meter saja, mata Sonder tertancap pada beberapa orang perempuan sedang menjinjing timba plastik menunggu giliran untuk menceduk air masing-masing. Juga beberapa orang lelaki sedang menunggu untuk mandi. Barangkali! Sesekali mereka menghala busar mata ke arah Sonder. Mereka tersenyum. Kemudian tersengeh seraya membisik-bisik sesama mereka.

Sonder tidak pedulikan itu semua. Biarlah mereka tersenyum atau berbisik-bisik. Tapi, bila saja Sonder semakin hampir dengan mereka, bersipongang ledakan ketawa. “Mereka ketawakan aku?” Ini amat menghairankan. Gesit pula rasa menyinga Sonder menggelecak. Dada mendadak dijerba amarah. “Kenapa mereka ketawa tak tentu fasal?”

“Celaka!”Sonder membentak dalam hati. “Apa yang ganjilnya aku? Peminta sedekah koman, keparat dan melarat. Darjat mereka dan aku sama saja. Ah, persetankan mereka semua.”Sonder terus melangkah dengan bersahaja. Beberapa orang kanak-kanak yang bermain di tepi sungai juga tiba-tiba bersorak-sorak dan bertepuk tangan seraya menjerit;

“Lari! Lariiiiii!!” laungan mencerlus serentak tempiar meninggalkan tebing sungai.

“Ada orang gilaaaaaa!!” suara yang lain pula mencelah.

“Hoi, kenapa jadi begini?” tanya seorang perempuan. Perempuan itu adalah perempuan yang mendatangi Sonder semalam. Dia yang cagun dalam waktu-waktu yang amat Sonder perlukan. Dia perempuan gelandangan cabuk murahan yang menyerahkan segala-galanya sonder diminta.

“Apa yang tak kena? Kenapa dengan aku?” Sonder gesit bertanya kehairanan. 
“Kenapa aku diketawakan sampai begitu sekali? Apa, aku tidak kelihatan lagi seperti manusia gelandangan? Apa, aku sudah jadi segak persis manusia bangsawan?”

“Memang, memang pagi ini kau agak luar biasa dari selalu. Kau nampak seperti seorang raja yang turun dari kayangan!” perempuan itu ketawa di hujung kata-katanya. Gelandangan-gelandangan yang lain turut melepaskan dekah ketawa.

“Hei, jangan cuba bergurau dengan aku!” Sonder sungguh kurang senang.

“Kau lihat sendiri! Kau lihatlah, Sonder! Pakaian jenis apa yang kau pakai ni, tak nampak pun benangnya!” perempuan itu bersuara lagi seraya tersenyum. Gelak ketawa para gelandangan terus meriah.

Sonder gesit tunduk ke bawah. “Alamak!” Dia terkejut besar. Rasa mahu pitam kala itu. Cepat-cepat Sonder menarik tuala yang tersangkut di bahu lalu ditutup gesit bahagian itu. Tebal muka Sonder macam kulit biawak. “Kenapa boleh jadi macam ni? Kenapa aku boleh berbogel begini?”

Seingat Sonder, sewaktu tidur tadi, dia memakai sehelai kain. Diikat kemas, melilit erat di pinggang. Sonder tidak perasan pula macam mana kain itu boleh tertanggal. “Ah, bila dah tidur dengan isi kepala sarat dengan masalah, manalah aku sedar semua itu. Mungkin juga ya, semasa perempuan itu datang dan melontarkan maruahnya semalam.”Begitulah ingat Sonder, bila segala-gala terlalu asyik, diri sendiri boleh lupa dan memalukan. “Sial! Perempuan itulah yang menyebabkan aku jadi begini!”

Sonder merasakan hidup ini umpama anak patung yang terlentang di atas lantai dan tidak akan bangkit-bangkit lagi selagi tidak ada orang membangkitkannya. Hidup ini dirasakan seperti tunggul statik atau punggur ara yang tidak hidup. Atau juga boleh diumpamakan bayang-bayang yang mati, bergerak hanya mengikut tuannya saja. “Aduh, betapa malunya aku kepada perempuan itu. Tapi, apa nak dimalukan pula? Bukankah perempuan itu pernah kunikmati tubuhnya semalam? Dia juga manusia sepertiku. Punya tujuan hidup yang sama, mahu makan, tidur dan bernafsu. Apa lagi dia juga peminta sedekah seperti aku - koman, melarat dan bergelandangan ke sana ke mari. Cuma kadang-kadang menyundal untuk sesuap nasi.”

Memikirkan itu, rasa malu Sonder gesit lenyap. Sonder turut ketawa bersama-sama orang yang ketawakannya. Dan Sonder masih bertelanjang bulat tanpa mempedulikan pandangan mata yang bergantang di pinggir sungai dan yang lalu lalang di kota metropolitan canggih itu.

Begitulah, betapa kerasnya henyakan hidup Sonder - manusia gelandangan di tengah-tengah kecanggihan multimedia. Otak dan akal tidak berfungsi lagi jika saban detik dihunjam masalah.

Sonder berbogel terus.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA