Isnin, 15 Mac 2010

Mat Jieh Tokoh Korporat

(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Dewan Siswa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan telah diantologikan dalam Satu Dimensi)

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

SUATU hari pada tahun 1973.
“Hari ni, saya nak tahu apa cita-cita kamu bila besar nanti,” ujar Cikgu Hambali sebaik masuk ke dalam kelas. “Kamu semua harus tahu apa itu cita-cita. Orang yang tidak mempunyai cita-cita masa depannya akan dianggap seperti seketul tunggul kayu. Bila-bila masa saja akan reput dan tumbang ke tanah!”
Semua pelajar diam.
“Saya akan mulakan dengan Derani dulu. Ha, apa cita-cita kamu, Derani?” tanya Cikgu Hambali seraya memandang wajah pelajar yang berada paling hadapan itu.
“Saya nak jadi seorang Mata-Mata Gelap, cikgu!” ujar Derani bersungguh-sungguh.
“Kenapa kamu nak jadi seorang Mata-Mata Gelap?” tanya Cikgu Hambali ingin tahu.
“Saya nak tangkap orang jahat, cikgu!” ujar Derani.
Semua pelajar darjah enam itu mengangguk-angguk dengan cita-cita Derani.
“Bagaimana dengan kamu pula, Tipah?” Cikgu Hambali beralih pula kepada Latifah Osman yang duduk di belakang Derani.
“Saya nak jadi Bintang Filem, cikgu!” ujar Latifah agak malu-malu.
Cikgu Hambali tersenyum. “Mentang-mentang nama kamu Latifah, kamu pun nak jadi Bintang Filem macam Latifah Omar juga ye?”
Latifah tersenyum-senyum simpul.
“Kamu pula Sofian?” Cikgu Hambali meneruskan.
“Saya nak jadi seorang Pegawai Askar, cikgu! Saya nak bunuh komunis dan nak jadi seorang pahlawan negara!” ujar Sofian dengan penuh semangat.
“Bagus!” ujar Cikgu Hambali. “Ha, kamu Naemah?”
“Saya nak jadi Penyanyi, cikgu!” jawab Naemah Sidek yang bertahi lalat di hujung dagu.
Cikgu Hambali tersenyum lebar. “Kamu, Sood?”
“Err, saya nak jadi seorang Pengarah Filem, cikgu!” jawab Sood.
“Hai, kenapa kamu semua asyik nak jadi pelakon, penyanyi, pengarah flem. Kerja lain tak ada ke?” Cikgu Hambali bagaikan kurang senang.
Semua pelajar saling berpandangan sesama sendiri. Jelas pada mereka yang wajah cikgu Bahasa Melayu itu agak berubah dengan kalimat yang dipaculkannya.
“Saya nak jadi seorang Juruterbang, cikgu,” tiba-tiba Saonan bersuara seolah-olah cuba menambil hati Cikgu Hambali.
“Ha, inilah cita-cita yang baik!” balas Cikgu Hambali sambil tersenyum senang. “Saya mahu kamu semua mempunyai cita-cita yang baik begini!”
“Saya nak jadi seorang Jurutulis, cikgu!” ujar pula Golavan yang duduk paling belakang.
Kata-katanya telah disambut oleh gelak ketawa para pelajar yang lain. Mereka amat gelihati mendengar cita-cita Golavan. Cikgu Hambali juga turut ketawa.
“Kenapa ketawakan saya?” tanya Golavan. “Tak bolehkah saya jadi seorang Jurutulis?” soalnya agak kehairanan.
“Kamu tahukah apakah kerjanya seorang Jurutulis itu, Golavan?” tanya Cikgu Hambali.
“Tukang tulislah, cikgu!” jawab Golavan.
“Tukang tulis apa?” tanya Cikgu Hambali lagi.
“Tulis apa-apa saja yang saya nak tulis!” jawab Golavan.
Cikgu Hambali mengeluh pendek. “Ikut suka kamulah, Golavan! Jadi seorang Jurutulis pun baik juga!” ujarnya. “Kamu pula, Markonah? Apa cita-cita kamu?” pandangannya beralih pula kepada Markonah yang duduk bersebelahan dengan Mat Jieh.
“Saya nak jadi Setiusaha, cikgu!” jawab Markonah.
“Nak jadi Setriausaha siapa?” tanya Cikgu Hambali, cuba bergurau.
“Dia nak jadi Setiausaha saya, cikgu!” jawab Mat Jieh spontan seraya bangun.
Semua pelajar terteguk air liur dengan jawapan Mat Jieh itu. Masing-masing memekup mulut kerana hendak ketawa. Cikgu Hambali turut berasa terkejut dengan kata-kata Mat Jieh tersebut.
“Salahkah Markonah jadi Setiusaha saya?” tanya Mat Jieh seraya menyeluruhi matanya ke arah rakan-rakannya yang lain.
“Apa cita-cita kamu, Mat?” soal Cikgu Hambali ingin tahu.
“Err, saya nak jadi seorang Tokoh Korporat, cikgu!” jawab Mat Jieh agak tegas.
Suasana dalam kelas Darjah Enam Sekolah Kebangsaan Paya Kelubi jadi hingar dengan ketawa bila Mat Jieh mengatakan yang dia bercita-cita mahu menjadi seorang Tokoh Korporat suatu hari nanti. Yang membuatkan semua pelajar darjah enam itu ketawa bukanlah kerana perkataan Tokoh Korporat yang disebut oleh Mat Jieh tetapi disebabkan oleh diri Mat Jieh itu sendiri. Mat Jieh merupakan seorang pelajar yang paling bodoh sekali dalam kelas. Dalam kelas darjah enam itu ada seramai 38 orang pelajar dan setiap kali periksa Mat Jieh akan mendapat nombor paling terakhir iaitu 38. Itulah yang menyebabkan semua rakan-rakannya ketawa. Nak sebut perkataan ‘Tokoh Korporat’ pun dia tak berapa pandai.
Pelajar yang paling pandai di dalam kelas itu ialah Azmi Maliki. Setiap penggal, anak taukeh kebun getah ini akan mendapat nombor satu. Cita-citanya sekadar nak jadi seorang guru berijazah saja. Begitu juga dengan Noraini Sungib. Pelajar nombor dua terpandai ini mahu menjadi seorang doktor bila dewasa nanti.
“Betul kamu nak jadi seorang Tokoh Korporat?” Cikgu Hambali sekadar mahukan kepastian dari Mat Jieh.
Mat Jieh tidak menyahut sebaliknya menganguk-angguk bertalu-talu.
“Kamu tahu apa itu Tokoh Korporat?” tanya Cikgu Hambali lagi.
Mat Jieh tersengih seraya menggaru-garukan kepalanya.
“Kamu tahu apa kerjanya Tokoh Korporat itu?” Cikgu Hambali terus bertanya.
Sengihan Mat Jieh semakin lebar sampai meleleh-leleh air liurnya. Pantas pula diserat dengan lengan ke pipi. Semua pelajar darjah enam itu tersenyum-senyum dengan telatahnya.
“Okeylah, Mat Jieh! Jika kamu dah bercita-cita nak jadi seorang Tokoh Korporat, kamu mesti belajar rajin-rajin. Kalau boleh mesti rajin dari rakan-rakan kamu yang lain. Insya-Allah, saya yakin, suatu hari nanti kamu akan bergelar seorang Tokoh Korporat!” ujar Cikgu Hambali sebelum keluar dari kelas.
Sejak hari itulah Mat Jieh mendapat gelaran baru iaitu ‘Mat Jieh Tokoh Korporat’. Walaupun dia digelar begitu, Mat Jieh tidak kisah langsung malah dia akan tersengih lebar. Mat Jieh juga tidak peduli dengan kata-kata dan gelak sinis rakan-rakannya yang paling nakal iaitu Hamid, Maalim dan Zamri. Dia tahu rakan-rakannya itu memang suka menyakat. Dia sedikit pun tidak berkecil hati biarpun kadang-kadang gurauan itu agak keterlaluan dan menyakitkan hatinya.
Mat Jieh sedar, kadang-kala ejekan yang diterima dari rakan-rakannya boleh membibitkan pergaduhan. Tetapi dia bersabar saja. Suatu hari nanti dia akan membuktikan bahawa pelajar bodoh sepertinya akan menjadi pandai jika rajin berusaha. Untuk menjadi seorang yang berjaya mestilah didahulukan dengan usaha yang gigih. Begitu dia membuahkan tekad di hati.
Kisah Mat Jieh bercita-cita mahu menjadi seorang Tokoh Korporat heboh diperkatakan seluruh Kampung Paya Kelubi. Ramai juga orang-orang tua yang ketawa berdekah-dekah dan ramai juga yang tidak berkata apa-apa. Bagi mereka, budak-budak sebesar Mat Jieh memang mempunyai cita-cita yang pelbagai. Itu semua merupakan fitrah kejadian manusia. Ada budak-budak kecil yang bercita-cita mahu jadi Ultraman, ada yang mahu jadi Superman, ada juga yang mahu jadi Keluangman dan sebagainya. Tak ketinggalan juga yang mahu jadi Spiderman, Raksasa, T-Rax, Osama Laden, Stone Cool, Rock, Huck Hogun dan lain-lain lagi. Budak-budak memang mempunyai cita-cita yang pelik-pelik. Jadi, cita-cita Mat Jieh itu bukanlah perkara yang pelik sangat bagi mereka.
Walau bagaimanapun, gelaran ‘Mat Jieh Tokoh Korporat’ itu telah melekat pada diri Mat Jieh sehinggalah semua pelajar darjah enam berpisah untuk menyambung belajar di tingkatan satu di sekolah menengah pilihan masing-masing. Namun begitu takdir telah meletakkan aku sekelas dengan Mat Jieh dari tingkatan satu sehingga tingkatan tiga di Sekolah Menengah Badak Berendam.

* * *

Suatu hari pada tahun 1976, di bilik guru, Sekolah Menengah Badak Berendam. Waktu itu semua guru sedang berehat. Kelihatan beberapa orang guru sedang berbual soal pelajar masing-masing.
“I don’t think the job suits him. After all he’s too small for that mammoth task,” tegas Cikgu Astutie Gunarajah, guru Bahasa Inggeris bagi pelajar-pelajar PRM kepada Cikgu Zanariah yang sedang memeriksa kertas jawapan subjek Matematik para pelajar Tingkatan Tiga Alpha. Cikgu Zanariah segera memberhentikan kerjanya lalu memandang wajah Cikgu Astutie Gunarajah dengan pandangan yang sedikit ingin tahu.
“It’s a very demanding and tough job for a small guy like him...”, sambung guru berkelulusan TESL dari University of Kalamazo itu lagi. “Apa yang menariknya tentang dia?” tanya Cikgu Zanariah.
“Ha, cuba you baca karangan yang Cikgu Zuhairah beri pada I tengok ni!” balas Cikgu Astutie Gunarajah pula seraya menyerahkan buku di tangannya. Cikgu Zanariah segera mencapai buku yang dihulurkan oeh Cikgu Astutie Gunarajah lalu membaca beberapa perenggan daripada karangan yang dibuat oleh Mat Jieh.
‘Sebagai seorang manusia yang waras, tentu sekali mempunyai cita-citanya yang tersendiri. Biar sehebat mana pun cita-cita tersebut, orang lain tidak mempunyai hak untuk meremehkannya apalagi memandang sinis. Saya bercita-cita mahu menjadi seorang Tokoh Korporat Melayu yang disegani. Sebagaimana hasrat Perdana Menteri Dato Seri Dr Mahathir Mohammad yang mahukan orang Melayu berjaya di arena global, saya akan membuktikan hasrat murnia beliau itu. Saya tahu, Perdana Menteri mempunyai wawasan masa depan yang jelas bukan saja kepada orang-orang Melayu tetapi juga kepada negara secara keseluruhannya.
Mungkin orang akan mentertawakan saya apabila saya mengatakan bahawa saya bercita-cita mahu menjadi seorang Tokoh Korporat. Saya tidak kisah. Ketawalah sebanyak mana yang mereka mahu. Sebenarnya, mereka yang ketawakan cita-cita saya adalah mereka yang tidak yakin dengan kebolehan bangsa mereka sendiri. Saya ini seorang yang miskin. Ayah saya cuma seorang pekebun kecil. Ibu saya pula sekadar menjaja nasi lemak di serata kampung. Sebab itulah mereka ketawakan saya. Bagaimana anak seorang pekebun kecil dan penjual nasi lemak mampu menjadi seorang Tokoh Korporat setara Bill Gates atau Goerge Soros?
Bagi saya, saya tidak fikir bahawa kemiskinan boleh menjadi penghalang dalam mengejar cita-cita bagi seseorang. Malah, kemiskinan juga bukanlah penyebab yang boleh membunuh impian seseorang untuk berjaya dalam bidang yang mahu diceburi. Lihat sahaja Hellen Keller yang buta sejak kecil lagi. Betapa dia juga mampu berjaya dalam hidupnya. Saya tidak fikir bahawa saiz seseorang yang kecil seperti saya boleh menjadi faktor penghalang dalam mengejar impian yang satu itu.
Impian saya mahu menjadi seorang Tokoh Korporat tetap akan saya realisasikan. Saya mahu menjadi seorang yang berjaya mencecah arena global seperti hasrat Perdana Menteri. Saya mahu menjadi orang Melayu pertama yang membawa produk buatan orang Melayu ke pasaran antarabangsa.
Saya sedar, menjadi seorang Tokoh Korporat bukanlah semudah yang disangkakan. Tetapi bukankah orang Melayu juga mempunyai kebolehan yang setara dengan bangsa-bangsa lain di dunia ini? Apa kurangnya orang Melayu dan apa lebihnya orang lain? Perniagaan adalah satu bidang kerjaya yang amat mencabar tetapi menarik. Bertubuh kecil bukanlah faktor besar yang boleh membantutkan impian saya itu. Ramai orang yang bertubuh kecil telah berjaya membuktikan kepada dunia bahawa mereka boleh berjaya. Lihat saja dalam bidang sukan, pendidikan, hiburan, seni, dan politik. Ramai individu yang berjaya terdiri dari mereka yang tidak terjangkakan oleh banyak pihak.
Lihat sahaja kepada Bill Gate yang berjaya dengan Microsofnya. Atau Stephen Hawking, atau Goerge Santanaya atau juga Vincent Manobils. Besarkah tubuh mereka itu? Lihat pula Naim, pengangkat berat yang digelar The Pocket Hercules dari Turki itu. Lihatlah Napoleon Bonaparte yang sememangnya bertubuh kecil tetapi berjaya menawan kerajaan-kerajaan besar di Eropah dan Afrika Utara semasa zaman kegemilangannya.
Begitu juga dengan Dr Mahathir sendiri. Besarkah tubuh beliau? Lihatlah betapa suara, saranan, wawasan, idea, tindakan dan kata-kata beliau yang begitu matang, padat, berisi dan menggegarkan. Dunia kini memandang beliau sebagai seorang pemimpin negara Islam yang paling berjaya. Misi dan visi beliau telah menjadi teladan dan ikutan. Cara kerja beliau telah mendapat pengiktirafan dunia.
Beliau dihormati oleh semua pemimpin dunia Islam malah Eropah dan Amerika. Goerge Bush pernah menelefon beliau secara peribadi bagi mendapatkan pandangannya tentang keganasan sewaktu ‘Tragedi 11 Sepember’ dulu. Pemimpin dunia Arab menaruh harapan yang tinggi agar beliau menjadi pemangkin keamanan dalam krisis Israel-Palestin. Siapa Dr Mahathir itu? Bukankah dia orang Melayu seperi saya juga? Sebenarnya, ramai lagi orang yang bertubuh kecil yang berjaya dalam karier mereka seperti Al Pacino dalam bidang lakonan, atau Sudirman Haji Arshad, the singing lawyer. Bagi saya yang penting ialah kemampuan dan keinginan untuk berjaya. Jika kita menanam tekad yang bulat dan kuat, pasti kita akan berjaya.’
Cikgu Zamanhuri yang mengajar subjek Geografi terpana mendengar Cikgu Zanariah membaca karangan pelajar tingkatan tiga itu. Cikgu Karim, Cikgu Hanifa dan Cikgu Suhaila masing-masing melongo mendengar hasil buah fikiran Mat Jieh melalui karangan Bahasa Melayunya. Manakala Cikgu Sulaiman pula agak terkebil-kebil merenung muka kedua-dua guru wanita tersebut.
“Kalau itulah hasratnya, saya yakin dia akan berjaya. Saya rasa, semangatnya tinggi dan iltizamnya juga ada. Moga-moga dia berjaya dalam usahanya mengejar impian itu. Amin!” sampuk Ustazah Mariam pula. Cikgu Zamanhuri, Cikgu Suhaila, Cikgu Hanifa dan Cikgu Karim turut sama mengaminkan doa ustazah lulusan Universiti Philadelphia di Jordan itu. Cikgu Astutie Gunarajah yang tidak pernah ketinggalan mendengar sermon di gereja di Pekan Selasih setiap pagi Ahad pun turut sama mengaminkan doa Ustazah Mariam tersebut. Guru-guru itu polos mengharapkan agar cita-cita Mat Jieh tercapai dengan cemerlang.
Semoga cita-cita Mat Jieh, anak petani kecil dan penjual nasi lemak di Kampung Paya Kelubi itu akan menjadi kenyataan suatu hari nanti. Langkah ke arah itu nampaknya bakal menjadi realiti dengan usaha tidak kenal jemu Mat Jieh yang meneruskan usaha seperti yang telah dilakukannya sewaktu di sekolah rendah dulu.
Setiap pagi, dia akan menjual nasi lemak kepada sesiapa saja yang mahu. Ramai juga guru sekolah yang menjadi pelanggan tetapnya. Dengan wang upah yang diterima dari ibunya, Mat Jieh menympannya di dalam bank. Katanya, wang itu bakal digunakan sebagai modal untuk memulakan perniagaannya suatu hari nanti.
Pada waktu lapang, jika tidak ada apa-apa aktiviti kokurikulum, Mat Jieh akan merayau sekitar kampung untuk mencari tin-tin dan besi-besi buruk. Semuanya itu akan dikumpul sebelum dijual kepada seorang pembeli di Pekan Badak Berandam.
Sikap positif Mat Jieh ialah dia lebih senang menjarakkan diri daripada rakan-rakan yang tidak mempunyai prinsip hidup. Begitu juga rakan-rakan yang suka membuang masa dengan sia-sia. Selain dari itu Mat Jieh juga rajin belajar, menelaah pelajaran dan prestasi pelajarannya tidak seperti sewaktu di sekolah rendah dulu. Kini Mat Jieh bukan lagi seorang pelajar yang bodoh tetapi seorang pelajar yang pandai. Hampir setiap peperiksaan berjaya dilalui dengan cemerlang.
Mat Jieh juga suka membaca. Pada masa-masa lapang kelihatan dia akan membaca apa saja buku bagi menambahkan pengetahuannya. Dia juga kerap ke Pekan Badak Berendam untuk melayari laman web tentang keusahawanan anjuran MARA. Walaupun Mat Jieh tergolong di dalam golongan pelajar yang pandai tetapi dia tidak lokek ilmu. Dia suka berkongsi maklumat dan ilmu yang ditimbanya daripada pembacaan dengan sesiapa saja yang ingin tahu.
Sewaktu di tingkatan tiga ini, Rahman adalah seorang rakan yang amat disenanginya. Walaupun Rahman bukanlah rakan akrabnya tetapi dengan Rahmanlah dia sering berbual terutama tentang masa depan. Dia juga selalu membantu Rahman dalam subjek Perdagangan. Ini adalah kerana Rahman kurang pandai dalam subjek tersebut.
Selepas keputusan PMR diumumkan, Mat Jieh telah ditawarkan ke Maktab Rendah Sains MARA di Jain, Melaka. Sejak itulah dia terpisah dengan rakan-rakan yang lain termasuk Rahman. Rahman pula meneruskan pengajiannya di tingkatan empat di sekolah yang sama sehingga berjaya menjejakkan kaki ke Universiti Teknologi MARA di Shah Alam mendalami jurusan Pengurusan Perniagaan. Sesekali Rahman ada juga mendengar berita tentang Mat Jieh. Khabarnya rakannya itu sudah pun berlepas ke luar negeri. Dia sendiri tidak tahu di mana kerana kebetulan ayah dan ibu Mat Jieh telah berpindah dari Kampung Paya Kelubi dan menetap di Pulau Pinang.

* * *

Suatu hari pada tahun 2009.
Sebaik habis waktu pejabat, aku berlegar-legar di ruang lobi pusat membeli belah Lot 10 di Jalan Tunku Abdul Rahman kerana mencari barangan mandian anak kecil yang dipesan oleh isterinya. Aku sudah berangan-angan mahu membeli jenama Jonhson & Johnson kerana jenama itu baik untuk kulit bayi. Begitu yang dikhabarkan oleh isteriku. Lantaran itu mataku melilau sakan mencari tempat barangan tersebut. Tidak semena-mena aku telah terlanggar dengan seseorang.
“Err, maafkan saya… ehh… macam saya kenal… tapi siapa ye?” aku tergegau mendadak kala mataku melihat lelaki yang aku langgar itu. Lelaki itu sungguh bergaya persis seorang pegawai kerajaan berpangkat tinggi. Seluarnya jenama mahal, bajunya juga begitu. Kasutnya berkilat. Aku yakin tentu dari kulit asli.
“Haaa, saya pun macam pernah lihat saudara ni… tapi di mana…” dia menggaru-garukan kepalanya.
Cara dia menggaru kepala itu lantas mengingatkan aku kepada Mat Jieh, rakan lamaku sewaktu di sekolah rendah dulu. “Eh, kamu ni Mat Jieh kan?” soalku agak yakin.
“Kamu ni Rahman kan? Rahman Jusoh… pelajar darjah enam Sekolah Kebangsan Paya Kelubi dulu kan?” ujarnya.
Ya, siapa sangka aku akan bertemu lagi dengan MatJieh selepas hampir 30 tahun berpisah. Kami bersembang panjang hari itu membuatkan orang ramai asyik memandang ke arah kami saja. Sembang kami penuh dengan cerita lama yang melucukan. Namun begitu, Mat Jieh tidak menceritakan tentang pekerjaannya. Katanya, dia sekadar bekerja sebagai seorang kerani di pejabat swasta. Aku kurang yakin lebih-lebih lagi dengan penampilan dirinya tetapi aku bersahaja mengangguk.
Sebelum berpisah, aku telah memberikannya nombor telefon pejabatku. Bila aku minta nombor telefon pejabatnya, dia mengatakan yang pejabatnya baru berpindah dan belum lagi mempunyai telefon. Bila aku minta nombor hand-phonenya, dia mengatakan yang dia tak mampu nak beli hand-phone. Aku menjadi hairan dengan gelagatnya. Takkan begitu punya bergaya tak mampu nak beli hand-phone? Mushykil juga aku!
Selepas itu aku tidak bertemu lagi dengan Mat Jieh. Hampir tiga bulan lamanya aku tidak mendengar sebarang khabar berita darinya. Dia tak pernah menelefon aku. Aku memang teringin nak menghubunginya tetapi tidak tahu di mana. Tetapi lebih kurang sebulan kemudian, aku menerima panggilan telefon darinya. Dia mengajak aku bertandang ke rumahnya. Katanya, dia nak buat sedikit kenduri doa selamat kerana rumahnya baru siap untuk diduduki. Aku memberi jaminan akan datang.
“Jangan lupa ajak anak bini kau sama!” ujarnya memberi pesan.
Pada hari yang dijanjikan, berpadukan alamat yang diberi, aku dan anak isteriku pun pergi ke rumahnya. Kereta Proton Wiraku menyusur lereng bukit, melewati beberap buah taman perumahan dan akhirnya sampai ke sebuah rumah banglo bercita rasa Edward yang mewah. Aku agak terpegun melihat kemewahan rumah tersebut. Siap dengan kolam mandi di bahagian sisi dan kolam buatan di bahagian hadapan. Bersebelahan pintu masuk terdapat sebuah taman bunga yang besar. Sebuah garej yang memuatkan dua buah kereta mewah tersergam di sisi kanan banglo. Pada mulanya aku kurang yakin bahawa itu adalah rumah Mat Jieh tetapi kala aku memberhentikan keretaku, Mat Jieh terkocoh-kocoh datang menyambutku dengan senyuman yang sungguh mesra.
“Err… innni… ini rumah kau ke Mat?” soalku sedikit terperanjat.
Dia hanya tersengih seperti dulu.
“Kaya betul kau, Mat!” ujarku lagi.
“Aku tak kaya, Rahman! Yang kaya ialah Tuhan. Aku cuma diberi sikit saja oleh-Nya!” balas Mat Jieh merendah diri.
“Err, Mat! Ini aku perkenalkan isteriku, Leha namanya. Ha, ni anak-anak aku,” ujarku seraya memperkenalkan keluargaku kepadanya.
Mat Jieh menjabat tangan isteriku dan mengusap-ngusap kepala anak-anakaku yang seramai lima orang itu. Yang sulung baru di tingkatan lima dan yang bongsu dalam darjah satu.
“Errr, mana isteri dan anak-anak kau?” tanyaku lagi.
“Mereka ada di dalam!” ujarnya. “Err, anak aku cuma dua orang saja, Rahman! Yang sulung, dah masuk universiti, errr UTM jurusan Kejuruteraan Mekanikal dan yang kedua sedang belajar di tingkatan lima di MRSM Muadzam Shah, Pahang!”
Aku sekadar mengangguk. Lama sungguh masa memisahkan. Tiga puluh tahun memungkinkan segalanya.
“Jomlah masuk ke dalam rumah!” pelawa Mat Jieh mesra. Aku dan anak isterinya pun segera mengekori Mat Jieh masuk ke dalam rumah mewah tersebut. Lagi sekali aku terpempan kala melihat perabot-perabot mahal di ruang tamu. Di bahagian kanan ruang tamu tersebut sudah bersila beberapa orang tetamu. Hidangan juga sudah tersedia di hadapan mereka. Mat Jieh terus memperkenalkan aku kepada tetamu-tetamu tersebut. Katanya, aku adalah rakan baiknya sewaktu di sekolah rendah dulu. Entah bila pula aku jadi rakan baiknya. Barangkali dia sekadar nak mengambil hatiku saja.
Isterinya terus ke dapur untuk berkenalan dengan isterinya. Begitu juga dengan anak-anakku. Selepas kenduri doa selamat tersebut tamat, aku diarahkan jangan pulang dulu kerana dia ingin bersembang panjang denganku. Aku akur saja.
“Doa selamat apa sebenarnya, Mat?” soalku sungguh-sungguh ingin tahu.
Mat Jieh tesengih.
“Takkan kau nak berahsia dengan aku, mat! Aku tahu, kau ni bukan calang-calang orang. Tentu pangkat kau besar sekarang ni!” aku cuba mencungkil.
Mat Jieh terus juga tersengih. Aku jadi tambah hairan dengan gelagatnya.
“Kau dah kaya dan wajar bergelar seorang hartawan, Mat! Aku tengok banglo kau ni… Kalau pegawai kerajaan macam aku, memang tak mampu nak beli. Barangkali kau ni seorang pengarah syarikat tak?” aku terus mencungkil rahsianya.
“Err, sebenarnya, aku baru saja pulang dari Paris, Rahman!” agak lama juga barulah Mat Jieh meluahkan cerita sebenarnya.
“Kau buat apa di sana?” soalku ingin tahu.
“Aku ikut rombongan PM bersama para pelabur Malaysia ke sana,” ujarnya bersahaja.
“Maksudnya, kau ni seorang ahli perniagaan yang berjaya?” aku sedikit melopong.
Mat Jieh tersengih. “Taklah berjaya sangat tapi bolehlah tahan!” dia masih bersahaja.
“Err, apa perniagaan yang kau ceburi sampai diajak oleh PM ke Paris?” soalku lagi sungguh-sungguh ingin tahu.
“Sebenarnya, aku diarahkan oleh PM supaya mencari peluang-peluang francais di Paris. Nasi lemak buatan orang Melayu Malaysia sebenarnya mempunyai potensi yang cerah di luar negeri kalau difranchaiskan. Kalau Mac Donnald, KFC, Pizza Huts, Kenney Rogers dan lain-lain lagi boleh difrancaiskan di sini, kenapa nasi lemak kita tak boleh difranchaiskan di sana? Sebab itulah aku ke Paris, Rahman!” jelas Mat Jieh panjang lebar.
Aku melopong mendengar penjelasannya. Dua hari kemudian aku telah berpeluang ke pejabatnya di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Lobby bangunan Wisma Usaha Dagang terpampang signboard bertulis ‘Restoran Nasi Lemak’. Ketika aku masuk ke dalamnya, aku jadi terpana dengan suasana di tempat tersebut. Restoran nasi lemak milik Mat Jieh mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan.
Kebanyakan pelanggannya terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk para pelancong. Promosi yang dilakukannya dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan & Pelancongan Malaysia begitu berjaya. Restoran tersebut merupakan restoran nasi lemak yang terbesar di Malaysia dan semua resepinya adalah resipi asli Melayu.
Menurut Mat Jieh, dia telah membuka tiga buah restoran yang sama di Prague, Paris dan juga London. Semuanya difrancaiskan. Beberapa bulan kemudian aku terbaca di dalam akhbar yang Mat Jieh telah dikurniakan gelaran Datuk oleh Yang Dipertuan Agong dan diisytiharkan sebagai seorang Tokoh Korporat Melayu di sebuah majlis anjuran kerajaan. Begitulah, akhirnya tercapai juga cita-cita rakanku itu untuk menjadi seorang Tokoh Korporat. Aku amat berbangga dengannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA