Isnin, 15 Mac 2010

Penceroboh Maya

SMAHADZIR 

i

Tarikh : 08062020
Lokasi : Bilik X Makmal XXOI
Jam : 2346

MALAM sebam. Bulan ilam-ilam. Pekarangan Taman Teknologi Multimedia bening. Jaluran cahaya meteoroid bergerak perlahan, menggaris separuh bahagian cakerawala. Vel di bingkai jendela kaca gelisar. Dia cuba membayangkan saiz ‘jasad di angkasa’ itu. Bagaimana kalau jasadnya sebesar Putrajaya? Sukar membayangkan meteoroid sebesar itu jatuh menimpa kota canggih ini. Namun, ini bukan muhal, fikir Vel. Kawah besar di Yucatan itu buktinya, berdiameter antara 180 - 300 km. Dinasour pupus dengan hentamannya. Ngeri mengenangkan jika tragedi yang sama berulang di Putrajaya. Vel menutup lawang ingatan yang gelisar lalu kembali mendepani Mz-Gybhoon.

Zeera tersenyum sebaik Vel melabuhkan punggung di sisi. Sejenak melirik wajah lelaki tampan lewat 30an itu, Zeera meneruskan semula kerja-kerjanya - membantu Vel melengkapkan perisian Mc-Gybhoon. Lima perisian utiliti dalam PC, utiliti uninstaller yang canggih, clean sweep, clean sweep deluxe, internetsweep, smartsweep, safesweep dan lain-lain lagi. Dalam waktu yang sama Vel meneliti buat kali terakhir antara kehebatan perisian melalui data informasi di atas meja.

CleanSweep Deluxe - pemimpin langkah-langkah pembersihan ruang cakera, membuang sesebuah program, mengubah setting, mengesan fail-fail yang sering dan tidak digunakan, penentu pilihan logging dan backup, menghidup dan mematikan komponen internetsweep dan smartsweep.

Usage Watch - mengesan fail-fail dan program yang digunakan, memberi cadangan supaya fail-fail yang jarang digunakan dipadamkan.

InternetSweep - membersihkan sampah-sampah berkaitan Net seperti cookies lama, fail-fail ActiveX dan teks-teks serta imej yang disimpan dalam cache.

Quaterdeck Safe - membolehkan melindungi sesetengah jenis fail dari dipadamkan secara tidak sengaja. Boleh menetapkan fail-fail DLL supaya tidak sekali-kali dipadamkan

Wizard Move - mengalihkan program ke pemacu lain dan memperbaharui semua rekod berkaitan dan setting Registry ke bahagian belakang

Oil Change - utiliti paling berkuasa, berciri penuh, paling mesra pengguna

Updater - perisian dalam talian paling ringkas dan efisyen, bersaiz 2.8MB daripada Web. Mengesan secara automatik sambungan internet, mempastikan sambungan selamat dengan pelayan transaksi CyberMedia.

“Okey, semuanya beres!”

Penelitian Vel menyemak data-data tersebut tiba-tiba digugah suara Zeera.

“Kejayaan ini satu kebanggan negara!” ujar Zeera lagi.

Vel hanya tersenyum puas. Mz-Gybhoon ciptaan mereka berdua ini merupakan pengeluaran pemproses generasi tahun 2010 mainframe berasaskan complementary metal oxide semiconductor iaitu Model P12 MaxII yang mempunyai prestasi setanding sistem E/420 ciptaan mereka sebelum ini. Produk yang disasarkan bagi persekitaran Parallel Sysplex dan E/420 standalone, Mx-Gybhoon turut mempunyai fungsi pelbagai guna tahap asas 12 (1 - cara melalui 12-cara), model turbo berkuasa tinggi 8 (1-cara melalui 20 car) dan model Coupling Facility.
Sebagai tambahan kepada Mx-Gybhoon, Vel dan Zeera telah menambah ciri-ciri sokongan kepada E/420 sepenuhnya, OS/870, MVS/ESA, VSE/ESA dan TPF[RPQ], menggandakan kemampuan Parallel Sysplex sepenuhnya, Stanby IP, sokongan 19.LPARs, Cryptographic pemproses bersama untuk menyokong transaksi perdagangan elektronik selamat dan senibina menyokong sehingga 99 GB storan pemproses. Pendek kata, Mz-Gybhoon adalah komputer tercanggih tahun 2010 yang mampu dalam pelbagai tugasan manusia.

“Ayuh kita pulang dulu!” ajak Zeera sejurus kemudian, melirik jam di pergelangan tangan sambil mencuit bahu Vel. “Dr Nick tentu gembira dengan kejayaan kita!”
Vel hanya tersenyum. Zeera mengangguk dan turut tersenyum.
Lampu Bilik X Makmal XXOI segera dipadamkan.


ii

Tarikh - 29082020
Lokasi - Satu kawasan pendalaman Negeri di Bawah Bayu.
Jam - 2409

HENING malam dibebar oleh satu dentuman kuat seolah-olah sebutir bom digugurkan dari pesawat perang. Warga penghuni sekitar jadi gempar. Pelbagai spekulasi cagun bersipongang. Paling heboh mengatakan sebuah piring terbang UFO telah terjunam jatuh lalu terbakar. Buktinya, kawasan lebih kurang 50 X 70 meter persegi telah hangus dijilat api. Pelmacam spesies flora dan fauna turut rentung.

Berminggu-minggu kawasan itu menjadi tumpuan dari pelbagai golongan - orang-orang awam, wartawan akhbar, tv, pak menteri, ahli sains, polis, tentera, pakar pertanian dan tidak ketinggalan pakar-pakar astronomi dan astrofizik dari Jabatan Angkasa Lepas & Pertahanan Negara. Masing-masing membuat siasatan dan mencari bukti untuk mengukuhkan hujah dan kajian lanjut.

Vel dan Zeera turut berminat dengan kejadian yang berlaku. Lebih kurang seminggu mereka bersama Profesor Ray dari Jabatan Angkasa Lepas & Pertahanan Negara berkelitar di kawasan itu untuk mengambil gambar dan merakam segala tinggalan dari ledakan tersebut.

“Barangkali ini ledakan meteoroid!” Vel sekadar menduga sewaktu mereka berehat di sebatang pokok belitong tidak jauh dari situ.

“Kemajuan IT negara kita barangkali turut diminati makhluk dari angkasa lepas!” Zeera pula mencerluskan pandangannya.

Profesor Ray yang ketika itu sedang mengutip beberapa ketul serpihan batu kecil tercolek untuk datang menghampiri tempat Vel dan Zeera berehat.

“Mungkin mereka sengaja datang ke bumi kita untuk membuat kerja-kerja pengintipan!” Zeera terus menokok.

“Tidak!” tiba-tiba Profesor Ray mencelah seraya melabuhkan punggungnya di sisi Vel. “Lebih seminggu pihak kami menjalankan kajian di sini. Hasilnya, bukan disebabkan oleh letupan kapal angkasa UFO!” jelas wajahnya serius seolah-olah ada sesuatu yang agak misteri cuba dirahsiakan.

Vel agak terjeda. “Maksud Profesor?”

“Agak tersasar kalau meteoroid persepsi kamu!” jawab profesor lewat 70an itu, berkerut dahi bertagal. “Analisa spektrum cahaya meteroid hanya nitrogen, hidrogen, oksigen dan sodium. Tidak terdapat unsur-unsur uranium tapi di kawasan ini sekarang penuh dengan molekul-molekul uranium.”

Vel dan Zeera terbelangah. Uranium? Masing-masing saling berpandangan dan melopong tidak percaya.

“Kami masih menjalankan kajian lanjut. Mulai besok, kami akan minta pihak berkuasa mewartakan kawasan ini sebagai kawasan larangan kerana soal-soal keselamatan!” ujar Profesor Ray lagi.

“Kalau begitu, profesor mesti bantu kami!” Vel penuh mengharap.

“Bantu kamu?”

“Kami memerlukan maklumat lanjut tentang kejadian ini!” balas Vel.

“Untuk apa?” Profesor Ray tercolek ingin tahu.

“Kami yakin, Mz-Gybhoon ciptaan kami mampu membuat analisa tepat berhubung dengan kejadian ini!” tingkah Zeera pula.

Profesor Ray tersenyum dan mengangguk. Sebelum mereka meninggalkan tempat tersebut, dia telah berjanji akan membantu Vel dan Zeera.

iii

Tarikh - 30112020
Lokasi - Bilik X Makmal XXOI
Jam - 2200

VEL membuka halaman meteoroid yang baharu dikemaskini dengan segala data serta maklumat hasil kajian Profesor Ray. Maklumat yang tertera di skrin monitor Mz-Gybhoon tersebut diulang baca satu persatu dengan penuh penelitian. Zeera di sisi turut membantu. Mereka ingin mempastikan tidak ada yang tertinggal atau lupa dimasukkan.

Meteoroid batu - diklasifikasikan kepada dua kumpulan iaitu Chondrit dan Achondrit. Meteroid Chondrit mempunyai chondrul iaitu partikel bulat dan halus bersaiz kira-kira 5mm. Meteoroid Achondrit tidak mempunyai chondrul.

Meteoroid besi - sangat tumpat, kira-kira 90% besi dan 10% nikel. Corak Widmanstatten terhasil bila dibersihkan dengan asid nitrik.

Meteoroid batuan besi - mempunyai kandungan silika dan aloi ferum-nikel. Dari struktur dalaman planet pejal yang terlibat di dalam perlanggaran jutaan tahun lampau.

Sedang Vel dan Zeera asyik dengan penelitian mereka menyemak data-data tersebut, tiba-tiba cagun satu sinar yang menyilaukan. Berbentuk jaluran warna spektrum tertayang di skrin Mz-Gybhoon. Beberapa tagal kemudian, dari jaluran cahaya spektrum itu muncul pula tiga molekul atom persis bebola perak berkilau. Bebola-bebola perak tersebut berkitar-kitar keluar melalui skrin Mz-Gybhoon sebelum mengelilingi Vel dan Zeera. Kedua-duanya tergamam jola buat beberapa ketika dengan kejadian tersebut.

“Apa maknanya semua ini?” bisik Zeera ke telinga Vel. Vel hanya diam tanpa mampu bersuara.

Beberapa jenak kemudian, ketiga-tiga bebola perak itu berhenti bergerak. Salah satu darinya tiba-tiba terbelah dua dan mengeluarkan suara. “Selamat malam! Selamat malam!”

Vel dan Zeera saling berpandangan. Masing-masing melopong dan terjeda kerana ketakjuban yang amat sangat.

“Jangan luncurkan sebarang molekul kaget. Kami adalah sahabat anda!” suara dari bebola perak agak bersipongang memenuhi ruang Makmal XXOI.

“Errr… errr… apa… apa tujuan anda keluar dari Mz-Gybhoon kami?” Vel memberanikan dirinya bertanya. “Apakah anda berasal dari kecanggihan perisian komputer ini?”

“Ya! Kecanggihan komputer ini telah menghasilkan jisim kami!” jawab bebola perak tersebut.

“Apa tujuannya anda?” Zeera pula seolah-olah tidak sabar ingin tahu.

“Untuk memberitahu anda bahawa dari hasil kajian kami, meteoroid yang meledak di tanah anda bukanlah dari mana-mana planet atau cakerawala seperti yang anda sangkakan selama ini. Ianya juga bukan dari jenis yang telah anda kemaskinikan di dalam Mz-Gybhoon!”

“Jadi, apakah hasil kajian anda itu?” Vel terlunga.

“Semuanya adalah hasil dari ciptaan sebuah komputer dari luar tanah anda!”

Vel dan Zeera berpandangan lagi.

“Sebuah super komputer dari sebuah negara luar telah cuba menceroboh sistem kawalan dan pertahanan komputer Mz-Gybhoon. Kami harap anda harus berhati-hati kerana kejayaan tanah anda dalam pelbagai bidang telah mengundang cemburu banyak negara. Mereka amat malu dengan kejayaan sebuah negara kecil seperti tanah anda terutama dalam bidang teknologi maklumat. Lantaran itu, berusahalah untuk menyelamatkan tanah anda ini dari sebarang anasir bejat!”
Sebaik saja berkata begitu, ketiga-tiga bebola perak berkilau tersebut mulai berkitar-kitar, mengelilingi Vel dan Zeera buat beberapa saat sebelum menghilang ke dalam skrin Mz-Gybhoon. Satu bunyi bizzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzz yang panjang kedengaran bergelentar sayup-sayup di kejauhan.

“Terima kasih kerana mengingatkan kami!” ujar Vel seraya berpaling merenung wajah Zeera. Zeera hanya terkesip-kesip. Sejurus kemudian mereka mulai memikirkan segala warita dari bebola perak tadi.

“Apakah benar ada negara luar yang mahu melakukan sesuatu kepada tanah kita?” soal Vel.

“Entahlah, saya sendiri pening memikirkannya!” balas Zeera seraya mengeluh panjang.

“Saya berkeyakinan, ada rasional segala warita yang kita terima. Macam mana pun, kita mesti waspada dan bersedia sekiranya menjadi kenyataan!” ujar Vel memberi semangat kepada Zeera.

Setelah memerah otak fikir beberapa lama, Vel dan Zeera mengambil keputusan untuk menyiasat perkara tersebut. Vel bertindak menghubungkan sistem Mz-Gybhoon dengan super komputer Mega KXPP 5000 yang terdapat di Jabatan Perisikan Negara melalui talian rahsia KOD 6280120. Penyiasatan dan pengesahan talian Mega KXPP 5000 yang mempunyai talian 9980 di seluruh dunia itu dilakukan dengan penuh berhati-hati.

Bertagal menunggu hasil perhubungan. Vel dan Zeera dijerba debar yang menggelodar. Sejurus kemudian, Mz-Gybhoon pun mengeluarkan output: ‘Talian KOD 6280120 Perisikan Rahsia Negara telah lima kali dicerobohi. Penceroboh tidak dapat dikesan setakat ini namun kod rahsia mereka telah berjaya dipecahkan. Alam sekitar tanah ini akan dicemari. Berhati-hati. Tiada rahsia lenyap. Data terkawal. Pengimputan baik dan lancar. Pertahanan teguh‘.

Vel dan Zeera berasa lega dengan output tersebut. Lapuran bercetak secara automatik segera dikeluarkan melalui mesin pencetak di sisi Mz-Gybhoon. Vel menyalin beberapa salinan untuk disimpan dan ditunjukkan kepada Profesor Ray dan Dr Nick.
Selepas menutup semua lampu dan mematikan suiz Mz-Gbhoon, Vel dan Zeera segera melangkah keluar dari Makmal XXOI. Mereka pulang ke rumah masing-masing.

* * *

Tinininnnnnnn……. tinininnnnnnnn……. tinininnnnnn….. tutttt……

Jam di pergelangan tangannya berbunyi menandakan waktu subuh sudah bermula. Vel gesit bingkas dari katil lalu bergegas ke bilik air. Ramai juga jiran sebelah rumah yang sudah bangun. Vel mandi dan berwuduk. Selepas menunaikan solat subuh, dia bertafakur sejenak. Sudah terpancang dalam cepu kepala, hari ini dia akan bertemu Profesor Ray untuk menjelaskan segala yang berlaku.

Tepat jam 8058 pagi, Vel sudah berada di hadapan Jabatan Angkasa Lepas & Pertahanan Negara.

“Saya meyakini cerita kamu kerana hasil kajian kami juga menunjukkan bukan meteoroid yang jatuh tempoh hari tetapi sebuah bom uranium buatan manusia!” jelas Profesor Ray sambil memberi semangat kepada Vel supaya berbuat sesuatu. Dia yakin, kecanggihan sistem perisian maklumat Mz-Gybhoon mampu menyelesaikan segala masalah.

Semangat dan perangsang dari Profesor Ray menyuar tekad Vel. Meninggalkan pejabat profesor itu dengan gejolak tidak tergugah. Kepada Dr Nick pula Vel mendapatkan buah fikir dan strategi tindakan seterusnya.

“Jadi mereka mahu menceroboh maklumat-maklumat tentang alam sekitar tanah kita?”

“Ya, tuan!”

“Apa yang menarik sangat tentang alam sekitar itu kepada meraka?” Dr Nick mengerut kening. “Lagipun, soal alam sekitar bukanlah satu rahsia besar yang perlu disembunyikan. Jika mereka mahu, mereka boleh minta dari kita secara baik. Kita tidak kikir soal itu. Sudah menjadi tanggungjawab semua manusia menjaga kelestariannya supaya dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang.”

“Barangkali mereka mahu merosakkan alam sekitar di tanah kita!” duga Vel.

Dr Nick terdiam sejenak. Mata terkesip-kesip. Benaknya berkelintar memikirkan tukasan Vel. “Mungkin ada benarnya kata-kata kamu itu!” ujarnya setagal kemudian. “Saya fikir, barangkali mereka memang nak merosakkan kelestarian alam sekitar tanah kita. Dengan cara itu, seluruh dunia akan mengutuk kita seterusnya mengenakan tindakan ekonomi. Dengan cara itu, tentulah kita akan dilanda pelbagai krisis!”

“Demontrasi rakyat akan berlaku dan akhirnya negara akan tumbang!” tokok Vel.

“Benar, Vel!” Dr Nick mengangguk-angguk.

“Memang jahat niat mereka, tuan!”

“Dunia sekarang terlalu canggih, Vel! Segala niat begitu tidak terlalu sukar direalisasikan. Dengan arahan komputer, sisa-sisa toksid, bahan-bahan kimia berbahaya dan apa saja yang boleh menghancurkan dunia dapat dilepaskan. Komputer mampu menghalang radar pengesan, mematikan perjalanan sistem isyarat-isyarat kecemasan. Satelit di cakerawala pula mampu mengesan tempat dan jarak dengan tepat. Gabungan keduanya mampu menghentikan denyut nadi segala makhluk di sarwajagat. Pendek kata, maya sekarang terletak di hujung jari!” panjang lebar Dr Nick mencerluskan hujahnya.

Vel mengeluh panjang dan berat. “Saya tahu semua itu, tuan!”

“Habis, bagaimana pendapat kamu tentang masalah yang kita hadapi sekarang?” tanya Dr Nick.

“Pendapat tuan lebih diperlukan!” balas Vel.

Dr Nick terdiam sejenak. “Beginilah, Vel! Zeera ganding kamu. Saya membantu!” ujarnya bersemangat. “Saya cadangkan, sebelum itu kamu siasat dulu apa motif mereka sebenarnya. Sekiranya benar segala persepsi kita, barulah kita bertindak menghalang tindakan mereka!”

Vel meninggalkan bilik Dr Nick menuju ke Makmal XXOI. Sewaktu dia tiba di situ, Zeera sudah berada di depan Mz-Gybhoon.

“Apa perkembangan terbaru?” soal Zeera sebaik Vel tiba di sisinya.

“Malam ini kita mesti di sini!” jawab Vel.

“Kenapa?” tanya Zeera.

“Arahan Dr Nick!” ujar Vel.

“Apa yang perlu kita lakukan di sini?” Zeera kurang puas hati.

Vel segera menceritakan segala yang telah dibincangkannya tadi. “Kita mesti musnahkan sistem super komputer yang menceroboh. Hasil siasatan Jabatan Perisikan Negara, mereka menggunakan Talian Antarabangsa 980 sewaktu berhubung dengan super komputer mereka. Kalau terpaksa, kita mesti musnah kedua-dua sistem super komputer tersebut yang mungkin berpakat!”

Zeera mengangguk-angguk faham.

* * *

Jam 2200 malam. Vel dan Zeera sudah siap bersiaga di Makmal XXOI. Vel segera menghidupkan sambungan bekalan kuasa ke Mz-Gybhoon dan terus berhubung dengan Mega KXPP 5000 melalui talian sulit KOD 6280120. Sementara itu Zeera menghubungi Dr Nick di kediamannya yang ketika itu sudah pun dapat melihat apa yang berlaku di Makmal XXOI melalui kaca tv. Segalanya ditindak dari sebuah kamera sesentuh canggih yang diletakkan di satu pojok di Makmal XXOI.

Setagal kemudian, terpaparlah segala warita yang amat menggelentar seluruh dada Vel dan Zeera. Sebuah agensi perisikan negara luar telah berjaya menceroboh dan mencuri maklumat rahsia tentang alam sekitar Malaysia. Benar seperti persepsi Vel, Dr Nick dan Profesor Ray selama ini bahawa mereka ingin merosakkan alam sekitar tanah ini. Hasrat merealisasikan kemusnahannya supaya Malaysia mendapat kutukan seluruh dunia.

Sebuah komputer telah diprogramkan untuk melepaskan sebuah molekul berbentuk meteoroid di cakerawala. Di dalam molekul tersebut dipadatkan dengan gas-gas beracun yang mampu mematikan semua tumbuhan hijau, haiwan di air dan di darat, menambah nipiskan lapisan ozon, menutrealkan semua ubatan, mengurangkan kandungan oksigen di udara dan lain-lain lagi yang boleh memusnahkan terus manusia atau apa saja yang mendiaminya. Berita itu membuatkan Vel dan Zeera menggigir sejenak namun kelir semangat tiba-tiba saja mencuar menggelecak.

“Cepat hubungi Dr Nick!” arah Zeera sambil menyerahkan telefon selular tercanggih Primer SLR kepada Vel. Vel menyambut telefon tersebut lalu segera menghubungi Dr Nick.

“Kamu dah bersedia melancarkan tindakan?” tanya Dr Nick.

“Sudah, tuan! Kita mulakan sekarang!” balas Vel dengan penuh semangat

“Okey, beri arahan perlindungan kepada Mz-Gybhoon dan mulakan pengesanan penggunaan keseluruhan talian sulit. Kita tunggu dan lihat!” Dr Nick memberi arahan. Arahan segera dilaksanakan Zeera. Vel sekadar memerhatikan segala perkembangan yang berjalan.

“Tuan, adakah tuan mendapat output dari Mega KXPP 5000?” tanya Vel sejurus kemudian.

“Ya, dapat!” jawab Dr Nick. “Saya akan cuba menyiasat punca perhubungan.“ Diam setagal. Kemudian bersuara lagi. “Vel, perhubungan berpunca dari sebuah super komputer XYXY/101 yang terdapat di sebuah negara moden dan berkuasa besar. Tiada kendalian manusia!”

Zeera dan Vel saling berpandangan. Mereka sekarang berhadapan dengan kecanggihan teknologi komputer. Mungkin lebih canggih dari Mz-Gybhoon. Kendati begitu, mereka tidak cepat putus asa. Apa pun terjadi, semangat melawan tetap bersemarak dalam dada masing-masing. Tiba-tiba Mz-Gybhoon membuat output:

‘STAR DRAGON XR = mengawal keseluruhan komputer dan satelit di cakerawala. Misi - melancarkan sebuah molekul berbentuk meteoroid jenis XANIUS SUPER COMMA. Molekul berupa meteoroid itu dibekalkan dengan bahan uranium sebanyak satu milion tan. Ia akan dijatuhkan di tengah-tengah Putrajaya. Nisbah: 10 miligram uranium boleh membunuh satu nyawa, 30 miligram boleh mengeringkan semua daun hijau sejarak 2 hektar tanah.’

‘XYXY/101 = mengawal dan mengarahkan komputer dan satelit di cakerawala. Juga mengawal sebiji peluru berpandu seberat 6 tan. Kandungan, bahan kimia beracun yang boleh membantut pembesaran semua organisma. Arah pelancar - Banjaran Titiwangsa. Misi akan bermula tepat jam 0000 waktu rahsia.’

Vel tersentak besar. Tergamam jola dan terkedu buat beberapa jenak.

“Jangan resah dan kuatkan semangat!” Zeera bersuara dalam usaha mencegatkan semangat Vel.

“Errrr… saya sekadar terkejut!” balas Vel. “Tak usahlah kamu bimbangkan saya!”

“Vel! Kamu dah baca output Mz-Gybhoon?” tiba-tiba Dr Nick mencerluskan pertanyaan. Lampu hijau di Primer SLR berkelip-kelip.

“Sudah tuan! Apa tindakan kita seterusnya?” soal Vel.

“Gabungan tenaga kita diperlukan bagi membentuk satu pertahanan. Kemudian kita tukarkan arahan asal kepada arahan terbaru. Selepas itu serang dan musnah sistem pengarahan kedua-dua super komputer tersebut sebelum mereka bertindak. Sebelum itu, salin semua maklumat dan data-data yang terdapat di super komputer mereka!” arah Dr Nick.

Vel segera mengarahkan Zeera bertindak. Satu pertahanan dibentuk. Arahan baharu diprogramkan. Sasaran ditukar kepada punca arahan. Kedua-dua arahan ditukar serentak. Sasaran Meteoroid XANIUS SUPER COMMA ke punca arahan peluru berpandu beracun yang diarahkan ke Banjaran Titiwangsa. Sasaran peluru berpandu beracun ditukar ke punca arahan Meteoroid XANIUS SUPER COMMA. Dr Nick terus memberi arahan, “Bersedia! Dalam kiraan 10 saat, tekan kekunci ENTER.“

“Baik tuan!”

10… 9.. 8.. 7.. 6.. 5.. 4.. 3.. 2.. 1.. 0..

Gihh… gihhhh…… gihhhhh…… bizzzztttt… Bizzzzzztttttttt…

Kekunci ENTER serentak ditekan. Sejurus kemudian satu garisan hitam berlajur di skrin Mz-Gybhoon. Meteoroid XANIUS SUPER COMMA meledak di punca arahan peluru berpandu beracun sementara peluru berpandu beracun pula meledak di punca arahan Meteoroid XANIUS SUPER COMMA. Imej api dan asap terpampang jelas di skrin Mz-Gybhoon. Memberi makna satu letupan dan kebakaran besar telah berlaku.

Sementara itu, sebanyak 8.999 juta data dari kedua-dua super komputer tadi sempat dirakam ke dalam pusat penyimpanan data Mz-Gybhoon. Maklumat tersebut akan digunakan oleh negara sebagai bahan bukti dan penyiasatan menyeluruh pakar pertahanan. Talian KOD 6280120 kini tidak lagi boleh dicerobohi sebarang kecanggihan komputer asing. Taliannya telah dipagar serta dikawal sistem pengawalan canggih Mz-Gybhoon.

Keesokkan hari, akhbar-akhbar perdana negara telah melapurkan satu letupan besar telah berlaku di bahagian pemerosesan maklumat komputer XYXY/101 milik sebuah pusat pertahanan udara Amerika Syarikat. Letupan tersebut telah memusnahkan seluruh data yang terdapat di dalamnya. Satu letupan lagi lebih menggemparkan. Pusat pemprosesan maklumat komputer STAR DRAGON XR milik sebuah lagi pusat pertahanan laut negara itu turut musnah termasuk semua maklumat di dalamnya.

“Biarlah perkara di sebalik kejadian ini menjadi rahsia negara!” ujar Vel seraya mencuit pipi Zeera. Senyum lebar memurup di bibir. Zeera turut tersenyum. Mz-Gybhoon diam di sisi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA