Isnin, 15 Mac 2010

Di Celah Guguran Angsana

(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Dewan Siswa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan telah diantologikan dalam Di Sini Ada Perjuangan)

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

LEBIH empat tahun sudah Juliana mengepilkan kenangan usam itu di sebalik lipatan kad biru laut yang diterimanya dulu. Peristiwa indah dan lucu lama yang masih tersemat kukuh di ingatannya hingga sekarang. Mesra dan akrab.
“You jatuh cinta dengan cikgu sendiri?” tanya Rosseanne, gadis persis Kate Winslet dalam Titanic kalau tersenyum, kacukan Perancis-Itali, di Institut Hotelier Cesar Ritz, La Bouveret itu seperti kurang percaya.
Dan Juliana, seperti lebih empat tahun yang lalu, hanya tersengih dan mengangkat kening. “Kisah lama, Rosse! Dah tinggal kenangan. Tapi, kalau tidak kerana dia dan tidak kerana kesedaran yang dicurahkan, I tak mungkin berada di tanah Switzerland ni!” jawabnya polos.
Rosseanne tersenyum dan mengangguk. “Kenapa begitu mudah you jatuh cinta dengan seorang guru? Tentu ada kisah tersendiri,” soalnya ingin tahu dan cuba mencungkil cerita lanjut dari Juliana.
Derai ketawa Juliana pantas terhambur.
Rosseanne termangu dan melongo.
“Rosse, waktu itu I too crazy. Well, so stupid kerana salah ertikan kebaikan yang ditunjukkan oleh Cikgu Haikal!” jelas Juliana sambil tersenyum malu.
“Ooooo… wrong mistake identity!” Rosseanne terlunga sekejap. “Tapi, you tentu rasa beruntung dapat cikgu sebaik dia!” suaranya lembut bersama gerimis salji dingin yang terus galak menjujuh dari pundak langit.
Juliana gesit tersenyum. “Mana mungkin I dapat lupakan kemurniaan dan ketulusan hati Cikgu Haikal sepanjang usia remaja I tu!” ujarnya terus terang.
“You tentu tak keberatan ceritakan pada I kisah menarik tu!” Rosseanne seolah-olah merayu cerita lanjut.
Juliana tersengih lagi.
Kedinginan suasana La Bouveret menyelusup ke segenap ruang diri. Mentari semakin pudar di ufuk masyrik, sewaktu kuntum-kuntum bunga honeysuckle bergelentangan ke bumi. Perlahan-lahan kenangan silam itu tersingkap, menyarati kotak memori. Mesra dan intim.
Detik itu, dalam gelodar kemarahan yang terus membengkak, dalam usam pudar wajah Juliana sewaktu dia dan Atikah lebih sejam menunggu. Tatkala itu beberapa orang pelajar lelaki berpusu-pusu masuk ke library. Masing-masing bergaya intelek dengan mengelek buku dan kertas-kertas rujukan lantas menyerbu meja studi. Senyum nakal mereka meleret tatkala mengelih wajah Juliana dan Atikah di situ.
Juliana merenung jam di pergelangan tangan. Sudah hampir pukul empat petang, bermakna setengah jam lagi library akan ditutup.
“Macam ni le janji Melayu!” dia mulai merungut, kesal dan jengkel.
“Mana mereka pergi agaknya ye?” Atikah mencerlus agak rimas juga.
Juliana mengeluh berat dan panjang, mengangkat bahu sambil mengerling beberapa orang pelajar lelaki di hadapannya.
“Rileks la, Juliana!” ujar Atikah cuba memujuk.
“Hah, rileks kata kau?” Juliana hampir separuh menjerit. Serentak itu juga cerlungan mata para pelajar lelaki dan perempuan di meja studi, tunak ke wajahnya. Dalam malu, Atikah cepat-cepat mencuit pinggang Juliana. Namun, gadis periang dan manja itu masih belum puas.
“Dah dekat satu jam setengah kita tunggu di sini, tau tak?” rungut Juliana lagi. “Takkan dari hostel ke library ambil masa terlalu lama sangat?”
“Syyyyiiiii… keep silent!” ujar Atikah sambil jari telunjuknya gesit menjalar ke bibir Juliana dan terus hinggap di situ. Beberapa saat Juliana terkancing. Atikah tersenyum lega.
“Mungkin dia orang ada hal di sana. Tidak pun, ada aral di tengah jalan. Manalah kita tahu!” duga Atikah separuh berbisik, cuba menyejukkan hati Juliana.
Juliana pantas menjuihkan bibirnya panjang-panjang.
Bedebukk!!!.
Tiba-tiba kedengaran satu bunyi dari arah pintu perpustakaan.
Spontan mereka menoleh lalu menancap Era dan Rosnah tergesa-gesa tunduk untuk membantu Ila yang terpeliot jatuh betul-betul di ambang pintu perpustakaan. Buku-buku rujukan yang dikeleknya bertaburan jatuh di lantai. Sejurus kemudian kelihatan terkial-kial pula Rosnah memapah Ila yang mula terhincut-hincut berjalan, sesekali tersiut-siut kesakitan.
Juliana tersenyum jengkel seraya cepu kepala menghimbau datang kata-kata yang difikirkan cukup pedas untuk melampiaskan kemarahan kepada teman-temannya itu nanti.
“Mata kau ke mana hah, sampi kaki tersandung pintu?” mendadak Juliana menjuihkan bibirnya sebaik Rosnah, Era dan Ila tiba di hadapannya. Jengkel amat. Atikah gesit menyiku rusuk Juliana.
“Ubin ni licin. Tapak kasut aku pula dah haus. Alaaa… takkan lambat sikit pun kau nak hot? Lagipun kami tergesa-gesa datang ni pun sebab nak jumpa kau orang berdua la!” polos Ila menjawab. Dia gontai melangut kemudian menyambung. “Sorry la, Juliana! Sebenarnya, kami lambat sebab ada something special tadi!”
“Hah, something special?” Juliana mencemek. “Nonsense, Ila! Kami tunggu macam nak pitam, tahu tak? Don’t try to pulling my leg!” tingkahnya lagi tanpa sabar. Nadanya agak gerah.
Era dan Rosnah gesit berpandangan. Mereka bersahaja tersengih sedang Ila terus duduk bersandar sambil mengurut-urut betis keringnya. Sejenak tersiut-siut. Mendadak pula timbul perasaan kasihan di hati Juliana lalu dengan lembut dia mengajak semua rakan-rakannya itu keluar dari perpustakaan. Sesungguhnya dia tidak mahu para pelajar di situ rasa terganggu dengan perbualan mereka.
“Juliana, tadi kami terserempak dengan orang baru di Dewan Perhimpunan. Naik Honda Vitec, kacak tau!” jelas Era sebaik mereka tiba di pinggir Makmal Kajihayat.
“Eh, iye ke?” Atikah gesit melopong. Mendadak tertarik.
Era jadi terpanggil untuk terus menyambung ceritanya. Seperti biasa gaya bercerita gadis asal Negeri Cik Siti Wan Kembang itu pasti agak kalut. “Orangnya handsome, tinggi lampai macam Tom Cruise, berkumis nipis, senyumnya menggoda, rambut agak lembut macam rambut Leonardo de Caprio dan kami yang tunjukkan dia jalan ke pejabat pengetua!” jelasnya panjang lebar seraya tersengih bangga.
“Elehhhh… pelajar baru agaknya!” duga Atikah menyerkap jarang. “Aku sikit tak hairan pun!” dia menokok sambil mencebek.
“Meleset… kosong markah!” Rosnah pantas mencelah.
“Jangan prejudis, Tikah! Dia ni bukan sembarangan orang, terpikat tau!” balas pula Era. “Aku yakin, kalau kau orang tengok dia, tentu terleleh air liur. Yang aku paling tak tahan ialah senyum dia. Sungguh memikat. Kalah senyum Leonardo de Caprio!”
“Betul kata Era tu!” Rosnah menyokong. “Aku sendiri rasa macam nak menggelepar tengok wajah dia. Tampan dan ada something special pada senyuman dan gaya dia bercakap!”
“Abang pelajar di sini, mungkin?” Atikah masih belum berputus asa meneka. Sekilas dikerling wajah Juliana yang masih mendiamkan diri. Sesekali tersenyum melihat gelagat teman-temannya berceloteh.
“Lagi sekali kosong markah. Tekaan tak tepat!” ujar Era. Dia dan Ila gesit berpandangan sesama sendiri, mengenyit mata lalu tersengih serentak.
“Ha… aku tahu, barangkali nazir sekolah dari kementerian. Betul tak?” teka Atikah lagi. Yakin amat.
Ila dan Rosnah terus tersengih.
“Seratus peratus salah!” jawab Era sejurus kemudian.
“Ahhhhh… malaslah aku nak berteka-teki!” Atikah mulai mengalah. “Lagipun, bukan dapat hadiah. Kalau teka macam dalam Who Want To Be A Milionaire, bestlah juga! Betul tak?”
“Cakap sajalah… siapa dia!” suara Juliana mencerlus tiba-tiba, separuh mendesak. Tidak sanggup lagi mendengar teman-temannya mendera Atikah. Wajahnya jelas serius. Dia juga sebenarnya ingin tahu, namun selama ini membiarkan saja Atikah menangani keadaan.
“Okey, diam semua!!!” Rosnah akhirnya memburai segala persoalan. “Sebenarnya, dialah tenaga pengajar kita yang baru!” dengan bangga dia menokok. Era dan Ila terus tersengih.
“Eh, iiiya ke ni?” balas Atikah semacam terlunga.
Rosnah, Era dan Ila mengangguk-angguk hampir serentak.
“And don’t be crazy! Dialah guru Fizik Moden kita yang baru!” jelas Ila sambil tersenyum riang.
Kali ini Juliana sungguh tidak dapat menyembunyikan rasa gembiranya yang men-dadak bertamu. Lebih-lebih lagi Atikah. Mereka berdua tersenyum lebar.
Detik terus berjalan dan dalam ceria petang itu, sinar mentari pun lenyaplah di sebalik tabir senja sewaktu mereka pulang ke blok asrama masing-masing untuk bersolat Maghrib, makan dan telaah malam.

* * *

Kehadiran Cikgu Haikal dirai ringkas dalam satu perjumpaan mesra di Dewan Perhimpunan. Menurut tuan pengetua yang menyampaikan ucapan keraian, Cikgu Haikal adalah seorang guru lepasan University of Oregon, USA dan kali pertama akan mengajar di sekolah Menengah Sultan Abdul Halim ini, menggantikan Cikgu Fuzzane yang baru bercuti tanpa gaji kerana mengikut suaminya bertugas sebagai atase negara di luar negeri.
Era dan Rosnah saling bertukar senyum. Ada peluang baik, fikir kedua-dua gadis pelajar tingkatan lima itu.
“Hei, Juliana! Kau nampak rileks saja! You feel nothing special ke?” tanya Atikah cuba mengumpan. Rakan sekamar dan sekelas dengan Juliana itu buar tersengih. Menampakkan baris-baris giginya yang melepak. Sememangnya, gadis kelahiran Pulau Mutiara ini lebih karib dengan Juliana, sementelahan Era, Ila dan Rosnah terpisah dari mereka berdua lantaran mengikut blok asrama masing-masing.
“Habis tu, kau nak suruh aku buat apa? Pergi peluk dan cium Cikgu Haikal tu atas pentas depan khalayak ramai? Begitu yang kau mahu?” balas Juliana bersahaja namun bibir nipis mengorak senyum senang.
Atikah tidak sempat membalas bila Juliana sudah tegak mematung sambil biji mata leka terbeliak mendengar cikgu muda itu memperkenalkan dirinya. Suara yang lembut merdu itu sahaja sudah cukup untuk meluruhkan tangkai jantung ditambah pula dengan jernih tenang figuranya yang sentiasa tersenyum semanis madu bersari. Hati siapalah yang tidak terpana, desis hati Juliana sendiri. Menggelodar sungguh.
“Oh, Fizik Moden! My favourite subject! Hmmmm… macam tak sabar nak ke kelas!” ujar Atikah sambil tersenyum gatal dan mengerling Juliana di sisi.
“Hei Tikah! Kenapa miang sangat ni?” Juliana membeliakkan biji matanya luas-luas, menyapa seluruh juzuk muka Atikah yang masih galak tersengih.
Fizik Moden?
Entah kenapa, setiap kali subjek itu disebut di depan Juliana, hatinya pantas berdebar. Mayanya bagai melayang. Terutama bila teringatkan bekas gurunya iaitu Cikgu Fuzzanne yang selalu serius dan masam mencuka itu. Suaranya yang serak bagaikan itik serati musim kemarau itu masih terasa geman ngiangnya di copeng telinga Juliana.
Ya, bagaimana dia dapat melupakan. Cikgu Fuzzanne itulah yang selalu menegurnya di dalam kelas dengan wajah yang tidak pernah manis.
“Juliana, kamu dah hafal formula Daya Momentum?”
“Juliana, kamu dah baca Hukum Graviti Alam Newton?”
“Juliana, kamu dah baca tentang bagaimana Newton mendapat formula bila buah epal di ladangnya gugur?”
“Juliana, jangan lupa banyakkan membuat rujukan tentang kuasa Elektromegnet, Aruhan dan Daya Aruhan.”
“Juliana, kamu terlalu lemah dan banyakkan latihan amali.”
“Juliana…”
“Juliana…”
Sesungguhnya, namanya memang tidak pernah kering dari bibir Cikgu Fuzzanne. Juliana, Juliana dan Juliana! Justeru, per-kataan Fizik Moden yang begitu menghenyak itulah yang menggari kelu lidah Juliana, membuatkan resah bergemirap yang kadang-kadang datang tidak menentu di benaknya. Jelmanya bagai gerutup geguntur musim tengkujuh.
Memang benar, Juliana akui. Keputusan yang diperolehi lewat peperiksaan bulan Januari dan Februari yang lalu tidak begitu membanggakan. Graf kemajuan dalam mata pelajaran Fizik Moden terutamanya sering saja rendah dari yang sepatutnya.
Biarpun apa juga hipotisis yang cuba dibuat, sememangnya markah yang diperolehi dalam subjek tersebut, hasil dari ketekunan memeras otak fikir di dalam kelas juga di library, lebih banyak yang rendah dari paras yang sudah ditetapkan untuk pelajar aliran sains sepertinya. Sungguh meresahkan.
“Aku yakin, Cikgu Haikal dapat membantu kau, Juliana!” Atikah bersuara. Lunak ke pendengarannya.
Juliana pantas tersentak. Atikah pakar psikologi? tepat menelah buah gelora yang cagun di hatiku? Atau akukah yang berfikiran cetek? Terlalu pantas menaruh prasangka melulu tanpa berminda secara rasional? Berjurus-jurus lamanya Juliana merenung mata bulat hitam Atikah. Gadis rakan akrab itu sekadar mengesip biji mata.
“Kau pasti ke Cikgu Haikal boleh bantu aku dalam Fizik Moden?” suara Juliana mencerlus sewaktu majlis keraian itu bersurai. Tatkala itu mereka dan rakan-rakan yang lain bersaing ke blok kelas. Kaki Juliana tetap melangkah sedang lirik matanya miang mencerlung ke wajah Cikgu Haikal yang sedang dikerumuni pelajar yang sibuk bertanya khabar. Cikgu muda itu tetap tidak hilang dari tanjapan sorot matanya sehinggalah mereka berdua tiba di pintu kelas.
Juliana sedar, ada debar yang meng-gelodar terpancar buar dari lubuk hatinya. Di manakah pendirianku saat ini? Kata-kata Atikah tadi mungkin ada betulnya. Aku harus berbuat sesuatu, bertindak serasional mungkin. Hatinya membisik lagi. Dalam debar, dalam mengharap, bagaikan terasa kecemerlangan dalam subjek Fizik Moden akan kembali memberangsangkan.

* * *

Kali pertama cikgu muda itu menjejakkan kaki ke kelas Tingkatan Lima Sains Dua, berpuluh-puluh pasang mata terpaku kepadanya. Rambutnya bersikat kemas dengan gaya potongan fesyen baru, berkemeja warna kelabu berkilat dan bertambah-tambah tampan apabila dasil kecil bercorak bunga genggang tergantung di leher. Penampilannya cukup optimis lebih-lebih lagi tatkala dia melihat buku teks Fizik Moden yang tebal, dibelek dengan sentuhan gerak jari yang penuh kelembutan dan berseni. Juliana bergemirap dada, tidak berkejip biji mata, tunak mencerlung.
Pertemuan pertama mereka dengan cikgu muda itu dihabiskan dengan sesi perkenalan dan sedikit mukadimah mengenai corak pembelajaran di bawah pengawasannya. Cikgu Haikal mundar mandir di hadapan kelas, menceritakan perjalanan hidup dengan gaya yang membuatkan Juliana diterkam pesona. Dada bergemirap kencang dan tidak keruan.
“Wau, orang Johor Bharu! Masih teruna trang-tang-tang!” tekan Shida yang duduk di penjuru hadapan kelas. Roha gesit tersenyum penuh makna. Rudi dan Azman sekadar berpandangan sesama sendiri. Bibir mereka menjuih dan bergerak-gerak.
Juliana, jumpa saya di bilik guru!” arah Cikgu Haikal pada suatu pagi yang cerah sewaktu langit bulan April disiram merah cahaya mentari.
Terkesima Juliana. Era dan Ila mula berdehem-dehem. Rosnah terbatuk-batuk kecil. Sedang Atikah terangkat keningnya. Rakan-rakan kelas yang lain saling pandang memandang. Juliana jadi kalut dan rusuh jiwa tidak menentu. Apa salahku? Apa yang telah aku lakukan? Mengapa raut wajah Cikgu Haikal serius sahaja? Adakah… errr… adakah…
“Assalamualaikum, cikgu!” sapa Juliana sebaik sahaja tiba di pintu masuk bilik guru. Tatkala itu Cikgu Haikal bersendirian. Guru-guru yang lain sudah pulang.
Cikgu muda itu tersenyum sebaik saja menjawab salam Juliana. Tampan! Potential heart breaker!
Dup! Dap! Dup! Dap! Seolah-olah mahu gugur tangkai jantung Juliana ketika itu. Sungguh menggerutup, menggelepar isi dada.
“Oh ya, Juliana! Saya telah dimak-lumkan, awak ada masalah dengan subjek saya. Betul tak?” tanya Cikgu Haikal sewaktu Juliana melabuhkan punggung di hadapannya.
“Errr… aaa…,” tergagap-gagap suara Juliana menjawab dengan dadanya masih bergemirap kencang. Hati menggelodar sakan.
“Markah awak bulan lepas amat mengecewakan saya. Sederhana untuk seorang pelajar aliran sains seperti awak. Tahapnya boleh dikatakan lemah. Errr, sebelum ini pun, markah awak agak merosot pada bulan Januari dan Februari, kan?” suara Cikgu Haikal lunak bagaikan menagih kepastian dari Juliana.
Juliana tunduk. Rasa malu menerkam menggulat dada.
“Awak ada apa-apa problem?” tanya Cikgu Haikal lagi ingin tahu. “Errr, mungkin subjek Fizik Moden yang saya ajar menjemu atau membosankan kamu?”
“Errr, bukan begitu, cikgu!” Juliana cubaa membetulkan salah faham Cikgu Haikal. “Sebenarnya, saya dah cuba sedaya upaya untuk memahami setiap perkataan dan formula dalam subjek tu. Banyak rujukan saya buat tapi… tapi… tapi…”
“Hmmmm… begini sajalah Juliana!” pintas Cikgu Haikal agak perlahan. Dia gesit merenung gadis pelajar di depannya dalam-dalam. “Errr, apa kata kalau awak datang ke bilik saya untuk berbincang beberapa tajuk yang awak tak berapa faham. Saya sentiasa ada di sini, tapi hari Ahad saja. Boleh?” pelawanya dengan jujur dan mesra.
Terjegil biji mata Juliana memandang tunak wajah Cikgu Haikal. Ini sudah bagus! Pucuk dicita ulam mendatang, bisik hatinya. “Betul… err… betul ke ni, cikgu?” soalnya tiba-tiba pula bagaikan kurang yakin dengan apa yang diujarkan oleh cikgu muda itu.
“Ya! Saya sedia membantu awak. SPM awak cuma tinggal lapan bulan saja lagi. Bahaya tu!” Cikgu Haikal menyedarkan Juliana.
“Sungguh-sungguh cikgu nak…”
“Sungggggguuuuuhhhhhhhh… awak datanglah!” tegas cikgu muda itu sepolos-polosnya.
Yahoooo!!!! Atikah memang bijak, telahannya tepat. Terasa awan gemawan di pundak langit tersenyum girang ke arahnya, sewaktu dia berjalan pulang ke Asrama Seroja meredah panas terik bulan April itu.
Sejak itu, Juliana sering memberanikan diri bertamu ke bilik Cikgu Haikal. Buku rujukan Fizik Moden kerap dikepit ke sana ke mari, menyedari betapa dia begitu bersemangat untuk mengembalikan kepercayaan Cikgu Haikal dan keyakinan serta kemampuannya sendiri.
Cikgu Haikal, seorang pendidik yang tulus hati nuraninya. Ilmu di dada, luas dan sarat. Apa salahnya akalu aku berbaik-baik dengannya, fikir Juliana waras sejenak.
Tetapi, sejak itu juga dia merasakan ada satu perasaan aneh yang maha syahdu telah meresap ke dalam diri setiap kali panahan menggoda sinar mata Cikgu Haikal menikam lembut ke ruang matanya. Aduh! Gilakah aku? Juliana tersenyum sendiri.
“Hei, you’re really mad, Juliana!” jerit Atikah tatkala berita itu sampai ke telinganya.
Juliana hanya tersengih.
“Kau… kau… kau… ishhh, malunya aku nak sebut! Kau dah angau dengan cikgu kita tu?” Atikah terus menepuk dahinya berkali-kali bagaikan bermimpi dengan berita tersebut.
Juliana tersengih lagi.
Atikah mula tidak senang duduk. Dia bangun, bergentayangan di hadapan Juliana sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Rozi yang sedang leka menyangkung sambil melipat kain-kain dari jemuran petang tadi turut mendadak menoleh. Menggeleng-geleng kesal.
“Apa? Asmaradana dengan Cikgu Haikal?” balas Shida. Dia dan Nina segera menerpa ke arah Juliana. Sejurus kemudian Tipah dengan muka yang masih berselopiang dengan bedak sejuk tak ubah mumia Firaun, turut menerkam ke arah Juliana.
“Oi Juliana! Kau ni biar betul-betul sikit. Mati hidup balik pun aku tak percaya, tau tak?” Tipah bagaikan kurang percaya. Gadis Jelapang Padi itu menggeleng dan mendecit-decit kemudiannya.
“Love between students, lainlah!” tokok Rozi.
“Something like Titanic!” Tipah menyambung seraya menghambur ketawa sinis ke arah Juliana. “Tak sangka, di sekolah kita dah ada klon Kate Winslet dan Leonardo de Caprio!”
Juliana tetap bersahaja.
“Jangan jadi Romeo dan Juliet sudahlah!” ujar Atikah. “Aku takut nanti pengetua dapat tahu, malu dibuatnya!”
“Kenapa? Salahkah aku nak bercinta dengan Cikgu Haikal?” soal Juliana bersa-haja. “Bukankah rasa cinta itu ciptaan Tuhan untuk makhluknya yang bernama manusia?”
“Tak dak siapa kata salah ehhhh!” balas Tipah sambil mencebek dan mengangkat bahu. “Asalkan kau bahagia, dahlah! Aku tak mahu masuk campur!”
Dalam sekelip mata saja, berita Juliana bercinta dengan Cikgu Haikal tersebar luas dan gah ke seluruh Asrama Seroja. Juliana tetap tidak ambil peduli malah lebih suka dan rasa bagai diapung bahagia ditambah pula dengan reaksi bersahaja Cikgu Haikal setiap kali mereka bertemu di biliknya. Ternyata guru muda itu tidak mudah melatah dengan gosip-gosip liar yang acap muncul dan heboh mengasak gegendang telinganya.
Lapan bulan lamanya Juliana mengumpul aroma cinta manis buat guru Fizik Moden itu dan dalam diam-diam itu jugalah dia menghurai harum rindu mengapung ke seluruh mandala jagat raya.
Alangkah bahagianya!
Betapa indahnya saat itu dan ia berpanjangan sehinggalah Juliana kembali ke sekolah semula untuk menghadiri hari penyampaian hadiah dan majlis perpisahan. Dapatkah kau rasakan kegembiraanku ini, cikgu?
“Juliana, tahniah kerana tawaran ke Switzerland!” ujar Atikah.
“Kau juga, tahniah! Sebab dapat masuk Universiti Multimedia!” balas Juliana. Sejurus kemudian dia dan Atikah mesra berpelukan. Jelas keriangan murup terbayang di wajah dua sahabat karib itu.
“Juliana, aku dan Ila pun nak ucap tahniah pada kau!” Era separuh menjerit sambil gesit menjulurkan tangannya ke arah Juliana. Serentak menangis kegembiraan di bahunya.
“Tahniah semua!! Pelajar Tingkatan Lima Sains Dua tahun ini, dah mencipta sejarah dan rekod kejayaan paling terbaik!” ujar Cikgu Haikal sewaktu melintas di depan Dewan Perhimpunan.
Juliana tersenyum lebar.
“Errr, Juliana! Jangan seronok sangat. Tadi, Cikgu Haikal ada berikan kita orang kad!” ujar Atikah sambil menghulurkan sekeping sampul surat putih untuk Juliana.
Juliana hampir terloncat. Tentu kad ucapan tahniah, bisik hatinya. Bucu sampul pantas disiat rakus. Dub! Dab! Dub! Dab! Jantungnya bergetar kencang. Kad berwarna biru laut itu ditarik keluar, cepat dibaca sebelum senyum yang merona manis di bibir merah delima merkahnya bertukar dengan ledakan jantung yang amat memedihkan.
“Haikal!” suara Juliana mendadak tercerlus lirih sambil air mata pantas menitis sayu.
“Maafkan aku, Juliana!” suara Atikah perlahan dan mendatar.
Juliana tertunduk sayu. Sebak dadanya bukan kepalang.
“Sebenarnya, kami dah lama tahu tentang Cikgu Haikal yang akan melang-sungkan perkahwinannya. Tapi, kami tak tergamak nak beritahu kau!” jelas Atikah lagi berterus terang.
Gulungan sijil dan kad biru laut itu ditampar angin lalu jatuh melayang. Juliana terkedu, sedang air matanya semakin menjujuh lebat membasahi pipi. Apalah ertinya semua ini, Haikal! Apalah ertinya kejayaan cemerlang yang aku perolehi ini?
Aduh, serasa Switzerland terlalu getir untukku tandangi. Alangkah indahnya jika cinta yang kita bina kubawa bersama ke bumi asing itu. Biar aku taburkan di butir-butir salji yang turunnya selalu menyerong ke bumi. Betapa indahnya bunga-bunga honeysukle mekar berkembang persis cinta yang telah kita ciptakan. Tapi, segalanya laksana abu berterbangan musim kemarau.
Juliana merenung jauh ke arah rumpun-rumpun bunga kertas yang sedang menari meliuk lentuk dipuput bayu. Lenggoknya begitu terasa menghenyak dada dan jiwa.
“Jangan menangis, Juliana!” bisik Cikgu Haikal sewaktu mendekati Juliana di bawah perdu angsana yang merimbun di pinggir Dewan Perhimpunan.
“Cikgu Haikal penipu! Kejam! Hipokrit!” Juliana hampir mahu menjerit namun disabarkan hati. Sebak yang menggulat di dada, seolah-olah mahu menghentikan degup jantung. Maya bagai mahu melenyap.
“Saya tidak seperti yang awak katakan. Kasih sayang saya terhadap awak tidak lebih dari kasih sayang seorang pendidik dengan anak didiknya. Tidak pernah lebih dari batasan itu!” jelas cikgu Haikal menegakkan hakikat diri dan profesyennya.
Cepu kepala Juliana bagai dipalu kayu beluti. Aduh… malu!!! Akukah yang tolol, tidak tahu menilai perasaan orang atau Cikgu Haikalkah yang bodoh, tidak dapat menilai rasa cinta yang berakar umbi di lubuk hatiku, seperti yang aku alami detik ini? Awan gemawan di pundak langit serasa bergumpal dan bergomol kasar. Bergerawan menutup cerah jagat.
“Saya hargai kasih sayang yang awak curahkan kepada saya, Juliana!” ujar Cikgu Haikal lalu melabuhkan punggungnya di sisi gadis tersebut.
Juliana bungkam namun air mata tetap galak menjujuh. Sesekali diseka dengan lengan baju kurungnya.
“Saya terharu, tapi ingatlah, awak masih mentah, Juliana! Masih setahun jagung, masih hijau. Belum masanya lagi awak terjerumus ke dalam kancah percintaan. Masa awak sekarang ialah mengejar ilmu pengetahuan sebanyak mungkin. Garapkan segala ilmu yang berguna untuk masa depan ke dalam dada. Lupakan dulu soal-soal cinta yang merugikan itu. Tilik kepentingan ilmu dan masa depan. Saya yakin, awak akan berjaya di negeri orang. Saya selalu mendoakan kejayaan awak di Switzerland nanti!” pujuk Cikgu Haikal lagi.
Air mata Juliana kian lebat menghujan. Sekuntum bunga angsana kuning perang melayah dari tangkainya, singgah ke muka Juliana. Dia merenung Cikgu Haikal dengan cerlungan kabur kerana ditabiri air bening dari kelopak mata.
“Betul cikgu doakan saya?” soalnya sejurus kemudian dengan suara lirih seraya gontai menyeka air mata.
“Ya, Juliana! Saya selalu mendoakan kejayaan awak walau di mana awak berada!” balas Cikgu Haikal penuh keikhlasan. “Saya mahu awak berjaya menggenggam segulung ijazah bila pulang dari Switzerland ke tanah air nanti. Sebagai seorang guru, sayalah orang yang paling gembira bila pelajar asuhan saya cemerlang!”
Juliana tunduk dan mulai menunaskan senyum di bibir.
“Saya yakin, di Switzerland nanti awak akan sedar dan mengakui hakikat kata-kata saya. Percayalah, kejayaan tak akan tercapai tanpa usaha yang gigih. Buang segala yang merosakkan perasaan, Insya-Allah, awak akan berjaya!”
Bunga-bunga angsana yang kuning perang itu semakin banyak melayang ditiup angin. Satu-satu jatuh bergelentangan mengelilingi mereka.
“Saya sungguh-sungguh rasa bangga mendapat seorang pelajar yang cekal dan gigih seperti awak. Kuatkan azam dan iltizam menempuh kejayaan hari muka. Saya tak mahu awak rosakkan masa depan awak hanya kerana khayalan cinta!” lunak bicara Cikgu Haikal menyelusup ke seluruh juzuk tubuh Juliana.
Untuk kesekian kalinya, kilas pandangan ayu matanya menangkap sinar kasih sayang seorang guru yang terukir polos dan mesra di ruang mata Cikgu Haikal.
“Sebagai seorang pendidik, saya akan sentiasa mengingati awak. Ingatlah Juliana! Zaman remaja ibarat sekuntum bunga yang sedang berkembang mekar. Gunakanlah masa mekar itu dengan sebaik-baik cara!” ujar Cikgu Haikal lagi cuba menyedarkan anak muridnya itu.
“Cikgu…”
“Tuntutlah ilmu walau sampai ke Negeri China!”
“Cikgu…”
“Pergilah, Juliana! Merantau juga satu proses pembelajaran, mengenal tempat orang, budaya orang, selebihnya menyedari hakikat kejadian diri. Penuhi dada awak dengan ilmu demi masa depan yang lebih gemilang. Pergilah… doa saya sentiasa mengiringi awak!”
Juliana menarik nafas panjang, serentak melepaskannya perlahan-lahan.
“Benar kata Cikgu Haikal itu: Mandala ilmu terlalu luas. Tidak pernah jadi sempit untuk gadis remaja seperti I. Dan I datang ke Switzerland ini sewaktu bunga-bunga angsana yang mengelopak seri luruh satu persatu setelah mercup mekar di celah rimbunan daun-daun hijau mudanya!” ujar Juliana sambil tersenyum penuh kesedaran.
Gerimis salji di La Bouveret semakin lebat. Sinar mentari pudarnya sudah lama hilang diufuk timur. Juliana mengeluh puas.
“That’s my true story, Rosse! Everythings that because of him!” ujar Juliana mengakhiri kisah silamnya.
Rosseanne sekadar mengangguk-angguk. Salji terus bertangkai jujai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA