Isnin, 15 Mac 2010

Selamat Tinggal Joanne

SMAHADZIR 

AKU tidak pernah bermimpi akan hakikat pertemuan ini. Semuanya bagaikan sebuah khayalan yang bertapak di bumi ilusi. Aku menjejakkan kakiku ke menara gading ini dengan hasrat yang amat murni iaitu untuk menuntut ilmu, menyarati dadaku dengan segala maklumat sebelum bergelar seorang graduan.

Aku sudah bertekad sejak di bangku sekolah menengah lagi untuk berjaya dalam cita-citaku sebagai seorang doktor falsafah bidang ekonomi. Aku akan membina sebuah mahligai bahagia untuk keluargaku selepas berjaya nanti. Aku tidak mahu menjerumuskan diri dalam arena percintaan sebelum berjaya mengejar dan menggapai cita-cita tersebut ke diri.

Namun apa yang aku tekadkan tidak berupaya untuk dilaksanakan. Aku telah gagal mengawal diriku untuk terjatuh di lembah cinta. Walaupun cinta itu tidaklah sebegitu buruk, namun sedikit sebanyak telah mengganggu konsentrasiku dalam menghadapi pelajaran di universiti. Kini aku telah sedar akan keterlanjuran yang terjadi...

* * *

Jo Ann Pare!

Begitu nama seorang gadis yang berasal dari Connecticut, beragama Kristian Protestan yang cukup kuat dan tidak mudah goyah dengan sebarang cabaran. Begitu yang aku faham setelah sekian lama menjalinkan persahabatan yang cukup akrab dengannya. Jo Ann Pare juga mempunyai leluhur yang yang kental berpegang kepada ajaran agama yang mereka anuti.

Setelah lebih empat bulan menuntut di Fakulti Pengajian Melayu, tiba-tiba kehadirannya menjadi begitu bermakna sekali dalam hidupku. Pada mulanya aku sedikit pun tidak berminat untuk mendekati apalagi mendalami dirinya lebih dekat. Bagiku waktu itu, gadis Barat itu tidak ada apa pun kelebihannya jika mahu dibandingkan dengan gadis-gadis Timur yang ada di kampus ini.

Namun begitu, entah kenapa pada suatu ketika, tiba-tiba saja kehadirannya telah mengundang bunga-bunga indah dalam hati. Tidak pernah diduga yang pintu hati ini akan terbuka untuk dia.

Kekecewaan masa lalu, yang masih meninggalkan kesan yang amat mendalam dalam dada seolah-olah melenyap entah ke mana. Sedangkan itulah antara sebab aku mengunci pintu hati itu rapat-rapat untuk insan yang bernama perempuan dari bertakhta di dalamnya.

Sungguh, pengalaman pilu itu begitu getir untuk dikenangi semula. Begitu payah untuk disisihkan dari ingatan meski sudah lama dibaham waktu. Betapa hipokritnya sikap seorang insan yang bernama perempuan kekadang membuatkan seorang lelaki mampu tersembam dan tidak upaya panggung lagi.

Junaidah!

Itulah nama gadis yang pernah bertakhta dalam hatiku suatu waktu dulu. Kami sama-sama menuntut di dalam tingkatan tiga di sekolah yang sama juga. Persahabatan kami begitu akrab. Dialah sumber ilhamku. Dialah pencetus semangat untukku belajar sehingga berjaya dengan cemerlang di dalam SPM.
Kami sama-sama beroleh kejayaan yang serupa. Aku ditawarkan ke universiti tempatan sedang Junaidah ditawarkan ke sebuah universiti di Amerika Syarikat mendalami bidang komunikasi. Setelah dua tahun di sana, Junaidah berubah hati. Seorang rakan sekuliah menjadi pilihannya dengan meninggalkan aku dan mengecaikan keutuhan persahabatan kami yang terjalin sekian lama.

Aku sungguh kecewa dengan majlis pertunangannya sewaktu cuti semester. Tetapi aku terima takdir tersebut dengan tabah dan cekal biarpun pada mulanya terlalu berat dan perit untuk dihadapi. Sejak itulah aku mulai menutup pintu hatiku untuk sebarang perempuan. Aku ingin menumpukan sepenuh perhatianku kepada pelajaran sehingga berjaya menggenggam segulung ijazah buat mengubah nasib keluarga.

Tekad itu berjaya aku laksanakan sehinggalah tiba di tahun akhir pengajian ini. Jo Ann Pare telah merobohnya dengan begitu kuat sekali. Aku sendiri tidak berdaya menahan rempuhannya yang bagaikan badai di tengah segara itu.

Jo Ann Pare!

Dengan kebiruan sinar matanya, aku bingkas dari kekecewaan masa silam. Jagat luas yang dahulunya amat kabur di panda-ngan mata, cerlang gemilang bagaikan disiram warna-warna salji yang menjurai dari langit lepas. Aku lihat pohon-pohon pinus, maple, honeysukcle dan sebagaikan memercupkan dedaun segar sekitar pekarangan kampus. Bunga-bunga matahari seolah-olah murup kekuningan di Luxambourg. Apakah ini kampus Universiti Malaya yang aku duduki sekian lama? Ahhh… mata bisa saja berdusta bila hati sudah diamuk rasa cinta!

Sesungguhnya, aku tidak pernah pun mengimpikan akan dipertemukan dengan Jo Ann Pare. Takdir yang sudah ditetapkan Tuhan tidak mampu dielak apalagi mahu dihalang. Yojana perjalanan yang luas telah menyatukan dua hati, dua bangsa berlainan agama dan adat budaya, sungguh-sungguh satu mimpi yang tidak terduga.

Dalam suasana pekarangan Dewan Tunku Chanselor persis kebun bunga matahari itulah kami bertemu, bermesra seterusnya menjalin sebuah persahabatan yang pada mulanya sukar untuk ditafsirkan.

“Saya Arfik!” ujarku seraya menghulurkan salam persahabatan.

“Saya Jo Ann Pare. Errr… panggil saja Joanne!” tanganku segera disambut mesra. Sebuah senyuman gesit dimurupkan. Aku membalas senyuman itu dengan mesra juga.

Ketika itu entah kenapa ada gejolak dalam hatiku yang meronta-ronta lebih-lebih lagi tatkala mata kami bertentangan. Sinar kebiruan matanya yang tajam begitu menyucuk hingga ke sanubari. Aku tiba-tiba saja jatuh cinta kepadanya.

“Kamu anak tempatan?” soalnya.

“Duga kamu?”

“Sukar!” ujarnya.

“Alasan?”

“Wajah kamu imbas jejaka Arab tapi telor Inggeris kamu seperti orang tempatan!” dia tersenyum lagi.

“Benar… saya memang warga tempatan. Saya Melayu kacukan Arab di sebelah ibu. Err, bagaimana dengan kamu?” soalku ingin menyelongkar rahsia dirinya lebih dalam.

“Saya American jati, berasal dari Connecticut!” ujarnya.

“Jurusan apa yang menjadi minat kamu sehingga begitu jauh sekali merantau?”

“Err, saya ke sini untuk mendalami kajian Bahasa Melayu kamu!”

“Terima kasih!” aku bagaikan dijerba kekaguman dan mercup rasa bangga dalam hati. “Dalam waktu segelintir bangsa saya lebih mengagungkan bahasa asing, ada pula orang asing yang masih meminati bahasa saya. Sesuatu yang amat membanggakan saya!”

“Apa maksud kamu?” soalnya seraya mata mengesip-ngesip ingin tahu.

“Terdapat segelintir anak bangsa saya yang lebih mengagungkan Bahasa Inggeris terutama dalam pertuturan seharian mereka. Kadang-kdanag bahasa itu diselang-selikan dengan Bahasa Melayu seolah-olah Bahasa Melayu terlalu miskin sehingga tidak ada perkataan yang sesuai!”

“Bahasa Inggeris bahasa dunia… cukup untuk dipertuturkan jika berhadapan dengan bangsa yang tidak tahu berbahasa Melayu!”

“Itu yang sepatutnya diamalkan!” ujarku. “Sesama bangsa sendiri atau sesama warga negara sendiri, Bahasa Melayu harus diutamakan. Indonesia wajar dijadikan contoh terbaik. Setiap warganya harus bercakap dalam Bahasa Indonesia sahaja. Pihak pemerintah tidak membenarkan rakyatnya berbahasa selain dari Bahasa Indonesia baik di mana saja di dalam negera mereka. Dengan cara itu, kedaulatan Bahasa Indonesia terjulang gagah!”

“Luas pengetahuan kamu!” Jo Ann Pare tersenyum lagi.

“Err, tadi kamu kata, kamu mendalami kajian Bahasa Melayu… ”

“Ya, kajian saya lebih menjurus di bidang kesusasteraan!” ujarnya mencantas kata-kataku.

Begitulah mulanya bibit-bibit kemesraan itu. Lunak sungguh suaranya, terluah manja dari dua ulas bibir merah delima merkah yang amat mempersonakan. Tidak hairanlah aku terpikat, wajahnya sekali imbas persis Corin Nemec, heroin filem In The Living Years. Dia petah berbicara, lincah dan tegas menyusun setiap ungkapan. Dia mempunyai ciri-ciri seorang gadis terpelajaran, open minded dan luas pengetahuan. Sungguh aku senang dengan gadis begitu.

Bagaimana aku ingin memulakan kehidupan baru di atas keruntuhan sebuah gunung impian yang menhenyak seluruh rongga dada? Apakah akan terdaya aku bangun dan berlari semula untuk mengutip mercup-mercup segar kelopak bunga matahari di kebun Luxambourgh ini? Sekali gus melorek sebuah arca cinta dengan warna cerlang pada dinding jagat yang terbentang luas?

Jo Ann Pare!

Kau sebenarnya telah menghimbau kembali segala keindahan pelangi dalam juring kehidupanku. Aku telah kecundang dengan keteguhan yang sekian lama cegat dalam diri.

“Bangunlah Arfik! Mandala ini luas. Kau tidak seharusnya terbelenggu dalam lengkung fikir yang sempit lagi menghimpit!” tegas Norman suatu hari sewaktu kami sedang membuat rujukan assignment di Perpustakaan Tun Seri Lanang.

“Apa maksud kau, Norman!” aku kurang faham akan kata-katanya.

“Jo Ann Pare!” jawab Norman seraya tersenyum penuh makna.

“Kenapa dengan gadis Barat tu?” soalku lagi.

“Kau harus cepat bertindak, Arfik!” tegas Norman agak tegas. “Kalau tidak, kau akan terlepas. Gadis mat saleh tu memukau pandang sesiapa saja. Aku bimbang, kau akan menggigit jari melihat merpati kesayangan terbang dan hinggap di dahan lain!”

“Hebat gesaan dan kiasan kau, macam sasterawan sedang jurusan kita ni ekonomi!” aku tersenyum senang.

“Dunia sekarang dunia internet, Arfik! Segala-galanya pantas dan gesit. Klik saja di sini, berita atau maklumat dari Amerika sekelip mata sudah ada di depan mata. Itu ketangkasan yang perlu ada pada kita. Tak ketinggalan dalam soal ini. Kalau tak cepat mengklik, kau akan ketinggalan maklumat!”

“Kiasan lagi!” aku menggeleng-geleng dan senyum memurup lagi di bibir. Memang rakan sebilik aku ini cukup kaya dengan bahasa kiasan. “Kau bagaikan mencabar aku, Norman!”

“Bagus kalau itu yang kau anggap!” balas Norman agak tegas. “Sekurang-kurang-nya ini satu platform untuk kau gandakan usaha supaya apa yang impikan menjadi kenyataan!”

“Aku tak inginkan apa-apa… ”

“Jangan berdusta, Arfik! Aku dah lama berkawan dengan kau, sejak tahun pertama lagi. Aku bagaikan dah dapat baca apa yang bersarang atau berselirat dalam dada kau tu!”

Aku tersengih, “Jadi, apa yang mahu kamu katakan?”

“Ha, berterus terang kan lebih baik!”

“Memang aku dah berterus terang, jadi apa yang harus aku lakukan sekarang?”

“Kau mesti berani berhadapan dengan kehendak hati dan realiti!”

“Aku kurang jelas!”

“Kau dah nyata mencintai dia dan dia juga begitu!”

Aku tersenyum lebar. “Hei, Norman! Mana kau tahu semua ni? Kau bukannya Nostradamus yang punya otak brilliant!”

“Tak perlu jadi Nostradamus untuk menilik soal ini, Arfik!”

“Iyakah?”

“Iya… dari riak mata birunya aku tahu dia juga mencintai kau!”

Aku diam dalam riang. Norman pakar psikologi? Penuntut fakulti ekonomi itu bijak menelah gelora hati seorang gadis mat saleh seperti Jo Ann Pare? Ahh… Norman!
Begitulah… kata-kata rakan sebilik dan sekuliahku itu aku terima sebagai jamung semangat untuk terus meredah jalan yang masih belum menentu itu. Imbasan kebenaran memang nyata. Aku dan Jo Ann Pare semakin akrab dan intim. Ke mana saja sering berdua, lebih-lebih lagi jika ke Perpustakaan Tun Seri Lanang untuk mencari bahan rujukan dan menelaah hati masing-masing.

* * *

“Bagaimana dengan pengajian kamu sekarang?” soaku suatu hari takala kami sedang berehat di hadapan bangunan Tuanku Canselor sambil meladeni sapaan angin yang menderu segar.

“Pengajian tentang Bahasa Melayu?”

“Banyak yang sudah saya tahu tentang bahasa ibunda kamu!”

“Contohnya?

“Asal usul Bahasa Melayu!”

”Wau, hebat! Apa yang kamu tahu tentang asal usul Bahasa Melayu?”

Joo Ann Pare tersenyum manis. “Apabila kita ingin mengetahui asal usul sesuatu bahasa, kita perlu mengetahui asal bangsa yang menjadi penutur utama bahasa tersebut. Hal ini demikian adalah kerana bahasa itu dilahirkan oleh sesuatu masyarakat penggunanya dan pengguna bahasa itu membawa bahasanya ke mana pun ia pergi. Demikianlah juga halnya dengan bahasa Melayu. Apabila kita ingin mengetahui asal usul bahasa Melayu, maka kita perlu menyusurgaluri asal usul bangsa Melayu,” ujarnya panjang lebar. Jelas naanya beriak waras dan penuh yakin.

Aku sekadar mengangguk.

“Mahu saya terangkan serba ringkas tentang asal usul bahasa kamu tu?”

“Boleh juga!”

“Walaupun sudah ada beberapa kajian dilakukan terhadap asal usul bangsa Melayu, tetapi kata sepakat para ahli belum dicapai. Setakat ini ada dua pandangan yang dikemukaka,” jelas Joo Ann Pare. “Pandangan yang pertama menyatakan bahawa bangsa Melayu berasal dari utara atau Asia Tengah dan pandangan yang kedua menyatakan bahawa bangsa Melayu memang sudah sedia ada di Kepulauan Melayu atau Nusantara ini,”

“Habis bagaimana persepsi kamu?”

“Sebagai perbandingan, kedua-dua pandangan tersebut telah diperjelaskan oleh oleh R H Geldern. Katanya Bahasa Melayu berasal dari Asia Tengah,”

“Err, siapa R H Geldern tu?”

“R H Geldern ialah seorang ahli prasejarah dan menjadi guru besar di Iranian Institute and School for Asiatic Studies. Dia telah membuat kajian tentang asal usul bangsa Melayu. Sarjana yang berasal dari Wien, Austria ini telah membuat kajian terhadap kapak tua atau beliung batu. Beliau menemui kapak yang diperbuat daripada batu itu di sekitar hulu Sungai Brahmaputra, Irrawaddy, Salween, Yangtze, dan Hwang. Bentuk dan jenis kapak yang sama, beliau temui juga di beberapa tempat di kawasan Nusantara. Geldern berkesimpulan, tentulah kapak tua tersebut dibawa oleh orang Asia Tengah ke Kepulauan Melayu ini,” jelas Joo An Pare.

Aku mengangguk.

“J H C Kern pula ialah seorang ahli filologi Belanda yang pakar dalam bahasa Sanskrit dan pelbagai bahasa Austronesia yang lain telah membuat kajian berdasarkan beberapa perkataan yang digunakan sehari-hari terutama nama tumbuh-tumbuhan, haiwan, dan nama perahu. Beliau mendapati bahawa perkataan yang terdapat di Kepulauan Nusantara ini terdapat juga di Madagaskar, Filipina, Taiwan, dan beberapa buah pulau di Lautan Pasifik. Perkataan tersebut di antara lain ialah: padi, buluh, rotan, nyiur, pisang, pandan, dan ubi. Berdasarkan senarai perkataan yang dikajinya itu Kern berkesimpulan bahawa bahasa Melayu ini berasal daripada satu induk yang ada di Asia,”

“Lagi?”

“W Marsden pula dalam kajiannya mendapati bahawa bahasa Melayu dan bahasa Polinesia atau bahasa yang digunakan di beberapa buah pulau yang terdapat di Lautan Pasifik, merupakan bahasa yang serumpun. E Aymonier dan A Cabaton pula mendapati bahawa bahasa Campa serumpun dengan bahasa Polinesia, manakala Hamy berpenda-pat bahawa bahasa Melayu dan bahasa Campa merupakan warisan daripada bahasa Melayu Kontinental. Di samping keserumpunan bahasa, W Humboldt dalam kajiannya mendapati bahawa bahasa Melayu (terutama bahasa Jawa) telah banyak menyerap bahasa Sanskrityang berasal dari India,”

“Teruskan!”

“J R Foster yang membuat kajiannya berdasarkan pembentukan kata berpendapat bahawa terdapat kesamaan pembentukan kata dalam bahasa Melayu dan bahasa Polinesia. Beliau berpendapat bahawa kedua-dua bahasa ini berasal daripada bahasa yang lebih tua yang dinamainya Melayu Polinesia Purba. Seorang ahli filologi bernama A H Keane pula berkesimpulan bahawa struktur bahasa Melayu serupa dengan bahasa yang terdapat di Kampuchea,”

Aku mengangguk terus.

“J R Logan yang membuat kajiannya berdasarkan adat resam suku bangsa mendapati bahawa ada persamaan adat resam kaum Melayu dengan adat resam suku Naga di Assam iaitu di daerah Burma dan Tibet. Persamaan adat resam ini berkait rapat de-ngan bahasa yang mereka gunakan. Beliau mengambil kesimpulan bahawa bahasa Melayu tentulah berasal dari Asia. G K Nieman dan R M Clark yang juga membuat kajian mereka berdasarkan adat resam dan bahasa mendapati bahawa daratan Asia merupakan tanah asal nenek moyang bangsa Melayu,”

Seterusnya Joo Ann Pare menjelaskan, dua orang sarjana Melayu, iaitu Slametmuljana dan Asmah Haji Omar juga menyokong pendapat tersebut. Slametmuljana yang membuat penyelidikannya berdasarkan perbandi-ngan bahasa, sampai pada suatu kesimpulan bahawa bahasa Austronesia yang dalamnya termasuk bahasa Melayu, berasal dari Asia. Asmah Haji Omar membuat huraian yang lebih terperinci lagi.

Beliau berpendapat bahawa perpindahan orang Melayu dari daratan Asia ke Nusantara ini tidaklah sekali gus dan juga tidak melalui satu laluan. Ada yang melalui daratan, iaitu Tanah Semenanjung, melalui Lautan Hindi dan ada pula yang melalui Lautan China.

Namun, beliau menolak pendapat yang mengatakan bahawa pada mulanya asal bahasa mereka satu dan perbezaan yang berlaku kemudian adalah kerana faktor geografi dan komunikasi. Dengan demikian, anggapan bahawa bahasa Melayu Moden merupakan perkembangan daripada bahasa Melayu Klasik, bahasa Melayu Klasik berasal daripada bahasa Melayu Kuno dan bahasa Melayu Kuno itu asalnya daripada bahasa Melayu Purba merupakan anggapan yang keliru.

Bahasa Melayu Moden berasal daripada bahasa Melayu Klasik dan bahasa Melayu Klasik berasal daripada bahasa Melayu Induk. Bahasa Melayu Induk berasal daripada bahasa Melayu Purba yang juga merupakan asal daripada bahasa Melayu Kuno. Ini juga membuktikan bahawa bahasa Melayu Moden bukanlah merupakan pengembangan daripada dialek Johor-Riau dan bahasa Melayu Moden tidak begitu rapat hubungannya dengan dialek yang lain (Da, Db, dan Dn). Dialek yang lain berasal daripada Melayu Induk manakala dialek Johor-Riau berasal daripada Melayu Klasik.

“Sungguh hebat kamu, Joanne!” aku mencerlus sebaik dia menamatkan penjelasan tentang pengajiannya. Jelas wajahku bagaikan terlunga dengan kepetahan gadis bermata biru itu.

Joo Ann Pare tersengih lebar. “Bukankah kamu yang inginkan penjelaan itu?” soalnya.

“Benar, Joanne! Tapi, tidak sangka pula yang kamu begitu fasih tentang asal usul bahasa ibunda saya sedang saya sendiri pun tidak tahu langsung soal itu!”

“Kamu rugi, Fik! Sepatutnya kamu yang terlebih dahulu menyelusuri asal usul bahasa kamu dan bukannya orang asing seperti saya!” tukasan Joo Ann Pare itu sedikit menyucuk ulu hati.

Aku diam.

“Okeylah, Fik! Kita lupakan dulu soal bahasa tu. Sekarang, kita berbual pula soal persahabatan kita!” ujar Joo Ann Pare bagaikan mahu mengambil hatiku. Mungkin dia terkesan yang aku telah terhiris dengan kata-katanya tadi.

Namun begitu, rasionalnya aku tidak mendalami bidang bahasa di universiti ini tetapi mendalami bidang ekonomi. Jadi, tidaklah wajar untuk aku menyelusuri asal usul Bahasa Melayu kerana ianya amat bercanggah dengan bnidang yang aku pelajari.

“Apa pendapat kamu tentang seorang perempuan?” tiba-tiba lamunan singatku gesit bebar oleh cerlusan suara Joo Ann Pare.

Aku kemamar sejenak.

“Bagaimana pula pendapat kamu tentang seorang lelaki?” Joo Ann Pare bertanya lagi.

“Apa maksud kamu, Joanne?” soalku kembali tanpa menjawab pertanyaannnya.

“Saya sekadar nak tahu pendapat kamu tentang manusia yang bernama perempuan dan lelaki!” jawabnya bersahaja.

“Dalam soal apa?”

“Errr, apa saja! Kesetiaannya contohnya?”

“Kesetiaan dalam bercinta?”

Joo Ann Pare gesit mengangguk.

Aku tersenyum nipis dan beriak sinis. “Bagi saya, perempuan tidak langsung mempunyai erti kesetiaan dalam diri mereka!” tukasku agak tegas.

“Alasan kamu?”

“Cinta telah mengajar saya berkata begitu!” ujarku. “Memang kesetiaan dan kejujuran tidak ada dalam kamus hidup seorang perempuan. Yang ada pada mereka ialah kemewahan di depan mata!”

“Jangan prejudis, Fik! Perempuan selalunya setia pada janji. Ini hakikat alam, tidak seperti lelaki yang gemar benar berdusta terutama setelah mendapat gading yang lebih bertuah!” balas Jo Ann Pare. Kala itu kami tidak lagi di hadapan Dewan Tunku Canselor tetapi sedang bersiar-siar di pinggiran Tasik Bandaraya Anggerik.
Ketika itu jam sudah hampir pukul enam petang. Ramai para pengunjung bersantai di situ. Kebanyakannya pasangan remaja. Barangkali sedang memadu asmara. 

Namun begitu terhadap juga orang-orang tua bersama kaum keluarga masing-masing. Kami duduk di sebuah bangku simen di bawah sepohon ru rendang.
“Jangan prejudis, Joanne!” tingkahku pula beberapa jenak kemudian. “Saya tak boleh terima kenyataan itu tanpa sebarang kontra. Lagipun ini bukan satu deduksi dari sebuah kajian yang lengkap, sekadar sebuah hipotisis yang masih banyak yang perlu dibahaskan!”

Angin petang mendayu segar. Riak tasik di hadapan kami beralun lunak mencecah gigi tebing. Bunga-bunga kiambang mekar dan sampan-sampan kecil mundar mandir bersama pasangan penumpang di dalamnya. Keceriaan jelas mengapung suasana.

Jo Ann Pare senyum. Nyata lebih menawan dengan dua liang seni tepian bibir. Aku merenung mata birunya, tunak-tunak. Sungguh ayu. Dia membalas cerlunganku dengan manja dan mesra. Bergetar sakan dalan hati. Menggelupur.

“Kamu tahu sejauh mana setia Dang Anum kepada suaminya?” sejurus kemudian Joa Ann Pare bersuara.

“Kamu dah baca sejarah tentang dia?”

“Jawab soalan saya dulu, Fik!”

Aku sekadar angkat bahu.

“Seorang lelaki tak ubah seperti Raja Lear dalam drama Shakespear, sanggup menyingkir kasih anak setia kerana terlalu mudah terpesona dengan kata-kata dan mahkota!”

“Apa maksud kamu, Joanne? Kamu seolah-olah mahu menyindir saya?”

“Tidak Arfik!” tingkahnya lunak dan mesra. “Bukan itu niat saya sebenar!”

“Habis, apa niat kamu yang sebenar?”

“Sekadar menduga pengetahuan kamu tentang sejarah dan drama!”

“Maaf Joanne! Saya tidak berminat de-ngan kedua-dua subjek itu. Apa yang saya lebih tumpukan ialah bidang ekonomi!”

“Jangan begitu, Fik! Seorang pelajar jurusan ekonomi tidak seharusnya hanya berlegar dalam bidang tersendiri saja. Dia harus keluar dari kepompong yang satu itu untuk lebih terbuka kepada semua yang ada di sekitarnya!”

Aku diam. Bagai terpukul dengan kata-katanya.

“Kalau begitu, kamu juga tentunya tidak tahu sejauh mana dalamnya cinta dan kesetiaan Cordelia!”

“Ya, saya tidak tahu dan tidak juga kenal siapa itu Cordelia!” ujarku terus terang.
Jo Ann Pare tersenyum nipis. “Tak apalah, Fik! Kamu boleh mendalaminya bila-bila masa yang kamu suka. Bukan hari ini… errr… barangkali sebaik tamat pengajian ekonomi kamu!”

Aku tersenyum.

Hubungan kami selepas itu terus akrab. Meski beban kuliah sengoti diberesi namun masih punya waktu untuk bertemu dan bertukar-tukar fikiran tentang pelbagai hal terutamanya tentang ekonomi dan bahasa. Tanpa pertemuan demi pertemuan dengan gadis ayu itu aku merasakan hidup ini tidak memberi apa-apa erti.

Sungguh, kehadiran Jo Ann Pare telah mengubah corak hidupku secara total. Aku sudah bijak melarik warna bianglala menjadi untaian gebar tidur. Setiap malam bila bulan senyum di dada langit, aku tahu ada dingin wayu yang manja menanti. Cinta itu terlalu menggunung di dalam dada bagaikan aku mahu memutar paksi bumi lebih pantas dengan tanganku kerana tidak sabar-sabar menunggu hari esok. Aku mahu menganyam dedaun asmara menjadi raga kasih.

Dengan raga kasih itu aku mahu menjinjing rindu galak jutaan kejora supaya mengerdip sampai bila-bila. Padaku, cinta Jo Ann Pare laksana malam yang berinsut di ranting kasih yang perdunya adalah rendang asmara. Cinta yang terpahat di dasar hati sudah seperti desiran angin yang dinginya hububan rindu. Setiap bait kata-kata yang terucap dari bibir merah delima merkahnya sentiasa melemaskan aku dengan kesyahduan dibelai rasa yang menggoda. Aku sentiasa saja lelah di alam fana. Itulah Jo Ann Pare.

Gadis itu sebenarnya sebutir maknikam yang amat berhrga dalam hidupku. Aku mengharapkan kasih yang sudah subur bersemi itu berkekalan buat selama-lamanya malah tidak ingin langsung kehilangannya walau sedetik. Lebih jauh lagi, cinta ini telah menghi-dupkan semula sebuah hidup yang telah mati dulu. Kenangan lara silam yang begitu getir meratah hidup, yang acap membuncah melarakan, kian melenyap dan akhirnya lupus dari bermain di ingatan.
Terima kasih Jo Ann Pare!

“Joanne… apa kata kalau cuti semester nanti kamu mendamaikan perasaan jauh dari kebisingan kota ini?”

“Maksud kamu?”

“Meninggalkan bandar raya yang sesak ini…”

“Ke mana?”

“Ke Batu Berdinding!”

“Batu Berdinding? Hmmm, sedap nama itu… apa yang menarik di sana?”

“Keindahan kampung yang masih belum tercemar secara total dengan anasir pembangunan atau masih lagi ala tradisi…”

“Wow, fantastique!”

“Air sungainya mengalir tenang, jernih bening dan sejuk, dipenuhi batu-batu dan jeram yang indah. Alam semula jadi belum banyak terusik dan kamu tentunya tak mahu ketinggalan melihat kepelbagaian flora dan fauna yang unik di sana!”

“Memang saya amat menginginkan suasana itu. Emmmm, lagi?”

“Yang lebih penting, kampung itu telah meninggalkan sebuah peristiwa sejarah yang tetap erat terpahat dalam setiap hati warga Malaysia, khususnya!”

“Maksud kamu?”

“Tempat di mana Dato Sagor bersama orang-orangnya menentang penjajah. Di situ penentangan terhadap penjajah British bermula dan di situ juga mengalir darah pahlawan Melayu Datok Maharaja Lela ke dalam tubuh ini!”

“Wah-wah, kamu berdarah pahlawan dan pejuang rupanya! Err, tapi kamu kata keturunan kamu berdarah Arab...”

“Itu sebelah ibu. Darah Dato Sagor di sebelah bapa!” Aku bersahaja dan tersengih lebar. “Err, di situ nanti kamu boleh membuat kajian dari kesan-kesan sejarah yang masih ada!”

“Hei Arfik! Kamu sudah lupa agaknya. Saya ini bukan pengkaji sejarah tapi penyelidik bahasa dan kesusasteraan Melayu!” Jo Ann Pare ketawa kecil namun panjang.

Wajahku pudar mendadak. Betapa mudah aku terlupa akan hakikat sebenar.

“Jangan merajuk, Fik! Saya akan ikut kamu ke kampung kelahiran kamu itu!”
Aku gesit memurup senyum senang. Kerana kesudian tersebut, aku mulai menganyamnamanya pada kepak camar yang terbang di gigi alun. Aku merenda senyumnya pada setiap kelongsong malam dan aku lagukan kasihnya pada setiap nyanyian mimpi. Dialah gadis tempawan yang mercup membelai hati tidak keruan ini.

“Kamu sebahagian dari hidupku, Joanne! Saya tak mungkin dapat hidup andainya kamu tiada di sisi!” Begitu aku luahkan perasaan hati yang menggelodar kala kami di permatang sawah melihat mega ungu melatari ufuk langit.

Burung-burung berterbangan bersimpang siur pulang ke sarang masing-masing setelah kekenyangan memagut rezeki yang melimpah di bumi Tuhan. Angin petang bertiup segar dan mendamaikan. Beberapa orang petani kelihatan nun di kejauhan berduyun-duyun menuju ke rumah. Suasana sawah yang menghijau kian bertukar kejinggaan.

“Jangan suka bergurau, Arfik!”

“ Saya tidak pernah mahu bergurau dalam soal ini, Joaanne!”

Jo Ann Pare diam sejenak. Dilontarkan pandangan mata ke arah perbukitan di hujung sawah. Pohon-pohon kelapa yang subur di kakinya seakan biru kehitaman kerana ditabiri cahaya matahari yang pudar.

Sejurus kemudian dia merenung wajahku bagaikan memohon sebuah penger-tian.

“Kamu seolah-olah tidak gemar saya menghuraikan hakikat sebenar hati saya!” aku menduga.

“Bukan begitu, Arfik!”

“Habis, kenapa kamu masih menganggap saya bergurau?”

Jo Ann Pare mengeluh berat dan rengsa. Aku jadi terlunga dengan keadaan.

“Cakap Joanne! Apa sebenarnya yang ada dalam hati kamu itu. Jangan biarkan saya jadi tidak menentu setelah kamu titipkan sebuah harapan yang begitu menggunung tinggi!”

“Kamu harus akui hakikat ini, Arfik! Bukankah Islam melarang tegas penganutnya berkahwin dengan orang bukan Islam?” suaranya bergetar menyelusup ke dalam telingaku.

“Itu saya tahu, Joanne! Malah saya sedari sejak lama…”

“Itulah hakikat yang harus kamu akui!”

“Memang saya akui hakikat itu!”

“Jadi, bagaimana kita boleh berkahwin kalau itu hakikatnya?”

“Bukan sesuatu yang sukar, Joanne! Kita masih boleh mendirikan rumah tangga andainya kamu memeluk Islam!”

Jo Ann Pare tersenyum nipis. “Tidak, Arfik! Saya masih berpegang teguh dengan agama leluhur saya ini. Tidak sekali-kali saya mahu mengubahnya semata-mata untuk membolehkan saya berkahwin dengan kamu! Bagi saya, agama lebih penting dari cinta dan saya tak sanggup mengorbankan sebuah agama semata-mata kerana sebuah cinta!”

Aku terkelu dan terkedu. Tidak kuduga sama sekali yang Jo Ann Pare sanggup berkata begitu. Tetapi aku tidak mampu memaksanya. Sebagai manusia, dia mempunyai hak untuk meyakini agama mana yang dia suka. Agama Islam juga tidak pernah memaksa penganut agama lain. Syurga dan neraka itu sudah jelas. Kebatilan dan kebenaran juga sudah jelas. Yang menentukannya hanya akal anugerah-Nya.

Sejurus kemudian, jagat Batu Berdinding yang aku kelih seakan muram dan pudar. Aku bagaikan dapat merasakan yang perkarangan kampus Universiti Malaya tidak akan indah lagi seindah kebun bunga matahari di Luxambourgh.

Nyata, Jo Ann Pare kental Kristian Protestannya. Aku juga tidak mahu merobek panji keimanan dan akidah hanya kerana cinta. Biarlah cinta itu berkubur. Biarlah cinta antara kami hancur berkecai. Biarlah kasih kami tamat di sini saja. Biarlah aku kecewa, menderita dan lara asalkan kesucian agamaku tidak tercalar.

Selamat tinggal Joanne!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA