Isnin, 15 Mac 2010

Menanti Iqraiz

(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Dewan Masyarakat terbitan Karangkraf Sdn Bhd dan telah diantologikan dalam antologi Di Sebalik Merah Mentari)

SMAHADZIR 

SUDAH lebih sepuluh tahun berlalu meninggalkan tanah ini, meninggalkan pahit manis kehidupan. Malaybalay bukan tanah yang indah waktu itu. Amat yongyat hiba jiwa nubari Baridah mengenangkan, sungguh menggelepar dan menghenyak. Bagaimana harus ditenangkan gelodar dada, hanya anak itu satu-satu zuriat yang dia ada, tinggalan gemulah suami Banin Pumbaya.

Baridah sedar, manusia dijadikan Allah dalam bentuk fitrah. Lemah itu antaranya, selebihnya zalim. Dalam soal ini memang wajar Baridah terhenyak, dia seorang perempuan yang bersifat lemah, amat rengsa menahan jerbaan takdir lebih-lebih lagi naungan hidup sudah jadi gemulah. Banin Pumbaya kembali kala usia anak tunggal sembilan tahun. Tanah kelahiran Malaybalay penaka digelumangi udam dan sebam.

Baridah berhijrah ke Sipilok di Sabah waktu tanah ini dalam kacau. Nyalar berlaku pertempuran. Minoriti Islam mahukan wilayah autonomi sedang pemerintah Kristian berkeras. Jalan hidup rakyat jadi sempit. Jiwa Baridah terus berontakan. Tambahan si anak tidak persis diharapkan sejak lahir. Sungguh mengecewakan hati seorang ibu. Anak lelaki tunggal yang sering didoakan menjadi anak yang soleh tidak kesampaian. Mencintai seorang gadis etnik Taga Kaolos beragama Kristian pilihan si anak. Lantaran kecewa Baridah berhijrah membawa diri.

Memang terlalu parah Baridah mengenangkan. Anak tunggal itu bagai permata yang bersinar. Dipinjamkan Allah setelah lebih empat tahun hidup bersama Banin Pumbaya. Itu pun setelah pelbagai usaha dilakukan. Takdir penentu segalanya. Semasa hidup, suami mengalami endometriosis. Bukan itu saja - oligospermia, teratospermia juga astheriouspermia yang membuatkan seorang isteri sukar untuk hamil.

Doa dan ikhtiar tidak pernah renggang dari diri. Kepada Allah disandarkan sesarat harapan. Zuriat penyambung waris, kesinambungan kasih dipohon polos setiap solat dengan linangan air mata. Seorang pakar menyarankan supaya Baridah menjalani invitro fertilisation (IVF) tetapi Banin Pumbaya menolak keras. Si suami tidak rela maruahnya sebagai seorang lelaki Islam tercemar kerana kaedah IVF itu menggunakan telur penderma, disenyawakan dalam benih dan ditanam dalam rahim.

Masih basah mengiang di kuping Baridah nada gerah suaminya mendengar kaedah yang disyorkan. Menyerlah wajah naik jerau, meluap-luap.

“Saya ini orang Islam, doktor! Saya mahu anak dari benih kelakian saya yang sah. Biar saya miskin tapi soal maruah dan harga diri bukan boleh dijual beli!”
Begitu Banin Pumbaya menentang. Baridah akur total. Kata suami kata putus. Kendatipun dia terlalu inginkan seorang anak tetapi biarlah cara yang direstui suami. Bukankah pelbagai lagi usaha boleh dilakukan?

Ya, memang Baridah dan Banin Pumbaya tidak pernah jelak berusaha. Di atas keizinan suami, Baridah turut menjalani pemeriksaan. Sebagai permulaan, doktor menasihatkan supaya mencuba ubat subur. Dicuba dua kali pusingan haid tetapi gagal. Allah belum mengizinkan. Juga menjalani scanning untuk melihat kematangan telur. Kemudian diberi suntikan kesuburan human chorionic ganadotrophin (HCG), namun gagal juga.

Dalam soal ini, Baridah bukan seorang perempuan bergelar isteri yang fatalis. Banin Pumbaya juga seorang suami yang cukup memahami. Masing-masing mendambakan seorang zuriat. Wang simpanan dari jualan halo-halo digunakan untuk gamete intra fallopian transfer (GIFT). Ketika rawatan, Baridah disuntik ubat kesuburan untuk merangsang pengeluaran telur. Pil clomid atau clomiphene citrate disusul human chorionic ganadotrophin menampakkan hasil. Ini semua fitratullah!

Akhirnya dengan intra uterine insemination (IUI), walaupun peluang hamil 30%, Baridah berupaya hamil juga. Syukur kepada Allah. Banin Pumbaya tidak henti-henti menadah tangan. Kala melahirkan, Baridah memilih cara spinal block semata-mata mahu menyaksikan kemunculan zuriatnya.

Anak itu diberi nama Iqraiz, ditatang bagai minyak yang penuh. Diharapkan suatu hari nanti memiliki sifat-sifat anak yang soleh, berakhlak mulia sesuai dengan saat penantiannya yang sarat ranjau, duri dan air mata. Kesal sungguh Baridah dengan jalan yang dipilih Iqraiz. Tidak persis didoakan gemulah suami. Walau semasa kecil amat tertib dan mendengar kata tetapi berubah degil kala menjangkau usia dua puluh. Sudah berani pulang jauh malam dan mengabaikan tugas menjaja halo-halo tinggalan gemulah ayah sendiri. Lebih tidak dapat diterima Baridah, Iqraiz telah membelakangkan kesucian agama dalam memilih pasangan hidup.

“Kakak mahu ke mana?”

Pertanyaan dari pemandu kelesa yang mencerlus tiba-tiba itu gesit membebarkan segala ngeluyur fikiran Baridah. Dia bagai kemamar setagal namun dikawal wajar. Wajah pemandu sekitar 30-an, raut pekat Mangguagan itu dicerlung tunak.

“Mahu ke mana?” lelaki itu bertanya lagi.

“Malaybalay,” Baridah menjawab tenang.

“Ayuh, saya juga mahu ke sana!”

Baridah tersenyum lega. Gesit dua beg pakaian di sisi dihumbankan ke perut kelesa. Sejurus kemudian kenderaan klasik itu perlahan-lahan ditarik kuda menuju destinasi. Baridah di dalamnya dilambung ombak ngeluyur fikiran yang kacau.

Apakah Iqraiz masih menetap di Malaybalay? Apakah anak itu sudah berkahwin dengan gadis Kristian pujaan hati? Apakah Iqraiz sudah murtad lalu meninggalkan Islam semata-mata menurut nafsu muda? Argh… pelbagai soalan galak menjerba kotak fikir Baridah. Perlahan-lahan dua tapak tangan ditadah memohon dinyahkan segala gertakan perasaan itu.

Bandar Marawi sudah jauh ditinggalkan. Getar gegar dan hinggut kelesa meletihkan. Dua orang penumpang lain sudah lama nyedar. Baridah cuba mengenangkan kembali saat mahu meninggalkan Sipilok - the orang utan santuary yang banyak menjujuhkan air mata kerinduan, gelodar gelisah resah seorang ibu terhadap anak tersayang. Jiwa keibuan yang murup dalam tubuh seorang ibu tetap tidak boleh dibohongi, walau seburuk mana sekalipun tingkah laku seorang anak, kasih sayang seorang ibu tidak pernah luntur. Begitu yang terjadi pada Baridah.

“Betul mahu pulang?” Selaku majikan tempat Baridah mencari rezeki, Hajah Mariam wajar mahu kata pasti. Baridah itu pembantu di restorennya yang baik dan jujur sejak lebih sepuluh tahun yang lalu.

“Betul kak!” Baridah bersuara tegas. “Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermanja!”

“Barangkali mahu pulang untuk cari jodoh orang Malaybalay?” Hajah Mariam sekadar bergurau.

Baridah tersenyum simpul walau figura Iqraiz sukar mahu melenyap dari mata. 

“Saya dah tua, kak! Buat apa mahu difikirkan tentang suami. Lagipun, sudah lama saya tinggalkan tanah kelahiran. Hajat hati mahu di kuburkan di sisi pusara arwah suami.”

Hajah Mariam terkedu mendengar ungkapan tersebut. Sebenarnya mereka senasib cuma corak berbeza. Suaminya kembali ke rahmatullah dalam Tragedi Muassim, meninggalkan tiga orang anak dan sebuah restoren untuk menyambung rezeki. Dengan berkat sabar dan cekal, dua anaknya sudah bekerja selepas pulang dari Kaherah dan Jordan, seorang lagi tahun akhir jurusan syariah di Universiti Islam Antarabangsa. Syukurlah!

Hentak dan injut kelesa bagai bergerak atas batu kerikil. Sesekali mengejutkan. Baridah tersedar dari lamunan. Menjenguk keluar tingkap, bandar Iligan sudah jauh dilepasi. Dapat dikesan banyak perubahan sejak Nur Misuari jadi gabenor wilayah ini. Syiar Islam sudah mercup dan gagah bersinar.

“Abang mahu anak kita jadi Muhammad Al-Fateh.”

Itulah kata-kata gemulah suami yang mendadak mengiang di telinga kala kelesa melintasi kawasan air terjun Maria Cristina. Memang tempat itu nyalar ditandangi bersama suami kala anak mereka berusia empat tahun.

“Atau Panglima Islam Salman Al-Farisi.”

“Abang suka anak kita berperang?”

“Ya, berjuang di jalan Allah.”

“Maksud abang, berjuang macam Nur Misuari untuk mewujudkan sebuah wilayah autonomi Islam? Begitu?”

Jelas terbayang senyum memurup di wajah suami. Sungguh besar harapan yang diserahkan ke pundak anak tersayang. Betapa, bila dewasa nanti Iqraiz mewarisi sifat-sifat para pejuang Islam yang kental semangat dan teguh iman. Sanggup berjuang merempuh pancaroba hidup di jalan Allah kendati dalam keadaan apa sekalipun.

“Jaga anak kita baik-baik, Baridah! Didik dan asuh dia dengan ilmu agama supaya jadi anak yang berguna, diredhai Allah!”

Mendadak pula Baridah diundang jelu mengenangkan amanat suami tatkala mahu menghembuskan nafas terakhir dulu. Begitu agung impian dan cita seorang suami dan kini segalanya sirna tuntas dari kenyataan. Dalam diam Baridah menyalahkan diri sendiri walaupun segala didikan dan asuhan sebaik mungkin telah dicurahkan. Ini masyi’atullah. Begitu Baridah memutuskan. Iqraiz lebih mementingkan kata hati dari memujuk hati seorang ibu yang tergores.

Baridah mengeluh berat seraya melemparkan mata pandang melalui tingkap kelesa yang masih terkuak lebar. Derap kaki kuda mengatur langkah agak merimaskan, bergerapak sepanjang jalan. Bumi Mindanao sudah diselimut pudar. Mentari miang malu-malu mahu bersembunyi di ufuk masyrik. Baridah sudah berkira-kira, sebelum maghrib esok sampailah dia ke tanah kelahiran. Dada mendadak bergemirap kala wajah Iqraiz mengirap ke sepasang mata.

Lebih sepuluh tahun berpisah bukan satu jangkamasa yang pendek. Pelbagai perkara boleh berlaku. Baridah akui hakikat itu. Rambut putih yang menyelit di antara ribuan rambut hitamnya membuktikan. Realiti usianya sekitar 50-an di samping uban yang cagun adalah refleksi waktu yang dilalui. Apakah Iqraiz masih mengenali aku ibunya dalam keadaan begini? Baridah tidak bimbangkan ini. Soal kenal atau tidak bukan perkara utama. Yang penting, simpulan rindunya terusai untuk seorang anak setelah lebih sepuluh tahun tidak ketemu wajah.

Di Cagayan de Oro, kelesa menamatkan perjalanannya. Baridah terpaksa mengambil bas atau kenderaan lain untuk ke Malaybalay. Kala itu jarum panjang dan pendek jam sudah bersatu pada angka lima petang. Perjalanan dari Cagayan de Oro ke Malaybalay memakan masa yang panjang. Lantaran itu, Baridah memilih jip supaya masa yang panjang itu dapat dipendekkan sedikit.

Jip yang memberi perkhidmatan ke Malaybalay agak uzur. Baridah tidak mempunyai pilihan lain kerana bas yang akan ke tanah kelahirannya itu cuma memulakan perjalanan jam lapan pagi keesokan hari. Bukan hasrat Baridah mahu bermalam di Cagayan de Oro. Lagipun, kerinduannya sudah berpestaan menggerutup rongga dada.

Rela dalam terpaksa, dengan gontai Baridah menghenyakkan punggung ke dalam perut jip bersama empat penumpang yang lain. Dapat dikenal pasti wajah mereka merupakan penduduk tempatan yang sering menggunakan perkhidmatan jip untuk ke sesuatu destinasi. Baridah yakin itu.

Biar uzur jip gesit juga melambaikan selamat tinggal kepada penghuni Cagayan de Oro. Jalan berliku-liku dengan kelajuan yang tidak sekata mengundang muntah kepada salah seorang penumpang. Pemandu jip terpaksa memberhentikan kenderaannya dengan raut wajah jengkel dan memulakan perjalanan dalam keadaan yang lebih berhemah.

Baridah lebih betah melayan kotak fikir yang agak cabuh. Pelbagai kenangan gesit cagun dan melenyap. Pelbagai peristiwa akas mengirap, datang dan pergi. Dada bergerawan dengan aneka persoalan membuncah, bergentayangan dan menggelodar. Yang acap mengirap tentulah wajah Iqraiz yang lebih sepuluh tahun tidak diusap dengan renungan sayang. Selebihnya rumah pusaka sesapan dan kampung tinggalan pinggir Malaybalay. Bagaimana rupanya setelah Nur Misuari menjadi gabenor di wilayah ini? Sudah adakah reformasi total?

Dalam aduk bilau fikiran itulah Baridah terlelap kerana terlalu letih. Dikejutkan salah seorang penumpang kala jip uzur itu menjejak tanah Malaybalay. Dalam kelinglungan Baridah mencapai beg pakaian, melunaskan bayaran tambang lalu perlahan-lahan mengatur langkah. Perut berkeroncong amat namun selera disekang sarat wajah Iqraiz yang semakin galak mengirap.

Terkesima Baridah tatkala menancap perubahan bandar Malaybalay. Walaupun begitu wajah jalan menuju ke rumahnya belum banyak terusik, sekadar dua tiga blok kedai batu yang baru dibina. Itu tidak menyesatkan langkah kaki. Cuma ketara, tapak warung halo-halo jajaan gemulah suami sudah menjadi sebuah pasar barangan basah. Agak sebak juga kerana di situlah dulu gemulah Banin Pumbaya memerah keringat menggarap rezeki.

Menyelusuri lorong menghala perkampungan pinggir bandar Malaybalay, irama Tagalog mendayu-dayu meredah copeng telinga. Itu irama yang sudah melenyap lebih sepuluh tahun. Baridah terkejur cegat meladeni bait-baitnya yang menyucuk perasaan.

At ang una mong nilapitan ang iyong inang lumuluha,
At ang tanong, “Anak, ba’t ka nagkaganyan?”
At ang iyong mga mata’y biglag lumuha nang di mo napapansin,
Pagsisisi ang sa isip mo’t nalaman mo ika’y nagkamali.


Perlahan-lahan air matanya menjujuh kerana irama itu nyalar didendangkan kala mahu menidurkan Iqraiz dulu. Mendadak wajah anak itu mengirap lagi ke sepasang mata, tersenyum bagai menarik-narik kakinya lebih gesit melangkah. Kerudung biru laut di kepala yang galak dicumbui wayu segera dibetulkan. Baridah kembali mengatur jejak. Segala kenangan silam yang kian miang bergentayangan di cepu kepala, semakin memurupkan kerinduan - menggelodar perasaan.


Mentari sudah terbenam. Cahaya jingga merah mengapungi seluruh juzuk. Baridah tiba di sebuah rumah, rumah sesapan tinggalan gemulah suami yang lebih sepuluh tahun pamit dan lenyap dari tancap sorot mata. Suara tangisan seorang anak kecil menunjukkan rumah itu berpenghuni. Di kejauhan, berkumandang pula azan maghrib. Cepat-cepat Baridah menghala ke depan tangga. Kalimah  Bismillahhirahmanirrahim dan Allah Muhammad terpampang megah di bahagian atas pintu. Syukur, penghuninya beragama Islam.

Pintu dibuka setelah salam yang dihulurkan bersambut lunak. Seorang perempuan lewat 20an sedang mengelek anak kecil yang masih bergenang dengan air mata terjengul di situ. Berwajah lembut dan senyum nampak intim.

“Mak cik cari siapa?” pertanyaan polos lunak terluah dalam senyum.

“Err, ini rumah Iqraiz?” Baridah ingin pasti.

“Ya, errr… saya isterinya. Naiklah!” pelawaan mulus terlancar.

Tangan Baridah disambut mesra dan dipersilakan duduk. Beg pakaian setia di sisi. Kisah silam selama di Sipilok mulai disingkap perlahan-lahan. Kepulangan ini kerana kerinduan yang amat mendalam. Menyedari tetamu adalah ibu mertua sendiri, tangan Baridah gesit dicium mesra bersama linangan air mata.

“Abang Iqraiz dah ceritakan segala-galanya tentang emak. Dia dah insaf kerana melukai hati emak dulu. Gadis Kristian tu dah ditinggalkan sebaik emak bawa diri dan mengahwini saya. Sekarang emak dah ada tiga orang cucu. Yang sulung, Iqbal. Yang kedua, Mukarram. Keduanya ikut ayah mereka ke masjid. Insya-Allah, lepas isya nanti pulanglah!”

Baridah menadah syukur dengan berita itu. Serentak matanya berkelitar ke arah dinding rumah yang penuh dengan kalimat ayat-ayat suci Al-Quran. Mendadak mengirap wajah gemulah suami, bagaikan tersenyum. Perlahan-lahan pula air matanya menitis. Redha dengan fitratullah.

“Bersyukurlah kepada Tuhan, mak! Sekarang, emak dah pulang ke pangkuan kami. Abang Iqraiz memang berazam nak cari emak di Sabah, cuma masanya saja yang belum tiba!”

Baridah tersenyum senang. Sukar digambarkan betapa bahagia rasa hati seorang ibu. Anak tersayang sudah insaf dengan perbuatan silam. Anak tersayang masih berteguh dengan Islam. Gemulah suami tentu tersenyum girang di alam barzakh. Baridah juga sukar membayangkan bagaimana reaksi pertemuannya nanti dengan anak tersayang itu. Lebih sepuluh tahun kerinduan terborgol akan dihuraikan. Selepas bersolat maghrib, Baridah berteleku di atas sejadah. Serasa tidak sabar lagi menanti Iqraiz pulang dari masjid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA