Isnin, 15 Mac 2010

Monumen Tepian Daik

(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Dewan Masyarakat terbitan Karangkraf Sdn Bhd dan telah diantologikan dalam Perjuangan Yang Belum Selesai)

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

DI MANA monumen tepian daik itu? Di mana jagat cadai itu? Di mana?
Aku kembali mencari monumen itu di Kampung Kuala Jeneri ini. Kepulangan setelah lebih tiga puluh sembilan tahu meninggalkan monumen yang pernah dicegatkan di tepian daik suatu ketika dulu, lebih tiga puluh sembilan tahun yang lalu.
Kini berselerak di celah gulang-gulang, petak-petak bendang, denai-denai sempit di kebun-kebun kelapa, ban-ban besar antara parit juga di arus deras sungai berbatu.
Di sini, lebih tiga puluh sembilan tahun yang lalu kami pernah dipeluk dingin mencokot tulang temulang, menurap keriangan bermain hagur batu dan celempung air tanpa peduli bingar gelicau gatalbirah di dahan ara lempung apalagi pergolakan yang berlaku di sekeliling.
Aku cuba mengumpul semula serpihan-serpihan monumen yang bertaburan itu untuk ditegakkan kembali di tepian daik persis dulu kendati sengoti menyelak hutan-hutan batu yang berceracak. Betapa ghobar....
Di mana monumen-monumen itu sekarang? Di mana jagat cadai itu kini?
Lebih tiga puluh sembilan tahun yang lalu, di Kampung Kuala Jeneri ini, pernah aku dirikan sebuah dangau kecil tepian daik pesisir bendang sesapan, bawah teduhan keriang dot rimbun yang atapnya pelepah kering nyiur gading. Sebiji tempurung kelapa jantan yang aku gosok sagat setiap malam sebelum tidur dengan daun mempelas yang kebiasaannya aku ambil selepas mandi petang di belakang rumah dari rumpunan mempelas tembun pinggiran telaga, tak pernah lekang ke mana saja.
Tempurung jantan itu aku jadikan gelok buat simpan air telaga. Air itu untuk sajian kepada tetamu yang datang ke dangau kecilku. Alangkah seronok dan indahnya waktu itu. Aku masih ingat pada Ani - rakan cadai bertahi lalat gabai tercatuk di hujung bibir, rambutnya panjang mengurai sampai ke pinggang, nyalar senyum bercawak manis, calak manja dan dialah yang sering menjadi pasanganku di atas pelamin olok-olok.
Tidak ada sepatah perkataan pun yang menerjah keluar dari mulut Ani kalau kami disandingkan. Nyalarnya majlis persandingan itu dibuat di pinggir dangau, mengarah ke bendang, ketika para petani getol menuai. Panen yang indah dengan alunan merdu serunai batang padi disisip gelicau tiak, cicip jerijit - sungguh mengesankan garisah.
Ketika itu kami semuanya seia sekata. Aku masih belum melupakan, Topa, Udin, Sopi, Maung, Seman, Latip, Ijah, Mail, Umi dan Peah - semuanya mengangguk setuju dengan persandingan kami sambil menutup mulut dengan telapak tangan masing-masing, seakan-akan mahu ketawa kegelian. Masing-masing akur tidak ada pasangan lain yang lebih cocok dan sepadan selain dari kami berdua. Aku dan Ani.
Di sinilah, di tepian daik pesisir bendang inilah dan di Kampung Kuala Jeneri inilah, Topa, Udin, Latip, Sopi, Maun, Mail, Seman, Ijah, Umi dan Peah bercadai galak dan bersenandung lagu Oh Bulan Mana Bintang sambil ketawa terkekeh-kekeh melihat aku bersanding pada pagi itu, sewaktu matahari mencanak sepenggalah, selepas menyerok pagi, nyalarnya ubi kayu rebus cicah gula kabung di rumah masing-masing.
Persandingan olok-olok itu adalah sebuah monumen kisah silam, sejarah purba kami yang tak mungkin akan terulang lagi. Era amat jauh membezakan, jarak terlalu lebar meninggalkan. Serasa-rasa bagai sebuah jagat kontradiksi yang kekadangnya meyongyatkan.
Sungguh, sungguh indah waktu itu. Selepas lebih tiga puluh sembilan tahun berlalu, aku kembali semula ke tepian daik ini untuk melihat bekas tapak kaki yang pernah kami redah dahulu. Mengirap mesra ke benak, belum pamit bagaimana dangau kendati sempit kecil dan centang perenang binaannya, tetapi itulah mahligai indah buat kami bercadai setiap pagi, setiap petang tanpa peduli perjalanan waktu.
Kami keriangan di celah-celah silir, kami ketawa di bawah simbahan mentari dan kami akan terus-terusan riang dan ketawa terapung-apung ke langit biru lalu menghilang dipeluk gumpalan awan gemawan putih serlah. Alangkah, alangkah indahnya waktu itu, amat sukar untuk dinyahkan dari hati.
Lebih tiga puluh sembilan tahun yang lalu, pada hari ini dan di tepian daik pesisir bendang ini, aku dan Ani pernah disandingkan. Walaupun tanpa bunga manggar, bunga telor, paluan kompang atau laungan hadrah, ucap mulus selawat untuk Junjungan buat diambil berkatnya, namun majlis itu tetap juga berlangsung dengan persetujuan aku dan Ani.
Seman akan menepuk-nepuk perut boyotnya, berirama gendang raya atau merdangga mengiringi langkah silat pulut dan bunga Latip dan Sopi. Maun akan membulat-bulat bibir mulutnya, mendesah angin menghibur lagu serunai pahlawan menggegar gelanggang. Satu kenangan daripada seluruh peristiwa, manis, indah dan menyeronokkan. Gerbaknya bagai kenanga dan seroja pinggiran bendang.
Aduhai… alangkah meriahnya majlis persandingan olok-olok itu. Walaupun nasinya hanya tanah kering dari bendang yang dikecai-kecai, lauknya dedaun cekur dan senduduk bauran ranting-ranting halban, sirapnya air telaga bening, namun itulah keseronokan dan kemeriahan majlis itu.
Mata Ani akan kuyu terkesip-kesip, mungkin kerana seronok bersanding. Mungkin juga kerana dihubub pawana dari jihat tengah bendang yang sesekali garang menerjang. Tetapi yang nyatanya, kuyu itu bukan sengaja dibuat-buat, cagun spontan sarat riang, kuyu penuh keikhlasan.
Keriangan yang murup mengapung dalam senyum tawa Topa, Udin, Mail, Latip, Sopi, Maun, Seman, Ijah, Umi dan juga Peah. Semuanya terleleh air liur kerana asyik ketawa terkekeh-kekeh. Topa getol mengernyehkan giginya yang kuning rongak berkarat, Ijah cabuh mengerisin kerana sumbingnya gagal dikawal, Maun nyalar menggenyeh-genyeh hidungnya yang buar berhingus acap benar meleleh masuk ke mulut.
Sementara Seman galak pula merais menggodek-godek lubang hidung, kemudian dicecap dengan hujung lidah. Sesekali tersengeh. Lepas itu semuanya akan menyanyi lagu Oh Bulan Mana Bintang, meraikan acara persandingan olok-olok aku dengan Ani.
Waktunya lebih tiga puluh sembilan tahun yang lalu, pada hari ini, di tepian daik pinggiran bendang ini, di Kampung Kuala Jeneri ini. Belum menggelongsor luput lagi semua itu dari ingatan.
Jagat cadai kami meruah asyik dan buar menyeronokkan. Sarat melimpah dengan gelak mencabuh dan gerapak nyanyian. Jagat cadai kami adalah jagat gelicau tawa yang luas, panjang, murup riang dan menggelinyau senang.
Berkali-kali aku cuba untuk menggapai semula keriangan jagat cadai itu tetapi jarak perjalanannya terlalu jauh untuk disentuh, muhal untuk ditawan semula. Ianya sudah melepasi jangkauan fitrah. Tidak berupaya aku lantaran lebih tiga puluh sembilan tahun terpisah dan terpinggir.
Di mana mereka sekarang? Di mana mereka selepas lebih tiga puluh sembilan tahun meninggalkan jagat cadai kami? Di mana Ani, di mana Topa, di mana Udin, Latip, Sopi, Maun, Mail, Seman, Ijah, Umi dan di mana Peah?
Apakah mereka juga sudah meninggalkan Kampung Kuala Jeneri ini kerana mengikut arus perubahan zaman? Apakah mereka semua tidak akan kembali lagi memeriahkan semula jagat cadai kami seperti lebih tiga puluh sembilan tahun yang lalu?
Sesungguhnya, keriangan kami sewaktu kecil-kecil dulu, lebih tiga puluh sembilan tahun dulu, acap cagun mengiang, figura rakan-rakan itu nyalar mengirap, kemesraan dan keakraban kami bagaikan sari gemuyu bolong yang manisnya masih melepa erat di rongga tekakku ini.
Sukar sekali mahu disisihkan, mahu dinyahkan dari diri kendati masa sudah berlalu lebih tiga puluh sembilan tahun.
Tetapi, daripada seluruh keriangan, kegembiraan, gerapak tawa dan nyanyian mesra itu, akulah anak Kampung Kuala Jeneri ini yang nyalar digulat sengsara. Dihenyak fatamorgana. Dijerba pelbagai derita. Menjadi gelandangan melarat di bumi asing.
Aku sebenarnya rengsa terkujur dalam hidup tersendiri, terasing dari kebenaran hakiki kerana cuba melarikan diri daripada lajur suratan dan takdir. Aku juga persis lupa mewa bahawa jodoh, pertemuan, perpisahan, rezeki dan ajal maut semuanya dalam kehendak masyi’atullah dan fitratullah.
Aku telah terlempar ke satu dimensi jauh dari hakikat kebenaran hidup lalu menggelincir jatuh ke gaung nihil dengan imamat. Aku nyalar menyalahkan takdir, tidak meyakininya lantas memberang tanpa sedar hakikat kejadian sunnan al-khaun.
Aku muflis akhlakul karimah. Hidupku tersasar jauh dari tauhid uluhiyyah. Namun muhasabah lekas membawa aku ke jagat kebenaran dan aku mulai mengagungi keagungan purbawisewa.
Kini aku mengharapkan hidup ini akan teranyam dalam satu jalinan indah sepanjang detik. Kalau boleh hingga akhir hayat. Murad sejak aku meninggalkan bumi asing itu dan kembali ke sini, ke Kampung Kuala Jeneri ini selepas lebih tiga puluh sembilan tahun.
Di sini aku telah menemui segalanya yang karar, hakiki, zat-Nya, keesaan-Nya. Namun, kala aku mencari monumen tepian daik, jagat cadai kami lebih tiga puluh sembilan tahun dulu, segalanya kejur, merengap dalam remang langking hari dan muhal sekali untuk dijejak.
Semuanya sudah menghilang, semuanya telah melenyap dan semuanya khali tanpa suara. Yang tinggal kini hanyalah murup hampa dan buar rindu membara. Tersuar tinggi melangit. Tidak lagi aku mengharapkan urna riang manis ini berulang, selain lebih tiga puluh sembilan tahun yang lalu, di sini dan di Kampung Kuala Jeneri ini.
Detik manis indah itu nyata begitu jauh meninggalkan aku, meninggalkan Maun, meninggalkan Topa, meninggalkan Udin, Mail, Seman, Peah, Latip, Sopi, Ijah, Umi dan meninggalkan Ani malah sewaktu aku memijakkan kaki semula ke kampung ini selepas lebih tiga puluh sembilan tahun kemudiannya, semuanya bungkam, sebam, udam, pudar, ilam bagaikan punggur puhu tepian bendang. Tiada lagi urna bianglala persis dulu yang nyalar melengkung di ufuk langit.
Sesekali terasa bagaikan semalam aku meninggalkan segala jagat cadai indah itu. Aku dijerba rindu menggelodar, keinginan kembali ke jagat itu semula amat menggelecak. Amat riang sekali kiranya dapat bercadai kembali di dalam dangau centang perenang tepian daik pesisir bendang.
Aku disergap gelecak rindu untuk bersenandung semula lagu Oh Bulan Mana Bintang, dalam calak dan cangip riang di bawah cerlang urna bersama Topa, Udin, Mail, Seman, Latip, Sopi, Umi, Peah dan Ani.
Biarlah sekali lagi aku diberi peluang bercadai mesra, menjamah nasi dedaun cekur berlauk ranting-ranting kayu kering dan menogok air sejuk perigi bening di dalam gelok tempurung jantan.
Biarlah sekali lagi aku dianugerahi peluang bersenandung penuh asyik lagu Oh Bulan Mana Bintang, bersanding di samping Ani yang calak manja, nyalar tersengeh dan getol benar tersenyum itu. Biarlah sekali lagi…
Aduhai… Sesungguhnya, majlis persandingan itu semeriah cerlang mentari pagi, Oh Bulan Mana Bintang yang kami senandungkan itu bergelombang menggerbak menyuar ke pundak awan gemawan, mencelah antara gunung gemunung, bersipongang melantun menggelicau ke lawang tujuh petala langit dan aku merasa begitu bahagia, karar, ceria dan diapung gembira dalam jagat cadai kami yang buar ketawa, melimpah senda dan calak mesra itu.
Terlalu gesit detik berjalan. Melihat tepian daik pesisir bendang di Kampung Kuala Jeneri ini persis mencerlung cermin diri yang semakin singkat dan dewasa. Lebih tiga puluh sembilan tahun berlalu bagaikan mimpi semalam yang cagun mendadak, rindu berbaur jelu, sendu berbaur pilu. Manis riang dan indah mengasyikkan. Kampung Kuala Jeneri ini bagaikan hilang serinya tanpa mereka semua. Tanpa Udin, tanpa Topa, tanpa Sopi, tanpa Mail, tanpa Seman, Ijah, Umi, Ani dan Peah.
Ya. Kampung Kuala Jeneri ini khali dan bungkam. Kejur dan kedu. Tanpa mereka. Tanpa monumen tepian daik. Tanpa jagat cadai kami. Tanpa semuanya.
Segalanya bening dan hening bagaikan sudah disergap meditasi selepas lebih tiga puluh sembilan tahun kemudiannya dan kala aku menjijakkan kaki semula ke sini selepas lebih tiga puluh sembilan tahun itu, gumpal awan gemawan gabak gerawan persis mengejek diri.
Ejekannya menggelodak seperti gelodaknya rinduku kepada Topa, kepada Udin, kepada Sopi, kepada Latif, Maun, Mail, Seman, Ijah, Peah dan juga Ani. Semak samun tepian daik di pinggiran bendang, tapak monumen jagat cadai kami, bekas dangau silam kami, sudah pun gondol gersang sebagaimana melenyapnya mereka semua.
Malah, di Kampung Kuala Jeneri ini tidak ada lagi pokok mengkudu, pokok mengkirai, pokok cenerai, raksamala, senduduk, halban, menerung dan segalanya yang menaung kami bercadai. Tiada lagi tempat untuk kami bersanding, menjamah nasi dedaun cekur dan tembak menembak setiap musim panen.
Bungkam dengan gelicau jerijit, ceridau madi juga gatalbirah. Semuanya khali dan merajuk sebagaimana merajuknya aku dan mereka semua. Dengan rajukan yang panjang tanpa dapat dipujuk-pujuk lagi.
Kadang-kadang dunia ini kontradiksi. Kontradiksi yang sukar untuk dimengertikan. Sesekali bertanya juga aku, apakah kerana kesalahanku tidak pulang ke kampung sewaktu kedua ayah ibu jadi gemulah dulu menyebabkan aku terus terpinggir dan dilupakan?
Kalau itulah alasannya, benarlah warga Kampung Kuala Jeneri ini berhati kejur. Kejurnya membatu hinggakan seluruh jasa budi gemulah ayah, suluhan cerlangnya gesit benar mereka nafikan.
Lalu, di mana sebenarnya aku sekarang? Persis gelandangan melarat, rengsa dan merengap di tanah tumpah darah sendiri.
Mana monumen tepian daik itu? Mana jagat cadai kami?
Di Kampung Kuala Jeneri ini aku tidak lagi bersua dengan monumen tepian daik dan jagat cadai kami itu. Segalanya sudah melenyap persis embun di hujung senayan tatkala ditampar sinar mentari ledang.
Begitulah juga lenyapnya Ani, Topa, Udin, Sopi, Latip, Ijah, Mail, Seman, Maun, Umi dan Peah. Entah ke mana! Barangkali sudah berselerak sebagaimana berseleraknya monumen tepian daik dan jagat cadai kami, mengalir deras dibawa arus perubahan zaman.
Tatkala ini aku masih mencuba mengutip semula perca-perca perjalanan silam yang telah kami tinggalkan. Biarpun aku tahu semua itu muhal tanpa Topa, Udin, Seman, Mail, Latif, Sopi, Peah, Umi, Ani dan juga Maun.
Sesungguhnya tidak ada lagi murup cerianya aku pulang ke Kampung Kuala Jeneri ini setelah lebih tiga puluh sembilan tahun kemudiannya. Silir galak lunak yang miang berhimpang berkesiur saban pagi dan petang, bagaikan kehilangan jihat puputannya. Bukit bukau, cerok lurah tempat kami tercangip merengap mencari durian burung dan tempat aku menolong emak Ani menuai padi huma sudah pun gondol, bagaikan orang tua renta kehilangan rambut.
Sekadar ceracak perdu tolang di kapak beliung. Kata Haji Badri yang aku temui tiga hari lalu, tempat itu akan menjadi tapak padang golf eksklusif, siap dengan kolam renang dan pusat rekreasi. Sesekali mengirap bergentayangan gelagat kami di situ. Beragaman mengelut cepu kepala.
Kamilah yang nyalar mengurai dan mengirik padi malinja emak Ani untuk ditugal di huma. Aku yang getol mencongkah lubang tugal dengan kayu sebatang, Ani menyumbat biji benih dan gesit pula tumit kaki menguis tanah untuk menutup lubang itu. Berpetang-petang kami menugal padi huma emak Ani, berelong emak Ani berhuma.
Tatkala panen padi remaja menguning emas, aku bersama rakan-rakan sebaya yang lain bingar menghalau tiak, ketitir, merbok dan upahnya ialah emping padi muda emak Ani. Emping itu kami yang mengindiknya dengan lesung indik teras resak yang tak makan asai biar seratus tahun.
Padi itu adalah buah-buah rindu yang selama ini acap cagun menjerba, kuning emasnya urna kemesraan yang tidak pernah larut dalam cepu ingatan. Segalanya galak mengheret aku dalam sejuta kenangan yang manis tanpa tepi dan lajur watasnya.
Alangkah kerdilnya aku! Selepas lebih tiga puluh sembilan tahun menjadi petualang dan gelandangan di bumi orang dan kemudiannya pulang ke tanah kelahiran sendiri. Sebenarnya jagat ini juga kerdil!
Benar, di Kampung Kuala Jeneri ini keterasingan cagun berhimpang dari pelbagai sudut membuatkan gelinyau keluh kesah yang selama ini tidak pernah ada belas kasihan menjerba galak, mencanak membusut dan suar membukit. Jiwaku terlalu cabuh mencari serpihan monumen tepian daik itu, jagat cadai kami itu.
Apakah segalanya ini rentetan imbalan terhadap rusuh fikiran yang nyalar dijerba kenangan silam yang bolong, tidak berupaya direalisasikan semula kerana zaman yang nyata berubah? Mungkin kerana cabuh dan kelut jiwa dihenyak oleh pelbagai derita?
Entahlah!
Aku tidak tahu, apakah zuriat mereka yang semakin melonjat usia itu pula yang akan menyambung segala cadai kami? Apakah kanak-kanak itu berupaya melaksanakannya semeriah dan seasyik persis yang pernah kami cagunkan dulu?
Apakah aku masih mengharapkan zuriat mereka yang kian membesar itu melagukan kembali lagu Oh Bulan Mana Bintang seperti dulu? Muhal, bagai menunggu mentari tengah malam yang tak mungkin akan cagun.
Mana monumen tepian daik itu dan mana jagat cadai kami?
Sesekali berada di Kampung Kuala Jeneri ini, lebih tiga puluh sembilan tahun kemudiannya, terasa sekali beruntungnya aku. Kerana aku dilahirkan di kampung pingitan ini dan aku dibesarkan di sini.
Kampung Kuala Jeneri ini adalah kampungku, tempat lahirku. Tepian daik pinggiran bendang, gulang-gulang di sekitar kampung ini adalah mandala cadai kami di mana itulah satu-satunya tempat yang selesa kepunyaan kami.
Walau bagaimanapun buruk, comot, selekeh dan naif rumah-rumah kampungnya tetapi itulah mandala indah kenangan aku berpusar dan berkelintar.
Mungkin kepulanganku ini serasa masih belum terlewat tetapi cukuplah untuk aku mengenangkan kembali perjalanan silam yang panjang dan jelu itu. Pedih ghobar merengsa tetapi mengesankan, getir pahit memaung tetapi mengasyikkan.
Realitinya, waktu ini, selepas lebih tiga puluh sembilan tahun aku dipisahkan oleh waktu, banyak perkara yang aku telah tinggalkan - Topa, Udin, Sopi, Latip, Maun, Mail, Seman, Ijah, Umi, Peah dan Ani mungkin sedang membilang jari zuriat kurnian Tuhan kepada mereka. tentu suara pekik gerapak bingar anak-anak itu bagaikan mahu meredum, menghogeh rumah masing-masing tetapi pekik gerapak bingar anak-anak itulah sebenarnya imejan kami.
Larian cadai anak-anak itulah sebenarnya ulang tayang filem silam kami, imejan daripada ribuan dan jutaan cadai silam kami, refleksi daripada berlaksa-laksa sorak bingar dan senandung purba yang pernah kami cagunkan mengapung jagat Kampung Kuala Jeneri lebih tiga puluh sembilan tahun yang lalu.
Di mana selut bendang bolong kohong likat adalah taman kami. Hujung kampung adalah watas mandala cadai kami dan kami akan terus bergelicau berlari dan getol menggeru kejar mengejar, warawiri merengap tercangip bersama-sama Topa, Udin, Seman, Mail, Maun, Latip, Sopi, Ijah, Umi, Peah dan juga Ani.
Mana monumen tepian daik dan jagat cadai kami itu? Mana…
Berhari-harian, bermingguan dan berbulan-bulan aku berada di tempat ini, dari waktu pagi yang cerlang ceria dengan ciuman suam mentari hinggalah ke remang senja, aku habiskan seluruh kemanisan kenangan ini di tempat ini, pada waktu ini dan pada saat ini untuk kujadikan satu monumen sejarah diri yang tidak ternilai harganya.
Aku berharap dan nyalar berdoa semoga pada suatu ketika nanti, anak-anak mereka akan menatap dan mengenang serta menghayatinya sebagai monumen sejarah purba anak-anak Kampung Kuala Jeneri lebih tiga puluh sembilan tahun yang lalu.
Anak-anak Kampung Kuala Jeneri lebih tiga puluh sembilan tahun yang lalu itu adalah aku, Topa, Udin, Sopi, Latif, Mail, Maun, Seman, Peah, Umi, Ani dan Ijah.
Sekiranya sesiapa saja antara mereka bertanya, katakan kepada mereka bahawa di tempat ini dulunya pernah terjadi peristiwa dua belas kanak-kanak yang comot dan naif riang bercadai dan selepas tiga puluh sembilan tahun kemudiannya dipisahkan oleh takdir Ilahi.
Amat pedih sukar dilupakan, amat menyayat payah disisihkan.
Di antara dua belas kanak-kanak Kampung Kuala Jeneri itu akulah yang ditakdirkan banyak sekali disergap derita, dihenyak sengsara. Sehingga kini aku belum berupaya melenyapkan segala kesan yang melepa dalam hidup. Aku tidak berupaya menyekang masyi’atullah dan fitratullah itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA