Isnin, 15 Mac 2010

ANAKKU KHALID

SMAHADZIR

INI ada sebuah cerita. Ada seorang kanak-kanak lelaki berumur lima atau enam tahun. Dia memakai kemeja putih dan pullover kotak-kotak hijau dengan logo taman kanak-kanak di dada kiri. Di bahunya tersandang sebuah beg merah dan di dadanya tersilang tali botol minuman. Kanak-kanak itu kelihatan comel dan manis sekali.
            Sebaik masuk ke dalam bas, kanak-kanak itu terus menunjukkan hasil kerjanya kepada seorang wanita yang mungkin ibunya. Kerjanya itu merupakan seekor burung yang sedikit kusut dan penyok. Kanak-kanak itu juga menyanyikan sebuah lagu. Katanya lagu baru yang dipelajari di sekolah tadi.

Lihat ini keretaku yang baru,
            Cukup besar untuk ayah dan ibu,
            Beroda empat hasil buatanku,
Kita ke pekan membeli buku.

            Aku yang kebetulan berada tidak jauh dari kanak-kanak tersebut tersenyum mendengar suaranya yang agak sumbang tetapi penuh semangat. Kanak-kanak itu tersenyum padaku, kemudian kembali asyik berbual dengan ibunya dengan berbagai cerita. Sambil itu mulutnya tidak henti-henti mengunyah donat yang barangkali dibelikan ibunya di sebuah warung di hadapan sekolah.
            Ibunya menyahut sesekali dengan anggukan atau gumaman separuh tidak peduli, sementara tangannya mengibaskan lukisan krayon anaknya untuk menghalau panas.
            Aku tidak menyalahkannya. Cuaca siang itu memang panas dan kesendatan jalan membuatkan udara pengap. Melihat bungkusan yang terserak di kakinya, aku yakin dia telah menghabiskan paginya untuk berbelanja keperluan dapur. Tidak hairan dia kelihatan sangat letih, mengantuk namun begitu bersemangat mendengar cerita anaknya di sekolah hari itu.
            Udara yang menyengat tidak mengalihkan perhatianku dari kanak-kanak itu. Kureguk tiap kata dan lagu yang dinyanyikannya seperti pengembara kehausan yang menemui oasis di tengah gurun. Alangkah rindunya aku akan semua itu. Aku tidak ingin membandingkan anakku dengan kanak-kanak comel di dalam bas itu, tetapi mahu tidak mahu Khalid singgah juga ke dalam benakku dan mengganggu keselesaanku.
            Aku masih ingat, setiap kali arwah isteriku membuat pemeriksaan selama mengandungkan Khalid, bidan selalu mengatakan kehamilannya normal dan bayi kami sihat. Kerana itu aku dan arwah isteriku sama sekali tidak dapat menerima hakikat sewaktu doktor memberitahu bahawa Khalid tidak normal. Dia lahir dalam keadaan down syndrome.
            Menyakitkan. Masa hadapan anakku sudah ditentukan oleh doktor hanya beberapa minit selepas kelahirannya. Khalid tidak akan membesar seperti kanak-kanak normal yang lain dan dia tidak akan menjadi orang dewasa normal yang mampu mengurus dirinya sendiri.
            Selain itu doktor juga menemui kelainan pada jantungnya yang harus diperbaiki dengan pembedahan. Ada juga gangguan mata dan tonsil. Hal yang menurut doktor biasa menimpa anak down syndrome.
            Tekanan yang kualami selepas Khalid dilahirkan ditambah dengan kematian isteriku, cukup berat hingga aku harus dirawat agak lama di hospital. Aku sangat tertekan hingga tidak mampu menjaga Khalid. Tugas menjaganya kuserahkan kepada seorang pembantu rumah sehingga aku keluar dari hospital. Doktor memperkenalkan aku dengan seorang doktor wanita pakar rawatan anak down syndrome. Doktor wanita itu memberikan buku-buku dan brosur kepadaku.
            Tetapi, semua yang kubaca semakin membuatkan aku tertekan. Sejak doktor menyatakan bahawa isteriku positif mengandung, aku selalu berdoa dan bermimpi tentang seorang anak yang cerdas dan lincah. Anak yang akan aku bimbing mengenal Allah dan Rasul-Nya. Yang akan aku ajari mengaji dan solat agar dia mampu mendoakan kedua-dua orang tuanya. Dia akan kubawa menikmati keindahan alam semula jadi yang damai agar pandai bersyukur dan memiliki sifat tawaduk kepada Yang Maha Esa.
            Aku akan memperkenalkannya kepada saudara-saudaranya yang yatim dan piatu agar hatinya lembut dan peka. Yang akan mencintai buku-buku seperti aku dan arwah ibunya. Anak yang akan menjadi seorang pejuang di jalan Allah, demi kebangkitan dan kejayaan Islam seperti panglima gagah itu, Khalid bin Walid.
            Kubayangkan jari mungil anakku menyusuri huruf-huruf dalam helaian mushaf al-Quran. Jika lelaki, dia pasti comel dalam jubah coklat dan ketayap mungilnya dan jika perempuan, dia pasti manis dalam jilbab kecilnya yang berbunga dan berenda.
            Rasanya aku bahkan sudah mampu mendengar suaranya yang bening melantunkan ayat-ayat suci itu. Suara terindah yang pernah kudengar. Lalu ke mana mampu kukuburkan rasa kecewaku ketika mendapati Khalid tidak mungkin mewujudkan semua impianku. Aku hanya mampu berdoa siang dan malam memohon kekuatan. Aku bermuhasabah diri, mengingati kembali apa yang telah aku lakukan sehingga Allah menghukumku dengan menganugerahkan aku Khalid.
            Hingga suatu hari kalimat itu menohokku. Anakku adalah amanat-Nya, bukan hukuman, bukan aib. Hanya pinjaman, bukan milikku. Apakah aku berhak menyesal jika pinjaman-Nya ternyata tidak seperti kanak-kanak lain? Aku hanya ditugaskan menjaga dan mengasuhnya dengan cinta, kerana dia dipinjamkan Allah yang rahman dan rahim-Nya tidak pernah surut dari sisiku. Bukan tugasku menilai apakah Khalid layak jadi anakku atau tidak. Selepas itu aku kembali menemui ketenangan.
            Tetapi tidak kurang kesedihan itu kerap benar merasuk hatiku. Sangat menyakitkan. Tiap kali kukeseorangan membawa Khalid bertemu dengan doktor dan melihat ibu dan bapa lain dengan bayi seumur Khalid, aku kembali terbenam dalam kepiluan. Entah untuk Khalid atau untuk diriku sendiri.
            Bulan demi bulan berlalu. Sementara bayi lain mulai tertawa dan mengeluarkan suara-suara lucu, Khalid hanya diam. Dia memandang kosong ke hadapan.
            Tiap hari pembantu rumah dan aku harus bergantian merangsang otaknya dengan mainan warna-warna dan kerincingan yang bingar. Khalid baru menunjukkan reaksi ketika usianya hampir lapan bulan.
            Khalid baru belajar berjalan pada usia dua tahun. Bicaranya tidak pernah selancar kanak-kanak lain dan kosa katanya sangat terbatas. Dia tidak mampu mandi dan berpakaian sendiri hingga usianya hampir sembilan tahun. Dia harus disuapi tiap waktu makan sehingga dia mampu makan sendiri beberapa bulan terakhir ini.
            Yang paling menjengkelkan, sukar sekali membiasakannya buang air di bilik mandi walaupun aku dan pembantu rumah sudah mengajarnya selama lapan tahun dari sepuluh tahun usianya. Mengajar Khalid solat dan mengaji hampir tidak mungkin. Khalid hanya mampu mengikuti gerakan-gerakan solat tanpa mampu menghafal bacaannya.
            Setelah beberapa lama, aku menyedari kekhilafan dan mulai dari awal semula. Mengakrabkan Khalid dengan Allah SWT dan Islam. Sesuatu yang lebih mudah dilakukan dan difahami Khalid.
            “Di belakang rumah ada pohon mempelam!!!” suara lantang kanak-kanak berseragam taman kanak-kanak itu mematikan ngeluyur benakku pada anakku Khalid. Tetapi kali ini aku tidak mampu menikmatinya tanpa merasa iri.
            Iri pada ibu yang tidak menyedari besarnya nikmat Allah yang dimilikinya. Ada kegeraman dan rasa kasihan pada diri sendiri yang tiba-tiba bergolak dan menenggelamkanku. Membuat dadaku sesak dan leherku tercekik. Aku tidak tahu apakah aku harus menyesal atau gembira ketika kanak-kanak itu akhirnya turun bersama ibunya dari bas sekolah.
            Di bangku yang mereka tinggalkan kulihat burung kertas itu terpenyek. Kupungut dan kuperbaiki. Tiba-tiba mataku kabur oleh air mata. Khalid tidak mampu melukis dengan krayon atau membuat origami. Koordinasi tangannya lemah sekali.
           Dalam kepalaku yang yongyat libang-libu, burung kertas itu kuramas menjadi gumpalan. Aku tidak sanggup lagi menahan tangis. Dengan suara tercekat kusuruh pemandu berhenti. Kusodorkan wang tambang dan turun, walaupun rumahku masih jauh.
          Aku duduk di hentian yang sepi. Menarik nafas dalam-dalam dan mengeringkan air mata. Ketika aku menengadah, mataku tertambat pada papan tanda putih di seberang jalan. Sebuah masjid. Ya Allah, inikah teguran-Mu? Aku gesit menyeberang. Segera kuambil wuduk dan solat dua rakaat. Air mataku menitis ketika kubaca ayat kedua belas dari surah Lukman... Syukriminallah....
         Usai mengucap salam aku tercenung. Kekalutan yang sempat menguasai sudah berjaya kukendalikan. Aku merasa kosong, tetapi damai. Lalu satu-satu fragmen kehidupan Khalid mulai kembali ke dalam benakku. Bukan gambaran muram tentang kekurangannya, tetapi keistimewaan-keistimewaan kecil yang mengimbangi dan melengkapi hidupnya.
         Khalid suka sekali pada muzik. Dia sukar menangkap dan menghafal lirik, tetapi kenikmatan yang terlukis di wajahnya ketika mendengar muzik adalah keindahan tersendiri. Dia juga tidak pernah nakal dan usil, selalu mesra dan murah senyum. Dia tidak pernah marah dan merajuk, dan jika dimarahi, cepat kembali ceria.
            Dia sangat menyayangi adik tirinya Aisyah, yang lahir empat tahun lalu. Aku dan isteri baruku bimbang juga takut kalau-kalau Khalid akan cemburu dengan kehadiran adik tirinya itu. Tetapi dia gembira sekali membantu ibu tirinya mengurus Aisyah. Sering kudapati Khalid duduk menatap adik tirinya yang tertidur dengan ekspresi terpesona yang tidak terlukiskan.
            Aisyah normal dan cerdas sekali tetapi dia menerima abang tirinya itu tanpa syarat. Kemesraan di antara kedua-duanya selalu menerbitkan rasa syukur di hatiku. Mengurus Khalid oleh seorang bapa sepertiku memang menuntut kesabaran dan kegigihan tambahan dibandingkan mengasuh anak biasa. Tetapi Khalid memang bukan anak biasa.
            Dia telah mengajarkanku makna mencintai tanpa pasrah yang hakiki. Pada zaman ketika orang memburu segala yang superlatif; tercantik, terpandai, tergesit, anakku tidak akan mampu bersaing. Dia tidak mungkin menjadi teknologi, ekonomi atau da’i tersohor.
            Tetapi apakah itu akan mengurangi cintaku kepadanya? Mengurangi kegembiraan melihat prestasi-prestasi kecilnya yang dianggap remeh dan tidak seperti orang lain yang mampu berpakaian dan makan sendiri? Aku dan ibu tirinya tidak akan memperoleh apa-apa darinya. Kemungkinan besar Khalid akan terus bergantung pada kami. Dan setelah kami sudah tiada lagi, mungkin pada Aisyah.
            Tetapi kami memang tidak lagi mengharapkan apapun darinya. Kami hanya menyayanginya. Kurapati gerbang rumah dan kuserukan salam. Sahutan riang menyambutku. Pintu terkuak. Aisyah menghambur memelukku sementara abangnya tersenyum lebar sambil berjalan goyah di belakangnya.
            “Ayah bawa apa, bawa apa?” tanya Aisyah.
Dia menjerit kegembiraan ketika kukeluarkan sekantung mempelam ranum dari beg plastik belanjaku. Khalid tersenyum. Matanya yang kosong mulai berbinar. Mempelam adalah buah kesukaannya.
            Aku masuk ke kamar untuk berganti baju setelah berpesan pada pembantu rumah supaya mencuci dan mengupaskan mempelam buat anak-anakku. Ketika aku keluar, mereka tidak berada di meja makan. Kupanggil mereka dan kudengar sahutan dari halaman belakang. Di hadapan sangkar besar burung serindit, Aisyah melonjak-lonjak dan tertawa melihat abangnya dengan sabar menghulurkan potongan mempelam melalui jeruji besi.
            “Ayuh hijau! Jangan diam saja! Huh, ambil buah ni!” ujar Aisyah.
            Satu demi satu burung-burung serindit dalam sangkar terbang menyambar potongan mempelam dari tangan Khalid. Aku bertasbih. Mataku pedih. Sudah lama aku mengamati keistimewaan Khalid untuk mencintai dengan keikhlasan yang bersih dari egoisme anak seusianya. Cintanya sangat tulus pada burung-burung kesayanganku, pada ikan hiasan dan ayam serama yang aku pelihara untuk mengajar anak-anak bertanggungjawab.
            Bahkan pada bunga-bunga isteriku di halaman rumah. Dia gembira mengurus semua itu, walaupun tidak pernah mendapat imbalan apapun dari kami. Kelembutannya terhulur bahkan pada kucing-kucing liar yang sering diberinya makan atau anak-anak jiran yang kerap mendapat bahagian dari jatah kuih dan buahnya tanpa menuntut balasan apa-apa.
            Aku memang tidak ada alasan untuk bersedih dan kecewa. Khalid mungkin tidak mampu membaca dan mengaji. Tetapi perasaannya halus dan penuh kasih sayang. Dan aku sangat bersyukur atas kelebihannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA